Perhatian


Kebanyakan post di dalam blog ini disalin dari posting dari sahabat-sahabat blogger lain untuk rujukan saya pada masa akan datang. Jadi saya lampirkan sekali link ke post asal bagi menjaga hakcipta post serta memudahkan anda dan saya ke post asal. Harap Maklum

Tuesday, February 14, 2012

Silat Kedah

 
Sesuai dengan peranannya sebagai sebuah Empayar Islam terbesar di Nosantara, Kedah bukan sahaja mempunyai undang-undangnya sendiri, bahkan juga silat iaitu SILAT KEDAH. Tujuan artikel dikarang adalah kerana ia ada kena mengena dengan kajian sejarah realiti yang telah dijalankan, disamping untuk menjawab persoalan dengan sejarah silat yang berkaitan dengan SNK yang telah ditanya oleh para pembaca.

Seperti yang diketahui, kajian TMP tidak menjurus kepada silat, kerana skopnya kecil. Yang hendak diketengahkan adalah sejarah Empayar Islam dari sudut global bukan jumud. Jika ada kaitan yang jelas barulah disentuh.

Alhamdulillah kerana ada pembaca menghantar artikel berkenaan silat seperti di atas maka asasnya kukuh untuk diteruskan penulisan berkenaan dengannya. Terima kasih juga kepada pembaca yang bersabar menantikan jawapan.

Secara ringkasnya, menurut pembacaan saya secara sambil lalu, Silat Kedah atau nama lain-nya Silat Cekak mengikut sejarahnya berasal dari Kedah. Diamalkan oleh panglima kanan kerajaan Negeri Kedah dizaman pemerintahan Sultan Ahmad Tajuddin II (SAT II)

Diperturunkan kepada Panglima Tok Rashid kepada Yahaya Said sebagai Pemegang Amanah sebelum dilahirkan kembali ke alam nyata oleh seorang anak Kedah iaitu Ustaz Hanafi Haji Ahmad. Kemudian Ustaz Hanafi berusaha mengembangkan silat ini dengan cara profesional lalu bergerak atas persatuan yang berdaftar dengan kerajaan Malaysia.

Baik, bukan kisah persatuan yang ingin dibincang-kan disini, tetapi mengenai asal-usul silat ini sendiri. Dari mana asalnya, dimana duduknya. Pada zaman itu setiap panglima ada 'pakaian' masing-masing. Tiada pulak persatuan seperti hari ini, tetapi boleh bersatu!

Menunjukkan bahawa apabila negara dilanda musoh, persatuan tidak lagi diguna pakai yang dipakai hanyalah ilmu yang berkat dan sebati dengan jiwa. Yang ruginya kalau tidak ada 'pakaian' lah. Telanjang bulat kena lastik lah jawabnya. Jadi umat Melayu sekalian pergilah persiapkan diri seperti mana ulama-ulama zaman dahulu menunjukkan contoh teladan kepada kita. Siapkan payung sebelum hujan.

Jika kita melihat pada sejarah yang disangkut pada pangkal silat ini, penghujungnya kita akan bertemu Sultan Ahmad Tajuddin II, Laksamana Kedah yang menjadi pengkhianat kepada bangsa dan agamanya sendiri. Jika disandar kepada sejarah yang ada sekarang maka Silat Kedah ini adalah diguna untuk berjuang disamping pengkhianat agama. Maka akan timbul-lah konflik dalam jiwa pengamal silat ini. Mana boleh silat kami silat pengkhianat!

Oleh kerana itu, tuan-tuan sekalian. Saya akan cuba membuka sedikit pemikiran tuan-tuan, melihat sejarah silat ini dari sudut pandang yang lebih luas - berpijak pada bumi nyata dan mengikut sejarah realiti Negara Kedah. Saya juga tidak akan menggunakan rujukan atau petikan yang banyak dalam ruangan kali ini kerana ingin mendapatkan 'flow' cerita sekali lalu.

Jikalau tuan-tuan minta baru saya akan berikan sumbernya.

Perang dengan puak Sukhotai 1821-1876
Dalam sejarah silat cekak, hanya nama Tuah dan kehebatan Panglima Ismail sahaja yang disebut-sebut. Tidak mengapa, biarkan sahaja cerita itu disitu.

Mari kita lihat kisah dan peristiwa besar yang berlaku pada zaman Sultan Ahmad Tajuddin II yang dikatakan sebagai salah seorang Sultan Kedah dalam buku At Tarikh Salasilah Negeri Kedah yang mula dibukukan pada tahun 1923 atas arahan Paduka Seri Sultan Abdul Hamid. Buku ini dikarang oleh seorang kerani atas ugutan bunuh yang dikenakan ke atasnya. Dikarang tanpa rujukan!

Sultan Ahmad Tajuddin atau Paduka Seri Sultan Ahmad Tajuddin II ini sebenarnya berpangkat sebagai seorang laksamana angkatan laut Kedah sahaja di zaman Khalifah Syarif Abu Bakar memerintah Empayar Islam Benua Siam Kedah.

Khalifah Syarif Abu Bakar ini adalah Maharaja Siam Islam Ayuthia yang terakhir yang memerintah dari Siam. Baginda berundur ke Kedah apabila Ayuthia di tawan oleh puak Sukhotai pada tahun 1767. Berkenaan nama Khalifah Syarif Abu Bakar Syah ini tidak perlulah dipertikai kerana nyata namanya tersebut dalam Undang-undang Kedah dan akhirnya diakui oleh Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Negeri Kedah.

Khalifah Syarif atau gelaran lainnya Panglima Besar Siam @ Maharaja Benua Siam ini berada dalam satu zaman dengan Sultan Muhammad Jiwa Nai nal Abidin - iaitu Perdana Menteri Kedah yang tinggal di Istana Anak Bukit, Kedah (UUK, ms 27) dikatakan menghantar ufti - bunga emas kepada Maharaja Besar Benua Siam setiap tahun. Begitu juga dengan Paduka Seri Sultan Ahmad Tajudin Halim Syah yang juga menghantar ufti kepada Khalifah Syarif Abu Bakar Syah. (UUK, ms 27-28)

Dipendek-kan cerita, dalam waktu dia berada dibawah kerajaan Siam Islam ini rupanya SAT II telah berniat jahat dan berpakat dengan kerajaan Thai Ayuthia untuk merampas kuasa. Dan akhirnya pada tahun 1821, iaitu Tahun Musuk Bisik, sewaktu kerabat-kerabat diRaja Siam sedang meraikan upacara perkahwinan diraja di Kuala Kedah, maka SATII ini telah membuka jalan kepada angkatan Laut Thai masuk ke pelabuhan dan menyerang orang-orang Islam disitu.

Habis terbunuhlah hampir keseluruhan kerabat diraja Siam Islam yang menghadiri majlis itu. Tidak sampai disitu sahaja tempat bersemayam Maharaja Siam Khalifah Syarif Abu Bakar Syah juga dibocorkan, maka syahid jugalah baginda.

SAT II lari ke Melaka, Panglima Ismail ke mana?
Tuan-tuan mungkin ada yang tidak perasan bahawa gelaran lain bagi SATII ini adalah Marhum Melaka. Kenapa begitu? Ini adalah kerana apabila tembelangnya pecah, dia menumpang kapal British lalu lari ke Melaka, di hambat oleh tentera Panglima Bukit Gantang Syed Alang Alaudin.

Dalam pada beliau bersembunyi di Melaka itulah, zaman persuratan Melayu Moden dikembangkan. Nama yang dibesarkan ialah Munsyi Abdullah yang dijadikan Bapa Persuratan Melayu Moden padahal dia bukan seorang Melayu. Ini semua adalah angkara British hendak mengubah sejarah dan mengutuk Melayu dengan tuduhan yang bukan-bukan. Raffles pun mula menjalankan propaganda Bangsa Melayu pada sekitar tahun itulah juga.

Baik, dalam pada tahun yang samalah berkecamuk perang Musuh Bisik 1821 - 1839 dimana SAT II tiada di Kedah tetapi dia berada di Melaka. Di sinilah timbuk konflik duduknya Panglima Ismail yang dikatakan menjadi Panglima Kanan kerajaan Kedah di zaman SAT II.

Adakah Panglima Ismail juga bersama-sama dengan SAT II lari ke Melaka atau Panglima Ismail sebenarnya adalah antara panglima kanan yang berjuang disamping Panglima Bukit Gantang Syed Alang Alaudin - sebenar Yang Dipertuan Kedah pada ketika itu?

Mengikut pada Seminar Ulama Berjiwa Panglima yang diadakan di Universiti Islam Malaysia suatu ketika dahulu, Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah mengandaikan bahawa harus Panglima Ismail Silat Cekak ini berjuang bersama-sama Panglima Tok Moris dan lain-lain lagi menentang SIAM (Thai).

Oleh itu saya berpendapat bahawa Panglima Ismail ini juga turut berjuang sabil menghalang kemaraan tentera Thai sewaktu SAT II bersenang-lenang di Melaka.

Maka saya atas pendapat saya sendiri membatalkan penglibatan Panglima Ismail (jikapun beliau yang dimaksudkan dengan nama 'Ismail' pada ketika itu)  berkesekongkol bersama SATII yang berkhianat atas perjuangan fisabillillah.


Siapa Panglima Ismail, asal dari mana?
Ada banyak kemungkinan disini. Saya cuma ingin menyentuh kisah Panglima Ismail dari sudut peranannya dalam era Kerajaan Kedah ketika itu.

Tidak mustahil peranan yang diambil oleh Panglima Ismail ini sama dengan peranan yang diambil oleh Pak Haji Zain Abdul Rahman. Dia seorang yang tersembunyi. Hanya dikenali oleh beberapa orang sahaja yang rapat dengannya. Siapa yang kenal Pak Haji Zain? Tidak ramai yang kenal tetapi padanya ada ilmu yang sangat mahal harganya. Begitulah juga Panglima Ismail ini.

Teori yang dipakai mengatakan dia seorang Panglima Kanan kerajaan Kedah, disampaikan kepada Pak Yahaya Said oleh Panglima Tok Rashid yang kenal rapat dengan Panglima Ismail. Seperti mana murid-murid hikam yang mengatakan Pak Haji Zain seorang yang hebat, boleh mengadap wakil raja Saud menyelamatkan umat Melayu dalam kecamuk perang begitu jugalah Panglima Ismail.

'Kanan' itu dari sudut mana? Hanya siapa yang kenal sahaja akan meng-aku-i ke-kanan-nya itu. Boleh jadi 'kanan' itu bermaksud panglima yang bersama Panglima Bukit Gantang dan bukan pengkhianat - puak2 kiri.

Baik seterusnya, dalam peperangan yang berlaku pada tahun Musuh Bisik itu, seluruh tentera Islam dari Nosantara turun membantu Panglima Bukit Gantang. Nosantara ini adalah ALAM MELAYU. Dari Acheh, Majapahit, Borneo, Bugis turun mempertahankan garisan Tanah Melayu dan memukul balik tentera Thai sehingga ke Ser Gen Ting Kra.

Lalu diperbuat lah sempadan dari Ser Gen Ting Kra turun bawah ke Semenanjung ini kawasan Islam! Tanah Melayu! Tanah Melayu! Tanah Melayu! (walaupun nama asalnya Semenanjung Siam Melaka) dalam konteks ini Tanah Melayu saya ingin pertegaskan kerana bumi bertuah ini hari ini dikenali sebagai bumi Melayu!

Diantara syuhada yang terbunuh dalam peperangan itu termasuklah Syeikh Masud Al-Banjari yang ada tersebut kisahnya dalam riwayat Pak Haji Zain. Iaitu membawa kepada Tuan Hussain Kedah dan Tuan Haji Ahmad guru kepada Tuan Haji Ishak Itam - Guru Utama Silat Cekak hari ini.

Maksud yang hendak disampaikan disini adalah mereka ini termasukkah Panglima Ismail, adalah umat Melayu sejati seperti yang kita kenali hari ini, walaupun nenek moyang mereka kemungkinan berasal dari Arab atau Siam atau Acheh atau Banjar dan sebagainya tetapi kebanyakkannya ulama-ulama dari zaman itu ada pertalian dan berasal tanah Arab khasnya dari Yaman Hadaralmaut.

Mereka sebenarnya adalah serumpun yang mengalir darah panglima dan pendakwah yang tidak gentar untuk berkorban mempertahankan agama dan warisan bangsa tercinta. Benih itu ada pada mereka dan anak cucu mereka yang terpilih. Mereka itu adalah orang Melayu!


Cukup setakat ini
Saya tidak berniat untuk menyimpulkan perkara ini lagi. Cukuplah sekadar mengatakan bahawa peranan Panglima Ismail dan Silat Kedah dari sudut sejarah realiti memang ada. Dan pengamalnya adalah dari golongan istana. Cuma tidak dapatlah kita hendak memutuskan secara tepat siapa Panglima Ismail ini. Yang pasti, atas pergerakan Silat Kedah yang berasaskan perbuatan 'solat' itu, tidak mungkin beliau akan menderhaka menjadi pengkhianat agama dan bangsa bersekongkol dengan Thai Kafir Laknatullah.

Seperkara lagi yang perlu kita ingat adalah peranan penting silat-silat lain yang menjadi pakaian panglima-panglima yang sezaman dengan Panglima Ismail dalam mempertahankan Umat Melayu dan Islam dari anasir luaran suatu ketika dahulu. Mereka semua ada peranan tersendiri. Cuma yang beruntungnya barangkali Silat Kedah ini menurut sejarahnya merujuk kepada istana Kedah, maka dapatlah dibuat pertalian disitu. Itu sahaja tidak lebih dari itu.

Andaikata silat ini tidak dizahirkan kembali, kita pun tidak tahu bahawa memang pernah wujud Silat Kedah atau Silat Cekak. Walaupun pembawanya tersembunyi, harus juga dia adalah seorang yang KANAN dari sudut hakiki.

Kedat @ Kedah dalam bahasa Siam bermaksud surat watiqah yang dibawa oleh Merong Mahawangsa @ Sultan Muzaffar Syah 1 seorang Raja Siam Islam dalam usaha dakwahnya ke No-San-Ta-Ra. Ada rahsia disana.

Sebelum mengakhiri artikel ini saya terpanggil untuk menyiarkan kata-kata dari Panglima Tok Rashid yang bagi saya sangat dalam maksudnya:

"Jika ada anak cucuku dari KEDAH hendak belajar, hendaklah kau pulangkan kembali"

Begitulah rahsia kebesaran Empayar Islam Benua Siam Kedah, yang ada undang-undang dan silat-nya yang tersendiri. Semestinya tidak bercampur hak luar negeri.


Al fatihah buat semua para syuhada yang gugur mempertahankan agama dan bangsa di tanah air tercinta ini.

Sekian.

No comments: