Perhatian


Kebanyakan post di dalam blog ini disalin dari posting dari sahabat-sahabat blogger lain untuk rujukan saya pada masa akan datang. Jadi saya lampirkan sekali link ke post asal bagi menjaga hakcipta post serta memudahkan anda dan saya ke post asal. Harap Maklum

Showing posts with label adat dan adab. Show all posts
Showing posts with label adat dan adab. Show all posts

Sunday, January 12, 2014

Tuesday, December 17, 2013

Sekitar Konvensyen dan Konvokesyen Seni Beladiri MAGMA 2013


14 dan 15 Disember 2013 telah berlangsungnya Konvensyen dan Konvokesyen Persatuan Guru-guru Seni Beladiri Malaysia (MAGMA)

Bermula dengan Seminar Adat dan Adab Melayu pada pagi Sabtu 14 Disember. Untuk makan tengahari, kami dihidangkan dengan puding diraja Pahang yang istimewa serta diajar dengan kaedah makan beradab.


Kemudian disambung pula dengan seminar. Walaupun seminar tidak belangsung seperti yang dirancang ekoran kesulitan beberapa pembentang, namun topik-topik yang dihidangkan pada hari itu amat menarik.

Herba Melayu - Tuan Guru Mazlan hj Hashim
Mat Kilau Pahlawan Pahang - Guru Mohd Alhamadi Abu Bakar
Dunia Busana Melayu, Darjat dan Daulatnya - Tuan Guru Khairul Azhar
Unity in World Martial Art, the hope of MAGMA - Sifu Nigel Conan Sutton

Master Ang Kee Wah dan Guru Mazlan Hj Hashim

Bersama Guru Alhamadi, Cikgu Jasiman dan Guru Azhar, YDP PUSAKA KL

Keesokan harinya 15 Disember, program bersambung lagi dengan Konvokesyen. Dirasmikan oleh Orang Kaya Indera Pahlawan Dato' Seri Wan Hj Abdul Wahid selaku penasihat MAGMA.

Tari sembah menyambut kedatangan tetamu kehormat

Persembahan dari pengamal Aikido

Sempat bergambar bersama anak Shihan Sonny Loke

Bersama Dato Seri Wan Hj Abdul Wahid, Pendita Prof Dr Azlan Ghanie, 
Guru Hosni serta para graduan

Mat Kilau dianugerah Pahlawan terbilang diwakili cucunda beliau, 
Guru Alhamadi Abu Bakar

Guru Kama, Guru Alhamadi, Sifu Nigel Sutton

Terima kasih ayahanda kerana sudi hadir


Tuesday, August 20, 2013

Baju Orang Melayu

Untuk Lelaki

Pertama disebut Teluk Belanga
Tebuk Leher bertulang belut
Cengkam dijalin menjari lipan
Buah baju tunggal-tunggalan
Kalau bulat menelur burung
Kalau bertangkai memudung petai
Atau bermata bagai cincin
Labuhnya sampai segenggam tangan
Lebar dapat kipas-berkipas
Lapang tidak menyangkut ranting

Sempit tidak membilang tulang
Labuh di luar dagang dalam
Labuh di dalam dagang luar
Kalau bersulam berbenang emas
Tekat berkumpul di atas dada
Turun ke bawah bak sarang lebah
Kalau tangan bersulam suji
Bagai simpai di ujung lengan
Pucuk rebung timbalannya
Bertabur bunga jarang-jarang
Tidak berbatas tempat memakai.

Kedua bernama Cekak Musang
Leher tegak empang leher
Renda-berenda benang emas
Jalin-menjalin benang kelingkan
Dua butang sebelah atas
Tiga buah di bawahnya
Butang bulat pudung petai
Butang bersegi mata cincin
tabur-berterabur bunga telepuk
Tekat penuh di atas dada
Jalar-menjalar ujung lengan
Sebuah kocek di atas
Dua buah kocek di bawah
Lebarnya dapat berkiah
Labuh sampai segenggam tangan
Patut dipakai dagang dalam
Patut dipakai dalam majlis
Pantas dibawa dalam jamuan.

Ketiga Baju Bersingkap Dada
Belah leher sampai ke bawah
Butang bersusun lima buah
Di bawah berjahit mati
Di atas berumah-rumah

Kalau berenda menyusur belah
Kocek di bawah kiri kanan
pakaian kain dagang luar
Patut dibawa berjalan jauh
Atau bertandang-tandang saja
Atau dipakai jadi pelasah
Atau dibawa dalam gelanggang.

Keempat Baju Atas Angin
yang dibawa alim ulama
Yang dipakai bermusim-musim
Labuhnya mencecah tanah
yang disebut baju jubah.

Kelima Baju Kutang
yang dipakai di dalam rumah
Atau Beramu ke dalam hutan
Atau ke sungai pergi berikan
Tak boleh bawa bertandang
Tak beradat ke rumah orang.

Untuk Perempuan

Yang betina lain bajunya
Pertama disebut Baju Kurung
Leher melingkar tulang belut
Cengkam-cengkaman menjari lipan
kalau ditenun tabur-bertabur
Sulam di tangan sulam di bawah
Sulam menjalin keliling dada
Labuhnya sampai ke bawah lutut
Kibar-berkibar ditiup angin
Tidak sempit menyampul nangka
Patut dipakai tua muda
Tidak berbatas pemakaiannya
Aib tertutup malu tersimpan
Sesuai adat dengan syarak
Sesuai ke tengah
Sepadan ke tepi.

Kedua disebut Kebaya Panjang
Gunting bernama gunting sembilan
Belah terbuka sampai ke bawah
Dalam acap-acap betis

Dalam tidak mengemakkan
Pendek tidak menyesakkan
Kalau berenda sebelah muka
Berenda pula kaki bajunya
renda keliling lingkar-berlingkar
tabur-bertabur seluruh badan
Jalin-jalin sulaman tangan
kalau belah mahu ditutup
Terpasang kosang sebelah atas
Kosang bersusun sampai pusat
Bertali-tali semat-menyemat
Patut dipakai tua muda
Tidak berbatas tempat bertandang
Elok ke tengah
Patut ke tepi.

Ketiga bernama Kebaya Pendek
Pendek menyapu-nyapu duduk
Pendak separas-paras tampah
Belah leher sampai ke bawah
Genting-genting pada pinggangnya
kembang mengepak sebelah bawah
Lengan panjang tidak berkibar
Tapi sempit tidak berketak
Dada bertutup lapis dada
Susun-bersusun konsang butangnya
Rangkai-berangkai sampai ke pusat
Patut dipakai dalam rumah
Pakaian betina sudah berlaki
Untuk berjalan bertandang-tandang
Atau ke helat-helat kecil
Atau ke ladang dan ke sungai.

Pakaian dalam bernama Kutang
Di muka ampuan susu
Di belakang lebar sejengkal
Berbutang tiga serangkai
Sulam-bersulam kelilingnya
Kalau betina belum berlaki
Sama lebar muka belakang
Lebar labuh sampai ke perut
Tidak terbuka kalau berkemban.

Sumber dari http://www.keriswarisan.com/live/blog/872/baju-orang-melayu/ 

www.keriswarisan.com

======================================================= =====================

Garis panduan dan sumber ini disediakan oleh 
Johan Iskandar
Pengasas@keriswarisan.com
www.keriswarisan.com

Monday, July 15, 2013

Urat Dawai Tulang Besi - hikmah bertari


Isi besi dipadu bila bertari - oleh Azlan Ghanie 
dipetik dari Majalah Seni Beladiri Mac 2004 - ms 54 kolum Senaman Tua

Satu ketika dahulu, juga yang tidak tahu rahsia tari dalam Silat Melayu hingga mereka memperlekeh tari. Dalam seminar, isu itu disampaikan kepada peserta yang baru hendak mengenali beladiri. Isu ‘kutuk’ orang silat dengan dakwa bertari dan berbunga sebagai buang masa.

Isu ini isu lama. Suara perlekeh itu sudah jarang kedengaran lagi. Mungkin mereka sudah celik atau sedar dari tidur.

Penulis sendiri melihat dan mendengar orang sebegini bercakap dalam seminar, namun kehadiran sebagai wartawan… ketika itu, penulis no comment. Buat tak reti aje.

Bila membuat laporan dan disiarkan dalam majalah, dakwaan seumpama itu tidak dimasukkan. Penulis percaya dan yakin, mereka akan sedar dan insaf bila menemui kebenaran.

Kerana yang diberitahu itu ialah generasi baru. Ada yang tidak pernah melihat tari silat.
Apapun, yang tidak tahu akan terus tidak tahu.

Suara yang pertikai itu, sebenarnya tidak mengutuk mana-mana silat. Hanya tidak Nampak realistiknyabila bertari pulut dan sebagainya. Namun jika tidak bertanya atau berguru, rahsia bertari pulut itu tidak akan diketahui.

Kini, suara sedemikian sepertimana dikatakan, tidak berkumandang lagi. Mungkin diri sudah berilmu.
Mungkin sudah sedar, tari silat lain perguruan lain gayanya, namun konsepnya sama.

Jika taichi dikatakan senaman untuk golongan tua. Ia membuktikan golongan itu berada dalam kesihatan yang baik. Bila dibuat kajian, gerak perlahan boleh menghasilkan pergerakan ‘luar biasa’.

Begitulah tari pulut, tak perlu tunggu usia lanjut. Terlangsung, bila sudah bertari, badan atau fizikal berada dalam tahap kecergasan yang terbaik. Ambil contoh perguruan yang bertari termasuk Gayung Fatani, badan pengamal pengamal cukup mantap dan kemas. Tidak perlu masuk gim.

Mempelajari beladiri perlukan komitmen dan mempelajari tari memerlukan bukan sahaja komitmen tetapi kekuatan mental dan fizikal. Kreativiti dan ilmu kecergasan jika diambil kira, bakal memahami lagi segala perbuatan.

Namun, seperti biasa, ada golongan enggan mempelajari beladiri, apatah lagi silat yang betari. Mungkin takut badan sakit, diperlekeh kawan, atau peel suka perlekehkan orang beladiri seperti berkata: “Kenapa hendak belajar beladiri… senjata api ada”.  Ego sebegini adalah sama dengan ‘nikmat’ makanan segera.

Kembali isu tari pulut atau Tari Pendekar, yang benar tetapi tidak hairan, tiada guru tua yang mengamal tari itu membalas. Tiada yang melenting malah mereka senyum dengan dakwaan itu.

Di Pahang, Tari Pendekar masih terpelihara dan penulis akan sedaya upaya memeliharanya bersama rakan-rakan seperjuangan di Negara itu.

Bila bertari, semua otot-otot bergerak. Adakala ‘main’ rendah, sederhana dan tinggi. Ada masa perlahan dan ada mas laju. Ini menepat kehendak sains sukan, aerobic dan anaerobic.

Ahli  gim akan menggunakan dumbell dan barbell untuk beban tambahan. Orang silat bila bertari dengan senjata, otot dalam tangan hidup dan mantap. Kerana itu, yang tahu bermain peroleh ‘rasa’.
(Contoh permainan ‘rasa’ – mereka yang memegang kuat tangan pesilat, tidak tahu bila dan bagaimana pegangan terbuka… hanya tahu ia sudah terbuka.)

Bagi pengamal tari. Tidak hairan dengan sebutan kelakar, tulang besi urat dawai. Bertari dalam kajian penulis, akan menguatkan otot-otot dalaman. Kerana itu, kekuatan dalaman tangan agak luar biasa kepada bukan pengamal.

Pengamal tari banyak menggunakan pernafasan, oksigen juga merawat kecederaan atau penyakit dalam tubuh badan.

Kerana itu, mereka atau golongan guru tua kelihatan bergerak ‘muda’ dan mempunyai tubuh badan yang ‘sedap’.

Friday, March 16, 2012

SILAT - oleh Azlan Ghanie


SILAT – Asal & Usulnya 

Silat adalah khazanah warisan budaya Malaysia. Ia merupakan seni beladiri Melayu yang sudah bertapak di rantau Nusantara ini sejak kurun ke-4 iaitu kerajaan Jambi di Sumatra.

Beladiri itu mulanya berasal dari istana yang mana ilmu itu memenuhi dada Raja dan pengikut-pengikut baginda dalam penghijrahan dan mewujudkan pemerintahan.

Sehubungan itu wujud kerajaan-kerajaan Melayu antaranya Langkasuka, Pura, Pasai, Acheh, Champa, Majapahit, Temasik dan Melaka. Diperakui kini, kerajaan Melayu asal meliputi Selatan Thailand iaitu Fatani, Kemboja, Filipina, Brunei, Malaysia, Indonesia dan Singapura.

Di Malaysia, catatan bertulis dalam sejarah silat bermula zaman Paramesrawa pada kurun ke-12 sebelum membuka kerajaan Melaka. Disusuli cerita kehebatan Sultan Melaka, Sultan Alauddin Riayat Shah menangkap pencuri-pencuri ketika rondaan waktu malam di kota Melaka.

Kisah lima hulubalang Melayu Melaka iaitu Hang Tuah, Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekiu dari episod awal remaja menentang lanun, orang amuk, kemudian menuntut ilmu di Gunung Ledang hingga Hang Tuah menjadi Laksamana Melaka menggambarkan perjalanan penjurit-penjurit Melayu dalam dunia persilatan.

Suntikan dari ilmu persilatan turut dapat dilihat apabila pahlawan-pahlawan Melayu tidak gentar menentang Portugis yang bersenjatakan meriam dan senjata api. Tentera Eropah itu pernah ditewaskan dalam percubaan pertama menakluk Melaka pada tahun 1509 sebelum berjaya dua tahun kemudian dengan jumlah armanda seganda iaitu hampir 20 buah kapal.

Dalam Perang Dunia Kedua, ketika Jepun menakluk Tanah Melayu, pendekar-pendekar Melayu turut mempertahankan daerah dan kampung-kampung mereka. Apabila tentera komunis atau dikenali Bintang Tiga memerintah selepas pengunduran Jepun, pahlawan-pahlawan  Melayu bangkit untuk menentang tentera itu yang bersikap tidak  berperikemanusiaan.

Pahlawan-pahlawan yang tersohor menentang penjajah Inggeris dengan ilmu persilatan antaranya adalah seperti Datuk Dol Said, Datuk Bahaman, Tok Gajah, Mat Kilau, Mat Lela dan Tok Janggut. Manakala tentera Jepun dan komunis pula Lt Adnan, Kiyai Salleh dan Pak Hamid Jah.

Perkembangan silat di luar istana sudah lama berlaku dan kisah Hang Tuah bersama teman-temannya berguru di Gunung Ledang menjadi bukti.  Penaklukan dan pencerobohan penjajah turut menyumbang ilmu beladiri Melayu keluar dari istana dan aktif dengan penduduk-penduduk kampung.

Silat terus dipelihara seperti di negara Indonesia, Brunei dan Singapura selain Malaysia dan dikembangkan ke luar negara terutama melalui sukan tempur iaitu silat olahraga. 

Di Malaysia, silat bukan sahaja berkembang di sekolah-sekolah dan di pengajian tinggi kerana sudah terdapat perguruan-perguruan tertentu turut mengembangkan ilmu mereka hampir semua pelusuk dunia sepertimana beladiri-beladiri lain yang sudah terkenal.

Disiplin beladiri itu seperti adab hormat-menghormati, penggunaan akal, tenang, sabar, pergerakan fizikal yang berstruktur dan sebagainya telah dikenalpasti satu riadah yang baik untuk kesihatan dan menjalinkan hubungan rakyat tanpa kira kaum dan agama.

SILAT – Beladiri & Falsafah

Silat menjadi sebutan rasmi kepada beladiri Melayu. Sebelum itu di kepulauan Jawa, ia lebih dikenali dengan “Pencak”. Ada juga orang Melayu Bugis, Acheh dan Fatani menyebut Gayung.

Umum yang tidak tahu mengenai dunia beladiri atau masih berstatus hijau atau belum masak, akan berkata, silat seperti beladiri lain. Ia seni mempertahankan diri.

Namun bagi yang sudah masak akan berkata silat atau mana-mana beladiri hanya nampak sama tetapi tetap tidak serupa. Ada beladiri mengakui konsep mereka mempertahankan diri kerana tidak menyerang. Mereka menanti. Berbeza dengan silat atau sikap Melayu bila hendak diserang, mereka boleh bertahan dan menyerang sekali gus atau menyerang dalam bertahan.

Falsafah silat tersembunyi dalam sebutan “silat” iaitu elak dan elat (ilat) atau dalam mengelak – mengilat.  Dalam latihan, silat dilihat sepertimana beladiri lain menggunakan mental dan fizikal tetapi pada hakikatnya ia tetap berbeza dalam penyampaian dan pengisian mengikut budaya adab.

Hasilnya silat atau perguruan juga dicerita lisan dengan pelbagai hasil:
1.    Silat sendiri diceritakan secara lisan dari orang yang pandai mengilat ketika  diserang,
2.    Hasil pergerakan tangan seorang imam mengambil air sembahyang (wuduk)  di telaga,
3.    Seorang wanita melihat dua binatang (monyet melawan harimau),
4.    Menggayakan pergerakan binatang-binatang tertentu seperti harimau,
5. Pergerakan-pergerakan mengepung dan membunuh harimau yang  mengganas di kampung,
6.    Hasil dari persembahan atau teater,
7.    Menggabungkan menjadi satu perguruan-perguruan yang telah dituntut.

SILAT – Pakaian & Senjata
Pakaian Silat adalah longgar untuk mudah bergerak. Dalam sejarah peperangan, orang-orang istana memakai sebegitu dan ada juga baju rantai untuk elak panahan, memakai sangga rotan di pergelanggan tangan dan bengkung di perut untuk tegap badan dan juga untuk menahan dan mengalih tikaman senjata tajam. Kesimpulannya, pakaian perlu sesuai dengan tujuan dan matlamat.

Dalam latihan, pakaian perlu lengkap menutup badan atau aurat jika lelaki bercampur dengan wanita.

Ikut sejarah lisan dan bertulis, orang-orang istana dalam bertempur menggunakan senjata-senjata tertentu seperti antaranya keris, sundang, lembing, badik dan tumbuk lada. Keris menjadi senjata utama.

Kerana itu, pakaian perlu sesuai dengan ‘kehadiran’ senjata-senjata berkenaan supaya ia boleh diselit di bahagian-bahagian tertentu badan serta tidak menghalang pergerakan bila bersenjata.

Ada juga menggunakan senjata-senjata rahsia seperti lawi ayam, kerambit dan anak badik yang disembunyikan dalam ikatan pakaian.

Namun sekarang, parang, kapak, buluh dan pelbagai lagi peralatan tertentu telah dijadikan senjata dalam beladiri.

Pakaian dalam persembahan adalah mengikut perguruan dan kesesuaian majlis. Kerana penampilan ‘pertarungan’ hulubalang yang hendak dipersembahkan, pakaian yang menampakkan ciri-ciri orang istana dizahirkan seperti bersetanjak, baju layang, bersamping dan keris.

Apa jua, penampilan pakaian guru atau orang silat yang dijemput hadir dalam majlis tertentu, bentuk rupa (fesyen) atau potongannya berbaju Cekak Musang dan Teluk Belanga. Warnya hitam.

Potongan dan warna ini bagai pemakaian rasmi silat kerana dipakai oleh majoriti perguruan. Secara tidak langsung, ia juga dipakai oleh pesilat-pesilat beriadah iaitu dalam latihan dan bersukan. Ada juga perguruan mempunyai potongan pakaian yang berbeza serta senjatanya.

SILAT – langkah & tari

Ilmu silat pada zaman dahulunya sangat dirahsiakan. Sepertimana dikatakan dan diketahui, ia berasal dari istana dan ilmu itu hanya untuk orang-orang istana untuk mempertahankan kota mereka atau mengembangkan jajahan.

Tidak semua orang boleh diajar terutama luar kota yang mungkin pengintip atau bakal pembelot. Malah tiada siapa mengenal atau ‘menampakkan’ guru silat yang dahulunya digelar Pendita.

Dalam Hikayat Hang Tuah, dicatatkan untuk menjadi penjurit istana seseorang itu terlebih dahulu perlu menuntut ilmu. Hang Tuah dan empat sahabatnya Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekiu dan Hang Lekir terpaksa memanjat Gunung Ledang untuk berguru dengan Pendita Adi Putra.

Seterusnya mendapat perkenan bekerja dalam istana sesudah Hang Tuah dapat membunuh seorang amuk yang cuba membunuh Tun Bendahara. Atas keberanian itu, Tun Bendahara telah membawa Hang Tuah mengadap Sultan Melaka sebelum diperkenan sebagai hulubalang negeri itu.

Hang Tuah tidak belajar begitu lama dengan Pendita Adi Putra, namun selain membunuh orang amuk itu, Datuk Laksamana itu juga berjaya menumpaskan pahlawan-pahlawan Jawa sebelum membunuh Taming Sari di Majapahit. Juga membunuh pahlawan-pahlawan Jepun di Siam.

Apa yang boleh dijadikan sandaran ‘langkah’ orang istana dalam persilatan zaman dahulu adalah ia berpaksi kepada budaya adab sepertimana tidak mengangkat kaki, memberi punggung dan senjata berlaga bila mengadakan persembahan depan Raja Melayu. Mengangkat sedikit kaki dibenarkan depan pembesar-pembesar istana manakala pergerakan bebas bila penontonnya khalayak ramai.

Ertinya silat untuk dimahirkan perlu berguru dan seterusnya mengenal dan mengamal adab budaya Melayu yang mana ia tidak bercanggah dengan agama Islam.

Jika dulu, silat itu ilmu rahsia, hanya diajar kepada keturunan dan orang-orang tertentu sahaja. Kini, silat melalui perguruan termasuk bergerak mengikut syarat-peraturan persatuan telah membuka pintu.

Setiap perguruan ada logo dan Sembah Perguruan tersendiri. Begitu juga dengan  sukatan pelajaran mereka yang mana ada berlangkah dan ada tidak berlangkah. Ada bertari dan ada yang tidak bertari.

Apa yang pasti, silat menyampaikan rahsia ilmu mengenai akal dan jati diri dalam membentuk jiwa berperanan dan bertanggungjawab sebagai Pendekar Negara.

Rujukan:
1. Sejarah Melayu, 2. Hikayat Hang Tuah, 3. Malacca Towards New Horizon, 4. Perkembangan Dunia Islam – Dr Hamka, 5. YDH Dato Sri Wan Haji Abdul Wahid Wan Haji Hassan, 6. Wan Yahaya Abdullah, 7. majalah PENDEKAR, 8. majalah SENI BELADIRI dan 9. petikan Pencak & Silat: Sultan Zainol Abidin (Arkib Negara).