Perhatian


Kebanyakan post di dalam blog ini disalin dari posting dari sahabat-sahabat blogger lain untuk rujukan saya pada masa akan datang. Jadi saya lampirkan sekali link ke post asal bagi menjaga hakcipta post serta memudahkan anda dan saya ke post asal. Harap Maklum

Saturday, January 8, 2011

PIDATO DR BURHANUDIN AL HELMI YG PATUT ANDA BACA


Keterangan: Ini adalah kutipan pidato Yang Dipertua Agung PAS, Allahyarham Dr. Burhanuddin Al-Helmy yang disampaikan dalam Persidangan Agung PAS di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur, pada bulan Disember 1956. Walaupun pidato ini dibuat sesuku abad lebih dahulu, akan tetapi ia merupakan sebuah dokumen sejarah yang sangat penting yang perlu dipelajari oleh segenap patriot tanah air kita dalam mengharungi pergolakan politik dewasa ini. Antara lain ucapan ini membongkarkan sikap kompromi dan menyerah pucuk pimpinan UMNO terhadap penjajah British dalam soal kemerdekaan, membentangkan cara memecahkan masalah perjuangan bersenjata yang dipimpin Parti Komunis Malaya serta mengumumkan idea pembimbing yang bernilai tentang perlunya tenaga-tenaga patriorik tanah air kita khasnya tenaga-tenaga nasionalis, agama dan sosialis menggabungkan diri demi membela tanah air dan rakyat. Idea pembimbing ini bukannya terbentuk secara kebetulan, tapi telah dirumuskan oleh beliau berdasarkan pengalaman perjuangannya dalam sejarah khasnya ketika memimpin barisan bersatu PUTERA – AMCJA dahulu. Ucapan asalnya sangat panjang. Yang diterbitkan di sini merupakan ringkasan dan sedutan dari pidato tersebut yang telah disiarkan oleh akhbar Utusan Melayu pada 3 haribulan Januari 1957. Tajuk-tajuk kecilnya diberikan sendiri oleh penerbit.


1. Sikap Menyerah Pucuk Pimpinan UMNO Kepada Penjajah


Apa yang harus dibuat oleh pemimpin-pemimpin UMNO itu ialah membetulkan diri sendiri, membetulkan cara-cara perjuangan mereka sendiri. Bukanlah dengan memfitnah orang lain, maka mereka akan dapat memuaskan hati pengikut-pengikut mereka sendiri. Dengan membetulkan diri sendiri, pemimpin-pemimpin itu akan memberikan sumbangan besar kepada perjuangan kemerdekaan tanah air, sebab dengan membetulkan dan memperbaiki diri sendiri, mereka akan dapat menemukan jalan-jalan yang benar dan sesuai untuk memperjuangkan kemerdekaan rakyat, dan ini akan menguntungkan perjuangan kemerdekaan rakyat seluruhnya.

Selalu saja terdengar dari mulut sesetengah golongan UMNO: “Tunggulah hingga tahun 1957. Kita akan bertindak mengadakan perubahan dalam pimpinan. Sabarlah sehingga 1957.” Mereka takut kalau mereka bertindak sekarang mengadakan langkah-langkah memperbetulkan pimpinan-pimpinan merka, maka Malaya tidak akan merdeka dalam tahun 1957.

Sikap ini samalah juga dengan sikap Tunku Abdul Rahman. “Kita harus bertindak sekarang secara yang boleh direstui oleh penjajah, secara yang tidak boleh dicurigai oleh penjajah. Kalau kita bertindak di luar dari garis itu, kalau kita menyakiti hati penjajah, maka penjajah tidak mahu memberikan kemerdekaan kepada kita nanti di tahun 1957”. Sikap inilah yang menyebabkan pengkhianatan moral terhadap perjuangan Mesir oleh pimpinan UMNO. Dengan lain perkataan, pimpinan-pimpinan UMNO mengakui bahawa taktik kompromis, taktik beralah dan menyerah dalam soal-soal yang pokok, mengenai kepentingan rakyat adalah jaminan kemerdekaan tanah air kita. Dengan lain perkataan pimpinan UMNO tidak percaya kepada kekuatan rakyat, tetapi kepada kebijaksanaan pimpinan itu, beralah dan menyerah kepada penjajah.

Dan kalangan-kalangan UMNO yang tidak puas hati kepada kebijaksanaan menyerah dan beralah kepada penjajah yang ada pada pihak pimpinan UMNO sekarang tetapi sebaliknya mau pula menunggu hingga tahun 1957 untuk mengadakan koreksi-koreksi, perbaikan-perbaikan dan perubahan-perubahan kepada pimpinan UMNO itu, adalah sebenarnya bersubahat dengan pimpinan itu dalam taktik menyerah dan beralah kepada penjajah, yang dilakukan oleh pimpinan mereka sendiri sekarang ini.

Rakyat yang jujur kepada perjuangan kemerdekaan bangsa dan tanah air, yang ingin mengabdikan diri kepda kepentingan rakyat seluruhnya, memikul tanggungjawab yang berat dalam parti masing-masing. Mereka hendaknya sentiasa waspada, sentiasa meneliti dan mengawasi perjuangan pemimpin-pemimpin mereka, hendaknya bertindak mengubah dan memperbaiki perjalanan pemimpin-pemimpin mereka bila kelihatan nyata perjalanan dan perjuangan pemimpin-pemimpin mereka tidak setia kepada cita-cita rakyat.

Inilah sikap kita terhadap UMNO. Kita tidak memusuhi UMNO, kerana UMNO adalah mewakili segolongan rakyat yang mahu merdeka. Kita tidak memusuhi UMNO sebagai satu lambang di mana segolongan rakyat kita sendiri berkumpul, bergerak dan berjuang untuk mencapai cita-cita tanah air.

Tetapi kita tidak dapat mendiamkan diri daripada mengkritik, daripada memberikan fikiran dan teguran kita, demi kepentingan rakyat, kerana tegur-menegur, nasihat-menasihati, adalah rukun hidup manusia yang sejati, kerana hanya dengan tegur -menegur, nasihat-menasihati, dapat kita sama-sama membetulkan dan memperbaiki diri kita, dapat kita didorong dengan kekuatan baru, tenaga-tenaga baru ke arah cita-cita bersama.

Rakyat yang berdiri di belakang PAS adalah mempunyai cita-cita yang sama dengan rakyat yang berdiri di belakang UMNO, bahawa tiap-tiap mereka, tiap-tiap rakyat yang berdiri di belakang PAS dan rakyat yang berdiri di belakang UMNO menghendaki satu negara yang bebas merdeka dan berdaulat.

Kalau kita melihat pemimpin-pemimpin UMNO tidak jujur, tidak betul, tidak tegas memimpin rakyatnya, maka adalah kewajipan kita sebagai nasionalis, sebagai patriot, sebagai kawan seperjuangan yang bergerak di bawah lambang perjuangan UMNO, untuk mengkritik, untuk menegur pimpinan UMNO itu.

Demikian juga sebaliknya. Kalau pimpinan kita tidak jujur, tidak ikhlas terhadap rakyat, adalah kewajipan rakyat yang berdiri di belakang UMNO, yang berkumpul di bawah lambang perjuangan UMNO untuk mengkritik kita, untuk menasihati kita.

Kerana banyaklah titik-titiik pertemuan di antara perjuangan kita dengan perjuangan rakyat yang berdiri di belakang UMNO. Dan titik-titik pertemuan itu boleh merupakan satu jaminan yang kukuh, satu pertalian persaudaraan yang kuat yang mengikat kita bersama sebagai satu rakyat tanah jajahan yang hauskan kemerdekaan dan kemuliaan bangsa dan tanah airnya, yang saling kuat-memperkuat, pupuk- memupuk dan dorong-mendorong perjuangan kita bersama.



2. Memecahkan Perang Di Malaya Dengan Cara Damai

Sebagaimana juga perjuangan kemerdekaan rakyat Malaya mendapat dorongan-dorongan daripada perjuangan kemerdekaan rakyat di negara-negara lain, sebagaimana juga perjuangan kemerdekaan rakyat Malaya tak dapat dipisah-pisahkan daripada perjuangan kemerdekaan rakyat anak-anak jajahan di negara-negara lain, demikian jugalah perjuangan kemerdekaan dari setiap negara yang progresif dan demokratis dalam masyarakat Malaya ini, tidak dapat dipisah-pisahkan antara satu sama lain, melainkan tali menali, pengaruh-mempengaruhi, saling dorong mendorong dan saling kuat memperkuat. Tenaga-tenaga yang progresif dalam tiap-tiap parti, dalam tiap-tiap golongan dalam masyarakat, pengaruh – mempengaruhi satu sama lain, dan kekuatan seluruh inilah yang menentukan arah dan tujuan perjuangan kemerdekaan dan kedaulatan rakyat Malaya.

Kalau kita berpegang kepada prinsip bahawa komunizem boleh dihancurkan dengan kekuatan tentera di tanah air kita sendiri, maka terpaksalah pula kita berpegang kepada prinsip itu bahawa kekuatan tentera juga harus dipergunakan untuk membasmi komunizem sedunia. Apakah kita mengingini perang di dunia, menceburkan diri ke dalam kancah peperangan dunia ketiga semata-mata untuk membasmi komunizem?

Komunizem adalah satu faham internasional. Peleburan pemberontakan itu di Malaya tidak akan bererti bahawa faham itu akan hancur. Kerana faham itu bercorak internasional. Apa lagi faham itu timbul dan lahir dari kemelaratan dalam sistem masyarakat. Kerana ia lahir dari masyarakat, dari kemelaratan masyarakat, maka ia harus dibasmi dengan pengetahuan kemasyarakatan pula, bukan dengan pengetahuan ketenteraan, bukan dengan kekerasan senjata.

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) adalah bertentangan dengan aliran dan faham komunis. Islamizem dan komunizem tidak, dan tidak dapat disesuaikan. Tetapi ini tidak pula bererti PAS tidak mempunyai sikapnya sendiri terhadap masalah pemberontakan Parti Komunis Malaya.

PAS mengaggap bahawa komunis adalah satu penyakit dalam masyarakat, satu penyakit yang lahir dari kemelaratan dan kesengsaraan dalam masyarakat kita sendiri. PAS mempunyai keyakinan terhadap kekuatan ideologinya sendiri, terhadap kesucian dan kemuliaan ke-Islamannya, untuk mengatasi sebarang ideologi yang lain. PAS mempunyai keyakinan kepada kekuatan keimanan rakyatnya untuk menghadapi persaingan dan perlumbaan ideologi yang lain. Kami berkeyakinan bahawa dalam persaingan dan perlumbaan yang aman damai antara ideologi-ideologi di dalam masyarakat kita, maka ideologi kitalah yang akan dapat menakluki ideologi-ideologi yang lain. Kerana itulah PAS menghendaki pemecahan dan penyelesaian yang aman damai kepada soal komunizem di tanah air kita, menghendaki agar ideologi komunis itu ditentang dengan aman dan damai, demi kepentingan keamanan dan kesejahteraan rakyat Malaya sendiri.

Kita memerlukan pemecahan dan penyelesaian yang damai kerana kita sendiri telah mengalami betapa Darurat atau tegasnya peperangan di Malaya selama 8 tahun ini telah memakan korban politik, ekonomi dan moral rakyat kita sendiri. Lanjutan dari peperangan ini hanya akan mengakibatkan keruntuhan ekonomi dan keruntuhan akhlak rakyat kita sendiri dan sebaliknya menguntungkan penjajah semata-mata.

Selama 8 tahun peperangan membasmi komunizem di Malaya telah dijalankan secara penjajah. Masanya telah tiba sekarang untuk memecahkan dan menyelesaikan soal itu dengan cara rakyat dengan corak rakyat.

Seluruh dunia bergerak berikhtiar menegakkan keamanan dan perdamaian. Konresensi Afro – Asia di Bandung menjadi titik sejarah dalam perjuangan manusia untuk menegakkan keamanan dan perdamaian. Tenaga-tenaga manusia yang mengingini, yang mencintai keamanan, yang mencintai demokrasi dan yang mencintai kesejahteraan umat manusia, makin kuat dan makin kukuh. Malaya dan rakyatnya harus memberikan sumbangan kepada usaha maha besar, kepada tugas maha suci untuk menegakkan keamanan dan perdamaian dunia. Dan bagaimanakah kita dapat memberikan sumbangan itu kalau kita sendiri tidak dapat memecahkan soal rumah tangga kita sendiri secara aman dan damai?

Cara memecahkan dan menyelesaikan satu-satu problem, satu-satu kerumitan yang dihadapi oleh umat manusia tidak lagi berdasarkan kekerasan, tidak lagi berdasarkan senjata atom, kereta kebal, senapang dan mesingan . Segala kesulita, kerumitan dan kekusutan dunia, kesulitan dan kerumitan umat manusia kini dipecahkan dan diselesaikan di meja perundingan, dengan bertolak ansur, dengan hormat-menghormati sikap dan pendirian satu sama lain.
Jalan kekerasan tidaklah lagi jalan yang sesuai untuk menyelesaikan segala soal hidup manusia. PAS menentang kekerasan kerana kekerasan adalah bertentangan dengan dasar dan ideologi PAS.


3. Memadukan Tenaga-tenaga Nasionalizem, Keagamaan dan Sosializem

Perjuangan kemerdekaan tanah air akan diteruskan oleh PAS dengan jalan aman dan damai, dengan jalan berperlembagaan.

Dan PAS juga tidak merasa dan tidak mensifatkan dirinya sajalah yang mempunyai kesanggupan, yang mempunyai kelayakan, yang mempunyai tenaga dan kebijaksanaan untuk berjuang mencapai kemerdekaan dan kedaulatan bangsa dan tanah airnya. PAS tidak merasa dan tidak mensifatkan dirinya sajalah yang berkewajipan memikul tugas suci kemerdekaan bangsa dan tanah airnya kerana itu adalah tugas rakyat bersama.

Saya katakan bahawa penjajahan adalah bercorak internasional, satu gergasi yang pengaruh dan kekuatannya dirasakan di seluruh dunia. Kerana itu, penjajahan tidak boleh ditentang hanya dengan tenaga satu golongan saja, satu parti saja, tetapi sebaliknya hanya dengan tenaga-tenaga anti-imperialis seluruh dunia, tenaga-tenaga anti-imperialisme seluruh masyarakat.

Kerana itu PAS sanggup bekerjasama dengan apa saja golongan, apa saja parti, apa saja aliaran dalam masyarakat atas dasar kepentingan kemerdekaan bangsa dan tanah air.

Perjuangan kemerdekaan bangsa dan tanah air akan bergolak terus walaupun Malaya merdeka pada 31 Ogos 1957 ini. Kemerdekaan itu harus diisi dengan kenyataan-kenyataan, dengan realiti-realiti kemakmuran ekonomi rakyat, dengan realiti, dengan kenyataan ketinggian akhlak rakyat.

Perjuangan itu sama besarnya dengan perjuangan yang telah kita pusakai dari datuk nenek kita menentang penjajahan semenjak kejatuhan Empayar Melaka dulu. Dan sudah barang tentu perjuangan yang sebesar itu menghendaki tenaga yang sebulat-bulatnya dari seluruh rakyat negeri ini, menghendaki pengorbanan yang rela dan jujur dari segenap golongan progresif dalam masyarakat.

Tenaga-tenaga nasionalizem, keugamaan dan sosializem yang sihat dalam masyarakat harus kita gemblengkan, kita padukan mulai sekarang untuk merupakan satu tenaga besar demi tugas perjuangan kemerdekaan dan kedaulatan tanah air ktia.

Dasar-dasar persamaan antara ketiga-tiga tenaga ini harus kita tegakkan dari sekarang, kita pupuk dan kita perkukuh dari sekarang. Dan satu dasar persamaan, satu titik pertemuan yang kukuh boleh kita tegakkan untuk mempertalikan ketiga-tiga tenaga itu. Untuk memadukan ketiga-tiga tenaga itu ialah dasar kita bersama menentang penjajah, cita-cita kita bersama mengingini satu negara kebangsaan yang demokratis dan berdaulat.

Tiap-tiap kita mengingini satu negara Malaya yang demokratis dan berdaulat dalam erti kata yang sebenarnya. Cita-cita ini belum tercapai sekarang dan tak akan tercapai pada 31 Ogos 1957 ini. Ke arah cita-cita itulah PAS akan berjuang bahu membahu dan saling berbimbingan tangan dengan segala golongan dalam masyarakat.

Sesetengah pihak mengatakan bahawa setelah tahun 1957 kelak, barulah boleh segala parti di Malaya memperjuangkan ideologi masing-masing dan buat sementara ini, segala parti di Malaya harus bersatu, dengan menyingkirkan ideologi masing-masing.

Tetapi saya berpendapat bahawa sekarang ideologi hanyalah alat saja untuk memperjuangkan cita-cita nasional, cita-cita kebangsaan iaitu cita-cita menegakkan satu negara Malaya yang merdeka, demokratis dan berdaulat.

Apa yang dicita-citakan oleh rakyat, apa yang menjadi cita-cita nasional, cita-cita kebangsaan segenap lapisan dan segenap golongan rakyat ialah kemerdekaan politik tanah airnya, kemerdekaan ekonomi tanah airnya untuk mencapai cita-cita nasional, cita-cita kebangsaan ini, masing-masing golongan mempergunakan ideologi masing-masing, yang akan diisi ke dalam gerakan nasional itu.

Tetapi untuk tiap-tiap seorang sosialis, maka ideologi sosialiszem adalah dipergunakan olehnya sebagai tempat pegangannya, memperhitungkan dan mempertimbangkan sesuatu masalah hidupnya, malah tanah airnya, bahkan masalah perjuangan kemerdekaan tanah air dan bangsanya.

Tegasnya lagi, adalah satu impian saja untuk seseorang sosialis mengharapkan bahawa sosialiszem yang menjadi ideologinya itu boleh ditubuhkan dan ditegakkan dalam satu negara yang belum merdeka dan berdaulat dalam politik dan ekonominya.

Pendeknya, sosializem tidak dapat ditubuhkan dalam taman yang masih semak samun dalam belukar-belukar penjajahan.

Jadi tugas kita yang pokok sekarang, tak kira apa ideologi kita ialah meperjuangkan dulu kemerdekaan politik dan ekonomi tanah air kita, memperjuangkan dulu kemerdekaan dan kedaulatan yang menjadi cita-cita kebangsaan setiap golongan dan lapisan rakyat negeri ini.

Ideologi nasionalizem atau kebangsaan ialah mencapai kemerdekaan politik, ekonomi dan social, dan terdirinya kebebasan dan kemakmuran rakyat bersih dari sebarang pengaruh penjajahan. Ideologi sosializem timbul sesudah terdiri ideologi nasionalizem dan bertumbuh di atas itu menurut sifat dan muslihat sesuatu bangsa hingga tercapai pula keadilan sosial atas bentuk asas sosializem primitif menurut perkembangan secara ilmiah (sainatifik). Semua izem ini timbul dari pengalaman-pengalaman manusia yang telah berlaku dalam proses perkembangan masyarakatnya dari zaman kuno hingga ke zaman moden ini.

Ideologi Islam atau Islamizem adalah berbeza dan berlainan daripada izem-izem yang lain. Keistimewaan Islamizem ialah datangnya sebagai hukum ketetapan yang diturunkan Tuhan yang menjadikan manusia seluruhnya dan menciptakan alam ini sekaliannya. Hukum ini tidak dapat diubah-ubah dan ditukar-tukar atau dipinda-pinda. Yang boleh berubah dan bertukar ialah hanya manusia itu saja. Islamizem tegasnya hukum Tuhan bagi seseorang dalam perjuangan dalam masyarakat dan dalam perhubungan dengan Tuhan.

Kerana itu dalam peringkat perjuangan sekarang marilah kita mencapai dan mengisi cita-cita nasional kita bersama-sama dengan parti dan puak-puak yang lainnya. Kita dari angkatan PAS melancarkan bahtera kita menuju pelabuhan cita-cita Islam yang sangat jauh pelayarannya, tetapi kita sama-sama bertolak beriringan dengan aliran nasionalizem yang tulin dan angkatan sosializem.

Marilah kita mulai sekarang mengatur barisan kita bersama ke arah cita-cita itu, cita-cita nasional dan cita-cita kebangsaan itu!

tamat