Perhatian


Kebanyakan post di dalam blog ini disalin dari posting dari sahabat-sahabat blogger lain untuk rujukan saya pada masa akan datang. Jadi saya lampirkan sekali link ke post asal bagi menjaga hakcipta post serta memudahkan anda dan saya ke post asal. Harap Maklum

Monday, March 25, 2013

Perjuangan - Panglima Ismail

Sumber: Majalah Panglima terbitan PSSCM USM Pulau Pinang 1998


Kisah terjadi di suatu negeri
Menjadi sejarah hingga kini
Kedah Darul Aman negeri yang dimaksudkan
Ikutilah kisah ini semoga dapat diteladankan

A
dapun penduduk negeri Kedah ketika itu tolong-menolong dan saling bantu membantu antara satu sama lain demi kesejahteraan bersama. Namun begitu, pada suatu hari, di daerah yang diberi nama Kerian, berlaku sesuatu yang tidak dijangka. Penduduk kampung telah digemparkan dengan kehadiran lanun-lanun Batak yang diketuai oleh seorang panglima Batak yang perkasa. Tuah namanya. Namun bukanlah laksamana Hang Tuah, Panglima Melaka yang dimaksudkan. Kehadiran lanun-lanun itu seperti hendak berniaga, tetapi niat di hati, tuhan sahaja yang tahu.

Sudah menjadi kebiasaan rakyat di Kedah pada hari Jumaat dimulakan pasar di kawasan tanah lapang di kampung Kerian. Ketika inilah para nelayan, petani, pedagang dan sekelian penduduk kampung dapat beramah mesra sambil bertukar-tukar barangan keperluan harian masing-masing. Adapun wang emas yang telah diperkenalkan, tetapi tidak semua orang mampu memilikinya. Lagipun, sekeping emas dapat ditukar dengan bekalan untuk beberapa purnama lamanya.

Seperti yang telah ditetapkan oleh agama Islam, maka masuklah waktu solat fardhu Jumaat. Tabuh di masjid Kampung Kerian pun dibunyikan. Maka bergegaslah kaum lelaki mukmin yang telah cukup umur serta sempurna syarat untuk menunaikan kewajipan itu. Segala barangan perniagaan ditinggalkan sahaja kerana keyakinan mereka terhadap tuhan Rabbi yang melindungi mereka. Sedang tok khatib membaca khutbah Tuah dengan angkuhnya memberikan isyarat untuk menyerang. Lanun – lanun Batak yang berada di dalam dan sekitar masjid itu menggempur dengan pantas dan mengejut.

“Serang! Bunuh  semua! Gue tak mau tengok seorang pun hidup!” jerkah Tuah.

Maka berlakulah pertumpahan darah yang amat dahsyat, sukar hendak digambarkan kekejamannya. Tok Imam menghembuskan nafas terakhirnya dengan sebatang tombak terpacak di dada. Para jemaah yang lain ada yang cuba menyelamatkan diri. Ada juga yang cuba bertarung dengan lanun – lanun tersebut.

“Allahuakbar! Allahuakbar! Allah….,” tumbang seorang lagi mujahid Islam.

Lanun – lanun yang berada di pasar pula menyerang kaum hawa yang masih berada di situ. Yang sudah lanjut usia disembelih manakala anak – anak dara dijadikan alat pemuas nafsu. Beberapa orang srikandi yang cuba memelihara kehormatan dan nyawa, mereka dinodai dan dibunuh dengan kejam. Dalam kekalutan itu. Seorang anak muda bergelar Awang sempat menyelamatkan diri. Dia berjaya sampai ke masjid kampung jiran. Dia hanya sempat memberitahu bahawa kampungnya telah diserang  lanun Batak sebelum sebatang anak panah hinggap di belakangnya.

Tok penghulu Ali yang memangkunya mengarahkan beberapa orang pendekar kampung Titi Serong memburu Batak yang membunuh Awang. Sementara itu, tabuh perang dibunyikan sebagai amaran kepada kampung-kampung yang berhampiran sambil meminta bantuan. Tidak beberapa lama selepas itu, penduduk-penduduk Kampung Simpang Tiga, Kampung Simpang Empat dan Kampung Melayu serta beberapa kampung lain berhampiran berkumpul di hadapan masjid kampung Titi Serong. Masing-masing menghunus parang panjang, golok, tombak dan tongkat. Terdapat juga beberapa orang panglima istana yang lengkap berkeris. Para panglima ini diketuai seorang ulama yang bijaksana dan juga merupakan salah seorang panglima kanan kesultanan Kedah yang perkasa. Orang ramai mengenalinya sebagai ‘Tok Sheikh Jarum’ kerana kesenian ilmu yang diamalkannya. Panglima yang menggunakan parang lading ini dikenali juga sebagai Panglima Ismail. Tanpa banyak berbicara, mereka bergerak ke kampung Kerian.

Kawasan pasar yang beberapa ketika sebelumnya penuh dengan keceriaan dan keseronokan kini bertukar menjadi sebidang tanah yang penuh dengan kesedihan dan kengerian. Mayat bergelimpangan merata- rata dalam keadaan yang mengaibkan. Kebanyakan yang menjadi mangsa terdiri daripada kaum wanita. Kanak-kanak dan warga tua yang uzur juga menjadi mangsa. Beberapa pedagang asing juga turut terkorban. Panglima Ismail mengarahkan supaya sebahagian daripada pendekar – pendekar daripada kampung – kampung berhampiran itu memeriksa dan menguruskan mayat – mayat mangsa kekejaman lanun batak tersebut.

Salah seorang daripada mangsa-mangsa itu didapati masih hidup dan dibawa menemui Panglima Ismail. Dia merupakan seorang wanita yang berumur dalam lingkungan dua puluh tahun. Pakaian anak gadis itu koyak rabak. Pada zahirnya, kecederaan yang dialami gadis itu tidaklah begitu hebat jika dibandingkan kecederaan batinnya. Gadis itu menceritakan segala – gala yang dialaminya. Dia juga memberitahu bahawa dia nampak lanun – lanun itu menghala ke arah masjid. Dia telah selamat kerana mereka tidak menyangka yang dia masih hidup. Dia terus menangis. Kesakitan zahir dan batin yang ditanggungnya terlalu pedih. Melihatkan keadaaan wanita itu, Panglima Ismail menanggalkan baju sikapnya lalu menutupi tubuh yang dianiaya itu.

“Penghulu Ali! Datuk Sahak! Panglima Majid! Kita mara ke masjid! Depa ada kat sana!” Panglima Ismail mengeluarkan arahan.

Panji – panji perang negeri Kedah dikibarkan dengan bangganya. Kumpulan perang itu berpecah kepada empat kumpulan dan menuju masjid dalam arah yang berlainan, satu daripada setiap sudut masjid. Setiap orang pendekar membasahi lidah masing-masing dengan zikir kepada Allah agar dapat menenangkan hati dan memelihara niat yang suci – berjihad ke jalan Allah. Panglima Ismail sendiri mengetuai kumpulan yang menghala ke pintu masjid. Kumpulan-kumpulan yang lain menghampiri masjid tersebut secara tersembunyi. Tugas utama mereka ialah menghalang lanun-lanun itu daripada melarikan diri. Inilah helah peperangan Panglima Ismail. Beliau dan empat orang kanannya melangkah dengan tenang ke halaman masjid. Kelima-lima mereka memegang parang lading yang tersembunyi di dalam lengan sikap masing-masing. Mereka kelihatan seolah-olah tidak bersenjata.

“Panglima Tuah! Tolong bebaskan tawanan kamu dan keluar dari situ!” pujuk Panglima Ismail.

Panglima Batak yang sedang ‘berpesta’ itu tersentak. Siapakah gerangannya yang berani bersuara itu? Dia mengintai dari celah dinding masjid yang terkopak akibat pertampuran tadi. Berani sungguh orang ini, sanggup berdepan tanpa senjata, bisik hatinya. Dengan pantas dia menyambar salah seorang tawanan lalu diseret keluar. Wanita itu merayu dan meronta supaya dilepaskan. Rayuannya itu tidak dipedulikan Tuah. Tuah muncul di tangga masjid bersama wanita tawanannya.

“Siapa lu? Brengsek!!” bentaknya dengan garang.

“Namaku Ismail. Sultanku Duli Yang Maha Mulia Tuanku Ahmad Tajuddin. Nabiku Muhammad dan Imamku Al-Quran. Marilah turun. Mari kita berbincang,” pelawa Panglima Ismail.

”Aah!!! Peduli apa gue!!” jerkah Tuah, “Lu nampak ni?”

Dengan ganas Tuah mengoyah pakaian wanita malang itu. Dengan perlahan-lahan Tuah membenamkan mata kerisnya ke dada wanita itu. Darahnya memercik ke tangga masjid. Dengan rakus Tuah menjilat darah segar dari wanita yang tinggal nyawa-nyawa ikan tersebut. Raungannya mati bersama jasad yang tidak berdosa itu.

“Astaghfirullah... Innalillah wa innalillahi raji’un...,” ucap Panglima Ismail.

Salah seorang daripada panglimanya bergerak untuk menyerang.

“Majid! Sabar dulu!” tegahnya, “Baiklah Tuah, kalau itu yang hang mau, mailah. Turun.”

Tuah hairan dengan sikap panglima ini. Sepatutnya dia telah lari setelah melihat perlakuannya tadi. Sebaliknya Tuah pula yang dicabar. Namun begitu, cabaran itu disambut dengan keangkuhan dan kebongkakan yang tinggi. Dia menyepak mayat wanita tadi ke tanah. Beberapa orang lanun Batak yang lain mengekorinya dari belakang. Panglima Ismail merenung tajam ke arah Tuah. Tuah terpaku sebentar. Tenungan makrifat itu menusuk jauh ke dalam kalbunya. Tuah mengalihkan pandangannya. Dengan tiba-tiba salah seorang pendekar tempatan meluru daripada semak samun.

“Celaka hang! Hang bunuh bapak aku! Celaka!!!”

Semua yang berada di halaman masjid terkejut tetapi Panglima Ismail dan para panglimanya tetap tenang.

Setenang air di tasik...

Tuah mengarahkan salah seorang lanunnya supaya menamatkan riwayat pendekar tersebut. Panglima Ismail mengisyaratkan salah seorang panglimanya untuk bertindak. Belum sempat lanun itu membunuh pendekar kampung jiran tadi, dia terpalanting ke tanah. Kelihatan salah seorang panglima Kedah berdiri dengan gagah di hadapan pendekar tersebut. Lanun yang tidak puas hati tadi terus menyerang panglima itu dengan tombak. Serangannya ditangkis dengan mudah dan sekelip mata selepas itu, isi perutnya terburai ke tanah. Sendi-sendi tubuhnya juga putus akibat hirisan senjata misteri. Panglima Kedah tadi berdiri tegak dengan siku pakaiannya berdarah. Dengan tenang beliau mengeluarkan parang lading daripada lengan bajunya.

Sekali lagi semua orang yang menyaksikan kejadian itu terpegun. Lanun yang kononnya kebal itu dapat ditewaskan dengan mudah. Lanun-lanun lain yang menyaksikan kejadian itu menggigil ketakutan. Mereka sudah mula merancang untuk melarikan diri. Melihatkan keadaan itu Tuah mengarahkan lanun-lanunnya untuk melarikan diri. Mereka tergesa-gesa meninggalkan masjid tersebut dan bertaburan mengikut hati masing-masing. Nasib mereka malang kerana mereka dihalang oleh pendekar-pendekar itu. Lanun yang menyerah diri telah ditawan. Namun begitu Tuah dan beberapa orang kanannya telah berjaya melarikan diri.

Panglima-panglima Kedah dan pendekar-pendekar tempatan memburu mereka. Tibalah mereka ke salah sebuah kampung yang berdekatan. Tuah dan lanun-lanunnya mengamuk dan membunuh para penduduk kampung tersebut. Apabila para panglima dan pendekar tempatan sampai, berlakulah satu pertempuran yang hebat. Panglima Ismail sendiri telah bertempur dengan Tuah. Serangan yang bertubi-tubi telah berjaya melemahkan Tuah. Namun begitu, hirisan demi hirisan parang lading tidak juga dapat mengalahkannya. Lama-kelamaan, Tuah tinggal keseorangan. Lanun-lanun yang lain kesemuanya telah berjaya dihapuskan ataupun ditangkap. Panglima Ismail mendapat satu ilham.

“Tuah! Apa kata kita berbincang sekarang? Hang dah tinggal seorang. Mailah,” katanya.

Tuah yang telah kepenatan dan kesakitan itu pun bersetuju. Panglima Ismail mengisyaratkan supaya salah seorang panglimanya menghampirinya. Beliau membisikkan sesuatu kepada panglima itu.

“Hoi! Lu ngomong apa sama dia?” tanya Tuah.

Panglima Ismail menjelaskan bahawa dia hanya memberitahu panglima itu supaya menyediakan suatu tempat untuk mereka berbincang. Beliau telah meminta panglima itu supaya menyediakan santapan dan persalinan untuk Tuah di rumah penghulu kampung itu. Tuah pun setuju untuk menuruti Panglima Ismail ke rumah tersebut. Maka bergeraklah mereka ke tempat yang dituju.

Ketika itu, hari sudah senja. Fajar sudah lama menghilang. Hanya tinggal awan merah di kaki langit. Penduduk kampung telah menyalakan jamung di sepanjang jalan ke rumah penghulu itu. Mereka mengekori Panglima Ismail dan Tuah dari jauh dengan berwaspada. Setibanya di rumah itu, Panglima Ismail mempelawa Tuah untuk naik dahulu. Tuah enggan kerana pada sangkaannya ianya satu perangkap. Panglima Ismail pun melangkah masuk ke rumah itu dengan menberi salam. Setelah yakin semuanya selamat, Tuah pun menaiki tangga rumah itu. Dia sempat menjenguk ke dalam rumah untuk memastikan ianya selamat. Tuah dapat melihat santapan dan persalinan yang dijanjikan oleh Panglima Ismail.

Dengan mengejut, tuah jatuh terlentang dihalaman rumah itu. Dirasainya seperti kakinya telah dipotong. Mustahil, fikirnya. Dia melihat ke arah kakinya. Masih ada. Tuah merasai dirinya dikhianati lalu bergegas bangun untuk menyerang Panglima Ismail yang berada di tangga rumah. Sekali lagi dia jatuh terlentang. Mereka telah memukul kakinya sehingga patah. Panglima Ismail tiba di sisinya. Para pendekar tempatan bergegas untuk mengikat tangan Tuah dan membawanya ke sebatang pokok kelapa di halaman rumah itu. Tuah diikat pada tiang itu. Dia sungguh marah kepada Panglima Ismail lalu meludahnya. Panglima Majid yang ada ketika itu menampar muka Tuah dengan kuat. Panglima Ismail kemudiannya berbicara secara peribadi dengan Tuah setelah meminta penduduk kampung serta para panglima beredar seketika. Setelah beberapa jam berbicara, akhirnya Panglima Ismail meminta bahawa semua pendekar dikumpulkan. Satu keputusan telah dicapai. Ketika itu, waktu sudah hampir subuh. Setelah mereka menyelesaikan solat subuh, Panglima Ismail meminta supaya sebuah pasung disediakan dengan tapaknya berada berhampiran dengan sebatang anak pokok nipah. Tuah telah dibawa ke tampat itu dan kemudiannya dipasungkan.

Kangkangnya dibuka dengan pucuk nipah itu betul-betul di bawahnya. Tuah telah dibiarkan di situ dengan beberapa orang hulubalang menjaganya.

Beberapa minggu berlalu sebelum Tuah menghembuskan nafasnya yang terakhir. Dia tidak mati kerana kelaparan atau dahaga, sebaliknya dibunuh oleh pucuk nipah yang menusuk tempat sulitnya lalu memasuki dan merosakkan segala isi tubuhnya. Dikhabarkan bahawa raungan Tuah didengar hampir setiap hari di kampung itu. Ada penduduk kampung yang kasihan akan Tuah merayu Panglima Ismail supaya tidak menyeksanya lagi. Permintaan mereka terpaksa ditolak. Panglima Ismail menjelaskan bahawa ini sahaja caranya untuk membunuh Tuah. Tuah sendiri yang memberitahu rahsia kekebalannya kepada Panglima Ismail. Demikianlah kebijaksanaan panglima kanan negeri Kedah...

No comments: