Perhatian


Kebanyakan post di dalam blog ini disalin dari posting dari sahabat-sahabat blogger lain untuk rujukan saya pada masa akan datang. Jadi saya lampirkan sekali link ke post asal bagi menjaga hakcipta post serta memudahkan anda dan saya ke post asal. Harap Maklum

Friday, April 12, 2013

Teras Hati Budi Melayu

disalin dari FB Alter Terahsia Bangsa Melayu - ATBM

Berdasarkan puisi Melayu lama iaitu gurindam, syair, simpulan bahasa, pepatah dan pantun Melayu yang menganjurkan nilai-nilai murni dalam budi bahasa, budi pekerti dan budi bicara, maka beberapa teras hati budi Melayu dapat ditubuhkan. “Teras hati budi Melayu” ialah beberapa unsur keperibadian sosial (social character) yang menjadi
pemusatan utama struktur peribadi kebanyakan orang Melayu, terbentuk akibat pengalaman asasi dan cara hidup yang dikongsi bersama oleh mereka dalam sejarahnya.

Keperibadian teras ini apabila disemai dan dipupuk melalui proses sosialisasi dan pembudayaan yang sempurna, akan melahirkan para ‘budiman’ dalam masyarakat iaitu “peribadi mithali” atau ideal yang diidamkan.
Dalam proses pembudayaan teras hati budi itu kepada orang Melayu iaitu melalui proses
ta’adib (penyamaian adab), ta`alim (penyemaian ilmu), tazkirah (penyucian diri), maka pelbagai darjah pencapaian telah dan akan berlaku. Ada pencapaiannya sebahagian sahaja dan ada yang hampir semuanya tercapai di kalangan anggota masyarakat untuk menuju ke arah bentuk peribadi idaman iaitu para ‘budiman’. Mereka yang gagal atau menyeleweng dianggap ‘kurang ajar’ atau ‘kurang adab’ dan yang terburuk sekali ialah yang ‘biadab, bacul dan khianat’. Proses pembudayaan dan pemasyarakatan unsur teras
itu akan berjalan terus menerus daripada buaian sehingga ke liang lahad. (Hashim Hj.Musa (2008, hlm. 6))

Dua puluh enam (26) teras hati budi Melayu, menjadi asas kekuatan peribadi Melayu dan masyarakatnya, demi membentuk para “budiman” yang merupakan modal insan yang unggul, handal, dan tangkas dalam pembinaan peradabannya. Dua puluh enam teras hati
budi itu berserta dengan puisi Melayu yang mendukungnya, dapat disenaraikan seperti berikut (Hashim Hj. Musa, 2008, hlm. 7 dan Tenas Effendi, 2004), iaitu:

akan dihuraikan satu persatu ,,,,

1. Hidup berteraskan agama Islam:

Adat bersendikan hukum,
Hukum bersendikan syara’.
Syara` bersendikan Kitabullah,
Syara’ mengatakan adat memakai,
Ya kata syara`, benar kata adat.

2. Pendidikan demi membentuk manusia yang berilmu, beradab, berbudi, bertakwa dan beramal:
Apalah isi tunjuk ajar Melayu,
Syara` dan sunnah ilmu yang benar.
Yang disebut tunjuk ajar Melayu:
Mencelikkan mata,
Menyaringkan telinga,
Membersihkan hati,
Menyempurnakan budi,
Membaikkan pekerti.


3. Nilai kerja yang mengutamakan kesungguhan, kecekapan, kerajinan & kerukunan bagi manfaat dunia dan akhirat sehingga ke anak cucu:

Bila bekerja tekun dan sabar,
Punca rezeki terbuka lebar.
Berfaedah pada diri, bertuah pada negeri,
Bermanfaat pada umat, berguna pada bangsa,
Berkat di dunia, rahmat di akhirat, anak cucu selamat.

4. Taat dan berkhidmat kepada ibu bapa serta memuliakan mereka:

Apa tanda Melayu jati,
Mentaati ibu bapa sepenuh hati,
Apa tanda Melayu jati,
Kepada ibu bapa ia berbakti.


5. Setia kepada ketua yang adil dan terpuji:

Elok kampung ada tuanya, elok negeri ada rajanya,
Adat hidup orang terhormat, kepada pemimpinnya ia taat.
Raja adil raja disembah,
Raja zalim raja disanggah.

6. Halus budi bahasa dan budi pekerti:

Kalau hendak tahu orang berbangsa,
Tengok kepada budi dan bahasanya;
Dalam berkata berlemah lembut,
Dalam melangkah berpatut-patut,
Bila duduk tahu tempatnya,
Bila tegak tahu adatnya.

7. Sentiasa bermuafakat, bertegang rasa, tolong-menolong dan mengutamakan
kebajikan umum dan hidup bermasyarakat:


Apa tanda hidup beradat:
Runding selesai dalam muafakat,
Hak ditakar, kewajipan disukat,
Mana yang jauh diperdekat,
Mana yang jarang diperapat,
Mana yang lupa diberi ingat,
Kata putus pendapat pun bulat,
Seia sekata ke laut ke darat.


8. Hormat dan khidmat dalam pergaulan dan dengan tetamu:

Apa tanda Melayu budiman,
Tulus ikhlas sesama insan,
Menolong umat mahu berkorban,
Hidup matinya pada kebajikan.

9. Sederhana bukan ekstremis dalam tutur kata dan tingkah laku, hemat dan cermat, tidak kasar, keras, militan dan ganas:

Apa tanda Melayu bertuah:
Hemat cermat dalam melangkah,
Hemat cermat memelihara maruah,
Hemat cermat memelihara lidah,
Hemat bercakap cermat melangkah.

10. Prihatin tentang harga diri, maruah yang terjelma dalam istilah “menjaga air muka” dan “rasa malu yang mendalam”:

Adat hidup orang bertuah,
Aib dan malu dijadikan amanah,
Membawa diri tiada menyalah,
Malu duduk menengah-nengah,
Malu berdiri sombong dan pongah,
Berbuat kebaikan tiada gah,
Bercakap dengan berlembut lidah.


11. Tahu tempat letak sesuatu dan diri setiap orang dan bertindak sewajarnya:

Apa tanda orang bermaruah:
Tahu letak dengan susunnya,
Tahu duduk dengan tegaknya,
Tahu susur dengan galurnya,
Tahu menjaga adat lembaga,
Tahu memelihara harta pusaka.

12. Membela dan mempertahankan kebenaran dan keadilan:


Apabila kezaliman dan ketidakadilan meruncing maka orang Melayu sanggup ‘mengamuk’ demi mengembalikan keadilan dan kebenaran walaupun mengorbankan diri sendiri.

Apa tanda Melayu jati,
Membela keadilan berani mati,
Berani kerana benar,
Berani pada yang hak,
Berani menegakkan keadilan,
Berani menghapus arang di kening,
Berani mati memegang amanah,
Berani mati membela maruah,
Berani mati di jalan Allah.

13. Menanam budi dan membalas budi:

Adat hidup orang budiman,
Bertanam budi jadi kebiasaan,
Bila menerima budi orang,
Membalasnya jangan menunggu petang.


14. Sifat pemaaf dan pemurah:

Apa tanda Melayu jati,
Dendam kesumat ia jauhi;
Tulus ikhlas bermurah hati,
Kesalahan orang ia ampuni.

15. Sifat kasih sayang:

Adat hidup orang yang mulia,
Mengasihi sahabat menyayangi saudara,
Lebih dan kurang tiada berkira,
Pahit dan manis sama dirasai,
Berkawan tidak memilih bangsa,
Bersahabat tidak memandang harta.

16. Hidup sederhana:

Tanda orang berakhlak tinggi,
Sederhana hidupnya sampai mati.

17. Setia dan rela berkorban:

Apa tanda Melayu sejati,
Tulus setia di dalam hati,
Rela berkorban sampai mati.


18. Sikap berdikari:

Apa tanda Melayu jati,
Di kaki sendiri ia berdiri,
Percaya teguh ke diri sendiri,
Hidup menumpang ia tak sudi,
Percaya kepada kemampuan diri.

19. Menghormati hak dan milik:

Apa tanda Melayu jati,
Hak miliknya ia cermati,
Hak milik orang ia hormati,
Membela yang hak berani mati,
Membela hak milik menahan cemati.

20. Kejujuran dan keikhlasan:

Apa tanda Melayu jati,
Lidahnya jujur hatinya suci,
Apa tanda Melayu budiman,
Jujur dan ikhlas jadi pakaian.



21. Berbaik sangka terhadap sesama makhluk: 

 Apa tanda orang mulia, 
 Berbaik sangka sesama manusia, 
 Siapa hidup berbaik sangka, 
 Dunia akhirat hidup sentosa. 

22. Sifat keterbukaan, tidak menyimpan rasa dan curang: 

 Kalau hidup berterus terang, 
 Bala menjauh sengketa pun hilang, 
 Kalau runding berbuka-bukaan, 
 Beban berat menjadi ringan, 
 Berterus terang menurut patutnya, 
 Berbuka-buka merunut layaknya, 
 Kalau hendak berterus terang, 
 Niatnya jangan menghina orang. 

23. Sifat amanah: 

 Orang amanah membawa tuah, 
 Orang amanah hidup bermaruah, 
 Orang amanah dikasihi Allah, 
 Siapa hidup memegang amanah, 
 Dunia akhirat beroleh berkat. 

24. Memanfaatkan waktu, tidak membuang masa: 

 Apa tanda orang berilmu, 
 Ianya tahu memanfaatkan waktu, 
 Pantang Melayu membuang waktu, 
 Siapa suka mensia-siakan masa, 
 Alamat hidupnya akan binasa. 

25. Memandang masa depan: 

 Kalau memandang jauh ke depan, 
 Banyaklah bekal perlu disiapkan, 
 Siapa memandang jauh ke muka, 
 Hilanglah sifat loba serakah, 
 Siapa tak mahu memandang ke muka, 
 Hidupnya sesat anak cucu celaka. 


26. Mensyukuri nikmat Allah: 

 Siapa hidup mensyukuri nikmat, 
 Hidup matinya beroleh rahmat, 
 Sebarang kerja takkan menyalah, 
 Hidupnya tidak berkeluh kesah, 
 Siapa melupakan nikmat Allah, 
 Alamat hidupnya tak dapat berkat, 
 Lambat laun akan terlaknat, 
 Hidup matinya dalam mudarat. 


------------------------------------

Dua puluh enam (26) teras hati budi Melayu, menjadi asas kekuatan peribadi Melayu dan masyarakatnya, demi membentuk para “budiman” yang merupakan modal insan yang unggul, handal, dan tangkas dalam pembinaan peradabannya.

Dikutip dari Jurnal "Hati Budi Melayu: Kajian Keperibadian Sosial Melayu Ke Arah Penjanaan Melayu Gemilang"
GEMA Online™ Journal of Language Studies 163
Volume 12(1), January 2012.

No comments: