Perhatian


Kebanyakan post di dalam blog ini disalin dari posting dari sahabat-sahabat blogger lain untuk rujukan saya pada masa akan datang. Jadi saya lampirkan sekali link ke post asal bagi menjaga hakcipta post serta memudahkan anda dan saya ke post asal. Harap Maklum

Showing posts with label melayu. Show all posts
Showing posts with label melayu. Show all posts

Tuesday, August 20, 2013

Baju Orang Melayu

Untuk Lelaki

Pertama disebut Teluk Belanga
Tebuk Leher bertulang belut
Cengkam dijalin menjari lipan
Buah baju tunggal-tunggalan
Kalau bulat menelur burung
Kalau bertangkai memudung petai
Atau bermata bagai cincin
Labuhnya sampai segenggam tangan
Lebar dapat kipas-berkipas
Lapang tidak menyangkut ranting

Sempit tidak membilang tulang
Labuh di luar dagang dalam
Labuh di dalam dagang luar
Kalau bersulam berbenang emas
Tekat berkumpul di atas dada
Turun ke bawah bak sarang lebah
Kalau tangan bersulam suji
Bagai simpai di ujung lengan
Pucuk rebung timbalannya
Bertabur bunga jarang-jarang
Tidak berbatas tempat memakai.

Kedua bernama Cekak Musang
Leher tegak empang leher
Renda-berenda benang emas
Jalin-menjalin benang kelingkan
Dua butang sebelah atas
Tiga buah di bawahnya
Butang bulat pudung petai
Butang bersegi mata cincin
tabur-berterabur bunga telepuk
Tekat penuh di atas dada
Jalar-menjalar ujung lengan
Sebuah kocek di atas
Dua buah kocek di bawah
Lebarnya dapat berkiah
Labuh sampai segenggam tangan
Patut dipakai dagang dalam
Patut dipakai dalam majlis
Pantas dibawa dalam jamuan.

Ketiga Baju Bersingkap Dada
Belah leher sampai ke bawah
Butang bersusun lima buah
Di bawah berjahit mati
Di atas berumah-rumah

Kalau berenda menyusur belah
Kocek di bawah kiri kanan
pakaian kain dagang luar
Patut dibawa berjalan jauh
Atau bertandang-tandang saja
Atau dipakai jadi pelasah
Atau dibawa dalam gelanggang.

Keempat Baju Atas Angin
yang dibawa alim ulama
Yang dipakai bermusim-musim
Labuhnya mencecah tanah
yang disebut baju jubah.

Kelima Baju Kutang
yang dipakai di dalam rumah
Atau Beramu ke dalam hutan
Atau ke sungai pergi berikan
Tak boleh bawa bertandang
Tak beradat ke rumah orang.

Untuk Perempuan

Yang betina lain bajunya
Pertama disebut Baju Kurung
Leher melingkar tulang belut
Cengkam-cengkaman menjari lipan
kalau ditenun tabur-bertabur
Sulam di tangan sulam di bawah
Sulam menjalin keliling dada
Labuhnya sampai ke bawah lutut
Kibar-berkibar ditiup angin
Tidak sempit menyampul nangka
Patut dipakai tua muda
Tidak berbatas pemakaiannya
Aib tertutup malu tersimpan
Sesuai adat dengan syarak
Sesuai ke tengah
Sepadan ke tepi.

Kedua disebut Kebaya Panjang
Gunting bernama gunting sembilan
Belah terbuka sampai ke bawah
Dalam acap-acap betis

Dalam tidak mengemakkan
Pendek tidak menyesakkan
Kalau berenda sebelah muka
Berenda pula kaki bajunya
renda keliling lingkar-berlingkar
tabur-bertabur seluruh badan
Jalin-jalin sulaman tangan
kalau belah mahu ditutup
Terpasang kosang sebelah atas
Kosang bersusun sampai pusat
Bertali-tali semat-menyemat
Patut dipakai tua muda
Tidak berbatas tempat bertandang
Elok ke tengah
Patut ke tepi.

Ketiga bernama Kebaya Pendek
Pendek menyapu-nyapu duduk
Pendak separas-paras tampah
Belah leher sampai ke bawah
Genting-genting pada pinggangnya
kembang mengepak sebelah bawah
Lengan panjang tidak berkibar
Tapi sempit tidak berketak
Dada bertutup lapis dada
Susun-bersusun konsang butangnya
Rangkai-berangkai sampai ke pusat
Patut dipakai dalam rumah
Pakaian betina sudah berlaki
Untuk berjalan bertandang-tandang
Atau ke helat-helat kecil
Atau ke ladang dan ke sungai.

Pakaian dalam bernama Kutang
Di muka ampuan susu
Di belakang lebar sejengkal
Berbutang tiga serangkai
Sulam-bersulam kelilingnya
Kalau betina belum berlaki
Sama lebar muka belakang
Lebar labuh sampai ke perut
Tidak terbuka kalau berkemban.

Sumber dari http://www.keriswarisan.com/live/blog/872/baju-orang-melayu/ 

www.keriswarisan.com

======================================================= =====================

Garis panduan dan sumber ini disediakan oleh 
Johan Iskandar
Pengasas@keriswarisan.com
www.keriswarisan.com

Monday, September 24, 2012

Keris dan Melayu

Nukilan saudara Muhammad Perang (Tun Muhammad ghaddafi) di Facebook

KERIS...

ASALNYA HANYA BESI BURUK YG TERTANAM DI DALAM BUMI..

DIBAKAR DAN DIKETUK, DIBAKAR LAGI DAN DIKETUK LALU DICELUP DLM AIR.. DIBAKAR LAGI DAN DIKETUK LALU DIBENTUK PULA LUK NYA...

KEMUDIAN DIUKIR SENINYA HALUS, DIASAH LUK NYA TAJAM... SETIAP MLM JUMAAT DIASAPKAN DAN DIBACAKAN MENTERANYA..

KALAU KENA BARU BISA, BISA LUKANYA PARUT MEMBAWA MATI...

ITULAH KERIS LAMBANG BANGSA MELAYU...











KLU NAK MENDIDIK BANGSA MELAYU NI LIHATLAH KEJADIAN KERIS BGMN..

ORG MELAYU NI KENA BAKAR KENA KETUK BARU NAK GERAK... 

DAH KENA BAKAR KENA KETUK KENA SEJUKKAN LAK KLU TAK MERAJUK PULAK...

DAH TU KENA BENTUK JALANNYA, KENA UKIR SIFATNYA PERIBADINYA, KENA AJAR KATA2NYA BERSENI..

DIASAH PEKA TELINGANYA, DIASAH TAJAM MATANYA, DIASAH NILAI HATINYA.. MAKA SEGARLAH MINDANYA..

SETIAP MINGGU KENA SELALU JUMPA DAN TERUS KASI MOTIVASI HINGGA AKHIR HAYAT( baca surah yaasin terkandung semua cerita tentang alam)... BARULAH AMALANNYA BISA SAMPAI MENUSUK KALBU...

Sunday, March 18, 2012

Falsafah "keris tidak dicabut"

Sumber: Blog Shahir Makin
http://silatpanglimakasim.blogspot.com/2010/09/falsafah-keris-tidak-dicabut.html

Berarti duduk dalam diam berlangkah dan dalam berlangkah diam, di mana tempat jatuh, di situ jualah bersambut. Dalam elak sebutir padi, diri mengelak dan mengilat, jadilah ia seperti perumpamaan sambil menyelam minum air. Walau bersenjata atau bertangan kosong, penyampaiannya tetap sama, itulah uniknya Silat Melayu.

"Dalam tari tersorok duri,
gila bertari memakan diri,
dalam berlangkah tersimpan deras,
gila berlangkah menyesak nafas."

"alang2 menyeluk perkasam,
biar sampai ke pangkal lengan,
hajat di hati ingin menyampaikan,
supaya mati beroleh kebaikan."

"elak kena, tak elak pun kena,
elak umpama sebutir padi,
walau kena atau tak kena,
semua sudah suratan Ilahi."

"sebelum sampai suratan Ilahi,
wajib belajar meningkatkan diri,
dari iri memaksumkan diri,
lebih afdal memperbaiki diri."

sekian sahaja laporan daripada K.aramSing Walla' (jangan marah tuannnn..... :)

Friday, March 16, 2012

SILAT - oleh Azlan Ghanie


SILAT – Asal & Usulnya 

Silat adalah khazanah warisan budaya Malaysia. Ia merupakan seni beladiri Melayu yang sudah bertapak di rantau Nusantara ini sejak kurun ke-4 iaitu kerajaan Jambi di Sumatra.

Beladiri itu mulanya berasal dari istana yang mana ilmu itu memenuhi dada Raja dan pengikut-pengikut baginda dalam penghijrahan dan mewujudkan pemerintahan.

Sehubungan itu wujud kerajaan-kerajaan Melayu antaranya Langkasuka, Pura, Pasai, Acheh, Champa, Majapahit, Temasik dan Melaka. Diperakui kini, kerajaan Melayu asal meliputi Selatan Thailand iaitu Fatani, Kemboja, Filipina, Brunei, Malaysia, Indonesia dan Singapura.

Di Malaysia, catatan bertulis dalam sejarah silat bermula zaman Paramesrawa pada kurun ke-12 sebelum membuka kerajaan Melaka. Disusuli cerita kehebatan Sultan Melaka, Sultan Alauddin Riayat Shah menangkap pencuri-pencuri ketika rondaan waktu malam di kota Melaka.

Kisah lima hulubalang Melayu Melaka iaitu Hang Tuah, Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekiu dari episod awal remaja menentang lanun, orang amuk, kemudian menuntut ilmu di Gunung Ledang hingga Hang Tuah menjadi Laksamana Melaka menggambarkan perjalanan penjurit-penjurit Melayu dalam dunia persilatan.

Suntikan dari ilmu persilatan turut dapat dilihat apabila pahlawan-pahlawan Melayu tidak gentar menentang Portugis yang bersenjatakan meriam dan senjata api. Tentera Eropah itu pernah ditewaskan dalam percubaan pertama menakluk Melaka pada tahun 1509 sebelum berjaya dua tahun kemudian dengan jumlah armanda seganda iaitu hampir 20 buah kapal.

Dalam Perang Dunia Kedua, ketika Jepun menakluk Tanah Melayu, pendekar-pendekar Melayu turut mempertahankan daerah dan kampung-kampung mereka. Apabila tentera komunis atau dikenali Bintang Tiga memerintah selepas pengunduran Jepun, pahlawan-pahlawan  Melayu bangkit untuk menentang tentera itu yang bersikap tidak  berperikemanusiaan.

Pahlawan-pahlawan yang tersohor menentang penjajah Inggeris dengan ilmu persilatan antaranya adalah seperti Datuk Dol Said, Datuk Bahaman, Tok Gajah, Mat Kilau, Mat Lela dan Tok Janggut. Manakala tentera Jepun dan komunis pula Lt Adnan, Kiyai Salleh dan Pak Hamid Jah.

Perkembangan silat di luar istana sudah lama berlaku dan kisah Hang Tuah bersama teman-temannya berguru di Gunung Ledang menjadi bukti.  Penaklukan dan pencerobohan penjajah turut menyumbang ilmu beladiri Melayu keluar dari istana dan aktif dengan penduduk-penduduk kampung.

Silat terus dipelihara seperti di negara Indonesia, Brunei dan Singapura selain Malaysia dan dikembangkan ke luar negara terutama melalui sukan tempur iaitu silat olahraga. 

Di Malaysia, silat bukan sahaja berkembang di sekolah-sekolah dan di pengajian tinggi kerana sudah terdapat perguruan-perguruan tertentu turut mengembangkan ilmu mereka hampir semua pelusuk dunia sepertimana beladiri-beladiri lain yang sudah terkenal.

Disiplin beladiri itu seperti adab hormat-menghormati, penggunaan akal, tenang, sabar, pergerakan fizikal yang berstruktur dan sebagainya telah dikenalpasti satu riadah yang baik untuk kesihatan dan menjalinkan hubungan rakyat tanpa kira kaum dan agama.

SILAT – Beladiri & Falsafah

Silat menjadi sebutan rasmi kepada beladiri Melayu. Sebelum itu di kepulauan Jawa, ia lebih dikenali dengan “Pencak”. Ada juga orang Melayu Bugis, Acheh dan Fatani menyebut Gayung.

Umum yang tidak tahu mengenai dunia beladiri atau masih berstatus hijau atau belum masak, akan berkata, silat seperti beladiri lain. Ia seni mempertahankan diri.

Namun bagi yang sudah masak akan berkata silat atau mana-mana beladiri hanya nampak sama tetapi tetap tidak serupa. Ada beladiri mengakui konsep mereka mempertahankan diri kerana tidak menyerang. Mereka menanti. Berbeza dengan silat atau sikap Melayu bila hendak diserang, mereka boleh bertahan dan menyerang sekali gus atau menyerang dalam bertahan.

Falsafah silat tersembunyi dalam sebutan “silat” iaitu elak dan elat (ilat) atau dalam mengelak – mengilat.  Dalam latihan, silat dilihat sepertimana beladiri lain menggunakan mental dan fizikal tetapi pada hakikatnya ia tetap berbeza dalam penyampaian dan pengisian mengikut budaya adab.

Hasilnya silat atau perguruan juga dicerita lisan dengan pelbagai hasil:
1.    Silat sendiri diceritakan secara lisan dari orang yang pandai mengilat ketika  diserang,
2.    Hasil pergerakan tangan seorang imam mengambil air sembahyang (wuduk)  di telaga,
3.    Seorang wanita melihat dua binatang (monyet melawan harimau),
4.    Menggayakan pergerakan binatang-binatang tertentu seperti harimau,
5. Pergerakan-pergerakan mengepung dan membunuh harimau yang  mengganas di kampung,
6.    Hasil dari persembahan atau teater,
7.    Menggabungkan menjadi satu perguruan-perguruan yang telah dituntut.

SILAT – Pakaian & Senjata
Pakaian Silat adalah longgar untuk mudah bergerak. Dalam sejarah peperangan, orang-orang istana memakai sebegitu dan ada juga baju rantai untuk elak panahan, memakai sangga rotan di pergelanggan tangan dan bengkung di perut untuk tegap badan dan juga untuk menahan dan mengalih tikaman senjata tajam. Kesimpulannya, pakaian perlu sesuai dengan tujuan dan matlamat.

Dalam latihan, pakaian perlu lengkap menutup badan atau aurat jika lelaki bercampur dengan wanita.

Ikut sejarah lisan dan bertulis, orang-orang istana dalam bertempur menggunakan senjata-senjata tertentu seperti antaranya keris, sundang, lembing, badik dan tumbuk lada. Keris menjadi senjata utama.

Kerana itu, pakaian perlu sesuai dengan ‘kehadiran’ senjata-senjata berkenaan supaya ia boleh diselit di bahagian-bahagian tertentu badan serta tidak menghalang pergerakan bila bersenjata.

Ada juga menggunakan senjata-senjata rahsia seperti lawi ayam, kerambit dan anak badik yang disembunyikan dalam ikatan pakaian.

Namun sekarang, parang, kapak, buluh dan pelbagai lagi peralatan tertentu telah dijadikan senjata dalam beladiri.

Pakaian dalam persembahan adalah mengikut perguruan dan kesesuaian majlis. Kerana penampilan ‘pertarungan’ hulubalang yang hendak dipersembahkan, pakaian yang menampakkan ciri-ciri orang istana dizahirkan seperti bersetanjak, baju layang, bersamping dan keris.

Apa jua, penampilan pakaian guru atau orang silat yang dijemput hadir dalam majlis tertentu, bentuk rupa (fesyen) atau potongannya berbaju Cekak Musang dan Teluk Belanga. Warnya hitam.

Potongan dan warna ini bagai pemakaian rasmi silat kerana dipakai oleh majoriti perguruan. Secara tidak langsung, ia juga dipakai oleh pesilat-pesilat beriadah iaitu dalam latihan dan bersukan. Ada juga perguruan mempunyai potongan pakaian yang berbeza serta senjatanya.

SILAT – langkah & tari

Ilmu silat pada zaman dahulunya sangat dirahsiakan. Sepertimana dikatakan dan diketahui, ia berasal dari istana dan ilmu itu hanya untuk orang-orang istana untuk mempertahankan kota mereka atau mengembangkan jajahan.

Tidak semua orang boleh diajar terutama luar kota yang mungkin pengintip atau bakal pembelot. Malah tiada siapa mengenal atau ‘menampakkan’ guru silat yang dahulunya digelar Pendita.

Dalam Hikayat Hang Tuah, dicatatkan untuk menjadi penjurit istana seseorang itu terlebih dahulu perlu menuntut ilmu. Hang Tuah dan empat sahabatnya Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekiu dan Hang Lekir terpaksa memanjat Gunung Ledang untuk berguru dengan Pendita Adi Putra.

Seterusnya mendapat perkenan bekerja dalam istana sesudah Hang Tuah dapat membunuh seorang amuk yang cuba membunuh Tun Bendahara. Atas keberanian itu, Tun Bendahara telah membawa Hang Tuah mengadap Sultan Melaka sebelum diperkenan sebagai hulubalang negeri itu.

Hang Tuah tidak belajar begitu lama dengan Pendita Adi Putra, namun selain membunuh orang amuk itu, Datuk Laksamana itu juga berjaya menumpaskan pahlawan-pahlawan Jawa sebelum membunuh Taming Sari di Majapahit. Juga membunuh pahlawan-pahlawan Jepun di Siam.

Apa yang boleh dijadikan sandaran ‘langkah’ orang istana dalam persilatan zaman dahulu adalah ia berpaksi kepada budaya adab sepertimana tidak mengangkat kaki, memberi punggung dan senjata berlaga bila mengadakan persembahan depan Raja Melayu. Mengangkat sedikit kaki dibenarkan depan pembesar-pembesar istana manakala pergerakan bebas bila penontonnya khalayak ramai.

Ertinya silat untuk dimahirkan perlu berguru dan seterusnya mengenal dan mengamal adab budaya Melayu yang mana ia tidak bercanggah dengan agama Islam.

Jika dulu, silat itu ilmu rahsia, hanya diajar kepada keturunan dan orang-orang tertentu sahaja. Kini, silat melalui perguruan termasuk bergerak mengikut syarat-peraturan persatuan telah membuka pintu.

Setiap perguruan ada logo dan Sembah Perguruan tersendiri. Begitu juga dengan  sukatan pelajaran mereka yang mana ada berlangkah dan ada tidak berlangkah. Ada bertari dan ada yang tidak bertari.

Apa yang pasti, silat menyampaikan rahsia ilmu mengenai akal dan jati diri dalam membentuk jiwa berperanan dan bertanggungjawab sebagai Pendekar Negara.

Rujukan:
1. Sejarah Melayu, 2. Hikayat Hang Tuah, 3. Malacca Towards New Horizon, 4. Perkembangan Dunia Islam – Dr Hamka, 5. YDH Dato Sri Wan Haji Abdul Wahid Wan Haji Hassan, 6. Wan Yahaya Abdullah, 7. majalah PENDEKAR, 8. majalah SENI BELADIRI dan 9. petikan Pencak & Silat: Sultan Zainol Abidin (Arkib Negara).  

Petua ukuran keris


Bersumber dari: http://zainamy.multiply.com/journal/item/93/Petua_Mengukur_Keris

Hobi bermain dengan keris atau senjata melayu, adakalanya kita berminat untuk membeli yang antik, tapi malangnya kita menggunakan kaedah mengukur dengan jari untuk melihat kesesuaian. Selepas diukur kita mengatakan ia tak sesuai. Tak salah, tapi menunjukkan sedikit kedangkalan dalam memilih dan mengumpul senjata antik. Perlu diingat bahawa senjata antik seperti keris itu bukan dibuat khusus untuk kita, ia milik orang lain yang mempunyai karektor dan saiz badan yang  jauh berbeza dengan kita.

Jika kita membeli keris antik, maka nilailah dari sudut keantikan, pamor, bangunan dan juga keutuhan bilahnya. Jangan ukur berkali-kali sehingga tuan keris mula rimas melihat kecetekan ilmu kita.
Apakah untungnya kita mengukur senjata milik orang lain, kita ukur mengikut kaedah dengan tangan kita dan kita katakan keris ini tak sesuai, tak cocok dan membawa bala. Keris dibuat oleh pemilik asal mengikut ukuran dan sukatan mereka. Amat jarang ukurannya sesuai dengan kita kerana ilmu sukatan mereka mungkin berbeza dengan ukuran dan ilmu kita.

Sehubungan dengan itu janganlah memandai-mandai menilai keris orang. Bayangkan keris orang yang berharga ribuan ringgit kita kata tak sesuai dan tak boleh dipakai. Apakah kita tahu keris yang kita katakan tidak cocok itu adalah pemberian guru mereka yang telah pun ditempa mengikut sukatan dan ilmu perkerisan mereka. Berikut adalah petua yang didapatkan dari mulut orang-orang tua melayu untuk mengira ukuran senjata yang paling sesuai untuk kita :

Petua 1
1.Besi betat ( tak tepakai )
2.Besi miang ( tak baik )
3.Anakanda tangisan ( tak baik )
4.Petang-petang kekanda datang ( Ramai sahabat & kawan )
5.Emas sekupang jatuh keriba ( pelaris )

Petua 2
1.Bismillah ( Baik )
2.Air penuh melimpah ( pelaris )
3.Kumbang terbang ( tak baik )
4.Mani setitik ( pengasih )

 

Petua 3 (daripada Guru Azlan Ghanie) mengguna ibu jari disukat dari pangkal hingga ke pucuk
1. Raja (paling baik)
2. Menteri (baik)
3. Hulubalang (baik)
4. Budak suruhan (tidak sesuai)

http://www.butang-emas.net/2010/01/mengukur-mata-keris.html

Petua 4
1. Mula dgn Ibu jari kiri pd pangkal mata keris
2. Kemudian Ibu jari kanan diatas ibu jari kiri
3. Disambung seterusnya hingga sampai ke pucuk.

Apabila hitungan terakhir jatuh kepada ibu jari tangan kiri, maka keris itu dianggap keris yang bertuah kepada tuannya. Sebaliknya jika hitungan terakhir jatuh pada ibu jari tangan kanan, maka keris tersebut akan mendatangkan kesialan kepada tuannya. Sekiranya seseorang itu kidal atau terbiasa menggunakan tangan kiri, maka mulailah menghitung dengan ibu jari tangan kanan.

Petua 5
menggunakan ibu jari tangan dan pada setiap penempatan ibu jari itu mengucapkan kata-kata:
1. Raja
2. Pahlawan
3. Perempuan
4. Budak orang
Jika hitungan terakhir jatuh pada perkataan raja, berarti orang yang empunya keris itu akan termasyhur. Kalau jatuh pada perkataan pahlawan, si empunya keris akan mempunyai kedudukan atau jabatan. Jika hitungan jatuh pada perkataan perempuan, kononnya si empunya keris akan mendapat keberhasilan dalam perniagaan. Sebaliknya jika jatuh pada perkataan budak orang, maka keris tersebut tiada bersesuaian kepada si empunya keris itu, sebaiknya jangan di simpan lagi.

Petua 6
Tersebutlah pula cara yang dipergunakan, juga dengan ibu jari, tetapi setiap kali penempatan ibu jari tangan itu, menyebutkan perkataan:
1- Ular berang
2- Meniti riak
3- Riak di titi gelombang tujuh
4- Karam di laut
5- Timbul di darat
6- Habis utang
7- Berganti utang
8- Utang lama tidak terbayar

Jika hitungan terakhir jatuh pada perkataan ular berang, meniti riak atau habis utang, kononnya akan membawa kepada kebaikkan. Kalau perkataan riak dititi gelombang tujuh adalah alamat yang terbaik. Jika jatuh pada perkataan berganti utang, ini membawa padah yang kurang baik. Sebaliknya perkataan karam di laut atau utang lama tidak terbayar, hal yang sedemikian membawa kepada tafsiran yang sangat buruk.

Buku kuning; Rahsia Keris dan Senjata Warisan Melayu m/s 289-290

Pak Yahya Said berpesan: "Sejengkal (~6 inci) – Dua Jengkal – Empat Jengkal – Lapan Jengkal – Sebujur Tubuh – Sebidang Dada – Papan Sekeping".  Kata-kata  di atas itu adalah PETUA ILMU SUKAT DAN UKUR.

Ia meliputi ALAT-ALAT PEKERJAAN SEHARI-HARI iaitu PISAU,  GOLOK DAN TONGKAT.
----------------------------------------------
Tambahan dari Prof Ramli

Cara basic untuk mengukur kesesuaian keris lama berdasarkan nama, jika nama katakan Mohd Ramli, Mohd tidak dikira kerana itu nama gabungan Nabi Muhammad s.a.w, jadi dikira dengan ra, mim, lam, ya...ra itu keras, mim lembut, lam keras, ya lembut..ibu jari kanan ra, hok kiri mim,kanan lam, kiri ya..dihitung seterusnya dari bilah hingga ke hujung bilah, jika berahir penuh itu dikatakan amat dingin dan lembut untuk keris tersebut, jika hujung berakhir dengan ra, dan lam, keris itu keras dan panas dan sentiasa ingin berperang...


Cara ini cukup sulit, kerana perlu mengetahui, keras lembutnya aksara/huruf jawi, setiap huruf jawi diberikan nilai keras lembutnya..hok terpaksa belajar dgn teliti sebab aksara jawi jumlahnya melebih aksara arab...kena tengok mujarabat/adam makrifat...cara yang lebih simple adalah berdasarkan hukum 13 dalam solat...dikaitkan dgn ibu 4 perkara yakni urat, darah, tulang, daging, dan sebelah bapak pulak otak, benak, hati, jantung, di pihak malaikat 4 perkara yakni gerak, geri, rasa, perisa dan dari Tuhan yakni nyawa..yakni empat bahagian. dihitung dari dari yang pertama dari pihak ibu yakni jari kanan dulu, kiri kedua, kanan kembali dan seterus sehinggalah kepada roh...


Jika semuanya lengkap keris ini adalah keris yang sempurna untuk pakaian diri, jika hitungannya berakhir pada bahagian ibu, dikatakan kurang sempurna kerana hanya mempunyai fizikal, tetapi tidak bertenaga, lebih baik sedikit berakhir pada bahagian bapa kerana dikatakan mempunyai kekuatan dan semangat dan lebih baik lagi berakhir dgn bahagian malaikat kerana ketaatannya...hok nie lebih mudah berbanding dgn yg pertama...sekadar rujukan sendiri waalahualam bissawab...