Perhatian


Kebanyakan post di dalam blog ini disalin dari posting dari sahabat-sahabat blogger lain untuk rujukan saya pada masa akan datang. Jadi saya lampirkan sekali link ke post asal bagi menjaga hakcipta post serta memudahkan anda dan saya ke post asal. Harap Maklum

Saturday, October 15, 2011

PERANG MUSUH BISIK - SIRI 4

KEDAH BERSIAP HABIS-HABISAN
Apabila Siam berjaya menduduki semula Kota Kuala Kedah selepas merebutnya dari tangan Tunku Kudin, mereka mulalah membuat desakan supaya Sultan Ahmad Tajuddin yang tinggal di Pulau Pinang di serah kepada mereka untuk di bawa ke Bangkok. Inggeris mengawal Istana Kedah di Jalan Kelawai tempat Sultan Ahmad Tajuddin bersemayam dengan ketatnya. Bukan sahaja takut Tunku Sultan di colek oleh orang-orang Siam tetapi lebih takut kepada manusia di Pulau Pinang yang mungkin memakan upah dari Siam dan membuat tindakan yang boleh merugikan kepentingan Inggeris, jadi Sultan Ahmad Tajuddin hidup selama ini sebagai orang tahanan di dalam rumah tak boleh keluar dan tak boleh membuat perhubungan dengan dunia luar.
Untuk menyenangkan pengawalan, Inggeris telah memaksa Sultan supaya berpindah ke Melaka. Tetapi Sultan telah enggan berbuat demikian kerana ini akan menjauhkan baginda dari pengikut-pengikutnya yang setia dan boleh mematahkan semangat perwira-perwira Melayu yang memandang baginda sebagai tonggak kedaulatan yang mesti dikembalikan semula ke atas takhta di Kedah.
Hujung tahun 1831 Siam mendesak Inggeris supaya Sultan di pindahkan ke mana-mana tempat lain dari Pulau Pinang, Seberang Perai, Perak, Selangor atau Burma. Inggeris memilih Melaka untuk Sultan dan membawa baginda anak beranak berangkat ke Kampung Pantai di Melaka dengan hujung benet di belakang baginda.
Di Melaka, Sultan Ahmad Tajuddin dikerumuni oleh pengikut-pengikutnya yang setia dan di antaranya terdapat beberapa orang kesatria dari Patani. Orang-orang Patani telah berhijrah meninggalkan kampung halaman mereka kerana Siam telah melanggar negeri itu dalam tahun 1832 dan ramai orang-orang Patani yang berhijrah ke Perak, dan membuka kampung halaman di sana.
Raja Patani telah berundur ke Kelantan kerana di sana berada empat orang saudaranya yang menjadi Raja-raja Kecil di empat buah wilayah di Kelantan. Tentera-tentera Siam telah menyerang Kelantan dan mendesak orang-orang Kelantan supaya menyerahkan Raja Patani dan empat orang saudaranya kepada mereka. Kalau tidak, Kelantan akan menerima nasib seperti Kedah dan Patani juga. Masa inilah orang-orang Kelantan telah bertindak menyerahkan Raja Patani lima bersaudara kepada Siam dan membut sumbangan sebanyak epat puluh ribu ringgit duit Sepanyol dan sepikul emas urai pula sebagai pemujuk supaya Kelantan tidak di apa-apakan.
Entah bagaimana Siam berpuas hati menerima Raja Patani seorang sahaja menjadi tawanannya dan wang Sepanyol tiga puluh ribu ringgit serta enam urai sepuluh kati. Siam pun baliklah ke Bangkok mengheret Raja Patani dan anak pinaknya yang di ikat dengan rantai besi bersama-sama.
Enam minggu kemudian, lebih daripada empat ribu orang rakyat Petani, Senggora dan lain-lain wilayah Melayu di cucuk telinga masing-masing dengan rotan sega lalu di yong naik kapal di bawa ke Bangkok menjadi hamba abdi. Orang-orang Patani yang sempat berhijrah ke Kelantan dan Perak terselamat dari malapetaka ini. Diantaranya ramai yang berhasrat membantu Sultan Ahmad Tajuddin menewaskan Siam, dan mula menghantar rombongan-rombongan kecil ke Kedah, ke Pulau Pinang dan ke Melaka.
Tak semena-mena, Sultan meminta izin Inggeris menziarahi keluarganya di Siak. Kebenaran di beri dan Sultan pun bersiap. Tetapi Inggeris terkejut melihat Sultan Ahmad Tajuddin berkelencong ke Bruas di Perak dan di Bruas baginda telah mengumpul ramai pahlawan-pahlawan Melayu untuk menyerang Siam di Kedah. Inggeris telah berkasar dengan baginda secara menghantar sepahi-sepahi membedilkan kota buluh yang dibuat oleh orang Bruas dan memaksa baginda menaiki kapal mereka dan menghantar baginda balik ke Melaka.
Kapal “Zephyr” telah diarah mengawasi orang-orang Melayu di Bruas. “Zephyr” melapurkan dalam bulan April, 1836 bahawa orang-orang Melayu masih lagi membut persediaan hendak berperang, masing-masing sebok ke sana ke mari mengumpul ubat bedil dan ada kabarnya Belanda telah memberi sokongan moral dan material kepada orang-orang Bruas. Raja Muda Perak sendiri sampai di Bruas dengan 40 buah perahu, penuh memuatkan panglima-panglima perang yang rela sehidup semati dengan orang-orang Kedah.
Gabenor Pulau Pinang melarang “Zephyr” bergerak dari Bruas supaya sebarang kebangkita dapat dipadamkan segera. Bagi menjamin keselamatan Pulau Pinang, Gabnor Inggeris telah menyewa dua buah kapal yang dilengkapi dengan meriam-meriam supaya membedilkan angkatan laut Melayu dari Perak yang melintasi Selat dihadapan Pelabuhan Pulau Pinang. Inggeris mesti mengekalkan persefahaman yang baik dengan Siam. Bagaimanapun Gabenor Murchison telah membuat lapuran ke India dengan meminta nasihat yang perlu. India menghantar 2 buah kapal perang membantu Gabenor yang sedang ketar di dalam seluarnya kerana besar kemungkinan orang-orang Melayu akan menyerang Pulau Pinang juga iaitu sebagai membersihkan anasir-anasir yang boleh menganggu pencapaian cita-cita mereka.
Setakat ini Pulau Pinang tidak lagi membuktikan bahawa “Kedah dan Pulau Pinang itu satu negeri” seperti yang tercatit dalam teriti 1800 yang membolehkan mereka menduduki Pulau itu.
Kapal perang “Andromache” dan “Releigh” membuat rondaan dari Pulau Pinang hingga ke Langkawi dan di perintah supaya membedil perompak-perompak yang menganggu perniagaan orang-orang Inggeris dan kedaulatan orang-orang Siam di Laut Kedah.
Dalam bulan Mei, 1836, Gabnor Murchison bernafas lega kerana dapat membuat lapuran bahawa beliau telah berjaya memisahkan Perak dengan Kedah dan orang-orang Melayu sudah tidak berminat hendak berperang menentang Siam. Selepas membuat lapuran ini beliau meminta cuti panjang dan meminta supaya dilepaskan dirinya dari menjadi Gabnor Pulau Pinang lagi.
Bonham yang menggantikan Gabnor Murchison memberitahu India bahawa 40 buah perahu Raja Muda Perak itu sebenarnya bukan perahu perang tetapi perahu bijih timah yang sarat meniti buih menuju ke Pulau Pinang hendak menjual jongkong-jongkongnya kepada sahabat-sahabat mereka orang-orang Inggeris.
Orang-orang Awam di Pulau Pinang tidak sedap hati. Ramai orang-orang di Pulau Pinang yang menanam harta mereka dari barang-barang kemas, permata, ringgit Sepanyol, dan barang-barang tembikar ke dalam bumi atau menghantarnya keluar negeri, ke Singapura atau ke India. Dunia mesti menghadapi peperangan besar sebab wang-wang jualan bijih timah 40 buah perahu tadi semuanya di buat membeli senapang dan ubat bedil.
(Sumber : https://perkasaparlimenbagan.wordpress.com/sejarah-bagan/kisah-perang-musuh-bisik/siri-4/)

No comments: