Perhatian


Kebanyakan post di dalam blog ini disalin dari posting dari sahabat-sahabat blogger lain untuk rujukan saya pada masa akan datang. Jadi saya lampirkan sekali link ke post asal bagi menjaga hakcipta post serta memudahkan anda dan saya ke post asal. Harap Maklum

Saturday, September 10, 2011

Ilmu Nafas Melayu

Artikel menarik dari Sangtawal:
http://sangtawal.blogspot.com/2010/07/ilmu-nafas-melayu.html



Tajuk : Ilmu Nafas Melayu.


Artikel Oleh : Sangtawal Sakranta.


Bangsa Melayu adalah satu bangsa mistik yang memiliki banyak ilmu tersembunyi.Antaranya ialah ilmu nafas.Semua pendekar melayu pasti akan diperturunkan ilmu nafas dan pelbagai petua yang kesemuanya berkaitan dengan nafas.

Dengan memerhatikan suhu dan pergerakan keluar masuk nafas melalui hidung,digabungkan dengan sedikit ilmu firasat, biasanya pendekar melayu mampu meramal untung nasibnya di medan tempur.Semasa hendak turun tangga untuk meninggalkan rumah samada untuk berkerja atau merantau pun , petua dalam ilmu nafas selalu digunakan oleh orang-orang tua kita.Nafas kiri atau nafas kanan cukup diambil kira! Tapi sayang, kini ilmu ini semakin pupus dan jarang diperturunkan oleh orang orang tua kita.

Tidak dapat dinafikan lagi, bukan bangsa melayu saja, tetapi boleh dikatakan semua bangsa juga mempunyai ilmu dan kaedah berkaitan dengan nafas ini.Contoh yang paling baik ialah senaman Yoga, ia amat menitik beratkan berkaitan dengan cara mengolah pernafasan!

Mungkin ada yang terkejut jika saya katakan bahawa ada orang melayu lama kita yang boleh menyimpan atau menahan nafas sehingga berjam-jam lamanya.Ada juga yang boleh menyelam di dalam air agak lama.Ada juga yang kebal dan tidak lut senjata tajam hanya dengan kaedah mengendalikan nafas mereka ! Semua ini berkaitan dengan ilmu nafas.Jika anda membaca artikel saya yang lama tentang pendekar sufi dan Mat Kilau, saya ada menulis tentang bagaimana Mat Kilau pura-pura mati sehingga beberapa hari untuk mengelirukan Inggeris.Mungkinkah Mat Kilau telah menggunakan ilmu nafasnya dan amat mahir dalam ilmu nafas ini?

Lebih hebat lagi, ada juga orang-orang tua kita yang membunyikan zikir-zikir tertentu ketika masuk atau keluarnya nafas mereka.Ilmu ini tersangat rahsia dan jika kita hendak mempelajarinya, carilah guru yang benar-benar tahu tentang ilmu ini.Biasanya mereka akan belajar dengan sangat mendalam berkaitan nafas sehingga kepada ampas, tanapas dan nupus, malah dikatakan juga dengan ilmu ini, si pengamalnya akan dapat mengetahui bilakah saat saat kematiannya!

Bagaimana pula ilmu nafas ini dari sudut pandangan sains dan kesihatan?

Rahsia tahap kesihatan seseorang bergantung kepada cara pernafasannya! Ini adalah kerana dengan kaedah pernafasan, manusia memperolehi bekalan gas oksigen untuk keperluan sel sel badan.Oksigen penting untuk mengekalkan fungsi dan tahap kesihatan setiap sel badan.

Udara yang disedut akan memasuki paru-paru dan gas oksigen akan diserap di Alveolus paru-paru kedalam salur kapilari darah.Sel-sel darah merah yang beredar akan mengangkut oksigen tersebut seperti yang diterangkan dibawah :



Setiap unit sel yang sihat akan membentuk satu organ yang sihat dan setiap organ yang sihat akan membentuk satu sistem yang sihat di dalam badan kita.Beberapa sistem dalam badan kita pula akan berinteraksi dan membentuk satu jasad badan yang kita kenali sebagai manusia.

Di antara sistem yang paling penting dalam badan ialah sistem darah dan peredarannya serta sistem limfa.

Dalam youtube dibawah, anda akan dapat melihat bagaimana sel-sel darah merah yang mengangkut gas oksigen menggunakan Hemoglobinnya beredar dalam salur darah dan membekalkan gas oksigen kepada sel-sel badan.



Cara bernafas bukan saja mempengaruhi oksidasi sel, malah ia juga mengawal peredaran sistem cecair limfa.Sistem cecair limfa yang mengandungi sel darah putih adalah merupakan sistem pertahanan badan yang penting bagi manusia untuk melawan kuman dan penyakit.Banyak juga toksin dikumuhkan melalui sistem limfa.

Selain dari pergerakan otot (muscular movement ), “deep breathing” atau cara pernafasan yang efektif juga dikenalpasti mempengaruhi sistem peredaran cecair limfa.Dr Jack Shields, seorang Lymphologist dari Santa Barbara, California dalam kajiannya terhadap immune system telah meletakkan sebuah kamera didalam badan pesakit untuk melihat apakah mekanisma yang menjalankan pembersihan terhadap sistem limfa, lalu beliau membuat kesimpulan bahawa “ a deep diaphragmatic breath is the most effective way to stimulate cleansing of lymphatic system”.

Dr Otto Warburg, Pengarah The Max Planck Institute for Cell Physiology, yang juga bekas pemenang Hadial Nobel Prize telah membuat satu kajian khusus tentang kaitan oksigen terhadap sel.Dalam kajiannya itu beliau mendapati jika kandungan oksigen yang diperlukan oleh sesuatu sel yang sihat itu dikurangkan , maka sel itu akan cepat berubah menjadi ‘malignant cell’.Selepas itu kajiannya diteruskan pula oleh Dr Harry Goldblatt. Dalam Journal of Experimental Medicine 1953, Goldblatt menyatakan hasil kajian ilmiahnya itu keatas spesies tikus.

Anthony Robbins, dalam bukunya “Unlimited Power” telah menyarankan agar kita bernafas dengan cara nisbah 1:4:2 ataupun Inhale one count,Hold four count,Exhale two count.

Untuk lebih memudahkan anda , saya berikan contohnya, jika anda tarik nafas melalui hidung secara perlahan-lahan dan mendalam selama 5 saat, maka tahan nafas anda selama 20 saat dan hembus nafas perlahan-lahan selama 10 saat, ia terpulang kepada anda, tetapi jangan lupa : dengan nisbah 1:4:2

Mengapa masa hembusan nafas [exhale] 2x ganda masa sedutan nafas[inhale]? Ia adalah untuk memastikan semua toksin dari sel dikumuhkan sepenuhnya ke dalam cecair limfa.

Mengapa pula perlu menahan nafas [hold] dalam masa 4x ganda lebih lama berbanding masa sedutan nafas? Ia adalah untuk memastikan semua gas oksigen yang disedut itu akan digunakan secara optima oleh setiap sel badan dan dalam masa yang sama akan mengaktifkan sistem limfa.

Anda cubalah bernafas dengan formula ini, iaitu 1:4:2 atau gunakan gandaaan ini mengikut kemampuan anda!anda boleh cuba dengan nisbah 2:8:4 atau 3:12:6 dan sebagainya.

Cubalah anda bernafas dengan cara ini bermula dari 10x sedutan 3x sehari dan insyaAllah anda akan merasakan kelainannya seperti lebih tenang, lebih bertenaga dan lebih sihat, cubalah . Lebih elok lagi jika latihan nafas ini anda lakukan selepas solat, dikala hati dan jiwa kita tenang.

Cara bernafas nisbah 1:4:2 yang saya terang diatas ini adalah mengikut sains, jika ada di antara pembaca sekalian yang ingin berkongsi ilmu dan pengalaman dalam ilmu nafas melayu lama, komen dan pendapat anda amatlah saya alu-alukan!

Mungkinkah nenek moyang kita dahulukala selalu mempraktikkan ilmu nafas mereka setiap hari atau lebih hebat lagi mereka selalu melakukan riadah riadah jiwa seperti dibawah ini sambil mengoptimakan kecerdasan spiritual mereka? Cuba kaji dan cuba fikir-fikirkan, semoga melayu kembali gemilang dan terbilang diakhir zaman.



Sangtawal Sakranta...

Amalan benteng diri - Ibu Gayong


Amalan ibu gayong. Untuk amalan sila rujuk sumber asal artikel ini:

Inilah antara amalan yang boleh dijadikan sebagai benteng pertahanan diri dari kejahatan manusia, jin, sihir, santau, binatang buas dan segala bahaya yang datang tanpa disangka dan diketahui ialah benteng kalimah. Hendaklah sentiasa diamalkan setiap pagi dan petang insyaAllah selamat kita dalam perlindungan Allah Taala. Bak kata “selamatlah barangsiapa yang berlindung di dalam kalimah ku”. Kaifiatnya sebagaimana berikut :
أعوذ بالله من الشيطان الرجيم
بسم الله الرحمن الرحيم
تحصنت بحصن لااله الا الله محمد رسول الله
Ayat yang ketiga hendaklah dibaca sebanyak 7 kali, kaifiatnya :
• Selepas bacaan kali pertama hendaklah sedut nafas perlahan-lahan dan tiup kehadapan dengan niat aku memagar diri dengan jarak sejauh mata memandang.
• Bacaan kedua tiup ke kanan.
• Bacaan ketiga tiup ke kiri.
• Bacaan keempat tiup ke atas.
• Bacaan kelima tiup ke bawah.
• Bacaan keenam tiup ke belakang.
• Bacaan ketujuh tarik nafas, telan air liur dan lepas nafas perlahan-lahan.

Ilmu Perang Melayu


Artikel diambil sepenuhnya dari:
http://lokalgenius.blogspot.com/2009/06/ilmu-perang-melayu.html

Ada sesiapa yang tidak kenal dengan Mat Kilau ? Haah..tak kenal...ish..ish. Kalau tak kenal nanti saya kenalkan serba sedikit. Beliau dilahirkan pada tahun 1865/1866 di Kampung Masjid Pulau Tawar, Jerantut Pahang di dalam zaman pemerintahan Sultan Ahmad Al-Muazam Shah. Anak kepada Imam Perang Rasu @Tok Gajah @ Katib Rasu dan ibunya bernama Mahda anak kepada Tok Kaut di Burau.
Mat Kilau berkahwin dengan Yang Chik binti Imam Daud yang berasal dari Kampung Kedondong dan mempunyai tiga orang cahaya mata. Ilmu kepahlawanannya dipelajaridaripada ayahandanya dan beberapa orang guru yang lain.

Beliau juga pernah berguru kepada seorang wali Allah iaitu Tukku Paloh seorang ulama terbilang di Terengganu. Sebagai seorang pahlawan Melayu dan pejuang , Mat Kilau banyak mengamalkan amalan-amalan seperti mantera, jampi serapah, doa, isim dan silat untuk mempertahankan diri sendiri dan untuk menewaskan musuh. Mat Kilau merupakan seorang pahlawan Melayu yang berjuang, pantang menyerah kalah walau nyawa menjadi galang ganti.
Oleh kerana dianggap sebagai penderhaka oleh penjajah British, Mat Kilau terpaksa bersembunyi dan berpindah randah sehingga akhirnya menetap di Gambang Kuantan dengan memakai nama samaran iaitu Mat Siam.

Akhirnya pada 26 Disember 1969, Mat Siam menggemparkan seluruh Malaysia dengan mendakwa bahawa beliaulah sebenarnya Mat Kilau. Kerajaan Pahang menubuhkan sebuah Jawatankuasa khas untuk menyiasat dakwaan itu.
Tepat jam 10.30 pagi hari Khamis, 6hb Ogos 1970 Mat Siam diisytiharkan sebagai Mat Kilau oleh Menteri Besar Pahang. Empat hari selepas pengiktirafan itu, beliau kembali ke rahmatullah ketika berusia 122 tahun. Moga-moga Allah memberkati roh beliau dan dimasukkan ke dalam golongan syuhada.

Berikut adalah antara amalan-amalan yang pernah beliau miliki:

Amalan 1:Untuk Kebal (Aman dari Senjata Musuh)Bismillah Lam Zat Kam sifat Lam Ghat rohku jaga-jaga Ya Hu Ujud Allah Ya Hu Rahimallah Ya Hu sifat Allah Ya Hu Ya Allah hai Jibril Israfil Izrail Mikail adangkan aku selitkan nyawa di dalam kandang Laila Hail LaAllah binasa Allah binasa aku tiada binasa Allah tiada binasa Aku menyelamatkan aku Allah Muhammad bersertaku dengan berkat Laila Hail LaAllah Ahlikum Nabaz si berkat besi sampai semua yang bernyawa tidak dapat menentang mataku aku berdiri di dalam kandang Laila Hail LaAllah dengan berkat guru-guruku Laila Hail LaAllah

Amalan 2:Ilmu Limunan (Menghilangkan Diri dari Penglihatan Musuh)Wa Atbaaka Palaka Kun suaraku Kairun rahsiaku hai alam akulah yang bernama Nakad yang tiada berlawan Satakun AH AH AH Sumun Bukmum Bania Bikum (3 kali) Ah lenyap aku di dalam zat Allah Ah hilang aku di dalam zat Allah Ah senang aku di dalam zat Allah Ah ghaib aku di dalam badan Zat Allah yang tiada bersifat AH AH AH HU

Amalan 3:Untuk Kuat dan GagahHai Besi Putih Besi KhursaniBesi Pelilit di pinggangkuKuat aku seperti Saidina AliGagah aku seperti Saidina HamzahAlhamdu, Alhamdu, AlhamduJangan engkau makan hati yang putihEngkau makan darah dan dagingJikalau engkau makan hati yang putihDerhaka engkau kepada Allah,Hai Kaddam KuddimKeluarlah engkau daripada tempat yang jahatKe tujuh petala langit dan ke tujuh petala bumiKeluarlah engkau daripada tempatnyaBerkat doa Lailaha Illallah Muhammad rasulullah(Catatan : ibu jari pegang buah pinggang, urut ke depan tiga kali)

Amalan 4:Pendinding Diri dan Meringankan BadanKhursani menggantikan dirikuKhursani menggantikan nyawakuAlung memaling badanku yang menjadikan Nabi AdamMustajab bagiku siang dan malam dengan berkat doaLaila Hail LaAllah

Nusantara telah dijajah selama beratus tahun dan kemudian dipecah dan dipisah-pisahkan menjadi beberapa negara yang berasingan dengan tujuan untuk melemahkan orang-orang Melayu. Mereka menyusun strategi untuk melemahkan Melayu kerana mereka dapat tahu (dari teks-teks silam) bahawa orang-orang Malai ini akan sekali lagi menjadi pemimpin atau peneraju dunia di akhir zaman.

Mereka jajah kita dan telah berjaya melaksanakan apa yang mereka harapkan. Kini, walaupun banyak negara yang terjajah ini sudah merdeka, rakyatnya masih berada dalam keadaan yang mundur dan minda mereka terus dijajah. Kami mahu kisah kepahlawanan Mat Kilau ini menjadi input yang dapat menyedarkan kita betapa perlunya kita sentiasa peka dan sentiasa bersedia untuk menangkis ancaman-ancaman yang datang dengan menggunakan berbagai bentuk kebijaksanaan atau hikmah.

Saya paparkan juga amalan-amalan Mat Kilau bagi memberi kesedaran kepada kita semua bahawa kita perlu kembali kepada ajaran Islam dan jangan leka dibuai oleh segala macam godaan yang sengaja disebarkan secara meluas oleh Barat agar kita terus lemah dan mengagungkan mereka. Amalan Mat Kilau yang dicatat di atas itu termasuk dalam ‘ilmu perang’ orang-orang Melayu zaman dahulu. Ia dicatat untuk menambah pengetahuan saja. Sekiranya anda mahu menuntut ilmu kepahlawanan, carilah guru-guru yang berkelayakan. Di Nusantara ini terdapat semakin ramai pahlawan Melayu yang tinggi ilmunya, dan pada pendapat saya, ciri kepahlawanan ini akan terus wujud dan subur di kalangan bangsa Melayu, selagi bangsa Melayu masih bernafas.

Bagi anak-anak muda Melayu, eloklah ambil tahu mengenai sejarah pahlawan Melayu. Sebagai salah satu contoh, Panglima Salleh (Kiyai Salleh) di Batu Pahat, Johor( ada pertalian saudara dengan saya) adalah merupakan seorang pahlawan Melayu yang tidak patut dilupakan begitu saja. Mudah-mudahan artikel ini dapat membangkitkan kesedaran kepada kita semua betapa pentingnya kita berada dalam keadaan sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan. Tuntutlah ilmu pengetahuan di berbagai bidang (bukan ilmu kepahlawanan saja) untuk membolehkan bangsa Melayu sentiasa berada di depan dan disegani.

Seni Silat dan Sejarahnya


Artikel mengenai silat disalin dari laman:

Seni adalah keindahan. Seni sesuatu yang abstrak sifatnya, dapat dipandang, didengar dan disentuh oleh jiwa tetapi tidak dapat dinyatakan melalui kata-kata atau bahasa. Seni memiliki astetic value atau nilai rasa indah. Al-Farabi menjelaskan seni sebagai ciptaan yang berbentuk keindahan, manakala Al-Ghazali pula menjelaskan seni dengan maksud “kerja berkaitan dengan rasa jiwa manusia yang sesuai dengan fitrahnya.”
Seni Islam merupakan sebahagian daripada kebudayaan Islam dan perbezaan antara seni Islam dengan bukan Islam pula ialah niat atau tujuan dan nilai akhlak yang terkandung dalam hasil seni Islam itu. Pencapaian yang dibuat oleh seni Islam itu juga merupakan sumbangan daripada tamadun Islam di mana tujuan seni Islam ini adalah kerana Allah S.W.T, di mana Allah S.W.T mahukan hamba-hamba-Nya sentiasa berada dalam kesejahteraan. Oleh itu, seni merupakan salah satu unsur yang dapat memberi kesejahteraan kepada manusia.
Dengan ini, wajarlah melalui ketamadunan Islam, telah lahir keindahan kesenian Islam yang terpancar dari bidang-bidang di mana seniman-seniman Islam telah meneroka dan telah berjaya menemui pendekatan dan perlambangan yang mendekatkannya dengan cita rasa keagungan penciptaan-Nya. Antara bidang kesenian Islam yang kukuh dan dapat memancarkan keindahan ialah seni sastera, seni khat, seni bina, seni suara dan beberapa bidang yang lain.
Kesenian Islam juga terserlah dalam ilmu seni mempertahankan diri atau seni silat. Setiap bangsa mempunyai ilmu seni mempertahankan diri, iaitu kepada orang Melayu disebut silat, gayung, pencak atau kali. Lumrah kepada orang Melayu di Semenanjung Tanah Melayu disebutnya silat atau gayung, namun perkataan silat adalah lebih masyhur digunakan yang menjadi pakaian pahlawan yang di dalamnya mengandungi rahsia ilmu seni perang Melayu tradisi di mana kaedah mengenai ilmu seni mempertahankan diri merupakan sebahagian daripadanya.
KONSEP DAN PENGERTIAN SENI SILAT
Seni Silat adalah sejenis ilmu membela diri yang diakui umum sebagai hak asli kepunyaan Melayu. Seni silat ini bukan sahaja mengutamakan unsur persilatan malah mementingkan unsur kesenian dan peradaban Melayu sebagai pelengkap yang tidak dapat dipisahkan (Tuan Ismail 1991: 1). Oleh kerana luasnya alam Melayu, maka seni bela diri orang Melayu dikenali dengan pelbagai nama dan panggilan mengikut bahasa dan loghat tempatan. Sebagai contoh, di Indonesia seni bela diri dikenali sebagai ‘Pencak Silat’ tetapi di Malaysia seni ini dikenali sebagai ‘seni silat’ ataupun bersilat. Di Indonesia dan Malaysia, silat ditakrifkan sebagai teknik membela diri dalam pergaduhan atau pertarungan. Oleh itu, orang yang pandai bersilat ialah orang yang pandai membela dirinya dalam pergaduhan dengan menggunakan teknik membela diri (Tuan Ismail 1991: 3).
Menurut Don F.Draeger, silat bererti sama ada latihan persendirian yang bebas dari segi gerakan jasmani atau pertarungan yang sebenar dengan seorang musuh. Selanjutnya, Ku Ahmad bin Ku Mustaffa dan Wong Kiew Kit pula menerangkan silat ialah satu siri gerakan jasmani untuk menyerang dan mengelak yang lemah lembut sifatnya. Selain gerakan ini, seseorang itu juga melakukan penyerangan terhadap musuhnya selain mengutamakan pembelaan dirinya (Tuan Ismail 1991: 3-4).
Untuk menentukan kemenangan dalam sebarang persilatan, digunakan beberapa tipu muslihat. Kerapkali tipu muslihat itu tersembunyi dalam gerakan dan kedudukan pesilat yang ternampak seolah-olah sedang menari, lemah dan alpa. Dalam Kamus Dewan, tipu muslihat ialah elak (atau ilat mengikut bahasa loghat di sebelah utara Malaysia Barat). Pada penulis, mungkin perkataan ‘si elat’ atau ‘si ilat’ (orang yang pandai tipu muslihat) seperti perkataan pendekar berasal daripada gabungan perkataan ‘pandai akal’ (Tuan Ismail 1991: 4).
SEJARAH PERKEMBANGAN SENI SILAT
Tidak dapat disangkal, secara semulajadi manusia mempunyai deria untuk membela dirinya tanpa mengira sama ada dia pakar atau bukan pakar dalam ilmu persilatan. Apabila diserang dia tetap akan bertindak balas sama ada secara seni atau secara semulajadi. Kenyataan ini membayangkan bahawa ilmu membela diri sudah lama wujud bersama-sama kewujudan awal kebudayaan manusia dalam sejarah (Tuan Ismail 1991: 39).
Semenjak zaman Paleolitik lagi iaitu lebih kurang 15000 S.M., ilmu membela diri digunakan oleh manusia purba yang dikenali dengan panggilan Phithecanthropus erectus untuk membela diri mereka daripada diancam oleh binatang buas. Kemudian ilmu membela diri digunakan pula untuk membela diri mereka daripada diancam oleh manusia lain terutama sekali pada zaman manusia mulai berpuak-puak dan ingin saling menguasai puak lain (Tuan Ismail 1991: 40).
Berpedomankan penemuan arkeologi dan tinggalan zaman seperti ukiran di candi Borobudur dan candi Prambanan di Jawa, dapatlah disimpulkan bahawa sudah wujud sistem membela diri di daerah Kepulauan Melayu pada abad ke-8 (Tuan Ismail 1991: 40). Namun perkataan silat hanya wujud sekitar kurun ke-16 kerana sebelum itu silat hanya dikenali sebagai ilmu berkelahi, ilmu hulubalang, ilmu penjurit, ilmu kesaktian atau ilmu gagah berani yang lebih difahami sebagai ilmu seni perang Melayu tradisi yang menjadi pakaian para pahlawan atau panglima perang (Anuar 2008: 18).
Sejarah silat secara langsung selari dengan sejarah perkembangan tamadun kerajaan Melayu tradisi di mana angkatan pertahanan negara dianggotai oleh pahlawan dan orang perang yang mahir silat. Kisah peperangan dan kehebatan wira dan wirawati yang menjadi pemimpin perang memang tercatat dalam kebanyakkan sastera Melayu tradisi sama ada hikayat dan panji Melayu (Harun Mat Piah 1980: 71). Orang Melayu telah mencipta dan mengamalkan ilmu seni silat sebelum kedatangan pengaruh luar, kemudiannya menjadi penting dalam membentuk kekuatan pertahanan kerajaan Melayu tradisi seperti kerajaan Melayu tradisi Kedah Lama, Beruas, Langkasuka, Champa, Kemboja, Srivijaya, Majapahit, Melaka dan Pattani. Misalnya, kerajaan Melayu Champa telah menghantar perwira-perwiranya dalam beberapa peperangan seperti di Kalimantan, Majapahit dan Minangkabau di Sumatera (Anuar 2008: 18).
Bermula dari Kepulauan Riau, sistem membela diri Melayu ini dikatakan merebak ke Minangkabau, Sumatera. Di sana, sistem ini diperhalusi dan dikenali sebagai ilmu persilatan Indonesia. Ilmu persilatan ini pernah digunakan oleh kerajaan Srivijaya dari abad ke-7M hingga abad ke-14M untuk memperluaskan empayarnya. Pada zaman Majapahit (dari abad ke-13M hingga abad ke-16M), ilmu persilatan ini dikatakan mencapai kemuncak kesempurnaannya apabila penggunaan senjata disertakan (Tuan Ismail 1991: 40). Senjata silat yang berbentuk lengkap wujud sekitar 2,500 tahun dahulu dengan penemuan keris tembaga di daerah Sungai Mekong dan lukisan di candi Borobodur di Tanah Jawa (Anuar 2008: 19).
Dari Minangkabau, seni silat diperkenalkan ke Semenanjung Tanah Melayu melalui Melaka. Tetapi dalam zaman Kesultanan Melaka hanya golongan yang rapat dengan istana sahaja diberikan peluang untuk mempelajari seni silat (Tuan Ismail 1991: 41). Silat menjadi penting dan diletakkan di bawah perlindungan istana untuk membentuk angkatan perang raja. Raja-raja Melayu menggalakkan putera dan anak-anak pembesar mempelajari silat dan ilmu-ilmu lain yang sehubungan dengan keperluan perang. Pendekar yang handal diangkat mengepalai angkatan perang dan mendapat kurnia serta darjat daripada raja (Anuar 2008: 19). Di dalam Sejarah Melayu karangan A. Samad Ahmad (1979: 75), menceritakan Sultan Muhammad Shah telah memilih seorang pegawai Champa sebagai pegawai kanan kerana orang Champa memiliki kemahiran dalam ilmu perang dan pengetahuan dalam pemerintahan negeri.
Persilatan Melayu dan kepahlawanannya dicatat dengan indah dan meluas di dalam karya sastera Melayu misalnya Hikayat Hang Tuah di zaman kegemilangan Melaka. Penjurit bernama Tameng Sari telah terbunuh dalam pertempuran silat menentang Hang Tuah dan kerisnya dihadiahkan kepada Hang Tuah setelah peristiwa itu oleh Betara Majapahit (Hikayat Hang Tuah 1973: 136).
Walaubagaimanapun, seni silat seperti juga dengan kesenian istana yang lain, akhirnya sampai juga ke pengetahuan rakyat dan seterusnya menjadi kesenian desa. Peralihan seni silat daripada kesenian istana kepada kesenian desa berlaku dengan pesatnya setelah pengaruh barat bertapak dengan kukuh di Semenanjung Tanah Melayu semenjak tahun 1511M (Tuan Ismail 1991: 41).
Kerajaan Melayu Bugis, misalnya menonjolkan ketokohan Raja Kecil yang telah terlibat dalam mempertahankan beberapa peperangan saudara kerajaan di Tanah Melayu, Palembang, Jambi dan Sumatera (Hikayat Siak 1992: 121). Keadaan ini menjadi semakin jelas apabila orang-orang Bugis dan Minangkabau terlibat dalam politik di negeri-negeri Melayu yang membabitkan kerajaan Melayu Johor. Orang-orang Minangkabau yang mahir dalam persilatan dan ilmu perang campur tangan dalam sejarah Johor khasnya mengenai perebutan takhta antara Raja Kecil dari Siak. Konflik di Johor yang melibatkan orang-orang Bugis yang juga mahir dalam ilmu perang serta persilatan Melayu (Anuar 2008: 21).
Sejarah di atas memperlihatkan istana yang menaungi institusi silat dan para pahlawan Melayu telah berubah selepas campur tangan Belanda di Indonesia dan Inggeris di Tanah Melayu sekitar 1824M dan 1870an. Istana tidak lagi menaungi institusi silat dan tidak lagi mempunyai orang perang. Pahlawan Melayu telah kembali ke pangkuan masyarakat desa bagi membentuk kekuatan bangsa meneruskan usaha menentang penjajah. Bagaimanapun hubungan istana dengan silat masih berterusan misalnya di arah mata angin barat Kuala Selangor terdapat gelanggang silat bagi kerajaan Negeri Selangor ketika itu (Yusuf Hassan 1981: 20).
Sehingga abad ke-19 pahlawan-pahlawan Melayu yang mahir dalam ilmu persilatan terus menentang penjajah. Di dalam sejarah Semenanjung Tanah Melayu terkenal dengan nama-nama seperti Dato Maharaja Lela, Dato Sagor, Pandak Indut dan lain-lain merupakan pejuang Melayu yang dicatatkan dalam sejarah Pasir Salak, Perak (1870an). Seterusnya nama-nama seperti Datuk Bahaman, Mat Kilau dan Tok Gajah terkenal menentang Inggeris di Semantan, Pahang pada tahun yang sama (Anuar 2008: 22).
Maknanya silat dan bangsa Melayu tidak ketandusan pemimpin yang terus menanamkan semangat cintakan tanah air dan berjuang hingga ke titisan darah yang terakhir. Kehebatan mereka mempunyai sejarah dan hubungan rapat dengan ilmu persilatan di samping ilmu-ilmu lain yang membolehkan mereka menjadi pemimpin yang berkesan. Mereka merupakan pahlawan secara langsung memperlihatkan silat terus wujud hingga kurun ke-20 (Anuar 2008: 22).
Sepanjang pemerintahan Inggeris di Tanah Melayu, silat terus dipinggirkan dengan tidak memasukkan ilmu silat dalam pendidikan di sekolah Melayu. Penyebaran silat dalam alam pendidikan di Tanah Melayu menjadi semakin malap apabila tidak mendapat tempat dalam kurikulum pendidikan di perguruan Melayu di Maktab Perguruan Sultan Idris Tanjung Malim (Anuar 2008: 23).
Rasa kebimbangan Inggeris terhadap semangat juang Melayu akan berputik dari pelajaran silat. Justeru, ilmu persilatan Melayu terus menerus terpinggir dari institusi pendidikan formal di sekolah-sekolah sekitar Tanah Melayu. Silat hanya memasuki alam pendidikan sekolah di Malaysia secara tidak formal atau bertaraf ko-kurikulum selepas pembentukkan Malaysia pada tahun 1963M, itupun melalui usaha persatuan-persatuan silat di sekolah. Silat semakin diberi perhatian selepas tahun 1969M iaitu setelah berlakunya peristiwa 13 Mei 1969 (Anuar 2008:23).

Analisa punca kejatuhan MELAYU


Diambil dari blog:
http://berandamadina.wordpress.com/2010/04/25/ilmu-tongkat-dan-pedang-orang-melayu-ws-ilmu-perang-siam-krabi-krabong/

Penglibatan saya dalam bidang ini bermula dari suasana yang saya lihat dalam proses membesar seawal 6 tahun lagi, saya dengan teman sepermainan amat tertarik dengan latihan abang dan rakan-rakannya, dari situlah timbulnya minat terhadap satu dari ilmu melayu ini yaitu seni tongkat dan pedang.

Dalam dunia seni beladiri dan persilatan kita melihat setiap bangsa berbangga dengan ilmu tongkat dan pedang masing -masing disamping ilmu senjata yang lain, bangsa siam (musuh tradisi orang melayu di utara Semenanjung Tanah Melayu khususnya Melayu Patani-Kelantan) berbangga dengan ilmu krabi krabong mereka, disamping di haruskan menguasai tinju siam, para pemuda mereka dilatih dari kecil dengan ilmu krabi krabong (tongkat dan pedang), untuk persediaan peperangan, sehingga sejarah bangsa mereka amat membanggakan, bermula dari satu suku asli di pergunungan selatan China mereka berubah menjadi suatu kaum yang amat digeruni kawan maupun lawan, dalam proses perluasan tanah jajahan ,mereka telah menakluki dan merampas tanah milik suku Khmer dan Cham di Timur mereka, tanah milik suku Burma dan Shan di barat, kemudian mereka beralih ke sebelah selatan menakluki tanah milik suku bangsa Melayu.

Bermulalah sejarah hitam suku bangsa Melayu yang hilang satu demi satu tanah air mereka di sebelah utara Semenanjung Melayu, maka lahirlah negeri baru yang bernama Chaiya, Nakhon, Puket, Kra, Satun, Pattani di atas kejatuhan negeri Melayu Cahaya, Legor, Bukit, Segenting Kera, Sentul, Patani dan lain-lain, persoalannya adakah ilmu perang orang Melayu amat lemah berbanding ilmu perang bangsa Siam?, jawapannya tentulah tidak, ini kerana sehebat manapun sesuatu seni perang sesuatu bangsa ia tidak akan menjamin kemenangan dalam peperangan jika:

1-Berpecah-belah
2-Strategi yang tak berkesan
3-Wujudnya pengkhianat bangsa
4-Hubungan diplomatik yang lemah berbanding lawan
5-Sikap semulajadi
6-Hilang semangat cintakan tanah air
7-Luputnya semangat jihad dalam diri Muslim

Kenapa bangsa Melayu dijajah?, faktor pertamanya ialah sosial politik mereka dalam keadaan berpecah-belah, kita melihat berbanding bangsa Siam di utara yang bersatu,suku Melayu di selatan seolah-olah lebih suka mendirikan kerajaan masing-masing yang yang mempunyai Raja masing-masing, daerah pemerintahan masing-masing, mata wang masing-masing, dan tentera masing-masing yang kadang kala saling memerangi antara satu sama lain, ketika adanya kerajaan Legor, ada pula kerajaan Senggora, Cahaya, Patani, Sentul, Bukit, Patani, Kelantan, Kedah dan sebagainya dan ini berbeza ketika seluruh kerajaan melayu di Nusantara bergabung dalam persekutuan Srivijaya.

Dalam menghadapi musuh, strategi yang berkesan juga punya peranan yang amat penting, ini kerana sehebat manapun ilmu perang sesuatu bangsa kalau tidak dengan strategi yang berkesan maka kekalahan mungkin menimpa mereka, dan strategi ini mempunyai hubungan rapat dengan kebijaksanaan para hulubalang dan pembesar istana, dan kebijaksanaan para pembesar dan hulubalang istana berkait rapat dengan kebijaksanaan Raja selaku pemerintah memilih pembesar Istana.

Faktor pengkhianatan dari para pembesar Istana dilihat antara faktor yang meruntuhkan kerajaan melayu Melaka dan Patani yang dahulunya merupakan antara kerajaan melayu yang hebat terbilang dan gemilang tetapi jatuh disebabkan pengkhianatan dari para pembesarnya yang menjadi musuh dalam selimut, dan ini berpunca dari beberapa punca antaranya korupsi dalam pemerintahan, dan Raja selaku pemerintah gagal mengawal tindak-tanduk para pembesarnya dalam menjalankan urusan pemerintahan sehingga urusan memungut cukai kadang-kala berada dalam tangan pegawai yang berkenaan tanpa kawalan, amalan rasuah dikalangan pegawai kerajaan dan ini tentunya disebabkan lemahnya Raja selaku pemerintah mengawal para pembesar dan suka berfoya-foya, dan akhirnya menyebabkan dua kuasa besar Melayu ini tertimpa malang dalam catatan sejarah.

Di awal kejatuhan dua kuasa besar Melayu ini, antara lain penyebabnya ialah lemahnya hubungan diplomatik kerajaan Melayu dengan kuasa besar dunia pada masa itu berbanding kuasa lawan yang amat licik dan bijak berdiplomasi, cuma renungkan sejarah bangsa Siam misalnya, mereka merupakan bangsa penjajah yang satu satunya tidak pernah dijajah bangsa lain di asia tenggara dan ini tentunya berasal dari kebijakan mereka dalam berdiplomasi yang tidak ada pada bangsa Melayu.

Sikap semulajadi orang Melayu antara faktor penyebab terjajahnya bangsa ini oleh beberapa kuasa besar, cuba kita lihat pada beberapa sikap yang ada pada bangsa kita yang menyebabkan kita lemah,antaranya ialah , tamak haloba sehingga menyebabkan sanggup menjual negeri, lupakah kita dengan kisah raja Melayu dahulu kala mempertaruhkan sebahagian Negerinya dalam laga lembu dan sabung ayam?, ini tentunya berawal dari sifat tamak haloba, dengi mendengki- disebabkan sifat inilah terjadinya pembunuhan budak pintar di Singapura dalam kisah Singapura dilanggar todak, cemburu- disebabkan sifat ini terjadinya pembunuhan terhadap alim ulama pendakwah oleh Raja Singapura sehingga tanah Singapura dilanda bala demi bala, malas-berbanding bangsa lain bangsa Melayu adalah antara yang malas bekerja, dan ini antara penyumbang kepada penguasaan bangsa Penjajah ke atas bangsa Melayu, menjatuhkan satu sama lain-inilah antara sifat yang keji bangsa ini, sikap tidak suka sebangsa dengannya maju kedepan dan ini antara kelemahan yang menyebabkan campurtangan bangsa asing terhadap bangsa Melayu zaman berzaman, sikap membiarkan bangsa lain mengambil betis kemudian paha, ini antara penyebab besar hilang penguasaan terhadap tanah air bangsa Melayu sedikit demi sedikit.

Hilangnya semangat cintakan tanah air, ini berawalan dari malas berusaha, cintakan harta dan takutkan mati sehingga menyebabkan maruah diri bangsa dan negara tergadai.
Hilangnya semangat Jihad dan diri Melayu Muslim antara penyebab terjajah bangsa Melayu dari dahulu lagi dan ini tentunya berawalan dari salahnya didikan yang diberikan ibu-bapa yang tidak menitik beratkan pendidikan agama, kalaupun anak-anak diberikan pendidikan itu hanya bekerja dengan Raja menjadi matlamat ibu-bapa.

Saya melihat faktor-faktor inilah yang menjadi penyebab jatuhnya beberapa kerajaan Melayu yang pernah gemilang dan terbilang pada mata sejarah dunia, bukan kerana ilmu perang dan beladiri bangsa ini tidak hebat, tapi kerana beberapa faktor yang telah saya sebutkan tadi, suka saya katakan, saya pernah melihat dan merasai ilmu “memetik bintang” dalam seni tempur bangsa Melayu, amat halusnya ilmu bangsa Melayu si lawan hampir tidak menyedari senjatanya telah beralih tangan, saya pernah mendengar dari orang tua saya ilmu orang melayu seperti ibu gayong dan gayuman yang melantunkan tubuh sehingga pucuk kelapa, ilmu baca gerak walaupun mata di ikat atau dalam gelap tapi masih dapat mempertahankan diri ketika diserang, hikmat kota tauhid yang menjauhkan lawan sehingga sepermandangan mata walaupun musuh mengejar dan pengamalnya hanya berjalan kaki, ilmu “yasin tunggal” yang meramaikan bilangan pada pandangan musuh, ilmu selempang merah yang amat masyhur dalam sejarah negeri Johor, saya bukan maukan anda mencari kehebatan dunia, bergantung pada penilaian anda sendiri, tapi saya ingatkan jika anda tidak ikut serta dalam mempertahankan ilmu orang tua anda jangan pula anda yang menjadi barah dalam daging bangsa anda sediri, perlu anda ketahui sebagai ringkasannya jatuh bangun bangsa ini adalah pada diri anda yang bernama “MELAYU”, dan bukannya terletak pada musuh anda yang sentiasa mengintai celah, akhirnya tepuk dada tanya keyakinan anda.

Perang Saudara Jementah


'PERANG JEMENTAH' merupakan satu lagi peristiwa atau tragedi terpenting pernah berlaku di bumi Jementah. Daripada sumber-sumber diperolehi jelas menunjukan bahawa Perang Jementah yang berlaku dalam tahun 1879. Tragedi berdarah tersebut menjadi yang begitu penting kerana:
Perang adalah perang saudara pertama berlaku di negeri Johor.
Perang ini telah melibatkan puluhan pahlawan dan pendekar yang handal.
Tamatnya perang ini merupakan satu daripada faktor pembukaan Muar (Bandar Maharani).
Perang ini membawa beberapa kesan penting dalam sejarah Johor khususnya mulai tahun 1880 iaitu setahun selepas tamatnya perang, 'Kesang' menjadi jajahan Johor hingga ke hari ini.
Melalui perang ini, Mohammed Salleh bin Perang yang memegang jawatan Dato' Bentara Luar, salah seorang daripada elit lohor moden telah memperlihatkan kecekapannya dalam mengepalai angkatan perang.
Meletus perang Jementah pada 25 Oktober 1879 adalah disebabkan oleh 'Sekeping Kertas' yang merupakan wasiat Yang Maha Mulia Sultan Iskandar Ali, Yang Dipertuan Negeri Kesang. Beberapa jam sebelum mangkat, Sultan Ali telah mewasiatkan penggantinya iaitu Yang Maha Mulia Tengku Mahmood yang berumur 11 tahun, putera Almarhum Sultan dan isteri ketiganya iaitu orang kebanyakan.

Perlantikan melalui wasiat ini telah ditentang oleh Tengku Alam, putera sulong baginda dari isteri tuanya. Tengu Alam yang tidak berpengaruh itu telah membantah tindakan Kolonel Archibald AAnson, Pemangku Gabenor yang meletakkan jajahan Kesang di bawah pentadbiran Duli Yang Maha Mulia Maharaja Abu Bakar buat sementara waktu.

Tindakan awal yang dilakukan oleh Tengku Alam ialah menyuruh dua orang saudara sepupunya Tengku Nong dan Tengku Mat menghasut penduduk-penduduk sekitar kawasan Kesang supaya menyebelahi pihaknya. Tengku Mat dan Tengku Nong termakan dengan janji-janji manis Tengku Alam telah berjaya mempengaruhi segelintir orang-orang tempatan dan beberapa orang Panglima Melayu yang handal.

Diantara Panglima-panglima yang handal itu ialah:

Panglima Besar Layot.
Panglima Besar Salim.
Panglima Besar Kadir.
Panglima Besar Tok Siban.
Panlima Besar Sancu.
Raja Berambut Panjang.
Wan Daud.
Wan Abas.
Atas persetujuan Tengku Alam Panglima Besar Sancu dilantik menjadi 'Kepala Perang'. Kononnya kesemua pahlawan Melayu tersebut mempunyai ilmu Kebal.

Perang Jementah bermula apabila angkatan Tengku Nong menyerang Kesang, Pertempuran awal dipercayai berlaku di Relau dan Air Kertau. Di kedua-dua tempat itu angkatan Tengku Nong tidak mendapat tentangan hebat justeru itu timbullah rasa bongkak dan angkuh di kalangan pengikut-pengikut Tengku Nong.

Pada 25 Oktober 1879 angkatan Tengku Nong disertai oleh Panglima Besar Sancu telah menyerang Jementah dalam jajahan Muar Kiri. Pada masa itu Jementah merupakan sebuah kampung yang penuh dengan dusun buah-buahan dan sawah padi. Dalam pertempuran di Jementah inilah Panglima Besar Sancu telah bertindak liar. Selain merampas harta benda penduduk-penduduk di situ, mereka juga membakar beberapa buah rumah. Mujurlah Penghulu Jementah sempat melarikan diri dan terus membuat aduan kepada pihak pemerintah di Johor.

Kemenangan dalam pertempuran di Jementah itu telah mendorong Tengku Nong mengisytiharkan dirinya sebagai Raja Muda sementara Wan Daud diisytiharkan sebagai Temnggong Paduka Tuan. Kesannya, pemerintah Johor lantas mengirimkan sebuah angkatan perang diketuai oleh Ungku Ahmad iaitu saudara sepupu kepada Duli Yang Maha Mulia Baginda Maharaja Johor ke Jementah.

Kepintaran Ungku Ahmad dalam tipu muslihat perang telah menyebabkan beberapa buah kubu musuh dalam kawasan Lubuk Bandan ditawan. Tengku Nong dan Panglima Sancu beserta pengikut-pengikut mereka berundur ke hulu sungai Jementah berhampiran dengan kaki Gunung Ledang. Di satu tempat bernama Kampung Lela mereka telah mendirikan sebuah kubu berbentengkan tanah. Sementara itu, pada 2 Disember 1879 Dato' Bentara Luar iaitu Dato' Mohammed Salleh bin Perang telah dihantar oleh kerajaan Johor untuk membantu Ungku Ahmad dan Encik Esa yang sedang bertahan di sebuah kubu dalam jajahan Jementah.

Dato' Mohammed Salleh bin Perang telah membawa sebanyak 400 laras senapang jenis Senader dan meriam bersama. Memandangkan pertahanan musuh masih kuat, Tengku Ahmad dan Dato' Bentara Luar telah membuat satu strategi untuk menyerang kubu-kubu musuh. Empat buah pasukan telah dibentuk dan setiap pasukan mengandungi 100 orang.

Panglima Besar Esa memimpin pasukan pertama.
Panglima Kiri Awang memimpin pasukan kedua.
Panglima Besar Yusuf memimpin pasukan ketiga.
Panglima Dalam Lamit memimpin pasukan keempat.

Kira-kira dua belas hari selepas pembentukan pasukan perang itu, angkatan perang Dato' Bentara Luar pun sampai di satu tempat bernama Dusun Dedap. Di Dusun Dedap dan di kawasan sekitarnya beberapa kubu dan benteng telah dibina. Yang anehnya kubu-kubu dari kedua-dua pihak yang terlibat dalam peperangan itu terletak berhampiran antara satu sama lain.

Menurut Haji Hassan bin Putih, sekurang-kurangnya lima buah kubu telah dibina oleh pengikut-pengikut Dato' Bentara Luar dan pihak Tengku Nong di kawasan sekitar Dusun Dedap. Tiap-tiap kubu itu mempunyai namanya sendiri. Di antara kubu-kubu yang penting ialah Kubu Dedap, Kubu Lubuk Bandan, Kubu Sungai Siput, Kubu Macang Padang dan Kubu Raja Lela. Kononnya di salah sebuah kubu kepunyaan Tengku Nong sebuah meriam bernama 'Gegak Gempita' telah diletakkan di atas sebatang dahan pokok Dedap.

Haji Hassan bercerita lagi, bahawa satu peristiwa ganjil telah berlaku sebelum Kubu Dedap yang termasyhur itu dibina. Manaf Khatib, orang yang ditugaskan membersihkan kawasan sekeliling dusun dedap itu telah jatuh pengsan sebaik saja beliau memulakan kerja menebang anak-anak pokok hutan. Pada waktu itu hujan panas turun berderai. Hanya setelah campur tangan seorang Pawang barulah kerja membersihkan kawasan disitu dapat diteruskan.

Haji Yahya bin Kubu pula mengaku bahawa datuknya Pawang Abib turut terlibat dalam pembinaan Kubu Dedap itu. Kononnya semasa Kubu itu dibina beberapa peristiwa ganjil telah berlaku antaranya dengan semena-mena hujan panas turun berderai diikuti dengan tiupan angin kencang. Pada sebelah malamnya pula bunyi burung-burung hutan dan binatang-binatang liar bertalu-talu hingga ke waktu subuh. Kubu Dedap tempat pertahanan orang-orang Dato' Bentara luasnya 40 kaki dan bentengnya dibuat daripada tanah setinggi dua belas kaki.

Semasa membina Kubu Dedap itulah, orang-orang Tengku Nong dan Panglima Sancu telah membuat serangan secara mengejut ke atas pengikut-pengikut Dato' Bentara Luar. Tektik pukul curi itu telah menyebabkan tiga orang pengikut Dato' Bentara Luar terkorban sementara enam orang mendapat cedera.

Pada pertengahan bulan Disember 1879 pengikut-pengikut Dato' Bentara Luar berjaya menawan sebuah kubu musuh di Padang Juling. Mengikut catatan Encik Daud bin Sulaiman, seorang ahli sejarah di Batu Pahat, Johor bahawa semasa bertahan di kubu Padang Juling Dato' Bentara Luar telah menyusun satu rancangan yang rapi dan lengkap bertujuan untuk menamatkan Perang Jementah dengan segera. Beliau telah memerintahkan seratus orang menebang pokok buluh dan setiap orang dikehendaki mengikat buluh-buluh itu menjadi seberkas.

Pada keesokan harinya, tiga ratus orang Dato' Bentara Luar 'berpura-pura' menyerang kubu Tengku Nong dan Panglima Sancu. Dan semasa serangan olok-olok itu dibuat, Dato' Bentara Luar menyuruh enam puluh orang pengikutnya membuat satu jalan pintas menuju ke arah kubu musuh.

Empat buah meriam dipasang dengan arah muncungnya dihalakan ke arah kubu musuh. Panglima Besar Yusuf dan Panglima Kiri Awang merangkak perlahan-perlahan mengambil tempat berhampiran pagar kubu musuh. Panglima Lamit bersama orang-orangnya mengangkut berkas-berkas buluh itu sementara Dato' Bentara Luar dan Panglima Esa disertai oleh lima orang pengikutnya membuat benteng.

Kebetulan pada malam itu hujan turun dengan lebatnya. Ini memudahkan lagi kerja Dato' Bentara Luar. Menjelang pagi Dato' Bentara Luar mengarahkan semua meriam dan senapang ditembak secara serentak. Serangan mengejut waktu subuh itu menyebabkan orang-orang Tengku Nong dan Panglima Besar Sancu dalam kubu menjadi kelam kabut. Kebanyakan mereka sedang tidur nyenyak ketika itu.

Pihak musuh yang mulai panik lantas memukul gendang dengan tujuan menaikan semangat mereka. Mereka sempat juga membalas tembakan dengan secara membuta-tuli. Ekoran daripada serangan pada waktu subuh itulah akhirnya membawa kepada tamatnya Perang Jementah pada 30 Disember l879.

Perang saudara itu berlaku dengan kemenangan di pihak Dato' Bentara Luar. Tengku Nong dapat ditawan dekat Gunung Ledang kira-kira sehari perjalanan dari Cohong. Wan Daud pula diberkas setengah jam selepas Tengku Nong ditangkap. Turut diberkas pada hari itu ialah ketua-ketua pemberontakan iaitu Tengku Mat, Panglima Besar Sancu, Panglima Besar Layot dan Raja Berambut Panjang.

Panglima Sarip, seorang lagi panglima yang handal ditugaskan untuk mengawal keselamatan Tengku Mat semasa diberkas cuba melawan tetapi telah ditembak oleh Panglima Perang Awang. Manakala saki baki musuh terus diburu.

Pak Yusuf bin Kamit atau dikenali dengan panggilan Pak Osop berasal dari Muar dan sudah menetap lebih 40 tahun di Segamat mendakwa bahawa pembukaan beberapa penempatan dan kampung di Segamat ada kaitan dengan tamatnya Perang Jementah.

Menurut Pak Osop menjelang tamatnya Perang Jementah, ramai pengikut Tengku Nong dan Panglima Sancu telah melarikan diri. Mereka seolah-olah sudah terasa kemenangan akan berada di pihak Dato' bentara Luar dan Ungku Ahmad. Malah ramai daripada pengikut Tengku Nong dan Panglima Sancu mulai insaf. Mereka sedar perjuangan mereka adalah sia-sia belaka. Menentang Dato' Bentara Luar dan Ungku Ahmad samalah seperti menentang Duli Yang Maha Mulia Maharaja Abu Bakar.

Justeru itu ramai daripada mereka tanpa mematuhi arahan ketua-ketua mereka lantas melarikan diri ke Segamat menaiki perahu menghilir Sungai Legeh dan Sungai Muar dan terus ke Segamat. Dipercayai mereka merupakan pendatang-pendatang awal yang membuka beberapa buah kampung di daerah Segamat.

Di Segamat tempat yang didatangi oleh orang-orang Tengku Nong dan Panglima Besar Sancu itu dipercayai kebanyakannya berhampiran dengan sungai. Mengikut kajian sekurang-kurangnya sepuluh buah kampung atau kawasan telah dibuka oleh orang-orang Tengku Nong dan Panglima Besar Sancu. Kampung-kampung tersebut ialah:

Kampung Pogoh.
Kampung Alai.
Kampung Lubuk Batu.
Kampung Paya Dalam.
Kampung Ulu Gemereh.
Kampung Batu Badak.
Kawasan berhampiran Danau Lanjut.
Kawasan berhampiran Danau Kongkong.
Kawasan berhampiran Tcbing Tinggi.
Kampung Tenang.

Mengikut Pak Osop lagi, di Kampung Paya Dalam, empat kilometer dari Bandar Segamat, dua buah kubur yang masih dapat dilihat hingga sekarang dipercayai adalah kubur-kubur pengikut-pengikut Panglima Besar Sancu yang melarikan diri itu dan kemungkinan mati di Kampung Paya Dalam. Di Kampung Paya Dalam juga terdapat kesan peninggalan Perang Jementah seperti kubu-kubu dan benteng-benteng.

Perang Sungai Manik





Allahyarham Tuan Guru Haji Bakri

Dah banyak tulisan kat internet atau blog pasal perang kat Sg Manik yang berlaku lebih dari 60 tahun yang lepas. Banyak cerita pasal kehandalan dan kehebatan ilmu kebatinan suku Banjar yang di sampaikan dari mulut ke mulut yang mana setengahnya di tokok tambah untuk menjadikannya lebih menarik. Nama-nama seperti 'Tentera Sabil' atau 'Kumpulan Parang Terbang' merujuk kepada kaum etnik Banjar Sg Manik di bawah pimpinan Tuan Guru Haji Bakri. Cerita tentang parang terbang dan kehandalan pahlawan-pahlawan Banjar yang hanya bersenjatakan parang menentang komunis yang lengkap bersenjatakan senapang sudah menjadi satu legenda. Nama-nama seperti Tuan Guru Haji Bakri, tetap menjadi sebutan anak-anak muda Sg Manik.

Selepas Jepun menyerah kalah, kumpulan bintang Tiga yang kebanyakannya orang Cina cuba mengambil alih pemerintahan Malaya dan menubuhkan negara komunis melakukan banyak kekejaman terhadap orang Melayu dan lain -lain yang tidak menyokong perjuangan mereka, lebih-lebih lagi kerana orang Melayu di anggap sebagai tali barut Jepun. Cubaan Bintang Tiga mencampuri urusan agama dan memungut cukai mendapat tentangan terutama dari masyarakat Banjar di Sg Manik dan Batu Pahat. Bintang Tiga tidak menjangkakan reaksi dan tentangan yang bakal mereka terima dari masyarakat Banjar. Jika tidak kerana set back yang mereka terima di Sg Manik dan Batu Pahat, senario politik kita masa ini mungkin sedikit berbeza.

Bagi orang Banjar Sg Manik terutama keluarga bekas pejuang timbul satu kekesalan kerana tiada official recognitions atau pengiktirafan terhadap perjuangan mereka yang membela maruah orang Melayu. Bacalah mana-mana buku sejarah di sekolah, tiada satu yang menyebut secara jelas tentang peristiwa itu mungkin kerana nak menjaga sensitiviti perkauman. Di Batu Pahat misalnya, Kiyai Saleh yang menyelamatkan orang melayu tetapi Dato Onn yang dapat nama sebagai hero. Sudah tiba masanya pengiktirafan diberikan kepada mereka yang berjuang menyelamatkan bangsa, bukan digambarkan sebagai satu kumpulan etnik yang ganas dan panas baran dan peristiwa itu hanya sebagai satu titik hitam dalam sejarah negara. Kami tidak mahu ganjaran berbentuk material atau pangkat duniawi seperti Tan Sri atau Dato', cukup sekadar pengorbanan pejuang terdahulu dihargai dan di rekodkan dalam sejarah negara.

Arwah ayah aku adalah salah seorang sahabat Haji Bakri dan terlibat secara langsung dalam peperangan tersebut. Sejauh mana penglibatan hidin, aku pun tak pasti, tapi mengikut cerita arwah mak, ayah jarang balik rumah masa perang tu, selalu ada di rumah tuan guru di Parit 8. (Masa tu keluarga aku bagana di Parit 6B Sg Manik). Yang ada mengenai bukti penglibatannya adalah sebilah parang panjang dan bengkong putih yang dipakai semasa perang.

Memang dah lama aku nak tau apa isi kangdungan bengkong tersebut. Masa kecik memang tak berani nak sentuh sebab takut ngan arwah ayah. Ayah tak garang tapi ada satu macam aura yang buatkan kami semua takut dengannya. Kalau masa makan, tak ada sapa yang berani makan satu hidang dengan dia kalau dia tak ajak. Mungkin dia ada amalan yang buatkan orang takut padanya, wallahuallam.

Bila arwah ayah dah meninggal perasaan ingin tahu apa isi kandungan bengkong tu semakin menebal. Satu hari aku bukak jahitannya dan antara objek yang terdapat didalamnya adalah beberapa keping kulit binatang yang kemudiannya aku dapat tahu sebagai kulit kerbau landau, kulit kijang putih dan lain-lain. Terdapat juga rajah-rajah dan tulisan dari potongan ayat Quran dan lain-lain objek.

Setelah meneliti komen-komen mengenai gambar-gambar di bawah, saya memutuskan untuk mengaburkan gambar-gambar tersebut. Walau bagaimanapun, saya berpendapat bahawa sesuatu ilmu itu mesti dipelajari, bukan setakat  ' copy paste' sahaja. Wassallam.



kulit kerbau landau
kulit kijang putih

Qaf 40
sumber:
http://wadik.blogdrive.com/archive/56.html

Friday, September 9, 2011

ILMU PERANG MELAYU - BAHAGIAN 7 (BAHAGIAN AKHIR)


Serangan Belanda yang pertama gagal kerana penduduk Aceh telah bersedia mati syahid dan berjaya membunuh jeneral Belanda.



Taktik Perang Secara Gerila

Salam kepada pembaca semua, ini adalah bahagian terakhir kajian saya, saya tidak mahu buat intro panjang-panjang. cuma harapan saya agar siri-siri ilmu perang yang telah saya sajikan untuk anda akan membuka alter terahsia bangsa Melayu yang telah lama tersimpan didalam DNA anda. Oleh itu manfaatkanlah nya dengan cara anda sendiri ok...enjoy the reading..:).


Sebenarnya saudara sekalian selain daripada formasi ketenteraan dan penyamaran serta tipu muslihat, masyarakat Melayu juga terkenal dengan taktik perang gerila. Taktik perang gerila sebenarnya lebih banyak diamalkan di wilayah-wilayah di semenanjung tanah Melayu dan di Sumatera berbanding di Jawa di mana orang-orang Jawa lebih suka melakukan serangan frontal. Hal ini dikukuhkan dengan catatan Godinho De Eridea yang menyatakan bahawa tentera Melayu di semenanjung tidak mempunyai taktik ketenteraan yang sama seperti taktik tentera Eropah, mereka sering menggunakan serangan yang berbentuk mengejut atau ambush dan serangan hendap yang dilancarkan di jalan-jalan yang sempit dan di kawasan hutan yang tebal.


Perajurit Aceh.


Taktik perang sebegini semakin kerap digunakan oleh orang-orang Melayu di seluruh Nusantara terutamanya apabila pihak penjajah barat mula campur tangan dalam urusan pentadbiran tempatan yang menyebabkan terjadinya penentangan atau peperangan. Di Aceh misalannya dikatakan bahawa walaupun tentera Belanda berjaya menawan banda Aceh dan Istana Sultan, namun demikian ini tidak bermakna perlawanan telah berakhir. Hal ini kerana di Aceh wujudnya kekuasaan yang besar di atas tangan pembesar-pembesar daerah ataupun Sagi. Pembesar-pembesar daerah inilah yang menjalankan peperangan secara gerila terhadap tentera Belanda selama lebih empat puluh tahun dari tahun 1973 hingga 1903. Setelah berjaya menguasai beberapa buah mukim di Aceh dan membunuh ramai rakyatnya termasuk kanak-kanak dan wanita di mukim enam, tentera marsose Belanda telah mara ke mukim Sembilan yang masih lagi tidak berjaya di tawan.


Sebuah benteng pasukan Aceh yang berjaya diserbu Belanda.


Oleh kerana tidak ingin melihat ramai rakyat terkorban dan rumah-rumah rakyat yang dibakar, pemimpin pahlawan Aceh iaitu Tengku Ibrahim Lamnga seorang Uleebalang yang terkenal, telah membawa pasukannya untuk menyerang tentera Belanda secara gerila. Pasukan Ibrahim Lamnga telah mengadakan serangan hendap terhadap patroli-patroli Belanda yang berkeliaran di sekitar Aceh. Mereka akan bersembunyi di sebalik semak dan menyerang dari belakang. Selain daripada serangan hendap, pasukan Ibrahim Lamnga juga dikatakan telah meronda sekitar wilayah-wilayah Aceh dan memusnahkan segala kemudahan dan binaan asas yang dapat membantu tentera Belanda bergerak dari satu daerah-ke daerah yang lain dengan mudah. Antaranya ialah titian buluh yang dibuat oleh tentera Belanda merentangi paya dan sawah untuk memudahkan pergerakan tentera serta rel kereta api. Semua ini dimusnahkan oleh pasukannya.



Dalam perang Naning pada 1831 di antara penduduk Naning dengan British, taktik yang sama juga telah digunakan oleh Dol Said dan orang-orangnya terhadap askar British. Dol said dikatakan telah menyerang tentera British dalam keadaan mereka tidak bersedia. Serangan secara gerila ini dicatatkan oleh Abdullah Munsyi sewaktu beliau berada di Melaka.Menurutnya, askar British yang ditugaskan untuk menyerang dol said telah melarikan diri kerana dikepung dari segenap arah tanpa mereka sedari. Hal ini menurutnya lagi telah mengakibatkan banyak barang-barang kompeni dan alatan persenjataan berjaya dirampas oleh musuh. Perkara ini turut di akui oleh residen jeneral Ibbetson yang memerintah Melaka pada masa itu. Menurut daripada laporan yang ditulis Ibbetson yakni residen jeneral Melaka, ternyata bahawa Dol Said dan pengikutnya telah melaksanakan strategi gerila yang agak mantap dan teratur.



Orang–orang Naning dikatakan telah menyekat bekalan makanan dan persenjataan serta perhubungan dengan depot tentera mereka di sungai puti dengan cara menghalang jalan dengan kayu-kayu balak bagi melambatkan mereka dan kemudian menyerang dari belakang. Akibatnya pasukan pertama yang sedang menuju ke Tabuh tidak mendapat bantuan dan bekalan yang secukupnya. Semasa perang Jawa atau perang Diponogoro juga taktik gerila telah digunakan oleh pemimpin tempatan bagi menumpaskan tentera penjajah Belanda. Pangeran Diponogoro yang didukung oleh para ulama di keraton Jogjakarta telah merancang peperangan yang telah berlarutan sampai lima tahun lamanya. Taktik gerila digunakan kerana pasukan Belanda mempunyai perbekalan makanan serta senjata yang lebih baik dan lebih canggih berbanding pasukan Jawa. Beliau selalu mengelakkan pertempuran besar-besaran dan sentiasa bertukar-tukar banteng pertahanan untuk mengelirukan musuh. Dengan cara ini banyak kemenangan diperolehnya sehinggakan pihak Belanda sukar untuk mengesan kedudukannya.



Dalam Perang Batak pada tahun 1877 juga, Raja Sisingamangaraja juga menggunakan strategi perang gerila dalam usahanya untuk mengusir Belanda dari tanah Batak. Beliau telah menubuhkan pusat-pusat latihan tentera di kampung-kampung tertentu bagi melatih anak-anak muda dalam peperangan secara komando dan gerila. Beliau juga telah mengaturkan agar serangan mengejut diadakan terhadap tentera-tentera Belanda dalam keadaan mereka kurang bersedia dan pasukan serangan berani ini terdiri daripada 20 hingga 30 orang sahaja supaya mudah untuk bergerak dan sukar dikesan musuh.



Serangan yang dilakukan oleh pasukan Sisingamangaraja juga akan dibahagi-bahagikan kepada dua kumpulan besar yang menyerang di kawasan yang berlainan. Hal ini dilakukannya bagi memecahkan tentera Belanda kepada beberapa bahagian. Dalam serangan kedua ke atas benteng Belanda di wilayah Bahalbatu, Belanda telah bertindak lebih agresif dan tidak lagi hanya bertahan di dalam kubu, sebaliknya mereka telah keluar untuk melawan dengan berkubukan belukar di sekitar benteng mereka. Namun taktik yang digunakan oleh Belanda ini dapat dihidu oleh pasukan Batak. Di bawah arahan panglima mereka iaitu O. Susuhaton, mereka diarahkan untuk berpecah kepada kelompok- kelompok kecil yang berjumlah 20 ke 30 orang dan berselindung di sebaik parit, pokok dan belukar dan menembak ke arah tentera Belanda hanya jika pasti tembakan tersebut akan kena pada sasaran dan bagi tujuan menyimpan peluru mereka.



Tindakan ini berjaya, dan telah menyebabkan ramai tentera Belanda gugur. Tentera Belanda sebaliknya telah menembak dengan rakusnya walaupun tentera Batak tidak membalas tembakan mereka. Pasukan Belanda telah dipermainkan oleh pasukan Batak ibarat tikus mempermainkan kucing kerana taktik yang digunakan adalah taktik serangan curi. Segala perancangan untuk peperangan gerila ini telah diatur oleh panglima-panglima Sisingamangaraja dengan baik sekali dan dijalankan mengikut waktu yang telah ditetapkan . pasukan-pasukan gerila yang jumlahnya kecil ini telah di letakkan di lembah-lembah dan bukit-bukit yang strategik untuk memudahkan mereka menyerang musuh secara hendap.Kearifan mereka akan muka bumi tanah Batak menyebabkan peperangan yang berlaku sering dimenangi mereka berbanding dengan tentera Belanda. Serangan pasukan kedua Sisingamangaraja di Tarutung juga menggunakan taktik yang sama iaitu taktik penyerangan secara gerila. Pasukan Batak dibahagi-bahagikan kepada pasukan-pasukan kecil yang banyak dan bergilir-gilir menyerang pasukan Belanda tanpa henti, menyebabkan pasukan Belanda keliru dan tidak tentu arah melepaskan tembakan.



Setelah satu kumpulan mengundur secepat mungkin maka satu pasukan lagi akan menyerang pula serta merta. Serangan di daerah Silindung ini juga telah diakhiri dengan kemenangan pasukan Batak dan kerugian yang besar pada pasukan Belanda. Tegasnya di sini bahawa kearifan dan kehebatan bermain dengan strategi perang adalah sesuatu yang bukan asing bagi masyarakat Melayu Nusantara termasuklah dari suku Batak, sehinggakan taktik dan strategi perang gerila yang digunakan oleh pasukan Batak ini tidak dapat ditandingi oleh pasukan tentera Belanda yang mempunyai persenjataan yang lebih canggih dan ilmu militer yang lebih formal berbanding penduduk peribumi.


Taktik Amuk Di gunakan Sebagai Salah Satu Strategi Peperangan



Amuk adalah istilah yang digunakan oleh orang Melayu untuk menggambarkan keadaan separa sedar yang menyebabkan seseorang itu melakukan pembunuhan dan keganasan yang melampaui batas peri kemanusiaan. Amuk atau mengamuk adalah sesuatu yang masih menjadi misteri bagi sejarawan, antropologi dan juga pakar psikiatri. Hal ini kerana hanya beberapa kelompok masyarakat tertentu sahaja yang mempunyai budaya sebegini dalam dunia ini dan yang paling dominan ialah rumpun Melayu terutamanya Jawa dan Madura.



Walaupun Amuk sering kali dianggap sebagai sejenis fenomena individu namun demikian ia dipercayai berasal daripada sejenis perasaan atau semangat untuk berperang. Amuk dapat dikesan dalam sejarah kerajaan-kerajaan Hindu mahupun Islam di Nusantara ini sejak seribu tahun yang lampau lagi. Kebiasaannya sebelum memulakan peperangan sudah menjadi tradisi bagi para pahlawan terutamanya untuk memupuk perasaan dan rasa marah yang membuak-buak bagi menimbulkan semangat dan keberanian untuk menghadapi musuh. Hasilnya ialah lahir satu situasi di mana pasukan pengamuk ini akan meluru kearah musuh tanpa takut akan kecederaan atau maut malahan masih boleh meneruskan penentangan walaupun telah cedera parah. Pada kebiasaannya, individu yang dalam keadaan Amuk ini tidak merasakan kesakitan atau tidak sedarkan diri serta akan lupa apa yang telah dilakukannya. Dalam peperangan, kebiasaannya taktik Amuk digunakan sekiranya pasukan pertahanan mereka dikhuatiri akan kalah atau sememangnya sudah tidak mempunyai harapan untuk memenangi peperangan tersebut. Pasukan ini juga dikenali sebagai pasukan berani mati atau pengamuk.



Di Filipina pasukan Amuk ini dinamakan Juramentados. Pasukan Amuk atau Juramentados ini digunakan dengan kerap dalam peperangan melawan Sepanyol dan juga perang melawan Amerika dalam abad ke 18 hingga awal abad ke dua puluh terutama di wilayah-wilayah selatan yang diduduki oleh masyarakat Islam seperti Maranau, Tausug, Sulu dan lain-lain yang hanya dipanggil Moro oleh orang Sepanyol dan Amerika. Menurut pandangan askar-askar Amerika yang cuba untuk menundukkan negeri-negeri Islam atau Moro di selatan Filipina, Juramentados adalah satu bentuk kepercayaan dan keyakinan melampau yang ada kaitan dengan agama Islam.


Pengamuk dibunuh tentera.

Namun hal ini ternyata tidak benar kerana Islam tidak pernah menyuruh umatnya membunuh diri dengan cara menyerang membuta tuli. Tegasnya lagi, orang Moro menganggap ianya sebagai salah satu cara perang suci atau jihad. Menurut catatan askar Amerika di Filipina semasa berlakunya penentangan Moro terhadap pendudukan askar Amerika, tentera Amerika banyak yang terkorban akibat dibunuh oleh penyerang berani mati ini denga cara dikelar leher sama ada dari depan atau belakang. Demi untuk mengelakkan banyak kehilangan nyawa di kalangan askarnya, Amerika telah mencipta sejenis uniform yang mempunyai kolar leher panjang dan tebal dari kulit yang diberi nama Leatherneck. Tentera Amerika yang berhadapan dengan kaum Moro ini terkejut dengan tindakan golongan Juramentados yang masih lagi menyerang dan mengamuk walaupun telah cedera parah.


Salah seorang juramentado yang berjaya dibunuh tentera US.


Kebiasaannya Juramentados ini akan dilantik atau dipilih dan dijalankan kan satu ritual oleh seorang imam daripada sesebuah kampung. Imam ini akan mencukur bulu kening bakal pengamuk, memandikannya dengan air bacaan ayat suci, memakaikannya dengan pakaian putih, bersemutar merah dan menyediakan senjata yang telah diasah hingga tajam sekali. Kemudian barulah mereka ini akan dilepaskan untuk menyerang askar-askar musuh. Mengikut catatan tentera Amerika, pada tahun 1904 Pulau Pata di selatan Filipina telah di serang bagi menundukkan seorang pembesar yang memerintah di situ bernama Maharaja Mejan. Namun Maharaja Mejan telah menentang pencerobohan tentera Amerika tersebut dengan hebat sekali walaupun tentera Amerika mempunyai senjata yang jauh lebih moden malah yang paling moden pada zaman tersebut.


Pahlawan berani mati Moro.


Mejan telah mengumpulkan sekumpulan penyerang-penyerang berani mati atau Juramentado dan telah mengarahkan mereka menyerang kapal Amerika yang cuba mendarat. Mereka bukan sahaja dipimpin oleh Mejan tetapi juga oleh seorang imam tua bernama Tugalan yang memberikan kata-kata semangat kepada mereka dan menjanjikan mereka akan balasan syurga jika mati berjuang. Dalam penyerangan tersebut tugalan adalah sasaran pertama tembakan rifle Amerika dan telah meninggal di situ juga. Melihat keadaan ini semua pengikut-pengikut Tugalan telah menyerang serentak berhadapan dengan tembakan rifle Amerika. Walaupun ada di antara mereka yang telah rebah akibat tembakan, mereka berusaha untuk terus bangkit dan menyerang semula tanpa mempedulikan kesakitan dan kecederaan mereka.

Juramentados sedang Amuk.


Walaupun mereka tidak berjaya untuk sampai ke tempat pertahanan tentera Amerika akibat daripada tembakan bertubi-tubi tentera, namun mereka tetap menyerang dan tidak ada seorang pun yang lari. Tindakan pengamuk ini dianggap tentera Amerika yang menyaksikan kejadian tersebut sebagai melanggar hukum alam, kerana mereka sepatutnya telah mati dengan satu tembakan sahaja namun mereka boleh bangun semula dan menyerang malahan ada yang bangun semula setelah ditembak bertubi-tubi sebanyak tiga kali. Selain itu terdapat juga laporan yang diberikan tentera Amerika yang mengatakan ramai dikalangkan pegawai mereka diserang tanpa amaran dan secara tiba-tiba malahan sewaktu berada di kawasan berek mereka sendiri.



Dalam satu peristiwa, dikatakan bahawa seorang pengamuk telah ditembak sebanyak lima kali di bahagian badan dan dada namun masih boleh bangun dan mengamuk. Jelas di sini bahawa sememangnya di bahagian tertentu wilayah ketamadunan Melayu sekitar abad ke sembilan belas dan awal abad ke dua puluh, Amuk telah digunakan sebagai salah satu aspek dalam peperangan. Fenomena Amuk yang digunakan oleh golongan Juramentados di wilayah selatan Filipina dianggap sangat unik dan amat sesuai dijadikan contoh penggunaan Amuk sebagai taktik menggerunkan dan menghapus musuh.


Kesimpulannya jelaslah bahawa masyarakat Melayu sejak abad ke 16 hingga abad ke 19 sememangnya sudah mempunyai kemahiran dan kebijaksanaan untuk merancang strategi dan taktik yang jitu setanding dengan bangsa-bangsa lain di dunia. Mereka bukan sahaja berjaya dengan strategi dan taktik yang dilaksanakan malahan turut mengagumkan bangsa-bangsa luar yang terpaksa berhadapan dengan mereka. Kehebatan tokoh-tokoh strategis Melayu seperti Datuk Bahaman, Sisingamangaraja, Dol Said dan pahlawan-pahlawan Kedah dalam merancang strategi dan taktik dalam peperangan boleh dijadikan suatu contoh dan sumber kebanggaan kepada masyarakat Melayu pada masa kini. Ternyata bahawa kekurangan dari segi teknologi persenjataan bukanlah penyebab kepada kegagalan sesuatu misi ketenteraan, namun apa yang lebih penting ialah strategi yang mantap dan taktik yang jitu. Maka dengan ini tamatlah siri ilmi-ilmu perang Melayu. Sekian dari saya, wallah hu a'lam.



sumber:

ILMU PERANG MELAYU - BAHAGIAN 6





FORMASI KETENTERAAN, LOGISTIK DAN TIPU MUSLIHAT.



Salam para pembaca sekalian, hari ini artikel saya menyambung lagi mengenai taktik dan strategi. Namun kali ini kita akan melihat kepada formasi ketenteraan, logistik dan tipu muslihat dalam ilmu perang Melayu. Ketiga-tiga unsur ini juga adalah penting dalam melengkapkan dan menyediakan tentera dalam menghadapi sebarang peperangan. Selain itu kita juga akan melihat tokoh-tokoh yang paling menonjol dalam Historiografi tradisional Melayu sebagai strategis ulung ilmu perang Melayu. Kita akan menelusuri pengalaman mereka dalam menghadapi serangan dari penjajah laknatullah yang cuba mencabul bumi terhormat ini. Selain itu kita juga akan melihat tipu muslihat dalam peperangan saudara diantara orang Melayu dengan orang Melayu juga seperti perang di Selangor.


Dalam membicarakan soal peperangan, maka tidak boleh tidak, kita perlu menyentuh mengenai strategi perang yang digunakan dalam sesuatu peperangan itu. Selain daripada penggunaan kubu, Kota dan parit, masyarakat Alam Melayu juga mempunyai siasat perang atau lebih mudah dikatakan strategi perang yang melibatkan formasi tertentu ketika membentuk ketumbukan tentera. Strategi jenis ini termasuk dalam strategi jenis ofensif yakni yang diperlukan apabila kedua-dua ketumbukan tentera yang berlawanan perlu berhadapan atau secara frontal dengan masing-masing berada di sebuah medan peperangan.



Strategi ini sebenarnya cuba untuk membentuk suatu posisi yang menguntungkan agar dapat mengumpan dan memaksa musuh berada dalam keadaan atau posisi yang merugikan dan terbatas pergerakannya. Strategi sebegini juga sangat banyak diamalkan oleh tentera Rom pada zaman keemasannya menakluk sebahagian besar Eropah. Formasi yang diamalkan oleh tentera Rom sejak zaman berzaman telah dikaji secara mendalam oleh peneliti ketenteraan dari seluruh dunia dan dipraktikkan dalam strategi ketenteraan moden terutamanya di negara-negara seperti Amerika Syarikat dan Britain. Sebenarnya strategi seperti ini juga banyak dipraktikkan di kalangan kerajaan-kerajaan di tanah Jawa sejak dari zaman kerajaan kuno seperti Kediri sehinggalah kerajaan Majapahit dan kerajaan Mataram Islam di zaman kolonial. Malahan catatan mengenainya juga adalah lebih terperinci berbanding dengan catatan mengenai strategi yang sama di kawasan kepulauan Melayu yang lain. Antara karya kesusasteraan Jawa kuno yang membicarakan mengenai strategi membentuk formasi tentera adalah Kakawin Baratha Yuddha.



Karya ini adalah tentang bermacam-macam jenis strategi perang berbentuk formasi ketenteraan yang dilgunakan oleh Pandawa dan Kaurawa dalam peperangan yang berbentuk berhadapan dengan musuh atau serangan frontal. Dalam karya ini, ketika berlakunya peperangan frontal di antara kedua buah keluarga ini, keluarga Kaurawa telah menggunakan formasi ketenteraan berbentukWukir Segara atau ombak laut dan bukit. Formasi ini terbentuk daripada tentera yang dibahagikan kepada dua ketumbukan. Tentera ketumbukan pertama ialah di bahagian belakang yang terdiri daripada tentera berkuda dan bergajah dan dinaiki oleh raja-raja, para pembesar dan perajurit atasan, tentera inilah yang dinamakan sebagai bukit. Manakala pasukan kedua pula ialah terdiri daripada barisan demi barisan tentera pejalan kaki yang membentuk seolah-olah lautan dan menyerang dari satu gelombang ke satu gelombang mengikut giliran. Susunan ketenteraan sebegini memerlukan jumlah tenaga manusia yang amat besar dan dinamik yang agak tinggi.



Penggunaan tentera yang banyak  ada disebut dalam karya ini iaitu menyatakan bahawa satu kereta perang diperkuatkan dengan sepuluh ekor gajah, setiap seekor gajah pula di perkuatkan atau disokong oleh sepuluh ekor kuda dan setiap seekor kuda pula disokong oleh sepuluh orang perajurit. Keluarga Pandawa pula menggunakan formasi ketenteraan yang berbentuk Wajratikshna yang bermaksud petir yang tajam. Susunan tentera yang berbentuk petir ini mempunyai beberapa bahagian. Bahagian ini terbahagi kepada bahagian depan yang mempunyai tiga cabang iaitu tengah, sayap kiri dan sayap kanan, bahagian tengah formasi pula dibahagikan kepada dua ketumbukan dan bahagian paling belakang dibahagikan kepada tengah, sayap kiri dan juga sayap kanan. Bahagian yang paling kuat ialah di bahagian paling hadapan yang tengah kerana susunan tentera di sini lebih mantap dan padat. Daripada bentuk formasi ketenteraan kedua-dua keluarga ini dapat dikatakan bahawa kedua-duanya mempunyai kekuatan ofensif yang agak tinggi. Oleh kerana faktor inilah dikatakan bahawa keluarga Pandawa telah kalah dalam peperangan tersebut. Ini kerana kekuatan hanya didasarkan pada bahagian tengah sahaja dan menyebabkan panglima mereka mati dan menghuru-harakan barisan ketenteraan.



Satu lagi jenis susunan tentera yang digunakan dalam peperangan ini yang turut disebut dalam karya ini ialah susunan yang berbentuk Chakra atau roda. Susunan seperti ini mempunyai daya defensif yang sangat kukuh dan kuat serta sukar untuk di tembusi. Hal ini kerana barisan pertahanannya berbentuk lingkaran atau bulat dan sukar untuk mencari titik lemahnya. Segenap arah susunan ini di kawali dengan ketumbukan tentera sesuai dengan namanya seperti roda atau lingkaran. Bahagian tengah atau pusat roda adalah tempat di mana diletaknya pasukan raja atau pembesar yang penting, oleh itu mereka terlindung daripada serangan dari segenap arah.


Salah satu formasi perang yang ada dalam Kitab Braratha Yuddha yakni formasi Garuda Nyalang


Selain daripada masyarakat di Tanah Jawa, masyarakat Melayu di Semenanjung juga  turut mempunyai kesedaran atau ilmu mengenai pelbagai taktik perang berbentuk tipu muslihat. Salah satu daripada strategi ini ialah dengan menggunakan mata-mata dan juga penyamaran. Peristiwa mengenai helah dan tipu muslihat sebegini turut dicatat oleh pegawai-pegawai Inggeris yang berada di Semenanjung Tanah Melayu suatu ketika dahulu. Sewaktu British membantu Siam mengepung perairan Kedah pada 1838, pihak British telah tertipu dengan strategi dan helah pahlawan Melayu Kedah iaitu tengku Muhammad AliBeliau dikatakan telah berjaya melarikan diri daripada Kedah dengan menaiki perahu yang dipenuhi dengan wanita dan berpakaian wanita. Walaupun tentera British telah mengepung Kuala Kedah namun perahu tersebut tetap terlepas kerana menganggap perahu tersebut hanya mempunyai wanita sahaja. Menurut Sherard Osborn, iaitu salah seseorang kelasi British yang menjadi saksi peperangan tersebut, orang-orang Melayu Kedah sebelum menghadapi penyerangan Siam secara besar-besaran telah cukup bersedia. Persediaan yang mereka lakukan adalah amat rapi dengan jangka masa yang tepat dan dalam keadaan rahsia. Kenyataan ini menunjukkan bahawa tentera Melayu Kedah amat mahir dalam membuat persiapan peperangan secara rahsia. Ini mungkin disebabkan kerajaan Kedah senantiasa mendapat ancaman daripada Siam dan oleh itu mereka sentiasa berwaspada dan meneliti strategi-strategi peperangan Siam.



Tengku Kudin salah seorang pejuang  Kedah juga pernah menjalankan taktik penyamaran. Sewaktu beliau mahu membuat percubaan kali ketiga untuk menawan semula Kota Kuala Kedah daripada pegangan Siam, beliau telah menyamar sebagai seorang sepoi Inggeris dan memakai seragam merah. Hasilnya tentera Kedah berjaya memasuki Kota musuh dan menawan Kota tersebut. Kesultanan Aceh pada zaman kegemilangannya juga pernah menggunakan strategi berbentuk tipu muslihat dan helah bagi mengaburi musuh mereka iaitu Portugis di Melaka. Dikatakan bahawa sultan Aceh ketika itu, Sultan Mansur Shah telah mengumpulkan angkatan yang besar terdiri daripada orang-orang Aceh dan Sumatera serta orang negeri perak untuk menyerak Melaka. Bagi mengaburi pihak Portugis, maka Sultan telah mengumumkan bahawa bala tenteranya kan pergi menyerang Tanah Jawa. Baginda juga telah menghantar hadiah kepada Gabenor Portugis di Melaka untuk mengelakkan syak wasangka mereka. Selain itu, Aceh turut menghantar mata-mata atau spy untuk mengalih mengintip pertahanan laluan selat Melaka ke Pelabuhan Melaka dan juga untuk mengalihkan perhatian pihak berkuasa Portugis. Walaupun usaha mata-mata ini tidak berjaya kerana dia ditangkap dan diseksa sehingga terpaksa membocorkan rahsia, namun strategi dan helah yang digunakan oleh baginda Sultan untuk menyerang Melaka dianggap sebagai suatu yang bijak dan boleh dibanggakan pada masa itu.



Dalam peristiwa perang saudara di Selangor pula dapat dipastikan bahawa pasukan ketenteraan bantuan daripada Pahang sememangnya telah mempunyai strategi formasi ketenteraan yang mantap sebelum berangkat ke Selangor. Mereka telah mengatur langkah dan perbarisan mereka sejak dari Pahang lagi dengan diketuai oleh Datuk Bahaman. Datuk Bahaman telah membagikan pasukan Pahang kepada beberapa ketumbukan. Pasukan yang akan menjaga sempadan negeri daripada dimasuki musuh yang melarikan diri dari Selangor akan diketuai oleh Datuk Orang Kaya Haji Lipis dengan dibantu oleh Mat Kilau bersama ayahnya Datuk Gajah. Manakala urusan pertahanan dari laut pula akan diketuai oleh datuk Shah Bandar Jidin.Manakala barisan utama yang akan bergerak menentang pemberontakan di Selangor adalah terdiri daripada 3 pasukan. Pasukan ini kemudiannya akan dipecahkan untuk membentuk beberapa ketumbukan kecil tentera. Ketua turus angkatan tentera ini adalah Datuk Bahaman sendiri. Apa yang uniknya ialah pasukan-pasukan ini diberikan nama kod tertentu untuk memudahkan pembahagian. Antaranya ialah pasukan semantan yang dikepalai oleh datuk Bahaman, pasukan pulau tawar atau imam perang rasul dan pasukan datuk Shah Bandar atau pasukan Benta.


Dato Bahaman, antara strategis Melayu terulung sehinggakan Huge Clifford pernah memuji kebijaksanaan beliau.


Dalam tentera pasukan Semantan datuk Bahaman telah membahagikan pula tugas-tugas kepada beberapa pegawai-pegawai perang yang terdiri daripada panglima-panglima atau Imam Perang. Antaranya ialah Imam perang Mat Akil untuk menjadi panglima dengan dibantu oleh Imam perang Gendut, Imam perang Che Indot, Datuk Johan Perkasa Cik Hassan, Imam perang Khatib Bahrain dan Imam perang Besar Masjid. Apa yang uniknya ialah ketua bagi sesebuah ketumbukan tentera di Pahang menggunakan gelaran Imam perang dan ketua kepada semua Imam perang adalah panglima.Setiap Imam perang akan mengetuai ketumbukan tentera yang mempunyai lebih kurang 300 hingga 600 orang askar. Pasukan-pasukan ini pula telah ditugaskan untuk menyerang kawasan-kawasan yang berbeza di negeri Selangor. Strategi membahagi-bahagikan beberapa bahagian tentera ini menunjukkan bahawa Datuk Bahaman adalah salah seorang ahli strategis yang handal dan dapat mengagak untung rugi yang bakal dihadapi mereka dalam perang ini. Oleh itu dengan membahagikan pasukan kepada 3 kumpulan akan mengurangkan risiko kehilangan askar yang ramai dan dapat menyerang musuh daripada segenap arah.



Peperangan di Selangor ini juga memperlihatkan kebijaksanaan Raja Mahadi sebagai pemimpin pasukan perang Selangor. Beliau telah menjalankan strategi tipu muslihat untuk jangka panjang iaitu dengan memerintahkan Panglima Mashor menawan Kuala Lumpur. Dengan tertawannya Kuala Lumpur beliau telah berjanji dengan Sultan Selangor akan memberikan hak pembahagian cukai di sana dan di Kelang kepada Sultan sendiri. Baginda diharapkan akan bertambah yakin dengan kekuatan beliau. Hal ini akan menguatkan kedudukannya dalam pertikaian politik di Selangor dan sekali gus mendapat sokongan Sultan. Seperti juga pasukan Pahang, pasukan panglima Mashor juga telah menyerang Kuala Lumpur dari tiga penjuru iaitu utara, timur dan selatan. Selain itu pasukan penentang dari Tengku Kudin pula telah menggunakan pengakap-pengakap hutan ataupun pengintip dalam taktik peperangan mereka. Pengakap ini digunakan untuk mengintip kekuatan dan kedudukan musuh.



Penyerangan terhadap Kuala Lumpur yang dibuat oleh Tengku Kudin adalah amat sukar kerana di pertahankan dengan sengitnya oleh Panglima Mashor. Ramai pasukan Pahang yang turut terkorban. Hal ini adalah kerana pasukan tentera Panglima Mashor menggunakan taktik serangan hendap terhadap pasukan-pasukan Pahang yang menyerang ke Kuala Lumpur. Mereka turut memasang perangkap di Ampang, Ulu Kelang dan Kepong. Bagi mengelakkan pasukannya banyak kehilangan nyawa, datuk Bahaman telah mengarahkan agar pasukannya berundur untuk seketika. Datuk Bahaman kemudiannya telah membentuk pasukan kecil yang khas terdiri daripada pahlawan-pahlawan handal dalam jumlah yang kecil bagi melakukan serangan mengejut dan menghapuskan perangkap-perangkap yang dibuat oleh Panglima Mashor.



Kebijaksanaan Datuk Bahaman dalam mengatur strategi perang juga makin terserlah apabila beliau berjaya menyerang Kuala Lumpur daripada dalam, melalui penyamaran sebagai seorang sakai atau pelarian perang. Setelah berjaya menyusup masuk maka orang-orang Pahang telah menggempur kubu-kubu pertahanan Kuala Lumpur dari dalam. Akhirnya orang-orang Pahang telah berjaya menawan Kuala Lumpur daripada Sayid Mashor. Akibat daripada kejayaan ini Sultan Selangor telah menganugerahkan gelaran dan persalinan kepada semua pahlawan Pahang dan Datuk Bahaman digelari sebagai Orang Kaya Indera Pahlawan dan mendapat kedudukan sama seperti pembesar Selangor.



Adalah tidak lengkap sekiranya membicarakan mengenai strategi dan taktik peperangan tanpa membincangkan mengenai dua orang tokoh ilmu strategis yang dianggap paling agung dalam sejarah masyarakat Melayu. Tokoh ini ialah Tun Perak dan Hang Nadim pada zaman Kesultanan Melayu Melaka. Tun Perak seperti yang diketahui, adalah salah seorang daripada Bendahara Kesultanan Melayu Melaka yang hidup pada kurun ke 16 iaitu kira-kira pada tahun 1448 hingga 1498. Beliau telah berkhidmat dengan cemerlang dalam pemerintahan 4 orang Sultan Melaka iaitu Sultan Muzaffar Shah, sultan Mansur Shah, Sultan Alauddin Riayat Shah dan sehingga ke awal pemerintahan Sultan Melaka yang terakhir iaitu Sultan Mahmud Shah. Di bawah pimpinan Tun Perak, Kerajaan Melaka menjadi sebuah kerajaan Melayu yang maju dan kuat. Sejak sebelum beliau memegang Jawatan Bendahara lagi, Tun Perak telah menunjukkan bakat dalam ilmu strategi terutama strategi jangka panjang. Semasa beliau menjadi Penghulu di Kelang, Siam telah menghantar tenteranya untuk menyerang Melaka kerana Sultan Muzaffar Shah tidak mahu tunduk kepada Ayuthia.



Sultan telah mengumpulkan semua pembesar dan orang-orang mereka termasuklah Tun Perak di Melaka. Seperti mana kebiasaannya orang Melayu pergi berperang, mereka tidak akan membawa bersama keluarga mereka, namun di sinilah terletaknya kebijaksanaan Tun Perak dalam mengatur strategi. Beliau telah mengarahkan agar anak dan isteri semua pengikutnya dari Kelang dibawa bersama untuk pergi berperang. Apabila beliau ditanya oleh Sultan mengenai tindakan tersebut beliau menjawab, tujuan beliau berbuat demikian ialah untuk menaikkan semangat para pahlawan Kelang. Hal ini kerana mereka akan berjuang lebih bersungguh-sungguh jika mahu mempertahankan anak dan isteri mereka melainkan hanya berperang untuk Sultan sahaja. Nyata di sini bahawa Tun Perak pandai membaca psikologi tentera di bawah pimpinannya dan psikologi manusia secara umumnya.



Tindakan Tun Perak untuk mengikat tali kekeluargaan dengan musuh politiknya iaitu Bendahara Seri Nara Diraja melalui adiknya Tun Kudu, dianggap sebagai strategi yang bijak bagi menjaga kepentingannya dan mendapat sokongan daripada pengikut Seri Nara Diraja. Dalam serangan Siam yang ketiga, sekali lagi Tun Perak telah menunjukkan kepakaran beliau dalam strategi peperangan. Beliau telah mengarahkan Tun Umar agar menyerang perahu Siam yang cuba mendarat. Tindakan Tun Perak ini ada asasnya, beliau arif dengan perangai anak buahnya Tun Umar yang digambarkan dalam sejarah Melayu sebagai seorang yang amat berani dan gila-gila bahasa.Tindakan Tun Umar yang seolah-olah pejuang berani mati ini telah digunakan Tun Perak untuk mengucar-ngacirkan pasukan perahu perang Siam. Akibatnya beberapa buah perahu Siam telah berjaya dikaramkan oleh Tun Umar. Apabila pasukan Siam hendak menghampiri, Tun Perak kemudiannya telah mengarahkan orang-orangnya agar memasang puntung api atau obor dan ditambati pada pokok-pokok bakau dan lain-lain pokok yang ada di sepanjang pantai. Hal ini dilaksanakan bertujuan untuk mengelirukan pandangan Siam dan memberikan anggapan bahawa tentera Melaka adalah lebih banyak daripada jumlah yang sebenarnya.Tindakan ini berjaya mengaburi mata tentera Siam dan mereka telah berundur. Hasil daripada kebijaksanaan Tun Perak maka Melaka memperoleh kemenangan tanpa pertumpahan darah.



Laksamana Hang Nadim juga boleh dianggap sebagai salah seorang strategis ulung Melayu selain Tun Perak. Berbanding dengan Hang Tuah, kehebatan Hang Nadim bukanlah terletak pada kekuatan, atau kekebalan serta kerisnya, namun ianya terletak kepada kearifan beliau dalam ilmu strategis dan taktik ketenteraan serta mempunyai pemikiran yang tajam, berbanding dengan Hang Tuah yang boleh dikatakan agak bongkak, kurang bijak dan setia membabi buta. Perwatakan Hang Tuah sebenarnya boleh dikatakan sebagai perwatakan seperti samseng yang setia pada tuannya. Kehebatan Hang Nadim sebagai seorang strategis telah menyebabkan lawannya terutama orang-orang Portugis berasa gerun dan pada masa yang sama kagum dengannya.



Salah satu daripada peristiwa yang menunjukkan kebijaksanaan Hang Nadim dalam strategi ialah pada tahun 1526. Pada tahun tersebut diketahui bahawa pelabuhan Melaka di bawah pemerintahan Portugis telah mengalami kerugian teruk dan juga kebuluran sehingga hampir menyebabkan sebahagian besar penduduknya mati kelaparan. Hang Nadim telah meneliti kelemahan dan kekuatan tentera Portugis dari segenap sudutBeliau tahu bahawa Kota Portugis di Melaka adalah mustahil untuk ditawan kerana dindingnya amat kukuh malahan amat kukuh sehinggakan ia bertahan sehingga zaman pemerintahan British dan tentera British terpaksa menggunakan bahan peletup untuk meletupkan dinding Kota tersebut. Selain itu tentera Melayu juga tidak mampu untuk membedil dinding tersebut kerana meriam Melayu kebanyakannya tidak kuat dan kecil. Portugis juga mempunyai kekuatan armada laut iaitu gallieon yang besar dan sangat tebal. Oleh kerana itu amat sukar untuk tentera Melayu menyerang armada mereka tanpa kerugian yang besar.



Namun laksamana Hang Nadim mengetahui bahawa Portugis mempunyai satu kelemahan nyata iaitu mereka tidak mempunyai bekalan makanan sendiri malahan untuk bercucuk tanam pun agak sukar kerana kawasan subur di luar Kota Melaka sering menjadi mangsa serangan hendap tentera-tentera Melayu. Oleh itu Portugis telah mengimport bekalan beras dan makanan dari luar terutamanya Burma dan Siam. Hang Nadim telah menggunakan kelemahan ini untuk menyekat bekalan makanan daripada sampai ke pada pihak Portugis di Melaka. Semua kapal dan perahu yang membawa beras akan diserang dan dirampasHang Nadim juga telah bertindak meletakkan pengikutnya di Sungai Perlis bagi menghalang kemaraan bekalan beras dari Burma dan meletakkan juga para pengikutnya di Sungai Pahang bagi menyekat bekalan beras dari Siam dan Jawa. Ternyata strategi ini berjaya dan Portugis tidak dapat berbuat apa-apa. Bagi mengatasi kekuatan armada Portugis di laut dan kehebatan kapal mereka , Laksamana Hang Nadim telah mengatur strategi agar tidak berperang secara frontal dengan Portugis. Sebaliknya beliau mengumpan tentera Portugis untuk berlayar dan masuk ke kawasan sungai yang sempit dan cetek serta di bahagian selat-selat kecil supaya kapal mereka terkandas.



Hal ini berjaya kerana kapal Portugis yang besar dan tebal itu adalah berat dan sukar untuk di kemudi dan hanya boleh bergerak jika ada angin berbanding dengan lancara Melayu yang dapat didayung dan mempunyai lantai yang lebih tinggi yang membolehkan ianya berlayar walaupun di kawasan air yang cetek. Setelah kapal ini terkandas makpasukan Melayu akan menyerang kapal tersebut dari arah yang tidak mempunyai meriam untuk mengelak dari ditembak, contohnya di bahagian belakang kapal atau depannya. Bahagian sisi kiri dan kanan kapal biasanya dipasang dengan meriam. Banyak kapal Portugis yang berjaya di rampas dan ditenggelamkan. Portugis telah bertindak balas dengan menyerang pusat kekuasaan Melayu yang ketika itu berada di Pulau Bentan pada tahun 1523 hingga 1525 namun semuanya mengalami kegagalan. Kegagalan ini juga adalah disebabkan kecekapan Hang Nadim dalam melaksanakan taktik peperangan. Beliau telah menanam ranjau atau perangkap di dalam sungai bentan di tempat-tempat tertentu. Oleh yang demikian kapal-kapal Portugis yang besar dan berat telah tersangkut dan tidak dapat berpusingManakala pasukan tentera Melayu dapat menyusuri sungai tanpa halangan kerana mengetahui di mana letaknya ranjau yang dipasang. Salah satu daripada kelebihan atau trademark strategi peperangan Hang Nadim adalah beliau sering menjalankan serangan secara kecil-kecilan dan mengelakkan peperangan frontal yang besar. Hal ini kerana beliau tahu untung rugi peperangan secara frontal dengan Portugis. Laksamana Hang Nadim terus menjadi Laksamana sehingga terbentuknya Kerajaan Johor pada tahun 1530.


Makam Hang Nadim


 Selain itu, dikatakan juga bahawa tentera Melayu mempunyai ilmu logistik yang sangat baik.Tentera Kedah dikatakan telah berjaya menyeludup senjata api dan senjata-senjata lain dari Pulau Pinang dan mendapat bantuan daripada orang-orang Sumatera dalam peperangan menentang penjajahan Siam dan British di Kuala KedahDalam waktu yang singkat sebanyak dua ribu orang tentera dan empat puluh buah perahu perang telah berjaya dikumpulkan. Mereka juga berjata menyelusup masuk dan bergabung dengan pasukan-pasukan tentera Kedah yang lain walaupun perairan Kuala Kedah telah dikepung ketat oleh British dan Siam. Dalam melakukan penyerangan secara besar-besaran, strategi yang digunakan oleh pejuang-pejuang Melayu Kedah pada waktu itu ialah dengan membahagikan pasukannya kepada dua kumpulan.


Kota Kuala Kedah.


Satu kumpulan akan menjaga kubu-kubu pancang di sepanjang paya bakau sekitar pesisir pantai Kedah berserta kubu kuat mereka di Kota Kuala Kedah dan satu kumpulan besar lagi akan mengadakan serangan secara frontal terhadap pasukan-pasukan tentera Siam di, Setul, Perlis, dan Trang. Serangan secara mengejut ini adalah trade mark tentera Melayu Kedah yang berjaya memberi kesan dalam peperangan ini, dan hasilnya mereka menang dan dapat merampas semula semua wilayah Kedah yang dikuasai Siam. Hal ini berlaku kerana tentera Siam tidak bersedia dan tidak dapat menghidu pergerakan tentera Melayu. Menurut Osborn, tentera Melayu yang berada di wilayah Trang dikatakan mempunyai kekuatan perahu perang sejumlah 50 buah dan dilengkapi dengan senjata api jenis ringan seperti Lela Rentaka dan senjata-senjata api lain. Melalui huraian yang dibuat oleh Osborn ini, dapat kita ketahui bahawa keberkesanan strategi tentera Melayu dalam peperangan ini adalah bergantung kepada preparation atau persediaan dan rancangan awal yang jitu dan kemas. Jika tidak, serangan yang dibuat pasti tidak akan berjaya. Selain itu segala perancangan yang dibuat juga adalah secara senyap-senyap atau rahsia supaya musuh mereka iaitu Siam dan sekutunya British tidak dapat menghidu. Ini sesuai dengan pepatah Melayu yang berbunyi, berterang-terang dalam gelap dan bergelap-gelap dalam terang, dan juga menarik rambut dalam tepung, biar rambut tak putus tepung tak berterabur.



Tambahan lagi, selain di Kedah, taktik menyerang musuh dalam keadaan mereka tidak bersedia secara frontal sebegini juga telah digunakan oleh pejuang Batak dibawah pipimpinan Sisingasimangaraja iaitu raja kepada orang-orang Batak di Tapanuli, Sumatera utara. Sisingamangaraja dikatakan sebagai seorang strategis yang amat bijak. Beliau boleh disamakan dengan Tun Perak dan juga Datuk Bahaman kerana pandai menggunakan kelebihan geografi sebagai senjatanya menentang penjajah yang jahil tentang bentuk muka bumi tempatan. Dikatakan bahawa pada tahun 1877 serangan pertama terhadap banteng Belanda di wilayah Bahalbatu telah di jalankan oleh Sisingamangaraja. Menariknya bahawa, serangan ini sebenarnya telah diproklimasikan oleh beliau kepada Belanda sera terbuka, seperti lagaknya seorang pahlawan sejati dengan cara menghantar perutusan. Namun demikian Belanda masih tidak bersedia dan mengambil ringan proklamasi yang dibuatnya. Pada hari yang telah ditetapkan pada tahun tersebut, Sisingasimangaraja telah membahagikan pasukan perangnya kepada tiga kumpulan yang setiap satunya dipimpin oleh seorang panglima, setiap kumpulan ini akan mengambil jalan yang berbeza untuk menuju ke benteng Belanda dan pergerakan dijalankan secara amat rahsia. Mereka bergerak sebelum subuh dan berjaya mengepung kubu Belanda ketika tentera Belanda masih tidur.


lukisan wajah sisingamagaraja.



Tentera Batak telah membunyikan gendang perang yang bertalu-talu untuk memberi semangat kepada pasukannya dan menggemparkan musuh yang sedang tidur. Kemudian tembakan bertalu-talu dihujankan kepada tentera Belanda di dalam kubu. Akibatnya ramai tentera Belanda yang tidak bersedia telah terkorban. Tentera Belanda sebenarnya dikatakan tidak menyangka langsung bahawa pasukan Batak sebegitu kuat dan mempunyai strategi perang sebegitu mantap. Mereka menduga serangan akan dibuat di waktu siang dan bukan dalam waktu subuh yang antara gelap dengan terang. Lebih kurang tujuh minit pasukan Belanda berada dalam keadaan kelam kabut untuk bersedia.



Oleh kerana Sisingamangaraja telah membahagikan serangan kepada tiga bahagian, pasukan Belanda terpaksa menghadapi serangan dari tiga penjuru dan ini melemahkan pertahanan mereka.Salah satu daripada pasukan Sisingamagaraja berjaya merapatkan diri ke kubu musuh dan terjadilah tembak-menembak dalam jarak dekat. Hal ini memberikan kelebihan kepada pasukan Batak kerana mereka menggunakan senapang pemuras yang menggunakan peluru tabur. Senapang pemuras ini amat sesuai digunakan dalam jarak dekat dan dapat membunuh atau mencederakan banyak orang sekali gus. Selain menggunakan pemuras, tentera Batak juga amat mahir menggunakan hudjur atau lembing lontar.


Pahlawan Batak.


Dalam penyerangan ini sepasukan daripada kumpulan Batak telah diarahkan untuk mara ke depan dan melemparkan lembing ke arah tentera Belanda, hal ini menyebabkan tentera Belanda menjadi panik dan ada yang mengundurkan diri untuk mengelak terkena lembing. Satu lagi taktik yang digunakan dalam peperangan ini adalah dengan memancing tentera musuh untuk berlawan dalam tempat terbuka atau keluar dari kubu mereka. Tentera Sisingamangaraja yang menyerang di bahagian selatan telah menggunakan cara ini namun tidak berhasil untuk memancing tentera Belanda keluar daripada kawasan pertahanan mereka. Mereka sengaja membiarkan pasukan Belanda menembak tanpa henti dan tidak membalas tembakan mereka untuk tujuan mengumpan.


Dalam penyerangan di bahagian selatan kubu Belanda, suatu permainan strategi yang lebih menarik telah ditunjukkan oleh panglima Tampubolon iaitu salah seorang daripada panglima tentera SisingamangarajaPanglima Tampubolon dikatakan telah menggunakan taktik sayap untuk menjerat dan memancing musuh menembak dan maju ke hadapan supaya mudah untuk pasukan Batak mencari sasaran. Taktik sayap maju dan mundur ini dianggap berkesan dalam penyerangan tersebut. Pejuang dari sayap kiri tentera Batak telah diarahkan untuk menyerang tanpa henti terhadap pasukan sayap kanan Belanda. Manakala sayap kiri Batak telah diarahkan mundur dan meniarap di tanah untuk bersembunyi dan menembak sekali sekala sahaja.


Cap Mohor Sisingamagaraja yang ditulis dalam aksara batak dan jawi.


Pasukan Belanda telah membalas tembakan dari lubang-lubang kubu dengan hebatnya ke arah sayap kiri Batak. Manakala sayap tengah pula diisyaratkan untuk menghujani pasukan Belanda dengan bedil pemuras tanpa henti. Akibatnya beberapa orang tentera Belanda telah gugur dan ini telah menyebabkan tentera Belanda naik marah dan telah menembak terus-menerus secara membabi buta tanpa mengenai sasaran akibat daripada panik. Kemudian sayap kanan tentera memberi isyarat kepada sayap tengah untuk terus menyerang secara bertubi-tubi terhadap sayap kiri Belanda. Pasukan sayap tengah pula telah diarahkan mara ke hadapan sambil meniarap di tanah dan berselindung diparit-parit untuk menembak musuh yang dapat disasarkan sekali-sekali, serta menanti waktu yang sesuai untuk meneruskan serangan bertubi-tubi.



Akhirnya pasukan Batak berjaya memasuki banteng pertahanan Belanda dan menyerang tentera–tentera Belanda dengan pedang, tombak dan lembing, pasukan Belanda yang terkejut dengan serangan ini telah menembak membuta tul ke arah tentera Batak. Ramai pasukan Batak yang terkorban namun pasukan Belanda juga ramai yang mati. Akhirnya pasukan Batak berundur setelah berjaya membakar banteng tersebut dan merosakkan semua bangunan dan peralatan senjata yang ada di dalamnyaPasukan berkuda Batak telah diarahkan untuk melindungi pasukan infantri Batak yang sedang berundur. Serangan yang dilakukan ini berlangsung selama 7 jam sahaja yang bermula sebelum subuh kira-kira pukul 4 pagi. Dalam serangan ini seramai 200 orang tentera Belanda terkorban dan ramai lagi yang tercedera. Kerugian yang ditanggung Belanda adalah amat besar berbanding tentera Batak


Begitulah sedikit sebanyak tokoh-tokoh strategis perang Melayu nusantara yang telah saya utarakan dalam tulisan kali ini bersama dengan starategi dan siasat perang atau taktik yang dipraktiskan oleh mereka dalam peperangan. Diharapkan artikel ini memberi manfaat untuk anda semua, dan jangan lupa nantikan artikel seterusnya. Sekian, Wallah hu a'lam.



sumber: