Perhatian


Kebanyakan post di dalam blog ini disalin dari posting dari sahabat-sahabat blogger lain untuk rujukan saya pada masa akan datang. Jadi saya lampirkan sekali link ke post asal bagi menjaga hakcipta post serta memudahkan anda dan saya ke post asal. Harap Maklum

Friday, March 16, 2012

SILAT - oleh Azlan Ghanie


SILAT – Asal & Usulnya 

Silat adalah khazanah warisan budaya Malaysia. Ia merupakan seni beladiri Melayu yang sudah bertapak di rantau Nusantara ini sejak kurun ke-4 iaitu kerajaan Jambi di Sumatra.

Beladiri itu mulanya berasal dari istana yang mana ilmu itu memenuhi dada Raja dan pengikut-pengikut baginda dalam penghijrahan dan mewujudkan pemerintahan.

Sehubungan itu wujud kerajaan-kerajaan Melayu antaranya Langkasuka, Pura, Pasai, Acheh, Champa, Majapahit, Temasik dan Melaka. Diperakui kini, kerajaan Melayu asal meliputi Selatan Thailand iaitu Fatani, Kemboja, Filipina, Brunei, Malaysia, Indonesia dan Singapura.

Di Malaysia, catatan bertulis dalam sejarah silat bermula zaman Paramesrawa pada kurun ke-12 sebelum membuka kerajaan Melaka. Disusuli cerita kehebatan Sultan Melaka, Sultan Alauddin Riayat Shah menangkap pencuri-pencuri ketika rondaan waktu malam di kota Melaka.

Kisah lima hulubalang Melayu Melaka iaitu Hang Tuah, Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekiu dari episod awal remaja menentang lanun, orang amuk, kemudian menuntut ilmu di Gunung Ledang hingga Hang Tuah menjadi Laksamana Melaka menggambarkan perjalanan penjurit-penjurit Melayu dalam dunia persilatan.

Suntikan dari ilmu persilatan turut dapat dilihat apabila pahlawan-pahlawan Melayu tidak gentar menentang Portugis yang bersenjatakan meriam dan senjata api. Tentera Eropah itu pernah ditewaskan dalam percubaan pertama menakluk Melaka pada tahun 1509 sebelum berjaya dua tahun kemudian dengan jumlah armanda seganda iaitu hampir 20 buah kapal.

Dalam Perang Dunia Kedua, ketika Jepun menakluk Tanah Melayu, pendekar-pendekar Melayu turut mempertahankan daerah dan kampung-kampung mereka. Apabila tentera komunis atau dikenali Bintang Tiga memerintah selepas pengunduran Jepun, pahlawan-pahlawan  Melayu bangkit untuk menentang tentera itu yang bersikap tidak  berperikemanusiaan.

Pahlawan-pahlawan yang tersohor menentang penjajah Inggeris dengan ilmu persilatan antaranya adalah seperti Datuk Dol Said, Datuk Bahaman, Tok Gajah, Mat Kilau, Mat Lela dan Tok Janggut. Manakala tentera Jepun dan komunis pula Lt Adnan, Kiyai Salleh dan Pak Hamid Jah.

Perkembangan silat di luar istana sudah lama berlaku dan kisah Hang Tuah bersama teman-temannya berguru di Gunung Ledang menjadi bukti.  Penaklukan dan pencerobohan penjajah turut menyumbang ilmu beladiri Melayu keluar dari istana dan aktif dengan penduduk-penduduk kampung.

Silat terus dipelihara seperti di negara Indonesia, Brunei dan Singapura selain Malaysia dan dikembangkan ke luar negara terutama melalui sukan tempur iaitu silat olahraga. 

Di Malaysia, silat bukan sahaja berkembang di sekolah-sekolah dan di pengajian tinggi kerana sudah terdapat perguruan-perguruan tertentu turut mengembangkan ilmu mereka hampir semua pelusuk dunia sepertimana beladiri-beladiri lain yang sudah terkenal.

Disiplin beladiri itu seperti adab hormat-menghormati, penggunaan akal, tenang, sabar, pergerakan fizikal yang berstruktur dan sebagainya telah dikenalpasti satu riadah yang baik untuk kesihatan dan menjalinkan hubungan rakyat tanpa kira kaum dan agama.

SILAT – Beladiri & Falsafah

Silat menjadi sebutan rasmi kepada beladiri Melayu. Sebelum itu di kepulauan Jawa, ia lebih dikenali dengan “Pencak”. Ada juga orang Melayu Bugis, Acheh dan Fatani menyebut Gayung.

Umum yang tidak tahu mengenai dunia beladiri atau masih berstatus hijau atau belum masak, akan berkata, silat seperti beladiri lain. Ia seni mempertahankan diri.

Namun bagi yang sudah masak akan berkata silat atau mana-mana beladiri hanya nampak sama tetapi tetap tidak serupa. Ada beladiri mengakui konsep mereka mempertahankan diri kerana tidak menyerang. Mereka menanti. Berbeza dengan silat atau sikap Melayu bila hendak diserang, mereka boleh bertahan dan menyerang sekali gus atau menyerang dalam bertahan.

Falsafah silat tersembunyi dalam sebutan “silat” iaitu elak dan elat (ilat) atau dalam mengelak – mengilat.  Dalam latihan, silat dilihat sepertimana beladiri lain menggunakan mental dan fizikal tetapi pada hakikatnya ia tetap berbeza dalam penyampaian dan pengisian mengikut budaya adab.

Hasilnya silat atau perguruan juga dicerita lisan dengan pelbagai hasil:
1.    Silat sendiri diceritakan secara lisan dari orang yang pandai mengilat ketika  diserang,
2.    Hasil pergerakan tangan seorang imam mengambil air sembahyang (wuduk)  di telaga,
3.    Seorang wanita melihat dua binatang (monyet melawan harimau),
4.    Menggayakan pergerakan binatang-binatang tertentu seperti harimau,
5. Pergerakan-pergerakan mengepung dan membunuh harimau yang  mengganas di kampung,
6.    Hasil dari persembahan atau teater,
7.    Menggabungkan menjadi satu perguruan-perguruan yang telah dituntut.

SILAT – Pakaian & Senjata
Pakaian Silat adalah longgar untuk mudah bergerak. Dalam sejarah peperangan, orang-orang istana memakai sebegitu dan ada juga baju rantai untuk elak panahan, memakai sangga rotan di pergelanggan tangan dan bengkung di perut untuk tegap badan dan juga untuk menahan dan mengalih tikaman senjata tajam. Kesimpulannya, pakaian perlu sesuai dengan tujuan dan matlamat.

Dalam latihan, pakaian perlu lengkap menutup badan atau aurat jika lelaki bercampur dengan wanita.

Ikut sejarah lisan dan bertulis, orang-orang istana dalam bertempur menggunakan senjata-senjata tertentu seperti antaranya keris, sundang, lembing, badik dan tumbuk lada. Keris menjadi senjata utama.

Kerana itu, pakaian perlu sesuai dengan ‘kehadiran’ senjata-senjata berkenaan supaya ia boleh diselit di bahagian-bahagian tertentu badan serta tidak menghalang pergerakan bila bersenjata.

Ada juga menggunakan senjata-senjata rahsia seperti lawi ayam, kerambit dan anak badik yang disembunyikan dalam ikatan pakaian.

Namun sekarang, parang, kapak, buluh dan pelbagai lagi peralatan tertentu telah dijadikan senjata dalam beladiri.

Pakaian dalam persembahan adalah mengikut perguruan dan kesesuaian majlis. Kerana penampilan ‘pertarungan’ hulubalang yang hendak dipersembahkan, pakaian yang menampakkan ciri-ciri orang istana dizahirkan seperti bersetanjak, baju layang, bersamping dan keris.

Apa jua, penampilan pakaian guru atau orang silat yang dijemput hadir dalam majlis tertentu, bentuk rupa (fesyen) atau potongannya berbaju Cekak Musang dan Teluk Belanga. Warnya hitam.

Potongan dan warna ini bagai pemakaian rasmi silat kerana dipakai oleh majoriti perguruan. Secara tidak langsung, ia juga dipakai oleh pesilat-pesilat beriadah iaitu dalam latihan dan bersukan. Ada juga perguruan mempunyai potongan pakaian yang berbeza serta senjatanya.

SILAT – langkah & tari

Ilmu silat pada zaman dahulunya sangat dirahsiakan. Sepertimana dikatakan dan diketahui, ia berasal dari istana dan ilmu itu hanya untuk orang-orang istana untuk mempertahankan kota mereka atau mengembangkan jajahan.

Tidak semua orang boleh diajar terutama luar kota yang mungkin pengintip atau bakal pembelot. Malah tiada siapa mengenal atau ‘menampakkan’ guru silat yang dahulunya digelar Pendita.

Dalam Hikayat Hang Tuah, dicatatkan untuk menjadi penjurit istana seseorang itu terlebih dahulu perlu menuntut ilmu. Hang Tuah dan empat sahabatnya Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekiu dan Hang Lekir terpaksa memanjat Gunung Ledang untuk berguru dengan Pendita Adi Putra.

Seterusnya mendapat perkenan bekerja dalam istana sesudah Hang Tuah dapat membunuh seorang amuk yang cuba membunuh Tun Bendahara. Atas keberanian itu, Tun Bendahara telah membawa Hang Tuah mengadap Sultan Melaka sebelum diperkenan sebagai hulubalang negeri itu.

Hang Tuah tidak belajar begitu lama dengan Pendita Adi Putra, namun selain membunuh orang amuk itu, Datuk Laksamana itu juga berjaya menumpaskan pahlawan-pahlawan Jawa sebelum membunuh Taming Sari di Majapahit. Juga membunuh pahlawan-pahlawan Jepun di Siam.

Apa yang boleh dijadikan sandaran ‘langkah’ orang istana dalam persilatan zaman dahulu adalah ia berpaksi kepada budaya adab sepertimana tidak mengangkat kaki, memberi punggung dan senjata berlaga bila mengadakan persembahan depan Raja Melayu. Mengangkat sedikit kaki dibenarkan depan pembesar-pembesar istana manakala pergerakan bebas bila penontonnya khalayak ramai.

Ertinya silat untuk dimahirkan perlu berguru dan seterusnya mengenal dan mengamal adab budaya Melayu yang mana ia tidak bercanggah dengan agama Islam.

Jika dulu, silat itu ilmu rahsia, hanya diajar kepada keturunan dan orang-orang tertentu sahaja. Kini, silat melalui perguruan termasuk bergerak mengikut syarat-peraturan persatuan telah membuka pintu.

Setiap perguruan ada logo dan Sembah Perguruan tersendiri. Begitu juga dengan  sukatan pelajaran mereka yang mana ada berlangkah dan ada tidak berlangkah. Ada bertari dan ada yang tidak bertari.

Apa yang pasti, silat menyampaikan rahsia ilmu mengenai akal dan jati diri dalam membentuk jiwa berperanan dan bertanggungjawab sebagai Pendekar Negara.

Rujukan:
1. Sejarah Melayu, 2. Hikayat Hang Tuah, 3. Malacca Towards New Horizon, 4. Perkembangan Dunia Islam – Dr Hamka, 5. YDH Dato Sri Wan Haji Abdul Wahid Wan Haji Hassan, 6. Wan Yahaya Abdullah, 7. majalah PENDEKAR, 8. majalah SENI BELADIRI dan 9. petikan Pencak & Silat: Sultan Zainol Abidin (Arkib Negara).  

No comments: