Perhatian


Kebanyakan post di dalam blog ini disalin dari posting dari sahabat-sahabat blogger lain untuk rujukan saya pada masa akan datang. Jadi saya lampirkan sekali link ke post asal bagi menjaga hakcipta post serta memudahkan anda dan saya ke post asal. Harap Maklum

Friday, October 26, 2012

Tengkolok Melayu Kedah

sumber: http://www.mykedah2.com/10heritage/105_13.html
(ditulis oleh M.C. ff Sheppard dari maklumat dan demonstrasi CHE' MOHD AKIB BIN YAACOB)


Penutup kepala anak lelaki Melayu turun-temurun ialah ikatan kain di kepala (berlainan dari serban) dan bukan songkok berbentuk bulat yang dipakai oleh kebanyakan lelaki Melayu sekarang ini. Perbezaan bentuk yang terhasil dari lipatan atau ikatan kain ini menunjukkan perbezaan pangkat atau jawatan orang yang memakainya. Masing-masing mengikat tengkolok dengan bentuk atau ikatan yang berlainan.

Sejak dua puluh lima tahun lalu, penggunaan ikatan kepala yang teliti dan berperaturan (dipanggil tengkolok atau tanjak) hanya dipakai pada majlis-majlis atau upacara rasmi yang jarang-jarang sekali berlaku. Sehingga kini, masih terdapat orang-orang Melayu yang enggan memakai tengkolok walaupun untuk bersanding. Setelah negara mencapai kemerdekaan, tengkolok diberi perhatian semula. Malangnya, sudah tidak ramai lagi orang yang pandai mengikat dan melipat tengkolok dalam pelbagai bentuk dan gaya seperti yang dipakai pada zaman dahulu. Adalah menjadi suatu kebimbangan jika sekiranya orang yang ahli dalam bidang mengikat tengkolok ini meninggal dunia, maka kemahiran di bidang ini akan turut pupus bersama mereka. Che' Mohd Akib bin Yaacob, Pegawai Pentadbir Negeri Kedah dan sekarang ialah Pegawai Daerah Kota Star ialah seorang yang mahir mengikat tengkolok Kedah. Tengkolok-tengkolok yang terpapar di daIam gambar-gambar di bawah semuanya diikat oleh beliau. Catatan bagaimana sesuatu tengkolok itu diikat dibuat ketika Che' Mohd Akib menunjukkan bagaimana setiap satunya dilakukan.

Tengkolok atau penutup kepala orang Melayu di dalam sesuatu istiadat biasanya diikat dari sehelai kain songket sutera tenunan tangan. Kain itu hendaklah keras supaya boleh dilipat-lipat dan lebamya ialah 34 inci. Kain tengkolok itu disulam dengan bunga-bunga yang bercorak tradisi dari benang emas atau benang perak. Warna tanah kain tengkolok biasanya terdiri dari satu wama sahaja seperti hitam, merah tua, hijau tua atau ungu.

Cara kain dilipat untuk membentuk tengkolok; mulanya ditemukan dua penjuru atau sudut kain menjadi tiga persegi. Puncak kain tiga persegi ini akan disebut di dalam catatan ini sebagai "Pucuk" yang bermaksud pucuk kepada tengkolok. Apabila kain tiga persegi ini dibentangkan di atas meja, sudut hujung kiri dan kanan tapaknya disebut "hujung kuasa". Tempat hujung kuasa ini diletakkan atau diselitkan selepas sesuatu tengkolok itu siap diikat membawa makna yang tersendiri. Hujung kuasa ini seolah-olah merupakan lencana pangkat tinggi atau rendah darjat seseorang. Hujung kuasa kain tengkolok menjelaskan setinggi mana kuasa yang dipunyai oleh pemakai tengkolok di dalam negeri itu.

Ada dua lagi petua memakai tengkolok Kedah. "Simpul" kain tengkolok selepas diikat sesedap rasa tidak terlalu ketat dan tidak terlalu longgar selalunya diletak berbetulan dengan telinga kanan atau telinga kiri dan tidak sekali-kali diletakkan simpuI itu di atas tengkok atau di belakang kepala. Jika simpul tengkolok itu diletakkan di atas telinga kiri, pemakainya ialah seorang yang berdarah raja. Jikalau yang memakai tengkolok itu meletakkan simpul berbetulan telinga kiri tetapi bukan dari ahli kerabat, itu menunjukkan pemakainya mempunyai tugas atau jawatan yang tertinggi di dalam negeri seperti Menteri Besar sehingga membolehkan beliau memakai gelaran "Yang Teramat Mulia". Rakyat biasa meletakkan simpul tengkolok di atas telinga kanan. Pada zaman dahulu orang yang memakai tengkolok dan meletakkan simpulnya di belakang atau di atas tengkok ialah perompak ataupun seorang perajurit.

Ikatan Bendahara

Pegawai terpenting sekali di dalam Negeri Kedah satu masa dahulu ialah Bendahara dan sekarang dikenali sebagai Menteri Besar. Ikatan tengkolok Bendahara yang bertugas di dalam negeri berbeza bentuknya dari ikatan Bendahara yang dalam perjalanan kerana bertugas di luar negeri. Perbezaan antara kedua tengkolok tersebut ditunjukkan dalam Gambar 1 dan 3. Untuk membentuk tengkolok Bendahara, pertama sekali, kain berlipat tiga persegi hendaklah dibentangkan di atas meja. Tapak atau bahagian lebar kain hendaklah dilipat lima lapis seolah-olah dikelim kelima lapis itu nipis-nipis. Hujung kuasa keduanya disimpulkan sekali lagi dan dilipatkan ke belakang hampir bersusun dengan "Pucuk". Hujung kuasa yang tertinggi dari kawannya dapat dilihat menegak lebih tinggi dari hujung "Pucuk". Kedua-dua hujung kuasa dan pucuk dapat dilihat jika direnung tengkolok itu betul-betul. Sesusun rambut di kepala tidak bertutup tetapi biasanya dapat dilihat hanya ketika pemakainya duduk. Simpul tengkolok terletak betul-betul di atas telinga kiri (Gambar 1 dan 2).

Gambar 1
Gambar 2

Apabila Menteri Besar membuat perjalanan kerana bertugas di luar negeri, hanya satu hujung kuasa sahaja yang ditegakkan dan "Kuasa" itu ditegakkan betul-betul di atas mata kirinya dan tidak mengatasi pucuk tengkolok. (Lihat Gambar 3)

Gambar 3


Ikatan Temenggung

Pegawai negeri yang berkuasa selepas Bendahara ialah Temenggung. Beliau bertanggungjawab mengawal undang-undang dan keamanan negeri. Kain tengkolok Temenggung mempunyai empat lapis pelit. Tepi kain yang bercorak-corak mengelilingi pucuk tengkolok dilipat di atas pelit yang telah dilipatkan dan dilentik pucuk kain itu melayah ke belakang kepala. Simpul tengkolok terletak betul-betul di atas telinga kanan. Kedua-dua hujung kuasa diruntun ke belakang dan menutup dua pertiga bahagian kepala, tetapi rambut dapat dilihat dari hadapan. Hujung kuasa dilentik ke atas dan diletak di sebelah dalam bertindih dengan hujung pucuk tengkolok. (Lihat Gambar 4 dan 5)

Gambar 4
Gambar 5

Ikatan Laksamana

Tapak kain tengkolok dijadikan dari tiga lapis pelit. Selapis dari lipatannya dapat dilihat menangkup simpul tengkolok di atas telinga kiri. Pucuk tengkolok dilipat supaya bertindih dengan bahagian hujung sebelah atasnya yang dilentik dengan cermat naik ke atas. Kain yang dilipat itu kemudiannya disimpulkan. Kedua-dua hujung kuasanya dicantum dan diletakkan selari walaupun teratas sedikit dari pucuk tengkolok. Hujung kuasa diletak tegak di atas telinga kanan. (Di sini tengkolok ini dipakai oleh seorang ahli Kerabat Diraja. Jika rakyat biasa memakainya, pucuk tengkolok, hujung kuasa dan simpulnya hendaklah terletak di atas telinga kiri). (Lihat Gambar 6 dan 7) 

Gambar 6
Gambar 7
 Ikatan Syahbandar

Lipatan pada tapak kain tengkolok dibuat sebanyak tiga lapisan seperti pada tengkolok Laksamana. Tepi kain yang bercorak-corak setebal dua inci itu akan menjadi tubuh tengkolok Syahbandar mengelilingi kepalanya. Apabila dua hujung kuasanya disimpulkan selapis, pucuk tengkolok yang agak tebal dilentik ke atas kepala dan menampakkan pelit tiga lapis tadi dari hadapan dengan jelas (Tidak seperti yang berlaku kepada tengkolok ikatan lain). Pucuk tengkolok terletak di belakang telinga kiri mengarah ke belakang. Hujung kuasa sebelah kanan yang terpacul dari simpulnya dari sebelah dalam di atas pucuk tengkolok, menonjol ke hadapan di tengah-tengah dahi. Satu lagi hujung kuasa tidak dapat dilihat kerana tertindih di bawah lipatan dalam kain pucuk tengkolok. Sebahagian besar dari atas kepala tidak bertutup. (Lihat Gambar 8 )

Gambar 8


Ikatan Dato' Setia

Tengkolok Dato' Setia tidak jauh bezanya dari ikatan Syahbandar. Kain pucuk dilentur menghala ke telinga kiri dan tidak dibawa ke belakang kepala seperti tengkolok Syahbandar. Hujung kuasa dicantum sekali ke belakang kepala dan menjunam ke bawah di dalam kain pucuk tengkolok dan dengan begitu hujung kuasa tidak dapat di lihat. Hujung kuasa disembunyikan kerana Dato' Setia bukanlah pegawai yang berkuasa penuh, beliau hanya menjalankan tugas-tugas yang diperintahkan oleh Sultan. Sebahagian besar bahagian di atas kepala tidak ditutup. (Lihat Gambar 9)

Gambar 9


Ikatan Anak Baik-baik

(Tengkolok ini boleh dipakai oleh rakyat biasa yang tidak berpangkat atau berjawatan tetapi berketurunan baik-baik). Tidak seperti ikatan-ikatan lain, tengkolok anak baik-baik diikat terus di atas kepala. Tapak atau asas kain tengkolok dilipat cuma satu pelit sebelum kedua-dua hujung kuasanya dilipat bertindih-tindih antara satu sama lain. Kemudian kedua-dua hujung kuasa ini dimatikan dalam simpulannya yang longgar. Bahagian tengah kain yang dilipat tadi diletakkan di beIakang kepaIa dan pucuknya ditarik ke hadapan menutupi keseluruhan bahagian kepala. Kedua-dua hujung tapak kain ditarik ke hadapan mengelilingi kepala di kedua-dua bahagian kanan dan kiri. Bahagian kiri dilipat masuk di celah lipatan atas telinga kanan dan hujung kanannya dibelit ke dahi di luar pelipis kiri dan diselit di belakang tengkolok. Tempat diselit itu bergantung kepada saiz kepala pemakainya. Dalam ikatan Anak Baik-baik ini, tidak ada simpul tengkolok dan tidak ada hujung kuasa. Ikatan ini biasanya disebut sebagai "Ketam Budu". (Lihat Gambar 10)

Gambar 10