Perhatian


Kebanyakan post di dalam blog ini disalin dari posting dari sahabat-sahabat blogger lain untuk rujukan saya pada masa akan datang. Jadi saya lampirkan sekali link ke post asal bagi menjaga hakcipta post serta memudahkan anda dan saya ke post asal. Harap Maklum

Tuesday, September 10, 2013

Tari Pulut Tari Perang - hikmah bertari

Seni Tari Pulut - Warisan Terus Dipeliharan - oleh Mazlan Hj Hashim 
dipetik dari Majalah Seni Beladiri Sept 2013 - ms 43

Negeri Pahang Darul Makmur atau nama lamanya Inderapura banyak melahirkan pahlawan dan pendekar terbilang. Ilmu persilatan berkembang pesat dan mendapat pengiktirafan pihak istana. Seni warisan budaya bangsa Melayu ini masih dikekalkan keasliannya dan menjadi bahan rujukan sejarah yang tidak ternilai harganya. Para pahlawan dan pendekar ini membawa pelbagai aliran silat. Antara cabang persilatan itu adalah seni tari pulut.

Seni tari pulut ini perlu dipelihara dan dikembangkan kerana era kemodenan banyak menghakis warisan seni budaya bangsa Melayu. Mungkin generasi muda masakini berpendapat tidak memerlukan kemunculan semula warisan dahulu. Tetapi buat generasi yang sudah berumur, mereka ingin melihat semula warisan ini dipelihara kerana nilainya tidak dapat dibeli dengan wang ringgit. Khazanah ini terlalu mahal harganya bagi yang memahaminya.

Nostalgia seni tari pulut membawa kenangan indah buat mereka yang memahami. Professor Datuk Aripin Said yang merupakan Penyelidik Budaya Negeri Pahang pernah mendapat pesanan ketika bertemu Mat Kilau di Kuantan. Mat Kilau pernah berkata bahawa Tari Pulut itu sebenarnya adalah Tari Perang.

Bagi menghidupkan semula warisan ini, pada tanggal 30 Jun 2013, telah berlangsungnya majlis menyambut menantu anak Muhammad Khairul Safiq dan Adrismadesi binti Agustami telah dipersembahkan dengan seni tari pulut yang menampilkan pelbagai gerak tari daripada perguruan Seni Silat Sendeng Gunung Sakti, Seni Silat Lincah Terlak dan Seni Silat Sengkelat Pendekar Endol.

Asal Seni Silat Sendeng Gunung Sakti dan Seni Silat Lincah Terlak dibawa oleh Cikgu Jantan anak Datuk Bahaman. Datuk Bahaman pernah menentang campurtangan Inggeris di negeri Pahang bersama Tok Gajah, Mat Kilau, Mat Lela dan sahabat-sahabat seperjuangan yang lain. Manakala Seni Silat Sengkelat Pendekar Endol adalah warisan Pendekar Endol yang pernah mengajar silat di Istana Kuning, Pekan di zaman Almarhum Sultan Abdullah (Sultan Pahang ke-3).

Kini Seni Silat Sendeng Gunung Sakti dikembangkan oleh guru Mohamad Nazri, Seni Silat Lincah Terlak oleh guru Musa Abdul Manaf dan Seni Silat Sengkelat Pendekar Endol oleh guru Iskandar Kamil Hj Ujang.

Majlis persandingan kedua mempelai diserikan dengan tari-tari silat seperti Titi Batang, Helang Berlayar, Berdiri Ketitir, Sembelih Ayam, Benang Kusut, Merbah Belaga, Menyusup Rotan, Menarik Benang Sebelit, Berkayuh Perahu, Sauk Besar, Sauk Kecil, Tepuk Ketinting Murai, Tepuk Sembah, Cacak Racik, Helang Melayang, Tarik Rotan Manau. Tarian piring turut dipertontonkan dan memperagakan tarian silat seperti lenggang janda, cacak racik dan merbah berlaga.

Semoga warisan budaya bangsa ini terus dipelihara agar perkembangannya dapat mengangkat martabat seni tari pulut agar menjadi warisan yang tidak dilupakan. Kita harus ingat dari sinilah munculnya para pahlawan dan pendekar terbilang yang mengangkat bangsa Melayu sehingga disegani oleh pihak luar. Yang lama tidak dipinggirkan dan yang baharu diteruskan kerana ia sama-sama memerlukan. Ia ibarat aur dengan tebing, sama-sama bergandingan bagi menyokong satu sama lain.

No comments: