Perhatian


Kebanyakan post di dalam blog ini disalin dari posting dari sahabat-sahabat blogger lain untuk rujukan saya pada masa akan datang. Jadi saya lampirkan sekali link ke post asal bagi menjaga hakcipta post serta memudahkan anda dan saya ke post asal. Harap Maklum

Tuesday, October 18, 2011

PERANG MUSUH BISIK - SIRI 6

PEMBINAAN KOTA-KOTA TANAH

ORANG-ORANG Melayu yang tinggal menetap di dalam negeri sepanjang zaman pemerintahan Siam bersyukur kepada Tuhan kerana Kedah telah bebas semula dari cengkaman Siam. Mereka inilah yang menjadi teras kepada gerakan pembangunan yang disusun semula oleh Tunku Abdullah dan Tunku Muhamad Saad serta panglima-panglimanya.

Gendang raya dipukul menandakan masuk waktu bersembahyang dan suara bang dilaungkan garuk dan parau melayup hingga ke bintang timur tinggi. Sudah berani orang berkumpul dimasjid-masjid dan di bandarasah melakukan sembahyang berjemaah dan membaca Yassin beramai-ramai. Di masa yang bergelora di bawah pentadbiran Siam, amat ramai orang yang beramal ibadat kepada Tuhan menumpu sepenuh minat hanya kepada kerja-kerja yang direzainya supaya masin doa’ dan permintaan terutamanya buat menjauhkan bala dan bahaya dari kampong halaman dan kaum keluarga. Sekali sekala terdengar orang meminta tolong kerana dirompak dan dianiayai oleh orang-orang Siam dan pengikut-pengikutnya ; sekarang tidak akan kedengaran lagi! Sekali sekala orang-orang Melayu akan mengumpulkan anak isteri ditempat yang selamat meninggalkan mereka kepada jagaan Tuhan kerana mereka terpaksa mendaki bukit menyerang segerombolan tentera Siam yang baru tiba menindas orang-orang kampong. Sekarang tindakan begitu tidak perlu lagi! Syukur alhamdu Lillah!

Tunku Muhamad Saad merancangkan supaya penduduk-penduduk di Negeri Kedah bertambah ramai. Beliau menghantar utusan ke Pulau Pinang, Seberang Perai dan ke Perak menjemput semula penduduk-penduduk asal negeri ini pulang ke kampong halaman dan membersihkan sawah serta dusun masing-masing.

Disamping itu beliau menggalakkan perniagaan beras, kerbau lembu dan ayam itik dengan Seberang Perai. Perniagaan yang semakin hari semakin rancak ini disebut-sebut oleh Siam kepada Gabenor Bonham tetapi Inggeris tidak dapat mengawal sempadan untuk menyekat perniagaan yang menguntungkan kedua-dua pehak. Pusat-pusat perdagangan terdapat di Kota Kuala Muda, di Pekula, di Rantau Panjang, di Pinang Tunggal, di Serukum, di Sidam hingga ke Lubuk Kiap. Orang-orang disini sibok menjual beli hingga jauh kedalam kawasan Inggerisdi Seberang Perai. Dalam zaman Siam perniagaan ini dilakukan secara berselindong sekarang sudah terbuka lantang kerana Siam tidak ada lagi dan barangan makanan tidak mencukupi di kawasan Inggeris.

Pentadbiran baru dibawah Tunku Abdullah masih bimbang dengan ancaman dari Siam yang pergi dengan tidak berhantar kalau-kalau datang pula dengan tidak bersambut. Rancangan pertahanan negeri mengambil tempat yang utama dalam bidang pembangunan semula di bawah kelolaan Tunku Muhamad Saad. Sekarang masih boleh dilihat tembok-tembok, kotatanah sebagai benteng pertahanan didirikan oleh orang-orang kampung ditempat-tempat yang ditentukan oleh panglima-panglima perang. Kota-kota tanah yang memang telah lama didirikan diperbaiki semula dan diperkuatkan. Di antara kota-kota tanah yang terpenting ialah di Pinang Tunggal tempat menyambut bekalan senjata dan bantuan tentera dari Seberang Perai dan Perak. Kotanya tinggi dua puluh kaki dan tebalnya di tempat yang paling nipis ialah dua depa. Jaraknya dari tebing Sungai Muda hingga kekaki sebuah bukit kecil lebih kurang tiga ratus ela. Kota ini masih dapat dilihat lagi hari ini. Kota-kota lama di Siputeh, di Kota Kuala Muda, di Merbuk, di Tebengau, diperkuatkan.

Angkatan perang Melayu membantu orang-orang kampung membina kota yang paling panjang sekali di utara iaitu di tebing Sungai Kedah di Limbung hingga ke Jerlun sejauh lima belas batu. Kota ini melalui kawasan-kawasan yang penting seperti Pekan Limbong yang menjadi sebuah pusat perniagaan yang sibuk pada masa ini, Langgar, tempat letaknya permakaman raja-raja Kedah, Lepai dan Bukit Pinang tempat letaknya beberapa buah istana, Alor Ganu dan Padang Saujana tempat letaknya beberapa buah kubu pertahanan yang kuat di tebing Sungai Kedah, Kota Rentang dan Jerlun ialah lagi kubu-kubu yang stratejis diharap dapat menyekat kemaraan musuh dari utara dan dari laut. Kota panjang ini ialah benteng utama mempertahankan Kota Setar dan Kota Kuala Kedah dari pukulan mengejut. Kota panjang ini sekarang dikenali sebagai Kota Limbong, Kota Kudung Kota Langgar, Kota Lepai, Kota Bohor, Kota Alor Ganu, Kota Padang Saujana, Kota Rentang, dan dari situ hingga ketepi laut sudah tidak ada kota lagi. Panglima yang berjasa mengepalai kerja-kerja membina kota di Langgar dan di Limbong ialah Datuk Lela yang berasal dari Petani.

Di tempat-tempat di selekoh kota diletakkan meriam dan peluru-peluru besi serta ubat-ubat bedil. Tempat-tempat ini dipanggil “Melor Hati”. Di sinilah banyak terdapat peluru-peluru yang berkarat belum digunakan lagi dengan tulang-tulang manusia bersusun tideh. Datuk Lela akhirnya menjadi seorang pembesar Sultan Kedah dan anak cucunya masih ramai berbakti di Kedah.

Selingkar kota tanah dua depa lebar dan sepuluh kaki tinggi dibina mengelilingi Anak Bukit ialah sebuah lagi pusat perniagaan yang tidak mati walaupun di bawah pentadbiran Siam.

Di Kota Setar dibina sebatang kota tanah dari Tanjong Pembunuh hingga ke Kampung teluk di selatan Sungai Kedah. Sekarang Jalan Kota Tanah berlari betul-betul di atas kota itu.

Di Kuala Kedah terdapat juga sebatang kota tanah dibina sebelah matahari naik Kota Kuala sebagai benteng kepada pelabuhan Kuala Kedah dari serangan darat. Datuk Menara, berasal dari Petani, dikatakan bertanggongjawab membina kota ini.

Selain dari kota-kota tanah yang disebut ini ada juga kota-kota yang dibinakan di merata-rata tempat yang dipikirkan perlu berbenteng seperti di Kota Mengkuang, Kota Giam, Naga, Kota Sena, Kota Kayang dan di Bukit Pinang.

Orang-orang di Setol turut membina beberapa buah kota tanah juga di Mambang Sengkara, di Kuala Langu, di Kampung Kota dan di Kuala Bara. Kampong Mambang Sengkara dikenali sekarang sebagai Kampong Pikman dan kotanya dibuat dari tanah bercampur batu. Hari ini orang-orang Melayu di sana menyebutnya Kota Raja Bersiong.

Lebar kota-kota tanah ini boleh dikatakan sama sahaja dimana-manapun iaitu dua tau tiga depa dengan tingginya lebih kurang lima belas kaki. Disebelah luar dikorek pula parit besar memanjang tembok kota dan dipinggirnya antara parit dan tembok dijajarkan batang-batang buluh hidup yang akhirnya tumbuh menghijau dan menambahkan lagi kekebalan kota-kota ini. Biasanya apabila pokok-pokok buluh ini membesar dan berumpun, batangnya tidak lut oleh bedilan-bedilan astanggar atau lela. Kadang-kadang peluru meriam pun akan melantun kesasaran lain jika bergesel dengan kulitnya yang licin dan keras itu.

Orang-orang inggeris cemas melihat kota-kota tanah yang menghijau dengan pokok-pokok buluh duri di Pinang Tunggal telah membedil kota-kota disana dengan alasan mengusir lanun-lanun yang lari kesitu. Inggeris tidak berjaya menembusi benteng-benteng ini. Batang-batang buluh hanya menggeliat dan mendengkur apabila ditiup angin yang panas.

Dimasa-masa yang tidak ada lanun, Inggeris membedil kota-kota tanah ini sesukanya dengan alasan menembak burung-burung pala dan burung seriap yang memangnya banyak bercengkerama diparit-parit kota. Di Kota Langgar terdapat sebuah kuburan Inggeris membujur sejak tarikh ini yang mungkin menerima ajalnya bukan kerana demam malaria, mungkin kerana terlalu lincah membedil burung seriap juga. Di Tanjung Inggeris banyak terdapat kuburan satria, ramai diantaranya ialah anak cucu Datuk Lela.

Orang tua-tua masih menceritakan bagaimana pokok-pokok buluh ini telah lenyap kerana ditebang oleh orang-orang Melayu sendiri. Inggeris mendapat akal bahawa orang-orang di Pinang Tunggal semuanya gemarkan wang ringgit, malahan mereka ialah ahli-ahli perniagaan yang handal diperbatasan pada masa itu. Jadi, orang-orang Inggeris menggunakan wang-wang emas dan perak sebagai peluru membedil pokok-pokok buluh dipinggir kota tanah disana. Orang-orang Melayu berebut-rebut mengambil wang-wang emas dan wang perak ini dari celah-celah pokok buluh. Bagaimanapun masih ada juga wang-wang yang terselit dicelah-celah perdu dan umbinya. Untuk memungut semua wang-wang yang tidak patut dibiarkan membazir disitu, mulalah pokok-pokok buluh itu ditebang serumpun demi serumpun.

Pada masa kekeringan belanja, diwaktu yang aman-aman, orang-orang kampong menebang buluh dikota mereka dan memungut sekeping dua wang emas atau wang perak. Kerana datangnya dri mulut meriam, wang-wang emas dan perak ini sebam-sebam hitam bekas terbakar dan kemik-kemik. Terdapat juga wang-wang emas begini yang sebam-sebam hitan dan kemik-kemik, di Limbong, di Langgar dan di Alor Ganu. Wang-wang itu dipungut orang kemudian dilebur, dijadikan barang-barang kemas murah.

Alangkah baik kalau wang-wang emas dan wang-wang perak itu disimpan untuk ditunjuk kepada anak cucu masa-masa mereka kehampaan semangat, mudah-mudahan timbul geramnya membuktikan bahawa dia tidak mudah dibeli dengan wang-wang yang sebam hitam dan kemik-kemik, walaupun emas walaupun perak.

RAMAI YANG MATI SYAHID

PERTENGAHAN bulan Mac tahun 1839, tentera Siam seramai lima belas ribu orang telah sampai di Kuala Jerlun memikul istinggar-istinggar yang bercap “East india Company”. Orang-orang Siam menggunakan beratus-ratus ekor gajah memikul bekalan makanan, meriam kecil dan ubat bedil.

Sebelum orang-orang Kedah sempat mengkaji dimana letaknya kelemahan mereka, Kota Alor Ganu dan Kota Padang Saujana telah jatuh ketangan orang-orang Siam. Kejayaan ini dapat mengasingkan orang-orang Melayu di Langgar dengan orang-orang disebelah Kuala Kedah. Siam telah menggempur Alor Ganu disebelah malam dan ramailah orang-orang Melayu yang gugur. Seorang daripadanya ialah Panglima Hitam yang dianggap keramat di Padang Saujana. Kuburnya masih menghiasi kampong itu hingga kehari ini. Syed Husin yang menjadi pengharapan Tunku Muhamad Saad di Kota ini telah terkurban bersama-saman enam ratus orang perwira.

Alor Ganu mempunyai beberapa pucuk meriam yang berjasa dan sekarang telah dapat dipergunakan oleh Siam. Dari Alor Ganu Siam menghantar rombongan-rombongan penyerang malam ke Kota Rentang dan Pulau Kerengga, tempat-tempat ini dengan senangnya diduduki Siam dan matlamat mereka hendak merebut Kota Kuala Kedah bertambah mudah apabila Gunung Keriang dapat dijadikan markas yang kedua selepas Alor Ganu. Dari Gunung Keriang mereka melancarkan serangan keatas Kota Kuala Kedah tiap-tiap malam dan berundur semula ke Gunung Keriang di waktu siang.

Sebuah lembaga Buddha tersenyum dipinggir Gunung Keriang dibina oleh tentera-tentera Siam ketika merayakan kejayaan mereka merampas negeri Kedah dari Tunku Kudin dahulu sibuk dipuja semula.

Satu ketumbukan orang Siam dihantar menyerang Langgar dan Limbong melalui Bohor, Lepai dan Sungai Mati. Datuk Lela berjuang mati-matian. Disepanjang-panjang kota dari Limbong hingga ka Kota Rentang dan terus ke Kuala Jerlun bersusun-susun mayat perajurit yang terkurban. Diatas tembok kota itulah dikebumikan dan ditalkinkan.

Sekarang ini, selain dari senjata yang berkarat, peluru-peluru meriam dan tunggul-tunggul buluh yang tuaterdapat di tembuk-tembuk kota lima belas batu ini terdapat pula batu-batu kerikil menandakan kepala dan kaki pahlawan-pahlawan yang gugur. Terdapat juga nisan yang cantik berselirak di Langgar dan di Limbong, beratus-ratus banyaknya menandakan beratus-ratus pula yang sempat dikuburkan dengan sempurna. Di Negeri Kedah ini, dimana terdapat nisan yang usang, letaknya tidak jauh dari kota tanah, tempat mereka berjuang.

Terdapat kubur seorang ulama di Serokan hampir perbatasan Kedah dan Seberang Perai, seorang pejuang yang gugur mungkin dalam pertarungan kali ini juga dan dinisannya berpahat dengan “Inna fatahna laka fathan mubina” membayangkan harapan kuat untuk orang Melayu menempa kejayaan dan senandongnya irap-irap syair orang Langkawi. Beberapa banyak nisan yang tidak bernama beratus-ratus banyaknya di Langgar dan di Limbong. Berapa banyak Panglima Hitam, Tok Serban Hijau, Tok Tungkat, Tok Janggut, Keramat Anak Dara, Tok Amar, Tok Raja dan lain-lain yang ada disana dan di Alor Ganu, di Naga, di Kuala Kedah dan di Anak Bukit, di Kalai, di Bukit Wang dan di Pulau Pisang dan di Perlis serta di Setol. Berpuluh-puluh yang berdarah raja sempat dikumpulkan didalam Kota Makam di Langgar, ramai pula yang tercicir bersama rakyat sebanyak. Banyak lagi Tok Jambi, Tok Pasai, Tok Siak dan Tok Kemboja, di merata-rata tempat yang syahid bersama orang-orang Kedah. Di Mempelam dekat Kuala Kedah tersadai mayat seorang ulama Banjar, Shaikh Mas’ud dari titisan Raja Kartasyuta Banjarmasin, tidak sempat dikuburkan hilang dibawa arus.

Alor Setar menjadi tempat pertarungan haibat yang sukar diatasi oleh angkatan Legor. Istana Sultan dan Balai Besar ialah diantara bangunan-bangunan yang kuat sekali dipertahankan. Meriam-meriam yang digunakan dalam pertahanan bandar ini masih menghiasi perkarangan Masjid Zahir. Bukanlah secara kebetulan meriam-meriam itu diletakkan diperkarangan Masjid Zahir tetapi dirancangkan kerana di tapak masjid itulah letaknya sebuah perkuburan luas para pejuang yang terkorban. Apabila Masjid Zahir didirikan disitu dalam tahun 1913, kubur-kubur para pejuang dipindahkan ke Alor Merah dan ke Akar Peluru. Tetapi masih banyak yang tidak dipindahkan bernirai-nirai di perkarangan Masjid hingga ke tebing sungai tanpa nisannya. Meriam-meriam di perkarangan masjid itu Cuma menjadi kesan peninggalan kepada tapak atau medan pertarungan antara Islam dengan bukan Islam lebih seratus tahun dahulu.

Kuburan para pejuang terdapat juga di tebing Sungai Kedah dikawasan Mahkamah Rendah sekarang. Sebuah kawasan perkuburan yang lebuh luas ialah di Tanjung Bendahara. Tok Lidah Hitam berhampiran pintu masuk ke kawasan Kolej Sultan Abdul Hamid ialah lanjutan dari perkuburan Tanjung Bendahara itu. Sepucuk meriam di hadapan bangunan asrama Kolej ditemui di kampong Tanjung Bendahara di belakang asrama tersebut. Sepucuk lagi meriam besar tetapi telah patah ada di tebing selatan Sungai Kedah bertentangan dengan Kampong Tanjung Bendahara ini.

Orang-orang Suka Menanti dan Alor Merah memberi pertentangan sengit yang menjadi buah mulut sehingga hari ini. Kota tanah di Pantai Johor ialah sebahagian dari kota pekeliling yang melengkongi Istana Anak Bukit. Meriam yang menjadi perhiasan di Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim, di Jenan, ditemui di kuala Sungai Alor Merah.

Masa kelang padi Kerajaan di Anak Bukit hendak didirikan dalam tahun 1920 (?) dahulu, orang-orang kampong telah diupah menggali sebuah perkuburan di tapak kelang itu dan mengubah tulang-tulangnya ke tempat lain. Beratus-ratus kubur kepunyaan para pejuang yang mempertahankan Anak Bukit juga didapati jasad-jasad yang tidak reput, masih merah dan bersih, tanda-tanda orang mati syahid.

Sedang tentera-tentera Siam beransur tiba dan mencetuskan pertarungan di sana sini beratus-ratus buah perahu kecil dan besar serta rakit dan apongan dari ulu telah menghilir ke Kuala meminta perlindungan kapal perang “Hai Seng”. Kapten Warren yang diperintahkan supaya membantu Siam di dalam peperangan ini diarah dengan tegasnya pula supaya menolong orang-orang yang meminta perlindungan Inggeris. Kebengisan Siam yang di luar peri kemanusiaan termasyhur ke mana-mana.

Kapten Warren telah pun menyediakan sebuah tongkang besar, sebuah top, lima buah perahu besar dan seratus lima belas perahu-perahu kecil di keliling kapalnya untuk membawa orang-orang pelarian ke Pulau Pinang.

Sebuah kapal perang, “Emerald” yang mempunyai dua puluh lima orang kelasi Melayu telah mengiringi tiga ribu orang pelarian dari Kuala Kedah ke Pulau Pinang. Dalam perjalanan mereka disertai pula oleh pelarian-pelarian dari lain-lain kuala dan kejadian seperti tahun 1821 berulang semula. Dua pertiga dari pelarian-pelarian yang berhijrah ialah wanita dan kanak-kanak serta orang-orang tua dan orang-orang yang tidak berdaya. Penghijrahan ini berlangsong selama beberapa malam berturut-turut dan Bandar Pulau Pinang gempar semula dengan kisah-kisah keganasan Siam.

SIAM MENEWASKAN TUNKU MD. SAAD

MASA Tunku Muhamad Saad menyerang Siam di Kedah dan membebaskan negeri itu dari cengkaman mereka, Gabenor Legor dan Gabenor Senggora berada di Bangkok menghadiri upacara penghangusan jasad Bonda Rani ibu kepada Maharaja Rama III. Bila mereka diberitahu orang-orang Melayu telah menduduki semula negeri Kedah dan negeri-negeri Melayu di Selatan telah turut dibebaskan, mereka memohon bantuan dari Bangkok dan dari wilayah mereka sendiri seperti Legor, Senggora, Petalong dan juga dari Kelantan dan Petani.

Gabenor Legor menghantar utusannya menemui Inggeris di Singapura dan dua-dua pihak telah bersetuju akan saling bantu-membantu. Inggeris bersetuju mengepung Kedah dari laut dalam bulan Disember ketika angin ribut Timur Laut bertiup. Dalam bulan itu, Siam akan menyerang dari darat dengan lapan puluh ribu orang tenteranya.

Seperti yang dijanjikan, kapal Inggeris bernama “Hyacinth” tiba dan berlabuh pada 7 haribulan Disember 1838 dua ratus ela dari Kuala Sungai Kedah. Orang-orang kapal menanam batang-batang nibung dan batang-batang pinang menyekat mulut kuali kecuali bahagian kecilnya yang dibuka untuk perahu-perahu kecil berulang keluar masuk. Bahagian kecil itu dikawal rapi.

Angin Timur mula menghembus, tanah sawah mula merekah dan di Laut pula didatangi ribut. Tiap-tiap perahu yang keluar dan masuk dipereksa oleh anak-anak kapal “Hyacinth” dan senjata orang-orang Melayu di rampas. Orang-orang yang bersiap seperti hendak berperang akan dipaksa pulang kedaratan. Orang-orang dari luar tidak lagi di benar masuk ke Kedah. Orang-orang dari Langkawi, Pulau Pinang atau Setol yang datang ke Kedah akan diburu balik ke tempat asalnya.

Dalam bulan Disember anak Gabenor Legor yang menjadi Gabenor di Kedah Phya Thibet dikenali sebagai Phya Buri Saknuton dalam Sejarah Kedah mengepalai angkatan Siam dari Legor seramai sepuluh ribu orang bertindak membunuh laki-laki perempuan dan kanak-kanak serta membakar licin kampong rumah, pokok-pokok kayu dan tanaman orang dalam satu gerakan bumi hangus yang tidak ada taranya di tanah air kita. Rancangan Legor ialah hendak menghanguskan seluruh negeri dari Setol hingga ke Sungai Kedah.

Dato’ Muhamad Ali di Setol kaku tidak dapat bertindak dengan pantas kerana Siam masuk dengan mengejut dari daratan. Halangan yang diberi oleh Dato’ Muhamad Ali tidak berkesan langsung. Tentera-tentera Siam mempunyai senjata-senjata yang lebih moden dapat meredas dari sempadan menuju kekawasan Kedah dengan mudah dan cepat.

Orang-orang di Setol dan di Terang tidak dapat menentang angkatan Legor yang jauh lebih ramai berhijrah meninggalkan kampong halaman berperahu di pulau-pulau di perairan Burma terpisah dari saudara mara yang membuyung ke Semenanjung.

Angkatan Tunku Muhamad Saad yang sedang menduduki Senggora di serang dari belakang oleh satu ketumbukan tentera Legor yang lebih besar. Orang-orang Melayu yang di tawan kononnya diikat kemudian dilecek oleh gajah hingga menjadi “sambal”. Mengikut cerita dari orang-orang yang berjaya melepaskan diri ke Pulau Pinang, ramai orang-orang Melayu yang diikat kemudian disula dari bawah dengan pucuk nipah hidup yang menghulurkan taruk sejengkal demi sejengkal setiap hari menembusi isi perut orang yang malang itu. Sebelum mati, orang-orang ini menderita kepedihan yang amat perit. Masa inilah terdapat beribu-ribu manusia dari Petani, Setol dan Perlis berhijrah ke Selatan iaitu ke Perak dan ke Pulau Pinang, ke Kelantan dan Terengganu.

Sekurang-kurangnya kita mengetahui Panglima Busu dan Raja Usoh dari Setol selamat sampai di Selatan Kedah dan membuka kampong halaman disana. Lebih kurang tiga bulan lamanya mereka menderita dan mengalami pelbagai kesedihan di dalam perjalanan: Tangisan kanak-kanak yang menyusu di dada ibunya yang terbaring tidak bernyawa ; ibu dan ayah meratapi anak yang terpaksa dikuburkan didalam hutan dan siisteri meratapkan suami yang telah terbujur menjadi mayat.

“Nun di tengah tanah persawahan yang sudah menjadi arang dibakar oleh orang-orang Siam adalah beberapa kanak-kanak dan orang tua juga sedang menyungkili buah-buah padi di celah rekahan tanah yang tersebut untuk ditanak dengan randawan dari bahan-bahan yang boleh dimakan sebagai umbut dan daun-daun kayu serta ubi-ubi yang didapati didalam hutan.”

Kumpulan Raja Usoh membuka “Kampong Raja” di tebing Sungai Kerian dan kumpulan Panglima Busu dan Tok Pawang Sulaiman membuka “Kampong Bukit Tok Gula” di daerah Bandar Baharu. Tok Gula ialah gelaran kepada Panglima Busu yang pandai membuat gula kelapa. Banyak lagi kampong-kampong yang dibuka pada zaman ini oleh orang-orang berhijrah dari Setol, Petani dan lain-lain wilayah Siam melarikan diri ketempat yang aman.

Pemimpin-pemimpin Melayu di Senggora berundur ke Kota Bharu dan akhir-akhirnya telah berjaya melepaskan diri ke Seberang Perai. Perjuangan dari tahap ini telah lumpuh dan mereka mengharapkan ketumbuk-ketumbuk lain dari Setol, Perlis dan Langkawi menyelamatkan Negeri Kedah.

Diantara tujuh wilayah di Petani, hanya empat sahaja iaitu Nangcik, Raman, Yala dan Legih yang menyokong Tunku Muhamad Saad, sedang tiga lagi iaitu wilayah Petani, Jering dan Sai tidak dapat bertindak sedikit pun.

Angkatan Legor telah mara ke selatan melalui Padang Besar dan Padang Kecil terus masuk ke kawasan Perlis, dan Kedah setekah menduduki Trang dan Setol. Di Padang Kecil, sekarang dikenali sebagai Haad Yai, satu pertempuran besar telah berlaku dan mengakibatkan ramai tentera Melayu dan tentera Siam menjadi korban. Diantara yang syahid disini ialah Shaikh Samad Palembang.

Orang-orang Melayu di Kedah mengharapkan hujan dan ribut melemahkan semangat orang-orang Siam yang melakukan serangan-serangan hendap di waktu malam tetapi sebenarnya Siam hanya mengukur kekuatan orang-orang Melayu sebelum menyerang besar-besaran dalam bulan tiga nanti.

Siam menggantungkan buluh-buluh kentong dipinggang tiap-tiap orang tenteranya supaya boleh dibunyikan bagi mengenali rakan-rakan mereka dan juga sebagai mengelakkan diri dari mengantuk di tempat berkawal. Bunyinya di jauh-jauh malam amat lantang dan irama bambu sambut menyambut dari seorang tentera keseorang lain memecah monotoni malam hingga terbit fajar. Orang-orang Melayu di tembok=tembok kota tanah akan berteriak kepada rakan-rakannya,”Jaga,jaga!” Rakannya pula akan berteriak balas, “Jaga,jaga..!” Sehingga semua orang-orang Melayu berada didalam keadaan berjaga-jaga. Buat beberapa waktu bunyi kentong buluh, seruan “Jaga, jaga..!” dan tembakan meriam serta lela dan istinggar berkecamuk tidak tentu sasaran. Acapkali terdengar tentang tanduk kerbau dari kampong di pendalaman di tengah-tengah angin ribut yang menyapu pantai.


(disalin tanpa edit dari Mas Raden di group facebook JP PSSCM)

No comments: