Perhatian


Kebanyakan post di dalam blog ini disalin dari posting dari sahabat-sahabat blogger lain untuk rujukan saya pada masa akan datang. Jadi saya lampirkan sekali link ke post asal bagi menjaga hakcipta post serta memudahkan anda dan saya ke post asal. Harap Maklum

Monday, July 11, 2011

Klinik kasut - pusat membaiki kasut dan barangan kulit di Kota Bharu


Poster klinik kasut yang unik


Sejak tahun lalu, beberapa gejet yang saya miliki tidak dapat digunakan dengan sempurna disebabkab beg yang digunakan untuk membawanya telah rosak. bukan rosak seperti rosaknya sebuah laptop jatuh dari tingkat 8 KELANTAN TRADE CENTRE tetapi beg yang digunakan untuk membawanya tidak dapat dikunci dengan rapi kerana penguncinya telah patah. Aduh, masalah ini kelihatan kecil namun membawa masalah besar juga kerana memberikan risiko yang besar kepada gejet saya yang selalu dikilik ke sana ke mari. Maka, duduklah D80 diam-diam tanpa diketik shutternya.

Namun masalah saya selesai apabila berbual dengan seorang penjual sotong gelek di uptown Kota Bharu di kawasan pasar Siti Khadijah ketika saya berjalan-jalan dengan isteri yang baru saya nikahi pada awal bulan itu. Pakcik yang menjual sotong itu pada waktu pejabat kerjanya membaiki kasut berhampiran stesen bas. Beg kamera saya sudah lama begitu, jadi saya meringankan mulut bertanya kalau-kalau pakcik tersebut boleh membaikinya. Jawapan yang saya  terima ialah tidak, namun saya meringankan mulut bertanya lagi kalau-kalau ada tempat lain yang boleh menyempurnakan hasrat saya. Beliau menyebut klinik kasut berhampiran dengan ARKED UDA. Ini bukan kali pertama saya mendengarnya, tetapi daripada petunjuk yang diberikan sebelum ini, saya tidak menjumpai tempat tersebut.

Dengan petunjuk yang baru ini saya berazam mencari klinik kasut ini sehingga jumpa dengan hasrat beg kamera juga beg laptop yang dihadiahkan oleh isteri saya sebelum kami bergelar suami isteri. Keesokan harinya 27 Jun 2011, saya dengan hati yang tekad melancarkan misi mencari klinik kasut yang dikatakan. selepas check in di pejabat, pada jam 10 pagi saya menyatakan pemergian saya kepada staf di pejabat saya dan seterusnya saya terus menuju ke ARKED UDA. Dari ARKED UDA, saya bertanya pada peniaga kedai baju melayu, songket dan songkok lelaki. Teringat pula baju yang dipakai pada hari penikahan saya dibeli di situ. Terima kasih makcik, cantik baju melayu berbutang 5 yang saya pakai pada majlis menyambut menantu itu. Tidak perlu ditempah dengan harga yang mahal. Malah lebih murah dari disewa di butik. Boleh dipakai untuk hari raya tahun ini.

Saya meneruskan perjalana ke Jalan Che Su, namun masih belum kelihatan klinik kasut yang dikatakan. Eh, betul ke ni? Gusar saya dalam hati. Teringat pesan orang tua supaya apabila berjalan atau merantau, perlu 'bawa mulut'. Bawa mulut di sini bukannya bererti mencangan fitnah atau keburukan orang lain merata-rata tetapi tidak malu untuk bertanya atau menegur orang lain. Malu bertanya sesat jalan, malas menggarit perut perit. Kini saya mendapat petunjuk baru. SMART READER. Saya terus berjalan menuju ke SMART READER, apabila melepasi SMART READER, pada bangunan seterusnya kelihatan sebuah poster besar SHOE CLINIC dengan ilustrasi kasut but kulit bertampal.
Kedudukan klinik kasur di bangunan sebelah SMART READER

Rupa klinik kasut dari hadapan, perhatikan imej kasut but yang besar menarik perhatian semua orang

Apabila masuk ke dalam saya kagum dengan kelengkapan yang ada di kedai tersebut. Memang boleh dibuat kilang kasut mahupun kilang menjahit barangan kulit lain seperti handbag dan sebagainya. Niat saya pada asalnya cuma ingin menukar pengunci 'ketah' pada beg laptop dan kamera saya. Melihatkan kemudahan yang ada maka saya meminta tukang di kedai itu mengubahsuai pelapik bahu pada beg kamera daripada kain yang sudah terkoyak kepada kulit yang tahan lasak.
Pelapik bahu yang sudah di 'upgrade' kepada kulit

Abg Kamal bersama mesin jahit yang digunakan bagi menjahit kulit
Pakcik Jamal menjahit timbunan kasut dalam masa sehari
Koleksi perhiasan antik dan retro memenuhi ruangan kedai
Saya tidak pasti mesin apakah ini, tapi sangat unik

Mesin tua yang banyak berjasa kepada tuannya

Hasilnya, 2 beg kepunyaan saya yang tidak dapat digunakan pada asalnya yang mengumpul debu selama ini boleh digunakan semula. Saya akan kembali kepada hobi yang dulu...