Perhatian


Kebanyakan post di dalam blog ini disalin dari posting dari sahabat-sahabat blogger lain untuk rujukan saya pada masa akan datang. Jadi saya lampirkan sekali link ke post asal bagi menjaga hakcipta post serta memudahkan anda dan saya ke post asal. Harap Maklum

Showing posts with label tari silat. Show all posts
Showing posts with label tari silat. Show all posts

Sunday, January 12, 2014

Friday, September 13, 2013

Kehebatan Silat Melayu

Disalin tanpa suntingan dari post Hj Yaacob Hj Idris pada 10 Sept 2013

Dimanakah letak duduknya KEHEBATAN SILAT MELAYU?

Adakah pada ILMU dan AMALANnya?
Adakah pada GURU dan PENGAMALnya?
Adakah pada NAMA SILAT itu sendiri?
Adakah pada BANGSA yang menjadi pelopornya?
Adakah pada senjata KERISnya? Ataupun pada FALSAFAHnya?

Majoriti yang akan memberi jawapan bahawasanya yang HEBAT itu hanya ALLAH SWT semata. Tiada yang hebat selainnya. NOKTAH!

Bila ditanya pula PERBANDINGAN di antara SILAT dengan BELADIRI ASING, jawapan biasa didengar adalah SEMUAnya HEBAT kerana ILMU itu milik ALLAH SWT. NOKTAH!

Inilah jawapan-jawapan yang BIASA diterima dari mulut bangsa kita yang sememangnya malas untuk berfikir, malas untuk buat kajian, malas belajar,malas merenung kehebatan Maha Pencipta, serba serbi malas dan hanya menerima sahaja sesuatu perkara itu TANPA MAHU MENILAI adakah ianya baik/ memberi manfaat dan apa Rahsia disebaliknya.

Untuk mengetahui jawapannya, sang faqir akan kongsikan sedikit pengetahuan tentang SILAT MELAYU ini dan diakhirnya InsyaAllah tuan/puan akan mampu bertemu jawapannya.

BAIAH/SUMPAH/IKRAR/PERLIMAU/PINANG

Dalam ADAT dan ADAB SILAT MELAYU, sebelum murid diterima belajar atau mempelajari sesuatu ILMU dalam Silat, mereka perlulah melalui suatu Majlis yang mana mereka perlu MENGADAP GURU dan menyatakan hasrat hati mereka untuk belajar dan sanggup menjadi murid serta akur pada ketetapan/ peraturan yang telah digariskan oleh GURU. Pada saat dan ketika itu, bermulalah suatu AKAD dan terjalinlah secara ROHANInya suatu IKATAN HUBUNGAN antara GURU dan MURID. Makanya, murid tersebut dikatakan telah mengambil BAIAH dan mendapat SANAD yang jelas. SANAD ILMU merupakan ROH kepada sesuatu ILMU. Pengajian secara berSANAD amat dititikberatkan kerana banyak ROH ILMU itu berkesinambungan sehingga kepada GURU YANG ASAL. ADAB BERGURU adalah KUNCI kejayaan bagi seseorang murid. Seseorang murid itu akan sedaya upaya akur dan mengikut tanpa banyak soal apa yang diajar oleh Guru.

Persoalannya; DARI MANAKAH DATANGNYA AMALAN SEPERTI INI? 

Kata Kunci: ADAB BERGURU, BAIAH, SANAD ROH ILMU, AKAD

FIZIKAL DAN SPRITUAL

Dalam Keilmuan Silat terdapat 2 elemen utama yang merangkumi ILMU FIZIKAL dan ILMU SPIRITUAL. Sesuai dengan ALAM ini yang dicipta secara berpasang-pasangan. Ilmu Fizikal terdiri daripada pelbagai disiplin Ilmu seperti ;

1. SENAMAN MELAYU – Amat sesuai diamalkan dikesemua peringkat umur dan ada yang khusus kepada lelaki dan perempuan. Senaman Melayu ini walaupun nampak “simple” tetapi impaknya begitu berkesan sekali. Diamalkan beserta PERNAFASAN MELAYU yang mampu membangkitkan TENAGA DALAM si pengamalnya. Maka, tidak hairanlah walaupun pengamal senaman Melayu tidak berotot dan tegap seperti mat saleh yg berlatih di gym, tetapi mereka lebih KUAT, lebih FLEKSIBEL, lebih SIHAT dan lebih TANGKAS.

2. TARIAN SILAT – Antara ILMU yang tiada dalam mana-mana Ilmu beladiri asing. Ia mampu melatih pergerakan sendi dan “minor muscles” yang amat jarang digunakan dlm kehidupan seharian. Minor muscles yang utuh akan memberi kuasa tambah kepada kumpulan otot utama badan. Akhirnya, latihan TARIAN SILAT akan menjadikan pengamalnya dapat menguasai ELEMEN LEMBUT dan KERAS (di sinilah RAHSIA pengamal Silat dalam kehebatannya mengemudi pelbagai jenis senjata terutamanya Seni Kain (Cendai). Dalam Tarian Silat juga diselitkan dengan cerita-cerita dan falsafah tentang Ketuhanan dan Alam. Kepada yang benar-benar menghayati dan memahaminya, tatkala jari-jemari bergerak tari, sebenarnya mereka sedang MEMUJI dan MENGINGATI akan SANG PENCIPTA ALAM. Gerak ALIF, Gerak LAM ALIF sebagai PENAFIAN GERAK DIRI, Gerak ALAM dan segalanya mempunyai cerita yang tersendiri. 

3. PERGERAKAN DAN BUAH SILAT – Ianya diciptakan sesuai dengan GERAK FITRAH MANUSIA. Kemampuan dalam penguasaan ELEMEN LEMBUT dan KERAS memberi kelebihan dalam melaksanakan pergerakan-pergerakan Tempur terutama dalam SENI KUNCIAN. Boleh dikatakan setiap kelebihan yang ada pada setiap seni beladiri asing, ianya turut ADA DALAM SILAT MELAYU. Sbg contohnya;;

1. Aikido dengan seni sendi – ADA DALAM SILAT malah lebih lagi.
2. Muay Thai dengan seni siku dan lutut - ADA DALAM SILAT malah lebih lagi.
3. Karate dengan KATA nya – ADA DALAM SILAT malah lebih lagi.
4. Taekwondo dengan seni kakinya – ADA DALAM SILAT malah lebih lagi.
5. Ninja dengan kecepatan dan tipu helah - ADA DALAM SILAT malah lebih lagi.
6. Samurai dengan seni pedangnya - ADA DALAM SILAT malah lebih lagi.
7. Silambam dengan seni tongkatnya - ADA DALAM SILAT malah lebih lagi.
8. Capoeira dengan kelincahan dan akrobatik - ADA DALAM SILAT malah lebih lagi.
9. Judo dengan seni jatuhan dan humbanan - ADA DALAM SILAT malah lebih lagi.
10. Jujitsu dengan seni kunci dan pergelutan - ADA DALAM SILAT malah lebih lagi.
Cukup setakat ini contohnya.

4. PETUA – Merupakan “PAKAIAN” buat GURU-GURU SILAT MELAYU. Petua merupakan Keputusan Ilmu berdasarkan PENGALAMAN atau ILHAM Guru-Guru silam. Ia mampu untuk memendekkan masa pengamalnya untuk menguasai sesuatu Ilmu yang dipelajari. Bahkan melalui PETUA juga Ilmu yang dipelajari menjadi lebih EFEKTIF dan MERBAHAYA. Pernahkah tuan/puan dengar cerita-cerita yg mana seorang Guru Silat Melayu yang cuma berbadan kecil tetapi mampu menewaskan musuh yg bersaiz besar? Hanya menggunakan satu jari tapi mampu menjatuhkan lawan dgn mudah? Hanya berkain sarung tetapi mampu menewaskan sekumpulan musuh yang ramai dan siap bersenjata lagi? Itulah hebatnya PETUA. Tetapi yang lebih hebat adalah sikap seorang GURU SILAT yang mampu MENYIMPAN RAHSIA ini! Mereka hanya curahkan Petua ini pada yang benar-benar layak sahaja. Itulah yang dikatakan seorang yang berADAB dengan ILMU dan AMANAH dalam menyimpan Rahsia. DARI MANAKAH DATANGNYA AJARAN YANG MURNI INI?

SPIRITUAL

Dalam bab spritual ini, Bangsa Melayu memang amat terkenal dengan kehebatannya. Banyak hal yang ingin sang faqir kongsikan, cuma pada post kali ini, sang faqir nak senaraikan ILMU-ILMU HIKMAH yang telah diwarisi sejak zaman-berzaman. Antaranya

1. Ilmu Pembias – Kalau tembak peluru terkalih bila hampir sampai ke tubuh.
2. Ilmu Kebal – Tak lut bila ditetak, tak terpotong bila dihiris, tak luka bila ditikam.
3. Ilmu Kunci Senjata – Bila nak tembak xboleh nak tekan picu.
4. Pasak/Pasung Bumi – Kunci segala gerak sendi musuh.
5. Lipat Bumi – Cepat sampai ke destinasi,ada yg Cuma sekelip mata.
6. Telepati – Berkomunikasi tanpa suara.
7. Jurus Angin/Kipas Nandung – Pukulan jarak jauh.
8. Ilmu Pembisa – Setiap pukulan akan lekat bisa pada musuh.
9. Ilmu Pemantas/halilintar– Pergerakan tangan kaki jadi cepat pada pandangan musuh.
10. Ilmu Pelimun – Ghaib pada pandangan musuh.
11. Ilmu Meraga Sukma – Mampu keluar dari Jasad (Roh idhofi tetap ada dlm jasad)
12. Ilmu Terawangan – Mampu meneroka melalui kuasa minda.
Dan pelbagai lagi.

Sekelian Ilmu di atas merupakan PENGETAHUAN BANGSA MELAYU AKAN RAHSIA DIRI DAN ALAM. Ianya juga mampu untuk diterangkan secara saintifik dan juga secara metafizik. Sememangnya tiada unsur yg melibatkan campurtangan jin pada asalnya. Cuma, bila mana ada segelintir manusia yang MALAS BERAMAL dan MENGAJI dengan PENDITA GURU, maka mereka mengambil jangan yg singkat (ditipu oleh jin) supaya dapat mencapai sepertimana ILMU-ILMU diatas.

Tuesday, September 10, 2013

Tari Pulut Tari Perang - hikmah bertari

Seni Tari Pulut - Warisan Terus Dipeliharan - oleh Mazlan Hj Hashim 
dipetik dari Majalah Seni Beladiri Sept 2013 - ms 43

Negeri Pahang Darul Makmur atau nama lamanya Inderapura banyak melahirkan pahlawan dan pendekar terbilang. Ilmu persilatan berkembang pesat dan mendapat pengiktirafan pihak istana. Seni warisan budaya bangsa Melayu ini masih dikekalkan keasliannya dan menjadi bahan rujukan sejarah yang tidak ternilai harganya. Para pahlawan dan pendekar ini membawa pelbagai aliran silat. Antara cabang persilatan itu adalah seni tari pulut.

Seni tari pulut ini perlu dipelihara dan dikembangkan kerana era kemodenan banyak menghakis warisan seni budaya bangsa Melayu. Mungkin generasi muda masakini berpendapat tidak memerlukan kemunculan semula warisan dahulu. Tetapi buat generasi yang sudah berumur, mereka ingin melihat semula warisan ini dipelihara kerana nilainya tidak dapat dibeli dengan wang ringgit. Khazanah ini terlalu mahal harganya bagi yang memahaminya.

Nostalgia seni tari pulut membawa kenangan indah buat mereka yang memahami. Professor Datuk Aripin Said yang merupakan Penyelidik Budaya Negeri Pahang pernah mendapat pesanan ketika bertemu Mat Kilau di Kuantan. Mat Kilau pernah berkata bahawa Tari Pulut itu sebenarnya adalah Tari Perang.

Bagi menghidupkan semula warisan ini, pada tanggal 30 Jun 2013, telah berlangsungnya majlis menyambut menantu anak Muhammad Khairul Safiq dan Adrismadesi binti Agustami telah dipersembahkan dengan seni tari pulut yang menampilkan pelbagai gerak tari daripada perguruan Seni Silat Sendeng Gunung Sakti, Seni Silat Lincah Terlak dan Seni Silat Sengkelat Pendekar Endol.

Asal Seni Silat Sendeng Gunung Sakti dan Seni Silat Lincah Terlak dibawa oleh Cikgu Jantan anak Datuk Bahaman. Datuk Bahaman pernah menentang campurtangan Inggeris di negeri Pahang bersama Tok Gajah, Mat Kilau, Mat Lela dan sahabat-sahabat seperjuangan yang lain. Manakala Seni Silat Sengkelat Pendekar Endol adalah warisan Pendekar Endol yang pernah mengajar silat di Istana Kuning, Pekan di zaman Almarhum Sultan Abdullah (Sultan Pahang ke-3).

Kini Seni Silat Sendeng Gunung Sakti dikembangkan oleh guru Mohamad Nazri, Seni Silat Lincah Terlak oleh guru Musa Abdul Manaf dan Seni Silat Sengkelat Pendekar Endol oleh guru Iskandar Kamil Hj Ujang.

Majlis persandingan kedua mempelai diserikan dengan tari-tari silat seperti Titi Batang, Helang Berlayar, Berdiri Ketitir, Sembelih Ayam, Benang Kusut, Merbah Belaga, Menyusup Rotan, Menarik Benang Sebelit, Berkayuh Perahu, Sauk Besar, Sauk Kecil, Tepuk Ketinting Murai, Tepuk Sembah, Cacak Racik, Helang Melayang, Tarik Rotan Manau. Tarian piring turut dipertontonkan dan memperagakan tarian silat seperti lenggang janda, cacak racik dan merbah berlaga.

Semoga warisan budaya bangsa ini terus dipelihara agar perkembangannya dapat mengangkat martabat seni tari pulut agar menjadi warisan yang tidak dilupakan. Kita harus ingat dari sinilah munculnya para pahlawan dan pendekar terbilang yang mengangkat bangsa Melayu sehingga disegani oleh pihak luar. Yang lama tidak dipinggirkan dan yang baharu diteruskan kerana ia sama-sama memerlukan. Ia ibarat aur dengan tebing, sama-sama bergandingan bagi menyokong satu sama lain.

Sunday, March 18, 2012

Falsafah "keris tidak dicabut"

Sumber: Blog Shahir Makin
http://silatpanglimakasim.blogspot.com/2010/09/falsafah-keris-tidak-dicabut.html

Berarti duduk dalam diam berlangkah dan dalam berlangkah diam, di mana tempat jatuh, di situ jualah bersambut. Dalam elak sebutir padi, diri mengelak dan mengilat, jadilah ia seperti perumpamaan sambil menyelam minum air. Walau bersenjata atau bertangan kosong, penyampaiannya tetap sama, itulah uniknya Silat Melayu.

"Dalam tari tersorok duri,
gila bertari memakan diri,
dalam berlangkah tersimpan deras,
gila berlangkah menyesak nafas."

"alang2 menyeluk perkasam,
biar sampai ke pangkal lengan,
hajat di hati ingin menyampaikan,
supaya mati beroleh kebaikan."

"elak kena, tak elak pun kena,
elak umpama sebutir padi,
walau kena atau tak kena,
semua sudah suratan Ilahi."

"sebelum sampai suratan Ilahi,
wajib belajar meningkatkan diri,
dari iri memaksumkan diri,
lebih afdal memperbaiki diri."

sekian sahaja laporan daripada K.aramSing Walla' (jangan marah tuannnn..... :)

Friday, December 9, 2011

Silat Jatuh Warisan Kelantan

Artikel ini disalin dengan sedikit suntingan dari:
http://khalifahgayong.wordpress.com/2010/02/16/terkenangkan-guru-hamba-syed-harun-tuan-besar/

Pelancong sangat meminati Silat Jatuh yang kaya dengan Kesenian


Seni silat merupakan salah satu khazanah bangsa Melayu yang masih wujud hingga kini. Jika dikaji terdapat beratus-ratus jenis aliran seni silat di Negara ini. Masing-masing mempunyai nama yang unik dan gaya persilatan yang hebat. Namun tahukah anda bahawa di negeri cik siti wan kembang ini juga terdapat sejenis seni silat yang amat cantik dan menarik.

Seni silat yang dimaksudkan itu ialah Seni Silat Cantik atau Silat Jatuh. Ianya menjadi sangat unik kerana hanya dapat dilihat dan dipelajari di negeri ini sahaja dan ia amat terkenal di negeri Kelantan. Namun asal usulnya masih belum  diketahui dengan jelas kerana tidak ada sejarah bertulis mengenainya.
Seni silat ini mengabungkan keindahan gaya gerakan tari silat dan juga kehebatan pesilat menewaskan lawannya.

Diawal pembelajaran, murid-muird akan diajar cara bertari silat dengan baik terlebih dahulu. Apabila tari sudah kemas dan cantik, diajar pula cara bertapang (tapak empat). Ia adalah cara bertari sambil melangkah dalam 4 penjuru.

Setelah boleh bertari dan bertapang barulah diajar cara berlawan(bergomol). Didalam  silat ini tujuan bertarung adalah untuk menjatuhkan pihak lawan. Teknik-teknik seperti tumbukan dan tendangan adalah dilarang sama sekali. Ia hanya menggunakan kebijaksanaan pesilat untuk menjatuhkan lawan mereka. Jika dilihat secara kasar ianya sama seperti seni bela diri dari jepun seperti sumo dan judo.

Latihan

Silat cantik biasanya diajar di dalam bangsal yang berdekatan dengan rumah guru yang mengajar. Tempoh belajarnya pula biasanya 2-3 bulan sahaja, namun jika anak murid ingin terus menambah ilmu boleh datang berjumpa guru untuk belajar.  Silat cantik juga banyak dipersembahkan di majlis-majlis perkahwinan dan juga dalam upacara menyambut orang-orang kenamaan di Kelantan. Biasanya ketika majlis perkahwinan permainan silat ini kelihatan agak nakal dan lucu kerana bertujuan untuk menghiburkan tetamu yang hadir.

Unsur Humor diselitkan semasa persembahan



HAKIKAT PERGERAKAN BUNGA DAN RAHSIA
Pergerakan silat terbahagi kepada bunga (pergerakan seolah-olah tarian, digelar juga seni atau tari) dan buah (pukulan atau buah pukul). Bagi mereka yang tidak pernah melihat seni pertahanan diri ini, mungkin ia kelihatan seperti sejenis tarian.

Namun terdapat aliran yang hanya mempunyai buah seperti Silat Cekak dan Buah Bentayan. Seni tari yang halus ini memungkinkan ia digunakan sebagai persembahan dalam sesuatu majlis keramaian, malah hampir setiap aliran mempunyai ‘tari sembah’ termasuklah aliran yang tidak mempunyai bunga.

Tari sembah ini dipersembahkan untuk memperkenalkan diri dan aliran yang diwakili/dipelajari. Dalam situasi pergaduhan, permulaan langkah dari tari sembah atau sejurus dari bunga yang diperlihatkan membolehkan pesilat mengenali rakan sealiran dan memungkinkan situasi berakhir dengan damai dan bermaaf-maafan.

Silat Jatuh Sungguh Berseni dan Beradab

Adalah menjadi ungkapan yang terkenal dan biasa disebut oleh guru-guru silat bahawa bunga silat mempunyai seribu satu muslihat. Selain daripada kelihatan mengelirukan (seolah-olah menari) dan sebab-sebab di atas, bunga juga digunakan untuk memberi masa dan ruang kepada lawan untuk menghulurkan salam perdamaian (ini dapat dilihat dalam kebanyakan bunga yang kelihatan seperti menghulur salam), menyembunyikan buah dan sudut serangan dan mengacah serta mengumpan lawan (kadangkala sehingga sengaja menunjukkan bahagian tubuh tertentu bagi diserang untuk memerangkap musuh).

Silat Jatuh terkenal dengan pergerakan bunga yang cantik dan istilah ‘melilit’. Pesilat aliran ini akan sengaja memberi ruang dan isyarat kepada musuh untuk menyerang atau cuba melepaskan diri, di mana semakin musuh itu menyerang setelah termasuk perangkap kuncian, maka semakin ketat mereka akan ‘terbelit’ dalam kuncian pesilat aliran ini.
Guru Silat Jatuh ambo C.Inspektor Syed Harun Tuan Besar @ A.Aik

Sundang Geliga  Mata Berkait,
Langkah Sembah Bersama Tari,
Sekilas Pandang Pendekar Syed,
Bunga Jurus Penuh Berisi

Bunga tari jurus berisi,
milik Panglima KeBawah Duli,
kalau ingin jurus dimiliki,
Pendekar Syed sedia memberi

Bukan mudah ilmu diberi,
Harus cekal berhati murni,
Tujuh bunga sebagai ufti,
Berguru dengan Pendekar Sejati,

Bukit Aman nama diberi,
Jalan sukar ranjau berduri,
Jika jurus tak penuh dimiliki,
Jangan cuba hendak didaki.

Ramai Pendekar cuba mendaki,
Untuk bertemu Guru sejati,
Hati jujur tidak dimiliki,
Jurus Tari memakan diri.

Langkah diatur berhati-hati,
Jurus tari perlu dimiliki,
Petua guru haruslah ditaati,
Agar ilmu sakti diberkati,