Perhatian


Kebanyakan post di dalam blog ini disalin dari posting dari sahabat-sahabat blogger lain untuk rujukan saya pada masa akan datang. Jadi saya lampirkan sekali link ke post asal bagi menjaga hakcipta post serta memudahkan anda dan saya ke post asal. Harap Maklum

Monday, August 15, 2011

PERANAN ULAMA DALAM SILAT: Koleksi artikel ALLAHYARHAM WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH


BARANGKALI perbicaraan yang menyentuh secara langsung tentang persilatan adalah masih sangat langka. Keterlibatan penulis dalam membicarakan perkara persilatan ini juga amat sedikit berbanding penulisan-penulisan selainnya.

Oleh itu, kelemahan-kelemahan dalam perbicaraan ini rasanya sangat banyak, apatah lagi dunia persilatan hanyalah penulis kenali sewaktu masih kanak-kanak dan ditinggalkan begitu lama, sejak tahun 1960-an.

Jenis-jenis silat memang banyak penulis ketahui, namun penulis bukanlah seorang pelajar mengenai bidang itu secara tekun tetapi hanyalah sebagai pemerhati saja. Di antara silat-silat yang penulis ketahui ialah Silat Pengian, Silat Kuntau, Silat Harimau, Silat Buton Kalidupa, Silat Bugis Bone, Silat Sinding, Silat Pukul Tujuh, Silat Minangkabau, Silat Cekak, Silat Gayung, Silat Gayung Patani, Silat Abjad dan Al-Mu'azat.

Peranan ulama dalam silat hanya dapat penulis tonjolkan kepada pemikiran Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani dan keterlibatanSheikh Abdus Shamad al-Falimbani dalam jihad fi sabilillah.

Kedua-dua ulama besar yang sangat terkenal itu dipercayai menggunakan 'senjata' qalam untuk mengajar umat Melayu dna juga senjata pedang unutk perjuangan di medan jihad fi sabilillah demi mempertahankan kesucian Islam dan watan daripada penjajah.

Jika kita anggap ilmu silat adalah untuk mempertahankan diri peribadi, jihad pula adalah mempertahankan Islam dan tanah air.

Jadi kedua-dua ulama kita itu adalah lebih agung, kerana banyak jenis silat yang dikuasainya. Yang dimaksudkan di sini ialah:
  • silat menggunakan qalam/pena,
  • silat kalam/lidah,
  • silat menggunakan siasah/politik, dan lain-lain termasuklah
  • silat ketangkasan di medan juang yang sebahagiannya dijadikan sebagai satu cadang seni atau budaya.

Pelajaran silat dalam Kerajaan PontianakTidaklah janggal pada kesempatan ini penulis mulakan petikan mengenai silat yang termaktub dalam sebuah manuskrip "Syair Kerajaan Pontianak".

Kerajaan Pontianak (Indonesia) memang bukan dalam Malaysia, tetapi adalah sebuah kerajaan Melayu yang didirikan oleh Syarif Abdur Rahman bin Habib Husein al-Qadri yang direstui dan dirasmikan oleh pahlawan Melayu-Bugis, Raja Haji bin Upu Daeng Celak.

Raja Haji pula adalah seorang pahlawan Melayu agung sesudahHang Tuah, kerana hampir keseluruhan negeri-negeri Melayu pernah dikunjunginya. Akhir riwayat Raja Haji gugur sebagai syahid fi sabilillah di Teluk Ketapang, Melaka.

Syair Kerajaan Pontianak ditulis beberapa tahun setelah berdirinya Kerajaan Melayu-Islam Pontianak, dalam petikan tersebut juga jelas mencerminkan minat dan kesungguhan Sultan Syarif Abdur Rahman bin Habib Husein al-Qadri terhadap seni dan budaya silat. Untuk lebih jelas dan merupakan dokumen sejarah persilatan Melayu, Bab Silat dalam Syair Kerajaan Pontianak penulis sebutkan beberapa petikan awal darinya, iaitu:

Setelah sudah berperi-peri,
baginda berangkat lalu berdiri
Panggilkan Mat Raiyat suruh ke mari,
serta dengan Wan Bakari.
Wan Ahmad, Wan Bakar datanglah sudah,
kepada baginda tunduk menyembah
Dengan segeranya baginda bertitah,
Adalah sedikit hendak diperintah.
Baginda tersenyum seraya berkata,
Jikalau suka rasanya cita
Tuan-tuan yang muda ajarkan kita,
diajarkan silat bermain senjata.
Tuan ajarkan padan-padan,
boleh dilihat usulnya badan
Bagaimana di dalam contoh teladan,
yang mana patut main di medan.
*Tulisan Sheikh Daud Abdullah Al-Fathani mengenai jihad dalam Islam

Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani adalah ulama besar dunia Melayu yang terlibat langsung bersama-sama Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani dalam medan jihad melawan pencerobohan Siam di bumi Patani Darus Salam.

Tulisan-tulisan beliau mengenai hukum jihad telah penulis perkenalkan dalam penulisan-penulisan sebelum ini, di mana jelas menggambarkan bahawa Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathaniadalah seorang ulama pejuang Islam sebenar dan sejati serta bertanggungjawab terhadap ummah dan watan Melayu daripada segala macam bentuk penjajahan kuffar.

Sebagai tambahan, di sini penulis petik pula pandangan Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani tentang jihad yang beliau tulis dalam kitab Bughyat at-Thullab.

Transliterasi selengkapnya ialah: "Dan setengah daripadanya, perang sabil bagi kuffar, yakni wajib bagi Imam itu pergi perang kepada negeri mereka itu, maka iaitu fardu kifayah dengan ijmak. Atau Naib Imam pergi dengan tentera kerana perang bagi mereka itu.

"Atau diperbaiki akan kota yang antaranya dan antara negeri mereka itu, serta diteguhkan dia, dan ditaruhkan senjatanya, dan orang yang menunggu padanya sekira-kira memadai melawan akan mereka itu. Maka hendaklah diperbuat akan salah suatu daripada keduanya maka gugurlah fardu kifayahnya. Ini jika tiada mereka itu datang kepada negeri kita.

"Maka jika datang ia kepada negeri Islam maka jadilah fardu ain atas tiap-tiap seorang daripada negeri yang ia masuk itu, hingga perempuan dan sahaya orang ... " (Bughyat at-Thullab, jilid 1, hlm. 95).

Ulasan dan pandangan, daripada kalimatnya "Maka jika datang ia kepada negeri Islam ... " dapat kita bandingkan peristiwa penjajahan bangsa Barat-Belanda dan Inggeris di dunia Melayu pada zamanSheikh Daud bin Abdullah al-Fathani dengan peristiwa Amerika, pengganas terbesar dunia, yang telah menjajah Afghanistan dan Iraq.

Sebagaimana telah disebutkan bahawa Belanda dan Inggeris telah menjajah dunia Melayu, perlu pula dinyatakan di sini bahawa Patani juga tidak terlepas daripada dijajah, bukan oleh bangsa Barat tetapi oleh Siam. Semua penjajah yang tersebut adalah bukan agama Islam kerana mereka telah menjajah negeri Islam.

Oleh itu, menurut Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani pada sambungan kalimat di atas bahawa "jadilah fardu ain atas tiap-tiap seorang daripada negeri yang ia masuk itu, hingga perempuan dan sahaya orang ..." berperang atau jihad terhadap mereka. Bangsa-bangsa yang telah menjajah dunia Melayu, adalah bukan beragama Islam.

Oleh itu fenomena yang berlaku sekarang, tuduhan umat Islam sebagai pengganas adalah tidak berasas sama sekali, kerana tidak terdapat dalam sejarah bahawa bangsa-bangsa yang beragama Islam datang menjadi penjajah di dunia Melayu.

Sebenarnya bangsa-bangsa penjajah itulah yang layak dilabelkan sebagai pengganas atau terrorist atau penzalim. Gelaran tersebut terdapat dua golongan yang sedang bermusuhan, yang pertama ialah pengganas yang sedang berkuasa (pemerintah) dan yang kedua ialah pengganas yang tidak berkuasa (rakyat).

Perjuangan jihad yang pernah dilakukan oleh ulama kita sepertiSheikh Abdus Shamad al-FalimbaniSheikh Daud bin Abdullah al-Fathani, dan lain-lain tidak dapat disamakan dengan kedua-dua golongan pengganas yang tersebut di atas, kerana jihad Islam adalah cukup jelas berdasarkan perintah daripada Allah dan para Rasul-Nya. Siapa saja yang berjihad menurut perintah Allah dan Rasul-Nya adalah benar, tidak terdapat keraguan di dalamnya.

Oleh itu, wajib dipertahankan kebenaran dan kesuciannya daripada pentafsiran-pentafsiran yang tidak betul disusun demikian rapi oleh pihak-pihak tertentu yang telah merasa lazat makanan dan minuman segar tetapi beracun yang mereka peroleh dari musuh-musuh Islam.

Mengenai membuat persiapan sebagai benteng pertahanan dapat kita ketahui dari kalimat beliau, "Atau diperbaiki akan kota yang antaranya dan antara negeri mereka itu, serta diteguhkan dia ...".

Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani menyentuh pula tentang persiapan persenjataan dengan sambungan kalimatnya "dan ditaruhkan senjatanya" maksudnya bahawa dalam benteng pertahanan perlulah ada tersimpan persenjataan yang cukup dan siap digunakan apabila diperlukan.

Patriotik bangsa adalah sangat diperlukan, yang beliau gambarkan pada sambungan kalimatnya "dan orang yang menunggu padanya sekira-kira memadai melawan akan mereka itu". Kalimat ini dapat dihubungkaitkan dengan "ilmu silat" kerana orang Melayu yang sanggup melawan musuh pada zaman itu perlu mempunyai ketangkasan.

Ketangkasan dalam bentuk fizik adalah mempelajari ilmu silat. Dan tidak dapat dinafikan diperlukan "kekuatan dalaman" atau "mental" atau "rohani". Baik Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani mahu punSheikh Daud bin Abdullah al-Fathani juga pernah mengijazahkan wirid-wirid pertahanan diri untuk menghadapi musuh dalam peperangan.

Wirid pertahanan diri Sheikh Abdus Shamad Al-FalimbaniUntuk memantapkan keyakinan diri menghadapi jihad, dalam karyanya berjudul Mulhik fi Bayanil Fawa'id an-Nafi'ah fil Jihadi fi Sabilillah atau judul terjemahan oleh Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani sendiri iaitu "Suatu Perhubungan Pada Menyatakan Akan Beberapa Faedah Di Dalam Perang Sabilillah", beliau membahagi dalam risalah tersebut kepada empat bahagian, iaitu:
  • Faedah Yang Pertama Pada Menyatakan Ayat Quran Yang Jadi 'Azimat Yang Manfaat Di Dalam Perang Sabilillah, Dan Peliharaan Yang Menegahkan Daripada Kejahatan Orang Kafir.
  • Faedah Yang Kedua Pada Menyatakan Doa Yang Manfaat Di Dalam Perang Sabilillah Dan Lainnya.
  • Faedah Yang Ketiga Pada Menyatakan Doa Yang Membinasakan Bagi Segala Seteru, Dan Bagi Sejahtera Daripada Kejahatan Seteru.
  • Faedah Yang Keempat Pada Menyatakan Doa Membinasakan Seteru, Dan Segala Kafir, Dan Bagi Sejahtera Daripada Kejahatan Mereka Itu.

Salah satu amalan Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani pernah diterima oleh pahlawan Mat Kilau. Mengenai ini termaktub dalamKitab Mat Kilau, cetakan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad, 1970, hlm. 23, iaitu "Ini doa diambil daripada Sheikh Abdus Shamad Palembang, siapa yang mengamalkan doa ini nescaya tidak mengenai padanya pedang, atau panah, atau segala rupa kejahatan dari seteru ... "Yang disebut dalam Kitab Mat Kilau itu memang termaktub dalam karya Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani tersebut yang beliau tempatkan pada Faedah Yang Kedua.

Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani telah menterjemahkan wirid untuk perang itu daripada bahasa Arab ke bahasa Melayu. Dalam empat buah karangan Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani juga membicarakan wirid yang sama, di antaranya dalam kitab Mun-yat al-Mushalli. Selengkapnya lihat Mun-yat al-Mushalli yang telah penulis transliterasi (lihat terbitan Khazanah Fathaniyah, Kuala Lumpur, 1424 H/2003 M hlm. 96-98).

Walau bagaimanapun, tidak terdapat terjemahan wirid itu olehSheikh Daud bin Abdullah al-Fathani seperti yang dilakukan olehSheikh Abdus Shamad al-Falimbani. Perlu juga penulis sentuh di sini bahawa dalam terjemahan wirid Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani tersebut ada hubungkait dengan persilatan. Bahawa ilmu silat yang pernah penulis pelajari adalah melalui tiga jalan, iaitu:
  • Belajar secara fizik di gelanggang.
  • Belajar wirid-wirid yang boleh mendatang gerak dengan sendirinya.
  • Mengabungkan pelajaran fizik dan wirid.

Pada Faedah Yang Keempat wirid Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani terdapat satu doa yang sama dengan yang diamalkan dalam Silat Al-Mu'azat. Walaupun dalam Silat Al-Mu'azat tidak mempelajari gerak fizik, tetapi apabila mengamalkan wirid, maka gerak fizik akan datang dengan sendirinya.

Silat Al-Mu'azat pernah dikembangkan di Johor oleh Raja Haji Muhammad Yunus Ahmad dalam tahun 1970-an. Wirid yang diamalkan oleh Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani, yang sama dengan amalan dalam Silat Al-Mu'azat itu, lebih lengkap ditulis olehSheikh Daud bin Abdullah al-Fathani dalam kitab Ward az-Zawahir (lihat hlm. 189).

Kesimpulan dan penutup
Dari semua yang telah dibicarakan di atas penulis berpendapat bahawa:
  • Seni dan budaya persilatan diajarkan dalam dua bentuk, iaitu dalam gerak fizik dan kerohanian.
  • Ilmu persilatan yang menggunakan wirid, hizib, doa, dan yang sejenis dengannya adalah berasal dari ajaran Islam yang benar. Sebaliknya tidak dapat dinafikan terdapat juga yang menggunakan mantera, jampi, serapah, dan yang sejenis dengannya. Mengenai ini sukar dijejaki sumber-sumber asal hingga ke atasnya. Oleh itu, ada yang boleh diamal dan digunakan. Sebaliknya ada pula yang mengandungi unsur khurafat yang menjerumuskan ke arah syirik yang bertentangan dengan akidah Islam.
  • Ulama-ulama Nusantara yang terlibat dalam jihad fi sabilillah mempunyai asas ilmu menggunakan senjata. Mereka memiliki ilmu ketahanan diri yang bersambung dari satu guru ke satu guru hingga sampai kepada pahlawan-pahlawan Islam terdahulu bahkan sumber amalan ada yang berasal dari Rasulullah SAW sendiri.
  • Ulama-ulama Nusantara yang melakukan jihad fi sabilillah demi untuk memperjuangkan Islam dan mempertahankan negeri-negeri Melayu dari dijajah oleh bangsa yang bukan Islam adalah wajib diteruskan secara bersambung dari satu generasi ke generasi yang berikutnya.

Sekianlah yang dapat disampaikan pada ruangan kali ini, mudah-mudah kita dapat menghidupkan seni dan budaya yang dibenarkan syarak dan mengetepikan apa saja seni dan budaya yang bertentangan dengan syarak.

Mudah-mudahan hanya pemikiran ulama yang betul saja yang menjadi ikutan dan pemikiran yang tiada betul walau dari siapa pun datangnya supaya dihindari oleh-Nya.

sumber

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0615&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_03.htm

http://terlak4.blogspot.com/2009/08/peranan-ulama-dalam-silat-koleksi.html

Saturday, August 13, 2011

Pahlawan Melayu



SINGA ALLAH HARIMAU MUHAMMAD
Pahlawan Melayu bermulanya di hati tegak tangkas pencaknya sebagai mentera keramat dan gelanggangnya tanah, angin dan bumi melangkah ke kancah gemalai giur tubuh sukar ditelah gerak tari langkah silatnya tidak mudah terserlah.Juga tidak mudah marah kerana itu membawa padah kerana rakus itu membuatkannya hilang tumpuan tanpa pedoman dan arah ketika berdepan dengan seteru.
Begitu juga pencak silat Melayu banyak bunga dan buah lenggang lenggok tubuhnya sendiri penuh segelanggang diselang seli pantun ketawa sindir bengis menjadi inti, masih juga keris Pahlawan Melayu tidak dihunus, tetap parang, badik dan kerambitnya kaku tersisip.
Pahlawan Melayu pada pakaian tanjak tengkolok semutar dan kain sebai sebidang terikat di pinggang terselit kesabaran dalam pertarungan Jarang Pahlawan Melayu mengamuk jarang Pahlawan Melayu hilang pertimbangan kerana akal budi firasat dan gerak hatinya sudah tentu mendalam jauh ke hadapan menusuk mata lawan.Menghitung detik dan ketikanya diiringi bunga silat dan tajam renung matanya.

INSYA ALLAH TIDAK MELAYU HILANG DI DUNIA

Semangat dan budaya Melayu sudah sedemikian menjadi mantera warisan tidak derhaka dan tidak tunduk sahaja bukan kerana dayus hina dek kerana dada tidak berisi… sekadar segenggam besi waja panasnya mengambil masa pabila ia menjadi merah …barulah Pahlawan Melayu yang tersohor akan bingkas bertempik menerjah lawannya lalu keris lok sembilan itu gila ditusuk ke dada lawan.
 Pahlawan Melayu lemah lembut gerak budi dan tutur bahasa kerana itu budaya keramat bangsa kita Jangan disentuh jangan digoda dicerca kerana bila musuh rakus itu digempur maka darah mandiannya Kilat dan guruh sifat dirinya jangan disenda dan dengan kalimah Allah ramuan doanya Amuk Pahlawan Melayu pasti menggila.

sumber:

Monday, July 11, 2011

Klinik kasut - pusat membaiki kasut dan barangan kulit di Kota Bharu


Poster klinik kasut yang unik


Sejak tahun lalu, beberapa gejet yang saya miliki tidak dapat digunakan dengan sempurna disebabkab beg yang digunakan untuk membawanya telah rosak. bukan rosak seperti rosaknya sebuah laptop jatuh dari tingkat 8 KELANTAN TRADE CENTRE tetapi beg yang digunakan untuk membawanya tidak dapat dikunci dengan rapi kerana penguncinya telah patah. Aduh, masalah ini kelihatan kecil namun membawa masalah besar juga kerana memberikan risiko yang besar kepada gejet saya yang selalu dikilik ke sana ke mari. Maka, duduklah D80 diam-diam tanpa diketik shutternya.

Namun masalah saya selesai apabila berbual dengan seorang penjual sotong gelek di uptown Kota Bharu di kawasan pasar Siti Khadijah ketika saya berjalan-jalan dengan isteri yang baru saya nikahi pada awal bulan itu. Pakcik yang menjual sotong itu pada waktu pejabat kerjanya membaiki kasut berhampiran stesen bas. Beg kamera saya sudah lama begitu, jadi saya meringankan mulut bertanya kalau-kalau pakcik tersebut boleh membaikinya. Jawapan yang saya  terima ialah tidak, namun saya meringankan mulut bertanya lagi kalau-kalau ada tempat lain yang boleh menyempurnakan hasrat saya. Beliau menyebut klinik kasut berhampiran dengan ARKED UDA. Ini bukan kali pertama saya mendengarnya, tetapi daripada petunjuk yang diberikan sebelum ini, saya tidak menjumpai tempat tersebut.

Dengan petunjuk yang baru ini saya berazam mencari klinik kasut ini sehingga jumpa dengan hasrat beg kamera juga beg laptop yang dihadiahkan oleh isteri saya sebelum kami bergelar suami isteri. Keesokan harinya 27 Jun 2011, saya dengan hati yang tekad melancarkan misi mencari klinik kasut yang dikatakan. selepas check in di pejabat, pada jam 10 pagi saya menyatakan pemergian saya kepada staf di pejabat saya dan seterusnya saya terus menuju ke ARKED UDA. Dari ARKED UDA, saya bertanya pada peniaga kedai baju melayu, songket dan songkok lelaki. Teringat pula baju yang dipakai pada hari penikahan saya dibeli di situ. Terima kasih makcik, cantik baju melayu berbutang 5 yang saya pakai pada majlis menyambut menantu itu. Tidak perlu ditempah dengan harga yang mahal. Malah lebih murah dari disewa di butik. Boleh dipakai untuk hari raya tahun ini.

Saya meneruskan perjalana ke Jalan Che Su, namun masih belum kelihatan klinik kasut yang dikatakan. Eh, betul ke ni? Gusar saya dalam hati. Teringat pesan orang tua supaya apabila berjalan atau merantau, perlu 'bawa mulut'. Bawa mulut di sini bukannya bererti mencangan fitnah atau keburukan orang lain merata-rata tetapi tidak malu untuk bertanya atau menegur orang lain. Malu bertanya sesat jalan, malas menggarit perut perit. Kini saya mendapat petunjuk baru. SMART READER. Saya terus berjalan menuju ke SMART READER, apabila melepasi SMART READER, pada bangunan seterusnya kelihatan sebuah poster besar SHOE CLINIC dengan ilustrasi kasut but kulit bertampal.
Kedudukan klinik kasur di bangunan sebelah SMART READER

Rupa klinik kasut dari hadapan, perhatikan imej kasut but yang besar menarik perhatian semua orang

Apabila masuk ke dalam saya kagum dengan kelengkapan yang ada di kedai tersebut. Memang boleh dibuat kilang kasut mahupun kilang menjahit barangan kulit lain seperti handbag dan sebagainya. Niat saya pada asalnya cuma ingin menukar pengunci 'ketah' pada beg laptop dan kamera saya. Melihatkan kemudahan yang ada maka saya meminta tukang di kedai itu mengubahsuai pelapik bahu pada beg kamera daripada kain yang sudah terkoyak kepada kulit yang tahan lasak.
Pelapik bahu yang sudah di 'upgrade' kepada kulit

Abg Kamal bersama mesin jahit yang digunakan bagi menjahit kulit
Pakcik Jamal menjahit timbunan kasut dalam masa sehari
Koleksi perhiasan antik dan retro memenuhi ruangan kedai
Saya tidak pasti mesin apakah ini, tapi sangat unik

Mesin tua yang banyak berjasa kepada tuannya

Hasilnya, 2 beg kepunyaan saya yang tidak dapat digunakan pada asalnya yang mengumpul debu selama ini boleh digunakan semula. Saya akan kembali kepada hobi yang dulu...

Tuesday, June 21, 2011

KERIS ITU MELAYU - MELAYU ITU KERIS

sumber:
http://zainamy.multiply.com/photos/album/236/KERIS_ITU_MELAYU_MELAYU_ITU_KERIS


Dewan Budaya Feb 2007
Artikel bertujuan menghuraikan makna dan falsafah salah satu simbol budaya Melayu iaitu keris...

Komen Pendita Azlan Ghanie (daripada Facebook beliau) berkenaan falsafah keris .....
"Benar En Zainal. Apapun untuk menceritakan mengenai falsafah kepada generasi sekarang bukan mudah. Untuk menceritakan satu falsafah... mengangkat keris, perlu mengambil masa 10 tahun dengan pelbagai pengisian asas.
Saya bukan pengumpul keris. Saya pengamal... saya tidak pandang kecantikan, saya ingin kesedapan dan keserasian.
Mengenai keris mengenali Melayu. Tidak mudah dipengaruhi tetapi bila sudah dipegang pasti digenggam.
Saya ada berbicara dengan Emil (penulis Semangat Keris Melayu) ketika beliau berkunjung ke pejabat 3-4 hari lalu, perlu tahu apa yang dicakap (juga tulis) mengenai keris. Kerana keris bukan direka tetapi diilham dari rasa...
Matanya 'masuk', sampir 'berasal', ulu - 'aku'. begitu antara cebisan ringkas.
Begitu antara diketahui... keris Raja kuasanya diangkat, keris hulubalang digenggam membela daulat."


km cover
  

km editor
 1 Comment 

km1
  

km2
  

km3
  

km4
  

km5
  

km6
  

km7
  

ADAT DAN ADAB MELAYU

ADAT & ADAB
Oleh AZLAN GHANIE

Dalam silat ada adat dan adabnya, dan ia melambangkan budaya adab tradisi sesebuah bangsa yang bertamadun.

Adat membawa erti ‘cara’ atau ‘kebiasaannya’ manakala adab pula melambangkan ‘perbuatan’ atau ‘disiplin’. Sebagai contoh, adat bangsa Melayu makan nasi atau mengambil makanan dengan adab tangan kanan. Begitu juga dengan adat keluar rumah, turut dengan adab melangkah kaki kanan.

Begitulah cara bersilat untuk mengenali asal sebenarnya. Adat hendak bersilat, dengan mulanya, bertangan kanan mendahului dan langkah kaki kanan menyusul. Ia secara tidak langsung, tanpa bicara lagi, gerak langkah identiti Silat Melayu.

Begitu juga dengan identitinya silat-silat Melayu lama yang antaranya tidak menendang melepasi pusat, tidak berkasar, tidak melangkah kawan dan tetap menghormati musuh.

Dalam berpakaian, sebagai contoh, persilatan dari asal perguruan Malaysia memakai seragam hitam. Ia telah menjadi adat dan sebagai lambang warna diri yang taat kepada Raja-raja Melayu.

Ada enam warna lambang Melayu iaitu kuning, putih, merah, biru dan hijau selain hitam. Kuning simbol Raja, putih kepada kelahiran/kematian, merah lambang keberanian, biru perpaduan dan hijau pula kedamaian.

Jika bersenjata seperti keris, sebaiknya bersamping dan bersetanjak sebagai pelengkap diri dalam berpakaian pahlawan. Begitu juga dalam berpakaian baju Melayu, perlu bersamping dan bersongkok.

Pesilat Johor mungkin dikenali berpakaian baju teluk belanga. Jika berpakaian baju Melayu, mereka turut memakai baju teluk belanga dan seluar berwarna lain. Manakala samping berada dalam baju Melayu. Itu perbezaan mereka dengan negeri-negeri lain.

Adat berpakaian samping pula, ada negeri, samping untuk yang bergelar Datuk ada corak bunga tersendiri. Orang dahulu memberitahu secara ‘gambaran’, jika bawah samping atas lutut bermakna dia belum berkahwin. Jika bawah samping melepasi lutut, dia sudah berkahwin. Makin ke bawah samping itu ‘diberitahu’ uisa dan ilmu mereka.

Jika belakang samping ke sebelah kanan atau kiri ikatannya, lelaki itu memberitahu dia duda dan jika bawah samping atas lutut erti “duda minta di pinang segera”. Begitu juga dengan wanita yang berpakaian Melayu.

Jika memakai destar atau tanjak, pastikan tiada ‘ekor’ berdiri belakang destar itu. Hanya Sultan sahaja berimej demikian. Begitu juga jika membuat atau memakai destar Dendam Tak Sudah, hanya Sultan menghalakan hujungnya ke kanan.

Dalam memakai selempang, sebaik-baiknya sebelah kanan bahu kerana hanya Raja-raja Melayu sebelah kiri.

Jika mengadakan persembahan bersenjata, pastikan jarak dengan penonton terutama Raja atau pembesar ada jarak dan kedudukannya. Mata keris sama sekali ditegah menghala Raja dan pembesar.

Memberi sembah atau hormat amat penting. Pastikan pergerakan atau perbuatan pesilat  tidak mengikuti budaya bukan Melayu.

Masuk gelanggang
Sebelum menyertai mana-mana perguruan samada silat atau bukan silat, pastikan dahulu diketahui akan asal-usul perguruan itu supaya tidak menyesal kemudian hari.
Jika ada perguruan mengadakan Hari Pengambilan atau Hari Pendaftaran untuk ahli baru, atau menganjurkan seminar perguruan itu, sebaik-baiknya sertailah dan dapat gambaran jelas dari penerangan perguruan itu sebelum membuat keputusan.
Ada panduan diberikan oleh guru tua kepada bakal pesilat sebelum menuntut ilmu pendekar untuk renungan dan penghayatan iaitu antaranya mengetahui keturunan diri dari tok empat, lapan moyang.  Atau dapatkan nasihat dan restu ibubapa.
Beberapa panduan dalam menuntut dengan melihat adat dan adabnya perguruan itu, sepertimana diketahui silat boleh dipelajari semua bangsa dan agama kerana tidak bercanggah dengan Islam. Silat adalah budaya adab Melayu dalam adat beladiri.
Boleh juga rujuk panduan dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

Dalam gelanggang
Pakaian perlu bersih dan sesuai untuk menjalani latihan. Begitu juga dengan diri perlu dalam berkeadaan siap sedia untuk berlatih.
Beri hormat seperti salam atau salam hormat kepada yang hadir dalam gelanggang. Sebaik-baiknya bersalam atau memberi salam hormat kepada guru terlebih dahulu. Begitu juga apabila tamat latihan.
Bila dalam gelanggang, sebaik-baiknya memberi tumpuan dan jangan bercakap-cakap hingga menganggu tumpuan guru yang mengajar dan rakan-rakan yang hadir.
Jaga sebutan percakapan dan pergerakan supaya tidak nampak sikap angkuh. Jika hendak minum air atau ke bilik air, pastikan minta kebenaran terlebih dahulu.

Luar gelanggang
Sebaik-baiknya, apa yang dilatih mengenai sikap dalam gelanggang wajar sekali
diamalkan di luar gelanggang sebagai adab atau disiplin amalan hidup.
 Sikap hormat, sabar, tenang dan berakal wajar dipraktiskan supaya dapat berdepan dengan pelbagai karenah dunia. Setiap langkah yang dipelajari dalam gelanggang adalah langkah kemenangan yang wajar dikecapi di luar gelanggang.
Dalam menjaga penampilan diri di luar gelanggang, perbuatan yang ditonjolkan adalah mengenai maruah diri. Penampilan yang berilmu dan tidak berilmu tetap ada bezanya dan diharapkan setiap pesilat bersikap dahagakan ilmu supaya maruah diri dapat dipelihara.
Di bawah adalah Panduan Tatatertib Di Majlis Rasmi istana yang boleh dijadikan panduan dalam penampilan diri kerana asal adat dan adab silat dari situ jua.

PANDUAN TATATERTIB DI MAJLIS RASMI
Untuk menjaga ketenteraman dan kelancaran serta ‘dignity’ sesuatu majlis yang memperlihatkan keterampilan anggotanya (termasuk tetamu dan perwakilan maka beberapa peraturan dan perilakuan telah diterima sebagai perilakuan yang sesuai dalam majlis rasmi di peringkat masyarakat, negeri, kebangsaan dan antarabangsa.
Adapun kesopanan yang dianggap sesuai ialah bagi masyarakat kita yang tidak bercanggah dengan hukum dan peraturan Islam. Sekiranya bercanggah ia bolehlah di ketepikan. Agama Islam juga menuntut supaya kita bersopan santun berbudi bahasa dan berhikmah dalam perkataan atau percakapan.
Antara perinsip yang selaras dengan Islam ialah tidak bermegah, bersikap sederhana dan tidak membazir.

PAKAIAN & ADAT DALAM MAJLIS
  1. Pakailah pakaian yang bersih dan betul mengikut yang diterangkan dalam jemputan. Yang tidak mematuhi peraturan pakaian mungkin tidak akan dibenarkan masuk ke dalam majlis.
  2. Jika pakaian majlis adalah pakaian kebangsaan bersongkok, maka songkok yang sesuai adalah dari baldu hitam atau biru gelap tanpa corak. Songkok hendaklah dipakai tegak, tidak senget ke kiri, ke kanan, ke hadapan atau ke belakang hingga nampak gigi rambut atau bertenggek kerana terlalu kecil atau bolos kerana terlalu besar.
  3. Sampin hendaklah sederhana labuh kira-kira di paras lutut. Lengan baju dilabuhkan dan tidak tersinsing. Demikian juga seluar yang mengheret ke tanah mahupun tersinsing. Baju dan seluar hendaklah sepasang sama jenis kainnya dan berkasut.
  4. Wanita Melayu, pakaian rasmi Melayu adalah baju kurung atau kebaya labuh, atau baju kurung fesyen yang memenuhi peraturan jemputan, dan tidak terdedah kerana terbuka (termasuk di bahu, belakang atau perut) atau kerana jenis kain yang jarang. Butang leher hendaklah dilekatkan. Seluar tidak dibenarkan. Hendaklah berkasut (bukan sandal atau selipar yang terbuka di belakang), berselendang sama ada diletak di bahu atau bertudung (mini telekong).
  5. Jangan meninggalkan tempat duduk, bercakap-cakap, bersila panggung, kaki diatas kaki, batuk-batuk, ketawa atau berdehem dengan sengaja. Semasa duduk dan berdiri perlu rapatkan kaki. Jangan menggoyang-goyangkan kaki. Semasa berdiri tempatkan tangan ditepi dan jangan digoyang-goyangkan.
  6. Jangan memakai cermin mata hitam dan melengak ke atas kerana ia di anggap kurang manis. Jangan memakai emas perhiasan berlebihan bagi laki-laki dan juga perempuan.
  7. Jangan merokok. Elak ketawa dengan kuat atau bising atau tidur.
  8. Gunakan perkataan yang baik bila perlu bercakap dan tidak terlalu kuat, (Contoh: Sebutan “awak”, “aku”, “kawan” sebagai gantinama tidak sesuai diucapkan, juga dianggap bukan bahasa majlis di Negeri Pahang.)
  9. Menjaga kebersihan diri, rambut, muka (termasuk misai, janggut dan jambang diharapkan dicukur licin atau dikawal kerapian), pakaian, bau badan dan mulut tanpa wangian yang berlebihan. Makanlah sedikit sebelum menghadiri majlis supaya tidak ketara bau mulut, Sebaik-baiknya, pakai bau-bauan atau pewangi atau penahan peluh di celah lengan supaya bau badan terkawal semasa berpeluh.
  10. Berjalan dengan tegak dan tenang, tidak terburu-buru dan memandang ke kiri dan kanan.
  11. Adab dalam jamuan. Di samping menyebut Bismillah (bagi beragama Islam), jagalah adab makan yang baik, termasuk menggunakan pisau di tangan kanan dan garpu di tangan kiri atau sudu di kanan dan garpu di kiri (jika berkaitan). Jika pisau dan garpu turut dibekalkan, hanya sudu yang masuk ke mulut dan tidak garpu. Jangan mengambil lauk dengan sudu makan sendiri, gunakan sudu dalam pinggan atau mangkuk lauk.
  12. Jangan makan dengan bising, mengunyah dengan mulut terbuka atau bercakap dengan kuat atau ketawa terbahak atau terbelahak atau tersedak kuat. Berhati-hatilah.
  13. Letakkan napkin di atas riba dan letakkan semula di kiri pinggan dengan berlipat sesudah makan.
  14. Mulalah makan bersama-sama dan berhentilah makan apabila orang lain sudah selesai makan.
  15. Jangan mencungkil gigi di hadapan majlis. Kalau ada sesuatu dalam mulut yang perlu dikeluarkan, keluarkan dengan ditutup dengan napkin.
  16. Bagi majlis makan beradat ada peraturan-peraturan tertentu.

PANDUAN PENGGUNAAN BAHASA DI HADAPAN RAJA

Bahasa biasa              /            Bahasa kepada Raja

Anggota tubuh badan
Muka                                        wajah
Rambut                                    Surai
Telinga                                    Cuping
Tangan                                    Kadam
Kaki                                         Duli

Perbuatan
Mandi                                           Bersiram
Ke Tandas                                    Ke bilik air
Makan                                          Santap
Buang air(kecil/besar)                    Ke sungai (kecil/besar)                                    
Berjalan/Pergi                                Berangkat
Minum/makan                                Santap
Bercakap                                       Titah
Berucap                                         Bertitah
Memberi ucapan                             Menyampaikan titah ucapan
Tidur                                               Beradu
Memberi                                        Mengurniakan
Bersetuju/mendapat                        Mendapat perkenan
Persetujuan                                    Mendapat limpah berkenan
Panggil                                            Titah panggil
Marah                                                Murka
Meninggal dunia                                  Mangkat
Allahyarham (Raja)                              Almarhum
Allahyarham (prm)                               Almarhumah
Arwah (kerabat)                                     Selilah
Bercukur/gunting rambut (istiadat)               Berandam Surai
            

Bahasa mengenai kita dihadapan Raja
Makan                                                Ayab
Tak tahu                                    Kurang periksa (mohon periksa)
Anak                                                Pacal
Saya                                                 Patik
Orang itu                                    Pacal itu (nama)
Encik/Dato  (gelaran)                      Pacal Tua (nama)
Rumah (saya)                                    Pondok (patik)
Menyatakan(memaklumkan)                  Menyembahkan (sembah maklum)
Hadiah                                                Persembahan
Terima Kasih                                    Junjung kasih
Berucap                                    Persembahan ucapan
Hadir                                           Berangkat mencemar duli (kecuali majlis beribadat)
Menjemput                                    Menyilakan
Jemputlah                                    Sila
Berjumpa (tuanku)                        Mengadap Tuanku/
Tuanku                                    Kebawah Duli Tuanku
Anakanda (Tengku Mahkota)         Paduka Anakanda TM
Sultan (kepada Anak Raja)                Seri Paduka Ayahanda
Tengku Ampuan/ Raja Perempuan                       Seri Paduka Bonda

Perkataan ‘Beta’ digunakan oleh Raja sebagai gantinama ‘Saya’ dalam ucapan resmi. Selain daripada bahasa di atas panduannya ialah supaya digunakan bahasa resmi atau bahasa surat yang terbaik, halus dan sopan.
Sebelum memulakan ucapan sebutkan ‘Ampun Tuanku’ atau ‘Minta ampun’ diikuti dengan apa yang hendak diperkatakan. Semasa mula berbicara angkat tangan menyembah, baharu diteruskan berucap. Begitu juga, setiap pergerakan untuk bangun duduk atau beredar hendaklah didahului dengan mengangkat sembah.

Ucapan di majlis rasmi dimulakan dengan ungkapan ‘Mengadap KDYMM Sultan Pahang (nama dan diakhiri dengan D.K.P.) dan seterusnya KDYTM Tengku Mahkota, KDYTM Tengku Puan hingga YAM Tengku Muda Pahang dan YABhg. Cik Puan Muda Pahang, di ikuti dengan, ‘Ampun Tuanku Beribu Ampun, Sembah patik harap diampun’.  Teruskan ucapan khusus untuk mengalu-alukan Raja dan pengiring Baginda i.e. KDYTM dan YAM. Kemudian ucapkan ‘Ampun Tuanku, patik mohon limpah perkenan KDYMM Tuanku bagi patik berucap sepatah dua kepada dif-dif dan para hadirin sekelian’ (atau seumpamanya.) Setelah itu baharulah disebut nama dif-dif yang lain mengikut susunan dam memberi ucapan umum. Di akhir ucapan mohon semula seperti‘Demikianlah persembahan ucapan patik… ampun Tuanku beribu ampun sembah patik mohon (harap) diampun.’ (Salam)

Gelaran khusus bagi Negeri Pahang. (Gelaran-gelaran ini tidak boleh diubahsuai) kecuali ada arahan KDYMM Sultan atau Kerajaan, dimana berkaitan)

Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) (untuk Sultan)
Duli Yang Maha Mulia (DYMM)
Sultanah Pahang Sultanah Hajjah Kalsum (untuk Sultanah)
Kebawah Duli yang Teramat Mulia (KDYTM) (bagi Tengku Mahkota, Pahang)
Kebawah Duli yang Teramat Mulia (KDYTM) (bagi Tengku Puan Pahang)
Yang Amat Mulia (YAM) (bagi Tengku Muda dan semua Kerabat Bergelar)
Yang Amat Berbahagia (YABhg) (bagi isteri Kerabat Bergelar)
Yang Amat Berhomat (YAB) (bagi Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri Besar)
Yang Di Hormat (bagi Orang Besar Berempat i.e. Orang Kaya)
Yang Mulia (bagi Kerabat i.e. Tengku, Engku)
Yang Berhormat (bagi Timbalan Menteri Besar, Ahli Dewan Negeri dan Parlimen)
Yang Hormat (bagi Orang Besar 8, 16 dan Dato’ – dato’)
Yang Berbahagia (bagi isteri-isteri kenamaan secara umum)
Sahibul Samahah (bagi Mufti)
Sahibul Fadilah (bagi Kadi Besar / Timbalan Mufti)
Al Fadzil (bagi Pegawai Agama Islam Daerah @ Pegawai Agama)
Bagi gelaran di negeri lain atau yang melibatkan orang kenamaan negeri lain makluman gelaran khusus hendaklah diperolehi, kerana ia berbeza-beza antara negeri.
Senarai Kerabat Bergelar dan Orang-orang Besar Negeri
(Jadual 29 Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Pahang)

KDYTM                               Tengku Mahkota
YAM                                    Tengku Muda
YAM                                    Tengku Arif Bendahara
YAM                                    Tengku Arif Temenggong
YAM                                    Tengku Puteri Lela Wangsa
YAM                                    Tengku Besar
YAM                                    Tengku Seri Nila Utama
YAM                                    Tengku Puteri Seri Teja
YAM                                    Tengku Puteri Seri Kemala
YAM                                     Tengku Puteri Seri Manja
YAM                                    Tengku Puteri Seri Bongsu
YAM                                    Tengku Panglima Perang
YAM                                     Tengku Panglima Besar

Orang Besar Berempat

YDH                        Orang Kaya Indera Maharaja Perba Jelai
YDH                        Orang Kaya Indera Syahbandar
YDH                        Orang Kaya Indera Segara
YDH                        Orang Kaya Indera Pahlawan

Orang Besar Berlapan

YH Dato’ Setia Muda
YH Dato’ Setia Lela
YH Dato’ Setia Perkasa
YH Dato’ Setia Pahlawan
YH Dato’ Setia Raja
YH Dato’ Setia Wangsa
YH Dato’ Setia Amar Segara
YH Dato’ Setia Penggawa                       
  

Orang Besar Enambelas
Tok Muda

Orang Besar Raja/Orang Besar
Istana

YM Tengku (Dato’) Setia Jaya
YH Tok Pentara Raja
YH Tok Aria Rakna
YH Penghulu Balai
YH Panglima Dalam
YH Tok Bijaya DiRaja
YH Tok Luar
Bentara Kiri
Bentara Kanan


PANDUAN TATATERTIB DI MAJLIS RASMI
Ehsan dari YDH Dato’ Sri Wan Haji Abdul Wahid Wan Haji Hassan
Orang Kaya Indera Pahlawan
Timbalan Yang Dipetua Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang

 sumber: