Perhatian


Kebanyakan post di dalam blog ini disalin dari posting dari sahabat-sahabat blogger lain untuk rujukan saya pada masa akan datang. Jadi saya lampirkan sekali link ke post asal bagi menjaga hakcipta post serta memudahkan anda dan saya ke post asal. Harap Maklum

Wednesday, April 10, 2013

Tinggal di asrama

Meninggalkan keluarga dengan tinggal di asrama adalah satu perkara yang amat sukar. Tetapi entah mengapa pada zaman persekolahan, aku sangat teruja untuk tinggal di asrama walaupun aku sudahpun ditempatkan di sebuah sekolah agama yang boleh dikira terbaik di seluruh negeri Terengganu. Tetapi kerana teruja untuk tinggal di asrama, aku rela melepaskan sekolah tersebut dan pindah di sekolah baru di daerah Dungun, yang memakan masa 1 jam perjalanan dari Kuala Terengganu memandangkan sekolah sebelum ini hanya berjarak 4 km dari rumah dan peruntukan untuk asrama sangatlah terhad, khas untuk pelajar di luar daerah Kuala Terengganu sahaja.

Jika difikir-fikir semula, menyesal pun ada. Tak mengapa, semua itu sudah berlalu dan ini semua sudah ditakdirkan kepadaku. Tinggal di asrama memang mendidik diri ini menjadi jauh lebih berdikari. Pakaian, barangan, serta makan minum semua diuruskan sendiri. Dari segi ini sangat bagus, tetapi ada juga negatifnya bila sudah terlalu independence, timbul perasaan tidak lagi perlukan ibu bapa.

Biasalah, budak baru meningkat remaja, baru kenal dunia. Keluarga aku pula bukan dari golongan yang berada, kereta pun tiada. Setiap hujung minggu, aku selalu melihat keluarga sahabat-sahabat lain yang datang menziarahi anak kesayangan mereka. Datang membawa makanan serta keperluan lain. Kadang-kadang, ada juga pelajar yang kurang rajin menggunakan khidmat dobi keluarga setiap hujung minggu. Biasanya berlaku kepada pelajar yang berasal dari kawasan berdekatan, dalam daerah Dungun juga.

Macam-macam jenis kawan aku temui, ada yang samseng kononnya, ada yang baik, ada yang manja dan brutal. Kehidupan ini sangat asing bagiku, aku sejujurnya tidak dapat menyesuaikan diri hidup begini. Aku tidak terdedah sangat dengan kehidupan sosial di asrama sebelum ini kerana berada dalam lingkungan keluarga sedari kecil. 

 Jika dirumah, ada sahaja unsur negatif, akan cepat dikesan oleh ibu bapa dan sebagai anak, aku tidak sanggup mengecewakan hati mereka, jika ada perkara yang ingin dilakukan, tetapi tidak berkenan di hati mereka, aku buat juga, tapi seboleh-boleh disorok dari pengetahuan. Bila di asrama, pandai-pandai sendiri. Pengaruh kawan amat penting. Benar kata-kata yang menyebut cerminan kepada diri sendiri adalah kawan.

Di usia ini, remaja sememangnya sedang mencari identiti sendiri. Dari gaya berpakaian, bersukan, bersosial. Aku juga ikut terpengaruh kerana mahu juga mendapat tempat dalam masyarakat asrama. Mahu juga dikenali. Itulah antara bisikan-bisikan hati yang sering bermain dalam minda aku. 

Aku sebenarnya sangat beruntung kerana dihantar di sekolah agama, kerana pendidikan dan pendedahan agama menjadi benteng terakhir dalam diri. Terima kasih kepada kedua ibu-bapaku yang berusaha mendapatkan pendidikan terbaik untuk anakmu. Walaupun aku tidak semewah pelajar lain, tapi aku tak pernah mengeluhm kerana aku faham segala kesusahan yang dihadapi oleh keluargaku yang bergantung penuh dengan kerja ayah sebagai anggota polis lain-lain pangkat.

Setiap kali waktu solat kami diwajibkan bersolat berjemaah di masjid. Tetapi biasalah, kami selalu liat. Ada sahaja jalan untuk mengelak. Waktu subuh, ada hari-hari tertentu yang mana warden selaku ustaz yang ditugaskan untuk handle. Seingat aku hari selasa. Terdengar sahaja bunyi enjin motornya boleh membuatkan jantung berdebar. Mana tidaknya, setiap kali datang mengejutkan kami untuk solat subuh, ustaz ini akan membunyikan hon yang sangat membingitkan telinga. Kemudian, dia akan masuk ke setiap dorm dan mengejutkan seorang demi seorang. Diketuknya pintu dorm, tak cukup dengan itu tangannya selalu berbekalkan baldi dan gayung sedia untuk mengejutkan mereka-mereka yang liat untuk bangkit solat subuh.

Bila tiba di masjid, time ustaz ni kalau ada yang masbuk siaplah berdepan dengan denda yang rasanya tidaklah sakit mana tetapi malu bila diperlakukan di hadapan seluruh pelajar termasuklah pelajar perempuan. Tak kena gaya, diperiksa pula mengikut dorm masing-masing. Kalau tak cukup siaplah, kantoi tak ke masjid, cari sampai dapat. Macam-macam helah, ada yang solat dalam dorm, solat di tangga. Heheh.. kenangan.. kenangan..

No comments: