Perhatian


Kebanyakan post di dalam blog ini disalin dari posting dari sahabat-sahabat blogger lain untuk rujukan saya pada masa akan datang. Jadi saya lampirkan sekali link ke post asal bagi menjaga hakcipta post serta memudahkan anda dan saya ke post asal. Harap Maklum

Friday, October 14, 2011

PERANG MUSUH BISIK - SIRI 2

TUNKU KUDIN

PELARIAN-pelarian Melayu di Pulau Pinang dan Seberang Perai bertenang sejenak melihat telatah Siam dari jauh tetapi orang-orang yang menghuni Negeri Kedah dari Terang di Utara hingga ke Sungai Kerian di Selatan yang menghadapi penderitaan dan penghinaan selama ini telah mencetuskan pemberontakan di sana sini.

Dalam tahun 1821 Kedah mempunyai seratus dua puluh lapan buah mukim yang bererti mempunyai seratus dua puluh lapan buah masjid bertaburan di seluruh negeri. Mengikut adat pada masa itu, sebuah masjid didirikan di tiap tempat yang mempunyai sekurang-kurangnya empat puluh empat orang lelaki Islam yang wajib berkumpul menunaikan sembahyang Hari Jumaat. Maka terdapatlah mukim-mukim yang luas dengan penduduk yang tidak ramai dan mukim-mukim yang kecil tetapi padat. Umpamanya di Alor Setar, masih dikenali sebagai Kota Setar, mempunyai dua ribu buah rumah, di Kuala Kedah terdapat seribu buah rumah, di Limbong lima ratus buah rumah, di Anak Bukit tiga ratus buah rumah, di Padang Kerbau terdapat tiga ratus sembilan puluh buah rumah, di Derga serta Titi Siam terdapat seratus buah rumah, di Pengkalan Gajah Mati seratus buah rumah, di Yan seratus buah rumah dan di Pulau Tiga terdapat juga seratus buah rumah.

Di tempat-tempat lain, mengikut catitan Anderson yang membuat temu-ramah dengan pembesar-pembesar Kedah di Pulau Pinang, orang tidak ramai dan masjidnya kecil-kecil. Di Gunong Sali terdapat tujuh puluh buah rumah, di Tajar empat puluh buah rumah, di Akar Peluru dua puluh buah rumah, di Pagar Ayer terdapat lapan puluh buah rumah, (sama banyak dengan rumah-rumah di Kuala Kangsar pada masa yang sama), di Padang Terap dua puluh buah rumah, di Pedu juga terdapat dua puluh buah rumah, dan di Merbok ada enam puluh buah rumah.

Selain dari itu bertaburanlah rumah-rumah orang Melayu di pinggir-pinggir sungai dan di kawasan persawahan, di kelian-kelian bijih dan di kaki-kaki bukit tempat mengumpul rotan dan damar. Di bawah pemerintahan Siam, tempat-tempat ini telah lengang, masjid-masjid tidak berjumaat lagi, sawah terbiar dan bandar Alor Setar dipenuhi hutan-hutan, kampong-kampong lain menjadi rimba, sesuai untuk melancarkan serangan-serangan gurila.

Anak saudara Sultan Ahmad Tajuddin, Tunku Kudin, tinggal di Seberang Perai telah dipujuk supaya memimpin satu angkatan perang menentang Siam. Tunku Kudin ialah anak kepada seorang Arab berbangsa saiyid dari Palembang yang bertalian darah dengan keluarga di Raja Kedah. Nama Tunku Kudin sebenarnya ialah Syed Zainal Abidin. Beliau tinggal di Alor Setar, berhijrah ke Seberang Perai bersama orang-orang pelarian lain.

Siam di Kota Kuala Muda mengetahui sifat-sifat kepimpinan yang ada pada Tunku Kudin telah mengupah beberapa orang jahat untuk membunuh beliau. Penduduk-penduduk yang tinggal di keliling rumahnya telah berjaya mengusir orang-orang upahan Siam ini dan menyelamatkan Tunku Kudin.

Pada suatu malam, sebiji letupan telah berjaya dipasang oleh orang-orang upahan Siam dirumahnya dan telah meletup dengan kuat ketika manusia sedang tidur nyenyak jam tiga pagi. Tunku Kudin telah dijilat api dan melecur sebelah tubuhnya. Azam Tunku Kudin menentang kekejaman Siam bertambah kuat apabila beliau sedar bahawa isteri beliau dan tiga orang anak-anaknya meninggal dunia akibat letupan tersebut.

Tunku Kudin telah kehilangan semua yang disayanginya, isteri dan anak-anak, rumah dan harta benda. Yang bertambah kuat ialah sumpah dan azam menuntut bela.

Orang-orang Melayu di Seberang Perai berkumpul memberi sokongan kepada Tunku Kudin untuk melepaskan kampong halaman di Kedah dari cengkaman Legor. Jumlah orang-orang Melayu yang tegak di belakang Tunku Kudin tidak Kurang dari lima ribu orang. Pada waktu dan ketika yang baik lagi sempurna, perahu-perahu kecil dan besar, beratus-ratus buah banyaknya, lengkap dengan tetunggul dan panji-panji, telah bergerak ke Kuala Kedah. Di sepanjang jalan, angkatan tersebut diturut-sertai pula oleh perahu-perahu dari Kuala Muda, Kuala Merbok, Kuala Yan, Kuala Sala dan Kuala Tebengau. Selepas berihat di Pulau Bunting, angkatan Tunku Kudin terus belayar ke Kuala Kedah dan disana ditemui pula oleh perahu-perahu dari Pulau Langkawi yang turut menghantar bantuan.

Siam-siam yang bersedia di luar Kota telah membedil perahu-perahu Melayu yang mendarat dan dibedil balas oleh angkatan laut Melayu. Pengawal-pengawal Kota mencuba seberapa daya menghalang kemaraan orang-orang Melayu yang ramai mendaki tembok Kota, tetapi dengan kebijaksanaan dan kecekalan hati Tunku Kudin, pertahanan Siam di Kota Kuala Kedah telah patah. Setelah beratus jiwa terkorban dari kedua belah pihak, orang Melayu dapat memasuki Kota itu melalui Pintu Kacapuri, pintu kecil lima puluh ela arah ke Utara pintu sekarang. Tunku Kudin berjaya menduduki Kota Kuala Kedah pada 24 haribulan April 1831.

Orang-orang Siam telah berundur ke Alor Ganu lima belas batu dari Kuala Kedah mengikut Sungai Besar. Di Alor Ganu terdapat sebuah kota tanah yang dibuat oleh orang-orang Melayu kini dijadikan markas tentera Siam. Di Alor Ganu orang-orang Siam bertahan, sementara satu angkatan darat telah dihantar ke Legor menyusul bantuan.

Gabnor Kedah, sebagai pemerintah tertinggi sekali pada masa itu ialah Phaya Buri Rakputon, anak kepada Cau Phaya Nakon Ci Tammarat, Gabenor Legor. Pusat pentadbiran ialah di Kota Kuala Kedah. Adiknya sendiri Phra Sina Nucit, yang lebih dikenali oleh orang-orang Kedah sebagai Com Pabian, menjadi timbalan gabnor. Markasnya di Alor Ganu. Com Pabian ini lebih zalim dari abangnya dan dialah yang paling ditakuti oleh rakyat Kedah. Jadi, apabila Tunku Kudin mengusir Buri Rakputon dari Kuala Kedah, beliau bertumpu ketempat adiknya dan menguatkan pertahanan di Alor Ganu.

Kejayaan Tunku Kudin rupanya menjadi satu kegemparan besar kepada Inggeris di Pulau Pinang. Kononnya, mengikut satu perjanjian antara Inggeris dengan Bangkok yang dibuat dalam tahun 1826 bersamaan dengan Tahun Anjing dalam perkiraan tahun Siam, Inggeris hendaklah melarang dan menegah Sultan Kedah atau rakyatnya dari menyerang mengganggu atau merusak secara mana sekalipun ke atas Negeri Kedah yang telah menjadi Wilayah Siam.

Sebagai membuktikan kepada Siam bahawa Inggeris adalah satu bangsa yang tidak pernah memungkiri janji dan rampasan kuasa oleh Tunku Kudin itu di luar pengetahuan mereka, maka Kerajaan Pulau Pinang telah menghantarkan senjata-senjata dan ubat bedil ke Alor Ganu.

Siam menerima bantuan Inggeris dengan dua belah tangan dan mendesak Inggeris supaya menepati kehendak-kehendak Perjanjian Tahun Anjing itu dengan betul. Sebagai memperaktikkan tafsiran yang difahamkan oleh Inggeris dari Perjanjian itu, Inggeris mulalah mengenakan kepongan-kepongan dan kawalan di kuala-kuala sungai dan di sepanjang pantai Kedah supaya orang-orang dari laut tidak dapat berhubung menyampaikan bantuan dan sebagainya yang bercanggah dengan kepentingan Siam. Bantuan yang mulanya mencurah-curah tiba kepada Tunku Kudin di Kuala Kedah telah terhenti dengan tiba-tiba.

Inggeris telah menghantar dua buah kapal perangnya “Zephyr” dan “Emerald” untuk mengawal di laut Kedah. Tidak lama kemudian dua-dua buah kapal itu diganti pula oleh kapal yang lebih baik dan lebih gagah iaitu kapal “Wolfe” dan “Crecodile”. Kapal “Wolfe” sangatlah ditakuti oleh lanun-lanun Selat Melaka kerana penangannya amat berkesan kaatas perahu-perahu lanun di antara Singapura dan Pulau Pinang. Selama ini, apabila disebut sahaja “Wolfe”, lanun-lanun yang tahan dipahat biji mata pun akan menyusup berkeliaran mencari tempat bersembunyi, maka kapal inilah yang dihantar untuk mengetatkan kawalan di pantai Kedah dan melemahkan Tunku Kudin.

Dalam satu pertarongan sengit antara angkatan laut Kedah dengan angkatan laut Siam di Pulau Payar bertentangan dengan Kuala Kedah, angkatan Siam telah tewas dengan teruk. Kapal “Wolfe” tiba entah dari mana lantas merejamkan peluru-pelurunya ke atas perahu orang-orang Melayu dan memusnahkan sehingga licin seluruh angkatan Melayu yang ada.

Tindakan yang dilakukan oleh “Wolfe”- “Anjing Hutan” ini, adalah satu-satunya peristiwa yang unik di mana orang-orang Melayu telah diajar begitu rupa oleh kapal laut Inggeris.

Sebelum ini, perahu-perahu Melayu telah dikejar dan ditahan supaya jangan mendarat walaupun kerana mengambil makanan dan air, kemudian diusir supaya pulang sahaja. Kali ini “Wolfe” bertindak kasar dan amat menyedihkan pula bila ditilik bahawa perahu-perahu Siam sentiasa dibenarkan masuk atau keluar dengan bebas di mana-mana sahaja mengangkut ubat-ubat bedil dan sebagainya untuk menyerang perahu-perahu Melayu. Hampir seribu orang0orang Melayu yang dibedil ke dasar laut oleh kapal “Wolfe” berkelampong kehulu kehilir berminggu-minggu di laut Kedah selepas peristiwa itu.

Kemusnahan angkatan laut Melayu di Pulau Payar ini melumpuhkan Tunku Kudin yang bertahan didalam Kota. Tunku Sulaiman di Kuala Perai bersiap dengan kira-kira tiga ribu orang untuk belayar ke Kuala Kedah membantu Tunku Kudin. Tunku Sulaiman telah ditahan dan diarah dengan sombongnya supaya balik ke Kuala Perai oleh empat buah kompeni dari Madras Native Infantry yang ke Empat Puluh Enam berpengkalan di Pulau Pinang.

Kota Kuala Kedah telah dikepong dari darat dan dari laut, makanan dan ubat bedil telah kehabusan, penyokong-penyokong juga ramai yang mendapat sakit dan ramai pula yang telah terkorban dalam perjuangan menegakkan bendera merah harimau melompat, iaitu bendera Kedah pada zaman itu. Bendera merah dengan gambar gajah puteh telah dibantu oleh bendera “Union Jack”.

Kota Kuala Kedah dibedil siang malam tidak berhenti-henti sehingga kemungkinan untuk bertahan lebih lama menjadi mustahil. Ramai orang-orang Melayu yang pulang ke Pulau Pinang, dan Seberang Perai, diiringi oleh kapal-kapal “Wolfe” dan “Crocodile” dari belakang.

Kumpulan yang paling akhir sekali bersama Tunku Kudin tinggal Cuma tiga puluh orang lagi. Tiga puluh orang ini telah berjuang beberapa hari menangkis serangan-serangan Siam semata-mata hanya dengan keberanian dan kegigihan yang luar biasa timbul dari keinginan mensyahidkan diri demi keluhuran kota pesaka dan watan seluruhnya. Nasi gerit dan manisan tebu yang menjadi ayapan orang berperang, telah habis dan ubat bedil juga telah berkurangan. Meriam-meriam seperti “Katak Puru” dan “Badak Berendam” serta berpuluh-puluh pucuk lagi meriam lain di Kota itu kononnya telah ada yang berdentum dengan sendirinya sebab tidak cukup kakitangan yang boleh mengawasi.

Tetapi, seperti kata pantun yang diabadikan sehingga sekarang:-

Pulau Sembilan tinggal delapan,
Satu merajuk ke Kuala Kedah;
Sudah nasib perminta badan,
Kita di bawah kehendak Allah;

Maka pada 4 haribulan Oktober, 1831; bantuan Siam dari Legor telah tiba di Kuala Kedah: tujuh ribu tentera dan 300 ekor gajah, menyerang Kota usang itu dari empat-empat penahapnya. Tunku Kudin dengan tiga puluh pahlawannya berjuang habis-habisan sehingga Tunku kudin sendiri telah luka parah di dada dan di pahanya, ubat bedil sudah habis pula.

Tunku Kudin terjatuh, tangannya terkapai-kapai memanggil seorang panglima yang paling karib supaya menghampirinya. Nama panglima itu tidak diketahui lagi, mereka berpeluk-peluk dan kedengaran mengucap dua kalimah syahadah. Kemudian Tunku Kudin menghunus keris pendeknya lantas menikam panglima itu dan panglima itu pula menikam beliau, masing-masing mengelupur sehingga sejuk dan kaku: Seorang di kiri dan seorang di kanan. Kononnya begitulah persetiaan mereka berdua. Biar mati sama sendiri jangan mati dibunuh Siam.

Siam menembusi pintu Kota dan membunuh pahlawan-pahlawan Melayu yang masih hidup. Mengikut “Singapore Chronicle”, mayat-mayat yang bergelimpangan di sekitar Kota Kuala Kedah yang menjadi medan pertemporan yang dahsyat itu adalah di antara enam ribu hingga sepuluh ribu orang. Yang paling banyak terbujur ialah ialah orang-orang Siam kerana angkatan perang mereka jauh lebih besar dari angkatan perang Melayu. Walaupun lapuran “Singapore Chronicle” tidak berapa tepat tetapi boleh dibuat kesimpulan bahawa kumpulan tiga puluh yang terakhir dari angkatan Tunku Kudin bukanlah gerombolan sembarangan, cuma kerana “sudah nasib perminta badan”. Mungkin, kalau tidak disokong Inggeris, Siam tidak dapat lagi bertapak di Kedah, dan Kota Kuala Kedah pulang ketangan yang empunya nya. Tunku kudin menduduki Kota Kuala Kedah selama lima bulan dan lima belas hari.

Cerita Tunku Kudin tidak tamat begitu sahaja selepas beliau mati. Kepalanya dipanggal dan dibawa ke Legor dengan gajah. Tiba di sana, kepala itu diletakkan di atas talam tembaga yang berkaki, beralas dan berenda, kemudian di tatang oleh panglima perang Siam yang paling tua, sambil mengisut menyembahkannya kepada Raja Legor, Cau Phaya Nakon Si Tammarat. Beliau sangat ingin hendak menatap wajah pahlawan Melayu begitu handal dan gagah, sangat dikagumi oleh orang-orang Siam.

Raja Legor memandang dengan tidak terkelip matanya, terpesona juga dengan janggut jambang dan rambut menjejak tengkok di kepala yang tak berbadan itu – masih haibat dan menggerunkan. Kadar sejenak, Raja Legor bertanya “Mana badannya?”. Panglima Perang menggelengkan kepalanya dan menyembah, “Tidak berguna Cau Phaya, hatinya sudah dimakan orang”.

Entah benar entah tidak, tetapi inilah riwayat kepala di atas talam yang satu-satunya pernah didengar di dunia ini, selain dari kepala “John the Baptist” yang dipersembahkan kepada King Herod Antipas oleh tukang-tukang kelarahnya lebih 2,000 tahun dahulu.

SERANGAN SIAM KEATAS LANGKAWI

Lazimnya pokok-pokok lada memutih berbunga di dalam bulan Jun dan buahnya memutik di dalam bulan Ogos. Gugus-gugus yang menghijau mula masak dan bertukar ke warna merah sebelum menjadi hitam legam dalam bulan Nobember.

Apabila warnanya telah hitam legam barulah dapat dipunggut dan dijemur sebelum dijual kepada pedagang-pedagang yang datang dengan perahu dan tongkang dari Pulau Pinang dan dari Sumatera. Kerja memetik lada ini berlangsong sehingga dua tiga bulan.

Kadang-kadang kapal Eropah dari Belanda atau Perancis, juga kapal Portugis, singgah di Pulau Langkawi membeli lada-lada di sini kerana lada Langkawi dianggap paling baik di seluruh Kepulauan Melayu.

Lada-lada yang masih muda boleh dibuat hulam dan kerabu, kemudian bila dicampur denga buah-buah lain boleh dibuat acar atau jeruk yang sedap. Pokok lada tumbuh membelit di batang-batang pokok lain dan berbuah dengan lebat didalam kampong-kampong di kaki Gunong Raya. Lada di Pulau ini disukat dengan gantang dn tidak ditimbang seperti di tempat-tempat lain. Pedagang-pedagang sangat suka membeli dengan gantang kerana penjualnya tidak menipu. Ditempat-tempat yang menggunakan timbangan, lada-lada di sana dicampur air, digaul dengan pasir atau batu supaya berat.

Sesebuah kapal biasanya membeli empat puluh bahara lada hitam iaitu sebanyak hampir-hampir sepuluh ribu gantang. Perusahaan lada menjadikan Langkawi sebuah pulau yang mashyur dan penduduknya sebok sepanjang tahun.

Ketika penduduk langkawi sebok memetik lada hitam, saudagar-saudagar sebok tawar menawar dalam bulan Nobember, 1821, tentera-tentera Siam sampai dari Legor denga tujuan memusnahkan Langkawi menjadi padang jarak padang terkukur. Serentak dengan serangan keatas Kuala Kedah, Siam telah mendarat di Padang Mat Sirat dengan empat tugas yang penting iaitu membunuh semua orang yang melawan, menawan orang yang dewasa, memusnahkan rumah tangga serta tanam-tanaman, dan merampas harta benda yang berharga.

Kira-kira tujuh pernama sebelum ini, Mahsuri telah dibunuh di Padang Mat Sirat oleh Dato’ Kerma Jaya. Belum reda kisah-kisah itu dibualkan orang, Dato’ Kerma Jaya menghadapi pula serangan dari Legor yang berazam menhancurkan seluruh Negeri Kedah. Dato’ Kerma Jaya dibantu oleh penolongnya yang cekal, Dato’ Panglima Hitam. Mereka berdua menyusun dan mengarahkan pertahanan sepulau dan perairan sekelilingnya. Gendang raya di Bohor Masjid atas bukit di Mukim Temonyong dipukul lagu perang. Hujan panas turun renyai-renyai.

Langkawi mempunyai penduduk seramai empat ribu orang pada masa ini dan beribu-ribu lagi yang tinggal di Pulau Telibun dan Pulau Terutau. Serangan Siam yang telah lama juga di duga oleh orang-orang Melayu terutamanya oleh orang-orang yang pernah berulang alik ke Setol dan Legor, ditentang seberapa terdaya. Kepada orang-orang Siam Langkawi merupakan satu benteng Kedah yang paling kuat dan lebih sukar dari menakluki seluruh tanah besar. Di Langkawi Siam melancarkan gerakan “Bumi Hangus” yang dahsyat sehingga sehelai kangkong laut pun tidak di tinggal menghijau di Pantai Padang Mat Sirat.

Berkoyan-koyan beras di gudang Dato’ Kerma Jaya yang dikumpul untuk menyara anak-anak buah dan orang-orang pelarian telah dibakar oleh Siam. Sedang asapnya menggulung naik ke langit, hujan lebat telah turun dengan tiba-tiba. Beras yang seharusnya menjadi habu tertinggal menjadi beras juga untuk disaksikan oleh orang kemudian, warnanya hitam seperti arang.

Bila hari hujan, beras terbakar ini boleh dipungut dari pasir-pasir yang dinaungi oleh pohon-pohon kelapa. Dibawah pohon-pohon kelapa itu terbujur kubur-kubur kesatria dan serikandi yang telah terkorban. Setengahnya bernisan, banyak yang tidak.

Seperti yang berlaku di Kuala Kedah turut berlaku di Langkawi. Orang tua-tua, lelaki dan perempuan, serta anak-anak berselirak tidak tentu arah. Yang baru balik dari laut rasakan gila kerana belum kering kain dipinggang terpaksa turun ke perahu pula dan terus berkayuh ketengah laut. Yang muda-muda di arah mempertahankan kampong bersama satria-satria Dato’ Kerma Jaya dan Dato’ Panglima Hitam. Orang-orang perempuan dan kanak-kanak dikawal oleh orang tua-tua berhanyut ke tengah lautan luas supaya tidak dapat ditawan oleh orang-orang Siam. Dari jauh mereka memandang asap yang menggulung, membakar bumi Langkawi. Setengahnya bernasib baik sampai di Pulau Pinang bertemu dengan pelarian-pelarian yang lebih ramai mencurah-curah dari tanah besar Kedah. Setengahnya bertemu dengan perahu dari Kuala Kedah yang ingin menuju ke Langkawi dinasihati supaya mengubah fikiran dan menuju ke Selatan sahaja. Setengahnya dengan perahu sebesar tapak tangan mengikut arus hingga ke Siak dan ke Acheh.

Ramai orang-orang Langkawi yang tinggal turun temurun di Siak, Batu Bara, Tanah Acheh dan sekitarnya berasal dari pelarian-pelarian perang ini, sama ramai dengan orang-orang dari sana yang turun temurun tinggal bertanah air di Langkawi pula.

Di Pulau, perjuangan tidak kenal batasan sebab laut berkelilingan. Yang tidak bernasib baik di tawan oleh Siam kemudian dibunuh ditengah laut. Yang berumur panjang di cucuk cuping telinga dengan rotan sega, diseret supaya menaiki perahu beramai-ramai, seorang terjatuh ramai turut merendahkan diri kerana rotan seutas mencucuki cuping nan banyak. Seperti ikan yang dikarang orang-orang ini dibawa ke Legor menjadi orang suruhan pembesar-pembesar Siam dan kononnya menjadi penari “Wayang Lakon” di sana.

Beratus-ratus orang Melayu yang tinggal di Legor berkumpul di sebuah kampong yang dipanggil “Kampong Pulau” mengakui asal mereka dari Langkawi hingga sekarang ini. Yang tua-tuanya pandai mengulangi kisah-kisah Mahsuri kepada anak cucunya dan memesan kepada orang yang pergi ke Langkawi supaya membawanya balik sedikit air dari Tasik Dayang Bunting buat diminum cucunya yang mandul.

Sebelum berakhir tahun 1821, sekurang-kurangnya dua kali lagi Siam dari Legor menyerang Pulau Langkawi secara besar-besaran. Legor amat marah kepada Langkawi bukan sahaja kerana keindahan dan kemasyhurannya tetapi juga kerana penangan-penangan dari Pulau ini amat haibat sekali. Apabila pelarian-pelarian dari kuala Kedah berhijrah ke sini, benteng Pulau bertambah kuat dan serangan-serangan hendap ala Langkawi iaitu bertindak dari sebalik pulau-pulau yang berselirak memberi pukulan haibat keatas orang-orang Siam.

Dalam satu serangan dalam bulan Disember tahun itu, angkatan Siam telah mendapat bantuan dari tentera-tentera Setol dan Lungu. Tetapi ramai yang tidak dapat balik ke Setol dan ke Lungu lagi kerana diserang oleh orang Langkawi yang tiba-tiba muncul dari celah-celah pulau yang tidak berpenghuni dan ramai yang terjelir lidah kerana terminum air dari perigi-perigi beracun.

Satu angkatan Siam berjaya mendarat hingga ke Ulu Melaka. Di Ulu Melaka mereka terpegun melihat orang-orang Melayu telah meninggalkan rumah-tangga berkumpul kecil besar tua dan muda di masjid. Masjid itu lantas dibakar supaya rentong bersama dengan manusia didalamnya tetapi api tidak mau marak. Kawasan masjid telah musnah dijilat api tetapi masjid sendiri tidak terbakar dan manusia-manusia di dalamnya menyerah diri kepada tuhan dengan tenang.

Masuk waktu Lohor Imam memerintahkan bilal melaungkan azan, “Allah-u Akbar, Allah-u Akbar.......! Ketika itulah tentera-tentera Siam mengundurkan diri berpusu-pusu lari arah kepantai tempat perahu-perahu mereka bertambat.

Sebahagian besar orang-orang Ulu Melaka tidak muat didalam masjid itu. Mereka yang bersembunyi di luar masjid menggempur Siam-siam yang sedang berkeliaran supaya lebih cepat sampai kepantai. Di sana perahu-perahu mereka sudah pun dirampas noleh orang-orang Melayu. Dari masjid ulu Melaka ke pantai paling hampirnya ialah sejau empat batu tetapi Siam-Siam ini memilih jalan yang lebih jauh seolah-olah memberi kesempatan kepada orang-orang Melayu menggunakan panah beracun mereka. Hampir kesemua tentera-tentera Siam kali ini gugur untuk dijadikan baja pokok-pokok kelapa dan bantu menyuburkan pokok-pokok lada mereka yang akan ditanam semula.

Ketika bumbong Masjid Ulu Melaka ini diganti dengan yang baru beberapa bulan sudah baru-baru ini, tiangnya masih yang seratus enam puluh tahun itu juga; terdapat kelarai-kelarai kesan asap dan jelaga. Bedebar juga mengenangkan deraan orang yang tabah dan tebal imannya berdiri di dalam masjid tidak gentar kepad api yang menggila di luar kerana di dalam dadanya lebih panas lagi api iman. Di samping masjid bertuah itu bertemu pula orang baru-baru ini sepasang nisan seorang serikandi yang syahid pada zaman itu.

Dato’ Kerma Jaya menyusun rapi angkatan laut Langkawi supaya keselamatan penduduk-penduduk Pulau terjamin dan musuh tidak akan menelus kedarat dengan tidak disedari. Seperti yang diduga, satu angkatan Siam telah tiba pada penghujung tahun 1821 dan berlakulah satu pertarungan yang paling haibat dalam sejarah Pulau Langkawi. Pertempuran sengit antara angkatan-angkatan Dato’ Kerma Jaya dengan angkatan Siam berlaku di Selat Bagalah Balik iaitu antara Pulau Besar Langkawi dengan Pulau Bumbun. Dua-dua pihak telah kehilangan banyak jiwa dan dalam pertempuran inilah Dato’ Kerma Jaya mendapat luka parah. Beliau tidak menghiraukan kesakitan yang dialaminya terus memekik arahan supaya pengikutnya terus berjuang. Tiba-tiba badannya terlontar kedalam laut dan tak dapat diselamatkan.

Dato’ Panglima Hitam turut mendapat luka-luka parah di dadanya dan menghembuskan nafas yang akhir sama sehari dengan Dato’ Kerma Jaya. Dato’ Panglima Hitam sempat di bawa ke darat dan di kebumikan di Telaga Tujuh tempat yang sentiasa sejuk di pinggir Gunong Mat Chincang. Setengah riwayat mengatakan kuburnya di Ujong Buloh iaitu di tanjong yang paling selatan menghadapi laut lepas tempat beliau meninjau layar-layar perahu musuh sepanjang hidupnya. Panglima Hitam dianggap keramat di Langkawi dan Panglima Hitam tidak mati-mati malahan masih berkawal di sana sini di Pulau Langkawi.

Di Tanjung Tirai terdapat sebuah kuburan sepanjang tiga depa. Nisannya dapat dilihat dari laut tegap diatas bukit. Kononnya ialah kubur Dato’ Kerma Jaya, tetapi disangsikan oleh anak cucunya kerana Dato’ Kerma Jaya berkubur di laut – lebih panjang dari tiga depa
.


(disalin tanpa edit dari Mas Raden di group facebook JP PSSCM)

5 comments:

SYED NAHAR SYIHAB said...

Tunku Kudin atau Syed Zainal Abidin bin Syed Muhammad Azzahir merupakan keturunan yang ke36 dari Baginda SAW.Sebelum peprangan ini berlaku Beliau sempat menghantar anaknya Syed Huddain ke Pelaju,Palembang untuk mendalami ilmu agama dan persilatan.Makam syed Hussain terdapat di dalam kawasan Masjid Kota Raja,Kota Kuala Muda.keturunannya masih ada sehingga sekarang terutama di Kedah dan Kuala Lumpur.

SYED NAHAR SYIHAB said...

Tunku Kudin atau Syed Zainal Abidin bin Syed Muhammad Azzahir Syihabuddin merupakan keturunan yang ke36 dari Baginda SAW.Sebelum peprangan ini berlaku Beliau sempat menghantar anaknya Syed Huddain ke Pelaju,Palembang untuk mendalami ilmu agama dan persilatan.Makam syed Hussain terdapat di dalam kawasan Masjid Kota Raja,Kota Kuala Muda.keturunannya masih ada sehingga sekarang terutama di Kedah dan Kuala Lumpur.

SYED NAHAR SYIHAB said...

Tunku Kudin atau Syed Zainal Abidin bin Syed Muhammad Azzahir Syihabuddin merupakan keturunan yang ke36 dari Baginda SAW.Sebelum peprangan ini berlaku Beliau sempat menghantar anaknya Syed Hussain ke Pelaju,Palembang untuk mendalami ilmu agama dan persilatan.Makam syed Hussain terdapat di dalam kawasan Masjid Kota Raja,Kota Kuala Muda.keturunannya masih ada sehingga sekarang terutama di Kedah dan Kuala Lumpur.

Firdaus Abd Rahman said...

terima kasih kerana sudi singgah dan komen di blog saya

Firdaus Abd Rahman said...

terima kasih kerana sudi singgah dan komen di blog saya