Perhatian


Kebanyakan post di dalam blog ini disalin dari posting dari sahabat-sahabat blogger lain untuk rujukan saya pada masa akan datang. Jadi saya lampirkan sekali link ke post asal bagi menjaga hakcipta post serta memudahkan anda dan saya ke post asal. Harap Maklum

Wednesday, January 16, 2013

Kajian penduduk asal Tanah Melayu

diadaptasi dari artikel SANGTAWAL - mereka yang tewas sebelum berjuang-siri 1
http://sangtawal.blogspot.com/2009/02/mereka-yang-tewas-sebelum-berjuang-siri.html

Oleh : Saufi Hamzah dan Mona Ahmad

BENARKAH ada penyakit yang hanya ada pada satu-satu kaum saja?. Adakah kajian genetik mampu mengenal pasti penawar bagi penyakit yang sering dikaitkan dengan keturunan.

Kajian mengenai susur galur genetik sesuatu kaum perlu dijalankan bagi membolehkan penyelidikan lebih meluas terhadap penyakit yang berkaitan dengan keturunan.

Sehubungan itu, sekumpulan 20 ahli sains dan penyelidik dari Universiti Sains Malaysia dalam pelbagai bidang termasuk genetik, sejarah, pergigian, forensik dan mata merintis langkah menjalankan penyelidikan bagi mengumpul profil genetik masyarakat Melayu di Semenanjung.

Banyak persoalan timbul, benarkah ujian asid deoksiribonukleik (DNA) boleh menentukan susur galur orang Melayu yang membuat penempatan asal di bumi Semenanjung Malaysia?

Adakah Orang Melayu Kelantan adalah kumpulan Melayu pertama yang membuat penempatan di bumi Semenanjung?. Bagaimanakah rupa asal orang Melayu yang mula bertapak di Semenanjung.

DR ZULFALIL menganalisis sampel darah responden Melayu.

Adakah rupa asal orang Melayu ialah berkulit sawo matang, berambut ikal, bermata kecil dan berahang kecil?. Benarkah penghijrahan dan perkahwinan campur menyebabkan tiada lagi orang Melayu yang asli.

Semua persoalan ini bakal terjawab apabila kajian yang dikenali sebagai Menjejaki Asal Usul Bangsa Melayu Menerusi Kajian Morfologi, Sejarah, Sosio Budaya dan Analisis Genetik siap sepenuhnya menjelang 2008.

Malah, kumpulan penyelidik itu sudah memulakan projek mereka sejak Januari lalu dan ketika ini berjaya mengumpulkan sampel daripada lebih 50 responden dari sub kumpulan etnik yang dikenal pasti di Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu.

Kajian yang menelan belanja RM1.4 juta menerusi peruntukan Kementerian Pengajian Tinggi ini adalah satu-satunya kajian genetik orang Melayu yang menetap di Semenanjung.

Menarik mengenai kajian ini ia bakal melihat evolusi masyarakat Melayu di Semenanjung dengan menggunakan pembuktian bahawa orang Melayu yang mula membuat penempatan di Tanah Melayu ialah Melayu Kelantan.

Melayu Kelantan dijadikan asas kajian kumpulan penyelidik itu kerana mereka yakin bahawa susur galur keturunan kumpulan Melayu itu dianggap masih tulen kerana ramai yang masih mengekalkan keturunan mereka tanpa campuran kaum lain.

Pengarah Pusat Genom Manusia USM, Dr Zilfalil Alwi, berkata sikap orang Melayu Kelantan sendiri yang agak tegas dalam pemilihan pasangan hidup juga diambil kira kerana ia dikatakan boleh mengurangkan pendedahan kepada perkahwinan campur yang sekali gus menjejaskan genetik asal kaum itu.

Dalam kajian ini, katanya, kumpulan pengkaji akan mengenal pasti penempatan 14 sub etnik Melayu Semenanjung yang dipilih menerusi sejarah dan latar belakang sosio budaya.

“Apabila penempatan dikenali pasti di Semenanjung, kita akan mendapatkan responden yang menetap di lokasi itu tetapi datuk nenek moyang mereka berasal dari tempat asal keturunan mereka seperti Minang di Indonesia.

“Selepas responden dikenal pasti barulah kita ambil sampel darah, ukuran muka, gigi, mata dan rahang, selain mengumpul maklumat susur galur keturunan responden,” katanya yang ditemui di USM, Kubang Kerian, baru-baru ini.

Dr Zilfalil berkata bagi Melayu Kelantan dan Minang di Negeri Sembilan, misalnya, pakar sejarah, Prof Madya Dr Ooi Keat Jin mengenal pasti beberapa lokasi penempatan awal di sepanjang Sungai Kelantan dan kawasan pantai serta pedalaman Negeri Sembilan.

“Zaman dulu, penempatan awal di sepanjang sungai dan pantai kerana tiada jalan. Jadi, pakar sejarah akan mengenal pasti lokasi penempatan bagi membolehkan penyelidik mengambil sampel dari responden,” katanya.

Dr Zilfalil berkata, tiga kaedah digunakan untuk mengesan genetik kaum itu iaitu mengekstrak DNA menerusi darah untuk mengkaji mitochondria yang hanya boleh diwarisi kaum ibu saja.
Menerusi kajian ini, jika seorang wanita itu berkahwin dengan lelaki dari kaum lain dan berpindah ke tempat lain, susur galur asal usulnya boleh dikesan menerusi mitochondria.

Kajian kedua pula membabitkan kajian kromosom Y-Short Tendem Repeat (Y-STR) untuk melihat evolusi kaum lelaki, misalnya, sekumpulan lelaki berhijrah ke tempat lain, asal usul kumpulan lelaki berkenaan boleh diperolehi menerusi ujian itu.

Selain itu, kaedah ketiga yang digunakan ialah menggunakan Cip Mikro Array bagi mengesan Single Nucleotide Polymorphism (SNP) secara serentak untuk 50,000 variasi jujukan DNA seseorang individu.

Kaedah ini membolehkan pengkaji mengesan variasi jujukan DNA yang ada pada satu-satu responden, yang akhirnya turut menyumbang jawapan kepada persoalan asal usul kaum menerusi kajian genetik.

FAKTA:

- Kajian Menjejaki Asal Usul Melayu melalui Kajian Morfologi, Sejarah, Sosio Budaya dan
Analisis Genetik.

Kajian oleh Universiti Sains Malaysia

- Jumlah penyelidik - 20 orang

- Jangkaan projek - Januari 2006 - 2008

- Jumlah responden - 20 hingga 30 orang setiap sub etnik

- Sub kumpulan etnik Melayu di Semenanjung :


Melayu Kelantan di Kelantan
Melayu Minang di Negeri Sembilan
Melayu Yunan di Terengganu
Melayu Acheh di Perak
Melayu Riau di Johor
Melayu Champa di Perak, Kedah dan Kelantan
Melayu Mandailing di Perak
Melayu Jawa di Johor dan Selangor
Melayu Bugis di Johor dan Selangor
Melayu Rawa di Perak
Melayu Jambi di Johor, Selangor dan Perak
Melayu Batak di Perak dan Pulau Pinang
Melayu Banjar di Selangor dan Johor
Melayu Kurinchi di Selangor

Keseluruhan Projek bernilai RM1.4 juta:

Pembahagian tugas:

Pengumpulan Sampel dan pengekstrakan DNA - diketuai Dr Zilfalil Alwi

Analisis sejarah dan sosio budaya - diketuai Prof Madya Dr Ooi Keat Gin

Analisis DNA mitokondria - diketuai Dr Zafarina Zainudin

Analisis STRs autosomal dan Y-STRs - diketuai S Panneerchelvam

Analisis SNPs - diketuai Dr Zilfalil

Analisis Human Leukocyte Antigen - sejenis protein dijumpai dalam sel yang berfungsi dalam sistem imun - diketuai Prof Norazmi Mohd Nor

Analisis Morfologi, struktur muka, rahang dan gigi - diketuai Prof Abd Rani Samsudin

Analisis Morfologi Mata - diketuai Dr Liza Shamimi Ahmad Tajudin

(sangtawal : ini barulah disebut kajian saintifik,ada kertas kerja dan skop kajian ilmiah dan masuk pula dalam belanjawan negara, bernilai RM 1.4 juta,di buat oleh orang-orang akademik bertaraf Profesor, bukan secret agency lah..Discovery Channel lah...bla bla bla..penyedap rasa je...yang menarik hati saya ialah orang yang mengambil bahagian dalam analisis sejarah dan sosio budaya ialahProf madya Dr Ooi Keat Gin...dia seorang yang bijak dari bangsa cina pun setuju terlibat sama dalam research ni...bukannya asyik dok pertikai ketuanan melayu atau melayu itu pendatang atau tidak!)

2 comments:

Anonymous said...

Mana hasil kajiannya. Apa kesimpulannya.

Firdaus Abd Rahman said...

http://tenteraberkuda.blogspot.com/2013/01/orang-kelantan-melayu-sebenar.html