Perhatian


Kebanyakan post di dalam blog ini disalin dari posting dari sahabat-sahabat blogger lain untuk rujukan saya pada masa akan datang. Jadi saya lampirkan sekali link ke post asal bagi menjaga hakcipta post serta memudahkan anda dan saya ke post asal. Harap Maklum

Saturday, April 20, 2013

Belajar menembak

Keseronokan menembak tidak dapat digambarkan oleh mereka yang tidak memahami. Apabila menembak, satu kepuasan apabila plate atau apa sahaja objek yang ditembak terjatuh. Dalam olimpik juga wujudnya sukan menembak air rifle dan air pistol walaupun sehingga sekarang saya tidak memahami kenapa menembak dijadikan sukan.

Mungkin lelaki ditentukan suka aktiviti sebegini berbanding permainan lain. Banyak di pasaran dijual permainan kanak-kanak yang berasaskan senjata api. Mainan sebegini selalu dianggap sebagai mainan budak lelaki.

Menembak menggunakan shotgun, melepaskan tekanan
Kali pertama saya didedahkan dengan menembak menggunakan peluru hidup adalah semasa menyertai Askar Wataniah semasa belajar di Universiti. Dalam tentera langkah-langkah keselamatan sangat ditekankan dan banyak do's and dont's yang diajarkan sebelum kami dibenarkan memegang senjata api serta menembak menggunakan peluru hidup.

Kepuasan tercipta apabila objek yang disasarkan terjatuh terkena peluru

Menembak di luar lingkungan tentera agak longgar disiplinnya berbanding dalam tentera. Kerana itu, dalam pengambilan anggota pengawal keselamatan oleh syarikat swasta, sangat menggalakkan bekas anggota keselamatan kerana disiplin mereka dengan senjata tidak perlu dipertikaikan, berbanding orang awam yang pertama kali memegang senjata api.

Glock 17 9mm

Di Malaysia, pemilikan senjata api sangat ketat, malah perlukan syarat tententu yang perlu dipenuhi untuk melayakkan rakyat Malaysia memperolehi lesen senjata api.

Friday, April 19, 2013

BUAT KERJA HAMBA, JANGAN BUAT KERJA TUHAN


Bismillahirrohmanirrohim….
Jika kita fikirkan sepintas lalu pada klausa tersebut mana mungkin seorang hamba yang diciptakan tuhannya boleh melakukan tugas-tugas tuhannya. Dalam konteks Islam pula mana mungkin kita insan yang Allah cipta melakukan tugas Allah. Justeru itu sekiranya kita mengaplikasi konsep ini dalam kehidupan kita, maka kekecewaan tadi pasti akan terubat kerana kita telah mengetahui bahawa kita telah melakukan tugas kita dengan baik. Maka jangan difikirkan tugas orang lain. Sebenarnya kita tidak gagal kerana kita telah melakukan dengan baik.
Begitu juga dalam Islam (saya bukan ahli agama namun mempunyai sedikit pengetahuan untuk dikongsi), dimana masih teringat kisah seorang abid dimana ketika itu terdapat seorang abid yang tinggal disebuah pulau jauh dari sosialisasi kehidupan manusia. Apabila mati Allah bertanya kepada abid tersebut, “wahai Abid apakah engkau ke syurga nanti atas ihsan aku atau kerana amalan mu”. Lalu abid itu menjawab “kerana amalan ku”, lantas Allah berkata “Sesungguhnya neraka buatmu”.
Dalam konteks ini, Abid tersebut telah mencampuri kerja Allah iaitu menentukan syurga atau neraka. Maka balasan lain yang diperolehi bukan syurga seperti yang diharapkan.

Thursday, April 18, 2013

Menjaga bayi setahun


Pelbagai ekspresi Fatihah
Pengalaman mempunyai anak sendiri merupakan pengalaman baru bagi saya. Banyak cabaran yang dihadapi dan perhatian yang penuh perlu diberikan kepadanya. Untuk itu, saya sangat berterima kasih kepada sang isteri yang sanggup bersengkang mata berjaga malam bersama anak kami bagi memastikan anak kami sentiasa selesa.

Saya juga sangat beruntung mempunyai mertua yang berpengalaman. Banyak petua-petua diperturunkan kepada kami yang baru berjinak-jinak dengan penjagaan bayi.


Bayi demam

Menurut pembacaan saya secara rambang, dalam tempoh bayi berumur 0-12 bulan, akan mengalami demam purata 12 kali. Pada mulanya kami akan kelam kabut apabila mendapati anak sulung kami begitu panas suhu badanya.

Dalam satu peristiwa apabila mendapati bayi kami demam, kami membawanya ke Klinik Swasta. Apabila diperiksa suhu badannya mencecah 39 darjah Celsius, beliau membuat keputusan memasukkan ubat melalui dubur bagi penyerapan pantas.

Saya sempat berunding dengan Doktor dengan menanyakan berkenaan alternatif lain selain dari memasukkan ubat melalui dubur. Katanya ini perlu dilakukan kerana suhu badannya hampir mencecah 40 darjah Celsius yang dibimbangi akan memberi kesan kepada otak bayi.

Mengikur kata doktor, deman panas sehingga melebihi 40 darjah Celsius sangat bahaya memandangkan banyak kes yang berlaku dalam masyarakat melibatkan kanak-kanak yang mengalami demam panas sehingga mengakibatkan kecatatan otak yang kekal.

Fatihah demam selepas menerima suntikan pada hari ke-31
- Miliki termometer sendiri di rumah supaya mudah menyukat suhu badan bayi
- Elakkan kepanasan menjangkau 40 darjah Celsius
- Jelung (perkataan yang digunakan oleh orang Kelantan) kepalanya dengan air supaya suhu menurun
- Campurkan dengan daun Durian Selat (Durian Belanda), daun Nonu, daun Cekur, daun Lidah Buaya.

Saya mengambil keputusan untuk tidak mengambil suntikan untuk 12 bulan. Alhamdulillah, anak saya semakin sihat dan cergas.


Setelah anak kami tidak lagi menerima suntikan, saya sangat hairan kerana anak kami tiada mengalami demam. Adakah jadual suntikan imunisasi bayi = jadual demam anak saya?



Meniarap - 3 bulan
Mengangkat kepala - 3-4 bulan
Mengesot/heret dada - 5 bulan
Angkat punggung - 6 bulan
Merangkak - 8 bulan
Meniti/berdiri - 9-10 bulan
Berjalan - 11 bulan
Bercakap ma - 12 bulan

Friday, April 12, 2013

Ekspedisi mendaki Gunung Stong

Mendaki Gunung Stong adalah antara tempat yang menjadi impian peminat aktiviti lasak terutamanya yang sukakan aktiviti mendaki serta meneroka hutan. Pada Julai 2010 yang lalu, saya berpeluang bagi menyertai ekpedisi mendaki Gunung Stong yang dianjurkan oleh Urusetia Pembangunan Insan, Belia dan NGO Kerajaan Negeri Kelantan.

YB (Dato) Abdul Fattah selaku Exco Belia memberi amanat sebelum kami bertolak
Kerana tidak terikat kepada apa-apa program, maka saya dengan senang hati menyertai program ini. Sebenarnya pada awalnya program saya merancang untuk pergi mengikuti sesi pertama pada tarikh yang lain, tetapi kerana lambat menghantar borang maka saya terpaksa mengikuti sesi yang ke-2 di penghujung syaaban. Kesian pula kepada Syafiq sepupu saya yang mengambil cuti semata-mata menyertai ekspedisi ini. Malangnya pada tarikh baru beliau tidak mendapat cuti.


Kami bertolak pada watu petang Khamis dari Kediaman Rasmi Menteri Besar di JKR 10 sesudah majlis pelepasan peserta oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO. Sampai di tapak perkhemahan pada hampir waktu maghrib. Maka, kelam kabutlah kami memasang khemah bimbang hari semakin gelap yang menyukarkan lagi semua urusan kami.

Pada kebiasaannya, pelawat menuju ke Gunung Stong State Park di Kg Jelawang menggunakan keretapi di stesen Dabong. Kemudian menggunakan perkhidmatan kereta sewa ke Air Terjun Jelawang.

Acara memasang khemah dalam gelap
Setelah selesai acara memasang khemah dan pentadbiran diri, kami makan, solat Maghrib dan Isya secara berjemaah kemudian berhimpun untuk program tazkirah dari Pengarah Urusetia Pembangunan Insan, Belia dan NGO, En Aziz. Pada malam itu juga diadakan penyampaian t-shirt program yang akan dipakai untuk program pendakian esok pagi.

Pagi-pagi lagi kami bangun dan mengemaskan khemah masing-masing kerana pada malam itu kami akan bermalam di Baha Camp, di puncak air terjun Jelawang bagi melancarkan urusan pendakian.

Kata dua dari pengurusan GSSP, En Azmi dan wakil guide

En Rafie memberi penerangan sebelum kami memulakan pendakian.

Bergambar semangat sebelum mendaki

Berehat di Baha Camp setelah 20 minit mendaki
Untuk sampai ke Baha Camp pun kami sudah mencungap. Tiba di sini kami diarahkan bagi memasang khemah untuk persiapan bermalam pada malam itu. Perjalanan naik ke puncak dan turun semula dijangka mengambil masa 6 jam, maka kami perlu cepat memandangkan perlu turun semula sebelum hari gelap.

Mendengar taklimat dari waris En Baharudin yang membuka Baha Camp
OK, tibalah masa untuk kami meneruskan pendakian ke puncak. Di Baha Camp, kami menerima taklimat yang lebih detail mengenai perjalanan menawan puncak Stong. Perjalanan seterusnya jauh lebih mencabar dari apa yang kami tempuhi sebentar tadi. Di sini kami meninggalkan beg-beg pakaian dan meneruskan perjalanan dengan bebanan yang minimum. Beberapa checkpoint telah ditetapkan sebelum kami tiba ke puncak.

Kata-kata yang begitu melekat di hati saya yang memberi semangat untuk tiba ke puncak ialah "Ubat untuk bagi kuat untuk mendaki ialah ubat cap "OK". Kepada anak Kelantan mungkin faham apa yang dikatakan.

Berehat di checkpoint Batu Kelembai

Checkpoint Gua Bogor, di sini ada aliran air serta kawasan rata sesuai untuk berhenti solat

Pokok berusia ratusan tahun yang terdapat di hutan ini
 Perjalanan mendaki hingga ke puncak menemui banyak rintangan. Kebanyakan peserta yang rata-rata berusia belasan tahun serta awal 20 an nampaknya amat bersemangat. Namun, ada juga beberapa peserta yang kandas di pertengahan jalan dan tidak dapat meneruskan pendakian.

Saya sendiri hampir berputus asa dan ingin give up kerana seluruh tubuh dirasakan sudah lemah dan terpaksa berhenti beberapa kali kerana kali sudah cramp. Sudah lama tidak membuat aktiviti lasak seperti ini. Teringat juga kata-kata guide di Camp Baha tadi, 'ok' je.

Trek yang sunyi dan seram

Trek 'Lutut bertemu dagu' hehe... try la
Sedang dalam dilema untuk meneruskan atau tidak pendakian ini, kami terserempak dengan grup yang sedang dalam perjalanan turun, mungkin rombongan sekolah. Kami terkejut melihat budak kecil dengan senyum turun dari puncak stong. Perempuan pula tu. "Dah tak jauh dah", kata mereka, "sikit je lagi".

Merasakan kelelakian kami tercabar, semua peserta yang rata-rata hampir give up tiba-tiba mendapat suntikan semangat baru bagi meneruskan pendakian. Akhirnya kami berjaya sampai ke puncak dengan jayanya. Seingat saya 6 orang sahaja dari kesemua peserta ekpedisi yang tidak menamatkan pendakian.

Dari Baha Camp terdapat trek untuk ke puncak untuk ditawan. Puncak Stong adalah yang ketiga tertinggi dan antara trek paling mudah kerana treknya sudah dibersihkan dan kerap dilalui pengunjung. Puncak lain perlu 2-3 hari perjalanan dan memerlukan pendaki membawa barang kerluan dan bermalam di dalam hutan.

Finisher!!! Para pejuang yang berjaya menawan puncak Stong

Berbaring melepaskan kepenatan mendaki

Pemandangan puncak Gunung Ayam dari puncak Stong

Bergambar bersama guide yang membimbing kami ke puncak

Setelah melepaskan penat, kami mula bergerak turun. Perjalan turun dianggarkan mengambil masa dua jam. Kami terpaksa bergegas turun sebelum gelap. Terdapat satu lagi ancaman iaitu jika hujan, arus air yang besar akan menyebabkan trek kami terputus dan terpaksa bermalam di dalam hutan.

Saya mengambil tanggungjawab menjadi pengiring terakhir kepada peserta bagi memastikan semua peserta selamat tiba di Baha Camp, peserta yang akhir ini kebanyakannya telah mengalami kecederaan yang melambatkan perjalanan mereka.

Dengan perhubungan dari walkie-talkie, saya mendapat tahu ada peserta yang cedera di pertengahan jalan dan dibawa berpatah balik ke Baha Camp lebih awal. Peserta yang sampai ke puncak pula tiba di Baha Camp seawal jam 5.30 petang.

Alhamdulillah, saya bersama beberapa peserta yang cedera tiba ke Baha Camp lebih kurang jam tujuh setelah melalui perjalanan yang mencabar dengan hujan yang mulai turun merisaukan kami. Tiba sahaja kami menandakan semua peserta telah selamat sampai ke Baha Camp. Kelihatan semua peserta seronok bermandi air terjun setelah seharian memerah keringat mendaki. 

Menunggu Matahari Terbit, salah satu acara terkenal di puncak gunung
Akhirnya matahari tidak jadi muncul akibat kabus yang sangat tebal
Perhatikan di sebelah kanan gambar, puncak air terjun jelawang

Setelah selesai sarapan serta persiapan diri, kami diminta mengumpulkan sampah dan dibawa turun bersama untuk dilupuskan di bawah bagi menjaga keaslian dan kebersihan tapak Baha Camp. Kami juga dilarang membakar sampah. Perjalanan turun tidaklah memenatkan sebagaimana perjalanan mendaki.

Tiba dibawah, kami berpeluang mandi manda pula di bahagian bawah air terjun. Selain kami peserta ekspedisi, kelihatan ramai pemuda tempatan bermandi manda di air terjun ini. Saya mengambil peluang mencuba-cuba merakamkan gambar-gambar cantik bersama Fathi. 

Merakamkan beberapa keping gambar di air terjun jelawang
Kelihatan puncak air terjun jelawang di atas kepala saya

Sempat juga saya membeli sehelai t-shirt berkolar bulat sebagai kenang-kenangan serta bukti saya telah menjejakkan kaki ke puncak stong...


Antara puncak-puncak di yang boleh diakses di GSSP. Puncak  Stong di tempat ke-6 tertinggi

Sempat juga kami bergambar bersama penganjur dan En Azmi selaku pengurus Gunung Stong State Park (GSSP). Pengalaman ini merupakan pengalaman yang amat berharga bagi saya setelah beberapa tahun meninggalkan alam 'fit' sejak meninggalkan alam kampus ke alam kerjaya.

Dari kiri: saya, En Rafie (UPBISN), En Azmi, En Din (UPBISN) dan Fathi (UPBISN)
P/S: Al-fatihah kepada isteri YB Dato Paduka Hj Abdul Fattah bin Mahmood, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia dan NGO Kerajaan Negeri Kelantan yang meninggal dunia pada malam ahad 27 April 2013 di Hospital Pakar Perdana.


Teras Hati Budi Melayu

disalin dari FB Alter Terahsia Bangsa Melayu - ATBM

Berdasarkan puisi Melayu lama iaitu gurindam, syair, simpulan bahasa, pepatah dan pantun Melayu yang menganjurkan nilai-nilai murni dalam budi bahasa, budi pekerti dan budi bicara, maka beberapa teras hati budi Melayu dapat ditubuhkan. “Teras hati budi Melayu” ialah beberapa unsur keperibadian sosial (social character) yang menjadi
pemusatan utama struktur peribadi kebanyakan orang Melayu, terbentuk akibat pengalaman asasi dan cara hidup yang dikongsi bersama oleh mereka dalam sejarahnya.

Keperibadian teras ini apabila disemai dan dipupuk melalui proses sosialisasi dan pembudayaan yang sempurna, akan melahirkan para ‘budiman’ dalam masyarakat iaitu “peribadi mithali” atau ideal yang diidamkan.
Dalam proses pembudayaan teras hati budi itu kepada orang Melayu iaitu melalui proses
ta’adib (penyamaian adab), ta`alim (penyemaian ilmu), tazkirah (penyucian diri), maka pelbagai darjah pencapaian telah dan akan berlaku. Ada pencapaiannya sebahagian sahaja dan ada yang hampir semuanya tercapai di kalangan anggota masyarakat untuk menuju ke arah bentuk peribadi idaman iaitu para ‘budiman’. Mereka yang gagal atau menyeleweng dianggap ‘kurang ajar’ atau ‘kurang adab’ dan yang terburuk sekali ialah yang ‘biadab, bacul dan khianat’. Proses pembudayaan dan pemasyarakatan unsur teras
itu akan berjalan terus menerus daripada buaian sehingga ke liang lahad. (Hashim Hj.Musa (2008, hlm. 6))

Dua puluh enam (26) teras hati budi Melayu, menjadi asas kekuatan peribadi Melayu dan masyarakatnya, demi membentuk para “budiman” yang merupakan modal insan yang unggul, handal, dan tangkas dalam pembinaan peradabannya. Dua puluh enam teras hati
budi itu berserta dengan puisi Melayu yang mendukungnya, dapat disenaraikan seperti berikut (Hashim Hj. Musa, 2008, hlm. 7 dan Tenas Effendi, 2004), iaitu:

akan dihuraikan satu persatu ,,,,

1. Hidup berteraskan agama Islam:

Adat bersendikan hukum,
Hukum bersendikan syara’.
Syara` bersendikan Kitabullah,
Syara’ mengatakan adat memakai,
Ya kata syara`, benar kata adat.

2. Pendidikan demi membentuk manusia yang berilmu, beradab, berbudi, bertakwa dan beramal:
Apalah isi tunjuk ajar Melayu,
Syara` dan sunnah ilmu yang benar.
Yang disebut tunjuk ajar Melayu:
Mencelikkan mata,
Menyaringkan telinga,
Membersihkan hati,
Menyempurnakan budi,
Membaikkan pekerti.


3. Nilai kerja yang mengutamakan kesungguhan, kecekapan, kerajinan & kerukunan bagi manfaat dunia dan akhirat sehingga ke anak cucu:

Bila bekerja tekun dan sabar,
Punca rezeki terbuka lebar.
Berfaedah pada diri, bertuah pada negeri,
Bermanfaat pada umat, berguna pada bangsa,
Berkat di dunia, rahmat di akhirat, anak cucu selamat.

4. Taat dan berkhidmat kepada ibu bapa serta memuliakan mereka:

Apa tanda Melayu jati,
Mentaati ibu bapa sepenuh hati,
Apa tanda Melayu jati,
Kepada ibu bapa ia berbakti.


5. Setia kepada ketua yang adil dan terpuji:

Elok kampung ada tuanya, elok negeri ada rajanya,
Adat hidup orang terhormat, kepada pemimpinnya ia taat.
Raja adil raja disembah,
Raja zalim raja disanggah.

6. Halus budi bahasa dan budi pekerti:

Kalau hendak tahu orang berbangsa,
Tengok kepada budi dan bahasanya;
Dalam berkata berlemah lembut,
Dalam melangkah berpatut-patut,
Bila duduk tahu tempatnya,
Bila tegak tahu adatnya.

7. Sentiasa bermuafakat, bertegang rasa, tolong-menolong dan mengutamakan
kebajikan umum dan hidup bermasyarakat:


Apa tanda hidup beradat:
Runding selesai dalam muafakat,
Hak ditakar, kewajipan disukat,
Mana yang jauh diperdekat,
Mana yang jarang diperapat,
Mana yang lupa diberi ingat,
Kata putus pendapat pun bulat,
Seia sekata ke laut ke darat.


8. Hormat dan khidmat dalam pergaulan dan dengan tetamu:

Apa tanda Melayu budiman,
Tulus ikhlas sesama insan,
Menolong umat mahu berkorban,
Hidup matinya pada kebajikan.

9. Sederhana bukan ekstremis dalam tutur kata dan tingkah laku, hemat dan cermat, tidak kasar, keras, militan dan ganas:

Apa tanda Melayu bertuah:
Hemat cermat dalam melangkah,
Hemat cermat memelihara maruah,
Hemat cermat memelihara lidah,
Hemat bercakap cermat melangkah.

10. Prihatin tentang harga diri, maruah yang terjelma dalam istilah “menjaga air muka” dan “rasa malu yang mendalam”:

Adat hidup orang bertuah,
Aib dan malu dijadikan amanah,
Membawa diri tiada menyalah,
Malu duduk menengah-nengah,
Malu berdiri sombong dan pongah,
Berbuat kebaikan tiada gah,
Bercakap dengan berlembut lidah.


11. Tahu tempat letak sesuatu dan diri setiap orang dan bertindak sewajarnya:

Apa tanda orang bermaruah:
Tahu letak dengan susunnya,
Tahu duduk dengan tegaknya,
Tahu susur dengan galurnya,
Tahu menjaga adat lembaga,
Tahu memelihara harta pusaka.

12. Membela dan mempertahankan kebenaran dan keadilan:


Apabila kezaliman dan ketidakadilan meruncing maka orang Melayu sanggup ‘mengamuk’ demi mengembalikan keadilan dan kebenaran walaupun mengorbankan diri sendiri.

Apa tanda Melayu jati,
Membela keadilan berani mati,
Berani kerana benar,
Berani pada yang hak,
Berani menegakkan keadilan,
Berani menghapus arang di kening,
Berani mati memegang amanah,
Berani mati membela maruah,
Berani mati di jalan Allah.

13. Menanam budi dan membalas budi:

Adat hidup orang budiman,
Bertanam budi jadi kebiasaan,
Bila menerima budi orang,
Membalasnya jangan menunggu petang.


14. Sifat pemaaf dan pemurah:

Apa tanda Melayu jati,
Dendam kesumat ia jauhi;
Tulus ikhlas bermurah hati,
Kesalahan orang ia ampuni.

15. Sifat kasih sayang:

Adat hidup orang yang mulia,
Mengasihi sahabat menyayangi saudara,
Lebih dan kurang tiada berkira,
Pahit dan manis sama dirasai,
Berkawan tidak memilih bangsa,
Bersahabat tidak memandang harta.

16. Hidup sederhana:

Tanda orang berakhlak tinggi,
Sederhana hidupnya sampai mati.

17. Setia dan rela berkorban:

Apa tanda Melayu sejati,
Tulus setia di dalam hati,
Rela berkorban sampai mati.


18. Sikap berdikari:

Apa tanda Melayu jati,
Di kaki sendiri ia berdiri,
Percaya teguh ke diri sendiri,
Hidup menumpang ia tak sudi,
Percaya kepada kemampuan diri.

19. Menghormati hak dan milik:

Apa tanda Melayu jati,
Hak miliknya ia cermati,
Hak milik orang ia hormati,
Membela yang hak berani mati,
Membela hak milik menahan cemati.

20. Kejujuran dan keikhlasan:

Apa tanda Melayu jati,
Lidahnya jujur hatinya suci,
Apa tanda Melayu budiman,
Jujur dan ikhlas jadi pakaian.



21. Berbaik sangka terhadap sesama makhluk: 

 Apa tanda orang mulia, 
 Berbaik sangka sesama manusia, 
 Siapa hidup berbaik sangka, 
 Dunia akhirat hidup sentosa. 

22. Sifat keterbukaan, tidak menyimpan rasa dan curang: 

 Kalau hidup berterus terang, 
 Bala menjauh sengketa pun hilang, 
 Kalau runding berbuka-bukaan, 
 Beban berat menjadi ringan, 
 Berterus terang menurut patutnya, 
 Berbuka-buka merunut layaknya, 
 Kalau hendak berterus terang, 
 Niatnya jangan menghina orang. 

23. Sifat amanah: 

 Orang amanah membawa tuah, 
 Orang amanah hidup bermaruah, 
 Orang amanah dikasihi Allah, 
 Siapa hidup memegang amanah, 
 Dunia akhirat beroleh berkat. 

24. Memanfaatkan waktu, tidak membuang masa: 

 Apa tanda orang berilmu, 
 Ianya tahu memanfaatkan waktu, 
 Pantang Melayu membuang waktu, 
 Siapa suka mensia-siakan masa, 
 Alamat hidupnya akan binasa. 

25. Memandang masa depan: 

 Kalau memandang jauh ke depan, 
 Banyaklah bekal perlu disiapkan, 
 Siapa memandang jauh ke muka, 
 Hilanglah sifat loba serakah, 
 Siapa tak mahu memandang ke muka, 
 Hidupnya sesat anak cucu celaka. 


26. Mensyukuri nikmat Allah: 

 Siapa hidup mensyukuri nikmat, 
 Hidup matinya beroleh rahmat, 
 Sebarang kerja takkan menyalah, 
 Hidupnya tidak berkeluh kesah, 
 Siapa melupakan nikmat Allah, 
 Alamat hidupnya tak dapat berkat, 
 Lambat laun akan terlaknat, 
 Hidup matinya dalam mudarat. 


------------------------------------

Dua puluh enam (26) teras hati budi Melayu, menjadi asas kekuatan peribadi Melayu dan masyarakatnya, demi membentuk para “budiman” yang merupakan modal insan yang unggul, handal, dan tangkas dalam pembinaan peradabannya.

Dikutip dari Jurnal "Hati Budi Melayu: Kajian Keperibadian Sosial Melayu Ke Arah Penjanaan Melayu Gemilang"
GEMA Online™ Journal of Language Studies 163
Volume 12(1), January 2012.

Thursday, April 11, 2013

Seni Bina Rumah Melayu



Pengenalan
Rumah merupakan salah satu peralatan budaya yang penting dalam kehidupan sesuatu masyarakat. Rumah Melayu dan pembinaannya menggambarkan satu bentuk budaya bagi orang Melayu yang mendiaminya.

Rumah Melayu tradisional adalah sebahagian warisan seni bina orang Melayu yang sangat bernilai dan telah direka bentuk serta dibina sehingga menampakkan betapa mahir dan kreatifnya bangsa Melayu dalam bidang seni bina.

Reka bentuk tersebut memaparkan kebijaksanaan dalam penggunaan dan keluasan ruang mengikut keperluan semasa, mengadaptasi cuaca dan penggunaan bahan binaan. Rumah tradisional Melayu melambangkan cara hidup dan sikap terbuka orang Melayu itu sendiri.

Secara amnya, rumah ini diperbuat daripada kayu dan bertiang. Dinding diperbuat daripada kayu atauanyaman buluh dan beratapkan rumbia/ nipah atau kayu. Tingkap-tingkap mendominasi tampak dari segenap sudut pandangan rumah dan memberikan pengaliran udara yang secukupnya kepada rumah.
Ruang dalaman mempunyai ruang terbuka yang luas dan mempunyai dinding pemisah yang tersangat minima. Seni bina Melayu adalah kesan daripada pertembungan budaya kaum yang pernah mendominasi rantau ini seperti Bugis, Riau, Jawa, Acheh, Minangkabau, Siam, Cina dan Barat.

Pada peringkat awal, rumah Melayu tradisional berbentuk rumah asas yang dikenali rumah pisang sesikat. Bentuk ini kemudiannya berubah mengikut arus perubahan zaman.

1. Bumbung
Rumah tradisional Melayu terdiri dari bumbung tetap, tetapi berubah kepada bentuk limas atau dipanggil’ Bumbung Belanda’ selepas kedatangan penjajah. Bumbung sentiasa condong untuk kesesuaian cuaca panas tropika. Di sepanjang tepian hujung bumbung, dipasang cucur atap atau papan cantik berukir melambangkan kehalusan seni masyarakat Melayu.

2. Anjung
Anjung merupakan tempat berehat dan berbincang bagi kaum lelaki. Wanita kebiasaannya di dalam dan lelaki di luar sesuai dengan sifat lelaki sebagai pelindung rumah.
Ini menunjukkan masyarakat Melayu amat mementingkan adat dan tatatertib masyarakat, sehinggakan mereka dipandang tinggi kerana kaya dengan kehalusan budi pekerti. Tambahan, ini bertujuan mengelakkan fitnah, di mana tetamu lelaki hanya dipelawa naik hingga ke anjung sahaja.

3. Ruang Utama/Rumah Ibu
Ruang utama ini dipanggil rumah ibu sempena menghormati peranan ibu sebagai pengelola rumah dan penyeri keluarga. Sesuai dengan nama ini, fungsinya adalah sebagai tempat berkumpul ahli keluarga untuk beristirehat dan bersantai bersama-sama.

4. Bilik
Bilik merupakan ruang rahsia tuan rumah dan ahli keluarga. Kebiasaannya anak lelaki dan perempuan akan diasingkan. Ini melambangkan masyarakat Melayu mengamalkan ajaran Islam dalam kehidupan mereka.

5. Dapur
Dibatasi dinding antara ruang utama dengan dapur. Dapur sebagai tempat memasak dan tempat khas untuk tetamu perempuan, menandakan peranan perempuan di belakang lelaki.

6. Ukiran
Seni ukir banyak didapati di tangga, dinding beranda dan papan cucur atap. Ini membuktikan masyarakat Melayu kaya dengan seni tersendiri. Ukiran yang dibuat bukan sahaja sebagai seni perhiasaan, malah menggalakkan pengaliran udara dan cahaya masuk untuk menceriakan rumah.

Pembinaan rumah Melayu dipengaruhi oleh faktor-faktor di bawah;

1. Cuaca
Faktor cuaca memainkan peranan dalam reka bentuk asas bangunan. Kekerapan hujan mengakibatkan reka bentuk atap yang lebih cerun dan bertiang untuk mengelakkan banjir.
Kepanasan cuaca juga menyumbang kepada reka bentuk yang lebih terbuka seperti kehadiran tingkap yang banyak, berandah dan tiang itu sendiri memberi laluan angin di bahagian bawah rumah.
Tidak cukup dengan itu, lubang angin di bahagian atas tingkap dan bumbung juga telah direka untuk keselesaan secara maksima.

2. Sumber Alam
Bahan binaan ialah kayu, rotan, akar, buluh, dan dedaun dari sumber hutan terdekat. Kayu menjadi tunjang kepada struktur bangunan, manakala rotan dan akar menjadi pengikat, kayu atau batang pinang menjadi lantai, buluh dan daun rumbia atau nipah menjadi dinding dan atap.

3. Budaya dan adat resam
Budaya dan adat resam juga memainkan peranan yang besar dalam membentuk seni bina rumah Melayu. Misalnya kehadiran Islam telah mempengaruhi orientasi bangunan mengarah ke kiblat. Definisi ruang juga diatur dan diubah aras mengikut kegunaan adat resam bertandang, kenduri dan aktiviti keluarga.

4. Pengaruh asing
Kehadiran penjajah Barat telah memberi alternatif baru kepada teknik seni bina Melayu. Sebagai contoh, zink dan atap genting telah mengambil alih atap rumbia dan kayu, bata dan simen telah mengambil tempat kayu sebagai tiang, tangga dan dinding, paku menggantikan pasak kayu dan akar sebagai penghubung atau pengikat.

Pengaruh ini boleh dilihat secara positif dan negatif oleh umum, iaitu pertembungan dua unsur iaitu praktikal dan seni.

Kesimpulan
Kreativiti minda bangsa Melayu yang diwarisi oleh tukang-tukang yang mahir telah menghasilkan reka bentuk seni bina yang bukan sahaja indah malahan halus dan kaya dengan falsafah yang tersirat tetapi mudah difahami. Tetapi sayang, tradisi ini tidak lagi dapat bertahan dalam arus pemodenan bangsa Melayu kerana amat sukar mendapati tukang yang mahir dewasa ini.

Sumber: malaysiana, scribd.com dan arkib negara Malaysia.

Wednesday, April 10, 2013

Berkhidmat di kilang Semikonduktor Jepun



Ramadhan 2008 mencatatkan episod baru dalam hidupku. Mula ditawarkan bekerja sebagai jurutera pengeluaran di sebuah kilang Semikonduktor di Kawasan Perindustrian Pengalan Chepa, Kota Bharu. Ini sudah bagus, position jurutera di kampung halaman, mana nak cari. Setelah lulus temuduga dan pemeriksaan kesihatan, aku pun memulakan kerjaya di syarikat ini.


Position sebagai jurutera bukanlah seindah yang kami selalu digambarkan ketika alam pengajian. Lebih-lebih lagi dalam bidang pembuatan. Ini bukanlah kali pertama aku bekerja dalam sektor pembuatan. Sebelum ini aku pernah bekerja di kilang pembuatan ubatan tradisional di Perlis.

Sebagai jurutera pengeluaran, aku bertanggungjawab ke atas pekerja operator dan juruteknik. Perlu memastikan target pengeluaran yang ditetapkan dalam sehari berjalan mengikut jadual. Pelbagai karenah pekerja perlu dihadapi.

Juteknik Breakdown Maintenance dengan seragam yang
sering mengalami mental breakdown

Operator dengan karenah tersendiri
 Bekerja juga dalam keadaan berisiko dengan pendedahan kepada bising, mesin berat serta bahan-bahan kimia berbahaya yang menjadi rutin harian. Penggunaan alat pelindung diri (PPE) sudah menjadi biasa kepada kami disini walaupun di rumah amat jarang boleh melihat kami berpakaian sebegini rupa.


Industri berasaskan pengeluaran banyak menyumbang kepada kebanyakan peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia. Malah rakyat asing juga tidak kurang memenuhi kilang-kilang di negara ini mencari rezeki. Pelabur juga mengambil kesempatan dengan menawarkan gaji yang lebih rendah kepada mereka yang bagi mereka, nilai tersebut jika dibawa ke negara asal, sudah lebih dari cukup.



Kegilaan Bola Keranjang

Kebiasaan apabila tinggal di asrama, kehidupan adalah sangat strict dengan waktu. Pagi adalah waktu pembelajaran di sekolah seperti biasa, kemudian pulang ke hostel solat zuhur berjamaah, makan tengahari di dewan makan, dan rehat. Jam 3 petang bermulalah waktu prep. Biasanya ramai di kalangan kami suka "stido" daripada study pada waktu ini. Kemudian pulang ke asrama untuk solat asar. Aktiviti selepas asar adalah aktiviti bebas, namun, kami tidak digalakkan berada di asrama, dan digalakkan memenuhi padang-padang permainan.

Pada awalnya, saya bukanlah sportman sangat. Budak skema katakan. Tubuh juga lebih kecil berbanding pelajar lain yang matang di tingkatan 1 lagi. Kebanyakan pelajar lelaki akan memenuhi padang bolasepak. Barulah dikatakan anak jantan. Saya juga cuba menempatkan diri di padang bolasepak, namun dalam satu hari dapat menyentuh bola satu kali sudah dikatakan cukup bertuah. Saya lalu membawa diri ke gelanggang bola tampar pula. Seronok juga bermain bola tampar kerana tidak melibatkan direct contact dengan pasukan lawan. Lama-kelamaan saya mula rasa terpinggir apabila pasukan elit bola tampar sekolah ditubuhkan, kami tidak berpeluang bermain. 

Mencuba nasib pula di gelanggang sepaktakraw. Iskh, keras betul kaki aku. Memang tiada bakat sukan gamaknya. Dihujung gelanggan takraw, terdapat padang hoki dan bola baling. Sekumpulan pelajar menjadikan kawasan itu sebagi padang 'kecil' bolasepak. Maka bermainlah kami golongan yang kaki bangku di padang kecil.

Lama kelamaan saya mula bosan dengan permainan bolasepak, mencuba pula ke kawasan gelanggang tenis dan bola keranjang. Permainan tenis memerlukan raket yang jarang dimiliki oleh kami. Saya menonton sahaja di tepi gelanggang. Gelanggan ini tersorok sedikit di sebalik bangunan sekolah dan berhadapan dengan bengkel kemahiran hidup dan jauh dari pandangan umum.

Terpandang pula ke gelanggang bola keranjang yang mana, gelanggang ada dua tetapi hanya satu gelanggang yang mempunyai penghuni. Saya cuba memerhatikan permainannya. Lalu meminta kebenaran untuk turut bermain. Mereka tiada halangan. 

Maka berlarilah saya bersama-sama mereka yang lain. Meminta simpati bagi bola dihantar. Jarang bola dihantar kepada saya yang kemetot ini. Tapi tidak mengapa, kita usaha cara lain. Steal dan cut daripada hantaran lawan juga memungkinkan bola dapat kepada saya. Jika malas lagi tunggu sahaja bola rebound dari bawah keranjang. 

Rupanya permainan ini lebih meletihkan berbanding bola sepak di padang. Saya amat teruja. Keadaan gelanggang yang tidak berapa luas menyebabkan kami sentiasa berlari-lari dan melompat tanpa banyak berehat. Seronok juga permainan ini. Ada target yang munasabah untuk dicapai. Dapat masukkan bola ke dalam keranjang sangat mengujakan buat saya berbanding bola sepak dimana dalam satu perlawanan, mungkin hanya satu atau dua gol yang dapat dijaringkan oleh semua pemain. Dalam perlawanan bertaraf professional pun lebih 100 mata dapat dikumpulan berbanding bola sepak yang hanya memungut mata dalam kiraan sa sahaja.

Saya mula seronok dan akhirnya semakin rapat pergaulan dengan kaki bola keranjang di sekolah ini. Boleh dikatakan, muka yang sama inilah yang akan menghidupkan gelanggang. Walaupun kami tiada jurulatih, dengan semangat yang ada, kami boleh mempertingkatkan skill dan sentiasa ada skill-skill baru yang dicipta. Antara rujukan kami pada waktu itu ialah komik Slam Dunk dan Dear Boys dari Jepun. Yang advance sedikit boleh menonton perlawanan NBA.

Kegilaan bola keranjang di sekolah menengah ini terbawa-bawa ke Matrikulasi dan ke Universiti.

Pasukan Bola Keranjang SMKARA yang tidak pernah menyertai
mana-mana pertandingan. Namun semangat menyatukan kami.

Chinese New Year Shopping Festival


Saya telah berpeluang bagi menyertai rombongan kerajaan negeri kelantan ke Chinese New Year Shopping Festival ke-15 yang berlangsung pada 15 -30 Januari 2011 di Chengdu, Sichuan, China Republic.


Turut sama dalam rombongan kami ialah, wakil kerajaan Negeri Kelantan, Wartawan, Penterjemah serta usahawan. Saya ke sana di atas tiket usahawan di bawah seliaan Ust Ya D' Halal Shoppe. Kami telah berpakat bagi membawa produk keluaran negeri Kelantan ke sana.

Hari pertama sampai, saya terkejut dengan suhu yang terlalu sejuk disana. kebetulan kami pergi di musim sejuk, penantian sebelum musim bunga pada tahun baru China.

Perkara pertama yang kami ingin buat ialah membeli baju sejuk. Peh kalau setakat pakai baju sejuk yang kita pakai kat Malaysia ni memang tak cukup.Tengkuk, telinga dan tangan sangat penting untuk ditutup

Tiba hari pertama kami check in di sebuah hotel yang agak mewah. Tapi sangat jauh dari kemudahan awam serta makanan halal. Pada hari seterusnya, kami bersiar-siar sekitar kota Chendu membeli pakaian sejuk dan  melihat tapak ekspo yang akan dijalankan.

Kami akhirnya berjumpa dengan satu-satunya masjid di Chengdu berhampiran dengan Tianfu Square. Restoran makanan halal juga ada berhampiran. Ketua rombongan membuat keputusan menukar hotel kediaman ke hotel yang berhampiran sana. Terdapat juga stesen keretapi bawah tanah berhampiran Tianfu Square dan kami boleh menuju ke tapak ekspo menggunakan kemudahan tersebut.

Tianfu Square

Masjid di belakang kami, ketika ini salji baru turun

Bagi ekspo ni melibatkan 7 hall di mana satu hall adalah sebesar gudang/kilang memasang kereta. Kami ditempatkan di hall 2, yang mana hall ini menempatkan exhibitor dari luar China.

Cabaran besar juga berniaga di China ni  

1) Orang China tak ramai pandai English, saya pula tak pandai Mandarin
2) Budaya dan makanan tidak sama dengan Malaysia (toilet juga)
3) Perniagaan mengikut kitaran musim
4) Banyak wang palsu, orang asing macam kami ni jadi lauk mereka

Dah tak pandai cakap Mandarin, lukis je gambar, senang.
Dalam gambar, keropok segera keluaran usahawan Kelantan dan biskut kelapa.
Pelbagai cara untuk menarik pelanggan ke booth kami. Ini salah satu.
Booth dari Hong Kong menggunakan jenama 1Malaysia white coffe
Teh tarik musim sejuk di Chengdu
Makcik ni berminat dengan songket yang saya pakai.
Dia antara pelanggan yang saya jumpa boleh berbahasa Inggeris
dan Jepun selain bahasa ibundanya.

Ramai juga yang berkenan dengan pakaian tradisi Melayu

Selamat tiba di Kota Bharu