Perhatian


Kebanyakan post di dalam blog ini disalin dari posting dari sahabat-sahabat blogger lain untuk rujukan saya pada masa akan datang. Jadi saya lampirkan sekali link ke post asal bagi menjaga hakcipta post serta memudahkan anda dan saya ke post asal. Harap Maklum

Thursday, April 14, 2016

Hukum memakai Tanjak

HUKUM MEMAKAI TANJAK. APAKAH IANYA SEBAHAGIAN DARIPADA SUNNAH?
1. Islam mengiktiraf budaya sesuatu bangsa
2. Fahami apa itu uruf
3. Assobiyah
Mengenai apa itu sebenarnya sunnah nabi yang diperkatakan dengan memakai jubah dan serban.
Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling takwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal. (Al Hujuraat:13)
Ayat ini menyeru manusia atas nama manusia, bukan bangsa tertentu. Kemudian mengakui kewujudan pelbagai bangsa dan suku kaum. Tujuannya agar kenal-mengenal dan mempelajari sesuatu yang baik antara satu sama lain.
Kelebihan tidak balik kepada jenis bangsa, tetapi kepada takwa. Inilah ISLAM.
Budaya Diiktiraf
Islam tidak menghapuskan adat dan budaya kaum yang tidak bercanggah prinsip-prinsip yang ALLAH mahu dalam kehidupan manusia. Adat dan budaya yang tidak membawa kepada kesyirikan, kezaliman, kekejian, bidaah, pendustaan, khurafat dan keruntuhan maruah tidak ditentang oleh Islam. Tidak penting adat itu berasal dari mana kaum sekalipun. Setiap kaum boleh mengekalkan adat dan budaya baik yang ada pada mereka. Bukan perjuangan Islam memaksa adat Arab ke atas bangsa lain. Begitulah juga sebaliknya.
Maka bukanlah perjuangan Islam itu memaksa bangsa lain berjubah dan berserban Arab. Tidak juga memaksa mereka memakan masakan Arab ataupun menggunakan ubatan Arab seperti yang disangka oleh sesetengah pihak. Bahkan Arab itu sendiri mempunyai perbezaan budaya dan adat disebabkan perbezaan kabilah dan tempat.
Mereka yang hidup Syam umpamanya, tidak sama dalam banyak aspek dengan mereka yang hidup di Hijaz. Begitulah seterusnya.
Sebab itu Ibn Taimiyyah (w. 728H) apabila menyebut tentang pakaian dan makanan yang mengikut sunnah menyebut: “Maka, bererti sunnah Rasulullah s.a.w dalam hal ini adalah seseorang memakai pakaian dan memakan makanan yang mudah didapati dalam negerinya.
Maka perkara ini berbagai-bagai, berdasarkan kepelbagaian negeri” (Ibn Taimiyyah, Majmu’ah al-Fatawa, 11/541, Riyadh: Maktab al-Abikan).
Nabi s.a.w tidak diutuskan untuk memperkenalkan design atau pun jenis pakaian, kasut, ubat, makanan yang berteras budaya kaum tertentu. Sebaliknya tugasan baginda menegakkan nilai-nilai yang mulia dan baik yang bersifat sejgata dalam kehidupan manusia. Manusia mungkin mempunyai bahasa yang sama, tetapi maksudnya berbeza.
Tuak di negeri-negeri Utara Malaysia memabukkan dan haram. Namun ‘tuak’ di Kelantan tidak memabukkan kerana ia merujuk kepada air nira. Maka tidak haram. Tentu sekali mengajak orang minum tuak di utara satu kesalahan, tetapi tidak di Kelantan.
Kayu sugi, berus gigi, ubat gigi adalah alat.. Yang menjadi sunnahnya adalah membersihkan gigi. tak kira apa jua alat.
Memakai kain batik di Terengganu dan Jawa tidak dianggap menyerupai perempuan. Namun dianggap menyerupai perempuan di negeri-negeri Utara Malaysia. Kalian tidak wajar memakainya ke masjid dan majlis orang ramai. Di Scotland, lelakinya memakai skirt (kilt) yang dianggap macam pakaian wanita di tempat lain. Lelaki Melayu memakai sampin dan baju Melayu yang berwarna lembut. Pakaian Melayu itu pada pandangan masyarakat lain bercirikan wanita dan tidak ‘cukup kelakiannya’. Namun tidak pada pandangan orang Melayu. Ia bergaya dan sangat lelaki.
Maka dalam memahami dan berdalilkan hadis Nabi s.a.w yang melarang lelaki menyerupai perempuan dan perempuan menyerupai lelaki itu hendaklah juga difahami budaya dan adat setiap kaum. Tidak boleh dihukum menyerupai wanita atau lelaki melainkan setelah difahami latar budaya sesuatu kaum.
Hamba pernah terbaca artikel dimana ada ‘ustaz’ Arab dari negara tertentu yang mempertikaikan wanita muslimah Malaysia memakai baju berwarna. Katanya, wanita hendaklah memakai baju berwarna hitam. Dia mungkin melihat Islam itu menerusi jendela budaya Arab di negaranya lalu dia ingin supaya budaya Arab itu dijadikan kewajipan ke atas bangsa lain. Maka hamba pula teringat atas bacaan hamba, akan kata Aishah bint Sa’d:
“Aku melihat enam dari isteri-isteri memakai pakaian mu’asfar (berwarna merah)” (Riwayat al-Baghawi dalam Syarh al-Sunnah). Ertinya isteri-isteri Nabi s.a.w pun memakai pakaian berwarna.
Maka kata al-Imam Ibn ‘Abd al-Barr (w. 463): “Adapun wanita maka ulama tiada perbezaan pendapat bahawa harus mereka memakai warna mu’asfar (merah), mufaddam (tersangat merah), warna ros, merah tanah” (al-Tamhid, 16/123, Muassasah al-Qurtubah).
Fahami Uruf
Memahami latar kaum sebelum mengeluarkan pandangan hukum amatlah penting. Jangan hanya kerana sesuatu itu disebut dalam sesebuah kitab yang ditulis oleh pengarang yang mempunyai latar adat ataupun budaya tertentu lalu kita hukum perkara yang berkaitan budaya tersebut kepada kaum lain. International Islamic Fiqh Academy dalam Sidang ke-5 pada 10-15 Disember 1988 telah mengeluarkan beberapa kenyataan berhubung dengan memahami ‘uruf (latar adat) sesebuah masyarakat dalam sesuatu fatwa. Antaranya disebut: “Tidak boleh bagi seorang faqih (ahli fekah) – sama ada dia mufti ataupun kadi – jumud apabila memetik pandangan dari kitab-kitab fuqaha (sarjana fekah) tanpa meraikan (mengambil kira) perubahan ‘uruf”.
Banyak dalil agama yang pelaksanaannya hendaklah dilihat kepada latar mereka yang terlibat. Umpamanya, Nabi s.a.w mengizinkan isteri mengambil tanpa kebenaran harta suami yang enggan mengeluarkan belanja untuk keluarganya. Ini berdasarkan keizinanan yang baginda sebut kepada Hind isteri Abu Sufyan.
Sabda Nabi s.a.w kepadanya: “Ambillah apa yang mencukupi untuk engkau dan anak-anakmu” (Riwayat al-Bukhari). Hadis ini dijadikan asas dalam masalah ini. Ertinya seseorang isteri yang bersuami kedekut boleh mengambil hartanya tanpa izin untuk belanja keluarganya dengan kadar yang memadai.
Fatwa atau pandangan hukum yang jumud ialah pandangan yang tidak mengkaji perbezaan latar budaya dan adat. Fatwa-fatwa yang seperti inilah yang mengharamkan sukan, persembahan kebudayaan, seni dan lain-lain. Fatwa yang jumud ini juga yang mengeluarkan hukum dalam buku-buku yang ditulis dalam masyarakat yang monarki untuk dilaksanakan dalam negara demokrasi. Fatwa yang jumud yang menyamakan kerajaan Nabi Sulaiman yang menjadi raja adil pada zaman baginda dengan raja lain yang penuh dengan sikap yang buruk, samseng dan rakus. Kejumudan juga telah menyamakan kerajaan Firaun dengan kerajaan demokrasi yang jauh lebih baik dari Firaun.
Assobiyah
Nabi Muhammad S.A.W yang dilantik menjadi Rasul kepada seluruh manusia juga sayangkan bangsa dan tanah air, tetapi kesayangan dan kecintaan itu diatur dengan petunjuk Islam, tanpa merosakkan hubungan kemanusiaan di kalangan berbagai bangsa dan suku kaum serta berbagai agama yang wajib hidup bermasyarakat, walaupun menegaskan hanya Islam yang diakui benarnya. Namun tidak boleh memaksa sesama manusia, kerana keperluan manusia seluruhnya dalam kehidupan dunia, sebelum berpijak ke alam akhirat, tidak boleh dihasilkan secara individu sahaja dan satu bangsa sahaja dan satu suku kaum sahaja.
Sempadannya ialah menegakkan Islam yang adil untuk semua. Sempadannya haram berlaku zalim terhadap sesiapa sahaja, sehingga zalim itu diharamkan terhadap kaum lain dan diharamkan juga membela kezaliman kaum dan bangsanya sendiri.
Sabda Rasulullah S.A.W (bermaksud), "(Bukan daripada kalangan kami orang yang menyeru kepada asabiyyah, bukan daripada kalangan kami orang yang berperang di atas tujuan asabiyyah dan bukan daripada kalangan kami orang yang mati di atas perjuangan asobiyyah)" - Rujuk Sunan Abi Daud
Assobiyah itu ialah fanatik terhadap kaum bangsa sendiri kerana kasih tanpa dasar yang benar dan adil sehingga menzalimi terhadap kaum dan bangsa lain dalam semua urusan cara hidup dan beragama. Maka Islam telah berjaya menyelamatkan bangsa Arab dengan Islam, sehingga menghapuskan asabiyyah kabilah suku kaum sesama bangsa Arab yang berperang sejak ribuan tahun dan permusuhan bangsa Arab terhadap bangsa lain, sehingga bangsa Arab setelah menganut Islam berjaya menjadi kuasa besar dunia yang mengambil alih pengaruh dua kuasa besar dunia Parsi dan Rom di zamannya.
Islam yang terkandung dalam al-Quran dan hadith itu tidak menolak kasih kepada bangsa masing-masing, tetapi melarang zalim terhadap bangsa selain bangsa kita. Islam tidak menghapuskan hak sesuatu bangsa secara tabii, seperti bahasa ibunda masing-masing dan budaya kaum masing-masing, tetapi melarang menjadi jahil dan keruntuhan akhlak dan Islam melarang paksaan dalam anutan agama dan Islam mewajibkan adil terhadap semua. Islam membetulkan cara hidup seluruhnya.
Begitulah hal keadaan orang MELAYU di TANAH MELAYU ini...
Asalnya Melayu itu sudah lama berTANJAK dan berKERIS ke mana-mana saja mereka pergi...
Di mana sepersalinan mereka itu sendiri sudah ditenun dengan songket berbenan emas yang tinggi tahap teknologi tekstilnya...
Pada ketika itu ianya menjadi kebiasaan, baik di lautan, kampung, istana, semuanya memakai perhiasan tutup kepala yang dipanggil TANJAK / DESTAR / TENGKOLOK...
Akan tetapi kedatangannya Benggali Putih merasakan PELIK dengan pemakaian orang Melayu yang mana daripada segi teknologi Tekstil itu JAUH LEBIH MAJU berbanding mereka...
MELAYU itu juga sememangnya daripada asalnya mula BERDAGANG...
Berbeza pula hari ini, apabila MELAYU itu kelluar ber-TANJAK, rata-rata persepsi (tanggapan) masyarakat mengatakan TANJAK itu UNTUK PENGANTIN... Pelbagai kata-kata yang secara tidak langsung telah membuka PEKONG di dada mereka sendiri...
"kenapa bertanjak? ada buat persembahan kat mana-mana ke?"
"ada tarian ke bang?"
"eh peliknya baju raya abang, bertanjak bagai, macam pendekar."
" apalah mamat ni, dunia dah moden still nak pakai baju KUNO..ahhahaha"
Itulah hal hakikat yang nyata, terlalu ramai daripada mereka yang langsung tidak mengetahui asalnya melayu... janganlah kita mempersalahkan mereka sebaliknya PIKULLAH TANGGUNGJAWAB ini untuk menyampaikan kepada mereka agar setiap daripada mereka akan menjadi seperti asalnya...
jika datangnya MELAYU itu di-PELIK-kan oleh Benggali Putih yang datang ke Alam Melayu, kini di akhir zaman, Melayu itu sendiri menjadi PELIK kepada warisannya sendiri...
Ingin hamba tegaskan di sini bahawa, busana tradisional Melayu inilah yang paling hampir dengan pakaian Rasulullah SAW kerana tengkolok merupakan serban orang Melayu. Jika Rasulullah SAW melilit serban sebanyak lima kali, tanjak atau destar atau tengkolok juga mempunyai lima tingkat.
Serban pada ASAL-nya bukan milik orang ISLAM... TETAPI milik bangsa ARAB!! Akan tetapi menjadi SUNNAH pada kita kerna Rasulullah memakainya... TIDAK WAJIB...
Rasulullah SAW memakai jubah, dan Tekua ini merupakan Jubah Melayu.
Seluar Rasulullah SAW atas paras buku lali, Seluar Mengan juga rekaannya menepati ciri-ciri sunah Rasulullah SAW. (MANA DATANG-nya istilah kolot & kuno saudara yg dikasihi?? Perhatikan orang2 pondok mahupun berpindidikan Islam, mereka pun memakai seluar di atas buku lali.. Waima orang tabligh)
Samping pula mempunya ciri yang sama dengan Kain Jubah Arab.
Budaya dan adat juga dibentuk oleh teknologi dan perkembangan ketamadunan manusia. Semuanya hendaklah diambil kira. Islam tidak menentang apa yang tidak menyanggahi prinsip-prinsipnya yang luhur.
Maka, fahami latar budaya dan adat, baru keluarkan hukum...!!!
“Wahai orang-orang yang beriman hendaklah kamu jauhkan dari kebanyakan sangkaan buruk. Sesungguhnya sebahagiannya adalah dosa.”
(12 : al-Hujurat).

Disalin dari FB: 
https://www.facebook.com/maulabillah/posts/423923291086177

Friday, March 4, 2016

Berani Berniaga - part 2 - M.E.S.T.I.

Assalamualaikum,

Dalam entri ini, saya akan sambung ilmu yang diajar oleh Dr Azizan dalam Seminar Berani Berniaga 2013 di Sunway Carnival, Penang tempoh hari.

Beliau menceritakan cara cara untuk memastikan seorang usahawan itu lebih cepat berjaya.

M - Matlamat. Misi. Mentor
E  - E/Ilmu
S  - Sistem. Strategi.
T  - Tindakan
I   - Impian Yang Jelas

Ulasannya.....

Mentor

Untuk berjaya dalam apa jua bidang yang kita ceburi, kita perlu mempunyai matlamat. Apa yang kita lakukan kita perlu mempunyai misi.

Apabila mempunyai matlamat, barulah kita akan nampak hala tuju kita. Bila ada hala tuju, barulah kita senang untuk merancang apa yang perlu dilakukan bagi mencapai apa yang diimpikan.

Matlamat perlu ditulis. Kita perlu tulis, tampal di dinding dan tengok hari hari. Insya Allah. Kalau kita tengok hari hari, matlamat ini akan meresap masuk ke dalam diri kita. Seluruh sel dalam badan kita akan menggerakkan kita ke arah apa yang kita impikan.

Untuk seseorang Usahawan berjaya dengan lebih mudah, kita memerlukan Mentor yang sudah pun terbukti berjaya.

Perumpamaan yang beliau berikan begini.

Semua orang boleh menaiki Gunung Kinabalu. Cuma yang membezakan adalah ada orang yang sampai cepat ke puncak dan ada yang sampai lambat ke puncak.

Cuba bandingkan seorang yang menaiki Gunung Kinabalu seorang diri tanpa dibantu oleh orang lain. Beliau akan tetap sampai ke kemuncaknya. Namun, beliau akan mengambil masa yang panjang kerana terpaksa menempuh pelbagai ranjau yang berduri.

Dibandingkan dengan seorang lagi yang menaiki Gunung Kinabalu, tapi dia dibantu oleh seorang juru pandu yang sudah menjadi kerjanya mendaki Gunung Kinabalu. Beliau akan dibantu untuk melalui jalan yang lebih mudah dan mengelak daripada melalui jalan yang sukar. Maka, beliau akan lebih cepat untuk sampai ke kemuncaknya.

Begitulah juga dengan Usahawan. Seorang usahawan lebih mudah dan cepat berjaya kalau dibantu oleh usahawan lain yang sudahpun berjaya.

Maka, untuk berjaya dengan lebih cepat. Kita memerlukan seorang mentor yang boleh membantu kita untuk menjadi usahawan yang berjaya dengan lebih cepat.

Saya bagi satu contoh.

Semasa saya memulakan perniagaan ternakan ayam ini, saya tidak mendapat mentor yang betul. Maka saya banyak melakukan kesilapan. Dua tahun pertama saya menjalankan perniagaan merupakan tempoh yang amat sukar untuk saya.

Selepas bertemu dengan mentor yang betul, Alhamdulillah. Barulah saya nampak perniagaan ayam ini rupanya menguntungkan.

Dan mereka yang belajar daripada saya dapat mengelak daripada melakukan kesilapan yang telah saya lakukan. Mereka lebih pantas berjaya.

Nasihat Dr Azizan kepada para usahawan, carilah Mentor yang sudah berjaya dan belajarlah daripada mereka. Insya Allah, kita akan lebih cepat berjaya.

Jangan tersalah mencari mentor. Takut takut dia membawa kita ke jalan yang salah.

Kes Maria

Maria pun sama. Saya perhatikan, Maria lebih mudah berjaya dalam perniagaan online kerana Maria ada mentor yang sudah terbukti berjaya.

Maria hanya belajar daripada mentornya. Buat apa yang mentornya buat. Tiru satu persatu. Dan Alhamdulillah. Resultnya hampir sama macam yang mentornya dapat.

Dalam menjual Premium Beautiful, mentor Maria namanya Ija. Ija memang guide Maria step by step. Every step is guided. Dari promosi di facebook, entri di blog, instagram, like button di blog, semuanya mereka ajar.

Ini menyebabkan mudah untuk Maria buat sales secara online ini.

Dalam menjual set bersalin Shaklee pula, mentor Maria adalah Ainul. Juga di buat secara online. Semuanya di ajar. 

Kesannya..... Allah Allah... saya suruh Maria share dengan anda Inbox emel dia... Penuh dengan soalan dari customer yang bertanyakan produk Shaklee. Saya pun sebenarnya terkejut. Macam tak percaya pun ada.

Ini belum saya tengok mesej di telefon, mesej di facebook dan mesej di Whatsapp Maria. Penuh. Kadang kadang, saya tengok Maria tak sempat nak jawab semua orang.

Itulah puncanya, kadang kadang Maria terlewat menjawab soalan anda. Lagi pun, sekarang dia masih bekerja. Jangan risau, hari Jumaat ini last day dia kerja. Lepas ni full time buat bisness online. Saya nak bagi KPI kat Maria, kena jawab soalan customer dalam tempoh 1 jam. Heheh...

Tambahan pula, Maria ada saya sebagai mentornya. Alhamdulillah, saya dah pun pergi kursus advance yang dianjurkan oleh Dr Azizan dalam Seminar Advanced Marketing Power tahun lepas.

Allah Allah.... Senang saja nak buat bisnes kalau kita tahu caranya. Inilah yang saya katakan, kita perlukan mentor untuk berjaya dengan lebih mudah.

Ilmu / Elmu

Untuk berjaya, seorang usahawan itu perlukan ilmu. Usahawan itu perlulah menjadi 'pakar' dalam bidang yang diceburi untuk mempercepatkan langkah untuk menjadi usahawan berjaya.

Dr Azizan sengaja mengeja Ilmu dengan Elmu, ini kerana Ilmu tanpa Emosi yang kuat tidak mampu untuk mendorong kita untuk melakukan sesuatu yang luar biasa. Untuk berjaya, seseorang itu perlulah mempunyai emosi, iaitu keazaman yang kuat dari dalam diri yang mengatakan, "Aku mesti kaya dan berjaya"

Dengan emosi dalam diri yang kuat, barulah seseorang itu mampu untuk melakukan sesuatu yang luar biasa untuk mencapai kejayaan yang luar biasa.

Dan ilmu ini haruslah diperdalami sebelum seseorang itu memulakan perniagaannya. Dan ia harus dipelajari daripada Mentornya.

Sistem

Setiap orang yang sudah berjaya, akan meninggalkan 'track' yang telah beliau lalui sehingga beliau berjaya.

'Track' inilah yang dinamakan Sistem.

Maka, mereka yang baru ingin menceburi bidang perniagaan itu haruslah mengikut Sistem yang telah digunakan oleh mereka yang telah berjaya.

Jika kita melakukan apa yang telah dilakukan oleh orang yang berjaya, maka kita TERPAKSA berjaya seperti mereka.

Kerana kita juga melakukan perkara yang sama yang telah mereka lakukan. Tindakan yang sama akan menghasilkan 'result' yang sama.

Dalam memulakan perniagaan, kita seharusnya mempunyai perancangan apa yang perlu dilakukan untuk memastikan perniagaan yang akan dilakukan berjaya. Inilah yang dinamakan Sistem.

Insya Allah. Dengan Sistem yang terbukti berkesan, kalau kita ikuti. Pasti dan pasti kita akan berjaya.

Dr Azizan menceritakan, dalam Seminar Berani Berniaga ini, beliau hanya mampu memberi tunjuk ajar kepada para peserta mengenai Mentor, Elmu dan Sistem sahaja.

Tindakan dan Impian haruslah dilakukan oleh para peserta sendiri.

Beliau memberi perumpamaan yang kita boleh menarik seekor kuda ke tepi sungai, tetapi kita tidak boleh memaksa kuda itu untuk minum.

Beliau boleh memberi tunjuk ajar yang sebaiknya dari segi Mentor, Elmu dan Sistem. Namun, jika tiada Tindakan dan Impian daripada kita. Maka, beliau tidak dapat membantu kita lagi.

Kita seharusnya bertindak selepas mempelajari apa yang perlu. Dan kita juga harus mempunyai Impian, apa yang ingin kita capai melalui perniagaan yang kita jalankan.

Orang yang berjaya akan mempunyai Impian yang jelas apa yang mereka mahukan daripada apa yang mereka lakukan.

Seperti pepatah orang Jawa, "Begin with the end in mind"

Semasa kita mulakan perniagaan itu, kita dah tahu apa yang hendak kita capai dan bagaimana cara yang perlu dilakukan untuk mencapai apa yang kita mahukan.

Jika kita tidak ada MESTI ini, bukan kita tidak boleh berjaya. Namun, agak sukar untuk kita berjaya. Inilah puncanya ramai yang buat perniagaan tetapi GAGAL dalam perniagaan mereka. Semoga kita tidak termasuk dalam golongan ini.

Melalui entri ini, saya mahu anda para pembaca semua faham. Untuk berjaya, kita perlu belajar daripada mereka yang sudah pun berjaya.

Persoalan yang ingin saya tujukan, siapakah mentor anda? Adakah anda mempunyai ilmu yang mencukupi untuk memasarkan produk yang anda miliki? Adakah anda mempunyai sistem untuk menjalankan perniagan online. Dan apakah Tindakan serta Impian anda?

Jika anda tidak mempunyai MESTI yang jelas, bukan saya nak katakan anda tidak akan berjaya. Anda boleh berjaya. Namun, agak sukar dan ia akan mengambil tempoh masa yang lama.

Nasihat saya kepada anda, anda perlu mencari seorang MENTOR yang pakar dalam membuat 'marketing' melalui online. Belajar daripada mereka apa yang mereka lakukan untuk memasarkan barangan mereka dan lakukan perkara yang sama.

Anda mungkin menjual produk kesihatan. Mentor anda mungkin menjual pakaian. Tetapi melalui teknik yang sama iaitu Sistem Online. Belajarlah daripada dia bagaimana untuk 'menonjolkan' diri kita melalui perniagaan online.

Dan jika ada di antara para pembaca yang membaca blog ini atau saudara mereka menjalankan perniagaan, namun masih belum berjaya. Tanyalah, apa MESTI mereka? Jika mereka tidak mempunyai MESTI yang jelas, inilah puncanya mereka lambat berjaya.

Semoga sedikit ilmu yang saya kongsi ini, dapat memberi motivasi yang besar kepada mereka yang sekarang ini menjalankan perniagaan secara kecil kecilan. Ataupun mereka yang menjalankan perniagaan besar besaran tetapi masih belum berjaya.

Saya suka kalau anda berjaya. Saya mahu anda berjaya. Saya mahu anda kaya dan berjaya. Semoga suatu hari nanti, tiada lagi orang yang layak menerima zakat dinegara kita. Amin.

Semasa kursus ini, saya sudah menyaksikan seorang yang hampir menjadi 'peragut' kerana tidak ada wang menjadi jutawan menggunakan melalui ilmu yang diajarkan oleh Dr Azizan. Jika beliau boleh berjaya. Mengapa tidak kita?

Insya Allah, akan saya kongsikan pengalaman ini dengan anda semua dalam entri berikutnya
.
Wassalam

sumber:
http://www.mariafirdaus.com.my/2013/04/berani-berniaga-part-ii-mesti.html

Berani Berniaga part 1 - Kepercayaan Karut Orang Yang Nak Berniaga

Assalamualaikum,

Dalam entry kali ini, saya ingin berkongsi tentang ilmu yang kami dapat daripada Dr Azizan Osman semasa Seminar Berani Berniaga 2013. Kalau nak cerita semua dalam satu entri, bila nak habis. Sebab terlalu banyak ilmu yang disampaikan.

Insya Allah. Hari ini saya nak kongsi ilmu Dr Azizan mengenai kepercayaan karut orang yang nak berniaga.

1) Untuk berniaga, saya perlukan modal duit yang banyak.

Jika 8 tahun lepas, saya salah seorang yang percaya dengan kepercayaan karut ini. Saya rasa kalau nak berniaga mesti mempunyai modal yang besar.

Dulu, pada pemikiran saya kalau nak berniaga mesti ada kedai. Mesti ada stor. Mesti ada pekerja ramai. Mesti ada tempat perniagaan berbentuk fizikal.

Rupa rupanya..... Saya juga terpengaruh dengan kepercayaan karut ini.

Sejak tahun lepas, selepas menyertai kursus Dr Azizan. Saya semakin nampak dengan jelas. Banyak peluang perniagaan yang boleh dijalankan walaupun menggunakan modal yang sedikit.

Sejak saya memulakan perniagaan ternakan ayam ini, saya telah berjumpa dengan ramai orang yang memang bercadang ingin menternak ayam. Tetapi, ramai yang terbantut apabila mereka rasa mereka tak cukup modal!

Percayalah !!!!!

Sekarang ini, banyak perniagaan yang ada hanya memerlukan modal yang sedikit.

Frankly speaking, kalau anda kurang modal. Buatlah perniagaan lain yang hanya memerlukan modal yang sedikit.

Sebenarnya, modal yang paling penting adalah modal diri kita sendiri, iaitu modal insan. Kita tak perlukan modal yang banyak, tapi kita perlukan ILMU yang banyak. BELAJAR dari mereka yang pakar dan telah berjaya, InsyaAllah, kita juga akan berjaya seperti mereka.

Bak kata Dr Azizan:

Lebih 90% mereka yg belum berjaya adalah kerana mereka TAKUT GAGAL. 
Kenapa mereka takut gagal adalah kerana mereka tidak ada ILMU KEGAGALAN. 
Kepentingan ILMU adalah untuk mengurangkan risiko kegagalan! 
Berani berilmu, lebih mudah berjaya mencapai impian!
Anda adalah apa yang anda fikirkan!

Jika mampu banyak, anda boleh bermula dengan banyak. Tidak semua pinjaman adalah buruk.

Jika anda rasa tidak mampu dengan modal yang banyak, anda boleh bermula dengan seberapa yang anda mampu.

In fact, semasa hari kursus berkenaan. Dr Azizan menceritakan bagaiman untuk memulakan perniagaan dengan hanya bermodalkan RM10. Pastinya... Ia perniagaan online. Anda tak perlu modal pejabat. Anda tak perlu modal barang. Anda tak perlu modal pekerja. Apa yang anda perlu..... ILMU bagaimana untuk menjalankan perniagaan secara online.

2) Saya tidak ada Darah Usahawan!!

Dr Azizan pun bukan dari darah usahawan. Arwah ayahnya hanyalah seorang technician di Jabatan Parit dan Saliran. Ibunya pula seorang guru. Dan tiada seorang pun ahli keluarganya yang berniaga.

Tetapi, hari ini. Beliau berjaya menjadi seorang Multi Millionaire. Seorang yang amat kaya.

Keluarga saya pun bukanlah asalnya membuat bisnes. Ayah saya seorang Pembantu Tadbir di sekolah. Emak saya pula hanyalah Pembantu Jururawat di hospital.

In fact, masa saya nak mula berniaga dulu. Ayah sayalah yang paling kuat menentang. Beliau mengatakan tiada siapa pun dalam keluarga yang buat bisnes. Kenapa saya nak buat bisnes.

Alhamdulillah..... Hari ini, saya menjadi usahawan. Saya cuma nak buktikan kepada anda.... Untuk anda menjadi usahawan... Anda tak perlu ada darah usahawan.

Tetapi, alangkah hebatnya kalau anda ada perniagaan. Satu hari nanti anda wariskan perniagaan itu kepada anak cucu anda. Kan hebat tu.....

3) Untuk berniaga, saya perlukan sokongan dan subsidi kerajaan!

Hmmm... ini lagi satu mentaliti "masya-karat" Melayu. Kalau nak berniaga, nak bantuan. Nak free itu nak free ini. Semuanya nak free.

Tolonglah.... Ramai orang berjaya hari ini walaupun tanpa bantuan dan sokongan daripada mana mana agensi kerajaan.

Saya ada seorang sahabat, seorang perempuan. Berumur 32 tahun. Berniaga di Penang sekarang ini. Menjana pendapatan RM100,000 bersih sebulan. Dan beliau tidak mendapat sokongan dan subsidi kerajaan pun.

So, kalau orang lain boleh berjaya tanpa bantuan dan sokongan agensi kerajaan. Mengapa tidak kita?

Cumanya, kalau ada bantuan yang nak diberikan.. Ambillah....


4) Ekonomi sekarang ini tak bagus!!

Masa ekonomi tak bagus lah kita kena mulakan perniagaan. Mengapa? Sebab bila ekonomi tak bagus, ini bermaksud ada banyak masalah.

Bila ada banyak masalah. Kita perlu mencari jalan penyelesaiannya. Kita bantu orang lain yang ada masalah. Kita selesaikan masalah mereka.

Business is about solving others problem. Kalau kita boleh selesaikan masalah orang lain. Kita terpaksa kaya. Kita terpaksa mengambil duit daripada poket mereka dengan cara yang sah.

Siapa yang berniaga sebab dia nak berniaga. Mereka sukar berjaya. Tetapi, siapa yang berniaga sebab nak bantu orang lain. Mereka akan cepat untuk berjaya.

Tak kisahlah ekonomi bagus ka, ekonomi tak bagus ka. Buat aja busines. Yang penting matlamat kita... Nak bantu orang lain. Selagi kita ada niat macam tu. Kita akan berjaya. Insya Allah.


5) Dah takdir saya hidup susah macam ni, saya tak boleh berniaga..

Kalau mentaliti kita dah macam ni. Tak ada siapa pun yang nak tolong. Ingatlah....

"Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum selagi mana kaum itu tidak merubah nasib mereka sendiri"

Kita hidup susah hari ini kerana pilihan yang kita buat 5 tahun yang lepas. Tindakan kita 5 tahun lepas membawa kita dimana kita berada hari ini.

Kalau kita sekarang hidup susah. Takkan 5 tahun lagi kita nak hidup susah jugak. Di mana kita 5 tahun akan datang ditentukan oleh apa yang kita buat hari ini.

Hidup adalah pilihan.

Anda bawa kereta "Kanc......." hari ini sebab itu pilihan yang anda buat 5 tahun lepas. Anda bawa kereta BMW hari ini pun sebab itu pilihan yang anda buat 5 tahun lepas.

Sebenarnya.... kaya, senang, miskin, susah adalah pilihan kita. Kita yang membuat pilihan.

AYUH BERNIAGA

Saya sebenarnya nak menyeru para pembaca blog ini. Ayuh.... Ayuhlah bangsaku. Kita perlu berniaga. Kita perlu tingkatkan ekonomi keluarga kita. Kita perlu menjadi kaya.....

Apabila kita kaya, kita akan dapat membantu lebih ramai orang lain.

Lihatlah anak anak kita.... Renunglah mereka... Lakukan sesuatu untuk mereka.

Berniagalah... Carilah satu perniagaan yang mudah anda lakukan. Yang bersesuaian dengan kerja anda sekarang.

Bermulalah dari kecil. Belajarlah daripada mentor yang sudah terbukti berjaya. Lakukan apa yang beliau lakukan. Tiru sebijik sebijik...

Nanti, anda terpaksa berjaya seperti mana mentor anda berjaya.

Harapan

Saya amat berharap. Entri ini dapat membuka minda kita sedikit untuk berniaga. Tak kiralah apa jua bentuk perniagaan yang anda hendak lakukan.... Rancanglah sesuatu. Ayuh tingkatkan taraf kehidupan kita ke arah yang lebih baik.

sumber: 
http://www.mariafirdaus.com.my/2013/04/berani-berniaga-part-1-kepercayaan.html

Saturday, February 13, 2016

Oh perut buncit

BISMILLAH...

Tahukah tak di sesetengah negara di Afrika, perut buncit ialah lambang kekayaan? Takda ke benda lain yg boleh disinonimkan dengan kekayaan? Memanglah perut buncit itu lambang kekayaan...kaya dengan penyakit ada la, bukannya harta.

Perut Buncit
Apakah definisi perut buncit? Ok...ambil measurement tape dan ukurlilit lah pinggang kita. Ukuran pinggang yg maksimum spt berikut:
Wanita - 35 inci
Lelaki - 40 inci
Kalau lebih, ini bermakna kita memang ada masalah PERUT BUNCIT.
Saya sendiri ada masalah perut buncit ni. Sebelum saya tahu mengenai ukuran maksimum ni, saya tak kisah pun berapa ukuran pinggang saya. Yang saya tahu, perut saya tak leper (in denial sebenarnya). Lepas saya dapat tahu, kelam kabut cari measurement tape nk ukur pinggang. Nak tahu berapa ukur lilit saya masa tu?....... 35 inci. And i know, im in trouble.

Mengapa perut buncit satu masalah?
Dalam badan kita, ada dua jenis lemak. Visceral dan subcutaneous.



Visceral vs Subcutaneous

Subcutaneous ni ialah lemak yang berada di bawah kulit. Kalau perempuan, fat ni terkumpul di bahagian pinggang, pinggul dan dada. Kalau lelaki pula kat abdomen. Pengumpulan subcutaneous fat ini biasanya dipengaruhi oleh faktor genetik dan juga hormon.

Visceral fat pula berada di dalam ruang-ruang kosong nun jauh dlm abdomen, menyelaputi organ2 badan seperti hati dan buah pinggang (rujuk gambarajah di atas). Visceral fat inilah MUSUH utama kita kerana dah la susah nk hilang, ia boleh mendatangkan penyakit yang merbahaya spt diabetes, tekanan darah tinggi, dementia mahupun kanser. Sebab visceral fat ni berada di bahagian dalam abdomen, segala jenis krim sapuan/topikal yang maha panas pun tak akan berkesan.

Menghapuskan Visceral fat Dengan Pemakanan
Krim sapuan mungkin berkesan ke atas subcutaneous fat sebab ia berada di permukaan. Untuk visceral fat, ia tidak semudah itu untuk dihapuskan. Dr Mehmet Oz dalam artikelnya To gain major health rewards, shed the weight around your middle with this two-part plan, mencadangkan pemakanan tertentu yang boleh menghapuskan visceral fat.

1. Healthy Fat
MUFA (monosaturated fatty acids) spt olive oil, avocado dan pine nuts mampu menghalang pembentukan visceral fat.
Pukul 5 tu, kalau saya terasa lapar...saya akan mengunyah kekacang cthnya badam yg dipanggang, salt free

2. Makanan rendah GI (Glycemic Index)
Kurangkan nasi dan kentang sbb dua-dua ini tinggi GI. Makanan GI rendah adalah kekacang seperti kacang kuda dan dhal. Buah-buahan seperti blueberry dan cheryy adalah rendah GI.
Saya tak skip makan malam tapi saya kurangkan pengambilan nasi utk makan malam. Sesenduk dua, sekadar teman suami makan. Dan saya akan lebihkan lauk pauk serta sayuran.

3. Teh Hijau (Green Tea)
Mengandungi antioksidan yang boleh membakar sel lemak.
Saya memang mengamalkan green tea, dalam 2 cawan sehari. Saya minum Eden Sencha Green Tea, organik. Green tea juga boleh menghilangkan craving nak makan yang manis-manis.

4. Produk Tenusu
Ini saya pun baru tahu. Bila badan kita tak cukup kalsium, badan kita akan menghasilkan hormon yang memberi isyarat kepada badan untuk menyimpan visceral fat. Pengambilan kalsium yang mencukupi (1000mg sehari) boleh mengurangkan kadar hormon ini.

5. Minyak Ikan
Minyak ikan dapat membakar lemak dengan efektif kerana ia mengandungi asid lemak omega-3 yang boleh reverse insulin resistance dan juga dapat membantu untuk regulate glucose dalam badan kita. Pastikan sumber minyak ikan itu dari badan ikan, bukan hati ikan. Sebab, hati ialah tempat memproses dan menyimpan toxin berlebihan di dalam badan.

sumber:
http://www.beautecology.com/2013/07/oh-perut-buncit.html?m=1

Monday, January 25, 2016

Perang Kastila 1578 - Brunei vs Sepanyol


PERANG KASTILA 1578 - BRUNEI VS SEPANYOL 

Bila kita mengungkai sejarah peperangan antara kerajaan-kerajaan di Asia Tenggara sudah tentu ramai yang begitu memahami bagaimana kalahnya Kerajaan Kesultanan Melaka di tangan Portugis pada tahun 1511. 

Perang Barito 1858 juga menyaksikan kekalahan penduduk tempatan iaitu yang diungguli oleh masyarakat Dayak Borneo bersama-sama dengan orang Banjar menentang penjajahan Koloni Belanda. Dan satu lagi sejarah perang yang maha hebat adalah Perang Kastila 1578 iaitu satu peperangan yang melibatkan Brunei dengan Sepanyol.

Untuk lebih memahami tentang sejarah Perang Kastila 1578 ini sebenarnya harus dimulai dengan 3 penyumbang yang berbeza iaitu:

i. Brunei sebagai Pusat Syiar Islam Pulau Borneo
ii. Pengaruh Sepanyol di Filipina
iii. Perang Kastila 1578

1. Brunei Sebagai Pusat Syiar Islam Pulau Borneo

Suatu waktu dahulu, Kerajaan Brunei sebenarnya bukanlah satu kerajaan Islam sebaliknya ianya dikenali dengan nama Kerajaan Brunei Tua. Pada ketika itu ianya adalah satu kerajaan yang mempunyai pengaruh hindu. Dan ianya dapat disahihkan sehingga ke hari ini apabila replika stupa masih lagi dipamerkan di Pusat Sejarah Brunei bagi menunjukkan bahasa agama Hindu juga merupakan salah satu daripada anutan penduduk di Pulau Borneo.

Di dalam sejarah juga menyatakan bahawa Brunei hanya menjadi sebuah kerajaan Islam sewaktu Awang Alak Betatar memeluk Islam dengan gelaran Paduka Seri Sultan Muhammad Shah pada tahun 1368. Hanya pada ketika inilah munculnya Kerajaan Kesultanan Brunei iaitu sebuah kerajaan Islam yang menjadikan Islam sebagai agama rasmi Negara.

Walau bagaimanapun sebenarnya perkembangan pesat syiar Islam di Brunei adalah ketika pemerintahan Sultan yang ke-3 iaitu Sultan Sharif Ali juga dikenali dengan nama “Sultan Berkat”. Baginda dikatakan berasal dari Taif yang pada mulanya adalah seorang pendakwah Islam yang akhirnya berkahwin dengan keluarga diraja Brunei lalu ditabalkan menjadi Sultan ke-3 Brunei dari tahun 1425 hingga 1432.

Ketika pemerintahan baginda Sultan Sharif Ali inilah perkataan “Darussalam” diletakkan sebaris dengan nama Kerajaan Brunei yang membawa maksud “Negeri Yang Aman, Sentosa dan Sejahtera” di dalam bahasa Arab. Di ketika pemerintahannya, sudah menjadi kebiasaan untuk baginda sendiri membaca khutbah di setiap solat Jumaat. Malah baginda juga yang mula-mula membina Kota Batu sebagai pusat pemerintahan Brunei yang juga mengamalkan lunas-lunas bercirikan ajaran Islam di dalam sistem pentadbirannya.

Dan kerana luasnya empayar Kerajaan Brunei Darussalam itulah menjadikan satu-persatu kerajaan-kerajaan kecil di Pulau Borneo menjadi jajahannya dan akhirnya kerajaan kecil yang rata-ratanya dipengaruhi hindu mahupun Buddha ini telah menjadi sebuah kerajaan Islam. Lama-kelamaan, Kerajaan Brunei lebih-lebih lagi dibawah pemerintahan Sultan Bolkiah ini semakin membesar dan kekal sebagai penyebar syiar Islam dari Pulau Borneo sehinggalah ke selatan Filipina seperti Kerajaan Sulu yang banyak dipengaruhi oleh Kerajaan Brunei itu sendiri.

2. Pengaruh Sepanyol Di Filipina

Memang kita ketahui bahawa tujuan asal kedatangan bangsa Eropah ke wilayah Nusantara adalah mengenai kekayaan rempah ratus serta laluan pedagangan. Pada ketika itu memang ada persaingan antara kuasa-kuasa di Eropah yang menuju ke arah itu seperti Inggeris, Belanda dan seterusnya Sepanyol.

Disini kita akan melihat bagaimana Perjanjian Inggeris Belanda 1824 telah mengukuhkan pengaruh Inggeris mahupun Belanda di wilayah masing-masing. Dan Sepanyol pula terpaksa mengambil pendekatan untuk menyebarkan pengaruhnya di Filipina jauh daripada kawasan Inggeris dan Belanda. Dan dikatakan dari sinilah Sepanyol telah cuba memasuki Filipina dengan menggunakan pendekatan menjajah dan juga memperkembangkan syiar kristianiti mereka di bumi Filipina.

Sekitar tahun 1564, angkatan tentera Sepanyol dibawah pimpinan Miguel Lopez De Legazpi telah memulakan kempen penjajahan mereka di Filipina. Melalui Lautan Pasifik mereka tiba di Cebu pada tanggal 13 Februari 1565. Ketika itulah angkatan Sepanyol ini ditentang habis-habisan oleh orang-orang Islam Cebu.

Kerana tidak begitu mengetahui selok belok dunia peperangan Cebu pada masa itu, dikatakan angkatan tentera Sepanyol telah beralih arah dan seterusnya ke Mindanao. Kemudian pada 27 April 1956, mereka menyerang semula Cebu dan akhirnya berjaya memperolehi Cebu sebelum terus memerangi Luzon dan memenangi wilayah tersebut.

Pada tahun 1570, angkatan Sepanyol ini telah berperang dengan Kerajaan Manila yang juga disebut Kota Seludong. Ianya merupakan satu kerajaan yang dibawah perlindungan Kerajaan Brunei, Kerajaan Sulu dan Kerajaan Ternate. Sewaktu Sepanyol tiba di Manila, Kerajaan Manila ini dibawah pemerintahan raja nya yang bernama Sulayman.

Pada serangan yang pertama, Manila tidak dapat ditawan dan usaha De Legazpi hanya berjaya pada tahun 1571. Raja Sulayman bersama-sama dengan tentera Manila telah ditewaskan malah pemimpin Kerajaan Manila ini juga turut terkorban paa pertempuran yang berlaku pada 3hb Jun 1571 itu. Atas kemenangan inilah juga akhirnya Sepanyol mengistiharkan Manila sebagai pusat pemerintahan Sepanyol di Timur pada masa itu.

3. Perang Kastila 1578

Di dalam sejarah Perang Kastila ini sebenarnya jika kita amati sepenuhnya adalah berpunca daripada Sepanyol yang cuba untuk menyekat pengaruh Kerajaan Brunei Darussalam sebagai sebuah kerajaan di Nusantara dan juga pusat penyebaran Islam di Borneo dan sekitarnya.

Mungkin merasakan mereka mempunyai armada yang kuat dan berbangsa Eropah maka armada Sepanyol ini berani untuk mengertak Kerajaan Brunei dengan mengutus surat kepada Brunei selesai sahaja mereka memenangi Manila pada tahun 1571.

Di dalam surat itu dikatakan bahawa Sepanyol telah menawarkan “perlindungan” kepada Brunei daripada diperangi oleh mana-mana kuasa Eropah. Dan sebagai galang gantinya, Brunei hendaklah mengakui kedaulatan Sepanyol yang bermarkas di Manila pada waktu itu. Namun Sultan Saiful Rijal iaitu Sultan ke-8 Brunei yang memerintah dari tahun 1533 hingga 1581 telah menolak usul daripada Sepanyol.

Atas rasa ingin memastikan bahawa pengaruh Sepanyol di Manila utuh serta boleh menyekat pengaruh perkembangan Islam yang dibawa oleh Kerajaan Brunei tidak terus kuat di bumi Filipina pada masa itu maka pada tahun 1578, Sepanyol telah menyerang Brunei.

Tanggal 13 April 1578 menyaksikan armada laut Sepanyol dibawah pimpinan Dr. Fansisco de Sande dengan kekuatan 40 buah kapal perang telah bertembung dengan armada laut Brunei dengan kekuatan 50 buah kapal perang.

Pertempuran kali pertama ini telah menyaksikan satu perang yang hebat namun nasib tidak menyebelahi angkatan tentera Brunei. Dikatakan angkatan Brunei menghadapi kekalahan kali pertama yang teruk.

Mereka berundur ke daratan Brunei kembali dan ini menjadikan moral anggota tentera Sepanyol di tahap yang paling tinggi. Mereka mengatur strategi untuk memulakan peperangan darat.

Pada tanggal 16, 20, 24 April 1578, Brunei diserang bertubi-tubi dengan serangan darat dan juga bantuan meriam dari armada laut Sepanyol. Askar-askar Sepanyol berjaya akhirnya merempuh istana serta kota Brunei pada masa itu.

Askar-askar Brunei berusaha sebaik mungkin mempertahankan tanahair mereka. Dan dikatakan pada masa inilah, anggota tentera Sepanyol telah menjarah istana Kesultanan Brunei dan merampas apa sahaja barangan berharga kepunyaan keluarga Diraja dan dibawa pulang ke kapal perang mereka.

Dan mungkin ramai yang terleka dengan sejarah yang direkodkan di pihak Sepanyol mengenai Perang Kastila ini kerana sejarah yang ditulis oleh mereka bahawa mereka meninggalkan bumi Brunei pada sekitar Jun 1578 adalah kerana anggota Sepanyol diserang wabak sakit taun.

Dan ini berlainan sekali dengan pensejarahan daripada Kerajaan Brunei yang sudah tentu mempunyai dokumen-dokumen yang disahihkan.

Menurut pensejarahan Brunei, Sepanyol sebenarnya telah dihalau keluar daripada Brunei oleh pahlawan-pahlawan Brunei sendiri. Pada masa itu dikatakan anggota tentera Sepanyol tidak mampu mempertahankan diri daripada amukan dan jiwa kental pahlawan Brunei dibawah pimpinan Pengiran Bendahara Sakam ibnu Sultan Abdul Kahar.

Pengiran Bendahara Sakam telah menggempur habis-habisan Sepanyol sehingga memaksa tentera Sepanyol melarikan diri sehingga ke wilayah Nausung (Sabah) pada tanggal 26 Jun 1578. Namun dikatakan 3 hari sebelum Sepanyol diusir keluar daripada Brunei di dalam kacau bilau itu, pada tanggal 23 Jun 1578 pula Dr. Fransisco De Sande bersama-sama dengan anak buahnya telah berjaya membakar Masjid Jamek Brunei sehingga musnah segalanya.

Dan atas jasa Pengiran Bendahara Sakam yang memimpin tentera Brunei dan berjaya menghalau orang Sepanyol daripada bumi Brunei inilah, beliau telah dikurniakan dengan anugerah “Raja Bendahara” oleh Sultan Saiful Rijal.

Selepas kekalahan itu, Sepanyol tidak pernah lagi menyerang Brunei dan Kerajaan Kesultanan Brunei Darussalam tetap utuh sebagai antara kerajaan terpenting di nusantara.

Inilah satu sejarah panjang di dalam kita cuba untuk memahami konteks Perang Kastila 1578 dari 3 rencana yang mempunyai perkaitannya tersendiri. Satu perang yang menyaksikan orang Brunei berjaya mengusir keluar bangsa Eropah di Negara mereka.

-HB-

Rujukan:

1. Kesultanan Brunei Darussalam
http://www.kerajaannusantara.com/id/brunei-darussalam/sejarah
2. Islam Di Brunei Bermula Kurun Ke 7 Masihi
http://ww1.utusan.com.my/utusan/
3. Sepanyol Menggunakan Pendekatan Budaya Di Dalam Usaha Untuk Menjajah Filipina oleh Nabillazul
http://dokumen.tips/documents/sepanyol-menggunakan-pendekatan-budaya-dalam-usaha-untuk-menjajah-filipina.html
4. Perang Kastilan: Melayu vs Sepanyol
http://lokalgenius.blogspot.my/2012/12/perang-kastilan-melayu-vs-sepanyol.html