Kisah
terjadi di suatu negeri
Menjadi
sejarah hingga kini
Kedah Darul
Aman negeri yang dimaksudkan
Ikutilah
kisah ini semoga dapat diteladankan
A
|
dapun
penduduk negeri Kedah ketika itu tolong-menolong dan saling bantu membantu
antara satu sama lain demi kesejahteraan bersama. Namun begitu, pada suatu
hari, di daerah yang diberi nama Kerian, berlaku sesuatu yang tidak dijangka.
Penduduk kampung telah digemparkan dengan kehadiran lanun-lanun Batak yang
diketuai oleh seorang panglima Batak yang perkasa. Tuah namanya. Namun bukanlah
laksamana Hang Tuah, Panglima Melaka yang dimaksudkan. Kehadiran lanun-lanun
itu seperti hendak berniaga, tetapi niat di hati, tuhan sahaja yang tahu.
Sudah
menjadi kebiasaan rakyat di Kedah pada hari Jumaat dimulakan pasar di kawasan
tanah lapang di kampung Kerian. Ketika inilah para nelayan, petani, pedagang
dan sekelian penduduk kampung dapat beramah mesra sambil bertukar-tukar
barangan keperluan harian masing-masing. Adapun wang emas yang telah
diperkenalkan, tetapi tidak semua orang mampu memilikinya. Lagipun, sekeping
emas dapat ditukar dengan bekalan untuk beberapa purnama lamanya.
Seperti
yang telah ditetapkan oleh agama Islam, maka masuklah waktu solat fardhu
Jumaat. Tabuh di masjid Kampung Kerian pun dibunyikan. Maka bergegaslah kaum
lelaki mukmin yang telah cukup umur serta sempurna syarat untuk menunaikan
kewajipan itu. Segala barangan perniagaan ditinggalkan sahaja kerana keyakinan
mereka terhadap tuhan Rabbi yang melindungi mereka. Sedang tok khatib membaca
khutbah Tuah dengan angkuhnya memberikan isyarat untuk menyerang. Lanun – lanun
Batak yang berada di dalam dan sekitar masjid itu menggempur dengan pantas dan
mengejut.
“Serang!
Bunuh semua! Gue tak mau tengok seorang
pun hidup!” jerkah Tuah.
Maka
berlakulah pertumpahan darah yang amat dahsyat, sukar hendak digambarkan
kekejamannya. Tok Imam menghembuskan nafas terakhirnya dengan sebatang tombak
terpacak di dada. Para jemaah yang lain ada yang cuba menyelamatkan diri. Ada
juga yang cuba bertarung dengan lanun – lanun tersebut.
“Allahuakbar!
Allahuakbar! Allah….,” tumbang seorang lagi mujahid Islam.
Lanun
– lanun yang berada di pasar pula menyerang kaum hawa yang masih berada di
situ. Yang sudah lanjut usia disembelih manakala anak – anak dara dijadikan
alat pemuas nafsu. Beberapa orang srikandi yang cuba memelihara kehormatan dan
nyawa, mereka dinodai dan dibunuh dengan kejam. Dalam kekalutan itu. Seorang
anak muda bergelar Awang sempat menyelamatkan diri. Dia berjaya sampai ke
masjid kampung jiran. Dia hanya sempat memberitahu bahawa kampungnya telah
diserang lanun Batak sebelum sebatang
anak panah hinggap di belakangnya.
Tok
penghulu Ali yang memangkunya mengarahkan beberapa orang pendekar kampung Titi
Serong memburu Batak yang membunuh Awang. Sementara itu, tabuh perang
dibunyikan sebagai amaran kepada kampung-kampung yang berhampiran sambil
meminta bantuan. Tidak beberapa lama selepas itu, penduduk-penduduk Kampung
Simpang Tiga, Kampung Simpang Empat dan Kampung Melayu serta beberapa kampung
lain berhampiran berkumpul di hadapan masjid kampung Titi Serong. Masing-masing
menghunus parang panjang, golok, tombak dan tongkat. Terdapat juga beberapa
orang panglima istana yang lengkap berkeris. Para panglima ini diketuai seorang
ulama yang bijaksana dan juga merupakan salah seorang panglima kanan kesultanan
Kedah yang perkasa. Orang ramai mengenalinya sebagai ‘Tok Sheikh Jarum’ kerana
kesenian ilmu yang diamalkannya. Panglima yang menggunakan parang lading ini
dikenali juga sebagai Panglima Ismail. Tanpa banyak berbicara, mereka bergerak
ke kampung Kerian.
Kawasan
pasar yang beberapa ketika sebelumnya penuh dengan keceriaan dan keseronokan
kini bertukar menjadi sebidang tanah yang penuh dengan kesedihan dan kengerian.
Mayat bergelimpangan merata- rata dalam keadaan yang mengaibkan. Kebanyakan
yang menjadi mangsa terdiri daripada kaum wanita. Kanak-kanak dan warga tua
yang uzur juga menjadi mangsa. Beberapa pedagang asing juga turut terkorban.
Panglima Ismail mengarahkan supaya sebahagian daripada pendekar – pendekar daripada
kampung – kampung berhampiran itu memeriksa dan menguruskan mayat – mayat
mangsa kekejaman lanun batak tersebut.
Salah
seorang daripada mangsa-mangsa itu didapati masih hidup dan dibawa menemui
Panglima Ismail. Dia merupakan seorang wanita yang berumur dalam lingkungan dua
puluh tahun. Pakaian anak gadis itu koyak rabak. Pada zahirnya, kecederaan yang
dialami gadis itu tidaklah begitu hebat jika dibandingkan kecederaan batinnya.
Gadis itu menceritakan segala – gala yang dialaminya. Dia juga memberitahu
bahawa dia nampak lanun – lanun itu menghala ke arah masjid. Dia telah selamat
kerana mereka tidak menyangka yang dia masih hidup. Dia terus menangis.
Kesakitan zahir dan batin yang ditanggungnya terlalu pedih. Melihatkan keadaaan
wanita itu, Panglima Ismail menanggalkan baju sikapnya lalu menutupi tubuh yang
dianiaya itu.
“Penghulu
Ali! Datuk Sahak! Panglima Majid! Kita mara ke masjid! Depa ada kat sana!”
Panglima Ismail mengeluarkan arahan.
Panji
– panji perang negeri Kedah dikibarkan dengan bangganya. Kumpulan perang itu
berpecah kepada empat kumpulan dan menuju masjid dalam arah yang berlainan,
satu daripada setiap sudut masjid. Setiap orang pendekar membasahi lidah
masing-masing dengan zikir kepada Allah agar dapat menenangkan hati dan
memelihara niat yang suci – berjihad ke jalan Allah. Panglima Ismail sendiri
mengetuai kumpulan yang menghala ke pintu masjid. Kumpulan-kumpulan yang lain
menghampiri masjid tersebut secara tersembunyi. Tugas utama mereka ialah
menghalang lanun-lanun itu daripada melarikan diri. Inilah helah peperangan
Panglima Ismail. Beliau dan empat orang kanannya melangkah dengan tenang ke
halaman masjid. Kelima-lima mereka memegang parang lading yang tersembunyi di
dalam lengan sikap masing-masing. Mereka kelihatan seolah-olah tidak
bersenjata.
“Panglima
Tuah! Tolong bebaskan tawanan kamu dan keluar dari situ!” pujuk Panglima
Ismail.
Panglima
Batak yang sedang ‘berpesta’ itu tersentak. Siapakah gerangannya yang berani
bersuara itu? Dia mengintai dari celah dinding masjid yang terkopak akibat
pertampuran tadi. Berani sungguh orang ini, sanggup berdepan tanpa senjata,
bisik hatinya. Dengan pantas dia menyambar salah seorang tawanan lalu diseret
keluar. Wanita itu merayu dan meronta supaya dilepaskan. Rayuannya itu tidak
dipedulikan Tuah. Tuah muncul di tangga masjid bersama wanita tawanannya.
“Siapa
lu? Brengsek!!” bentaknya dengan garang.
“Namaku
Ismail. Sultanku Duli Yang Maha Mulia Tuanku Ahmad Tajuddin. Nabiku Muhammad
dan Imamku Al-Quran. Marilah turun. Mari kita berbincang,” pelawa Panglima
Ismail.
”Aah!!!
Peduli apa gue!!” jerkah Tuah, “Lu nampak ni?”
Dengan
ganas Tuah mengoyah pakaian wanita malang itu. Dengan perlahan-lahan Tuah
membenamkan mata kerisnya ke dada wanita itu. Darahnya memercik ke tangga
masjid. Dengan rakus Tuah menjilat darah segar dari wanita yang tinggal
nyawa-nyawa ikan tersebut. Raungannya mati bersama jasad yang tidak berdosa
itu.
“Astaghfirullah...
Innalillah wa innalillahi raji’un...,” ucap Panglima Ismail.
Salah
seorang daripada panglimanya bergerak untuk menyerang.
“Majid!
Sabar dulu!” tegahnya, “Baiklah Tuah, kalau itu yang hang mau, mailah. Turun.”
Tuah
hairan dengan sikap panglima ini. Sepatutnya dia telah lari setelah melihat
perlakuannya tadi. Sebaliknya Tuah pula yang dicabar. Namun begitu, cabaran itu
disambut dengan keangkuhan dan kebongkakan yang tinggi. Dia menyepak mayat
wanita tadi ke tanah. Beberapa orang lanun Batak yang lain mengekorinya dari
belakang. Panglima Ismail merenung tajam ke arah Tuah. Tuah terpaku sebentar.
Tenungan makrifat itu menusuk jauh ke dalam kalbunya. Tuah mengalihkan
pandangannya. Dengan tiba-tiba salah seorang pendekar tempatan meluru daripada
semak samun.
“Celaka
hang! Hang bunuh bapak aku! Celaka!!!”
Semua
yang berada di halaman masjid terkejut tetapi Panglima Ismail dan para
panglimanya tetap tenang.
Setenang
air di tasik...
Tuah
mengarahkan salah seorang lanunnya supaya menamatkan riwayat pendekar tersebut.
Panglima Ismail mengisyaratkan salah seorang panglimanya untuk bertindak. Belum
sempat lanun itu membunuh pendekar kampung jiran tadi, dia terpalanting ke
tanah. Kelihatan salah seorang panglima Kedah berdiri dengan gagah di hadapan
pendekar tersebut. Lanun yang tidak puas hati tadi terus menyerang panglima itu
dengan tombak. Serangannya ditangkis dengan mudah dan sekelip mata selepas itu,
isi perutnya terburai ke tanah. Sendi-sendi tubuhnya juga putus akibat hirisan
senjata misteri. Panglima Kedah tadi berdiri tegak dengan siku pakaiannya
berdarah. Dengan tenang beliau mengeluarkan parang lading daripada lengan
bajunya.
Sekali
lagi semua orang yang menyaksikan kejadian itu terpegun. Lanun yang kononnya
kebal itu dapat ditewaskan dengan mudah. Lanun-lanun lain yang menyaksikan kejadian
itu menggigil ketakutan. Mereka sudah mula merancang untuk melarikan diri.
Melihatkan keadaan itu Tuah mengarahkan lanun-lanunnya untuk melarikan diri.
Mereka tergesa-gesa meninggalkan masjid tersebut dan bertaburan mengikut hati
masing-masing. Nasib mereka malang kerana mereka dihalang oleh
pendekar-pendekar itu. Lanun yang menyerah diri telah ditawan. Namun begitu
Tuah dan beberapa orang kanannya telah berjaya melarikan diri.
Panglima-panglima
Kedah dan pendekar-pendekar tempatan memburu mereka. Tibalah mereka ke salah
sebuah kampung yang berdekatan. Tuah dan lanun-lanunnya mengamuk dan membunuh
para penduduk kampung tersebut. Apabila para panglima dan pendekar tempatan
sampai, berlakulah satu pertempuran yang hebat. Panglima Ismail sendiri telah
bertempur dengan Tuah. Serangan yang bertubi-tubi telah berjaya melemahkan
Tuah. Namun begitu, hirisan demi hirisan parang lading tidak juga dapat
mengalahkannya. Lama-kelamaan, Tuah tinggal keseorangan. Lanun-lanun yang lain
kesemuanya telah berjaya dihapuskan ataupun ditangkap. Panglima Ismail mendapat
satu ilham.
“Tuah!
Apa kata kita berbincang sekarang? Hang dah tinggal seorang. Mailah,” katanya.
Tuah
yang telah kepenatan dan kesakitan itu pun bersetuju. Panglima Ismail
mengisyaratkan supaya salah seorang panglimanya menghampirinya. Beliau
membisikkan sesuatu kepada panglima itu.
“Hoi!
Lu ngomong apa sama dia?” tanya Tuah.
Panglima
Ismail menjelaskan bahawa dia hanya memberitahu panglima itu supaya menyediakan
suatu tempat untuk mereka berbincang. Beliau telah meminta panglima itu supaya
menyediakan santapan dan persalinan untuk Tuah di rumah penghulu kampung itu.
Tuah pun setuju untuk menuruti Panglima Ismail ke rumah tersebut. Maka
bergeraklah mereka ke tempat yang dituju.
Ketika
itu, hari sudah senja. Fajar sudah lama menghilang. Hanya tinggal awan merah di
kaki langit. Penduduk kampung telah menyalakan jamung di sepanjang jalan ke
rumah penghulu itu. Mereka mengekori Panglima Ismail dan Tuah dari jauh dengan
berwaspada. Setibanya di rumah itu, Panglima Ismail mempelawa Tuah untuk naik
dahulu. Tuah enggan kerana pada sangkaannya ianya satu perangkap. Panglima
Ismail pun melangkah masuk ke rumah itu dengan menberi salam. Setelah yakin
semuanya selamat, Tuah pun menaiki tangga rumah itu. Dia sempat menjenguk ke
dalam rumah untuk memastikan ianya selamat. Tuah dapat melihat santapan dan
persalinan yang dijanjikan oleh Panglima Ismail.
Dengan
mengejut, tuah jatuh terlentang dihalaman rumah itu. Dirasainya seperti kakinya
telah dipotong. Mustahil, fikirnya. Dia melihat ke arah kakinya. Masih ada.
Tuah merasai dirinya dikhianati lalu bergegas bangun untuk menyerang Panglima
Ismail yang berada di tangga rumah. Sekali lagi dia jatuh terlentang. Mereka
telah memukul kakinya sehingga patah. Panglima Ismail tiba di sisinya. Para
pendekar tempatan bergegas untuk mengikat tangan Tuah dan membawanya ke
sebatang pokok kelapa di halaman rumah itu. Tuah diikat pada tiang itu. Dia
sungguh marah kepada Panglima Ismail lalu meludahnya. Panglima Majid yang ada
ketika itu menampar muka Tuah dengan kuat. Panglima Ismail kemudiannya
berbicara secara peribadi dengan Tuah setelah meminta penduduk kampung serta
para panglima beredar seketika. Setelah beberapa jam berbicara, akhirnya
Panglima Ismail meminta bahawa semua pendekar dikumpulkan. Satu keputusan telah
dicapai. Ketika itu, waktu sudah hampir subuh. Setelah mereka menyelesaikan
solat subuh, Panglima Ismail meminta supaya sebuah pasung disediakan dengan
tapaknya berada berhampiran dengan sebatang anak pokok nipah. Tuah telah dibawa
ke tampat itu dan kemudiannya dipasungkan.
Kangkangnya
dibuka dengan pucuk nipah itu betul-betul di bawahnya. Tuah telah dibiarkan di
situ dengan beberapa orang hulubalang menjaganya.
Beberapa
minggu berlalu sebelum Tuah menghembuskan nafasnya yang terakhir. Dia tidak
mati kerana kelaparan atau dahaga, sebaliknya dibunuh oleh pucuk nipah yang
menusuk tempat sulitnya lalu memasuki dan merosakkan segala isi tubuhnya.
Dikhabarkan bahawa raungan Tuah didengar hampir setiap hari di kampung itu. Ada
penduduk kampung yang kasihan akan Tuah merayu Panglima Ismail supaya tidak menyeksanya
lagi. Permintaan mereka terpaksa ditolak. Panglima Ismail menjelaskan bahawa
ini sahaja caranya untuk membunuh Tuah. Tuah sendiri yang memberitahu rahsia
kekebalannya kepada Panglima Ismail. Demikianlah kebijaksanaan panglima kanan
negeri Kedah...
No comments:
Post a Comment