Pahlawan Melayu bermulanya di hati tegak tangkas pencaknya sebagai mentera keramat dan gelanggangnya tanah, angin dan bumi melangkah ke kancah gemalai giur tubuh sukar ditelah gerak tari langkah silatnya tidak mudah terserlah.Juga tidak mudah marah kerana itu membawa padah kerana rakus itu membuatkannya hilang tumpuan tanpa pedoman dan arah ketika berdepan dengan seteru.
Begitu juga pencak silat Melayu banyak bunga dan buah lenggang lenggok tubuhnya sendiri penuh segelanggang diselang seli pantun ketawa sindir bengis menjadi inti, masih juga keris Pahlawan Melayu tidak dihunus, tetap parang, badik dan kerambitnya kaku tersisip.
Pahlawan Melayu pada pakaian tanjak tengkolok semutar dan kain sebai sebidang terikat di pinggang terselit kesabaran dalam pertarungan Jarang Pahlawan Melayu mengamuk jarang Pahlawan Melayu hilang pertimbangan kerana akal budi firasat dan gerak hatinya sudah tentu mendalam jauh ke hadapan menusuk mata lawan.Menghitung detik dan ketikanya diiringi bunga silat dan tajam renung matanya.
Semangat dan budaya Melayu sudah sedemikian menjadi mantera warisan tidak derhaka dan tidak tunduk sahaja bukan kerana dayus hina dek kerana dada tidak berisi… sekadar segenggam besi waja panasnya mengambil masa pabila ia menjadi merah …barulah Pahlawan Melayu yang tersohor akan bingkas bertempik menerjah lawannya lalu keris lok sembilan itu gila ditusuk ke dada lawan.
Pahlawan Melayu lemah lembut gerak budi dan tutur bahasa kerana itu budaya keramat bangsa kita Jangan disentuh jangan digoda dicerca kerana bila musuh rakus itu digempur maka darah mandiannya Kilat dan guruh sifat dirinya jangan disenda dan dengan kalimah Allah ramuan doanya Amuk Pahlawan Melayu pasti menggila.
sumber:
No comments:
Post a Comment