Perhatian


Kebanyakan post di dalam blog ini disalin dari posting dari sahabat-sahabat blogger lain untuk rujukan saya pada masa akan datang. Jadi saya lampirkan sekali link ke post asal bagi menjaga hakcipta post serta memudahkan anda dan saya ke post asal. Harap Maklum

Sunday, April 15, 2012

Demokrasi vs Raja-Raja - Merah Silu



Assalamualaikum. Malam tadi, ketika melihat perbincangan terbaru dalam thread "Berpetualang ke Aceh" di Forum CVT (sekarang dah jadi Forum Rawatan Alternatif), saya dapati arah perbincangan berlegar-legar ke atas makna raja... Apakah bezanya darah raja dengan orang biasa dan perkara-perkara yang sewaktu dengannya. Dalam pada itu, timbul gerak untuk menjawab tentang asal-usul raja-raja dengan sedutan daripada buku terbaru saya, "Berpetualang ke Aceh: Membela Syiar yang Asal" atau BKA II" yang akan keluar tidak lama lagi, daripada bab bertajuk "Demokrasi vs Raja-raja".
Sedutan yang diletakkan dalam forum telah menerbitkan sedikit polemik. Lalu dijawab dengan sedutan tambahan daripada bab yang sama. Kebetulan, lebih 2 minggu lepas, saya ada meletakkan bahagian lain daripada bab ini dalam website Tranung-Online lalu malam tadi, saya tergerak untuk menyambungnya dengan sedikit lagi sedutan yang bersambung daripada cerita yang terdahulu.
Sebentar tadi, saya berhempas-pulas cuba untuk tidur kerana sudah larut malam tetapi entah kenapa, terasa begitu susah hendak melelapkan mata. Saya pun membuka komputer dan masuk ke Internet, tergerak pula untuk membuat update di blogspot ini menggunakan sedutan-sedutan dalam bab "Demokrasi vs Raja-raja yang telah diletakkan di dalam forum tadi. Sila... :]

----------------------------------
Kalau dikaji secara mendalam, sistem beraja adalah sistem pentadbiran masyarakat berasaskan wahyu yang menjemput naungan kerajaan langit. Ia diturunkan daripada Nabi Syith bin Nabi Adam sebagai pecahan sistem keKhalifahan dan keNabian yang diwarisi keturunan tertentu yang dipelihara Ilahi, keturunan terpilih yang memiliki ketokohan serta kelebihan semulajadi untuk memimpin masyarakat. Maka itu, sistem pemerintahan beraja yang sebenar berlandaskan Syariat dapat memartabatkan rakyat serta menjaga kemaslahatan mereka seperti pernah dilakukan raja-raja berdaulat yang memerintah Perlak, Samudera-Pasai, Melaka dan Aceh dahulukala.
Malangnya, raja dan kerabat diraja yang ada sekarang rata-rata bersifat seperti orang kebanyakan, terlalu sukakan hiburan, sibuk berniaga berjual-beli mencari keuntungan materialistik dan keduniaan dengan menggunakan kedudukan sebagai orang istana atau orang yang rapat dengan istana untuk mendapatkan cable perniagaan dan pengaruh politik yang tidak boleh dicapai orang lain. Masyarakat juga sudah terbiasa melihat gaya kehidupan sesetengah kerabat diraja yang mengarut, suka minum arak, main betina, keBaratan melebihi Orang Putih sendiri... Maka bagaimana orang Melayu sekarang mahu menghormati raja serta kerabatnya sedangkan kehidupan mereka telah jauh menyimpang daripada peranan sepatutnya sebagai ketua adat orang Melayu dan ketua Islam? Hormat yang ditunjukkan sekarang tinggal hormat luaran sahaja, itupun kerana manusia-manusia ini masih berpangkat dan berdarjat... Mereka cuma dihormati kerana ada gelaran Tengku, Tunku atau Raja, menetap pula di istana ataupun rumah-rumah besar bagaikan istana, kaya-raya, ada kekuasaan, ada panggilan Yang Mulia walaupun perangai mereka kadang-kala lebih teruk daripada binatang.
Bagaimana pula mereka yang bergelar Yang Teramat Mulia dan Duli Yang Maha Mulia? Adakah peribadi mereka setimpal dengan gelaran itu? Bukankah ia cuma layak diberikan kepada Allah Subhanahuwata’ala sahaja? Bagaimana raja-raja tidak besar kepala sedangkan mengikut kitab-kitab lama seorang raja sepatutnya adalah orang yang paling merendah diri di kalangan rakyatnya. Itulah salah satu amalan sebenar raja-raja dahulukala. Kalaulah harta kekayaan, istana dan kekuasaan serta gelaran dijadikan kayu pengukur untuk menentukan kemuliaan seorang raja atau kerabatnya, maka mana-mana orang buruk akhlak pun boleh menjadi raja. Malah sekarang ini ramai yang berani berkata terang-terangan: "Aku pun boleh jadi raja, kalau dilahirkan di istana dengan segala nikmat dunia tersaji di depan mata..."
Pada masyarakat liberal sekarang, seseorang itu dapat menjadi raja kerana nasib sahaja... Lahir di istana, anak kepada raja, itu sahaja. Mereka tidak nampak apa-apa yang mulia tentang raja. Yang mereka nampak, raja sama sahaja sifatnya seperti mana-mana manusia, tidak ada apa-apa kelebihan yang dapat membezakan mereka dengan rakyat biasa kecuali pangkat luaran yang diwarisi kerana lahir di dalam lingkungan istana.
Sejarah moden pula menunjukkan sistem beraja tidak cukup berwibawa untuk menangani masalah rakyat dan keperluan semasa. Malah pernah Raja-raja Melayu nyaris mengorbankan martabat mereka, kedaulatan negeri-negeri Melayu juga martabat orang Melayu sendiri apabila bersetuju menerima gagasan Malayan Union tahun 1946 yang akan menarik segala hak istimewa orang Melayu. Nasib baik ada pemimpin masyarakat seperti Datuk Onn Jaafar dan orang-orang sepertinya menubuhkan UMNO untuk membela nasib orang Melayu dan menyelamatkan institusi beraja daripada dijahanamkan penjajah biadab. Maka orang sekarang lebih menghormati pemimpin politik daripada menghormati raja... Kerana apa yang telah berlaku membuktikan mereka sebagai suara-hati rakyat yang lebih relevan dan berkuasa di kala raja-raja terdiam membisu, tidak lagi berani dan berwibawa, sedangkan sifat-sifat ini sepatutnya menonjol ada pada seorang raja. Tidak hairanlah jika orang kebanyakan sekarang beranggapan mereka pun boleh menjadi raja, menjadi kepala tertinggi rakyat jika sahaja diberi peluang... Seolah-olah raja adalah jawatan yang boleh dipikul sesiapa. Maka pada orang sekarang, lebih baik menerima sistem demokrasi berParlimen ciptaan Yahudi yang diterapkan penjajah Inggeris dahulu, sistem yang membenarkan orang buruk akhlak bermahajalela mendabik dada mengaku raja kerana boleh mendapatkan harta kekayaan, istana dan kekuasaan, malah gelaran-gelaran yang muluk-muluk melalui dunia politik dan perniagaan.
Cuba kalau rakyat tahu hakikat sebenar seorang raja, sifat yang perlu dimiliki, amalan yang perlu ditekuni supaya layak memimpin... Jika sahaja mereka tahu tanggungjawab beratnya. Ibarat kata Saidina Umar, dia akan dipersoalkan jika seekor kambing mati di Sungai Furat walaupun kambing itu tidak ada kena-mengena dengannya! Cuba baca adab dan amalan raja-raja dalam kitab Tajus Salatin atau Mahkota Raja-raja karangan Bukhari Al-Jauhari, karangan yang dikatakan adalah saduran daripada kitab-kitab ketatanegaraan Parsi, dibuat di Aceh pada tahun 1603. Tentu ramai akan menjadi takut walaupun sekadar untuk berangan menjadi seorang raja!
Cuba amati bagaimana beratnya amalan sebenar seorang raja… Selain mendirikan Syariat Rasulullah SAW yang wajib seperti solat dan puasa, seorang raja juga perlu selalu mengamalkan puasa sunat, seperti Nabi Daud, Raja Bani Israel yang mengamalkan puasa selang sehari sepanjang tahun. Kalau makan pun tidak boleh banyak, cukup sekadar boleh berdiri tegak... Paling kurang harus mengikut anjuran Nabi yang paling lemah dalam bab ini iaitu makan bila lapar, berhenti sebelum kenyang. Isi perut dengan nisbah satu pertiga untuk makanan, satu pertiga untuk minuman, satu pertiga untuk angin atau ruangan kosong. Cuba baca cerita-cerita Melayu lama seperti Hikayat Malim Deman… Baginda bersantap beradat dengan memakan tiga suap sahaja sekali santap, barulah boleh dinamakan bersantap. Baru nampak perbezaan nyata dengan cara makan rakyat biasa, cara orang kebanyakan.
Itu belum dikira amalan lain yang patut dihidupkan, gaya hidup bertunjangkan amalan Tasawuf para wali, Nabi dan Rasul… Seorang raja yang memerintah mesti telah berjaya mengikis sifat-sifat buruk atau mazmumah seperti hasad dengki dan iri hati, tidak lagi mempunyai perasaan berdendam seperti orang kebanyakan. Sebaliknya semua ini telah digantikan dengan sifat-sifat mulia atau mahmudah seperti berbesar hati, zuhud, pemaaf dan lain-lain sifat muluk yang sepatutnya ada pada diri seorang berdarah raja, juga golongan bangsawan. Maka setiap perbuatan seorang raja menjadi ibadat yang mendapat pahala dan mengundang daulat kerana ada niat dan garis tujuan yang nyata seperti digariskan melalui wahyu dan sumber Ilahi. Makan untuk hidup, bukan hidup untuk makan. Hidup semata-mata untuk mendapatkan keredahaan Allah. Kalau begini, barulah mandinya layak dikatakan bersiram, perjalanannya dikatakan berangkat dan pergaulannya dengan masyarakat biasa dikatakan mencemar duli... Kerana baginda terpaksa keluar daripada lingkungan hidupnya yang mulia, yang penuh sifat-sifat mahmudah untuk memasuki gelanggang kehidupan rakyat biasa yang masih lagi bergelumang dengan sifat-sifat mazmumah. Itu sahaja.
Masalahnya, rata-rata orang sekarang termasuk mereka yang berdarah raja sendiri tidak faham hakikat hidup yang bertunjangkan amalan Tasawuf. Lalu untuk menyatakan "ketinggian" dan "perbezaan" mereka dengan masyarakat kebanyakan, mereka setakat mengamalkan penggunaan bahasa-bahasa istana yang berbunga-bunga sedangkan ia bukanlah sesuatu yang patut dibangga-banggakan sebagai simbol status atau lambang kebesaran yang menunjukkan penggunanya adalah seorang berdarah raja.

.......... (melompat sedikit ke hadapan)........
Apapun, daulat yang sebenar tidak perlu malah tidak dapat dipelajari. Apa yang dikehendaki adalah zat tertentu dalam tubuh seperti dimiliki seseorang berketurunan raja diikuti pengamalan mendalam Islam berdasarkan Tasawuf yang sampai ke lubuk hati... Kalau boleh, lebih dalam lagi ke suatu tempat yang dipanggil sir iaitu rahsia hati... Sebelum mencapai peringkat sir dalam sir, rahsia dalam rahsia hati. Kemudian serahkanlah segala urusan kepada Allah, bertawakallah 100 peratus, tawakal yang disebut Sultanul Awliya Sheikh Abdul Qadir al Jilani juga Imam Ghazali sebagai tawakal khusus wal khusus, tawakal orang khusus dari yang khusus. Maka jadilah mereka seperti seorang mayat di tangan pembasuh mayat, tidak boleh membantah apa-apa yang dibuat oleh tukang basuh mayat, apalagi hendak melawan. Biarlah pembasuh mayat yang hakiki menggerakan segala tubuh badan…
Peringkat tawakal sebegini bukan lagi tawakal orang awam atau tawakal yang diibaratkan Nabi seperti mengikat tali unta ke sebatang pohon sebelum masuk bersolat di masjid supaya unta tidak lari ketika tuannya bersolat... Bukan jenis tawakal yang memerlukan seseorang itu menyediakan payung sebelum hujan, kalau sakit cari ubat, paling kurang pun, berdoa meminta supaya cepat disembuhkan.Mereka yang ingin memasuki tawakal peringkat tertinggi ini mesti sanggup menerima segala dugaan Allah SWT dengan sabar dan redha termasuk penyakit yang memeritkan dan malapetaka yang tidak kunjung putus. Biar Dia sahaja yang menentukan bila semua ini selesai, bila akan datang hari-hari bahagia seperti yang pernah dialami Nabi Ayub AS. Maka itu sedikit sangat yang mampu mengamalkan semua ini...
Orang yang mengamalkan tawakal khusus wal khusus, yang juga merupakan peringkat tawakal yang menjadi pakaian raja-raja yang sebenar akan berani menyeberangi padang pasir yang luas tanpa membawa sedikit pun bekalan makanan dan minuman. Jika perlu berlapar, dia akan menahan perut sehingga pengsan kerana telah mempunyai keyakinan yang kental bahawa jika Tuhan mahukannya makan, tiba-tiba sahaja seekor burung boleh muncul dari atas awan lalu datang menyuapkan. Kalau ada orang berniat jahat pula misalnya hendak menetak raja itu dengan parang, silap-silap orang itu boleh beku di tempatnya berdiri. Itupun kira baik juga... Kalau tidak mungkin orang itu mati langsung disambar petir atau apa-apa sahaja sebab lain yang mencarik adat sedangkan sang raja mungkin terus berjalan seperti biasa tanpa menyedari pun ada percubaan orang untuk membunuhnya.
Raja sebegini tidak gentar menghadapi segala mara bahaya. Dan dia juga tidak hairan dengan perkara-perkara karamah yang berlaku di hadapan mata kerana amalan Tasawuf yang telah sebati menjadi pakaian dirinya zahir dan batin mengajar supaya tidak terpesona dengan ini semua. Malah seringkali dia sebenarnya tidak sedar pun apa yang berlaku di sekelilingnya kerana seluruh hati dan jiwanya sentiasa tenggelam dalam mengingati Allah semata. Sebagai imbal-balas atas ingatannya yang begitu kuat terhadap Sang Pencipta sehingga hilang ingatan pada makhluk dan apa-apa selainNya, raja inipun diberi perlindungan Ilahi sentiasa. Pada mereka yang faham, inilah yang dikatakan daulat sebenar, daulat orang yang sebenar-benar menyerahkan seluruh jiwa-raganya kepada Yang Maha Memelihara dan Wakil Terbaik dalam setiap urusan. Dalam keadaan sebegini, barulah seseorang itu layak memakai gelaran Al-Mutawakil - Yang bertawakal kepada Allah.
Dalam keadaan ini juga, dalam keadaan segala bentuk nafsu rendah seperti keinginan untuk dipuja dan dipuji telah disapu-bersih, maka segala perbuatan, gerak-geri dan kata-kata yang keluar daripadanya adalah daripada kudrat dan iradat Allah semata-mata. Maka itu dia marah kerana melihat sesuatu perkara yang Allah marah, dan dia memaafkan, sayang, dan merasa kesihan kerana Allah itu Maha Pemaaf, Penyayang dan Mengasihani. Pendekkata, segala apa yang muncul dari dalam dirinya adalah perbuatan Allah semata, bukan perbuatan seorang manusia biasa lagi Apabila ini terjadi, barullah seseorang raja itu boleh dikatakan Dzilullahi fil alam, bayangan Allah di alam ini... Ataupun Dzilullahi fil ard, bayangan Allah di muka bumi. Barulah dia boleh menjadi raja dalam erti katanya yang sejati.
Seorang raja sejati adalah seorang manusia yang telah mencapai taraf insan-al kamil iaitu insan yang sempurna, Maka dia merupakan seorang wali Allah yang kemudian diberi pula kerajaan untuk melaksanakan urusan memakmurkan rakyat di bawah naungannya. Malah dia adalah wakil Allah untuk mengatur keperluan makhluk...Dia cuma bertindak mengikut "gerak" Ilahi lalu menepati ciri-ciri yang menepati sebuah Hadis Qudsi:

Bila Aku mencintai seorang hamba,
maka Aku akan menjadi pendengarannya,
penglihatannya, lidahnya, tangannya dan kakinya.
oleh Ku dia marah dan oleh Ku dia berjalan.


Inilah dia daulat sebenar raja-raja yang tidak boleh disanggah, daulat yang muncul kerana dia telah menjadi "perkakas" Allah untuk menyatakan wujudNya di alam ini. Sebab itu kitab-kitab lama tafsir mimpi ada menyebut, bermimpi berjumpa seorang raja adalah sama dengan bertemu Allah! Dan sebab itulah tahap sebegini adalah di luar pencapaian manusia biasa...
Apapun, walaupun bakat semulajadi yang boleh menimbulkan daulat tersebut wujud di kalangan mereka yang terpilih daripada keturunan mulia, besar kemungkinan ia akan terpendam dan dibazirkan begitu sahaja jika tidak digilap dengan amalan-amalan tertentu. Sebab itu amalan khusus seperti adab makan, berpuasa, bercampur-gaul dan sebagainya seperti dihuraikan dalam kitab Tajus Salatin atau Mahkota Raja-raja yang menjadi pegangan istana diajarkan kepada setiap putera yang layak suatu masa dahulu.
Cara terbaik untuk mendapatkan manafaat sepenuhnya adalah dengan mendapatkan tunjuk ajar seorang guru mursyid yang diakui pencapaiannya, guru yang wasilah kerohaniannya bersambung terus-menerus daripada seorang guru mursyid kepada seorang guru mursyid yang terdahulu sampailah kepada guru segala guru iaitu Rasulullah SAW. Bukankah baginda pernah bersabda: "Aku ini gedung ilmu, dan Ali itu pintunya. Maka jika engkau hendak masuk ke gedung ilmu, masuklah ikut pintunya."
Pada yang faham, Nabi Muhammad SAW adalah raja segala raja. Maka setiap bakal raja mesti mendapatkan didikan khusus baginda yang diturunkan kepada guru-guru yang memiliki pertalian peribadi dengannya. Di sinilah terserlah peranan golongan Sufi dan para wali... Inilah yang berlaku dalam mendaulatkan bumi Aceh dan menimbulkan kebesaran raja-rajanya!

Saturday, April 14, 2012

Forum identiti Melayu di UM oleh Merah Silu


Meneruskan gerak penceritaan mengikut kronologi atau turutan masa dan peristiwa. Bersambung dari artikel Luahan rasa malam Jumaat dan makam lama di Pasir Penambang.


Pagi Selasa 10 April saya berkejar ke Universiti Malaya atau UM.


Terus mencari bangunan Akademi Pengajian Melayu yang saya tak pernah sampai sebelum ini.


Ada acara menarik yang dipanggil Forum Identiti Melayu.


Saya pernah menghadiri beberapa acara perkongsian sejarah di fakulti lain UM, baru kali ini terpanggil untuk ke forum tentang identiti Melayu. Saya merasa teruja apabila diberitahu empat orang profesor ternama di persada tanah air akan membentang kertas pada acara ini.


Ketika saya sampai pengenalan acara dan latar belakang para pembentang sedang dibuat.


Setelah beberapa lama barulah forum bermula...


Sesi pembentangan dibuka oleh Professor Dato' Dr Nik Hassan Suhaimi dari Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), seorang perintis tempatan, orang lama dalam bidang arkeologi iaitu kajian melibatkan barang-barang atau tinggalan purba. Mengambil pendekatan antropologi iaitu kajian saintifik asal usul manusia beliau menyebut tentang manusia awal yang dikatakan muncul di Alam Melayu sekitar 40,000 tahun lalu. Kajian dikaitkan dengan terma-terma saintifik seperti zaman Pleistosen mengingatkan bagaimana ketika berumur 7 hingga 12 tahun saya sangat meminati hal-hal berkaitan haiwan-haiwan gergasi purba seperti reptilia yang dipanggil dinosaur. Saya sanggup mencari berpuluh-puluh buku tebal di rumah saudara mara dan kawan-kawan untuk memahaminya, buat rujukan silang sehingga membuka 10 jilid ensaiklopedia sekali gus akibat minat yang mendalam.


Ketika itu, 30 tahun lalu saya hafal nama-nama dan rupa berpuluh jenis dinasour yang disebut saintis sehingga boleh melukis setiap daripadanya berdasarkan ingatan sahaja. Paling saya minat namanya Brontosaurus, seekor binatang setinggi bangunan 4-5 tingkat berkaki empat berleher dan berekor panjang dari satu kelas dinasour yang dipanggil sauropod. Saya ingat nama-nama dan klasifikasi zaman purba berjuta hingga beratus tahun yang tertera dalam ilmu khusus yang dipanggil paleontologi, antaranya zaman Jurassic (kalau tak salah ingatan dikatakan 60-70 juta tahun lalu) dan Triassic (sebelum Jurassic rasanya) juga Mesozoic (dah lupa bilakah tempoh masanya). Saya juga ingat nama-nama saintifik merujuk kepada jenis-jenis manusia awal atau makhluk seperti manusia, nama-nama seperti Australopitecus (mungkin silap ejaan kerana saya menulis terus tanpa rujukan), Neanderthal Man, Homo Erectus, Homo Sapiens lalu tiada masalah untuk mengekori apa yang dibincangkan Nik Hassan.

Oh... kena bersiap untuk solat Jumaat. Petang sikit nanti sambung ya... :] ------------- OK. Dah solat dan dah makan baru sambung cerita...

Nik Hassan berkata perjuangan mencari Melayu baginya bermula tahun 70an. Padanya takrifan apa itu Melayu bersifat etno-linguistik iaitu gabungan bangsa dalam ruang lingkup darah keturunan sama bercampur takrifan yang melibatkan penggunaan bahasa. Dalam konteks ini Melayu adalah pengguna kelompok bahasa-bahasa Austranesia yang termasuk kaum-kaum asli yang dipanggil proto-Melayu, bertebaran dari Madagaskar di pantai timur selatan Afrika menyeberangi Lautan Hindi hingga ke Asia Tenggara terus ke Taiwan dan pulau-pulau di Lautan Pasifik. Beliaumenyebut klasifikasi yang sudah sedia terpakai sekian lama, klasifikasi yang membahagikan manusia secara umumnya kepada 4 ras besar bangsa :- Caucasoid (meliputi bangsa berkulit putih Barat), Negroid (bangsa berkulit hitam Afrika), Mongoloid (meliputi bangsa berkulit sawo matang seperti orang Melayu secara umumnya juga bangsa berkulit cerah tetapi berlainan ciri dengan Barat seperti orang Cina dan Jepun) serta bangsa Austroloid (termasuk orang Aborigine atau asli Australia).

Secara rata professor ini nampaknya menyokong teori umum dari Barat yang sudah dipakai sekurang-kurangnya beberapa dekad, teori yang setahu saya berpasak daripada teori perubahan haiwan dari satu bentuk ke satu bentuk yang dipelopori Charles Darwin. Namun dia menegaskan ada bahagian teori umum yang tidak diterimanya, misalnya tentang bangsa awal Melayu kononnya berhijrah daripada Yunnan di selatan Cina ke Asia Tenggara. Nik Hassan menambah, sebagai orang Islam dia juga percaya semua manusia berasal daripada Adam dan Hawa, satu prinsip teras yang berlawanan dengan teori umum yang dipegang kuat oleh saintis ateis iaitu tidak beragama. Tetapi latar belakang pelajarannya nampaknya menyebabkan dia tetap harus cuba merungkai segalanya daripada segi ilmu Barat. Kalau begitu kenyataannya bahawa manusia di Alam Melayu sudah wujud seawal 40,000 tahun kelihatan bercanggah dengan kira-kira berdasarkan ilmu kitab bahawa Nabi Adam diturunkan ke muka bumi 6,000 tahun lalu. Atau paling awal pun 8,000 tahun lalu...

Nik Hassan menyarankan agar kajian lanjutan asal-usul Melayu dibuat dengan mengambil kira 4 faktor utama - perubahan paras laut, etno-linguistik, DNA dan budaya material. Setelah bercakap panjang lebar beliau menyimpulkan orang Melayu sebagai penduduk Alam Melayu yang disebut meliputi kawasan dari Madagaskar ke Lautan Pasifik itu TANPA MENGIRA AGAMA. Lalu menyatakan definisi Melayu menurut perlembagaan Malaysia yang menyebut orang Melayu sebagai pengguna lazim bahasa Melayu, BERAGAMA ISLAM dan mengamalkan adat istiadat Melayu sebagai sempit...




Pembentang kedua Professor Dr Mohd Hazim Shah daripada UM pula cuba mengenali identiti Melayu dengan mengenengahkan apa yang dilihatnya sebagai konstruksi atau binaan-binaan konsep yang berlaku akibat beberapa perkara yang mewarnai zaman. Hazim mengklasifikasikan ini kepada 4 peringkat konstruksi. Satu, identiti Melayu melalui penggunaan bahasa Melayu, wujud dalam ruang lingkup kerajaan-kerajaan Melayu dan maklumat yang diperolehi daripada sumber sastera Melayu. Tentunya dalam hal ini seorang Melayu adalah pengguna lazim bahasa Melayu. Dari segi kerajaan dan sastera, kitab-kitab lama ada menyebut tentang kerajaan-kerajaan yang digolongkan sebagai kerajaan Melayu sementara sumber-sumber dari luar seperti catatan para pedagang ada menyebut tentang orang Melayu, malah tercatat memang pernah wujud kerajaan yang namanya Melayu atau Malayu, juga disebut Molayu di Sumatera.

Klasifikasi atau konstruksi kedua pula katanya adalah identiti Melayu yang ditentukan oleh pihak kolonial atau penjajah. Antaranya adalah apa yang dimaksudkan sebagai orang Melayu oleh sarjana (merangkap pentadbir yang menjalankan kerja penjajahan sebenarnya) seperti Stamford Raffles dan Richard Winstedt. Kata Hazim ada sebahagian daripada mereka merasa simpati terhadap tamadun Melayu lalu melihat bangsa dan ketamadunan kita dari sudut yang boleh disebut sebagai romantik, satu warisan yang harus dibela. Namun ada yang melihat dari sudut misi ketamadunan atau civilising mission (konon). Menganggap diri sebagai bangsa lebih bertamadun atau superior, mereka menonjolkan orang Melayu sebagai peribadi lebih rendah, harus diajar apakah itu peradaban menurut kaca mata Barat.

Kontruksi ketiga adalah perspektif tempatan yang nampaknya dibuat pada era selepas penjajah datang. Contohnya Melayu yang disebut ciri-cirinya dalam karya Munsyi Abdullah abad ke 19 Masihi. Ini diikuti karya pemikir lebih moden seperti Rahim Kajai dan Zainal Abidin Ahmad (Za'aba) yang berusaha untuk menimbulkan apa yang dipanggil sebagai 'kesedaran Melayu'. Kemudian ada pula karya golongan agama dalam melihat apakah itu orang Melayu....

Konstruksi keempat adalah penginstitusan identiti Melayu melalui arena politik, ekonomi dan pendidikan. Di sini apa itu Melayu diberi takrifan bertulis misalnya ketika menggubal Malay Reservation Enacment 1913 atau undang-undang tanah simpanan Melayu yang dibuat untuk mengekalkan pemilikan tanah di kalangan orang Melayu. Identiti bangsa Melayu juga dinyatakan apabila pihak pentadbiran British mahu membuat bancian penduduk. Sistem pendidikan memberi definisi melalui kewujudan sekolah kebangsaan Melayu dan semua ini kemudian membentuk isi perlembagaan tentang apa itu Melayu.


Ah. Saya dah bercakap panjang lebar pula. Jadi penat hendak bercerita lagi. Biar saya mula bercerita lebih ringkas ya. Maka sesi pembentangan awal pun tamat tengah hari, masuk sesi soal jawab, juga perkongsian ilmu dan pendapat.


Sebelum orang dalam gambar ini (rasanya seorang profesor juga) membuka kata saya telah terlebih dahulu melontarkan soalan dengan bertanya kepada Nik Hassan beberapa perkara... utamanya bagaimana dia mahu menyelarikan atau reconcile kepercayaan tentang manusia sudah wujud di Alam Melayu seawal 40,000 tahun sedangkan dia juga percaya manusia bermula daripada Adam di mana pengkaji keagamaan pula menyebut Nabi Allah ini turun ke bumi pun paling awal 8,000 tahun lalu menurut kiraan dalam kitab. Apabila jawaban beliau terasa kurang meyakinkan baru saya berkongsi perspektif sendiri yang dapat dikorek daripada kitab-kitab Tasawuf dan pernyataan orang-orang tua tertentu yang pernah ditemui dalam pengembaraan...

Dua point (maaf, saya tidak dapat mencari perkataan bahasa Melayu yang sesuai secara spontan) utama saya ketengahkan. Satu, perbezaan kira-kira mungkin berlaku kerana hari semakin pendek semakin kita menghampiri akhir zaman. Masa dahulu jauh lebih panjang. Misalnya dalam kitab tercatat Nabi Nuh hidup selama 1,000 tahun. Tetapi 1,000 tahun semasa zamannya mungkin sama panjang dengan 30,000 tahun menurut ukuran sekarang. Kedua adalah tentang kewujudan 124,000 Adam seperti disebut ahli Tasawuf terkenal dahulukala, Ibnu Arabi. Telah ada generasi awal manusia diturunkan Allah ke muka bumi kemudian musnah digantikan generasi baru dan Adamnya sendiri.

Apabila sampai giliran Adam terakhir, disebut sebagai Adam Safiullah dalam sesetengah kitab 'menaiki' pentas lakonan besar yang dipanggil dunia ini (ingat kata-kata Shakespear, the world is just a stage and we are all actors) barulah manusia diangkat sebagai khalifah. Sebelum itu kedudukan jin lebih dominan sehingga Iblis yang asalnya berbangsa jin boleh diangkat menjadi ketua malaikat bernama Azazil. Cerita ini ada tersirat dalam Surah Al-Baqarah, apabila para malaikat mempersoalkan kenapa manusia yang kata mereka adalah makhluk yang merosakkan mahu diangkat sebagai khalifah? Bagaimana malaikat boleh tahu manusia itu suka merosakkan jika Adam yang dikatakan manusia pertama itupun belum diturunkan lagi ke muka bumi?


Ah. Penerangan saya tadi dah jadi panjang lebar lagi. Ishh. Dipendekkan cerita kami makan tengah hari sebelum sesi petang dibuka oleh pembentang ketiga, Professor Dato' Dr Yaacob Harun, juga dari UM. Yaacob mengatur isinya secara teoritis dengan mengambil pendekatan dekonstruksi (memecahkan binaan konsep awal) dan rekonstruksi (mendirikan balik konsep ke arah yang lebih baik). Seperti Hazim, beliau juga membahagikan identiti Melayu kepada empat peringkat. Satu dipanggil primordial phenomenon (pembentukan konsep melalui ciri-ciri awal), misalnya orang Minangkabau itu adalah dari keturunan tertentu, kedua epiphenomenon (fenomena yang tercetus dari hal lain, misalnya proses divide and rule atau pecah dan perintah). Contoh natijah proses ini adalah apabila Barat menggunakan kuasa memperkecilkan peranan orang Melayu menjadi golongan yang rata-ratanya petani sahaja. Sedangkan kita asalnya para pengembara laut yang sangat berani lagi pandai berdagang.

Seterusnya adalah situational phenomenon di mana berlaku situasi tertentu yang mendorong terjadinya sesuatu. Kata Yaacob, berdasarkan teori rational choice (membuat pilihan atas dorongan rasional kira-kira akal) identiti Melayu boleh juga terbentuk melalui ini. Misalnya apabila ada orang India Muslim berusaha mendaftarkan diri sebagai orang Melayu agar mendapat kelebihan tertentu yang cuma diberikan kepada orang Melayu. Klasifikasi keempat dalam pendekatan identiti Melayu melalui proses dekonstruksi dan rekonstruksi Yaacob adalah subjective phenomenon, etnisiti atau kebangsaan, kesukukauman sebagai realiti sosio-saikologi. Ini lebih merupakan persepsi satu golongan terhadap golongan yang lain. Misalnya apabila satu kelompok berbangsa Cina melihat satu kelompok bangsa Melayu, tentunya sudah ada dalam fikiran mereka apakah yang membezakan dua kelompok itu.


Akhir sekali adalah pembentangan Profesor Dr Zakaria Mohd Ali daripada Universiti Pendidikian Sultan Idris (UPSI). Bidang beliau lebih pada seni dan sejarah seni lalu cendekiawan yang sangat dihormati dalam dunianya itu menggunakan sejumlah paparan gambar dan lukisan termasuk dari artis (seniman pelukis, bukan artis macam dalam program Melodi TV3 ya... :]) sebagai rujukan demi mendapatkan perspektif untuk menilai apakah identiti Melayu. Jika Nik Hassan mengatakan definisi Melayu dalam perlembagaan negara Malaysia adalah sempit, Zakaria menyatakan sebaliknya apabila menyebut ia cukup inklusif atau mengandungi segala yang perlu.

Pada saya sebagai pemerhati yang sesekali sahaja berkongsi pendapat di medan awam, pada saya yang tidak beberapa terpelajar seperti profesor-profesor ini, forum ini sedikit mengecewakan. Saya datang dengan harapan dapat menimba satu definisi atau identiti tuntas yang boleh diwar-warkan kepada semua pihak tentang apa itu Melayu, terutama dalam keadaan realiti akhir zaman di mana kaum kita diasak terus dari segenap arah. Tetapi saya melihat cendekiawan berbangsa Melayu pun masih tidak sepakat apakah itu Melayu dan masih tercari-cari jawaban yang lebih besar. Maka cukuplah perkongsian saya dalam artikel ini ya... :]

Sunday, April 8, 2012

Sasaran bahaya pada tubuh manusia

Dalam ilmu beladiri, pengamal akan didedahkan dengan sasaran-sasaran bahaya kepada tubuh badan manusia supaya kita dapat melumpuhkan musuh dengan cepat. Dengan ilmu ini jugalah, insan yang berbadan kecil dapat mengalahkan lawan yang lebih besar dan tegap.

Artikel ini akan mendedahkan sasaran-sasaran yang bahaya pada badan manusia serta kesannya. Senarai berikut (dan gambar-gambar) diperolehi dari "Black Belt Tae Kwon Do" oleh Yeon Hwan Park and Jon Gerrard.

Sasaran bahaya di bahagian hadapan badan

1. Batang hidung: Satu pukulan ke kawasan ini boleh mengakibatkan patah tulang dan terkalih (disoriented).
2. Sisi atas kepala (Temple): Satu pukulan ke kawasan ini boleh mengakibatkannya terkalih atau tidak sedar diri.
3. Antara bibir atas dan hidung (Septum): Satu pukulan ke kawasan ini boleh mengakibatkan kesakitan yang amat sangat, pendarahan dan terkalih.
4. Gigi depan: Satu pukulan ke kawasan ini boleh mengakibatkan patah tulang patah dan terkehel.
5. Sisi rahang: Satu pukulan ke kawasan ini boleh mengakibatkan patah tulang rahang.
6. Arteri Karotid: Satu pukulan ke kawasan ini boleh mengakibatkan mangsa tidak sedarkan diri.
7. Larinks: Satu pukulan ke kawasan ini boleh mengakibatkan patah tulang, kerosakan kekal bagi suara atau kematian.
8. Tulang Selangka: Satu pukulan ke kawasan ini boleh mengakibatkan patah tulang dan melumpuhkan lengan tangan.
9. Ulu hati: Satu pukulan ke kawasan ini boleh mengganggu pernafasan atau menyebabkan mangsa tidak sedarkan diri.
10. Tulang rusuk: Satu pukulan ke kawasan ini boleh mengganggu pernafasan dan mengakibatkan patah tulang, kecederaan dalaman dan kematian.
11. Tulang Radius: Satu  pukulan ke kawasan ini boleh mengakibatkan kebas tangan atau tulang patah.
12. Penyawa: Satu pukulan ke kawasan ini boleh mengakibatkan kesakitan tidak terperi, kerosakan organ pembiakan (pada lelaki) atau tidak sedar diri (pada lelaki)
13. Paha dalam: Satu pukulan ke kawasan ini boleh mengakibatkan kekejangan otot atau mengakibatkan kaki bawah kebas (numb).
14. Lutut: Satu pukulan ke kawasan ini boleh mengakibatkan tulang-tulang terkehel.
15. Kekura Kaki: Satu pukulan ke kawasan ini boleh mengakibatkan tulang-tulang terkehel.

Sasaran bahaya di bahagian belakang badan

 

16. Pangkal tengkorak: Satu pukulan ke kawasan ini boleh mengakibatkannya terkalih atau tidak sedar diri.
17. Vertebra servikal keempat: Satu pukulan ke kawasan ini boleh mengakibatkan patah tulang, kelumpuhan atau kematian.
18. Vertebrata lumbar ketiga: Satu pukulan ke kawasan ini boleh mengakibatkan tulang patah dan lumpuh.
19. Buah Pinggang: Satu pukulan ke kawasan ini boleh mengakibatkan kecederaan dalaman dan kematian.
20. Tulang Ekor (Koksik): Satu pukulan ke kawasan ini boleh mengakibatkan patah tulang dan kebas kaki.
21. Pelipat lutut: Satu pukulan ke kawasan ini boleh membengkok lutut atau mengakibatkan tulang-tulang terkehel.

Friday, March 30, 2012

Kreativiti Melayu dalam senibina rumah



Pengenalan
Rumah merupakan salah satu peralatan budaya yang penting dalam kehidupan sesuatu masyarakat. Rumah Melayu dan pembinaannya menggambarkan satu bentuk budaya bagi orang Melayu yang mendiaminya.

Rumah Melayu tradisional adalah sebahagian warisan seni bina orang Melayu yang sangat bernilai dan telah direka bentuk serta dibina sehingga menampakkan betapa mahir dan kreatifnya bangsa Melayu dalam bidang seni bina.

Reka bentuk tersebut memaparkan kebijaksanaan dalam penggunaan dan keluasan ruang mengikut keperluan semasa, mengadaptasi cuaca dan penggunaan bahan binaan. Rumah tradisional Melayu melambangkan cara hidup dan sikap terbuka orang Melayu itu sendiri.

Secara amnya, rumah ini diperbuat daripada kayu dan bertiang. Dinding diperbuat daripada kayu atauanyaman buluh dan beratapkan rumbia/ nipah atau kayu. Tingkap-tingkap mendominasi tampak dari segenap sudut pandangan rumah dan memberikan pengaliran udara yang secukupnya kepada rumah.
Ruang dalaman mempunyai ruang terbuka yang luas dan mempunyai dinding pemisah yang tersangat minima. Seni bina Melayu adalah kesan daripada pertembungan budaya kaum yang pernah mendominasi rantau ini seperti Bugis, Riau, Jawa, Acheh, Minangkabau, Siam, Cina dan Barat.

Pada peringkat awal, rumah Melayu tradisional berbentuk rumah asas yang dikenali rumah pisang sesikat. Bentuk ini kemudiannya berubah mengikut arus perubahan zaman.

1. Bumbung
Rumah tradisional Melayu terdiri dari bumbung tetap, tetapi berubah kepada bentuk limas atau dipanggil’ Bumbung Belanda’ selepas kedatangan penjajah. Bumbung sentiasa condong untuk kesesuaian cuaca panas tropika. Di sepanjang tepian hujung bumbung, dipasang cucur atap atau papan cantik berukir melambangkan kehalusan seni masyarakat Melayu.

2. Anjung
Anjung merupakan tempat berehat dan berbincang bagi kaum lelaki. Wanita kebiasaannya di dalam dan lelaki di luar sesuai dengan sifat lelaki sebagai pelindung rumah.
Ini menunjukkan masyarakat Melayu amat mementingkan adat dan tatatertib masyarakat, sehinggakan mereka dipandang tinggi kerana kaya dengan kehalusan budi pekerti. Tambahan, ini bertujuan mengelakkan fitnah, di mana tetamu lelaki hanya dipelawa naik hingga ke anjung sahaja.

3. Ruang Utama/Rumah Ibu
Ruang utama ini dipanggil rumah ibu sempena menghormati peranan ibu sebagai pengelola rumah dan penyeri keluarga. Sesuai dengan nama ini, fungsinya adalah sebagai tempat berkumpul ahli keluarga untuk beristirehat dan bersantai bersama-sama.

4. Bilik
Bilik merupakan ruang rahsia tuan rumah dan ahli keluarga. Kebiasaannya anak lelaki dan perempuan akan diasingkan. Ini melambangkan masyarakat Melayu mengamalkan ajaran Islam dalam kehidupan mereka.

5. Dapur
Dibatasi dinding antara ruang utama dengan dapur. Dapur sebagai tempat memasak dan tempat khas untuk tetamu perempuan, menandakan peranan perempuan di belakang lelaki.

6. Ukiran
Seni ukir banyak didapati di tangga, dinding beranda dan papan cucur atap. Ini membuktikan masyarakat Melayu kaya dengan seni tersendiri. Ukiran yang dibuat bukan sahaja sebagai seni perhiasaan, malah menggalakkan pengaliran udara dan cahaya masuk untuk menceriakan rumah.

Pembinaan rumah Melayu dipengaruhi oleh faktor-faktor di bawah;

1. Cuaca
Faktor cuaca memainkan peranan dalam reka bentuk asas bangunan. Kekerapan hujan mengakibatkan reka bentuk atap yang lebih cerun dan bertiang untuk mengelakkan banjir.
Kepanasan cuaca juga menyumbang kepada reka bentuk yang lebih terbuka seperti kehadiran tingkap yang banyak, berandah dan tiang itu sendiri memberi laluan angin di bahagian bawah rumah.
Tidak cukup dengan itu, lubang angin di bahagian atas tingkap dan bumbung juga telah direka untuk keselesaan secara maksima.

2. Sumber Alam
Bahan binaan ialah kayu, rotan, akar, buluh, dan dedaun dari sumber hutan terdekat. Kayu menjadi tunjang kepada struktur bangunan, manakala rotan dan akar menjadi pengikat, kayu atau batang pinang menjadi lantai, buluh dan daun rumbia atau nipah menjadi dinding dan atap.

3. Budaya dan adat resam
Budaya dan adat resam juga memainkan peranan yang besar dalam membentuk seni bina rumah Melayu. Misalnya kehadiran Islam telah mempengaruhi orientasi bangunan mengarah ke kiblat. Definisi ruang juga diatur dan diubah aras mengikut kegunaan adat resam bertandang, kenduri dan aktiviti keluarga.

4. Pengaruh asing
Kehadiran penjajah Barat telah memberi alternatif baru kepada teknik seni bina Melayu. Sebagai contoh, zink dan atap genting telah mengambil alih atap rumbia dan kayu, bata dan simen telah mengambil tempat kayu sebagai tiang, tangga dan dinding, paku menggantikan pasak kayu dan akar sebagai penghubung atau pengikat.

Pengaruh ini boleh dilihat secara positif dan negatif oleh umum, iaitu pertembungan dua unsur iaitu praktikal dan seni.

Kesimpulan
Kreativiti minda bangsa Melayu yang diwarisi oleh tukang-tukang yang mahir telah menghasilkan reka bentuk seni bina yang bukan sahaja indah malahan halus dan kaya dengan falsafah yang tersirat tetapi mudah difahami. Tetapi sayang, tradisi ini tidak lagi dapat bertahan dalam arus pemodenan bangsa Melayu kerana amat sukar mendapati tukang yang mahir dewasa ini.

Sumber: malaysiana, scribd.com dan arkib negara Malaysia.

Thursday, March 29, 2012

NASIB PERUBATAN MELAYU DI TANAH MELAYU


KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA (KKM) telah diberikan khabar bahawa orang Melayu yang terlibat dalam dunia persilatan adalah pengamal sebenar dalam dunia perubatan tradisional bangsa itu. Mereka bukan sahaja menuntut ilmu beladiri untuk mempertahankan ancaman, tetapi secara tidak langsung membantu masyarakat dalam rawatan memulih kecederaan dan penyakit-penyakit tertentu.
Secara ringkas diberikan gambaran bahawa ilmu persilatan turut menghasilkan pakej kepada penuntutnya. Pakej kepada ilmu kecergasan iaitu senaman dan tari silat. Manakala rawatan pula dari akar kayu, daun, urut, batu-batu dan pelbagai lagi. Begitulah khabar penulis kepada pegawai-pegawai tertinggi Jabatan Bahagian Perubatan Traditional dan Komplementari (BPTK) dalam perjumpaan rasmi beberapa persatuan perubatan Melayu di Kuala Lumpur pada Februari lalu.

Diakui, bukan mudah pengamal yang bertindak sebagai perawat tradisional Melayu memberi kepercayaan atau keyakinan kepada pegawai-pegawai BPTK yang terdiri dari pakar perubatan (doktor) dan ada berakademi tinggi.
Namun, kerana pernah menghadir perjumpaan kali pertama sebulan sebelum itu, penulis dapat memahami juga kehendak doktor-doktor itu, jika bercakap, mereka mahukan bukti! Mereka menolak testimonial. Mereka mahu bukti yang dihasilkan dari kaji-selidik yang betul. Kaji-selidik yang memerlukan beberapa pesakit sebagai bahan kajian, pakar-pakar bertauliah yang terlibat dan kajian sebegitu memerlukan wang yang banyak dan mengambil masa bertahun-tahun.

Penulis ketika menyertai Seminar Nusantara di Kuala Lumpur pertengahan tahun lalu, teringat dengan ucapan seorang profesor dari Thailand memberitahu pandangan pakar perubatan moden dan tradisi tidak sama! Penulis setuju. Doktor-doktor masuk universiti manakala pengamal perubatan traditional tidak, kerana tiada universiti. Buku-buku rujukan perubatan moden berlambak dari penulis-penulis yang sememangnya doktor berpengalaman dan penulisan bersandar kepada bukti kaji-selidik mereka. Manakala buku perubatan traditional taraf itu tiada. Ada buku herba dan urut tetapi tidak melepasi jumlah jari sebelah tangan, dan tiada bukti kaji-selidik.
Secara tidak langsungnya, walaupun perubatan tradisional jauh lebih lama dipraktiskan, tetapi tetap kalah dengan perubatan moden kerana tiada kaji-selidik. Perubatan Melayu juga tewas dengan perubatan Cina yang sudah melakukan pelbagai kaji-selidik. Perubatan Cina di Malaysia diterima mudah kerana banyak buku-buku dari luar negara terutama dari China menjadi bahan rujukan.

Menyedari kedudukan perubatan Melayu tiada kekuatan, dalam perjumpaan dengan BPTK itu, penulis terpaksa bersuara untuk mendapat perhatian. Jika hendak tunjukkan buku Senaman Melayu Tua (Senaman Tua) terbitan penulis yang mempunyai testimonial dari golongan profesional dan akademi, pastinya ditolak juga, maka, dibawa mereka itu mendengar pengalaman yang telah penulis lalui. Penulis menceritakan pengalaman merawat ‘orang kebanyakan’ hingga masuk istana dalam dan luar negara, serta menyebutkan nama-nama doktor yang hadir. Ini menarik perhatian pegawai-pegawai BPTK.

Setelah hospital yang mempunyai ramai pakar-pakar perubatan ‘gagal’ memulih pesakit lumpuh berbulan-bulan dan ada lebih lima tahun, ilmu rawatan Melayu yang bertawakal, telah membuatkan pesakit dapat mengerakkan tangan sejam kemudian! Demikian ilmu Melayu yang dianugerahkan. Senaman bukan sahaja dapat mencegah dan merawat, tetapi kembalikan tenaga muda kepada yang sudah berusia. Urut dapat melegakan badan dan rawat suami yang bermasalah. Peranan Mak Bidan juga luar biasa dan rawatan sedemikian tiada pada bangsa lain.
Begitu juga dengan herba, orang Melayu tahu herba untuk merawat kencing manis, darah tinggi, batu karang, paru-paru berair dan denggi. Air yang direbus bagai air penawar kerana sering berlaku pemulihan dengan cepat.

Demikian orang silat dalam dunia perubatan tradisional. Malah turut diberitahu dalam satu kajian bersama pensyarah universiti tempatan, didedahkan senaman-senaman bukan Melayu ‘bercakap tidak benar’ kerana jurulatih-jurulatihnya menghidap darah tinggi dan kencing manis. Berbeza dengan Senaman Melayu, petang diadakan kelas senaman di universiti, malam itu juga pensyarah terkejut dengan keputusan luar biasa.
Selepas perjumpaan itu, nasib perubatan Melayu masih berkedudukan tidak pasti. KKM telah menerima mudah kehadiran perubatan China dengan mengadakan MoU. Penulis tidak mahu menjadi peminta sedekah kerana ilmu Melayu adalah aset Melayu dan Negara!

Penulis akan terus berjuang kerana jika bukan Melayu yang pelihara, siapa lagi!

-SEMBAH SALAM - AZLAN GHANIE
Majalah SENI BELADIRI keluaran April 2012

Monday, March 19, 2012

Kedatangan Islam ke Asia Tenggara


disalin dari:

Koleksi Karya: Allahyarham Ustaz Wan Mohd. Shaghir Abdullah
_______________________________
Kedatangan Islam di Asia Tenggara telah banyak dibicarakan, terutama oleh para sarjana Islam. Walaupun sampai sekarang masih wujud perselisihan pendapat antara satu dengan yang lainnya, namun sebagai perkenalan diringkaskan di bawah ini:
Banyak pendapat mengatakan Islam tersebar di Asia Tenggara sejak abad 11, 12 dan 13 M. Ada berpendapat bahawa pengislaman negeri Kelantan datangnya dari negeri Patani. Sejak akhir abad ke- 2 Hijrah atau abad ke-7 Masihi telah datang pedagang Arab ke Patani yang kemudian terjadi asimilasi perkahwinan dengan orang-orang Melayu, dan dipercayai, sekali gus mereka menyebarkan Islam di pantai Timur Semenanjung Tanah Melayu.
PERTEMUAN
Dikatakan seorang bangsa Arab bernama Sheikh Ali Abdullah yang dahulunya tinggal di Patani, mengislamkan raja Kelantan. Pengakuan Perdana Menteri Kelantan, Haji Nik Mahmud Nik Ismail tentang pertemuan mata wang tahun 577 Hijrah atau 1181 Masihi, tulisan dengan angka Arab, juga tertulis dengan huruf Arab sebelah menyebelah mata wang itu masing-masing dengan Al-Julusul Kalantan dan Al-Mutawakkal ‘alallah.
Sekitar tahun 1150 Masihi, datang seorang Sheikh dari Patani menyebarkan Islam di Kelantan. Diriwayatkan pula oleh ulama Patani secara bersambung bahawa Islam masuk ke Patani dibawa oleh Sheikh Abdur Razaq dari Tanah Arab. Sebelum ke Patani, beliau tinggal di Aceh hampir 40 tahun.


Penyebaran Islam dari Timur Tengah ke Asia Tenggara
Selain itu, tulisan Arab telah lama digunakan sekali gus bersama tulisan Melayu/Jawi. Hal ini dibuktikan dengan mata wang yang digunakan di Patani. Sebelah hadapannya tertulis dengan bahasa Melayu, “Ini pitis belanja di dalam negeri Patani”, manakala di sebelah belakangnya dengan bahasa Arab yang jika diterjemahkan ertinya seperti di atas, tetapi di sebelah bahasa Arabnya ditambah dengan kalimat Sanah 1305.
Mata wang itu dibesarkan tiga kali ganda dari aslinya, maka sebelah yang bahasa Melayunya tertulis, “Duit ini untuk perbelanjaan dalam negeri Patani”, manakala sebelah bahasa Arabnya tertulis kata-kata ‘tahun Masihi 1305’. Tulisan Arab bahasa Melayu pada mata wang Patani tersebut tidak berjauhan tempoh jaraknya dengan Batu Bersurat yang terdapat di Kuala Berang, Terengganu yang bertahun 702 Hijrah atau 1303 Masihi atau 786 Hijrah atau 1398 Masihi.
Dikatakan Kedah menerima agama Islam dibawa oleh seorang mubaligh bernama Sheikh Abdullah bin Syeikh Ahmad bin Sheikh Ja’far Qaumiri dari negeri Syahrir, Yaman. Beliau sampai di Kedah pada tahun 531 Hijrah. Beliau berhasil mengislamkan Sri Paduka Maharaja dan menteri-menterinya.
Aceh termasuk negeri yang pertama diketemui oleh para pedagang Islam yang datang ke wilayah Nusantara tersebut. Di antara penyebar Islam yang terkenal bernama Sheikh Abdullah Arif (di abad ke 12M). Salah satu karya tasawufnya dalam bahasa Arab berjudul, Bahrul Lahut.
Dalam karya klasik karangan Tun Sri Lanang, dalam Sejarah Melayunya yang terkenal itu, bahawa beliau menceritakan kedatangan Sheikh Ismail yang berhasil mengislamkan seorang yang akhirnya terkenal dengan nama Sultan Malikush Shaleh.
Islam di Aceh sampai ke puncak kejayaannya di zaman pemerintahan Sultan Iskandar Muda. Melalui Aceh sehingga negeri Minangkabau menerima Islam, walaupun pada mulanya berjalan agak lambat lantaran pengaruh agama Hindu yang masih sangat menebal.
Pada tahun 1440 Masihi, Islam mulai bertapak di Palembang (Sumatera Selatan) yang disebarkan oleh Raden Rahmat. Di Leren Jawa diketemukan batu nisan seorang perempuan bernama Fathimah Maimun bertahun 495 Hijrah atau 1101 Masihi. Kira-kira tahun 1195 Masihi, Haji Purwa iaitu salah seorang putera Raja Pajajaran kembali dari pengembaraannya, lantas mengajak semua keluarga kerajaan supaya memeluk agama Islam. Namun usaha beliau itu gagal.
Para penyebar Islam di Pulau Jawa memuncak tinggi dengan sebutan Wali Songo/ Wali Sembilannya, yang terkenal di antara penyebar itu seumpama Maulana Malik Ibrahim yang makamnya di Gersik tahun 1419 Masihi.
Pada abad ke-15 Masihi Islam berkembang di Maluku dengan pantas, terkenal penyebarnya bernama Sheikh Manshur yang berhasil mengislamkan Raja Tidore serta rakyat di bawah pemerintahannya.
Adapun Sulawesi berdasarkan buku Hikayat Tanah-Tanah Besar Melayu, tanpa nama pengarang, yang diterbitkan oleh Printed at the Government Printing Office, Singapore, Straits Settlement, 1875 dikatakan bahawa yang terakhir menerima Islam ialah bangsa Bugis. Barangkali lebih kurang tahun 1620 Masihi.
Tahun 1620 Masihi boleh disejajarkan dengan tahun kedatangan mubaligh-mubaligh penyebar Islam yang datang dari Minangkabau. Dato’ Ri Bandang (Khathib Tunggal Abdul Makmur) telah mengislamkan Raja Tallo I Malingkaan Daeng Manyore dan Raja Goa I Mangarangi Daeng Manrabia, yang memeluk agama Islam pada hari Jumaat 9 Jamadilawal 1015 Hijrah bersamaan 22 September 1605 Masihi.
Dato’ Ri Bandang dibantu oleh Raja Goa menyiarkan Islam di Wajo. Beliau meninggal dunia di Patimang negeri Luwu (Indonesia), maka terkenallah beliau dengan sebutan Dato’ Patimang. Penyiar Islam yang seorang lagi bernama Dato’ Ri Tiro.
Barangkali Islam masuk di Sulawesi lebih awal dari tahun tersebut di atas. Pada tahun 1412 Masihi, seorang ulama Patani pernah mengembara hingga ke Pulau Buton dengan tujuan menyiarkan agama Islam ke bahagian Timur. Raja Mulae i-Goa menyambut kedatangan ulama itu dengan berlapang dada.
Pada tahun 1564 Masihi, disusul oleh Sheikh Abdul Wahid bin Syarif Sulaiman yang lama menetap di Johor lalu melanjutkan perjalanannya ke Pulau Buton. Walaupun beliau berasal dari Patani tetapi dikatakan masyarakat bahawa beliau adalah ulama Johor.
Seorang bangsa Portugis bernama Pinto pernah datang ke Sulawesi Selatan dalam tahun 1544 Masihi, beliau melaporkan bahawa di Sulawesi Selatan telah banyak pedagang Islam yang datangnya dari Johor, Patani dan Pahang.
Selanjutnya terjadi perkahwinan para pedagang yang beragama Islam itu dengan penduduk asli sehingga ramai rakyat memeluk agama Islam.
Pada tahun 1565-1590 Masihi, Raja Goa Tunijallo mendirikan sebuah masjid untuk pedagang Islam itu di sebuah kampong bernama Mangallekana berdekatan kota Makasar/Ujung Pandang (Indonesia).
Di dalam Hadiqatul Azhar, Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain bin Musthafa Al-Fathani menyebut Islam masuk ke Sulawesi pada tahun 800 Hijrah, dan raja yang pertama Islam bernama Lamadasilah (La Meddusala).
Kalimantan (Indonesia) dikatakan menerima Islam pada abad ke 16M, Raja Banjar yang pertama memeluk agama Islam ialah Raden Samudera yang menukar namanya kepada Sultan Surian Syah selepas memeluk Islam dan akhir pemerintahannya ialah pada tahun 1550 Masihi.
Dikatakan sebagai penolong kanannya dalam pemerintahan ialah bernama Masih. Beliau mengambil tempat di pinggir Bandar. Dari perkataan Bandar, lalu dikenali dengan nama ‘Kerajaan Banjar’ dan lama kelamaan menjadi ‘Bandar Masih’ kerana mengambil sempena nama ‘Masih’ dan kini terkenal dengan nama ‘Banjarmasin’. Tetapi huruf ‘h’ ditukar dengan huruf ‘n’.
Di antara ulama Banjarmasin yang paling terkenal ialah Sheikh Muhammad Arsyad bin Abdullah Al-Banjari, penyusun kitab Sabilul Muhtadin dan Sheikh Muhammad nafis bin Idris Al-Banjari, penyusun kitab Ad-Durrun Nafis.
Sukadana menerima agama Islam yang dibawa oleh dua mubaligh bernama Sheikh Syamsuddin dan Sheikh Baraun, mubaligh yang membawa surat dari Mekah untuk memberi gelaran Raja Sukadana itu dengan Sultan Aliuddin atau juga digelar dengan nama Sultan Shafiuddin.
Sambas didatangi oleh mubaligh-mubaligh Islam yang paling ramai setelah Portugis menakluk Melaka dan setelah Aceh menakluk Johor. Di antara mubaligh yang sampai sekarang sebagai keramat (disebut keramat Lumbang) bernama Sheikh Abdul Jalil berasal dari Patani.
Ada juga mubaligh berasal dari Filipina, salah seorang keturunannya sebagai ulama besar, iaitu Sheikh Nuruddin kuburnya di Tekarang, Kecamatan Tebas, Sambas (meninggal dunia tahun 1311 Hijrah), Indonesia.
Pengislaman Sulu dilakukan dengan aman, yang datang ke sana adalah seorang mubaligh yang berpengalaman sejak dari Mekah, dan beliau sampai di Sulu pada tahun 1380 Masihi. Nama beliau ialah Syarif Karim Al-Makhdum.
Selepas Syarif Karim Makhdum datang pula Syarif Abu Bakar pada tahun 1450 Masihi. Beliau juga dipercayai seorang mubaligh yang banyak pengalaman dan aktiviti dakwahnya dilakukan sejak dari Melaka, Palembang dan Brunei.
Selain itu yang agung juga namanya dalam pengislaman di Filipina ialah Syarif Kebungsuan. Nama asalnya ialah Syarif Muhammad bin Zainal Abidin yang datang dari negeri Johor. Adapun Syarif Zainal Abidin itu diketahui adalah keturunan Rasulullah yang menyebarkan Islam di Johor.