Perhatian


Kebanyakan post di dalam blog ini disalin dari posting dari sahabat-sahabat blogger lain untuk rujukan saya pada masa akan datang. Jadi saya lampirkan sekali link ke post asal bagi menjaga hakcipta post serta memudahkan anda dan saya ke post asal. Harap Maklum

Friday, October 14, 2011

PERANG MUSUH BISIK - SIRI 1

TRAGEDI DI KOTA KUALA KEDAH

Hari Ahad 12 November, 1821 merupakan tarikh yang paling pahit kepada penduduk-penduduk Kuala Kedah malahan kepada seluruh sejarah kesultanan Kedah Darul Aman kerana pada waktu rembang tengahari hari itu, ketika air pasang penuh, beratus-ratus buah perahu Siam bermuatkan tentera-tenteranya yang lengkap bersenjata dan membawa alat-alat untuk berperang telah sampai dengan tiba-tiba di kuala Sungai Kedah.

Perahu-perahu Siam menghampiri tembok Kota dan memenuhi muka sungai disepanjang-panjang tebing Kota hingga ke Balai Air iaitu tempat Dato’ Syahbandar meletakkan orang-orangnya memungut cukai dan memeriksa orang-orang masuk keluar.

Dengan hati berdebar-debar Penghulu Kota mengarahkan pengiringnya yang paling pantas untuk berkejar ke teluk Chengai dua batu dari Kuala kerana menyampaikan berita kedatangan tentera-tentera Siam yang begitu ramai kepada Dato’ Bendahara dan Dato’ Laksamana. Dato’ berdua baharu sahaja balik dari Kota Setar diatas urusan negeri dan berada di Teluk Chengai menantikan air tenang. Dato’ berdua telah pun bergerak pulang ke Kuala Kedah masa bertembung dengan utusan dari Penghulu Kota.

Dato’ Bendahara dan Dato’ Laksamana tergesa-gesa pulang dan sempat sampai di Balai Air untuk menyambut ketua tentera Siam yang sedang mendaki anak-anak tangga balai itu dengan pengikut-pengikutnya.

Orang ramai mula berkumpul di tebing sungai terutamanya di sekitar Balai Air tetapi tidak menyangka sebarang keburukan akan menimpa mereka, hanya hairan melihat perahu-perahu Siam begitu banyak dan orang-orangnya yang bercawat itu mempunyai senjata-senjata lengkap dengan lembing, tombak, pedang, parang dan juga istinggar serta meriam-meriam kecil.

Penghulu Kota memerintahkan Sepahi-Sepahi yang menjadi pembedil-pembedil meriam supaya menghalakan mulut-mulut meriam yang terletak di atas tembok Kota itu ke arah perahu-perahu Siam yang berkumpul. Dia sendiri menantikan isyarat dari Dato’ Bendahara untuk membedilkan perahu-perahu itu jika diperlukan. Tetapi sebagai yang telah dibuktikan oleh Sejarah, Dato’ Bendahara tidak pernah mengeluarkan perintah supaya perahu-perahu Siam dibedilkan. Beliau terlalu yakin dengan cara berlembut dan berdiplomasi dengan Siam.

Dato’ Bendahara ditugaskan mentadbir Kuala Kedah pada masa ini kerana Sultan Ahmad Tajuddin sedang bersemayam di Pulau Tiga dalam daerah Kuala Muda. Sultan sedang sibok mengarahkan rakyat baginda mengorek sebatang terusan dari Simpor ke Kota Kuala Muda.

Dato’ Bendahara memang sedar peri Cau Phaya Si Tammarat, Raja Legor, seorang gabnor Siam yang berdendam hati terhadap Sultan Ahmad Tajuddin kerana Sultan enggan menurut kehendaknya membekalkan 300 koyan beras dan 100 buah perahu perang lengkap dengan tentera dan senjata membantunya menyerang Burma. Sultan tidak menunaikan kehendak Si Tammarat kerana Kedah sedang sibok berperang di Perak. Bagimana pun Dato’ Bendahara tidak menyangka bahawa angkatan Siam yang datang ini ialah untuk menyerang Negeri Kedah.

Pada masa ini Siam sedang bermusuhan dengan Burma dan wilayahnya di Selatan seperti Senggora dan Legor sedang memperkuatkan pertahanan masing-masing. Aktiviti Siam setakat ini berkisar ke arah melumpuhkan Kerajaan Burma dan telah pun di ketahui oleh Siam peri ujudnya satu flotilla angkatan laut Burma di perairan Pulau Pinang yang sedang mengintip dan mengukur kekuatan wilayah-wilayah Siam Selatan.

Masa di Kota Setar sebelah pagi tadinya, Bapu Kundor, seorang pembesar di Kota Setar, telah memberitahu Dato’ Bendahara kononnya suatu angkatan Siam sedang bergerak dari utara dengan berjalan kaki dan bergajah menuju ke arah Gunong Keriang, dan jika mereka terus menuju ke Kuala Kedah angkatan Siam yang dianggarkan seramai tujuh ribu orang itu akan sampai sebelum waktu petang. Berita ketibaan angkatan Siam dengan beratus-ratus buah perahu perang di pintu kotanya sendiri di Kuala Kedah pada tengahari itu juga adalah amat memeranjatkan.

Kedatangan Siam di Kuala Kedah yang tidak semena-mena ini memberi kesempatan yang paling sedikit kepada Dato’ Bendahara, Dato’ Laksamana dan Dato’ Temenggong mengumpulkan orang-orang Melayu. Pada waktu tengahari rembang 12 November itu, orang-orang di Kuala Kedah masih berada di laut menangkap ikan, yang tidak ke laut sedang makan tengahari atau sedang berehat di surau menanti waktu lohor. Orang-orang perempuan dan kanak-kanak terpegun melihat Dato’ Bendahara yang sampai di Balai Air untuk menyambut tetamu-tetamuyang tidak diundang ini dikelilingi oleh orang-orang yang nampaknya liar seperti orang kelaparan mencari makanan atau pun hendak merompak dan lari dengan harta orang.

Orang-orang Siam tidak banyak cerewet. Mereka menerangkan tujuan mereka datang ke Kuala Kedah kerana memerlukan beras sebagai bekalan untuk berperang dengan Burma dan mereka mendesak Dato’ Bendahara supaya menyediakan beras-beras itu dengan serta-merta. Dato’ Bendahara mengatakan bekalan beras itu tidak menjadi soal yang besar kepadanya tetapi ia hairan mengapa terlalu ramai sekali orang-orang Siam yang datang untuk mengambilnya.

Pada masa inilah orang-orang Siam telah menyerbu naik keatas Balai Air dan mengenakan pasung keatas Dato’ Bendahara. Tangan dan kaki beliau telah terikat. Datuk-Datuk lain serta pengiring-pengiring yang berhimpun di tawan, kaki dan tangan diikat seperti Dato’ Bendahara juga. Orang-orang Siam tidak berselindung lagi mengatakan hasrat mereka hendak menduduki Kota Kuala Kedah dan meminta orang-orang Melayu supaya jangan melawan.

Dato’ Bendahara sempat berteriak: “Lawan, kita kena langgar, lawan....! “ Pada masa itu juga mulutnya diikat dengan tali dan dihumban keatas lantai Balai Air itu. Dato’ Laksamana dan Dato’ Temenggong berjaya menghuraikan ikatan kaki dan tangan mereka lantas menikam beberapa orang Siam dengan keris. Pertempuran sengit Melayu dan Siam di Balai Air berlangsung dengan serta-merta. Ramai orang-orang Siam menjadi mayat tetapi malangnya Dato’ Laksamana dan Dato’ Temenggong telah terkorban di atas Balai Air itu juga. Orang-orang Siam menikam mereka berdua dengan tombak hingga mati.

Dengan senyap-senyap masa perundingan di Balai Air sedang berjalan, orang-orang Siam telah memasuki pintu Kota seolah-olah orang berpelancungan dan satelah berada di dalam cepat-cepat mengambil kesempatan menuangkan timah cair ke dalam mulut-mulut “Badak Berendam”, “Katak Puru”, “Dua Serupa”, (sepasang meriam), “Harung Darah”, “Lela Rentaka” dan meriam-meriam lain. Pembedil-pembedil meriam yang terdiri dari orang-orang India tidak dapat berbuat apa-apa kerana bilangan mereka terlalu sedikit sedangkan orang-orang Melayu berada didalam keadaan kebingungan terpesona dengan telatah-telatah Siam yang tidak disangka-sangka boleh berbuat demikian. Kemudian terjadilah drama yang menyedihkan. Orang-orang Melayu didalam Kota telah dikejar seperti ayam, diradak lengan tombak, ditikam dan dibedil. Manusia-manusia Melayu lelaki perempuan, orang tua dan kanak-kanak dibunuh dengan kejamnya dan mana yang melawan dicincang seperti mentimun.

Pembunuhan yang tidak berperi kemanusiaan ini melarat hingga keluar Kota, dan apabila Dato’ Bendahara telah ditawan, Dato’ Laksamana dan Dato’ Temenggong telah syahid, rumah-rumah orang Melayu telah dibakar menjadi habu, penghuniyan diusir, diseret dan ditikam atu dibedil hingga mati. Perempuan mengandong, orang-orang sakit, kanak-kanak dan orang-orang yang tidak terdaya semuanya diseksa kemudian dibunuh dengan dahsyatnya.

Angkatan Siam dari darat tiba di Kuala Kedah ketika orang-orang Melayu sedang diburu dan berkeliaran di sana-sini antara rumah-rumah yang terbakar dan angkatan ini pula turut memburu orang-orang Melayu yang malang itu. Orang-orang Siam mengejar orang-orang Melayu yang cuba berlepas diri dengan perahu dan membakar perahu-perahu ini di tengah-tengah sungai dengan anak-pinak yang meraung-raung didalamnya. Sunagi Kedah turut merah dan ikan menjadi mabuk! Api, asap, darah, mayat, teriak dan tangis menjadi saksi sepanjang abad.

Penduduk Kuala Kedah di tebing Seberang Nyonya turut menjadi sasaran tetapi ramai yang sempat berhijrah meninggalkan “nasi di atas tungku” kerana melarikan diri dari malapetaka yang tidak di sangka-sangka ini, berundur sambil berbisik kepada jiran supaya turut meninggalkan rumah dan harta benda. Dalam bisikan inilah orang-orang Melayu bergerak menyelamatkan jiwa masing-masing. Beratus-ratus buah perahu bertolak ke Langkawi, ke Pulau Pinang dan ramai pula yang merempuhi hutan belantara mendaki bukit-bukit di pedalaman. Peristiwa ini ialah detik pertama bagi satu dekad zaman yang dipanggil “Masa Musuh Bisik”.

Penduduk-penduduk di seluruh negeri pada masa ini ditafsirkan seramai 60,000 orang. Rekod yang boleh dipercayai menerangkan bahawa penduduk Kedah dalam tahun 1823 tinggal hanya 60,000 orang sahaja lagi. Penghijrahan besari ini di akibatkan semata-mata oleh kerana jatuhnya Kota Kuala Kedah ketangan orang-orang Siam dan penegakan suatu sistem pentadbiran a-la Legor yang kejam dan tiada berper kemanusiaan. Di Kuala Kedah ada 1,000 rumah, kata Sultan kepada Anderson.

Orang-orang Siam dapat menduduki Kota Kuala Kedah dalam masa tiga jam sahaja. Dato’ Wan Panji dan Wan Sidik mengamok di dalam Kota membunuh orang-orang Siam yang menyerang dan ramai lagi perwira-perwira Melayu yang bertempur mempertahankan Kota. Dato’ Wan Panji dan Wan Sidik gugur terkorban bersama-sama Tunku Long Puteh, Tunku Mat Riau, Dato’ Raja Akil, Dato’ Chelang Panjang, Datul Lela Kasa, Dato’ Pahlawan Haji Ahmad, dan Dato’ Bohor Garang serta beratus-ratus lagi yang gugur tanpa nama dan tanpa talkin kerana mempertahankan Kota Kuala Kedah.

Dato’ Bendahara di rantai dan dibawa kedalam Kota, kemudian dengan beratus-ratus orang lelaki perempuan dari anak baik-baik dipaksa berjalan kaki ke Senggora sebagai orang-orang tawanan. Dipertengahan jalan, Dato’ Bendahara telah diracunkan dan beliau mati tidak tentu kuburnya. Sejak November 1821 itu Kerajaan Siam di Bangkok saban masa mengarahkan Gabenor Legor di Kedah supaya menyediakan bekala-bekalan beras dan wang untuk keperluan tentera dan pembesar-pembesar Negara. Beras dikumpul secara menggelidah kedai, gerai-gerai dan pasar rakyat serta jelapang-jelapang yang masih ada di kampung-kampung. Beras-beras yang ditemui semuanya dirampas.

Apabila arahan untuk mengumpulkan wang tiba, Gabenor di Kedah akan mengenakan cukai-cukai yang dipanggil “hasil kepala” – dipungut dari setiap penduduk dan yang paling teruk dicukai ialah orang-orang yang berniaga.

Jika beras dan wang tidak mencukupi nilai yang diperlukan oleh Bangkok – Gabenor akan mengarahkan orang-orangnya bersama tentera-tentera yang bersenjata menangkap orang-orang Melayu dan merantaikan mereka beramai-ramai. Mereka dibawa ke Bangkok dan dijual di sana sebagai hamba abdi.

Tugas yang zalim dan jahat pernah dilakukan oleh Gabenor di Kedah ialah menghantar 200 atau 300 orang wanita Melayu ke Bangkok atau ke Legor. Caranya ialah menggempur rumah-rumah orang Melayu, baik malam atau siang, dan mengikat wanita-wanita yang malang ini. Mereka direntap dari ibu bapa atau saudara mara mereka dengan seberapa segera dan dibawa ke Kota Kuala Kedah. Mereka akan dimuatkan ke dalam kapal-kapal yang sedang menunggu untuk dibawa ke Legor atau ke Bangkok. Ibu bapa atau saudara mara yang cuba menghalang akan dipukul dan ditembak. Ramai yang menemui ajal!

Di antara hiburan tentera-tentera Siam di Kedah ialah melepaskan berpuluh-puluh ekor babi ke dalam masjid ketika orang-orang Melayu sedang bersembahyang Jumaat. Mereka tertawa berdekah-dekah melihat orang Melayu tua-tua lari bertempiaran mengelakkan diri dari hewan-hewan haram itu. Banyak masjid yang terbiar selepas ini dan runtuh sendirian selama 20 tahun Siam memerintah negeri Kedah.

Setelah Kota Kuala Kedah jatuh ketangan Siam dan lebih kurang seribu buah rumah di dua-dua tebing Sungai Kedah dibakar menjadi habu, angkatan laut Siam bertolak ke Kuala Merbok dan berazam hendak menawan Sultan Ahmad Tajuddin hidup-hidup ke Senggora. Sultan berada di Pulau Tiga iaitu sebuah kampong yang baharu diteroka di Kuala Sungai Tukang empat batu ke utara bandar Sungai Petani sekarang. Jauhnya dari Kuala Merbok mengikut jalan sungai lebih kurang dua belas atau tiga belas batu. Baginda sibok mengarahkan rakyat-rakyat Baginda mengorek sebatang terusan menyambongkan Sungai Merbok dengan Sungai Muda melalui Kampong Simpor supaya hubungan di antara dua-dua batang sungai yang penting ini dapat dibuat melaui terusan itu.

Pada pagi Isnin itu, Sultan Ahmad Tajuddin mendapat maklumat bahawa angkatan Siam telah menawan Kota Kuala Kedah dan rakyat baginda telah terkorban dengan banyaknya. Mana yang masih hidup sedang berhijrah ke Pulau Langkawi dan ke Pulau Pinang atau ke pedalaman di bukit-bukit. Dato’ Laksamana dan Dato’ Temenggong Tua telah juga terkorban dan Dato’ Bendahara dengan beratus-ratus orang anak baik-baik telah ditawan oleh Raja Legor yang menyerang Kedah bagi pihak Maharaja Benua Siam. Baginda juga telah diberitahu supaya berundur segera kerana sebuah angkatan laut Siam yang agak besar sedang menghampiri Kuala Merbok pada pagi itu juga.

Dengan tidak berlengah-lengah lagi Sultan Ahmad Tajuddin pun mengumpulkan anak isteri baginda mengenderai beberapa ekor gajah kedalam rimba belantara dengan tujuan hendak berangkat ke Kuala Perai. Matlamat baginda adalah di rahsiakan melainkan diketahui oleh segelintir pengiring-pengiring baginda yang karib sahaja. Baginda membawa cuma wang ringgit dan harta-harta yang berharga seberapa banyak yang sempat dicapai. Adalah ditaksirkan lebih kurang dua ratus orang pengikut-pengikut yang menyertai rombongan baginda berjalan kaki mengikut gajah-gajah kenderaan baginda. Baginda terpaksa melupakan dua buah kapal diraja yang berlabuh di Kuala Merbuk berisi dengan harta khazanah kepunyaan baginda. Dua-dua buah kapal ini jatuh ketangan Siam. Diantara khazanah yang hilang bersama dengan kapal di Kuala Merbok itu ialah acuan penempa diti tera “ Balad Kedah Darul Aman”.

Orang-orang Melayu di Kuala Merbok cuba membedil perahu-perahu Siam tetapi tidak memberi sebarang kesan kepada angkatan Siam yang jauh lebih besar. Tentera Siam membakar rumah-rumah di Kuala Merbok kemudian terus mudik ke Pulau Tiga melakukan keganasan dan pembunuhan di sepanjang-panjang sungai. Mereka keciwa kerana tidak sempat bertemu dengan Sultan yang telah berangkat jauh kedalam negeri.

Sultan Ahmad Tajuddin dengan isteri-isteri dan anak pinak baginda yang terdiri dari beberapa orang putera puteri yang masih kecil merentas hutan belantara melalui bukit bukau lahar dan paya, serta menyusur anak-anak sungai selama lima hari lima malam sebelum sampai di Kuala Perai di rumah saudaranya Tunku Sulaiman.

Bulan November pula ialah musim hujan lebat yang menambahkan lagi kelecehan kepada angkatan baginda. Makanan yang sempat dibawa hanya cukup untuk sehari dua sahaja dan dalam perjalanan begitu ramai pengikut-pengikut baginda yang telah mencampakkan beban-beban yang mereka pikul ke dalam hutan. Setengah dari benda yang dipikirkan beban yang tak berguna itu ialah makanan.

Ramai pengiring-pengiring baginda dari datuk-datuk harapan yang karib dan hamba rakyat yang setia telah gugur meninggal dunia di dalam perjalanan itu kerana lapar dan lesu akibat terdedah kepada hujan panas, lintah pacat, nyamuk dan binatang-binatang buas.

Dalam keadaan yang begini, baginda terpaksa pula mengelakkan diri dari orang-orang yang menjadi talibarut Siam. Mengikut cerita kononnya baginda terpaksa menaburkan duit-duit tera dan keneri di belakang gajahnya supaya orang-orang yang mengesan jejak-jejak baginda akan membuang masa memungut duit-duit itu dan dapatlah baginda menghilangkan diri jauh ke hadapan. Keneri itu lebih besar nilainya dari tera tetapi tidak sampai seringgit.

Ada pula beberapa ekor gajah yang bermuat dengan harta benda bagsinda telah tersasul jalan hilang entah kemana dibawa oleh gembala masing-masing. Di masa yang sangat lapar tukang masak baginda mencari-mencari tempat untuk meletakkan periok merebuskan pisang hutan smuda. Tempat yany tidak becak ialah di atas sebatang kayu besar selintang dihadapan mereka. Di situlah diletakkan bungkusan-bungkusan sementara menyambongkan perjalanan pula. Entah bagaimana, apabila api untuk merebuskan pisang tadi ditiupkan dan mulai marak, batang kayu itu bergerak-gerak dan menjatuhkan periok dan bungkusa-bungkusan lain ka tanah. Batang kayu itu rupanyan ialah badan saekor ular besar. Kulitnya sudah terlalu tua dan merupai kulit pokok-pokok kayu jua; sedangkan ekor dan kepalanya entah dimana.

Terdapat juga riwayat beberapa ornag pengiring baginda yang bertedoh dari hujan lebat didalam sabuah lubang batu mendapati darah panas mengalir perlahan-lahan dari hujong mata tombak yang mereka sandarkan didinding gua itu. Rupanya mereka berteduh didalam rahang seekor ular yang sentiasa mengangakan mulutnya untuk mendapatkan rezeki.

Cerita-cerita ini bukanlah mustahil jika dipikirkan keadaan negeri yang belum terbuka seratus lima puluh tahun dahulu. Jauhnya Pulau Tiga yang terletak diulu Sunagi Merbok ke Kuala Perai mengiksut aliran sepanjang-panjang Sungai Perai dari ulunya di Pinang Tunggal ke Kuala ialah 25 batu hutan tebal. Pada masa itu tidak ada sebarang peta atau pedoman melainkan berpandukan matahari dan timbang tilik semata-mata sambil mengintip ddenai-denai yang boleh dilalui oleh gajah-gajah.

Setelah melalui azab sengsara yang tidak tercerita selama lima hari dan lima malam baharulah rombongan Sultan sampai di Kuala Perai. Tunku Sulaiman telah meyediakan lima buah persahu besar untuk angkatan baginda menyeberangi Selat Bagan ke Bandar Pulau Pinang di Tanjong dan disana baginda telah mendesak pihak British supaya memberi perlindungan kepada baginda dengan sewajarnya.

Kerajaan Pulau Pinang bertindak dengan serta-merta memberi perlindongan kepada sultan Ahmad Tajuddin dan keluarganya secara menyediakan sebuah rumah kepada baginda, membayar elaun untuk menyara kehidupan dan taraf baginda selama di Pulau Pinang dan mengaturkan sepahi-sepahi mengawal rumah semayam baginda supaya keselamatan dan ketenteraman baginda anak beranak tetap terjamin.

Di Pulau Pinang Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah memandang sendiri dengan mata kepala baginda bagaimana beribu-ribu orang Melayu yang menjadi hamba rakyat baginda berkampong di Pualau Pinang di dalam perahu masing-masing tanpa makanan dan pakaian. Kebanyakannya yang terselamat di Pulau Pinang ialah orang-orang perempuan, kanak-kanak dan orang-orang tua, masing-masing sehelai sepinggang didalam kesejukan dan ketakutan.

Di fikiran mereka masih tergambar perahu beratus-ratus buah yang sarat dengan manusia bergerak dari Kuala Kedah di pukul oleh badai dan terus hilang ditelan laut. Setengahnya diburu oleh Siam, di bedil dan dibakar di tengah laut. Derita dan sengsara selama ini turut berkubur. Dalam percubaan melarikan diri itu mereka terpaksa bersulit-sulit dan berbisik-bisik, belayar di waktu malam dengan tidak berlampu supaya tidak sampai ke pengetahuan tentera-tentera Siam. Percubaan yang gagal biasanya akan disergah oleh tentera-tentera Siam di daratan lagi, orang-orang lelaki akan diseret dengan kasarnya dan dipisahkan dari isteri dan anak-anak gadis dan isteri mereka dijadikan mangsa kepuasan nafsu tentera-tentera Siam. Sesiapa yang melawan akan diikat dibatang-batang pokok berhari bermalam kadang-kadang sahingga mati. Jika tindakannya lebih menyakitkan hati orang-orang Siam, ia akan diikat dipokok dan tangannya diikat pula kepada sebatang buloh palang. Seorang tentera Siam akan tampil denagn sebilah parang yang berat membelah badannya dari kepala ke pinggang kemudian dilontar kedalam sunagi menjadi rebutan buaya-buaya lapar.

Bilangan orang-orang Melayu yang gugur dalam perjuangan menentang penjajahan dan kezaliman Siam “perut hijau” tidak dapat ditaksir dengan betul. Begitu juga jumlah orang-orang Melayu yang dibawa ke Legor dan ke Sanggora untuk dijadikan hamba abdi oleh Siam tidak dapat dihisab dengan tepat; tetapi lebih banyak lagi yang menjadi korban keganasan Siam yang bersahaja, dan mangsa keganasan laut dalam pelayaran melarikan diri ke Pulau Pinang dan ke Pulau Langkawi. Demikian juga ramai lagi yang terkorban ditekan kebuluran dan penderitaan masa berhijrah ke tempat-tempat lain dipergunungan. Orang-orang yang bernasib baik kerana dapat lagi menyambungkan nyawa. Kerajaan Pulau Pinang mengeluarkan bantuan kepada pelarian-pelarian ini seberapa terdaya dan yang tinggal di Seberang Perai telah diberi kebenaran untuk membuka tanah persawahan.

James Low yang menjadi pegawai pentadbiran di Seberang Perai ketika ini melaporkan bahawa sekurang-kurangnya tujuh puluh ribu orang-orang Kedah yang datang ke Penaga dan sekitarnya. Mengikut laporan lain pula, orang-orang kedah yang berhijrah ke Telok Bahang dan Balik Pulau ialah seramai sebelas ribu orang. Mengikut satu sumber, penduduk Kedah dalam tahun 1821 ialah seramai 180,000 orang.

Orang-orang yang tidak dapat meninggalkan kampong halaman kerana terkepong oleh kawalan-kawalan Siam atau kerana tidak berkemampuan berhijrah, tinggallah di Kedah menghadapi zaman yang pedih dan menyayat hati dibawah pentadbiran Raja Legor. Mereka menantikan masa kalau-kalau terbuka kesempatan dilonggarkan Tuhan untuk berhijrah juga.

Kerajaan Pulau Pinnag telah meminta kepada Legor supaya jangan mempengapakan anak-anak raja dan orang baik-baik yang ditawan, Dato’ Bendahara terutamanya hendaklah diberi layanan yang terhormat kerana jasanya amat besar kepada Pulau Pinang. Berita yang diterima oleh Gabenor Pulau Pinang adalah seperti yang kita telah maklum. Dato’ Bendahara telah dirantai bebrapa lama didalam Kota kemudian telah meninggal dunia dalam perjalanan ke Senggora diracun oleh tentera Siam. Kononnya kerana ditikam tak lut, dibedil pun tak lut, lantas diracunkan supaya mati juga. Putera kesayangan Sultan Ahmad Tajuddin, Tunku Yaakub, ditawan oleh Siam masa hendak menaiki perahunya melarikan diri ke Pulau Pinang. Dibawa ke Legor dan hilang tidak terdengar sebarang berita.

Gabenor Belanda di Melaka tidak sabar mendengar berita Sultan Kedah diperlakukan sedemikian rupa oleh Siam telah menghantar sebuah kapal perang yang besar dan lengkap, kepunyaan baginda Raja Holand, ke Pulau Pinang dan meminta Inggeris membenarkan kapal ini berperang bersama-sama dengan orang-orang Melayu mengusirkan Siam keluar dari Negeri Kedah. Inggeris memandang sejuk kepada tawaran ini dan menolaknya dengan hormat.

Negeri-negeri Perak, Selangor dan Petani telah mendesak Inggeris supaya bertindak segera keatas Siam yang mencabul bumi Kedah. Angkatan-angkatan perang Melayu akan bersatu membantu Inggeris membersihkan Negeri Kedah dari anasir-anasir Siam dan memberhentikan penderitaan yang dialami oleh orang-orang Melayu disana.

Kumpulan-kumpulan orang Melayu dari Sumatera iaitu Aceh, Siak, Langkat, Bedagai dan lain-lain serta kumpulan-kumpulan dari Semenanjong termasuk dari Rembau, Terengganu, Kelantan, dan Pahang telah meluru tiba di Pulau Pinang untuk bertindak membela Sultan Ahmad Tajuddin asalkan Inggeris memberi lampu hijau.

Ketibaan orang-orang pelarian dari Kedah ke Pulau Pinang makin bertambah saban hari membuktikan keadaan yang tidak sehat berleluasan dengan rancaknya di Kedah. Inggeris masih bermuhtasyam, sepi dan membisu.

Sultan Ahmad Tajuddin di Pulau Pinang diselubungi oleh perasaan putus asa kerana Inggeris tidak berusaha langsung mengusirkan Siam keluar dari bumi Kedah mengikut seperti yang di persetujui dalam perjanjian yang dibuat masa memajak Pulau Pinang dahulu (1786) dan sekali lagi dipersetujui pula masa memajak Seberang Perai dalam tahun 1800.

Inggeris tidak mengambil sebarang tindakan kerana sebagai sebuah kuasa yang besar, dia mempunyai angan-angan yang besar; dan sudah nasib pelanduk, kata perumpamaan orang tua-tua, matinya terhimpit diantara dua ekor binatang yang besar.



(disalin tanpa edit dari Mas Raden di group facebook JP PSSCM)

3 comments:

Unknown said...

Assalamualaikum tuan, izinkan saya kongsikan siri-siri perang musuh bisik 1821 utk sya kongsikan bersama-sama kawan2 saya yg meminati sejarah... jikalau tuan sudi mengizinkan.... terima kasih.

Firdaus Abd Rahman said...

tiada masalah... post di blog ini memang untuk dikongsi

Anonymous said...

"Dato’ Wan Panji dan Wan Sidik gugur terkorban bersama-sama Tunku Long Puteh, Tunku Mat Riau, Dato’ Raja Akil, Dato’ Chelang Panjang, Datul Lela Kasa, Dato’ Pahlawan Haji Ahmad, dan Dato’ Bohor Garang serta beratus-ratus lagi yang gugur tanpa nama dan tanpa talkin kerana mempertahankan Kota Kuala Kedah".

Assalamualaikum.. bolehkah saya tahu siapakah Tunku Mat Riau? Adalah beliau bernama Tengku Muhammad Riau bin Tengku Meh, iaitu saudara kepada Ku Din Ku Meh?