Perhatian


Kebanyakan post di dalam blog ini disalin dari posting dari sahabat-sahabat blogger lain untuk rujukan saya pada masa akan datang. Jadi saya lampirkan sekali link ke post asal bagi menjaga hakcipta post serta memudahkan anda dan saya ke post asal. Harap Maklum

Tuesday, June 21, 2011

KERIS ITU MELAYU - MELAYU ITU KERIS

sumber:
http://zainamy.multiply.com/photos/album/236/KERIS_ITU_MELAYU_MELAYU_ITU_KERIS


Dewan Budaya Feb 2007
Artikel bertujuan menghuraikan makna dan falsafah salah satu simbol budaya Melayu iaitu keris...

Komen Pendita Azlan Ghanie (daripada Facebook beliau) berkenaan falsafah keris .....
"Benar En Zainal. Apapun untuk menceritakan mengenai falsafah kepada generasi sekarang bukan mudah. Untuk menceritakan satu falsafah... mengangkat keris, perlu mengambil masa 10 tahun dengan pelbagai pengisian asas.
Saya bukan pengumpul keris. Saya pengamal... saya tidak pandang kecantikan, saya ingin kesedapan dan keserasian.
Mengenai keris mengenali Melayu. Tidak mudah dipengaruhi tetapi bila sudah dipegang pasti digenggam.
Saya ada berbicara dengan Emil (penulis Semangat Keris Melayu) ketika beliau berkunjung ke pejabat 3-4 hari lalu, perlu tahu apa yang dicakap (juga tulis) mengenai keris. Kerana keris bukan direka tetapi diilham dari rasa...
Matanya 'masuk', sampir 'berasal', ulu - 'aku'. begitu antara cebisan ringkas.
Begitu antara diketahui... keris Raja kuasanya diangkat, keris hulubalang digenggam membela daulat."


km cover
  

km editor
 1 Comment 

km1
  

km2
  

km3
  

km4
  

km5
  

km6
  

km7
  

ADAT DAN ADAB MELAYU

ADAT & ADAB
Oleh AZLAN GHANIE

Dalam silat ada adat dan adabnya, dan ia melambangkan budaya adab tradisi sesebuah bangsa yang bertamadun.

Adat membawa erti ‘cara’ atau ‘kebiasaannya’ manakala adab pula melambangkan ‘perbuatan’ atau ‘disiplin’. Sebagai contoh, adat bangsa Melayu makan nasi atau mengambil makanan dengan adab tangan kanan. Begitu juga dengan adat keluar rumah, turut dengan adab melangkah kaki kanan.

Begitulah cara bersilat untuk mengenali asal sebenarnya. Adat hendak bersilat, dengan mulanya, bertangan kanan mendahului dan langkah kaki kanan menyusul. Ia secara tidak langsung, tanpa bicara lagi, gerak langkah identiti Silat Melayu.

Begitu juga dengan identitinya silat-silat Melayu lama yang antaranya tidak menendang melepasi pusat, tidak berkasar, tidak melangkah kawan dan tetap menghormati musuh.

Dalam berpakaian, sebagai contoh, persilatan dari asal perguruan Malaysia memakai seragam hitam. Ia telah menjadi adat dan sebagai lambang warna diri yang taat kepada Raja-raja Melayu.

Ada enam warna lambang Melayu iaitu kuning, putih, merah, biru dan hijau selain hitam. Kuning simbol Raja, putih kepada kelahiran/kematian, merah lambang keberanian, biru perpaduan dan hijau pula kedamaian.

Jika bersenjata seperti keris, sebaiknya bersamping dan bersetanjak sebagai pelengkap diri dalam berpakaian pahlawan. Begitu juga dalam berpakaian baju Melayu, perlu bersamping dan bersongkok.

Pesilat Johor mungkin dikenali berpakaian baju teluk belanga. Jika berpakaian baju Melayu, mereka turut memakai baju teluk belanga dan seluar berwarna lain. Manakala samping berada dalam baju Melayu. Itu perbezaan mereka dengan negeri-negeri lain.

Adat berpakaian samping pula, ada negeri, samping untuk yang bergelar Datuk ada corak bunga tersendiri. Orang dahulu memberitahu secara ‘gambaran’, jika bawah samping atas lutut bermakna dia belum berkahwin. Jika bawah samping melepasi lutut, dia sudah berkahwin. Makin ke bawah samping itu ‘diberitahu’ uisa dan ilmu mereka.

Jika belakang samping ke sebelah kanan atau kiri ikatannya, lelaki itu memberitahu dia duda dan jika bawah samping atas lutut erti “duda minta di pinang segera”. Begitu juga dengan wanita yang berpakaian Melayu.

Jika memakai destar atau tanjak, pastikan tiada ‘ekor’ berdiri belakang destar itu. Hanya Sultan sahaja berimej demikian. Begitu juga jika membuat atau memakai destar Dendam Tak Sudah, hanya Sultan menghalakan hujungnya ke kanan.

Dalam memakai selempang, sebaik-baiknya sebelah kanan bahu kerana hanya Raja-raja Melayu sebelah kiri.

Jika mengadakan persembahan bersenjata, pastikan jarak dengan penonton terutama Raja atau pembesar ada jarak dan kedudukannya. Mata keris sama sekali ditegah menghala Raja dan pembesar.

Memberi sembah atau hormat amat penting. Pastikan pergerakan atau perbuatan pesilat  tidak mengikuti budaya bukan Melayu.

Masuk gelanggang
Sebelum menyertai mana-mana perguruan samada silat atau bukan silat, pastikan dahulu diketahui akan asal-usul perguruan itu supaya tidak menyesal kemudian hari.
Jika ada perguruan mengadakan Hari Pengambilan atau Hari Pendaftaran untuk ahli baru, atau menganjurkan seminar perguruan itu, sebaik-baiknya sertailah dan dapat gambaran jelas dari penerangan perguruan itu sebelum membuat keputusan.
Ada panduan diberikan oleh guru tua kepada bakal pesilat sebelum menuntut ilmu pendekar untuk renungan dan penghayatan iaitu antaranya mengetahui keturunan diri dari tok empat, lapan moyang.  Atau dapatkan nasihat dan restu ibubapa.
Beberapa panduan dalam menuntut dengan melihat adat dan adabnya perguruan itu, sepertimana diketahui silat boleh dipelajari semua bangsa dan agama kerana tidak bercanggah dengan Islam. Silat adalah budaya adab Melayu dalam adat beladiri.
Boleh juga rujuk panduan dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

Dalam gelanggang
Pakaian perlu bersih dan sesuai untuk menjalani latihan. Begitu juga dengan diri perlu dalam berkeadaan siap sedia untuk berlatih.
Beri hormat seperti salam atau salam hormat kepada yang hadir dalam gelanggang. Sebaik-baiknya bersalam atau memberi salam hormat kepada guru terlebih dahulu. Begitu juga apabila tamat latihan.
Bila dalam gelanggang, sebaik-baiknya memberi tumpuan dan jangan bercakap-cakap hingga menganggu tumpuan guru yang mengajar dan rakan-rakan yang hadir.
Jaga sebutan percakapan dan pergerakan supaya tidak nampak sikap angkuh. Jika hendak minum air atau ke bilik air, pastikan minta kebenaran terlebih dahulu.

Luar gelanggang
Sebaik-baiknya, apa yang dilatih mengenai sikap dalam gelanggang wajar sekali
diamalkan di luar gelanggang sebagai adab atau disiplin amalan hidup.
 Sikap hormat, sabar, tenang dan berakal wajar dipraktiskan supaya dapat berdepan dengan pelbagai karenah dunia. Setiap langkah yang dipelajari dalam gelanggang adalah langkah kemenangan yang wajar dikecapi di luar gelanggang.
Dalam menjaga penampilan diri di luar gelanggang, perbuatan yang ditonjolkan adalah mengenai maruah diri. Penampilan yang berilmu dan tidak berilmu tetap ada bezanya dan diharapkan setiap pesilat bersikap dahagakan ilmu supaya maruah diri dapat dipelihara.
Di bawah adalah Panduan Tatatertib Di Majlis Rasmi istana yang boleh dijadikan panduan dalam penampilan diri kerana asal adat dan adab silat dari situ jua.

PANDUAN TATATERTIB DI MAJLIS RASMI
Untuk menjaga ketenteraman dan kelancaran serta ‘dignity’ sesuatu majlis yang memperlihatkan keterampilan anggotanya (termasuk tetamu dan perwakilan maka beberapa peraturan dan perilakuan telah diterima sebagai perilakuan yang sesuai dalam majlis rasmi di peringkat masyarakat, negeri, kebangsaan dan antarabangsa.
Adapun kesopanan yang dianggap sesuai ialah bagi masyarakat kita yang tidak bercanggah dengan hukum dan peraturan Islam. Sekiranya bercanggah ia bolehlah di ketepikan. Agama Islam juga menuntut supaya kita bersopan santun berbudi bahasa dan berhikmah dalam perkataan atau percakapan.
Antara perinsip yang selaras dengan Islam ialah tidak bermegah, bersikap sederhana dan tidak membazir.

PAKAIAN & ADAT DALAM MAJLIS
  1. Pakailah pakaian yang bersih dan betul mengikut yang diterangkan dalam jemputan. Yang tidak mematuhi peraturan pakaian mungkin tidak akan dibenarkan masuk ke dalam majlis.
  2. Jika pakaian majlis adalah pakaian kebangsaan bersongkok, maka songkok yang sesuai adalah dari baldu hitam atau biru gelap tanpa corak. Songkok hendaklah dipakai tegak, tidak senget ke kiri, ke kanan, ke hadapan atau ke belakang hingga nampak gigi rambut atau bertenggek kerana terlalu kecil atau bolos kerana terlalu besar.
  3. Sampin hendaklah sederhana labuh kira-kira di paras lutut. Lengan baju dilabuhkan dan tidak tersinsing. Demikian juga seluar yang mengheret ke tanah mahupun tersinsing. Baju dan seluar hendaklah sepasang sama jenis kainnya dan berkasut.
  4. Wanita Melayu, pakaian rasmi Melayu adalah baju kurung atau kebaya labuh, atau baju kurung fesyen yang memenuhi peraturan jemputan, dan tidak terdedah kerana terbuka (termasuk di bahu, belakang atau perut) atau kerana jenis kain yang jarang. Butang leher hendaklah dilekatkan. Seluar tidak dibenarkan. Hendaklah berkasut (bukan sandal atau selipar yang terbuka di belakang), berselendang sama ada diletak di bahu atau bertudung (mini telekong).
  5. Jangan meninggalkan tempat duduk, bercakap-cakap, bersila panggung, kaki diatas kaki, batuk-batuk, ketawa atau berdehem dengan sengaja. Semasa duduk dan berdiri perlu rapatkan kaki. Jangan menggoyang-goyangkan kaki. Semasa berdiri tempatkan tangan ditepi dan jangan digoyang-goyangkan.
  6. Jangan memakai cermin mata hitam dan melengak ke atas kerana ia di anggap kurang manis. Jangan memakai emas perhiasan berlebihan bagi laki-laki dan juga perempuan.
  7. Jangan merokok. Elak ketawa dengan kuat atau bising atau tidur.
  8. Gunakan perkataan yang baik bila perlu bercakap dan tidak terlalu kuat, (Contoh: Sebutan “awak”, “aku”, “kawan” sebagai gantinama tidak sesuai diucapkan, juga dianggap bukan bahasa majlis di Negeri Pahang.)
  9. Menjaga kebersihan diri, rambut, muka (termasuk misai, janggut dan jambang diharapkan dicukur licin atau dikawal kerapian), pakaian, bau badan dan mulut tanpa wangian yang berlebihan. Makanlah sedikit sebelum menghadiri majlis supaya tidak ketara bau mulut, Sebaik-baiknya, pakai bau-bauan atau pewangi atau penahan peluh di celah lengan supaya bau badan terkawal semasa berpeluh.
  10. Berjalan dengan tegak dan tenang, tidak terburu-buru dan memandang ke kiri dan kanan.
  11. Adab dalam jamuan. Di samping menyebut Bismillah (bagi beragama Islam), jagalah adab makan yang baik, termasuk menggunakan pisau di tangan kanan dan garpu di tangan kiri atau sudu di kanan dan garpu di kiri (jika berkaitan). Jika pisau dan garpu turut dibekalkan, hanya sudu yang masuk ke mulut dan tidak garpu. Jangan mengambil lauk dengan sudu makan sendiri, gunakan sudu dalam pinggan atau mangkuk lauk.
  12. Jangan makan dengan bising, mengunyah dengan mulut terbuka atau bercakap dengan kuat atau ketawa terbahak atau terbelahak atau tersedak kuat. Berhati-hatilah.
  13. Letakkan napkin di atas riba dan letakkan semula di kiri pinggan dengan berlipat sesudah makan.
  14. Mulalah makan bersama-sama dan berhentilah makan apabila orang lain sudah selesai makan.
  15. Jangan mencungkil gigi di hadapan majlis. Kalau ada sesuatu dalam mulut yang perlu dikeluarkan, keluarkan dengan ditutup dengan napkin.
  16. Bagi majlis makan beradat ada peraturan-peraturan tertentu.

PANDUAN PENGGUNAAN BAHASA DI HADAPAN RAJA

Bahasa biasa              /            Bahasa kepada Raja

Anggota tubuh badan
Muka                                        wajah
Rambut                                    Surai
Telinga                                    Cuping
Tangan                                    Kadam
Kaki                                         Duli

Perbuatan
Mandi                                           Bersiram
Ke Tandas                                    Ke bilik air
Makan                                          Santap
Buang air(kecil/besar)                    Ke sungai (kecil/besar)                                    
Berjalan/Pergi                                Berangkat
Minum/makan                                Santap
Bercakap                                       Titah
Berucap                                         Bertitah
Memberi ucapan                             Menyampaikan titah ucapan
Tidur                                               Beradu
Memberi                                        Mengurniakan
Bersetuju/mendapat                        Mendapat perkenan
Persetujuan                                    Mendapat limpah berkenan
Panggil                                            Titah panggil
Marah                                                Murka
Meninggal dunia                                  Mangkat
Allahyarham (Raja)                              Almarhum
Allahyarham (prm)                               Almarhumah
Arwah (kerabat)                                     Selilah
Bercukur/gunting rambut (istiadat)               Berandam Surai
            

Bahasa mengenai kita dihadapan Raja
Makan                                                Ayab
Tak tahu                                    Kurang periksa (mohon periksa)
Anak                                                Pacal
Saya                                                 Patik
Orang itu                                    Pacal itu (nama)
Encik/Dato  (gelaran)                      Pacal Tua (nama)
Rumah (saya)                                    Pondok (patik)
Menyatakan(memaklumkan)                  Menyembahkan (sembah maklum)
Hadiah                                                Persembahan
Terima Kasih                                    Junjung kasih
Berucap                                    Persembahan ucapan
Hadir                                           Berangkat mencemar duli (kecuali majlis beribadat)
Menjemput                                    Menyilakan
Jemputlah                                    Sila
Berjumpa (tuanku)                        Mengadap Tuanku/
Tuanku                                    Kebawah Duli Tuanku
Anakanda (Tengku Mahkota)         Paduka Anakanda TM
Sultan (kepada Anak Raja)                Seri Paduka Ayahanda
Tengku Ampuan/ Raja Perempuan                       Seri Paduka Bonda

Perkataan ‘Beta’ digunakan oleh Raja sebagai gantinama ‘Saya’ dalam ucapan resmi. Selain daripada bahasa di atas panduannya ialah supaya digunakan bahasa resmi atau bahasa surat yang terbaik, halus dan sopan.
Sebelum memulakan ucapan sebutkan ‘Ampun Tuanku’ atau ‘Minta ampun’ diikuti dengan apa yang hendak diperkatakan. Semasa mula berbicara angkat tangan menyembah, baharu diteruskan berucap. Begitu juga, setiap pergerakan untuk bangun duduk atau beredar hendaklah didahului dengan mengangkat sembah.

Ucapan di majlis rasmi dimulakan dengan ungkapan ‘Mengadap KDYMM Sultan Pahang (nama dan diakhiri dengan D.K.P.) dan seterusnya KDYTM Tengku Mahkota, KDYTM Tengku Puan hingga YAM Tengku Muda Pahang dan YABhg. Cik Puan Muda Pahang, di ikuti dengan, ‘Ampun Tuanku Beribu Ampun, Sembah patik harap diampun’.  Teruskan ucapan khusus untuk mengalu-alukan Raja dan pengiring Baginda i.e. KDYTM dan YAM. Kemudian ucapkan ‘Ampun Tuanku, patik mohon limpah perkenan KDYMM Tuanku bagi patik berucap sepatah dua kepada dif-dif dan para hadirin sekelian’ (atau seumpamanya.) Setelah itu baharulah disebut nama dif-dif yang lain mengikut susunan dam memberi ucapan umum. Di akhir ucapan mohon semula seperti‘Demikianlah persembahan ucapan patik… ampun Tuanku beribu ampun sembah patik mohon (harap) diampun.’ (Salam)

Gelaran khusus bagi Negeri Pahang. (Gelaran-gelaran ini tidak boleh diubahsuai) kecuali ada arahan KDYMM Sultan atau Kerajaan, dimana berkaitan)

Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) (untuk Sultan)
Duli Yang Maha Mulia (DYMM)
Sultanah Pahang Sultanah Hajjah Kalsum (untuk Sultanah)
Kebawah Duli yang Teramat Mulia (KDYTM) (bagi Tengku Mahkota, Pahang)
Kebawah Duli yang Teramat Mulia (KDYTM) (bagi Tengku Puan Pahang)
Yang Amat Mulia (YAM) (bagi Tengku Muda dan semua Kerabat Bergelar)
Yang Amat Berbahagia (YABhg) (bagi isteri Kerabat Bergelar)
Yang Amat Berhomat (YAB) (bagi Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri Besar)
Yang Di Hormat (bagi Orang Besar Berempat i.e. Orang Kaya)
Yang Mulia (bagi Kerabat i.e. Tengku, Engku)
Yang Berhormat (bagi Timbalan Menteri Besar, Ahli Dewan Negeri dan Parlimen)
Yang Hormat (bagi Orang Besar 8, 16 dan Dato’ – dato’)
Yang Berbahagia (bagi isteri-isteri kenamaan secara umum)
Sahibul Samahah (bagi Mufti)
Sahibul Fadilah (bagi Kadi Besar / Timbalan Mufti)
Al Fadzil (bagi Pegawai Agama Islam Daerah @ Pegawai Agama)
Bagi gelaran di negeri lain atau yang melibatkan orang kenamaan negeri lain makluman gelaran khusus hendaklah diperolehi, kerana ia berbeza-beza antara negeri.
Senarai Kerabat Bergelar dan Orang-orang Besar Negeri
(Jadual 29 Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Pahang)

KDYTM                               Tengku Mahkota
YAM                                    Tengku Muda
YAM                                    Tengku Arif Bendahara
YAM                                    Tengku Arif Temenggong
YAM                                    Tengku Puteri Lela Wangsa
YAM                                    Tengku Besar
YAM                                    Tengku Seri Nila Utama
YAM                                    Tengku Puteri Seri Teja
YAM                                    Tengku Puteri Seri Kemala
YAM                                     Tengku Puteri Seri Manja
YAM                                    Tengku Puteri Seri Bongsu
YAM                                    Tengku Panglima Perang
YAM                                     Tengku Panglima Besar

Orang Besar Berempat

YDH                        Orang Kaya Indera Maharaja Perba Jelai
YDH                        Orang Kaya Indera Syahbandar
YDH                        Orang Kaya Indera Segara
YDH                        Orang Kaya Indera Pahlawan

Orang Besar Berlapan

YH Dato’ Setia Muda
YH Dato’ Setia Lela
YH Dato’ Setia Perkasa
YH Dato’ Setia Pahlawan
YH Dato’ Setia Raja
YH Dato’ Setia Wangsa
YH Dato’ Setia Amar Segara
YH Dato’ Setia Penggawa                       
  

Orang Besar Enambelas
Tok Muda

Orang Besar Raja/Orang Besar
Istana

YM Tengku (Dato’) Setia Jaya
YH Tok Pentara Raja
YH Tok Aria Rakna
YH Penghulu Balai
YH Panglima Dalam
YH Tok Bijaya DiRaja
YH Tok Luar
Bentara Kiri
Bentara Kanan


PANDUAN TATATERTIB DI MAJLIS RASMI
Ehsan dari YDH Dato’ Sri Wan Haji Abdul Wahid Wan Haji Hassan
Orang Kaya Indera Pahlawan
Timbalan Yang Dipetua Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang

 sumber:

Monday, June 20, 2011

Kenali Adat Budaya Melayu - Tanjak

http://laloquee.blogspot.com/2011/02/kenali-adat-budaya-melayu-tanjak.html



Pengenalan
Tanjak, tengkolok atau destar adalah salah satu busana pada bahagian kepala lelaki Melayu yang sering dikaitkan dengan istana, kepahlawanan dan dipakai dalam pelbagai acara adat istiadat bangsa Melayu.
Tanjak pada kebiasaanya akan dipadankan dengan bengkung, sampin dan baju Melayu beserta keris selit bagi pakaian lelaki Melayu.
Tanjak belum lagi dicipta pada zaman sebelum zaman kesultanan Melayu Melaka. Pada zaman itu, hanya sehelai kain digunakan dan diikat di kepala untuk menutup rambut supaya kelihatan kemas.
Ikatan kain ini lama kelamaan berubah dan menjadi semakin cantik mengikut peredaran zaman, diolah dan diubahsuai mengikut taraf seseorang itu.
Orang Melayu Melaka telah menggunakan kebijaksanaan mereka untuk mengubah sehelai kain untuk dipakai sebagai penutup kepala. Tanjak dahulunya merupakan lambang status seseorang.
Hanya yang berada sahaja pada ketika itu mampu memakainya dan tanjak juga merupakan sebahagian pakaian raja atau sultan.
Tanjak raja pada zaman Melaka dibuat dari kain sutera dari China atau India manakala orang kebanyakan menggunakan tanjak dari kain biasa.
Sejarah pemakaian tanjak di Perak pula dikatakan berasal dari sejarah lagenda kedatangan Sultan Muzaffar untuk ditabalkan di negeri Perak.
Mahkota raja yang dipakainya dibuang ke laut kerana perjanjian dengan penjaga laut untuk terus mudik ke negeri Perak. Pakaian kepala kemudiannya direka untuk mengantikan mahkota raja dan dipanggil tengkolok raja.
Bentuk, Rekaan dan Lipatan Tanjak
Koleksi Tanjak - Nik Hamid
Rekaan tanjak biasanya berkait rapat dengan status sipemakai. Apa yang dipakai oleh rakyat biasa berbentuk simpulan dan diubahsuai dari rekaan asal yang dipakai oleh raja. Rakyat tidak boleh memakai bentuk tanjak yang sama dengan bentuk tanjak raja atau sultan.
Kebanyakan tanjak sekarang dibuat dari kain songket. Untuk membuatnya, kain songket bersaiz 31 x 31 diambil dan dilipat dua kepada bentuk tiga segi bersama kertas keras, sebelum digosok dan dijahit. Untuk membuat bentuk tertentu, dawai atau lidi akan dimasukkan bersama lipatan supaya tanjak terbentuk keras dan cantik pada segi tertentu.
Jenis Lipatan Tanjak
  • Dendam Tak Sudah
  • Belalai Gajah
  • Setanjak Balung Raja
  • Sarang Kerengga
  • Sekelungsung Bunga
  • Ketam Budu
  • Kacang Dua Helai Daun
  • Solok Timba
  • Mumbang Belah Dua
  • Sekolongsang Bunga
  • Cogan Daun Kopi
  • Balung Ayam
  • Ayam Patah Kepak
  • Pucuk Pisang
  • Buana
  • Sering
  • Getam Pekasam
  • Anak Gajah Menyusu
  • Pari Mudek
  • Lang Menyusur/Menyonsong Angin
  • Lang Melayang
Jenis Tanjak yang Dipakai oleh Raja atau Sultan Negeri (sumber:rajamenangis.blogspot.com).
DTS
Tengkolok yang dipakai oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada hari pertabalan adalah berwarna hitam bersulam benang emas.
Lipatannya dinamakan Dendam Tak Sudah yang berasal dari Negeri Sembilan.
Pada bahagian hadapan tengkolok ini dipasangkan anak bulan dengan bintang pecah empat belas yang diperbuat daripada emas putih dan di tengah-tengah bintang terletak lambang kerajaan Malaysia yang berwarna-warni.
Dendam Tak Sudah: Tengkolok KDYMM Sultan Kedah Darul Aman.
Pakaian D.Y.M.M Sultan Kedah Darul Aman ini adalah ikatan/lipatan baru yang berasaskan kepada lipatan Dendam Tak Sudah dari Negeri Sembilan.
Lipatan ini dicipta setelah terjalin perkahwinan diraja antara Kedah dan Negeri Sembilan. Destar daripada kain songket berwarna hitam ini adalah pakaian rasmi baginda.
Daun lambaian kasihnya menghala ke kanan manakala pucuk destar yang melambangkan kuasa terletak di sebelah kiri, yang menunjukkan pemakainya adalah raja yang memerintah.
Dendam Tak Sudah: Tengkolok KDYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Destar daripada songket berwarna kuning ini adalah pakaian rasmi D.Y.M.M Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Sewaktu memakainya, kedudukan pucuknya yang dipanggil “tunas kasih” harus diletak tepat di atas mata kiri dan daun lambaian kasihnya pula dihalakan nke arah kanan. Cara ini menunjukkan pemakainya adalah raja yang memerintah negeri.
Sekelungsung Bunga: Tengkolok KDYMM Sultan Pahang Darul Makmur.
Di negeri Pahang Darul Makmur terdapat beberapa jenis destar yang pernah dipakai oleh D.Y.M.M Sultan Pahang.
Tengkolok ’Sekelunsung Bunga’ yang diperbuat daripada kain songket yang warna natarnya biru kundang bersulam kencana ini adalah pakaian rasmi yang dipakai D.Y.M.M Sultan Pahang pada masa sekarang.
Walaupun bentuk destar ini agak ringkas dengan bahagian daunnya melonjong ke atas dan bahagian bawahnya mengembang seperti sebuah kelungsung bunga, seperti terdapat perbezaan di antara destar yang dipakai oleh kerabat diraja dengan destar yang dipakai oleh orang biasa, khususnya dari sudut posisi daun dan pucuk destar yang dipanggil ’sula’.
Ketam Budu: Tengkolok KDYMM Sultan Kelantan Darul Naim.
Destar jenis ini merupakan lipatan yang dipakai oleh D.Y.M.M sultan dan pembesar di negeri Kelantan.
Perbezaannya hanya pada warna natar kain destar dan sedikit bentuk bunga pucuk di bahagian atas depan kepala yang menyerupai bunga mekar.
Ikat kepala ini dapat dikenali dengan mudah kerana ikatannya menutup seluruh bahagian kepala pemakai, tidak seperti jenis-jenis destar lain yang terdapat di Semenanjung Malaysia.
Ayam Patah Kepak: Tengkolok KDYMM Raja Muda Perak Darul Ridzuan.
Destar berwarna putih bersulam benang perak yang diberi nama Ayam Patah Kepak ini, adalah pakaian khusus untuk Raja Muda Perak Darul Ridzuan masa kini.
Dalam etika berpakaian adat-istiadat melayu, warna adalah unsur penting kerana warna menggambarkan kedudukan atau status sosial seseorang. Putih adalah warna khusus untuk Raja Perak manakala kuning adalah untuk D.Y.T.M Raja Muda dan warna hitam untuk D.Y.A.M Raja Di Hilir, Perak.
Dendam Tak Sudah: Tengkolok KDYMM Sultan Perlis.
Tengkolok Dendam Tak Sudah digunakan sebagai pakaian rasmi D.Y.M.M. Tuanku Raja Perlis. Warna natarnya kuning muda, manakala lipatannya sebanyak lima takuk bernama lipatan daun palas.
Setanjak Balung Raja: Tengkolok KDYMM Sultan Selangor Darul Ehsan.
Destar daripada jenis kain songket berwarna kuning ini adalah pakaian rasmi D.Y.M.M. Sultan Selangor. Ia dipakai oleh baginda sultan dalam majlis adat istiadat diraja negeri Selangor, seperti istiadat pertabalan, hari keputeraan dan lain-lain.
Reka bentuk destar ini diambil daripada tengkolok Balung Ayam dari negeri Perak, setelah terjalin perkahwinan diraja di antara kerabat negeri Selangor dan Perak.
Belalai Gajah: Tengkolok KDYMM Sultan Terengganu Darul Iman.
Destar Belalai Gajah adalah pakaian rasmi bagi D.Y.M.M. Sultan Terengganu. Destar ini diperbuat daripada kain songket bunga penuh warna kuning.
Daun pada bahagian atas depan destar ini dibentuk secara menggulung ke atas, seakan-akan seekor gajah sedang melambung belalainya.
Bahagian bawahnya pula terdapat tiga takuk lipatan dan pucuk destar yang disebut sula diletakkan pada sebelah kanan, melambangkan pemakainya adalah seorang raja.
Tengkolok di-Raja Negeri Perak
Gambar dan catatan di bawah dikongsi dari blog sembangkuala.
Jenis lipatan dan warna adalah berdasarkan kedudukan dan hanya berhak dipakai oleh golongan tertentu sahaja.
1. DYMM Sultan – Balong ayam. Warna putih dan emas..
2. DYTM Raja Muda – Ayam patah kepak. Warna kuning dan emas.
3. DYAM Raja Di-Hilir – Lang Menyusun Angin/Lang Menyonsong Angin. Warna hitam dan perak.
4. Empat Raja Bergelar – Lang sioh. Warna ungu dan perak.
5. Orang Besar Empat – Getam pekasam/Ketang pekasam. Warna hijau dan perak.
balong-ayam
Gambar di atas: Balong Ayam.
patah-kepak
Gambar di atas: Patah Kepak.
lang-menyonsong-angin
Gambar di atas: Lang Menyonsong Angin
g-pekasam-g-menyusu-p-pisang-pth
Gambar di atas: Dari kiri, Getam Pekasam, Anak Gajah Menyusu dan Pucuk Pisang Patah
Corak
Corak berteraskan tumbuh-tumbuhan jelas pada nama beberapa tanjak seperti Mumbang Belah Dua, Sekelongsong Bunga, Cogan Daun Kopi.
Pengaruh haiwan pula terpancar pada nama-nama seperti Balung Ayam, Ayam Patah Kepak, Pari Mudek, Lang Menyongsong Angin dan Lang Melayang.
Mengikat Tanjak
Cara mengikat tanjak pula bergantung kepada kedudukan orang yang memakainya. Lebih tinggi statusnya, lebih indah dan banyak lipatan kain pada tanjak itu.
Kalau raja, penghujung tanjak pasti tinggi dan tajam, iautu melambangkan darjat dan kuasanya. Kalau pendekar, ikatannya lebih kemas dan duduk tegap mencerminkan kegagahannya.
Langkah Melipat Tanjak
  • Langkah bermula
  • Risik melangkah
  • Risik bertemu
  • Cincin dikembang
  • Lambai kasih
  • Kasih berjawab
  • Kasih bermula
  • Bertemu kasih
  • Gelombang kasih
  • Lambaian kasih
Dengan kepelbagaian cara membentuk dan mengikat tanjak, menggambarkan betapa tingginya daya penciptaan pereka-pereka bentuk tanjak tradisi Melayu.
Keindahan dan kesenian reka bentuk tanjak masih terpelihara dengan baik dan utuh meskipun zaman silih berganti dan kepentingannya dalam masyarakat moden sudah berkurangan.