Perhatian


Kebanyakan post di dalam blog ini disalin dari posting dari sahabat-sahabat blogger lain untuk rujukan saya pada masa akan datang. Jadi saya lampirkan sekali link ke post asal bagi menjaga hakcipta post serta memudahkan anda dan saya ke post asal. Harap Maklum

Saturday, March 23, 2013

Menyertai Pertubuhan Silat

Pengalamanku bersama beberapa pertubuhan silat juga antara pengalaman berharga dalam hidup yang tidak dapat ditukarkan dengan nilaian harta dan wang ringgit.

Pada zaman sekolah, aku amat tertarik bagi menertai persatuan seni beladiri. Semasa sekolah menengah di tingkatan 1, aku ada menyertai pertubuhan silat tapi, mungkin aku kurang sabar dengan latihan yang diterima. Maka hanya menuntut sekerat jalan.

Masuk tingakatan 2, pada awal tahun, aku kembali menyertai pertubuhan ini, tetapi juga hangat-hangat tahi ayam. Hehe... aku angkat kaki lagi. Barangkali memang aku tidak ditakdirkan belajar silat pada waktu itu. Namun sekiranya terdapat persembahan oleh ahli-ahli Silat dan Taekwondo di sekolah, aku tidak pernah ketinggalan menyaksikannya.

Masuk ke Matrikulasi, tiada kegiatan silat yang ada hanyalah ko-kurikulum kawad. Pada waktu petang, biasanya aku menghabiskan waktu dengan bermain bola keranjang. Menyambung kegilaan Bola Keranjang semasa di sekolah menengah.

Apabila masuk ke universiti, sekali lagi aku berangan-angan menyertai pertubuhan silat atau PALAPES. Dalam tinjauan yang dibuat keatas universiti-universiti seluruh Malaysia, ada banyak jenis pertubuhan silat yang aktif di universiti.

Apabila mendapat keputusan UPU, aku ditawarkan ke KUKUM@UniMAP, sebuah universiti yang baru berusia setahun jagung. PALAPES masih tiada, tetapi ada kokurikulum silat cekak. Aku bersyukur dipertemukan dengan pertubuhan ini dan kali ini aku meneruskannya sehingga tamat pengajian, tidak lagi hangat-hangat tahi ayam seperti zaman sekolah.

Bersama skuad Perlis 2005 dalam kejohanan senibeladiri kebangsaan di Johor Bharu

Penyertaanku dalam pertubuhan silat membuka minda mengenai ketinggian ilmu orang melayu dan apabila tamat pengajian di universiti, aku banyak bergaul dengan sahabat-sahabat pencinta silat di kampung dan kami banyak berbincang dan bermuzakarah mengenainya





Ada beratus malah mungkin beribu-ribu pertubuhan silat yang wujud di bumi Melayu ini dengan keunikan tersendiri. Janganlah kiranya kita mencaci pertubuhan lain dan merasakan pertubuhan kita paling baik. Ilmu itu begitu luas, jika digambarkan dengan air di lautan, ilmu yang ada pada kita tidak sampai setitik pun.

Silat membawa aku bukan sahaja beladiri, malah lebih dari itu memahamkan asal usul diri, kelemahan diri dan yang paling penting mengenali pencipta.

Pada aku jika ditanya apakah perguruan silat yang paling baik untuk dipelajari saya akan menjawab, "silat yang terbaik adalah yang gelanggangnya paling dekat dengan rumah, kerana senang untuk turun berlatih dan berjumpa dengan guru".

No comments: