Perhatian


Kebanyakan post di dalam blog ini disalin dari posting dari sahabat-sahabat blogger lain untuk rujukan saya pada masa akan datang. Jadi saya lampirkan sekali link ke post asal bagi menjaga hakcipta post serta memudahkan anda dan saya ke post asal. Harap Maklum

Monday, June 20, 2011

SEJARAH KESENIAN ISLAM DALAM ILMU PERSILATAN DI NUSANTARA

disalin dari: http://newpaces.com/forum/topic/485

Disediakan oleh: Siti Nooranizah Binti Saloji ( A120260 )

1.0 PENDAHULUAN

Seni adalah keindahan. Seni sesuatu yang abstrak sifatnya, dapat dipandang, didengar dan disentuh oleh jiwa tetapi tidak dapat dinyatakan melalui kata-kata atau bahasa. Seni memiliki astetic value atau nilai rasa indah. Al-Farabi menjelaskan seni sebagai ciptaan yang berbentuk keindahan, manakala Al-Ghazali pula menjelaskan seni dengan maksud “kerja berkaitan dengan rasa jiwa manusia yang sesuai dengan fitrahnya.”
Seni Islam merupakan sebahagian daripada kebudayaan Islam dan perbezaan antara seni Islam dengan bukan Islam pula ialah niat atau tujuan dan nilai akhlak yang terkandung dalam hasil seni Islam itu. Pencapaian yang dibuat oleh seni Islam itu juga merupakan sumbangan daripada tamadun Islam di mana tujuan seni Islam ini adalah kerana Allah S.W.T, di mana Allah S.W.T mahukan hamba-hamba-Nya sentiasa berada dalam kesejahteraan. Oleh itu, seni merupakan salah satu unsur yang dapat memberi kesejahteraan kepada manusia.
Dengan ini, wajarlah melalui ketamadunan Islam, telah lahir keindahan kesenian Islam yang terpancar dari bidang-bidang di mana seniman-seniman Islam telah meneroka dan telah berjaya menemui pendekatan dan perlambangan yang mendekatkannya dengan cita rasa keagungan penciptaan-Nya. Antara bidang kesenian Islam yang kukuh dan dapat memancarkan keindahan ialah seni sastera, seni khat, seni bina, seni suara dan beberapa bidang yang lain.
Kesenian Islam juga terserlah dalam ilmu seni mempertahankan diri atau seni silat. Setiap bangsa mempunyai ilmu seni mempertahankan diri, iaitu kepada orang Melayu disebut silat, gayung, pencak atau kali. Lumrah kepada orang Melayu di Semenanjung Tanah Melayu disebutnya silat atau gayung, namun perkataan silat adalah lebih masyhur digunakan yang menjadi pakaian pahlawan yang di dalamnya mengandungi rahsia ilmu seni perang Melayu tradisi di mana kaedah mengenai ilmu seni mempertahankan diri merupakan sebahagian daripadanya.
2.0 KONSEP DAN PENGERTIAN SENI SILAT
Seni Silat adalah sejenis ilmu membela diri yang diakui umum sebagai hak asli kepunyaan Melayu. Seni silat ini bukan sahaja mengutamakan unsur persilatan malah mementingkan unsur kesenian dan peradaban Melayu sebagai pelengkap yang tidak dapat dipisahkan (Tuan Ismail 1991: 1). Oleh kerana luasnya alam Melayu, maka seni bela diri orang Melayu dikenali dengan pelbagai nama dan panggilan mengikut bahasa dan loghat tempatan. Sebagai contoh, di Indonesia seni bela diri dikenali sebagai ‘Pencak Silat’ tetapi di Malaysia seni ini dikenali sebagai ‘seni silat’ ataupun bersilat. Di Indonesia dan Malaysia, silat ditakrifkan sebagai teknik membela diri dalam pergaduhan atau pertarungan. Oleh itu, orang yang pandai bersilat ialah orang yang pandai membela dirinya dalam pergaduhan dengan menggunakan teknik membela diri (Tuan Ismail 1991: 3).
Menurut Don F.Draeger, silat bererti sama ada latihan persendirian yang bebas dari segi gerakan jasmani atau pertarungan yang sebenar dengan seorang musuh. Selanjutnya, Ku Ahmad bin Ku Mustaffa dan Wong Kiew Kit pula menerangkan silat ialah satu siri gerakan jasmani untuk menyerang dan mengelak yang lemah lembut sifatnya. Selain gerakan ini, seseorang itu juga melakukan penyerangan terhadap musuhnya selain mengutamakan pembelaan dirinya (Tuan Ismail 1991: 3-4).
Untuk menentukan kemenangan dalam sebarang persilatan, digunakan beberapa tipu muslihat. Kerapkali tipu muslihat itu tersembunyi dalam gerakan dan kedudukan pesilat yang ternampak seolah-olah sedang menari, lemah dan alpa. Dalam Kamus Dewan, tipu muslihat ialah elak (atau ilat mengikut bahasa loghat di sebelah utara Malaysia Barat). Pada penulis, mungkin perkataan ‘si elat’ atau ‘si ilat’ (orang yang pandai tipu muslihat) seperti perkataan pendekar berasal daripada gabungan perkataan ‘pandai akal’ (Tuan Ismail 1991: 4).
3.0 SEJARAH PERKEMBANGAN SENI SILAT
Tidak dapat disangkal, secara semulajadi manusia mempunyai deria untuk membela dirinya tanpa mengira sama ada dia pakar atau bukan pakar dalam ilmu persilatan. Apabila diserang dia tetap akan bertindak balas sama ada secara seni atau secara semulajadi. Kenyataan ini membayangkan bahawa ilmu membela diri sudah lama wujud bersama-sama kewujudan awal kebudayaan manusia dalam sejarah (Tuan Ismail 1991: 39).
Semenjak zaman Paleolitik lagi iaitu lebih kurang 15000 S.M., ilmu membela diri digunakan oleh manusia purba yang dikenali dengan panggilan Phithecanthropus erectus untuk membela diri mereka daripada diancam oleh binatang buas. Kemudian ilmu membela diri digunakan pula untuk membela diri mereka daripada diancam oleh manusia lain terutama sekali pada zaman manusia mulai berpuak-puak dan ingin saling menguasai puak lain (Tuan Ismail 1991: 40).
Berpedomankan penemuan arkeologi dan tinggalan zaman seperti ukiran di candi Borobudur dan candi Prambanan di Jawa, dapatlah disimpulkan bahawa sudah wujud sistem membela diri di daerah Kepulauan Melayu pada abad ke-8 (Tuan Ismail 1991: 40). Namun perkataan silat hanya wujud sekitar kurun ke-16 kerana sebelum itu silat hanya dikenali sebagai ilmu berkelahi, ilmu hulubalang, ilmu penjurit, ilmu kesaktian atau ilmu gagah berani yang lebih difahami sebagai ilmu seni perang Melayu tradisi yang menjadi pakaian para pahlawan atau panglima perang (Anuar 2008: 18).
Sejarah silat secara langsung selari dengan sejarah perkembangan tamadun kerajaan Melayu tradisi di mana angkatan pertahanan negara dianggotai oleh pahlawan dan orang perang yang mahir silat. Kisah peperangan dan kehebatan wira dan wirawati yang menjadi pemimpin perang memang tercatat dalam kebanyakkan sastera Melayu tradisi sama ada hikayat dan panji Melayu (Harun Mat Piah 1980: 71). Orang Melayu telah mencipta dan mengamalkan ilmu seni silat sebelum kedatangan pengaruh luar, kemudiannya menjadi penting dalam membentuk kekuatan pertahanan kerajaan Melayu tradisi seperti kerajaan Melayu tradisi Kedah Lama, Beruas, Langkasuka, Champa, Kemboja, Srivijaya, Majapahit, Melaka dan Pattani. Misalnya, kerajaan Melayu Champa telah menghantar perwira-perwiranya dalam beberapa peperangan seperti di Kalimantan, Majapahit dan Minangkabau di Sumatera (Anuar 2008: 18).
Bermula dari Kepulauan Riau, sistem membela diri Melayu ini dikatakan merebak ke Minangkabau, Sumatera. Di sana, sistem ini diperhalusi dan dikenali sebagai ilmu persilatan Indonesia. Ilmu persilatan ini pernah digunakan oleh kerajaan Srivijaya dari abad ke-7M hingga abad ke-14M untuk memperluaskan empayarnya. Pada zaman Majapahit (dari abad ke-13M hingga abad ke-16M), ilmu persilatan ini dikatakan mencapai kemuncak kesempurnaannya apabila penggunaan senjata disertakan (Tuan Ismail 1991: 40). Senjata silat yang berbentuk lengkap wujud sekitar 2,500 tahun dahulu dengan penemuan keris tembaga di daerah Sungai Mekong dan lukisan di candi Borobodur di Tanah Jawa (Anuar 2008: 19).
Dari Minangkabau, seni silat diperkenalkan ke Semenanjung Tanah Melayu melalui Melaka. Tetapi dalam zaman Kesultanan Melaka hanya golongan yang rapat dengan istana sahaja diberikan peluang untuk mempelajari seni silat (Tuan Ismail 1991: 41). Silat menjadi penting dan diletakkan di bawah perlindungan istana untuk membentuk angkatan perang raja. Raja-raja Melayu menggalakkan putera dan anak-anak pembesar mempelajari silat dan ilmu-ilmu lain yang sehubungan dengan keperluan perang. Pendekar yang handal diangkat mengepalai angkatan perang dan mendapat kurnia serta darjat daripada raja (Anuar 2008: 19). Di dalam Sejarah Melayu karangan A. Samad Ahmad (1979: 75), menceritakan Sultan Muhammad Shah telah memilih seorang pegawai Champa sebagai pegawai kanan kerana orang Champa memiliki kemahiran dalam ilmu perang dan pengetahuan dalam pemerintahan negeri.
Persilatan Melayu dan kepahlawanannya dicatat dengan indah dan meluas di dalam karya sastera Melayu misalnya Hikayat Hang Tuah di zaman kegemilangan Melaka. Penjurit bernama Tameng Sari telah terbunuh dalam pertempuran silat menentang Hang Tuah dan kerisnya dihadiahkan kepada Hang Tuah setelah peristiwa itu oleh Betara Majapahit (Hikayat Hang Tuah 1973: 136).
Walaubagaimanapun, seni silat seperti juga dengan kesenian istana yang lain, akhirnya sampai juga ke pengetahuan rakyat dan seterusnya menjadi kesenian desa. Peralihan seni silat daripada kesenian istana kepada kesenian desa berlaku dengan pesatnya setelah pengaruh barat bertapak dengan kukuh di Semenanjung Tanah Melayu semenjak tahun 1511M (Tuan Ismail 1991: 41).
Kerajaan Melayu Bugis, misalnya menonjolkan ketokohan Raja Kecil yang telah terlibat dalam mempertahankan beberapa peperangan saudara kerajaan di Tanah Melayu, Palembang, Jambi dan Sumatera (Hikayat Siak 1992: 121). Keadaan ini menjadi semakin jelas apabila orang-orang Bugis dan Minangkabau terlibat dalam politik di negeri-negeri Melayu yang membabitkan kerajaan Melayu Johor. Orang-orang Minangkabau yang mahir dalam persilatan dan ilmu perang campur tangan dalam sejarah Johor khasnya mengenai perebutan takhta antara Raja Kecil dari Siak. Konflik di Johor yang melibatkan orang-orang Bugis yang juga mahir dalam ilmu perang serta persilatan Melayu (Anuar 2008: 21).
Sejarah di atas memperlihatkan istana yang menaungi institusi silat dan para pahlawan Melayu telah berubah selepas campur tangan Belanda di Indonesia dan Inggeris di Tanah Melayu sekitar 1824M dan 1870an. Istana tidak lagi menaungi institusi silat dan tidak lagi mempunyai orang perang. Pahlawan Melayu telah kembali ke pangkuan masyarakat desa bagi membentuk kekuatan bangsa meneruskan usaha menentang penjajah. Bagaimanapun hubungan istana dengan silat masih berterusan misalnya di arah mata angin barat Kuala Selangor terdapat gelanggang silat bagi kerajaan Negeri Selangor ketika itu (Yusuf Hassan 1981: 20).
Sehingga abad ke-19 pahlawan-pahlawan Melayu yang mahir dalam ilmu persilatan terus menentang penjajah. Di dalam sejarah Semenanjung Tanah Melayu terkenal dengan nama-nama seperti Dato Maharaja Lela, Dato Sagor, Pandak Indut dan lain-lain merupakan pejuang Melayu yang dicatatkan dalam sejarah Pasir Salak, Perak (1870an). Seterusnya nama-nama seperti Datuk Bahaman, Mat Kilau dan Tok Gajah terkenal menentang Inggeris di Semantan, Pahang pada tahun yang sama (Anuar 2008: 22).
Maknanya silat dan bangsa Melayu tidak ketandusan pemimpin yang terus menanamkan semangat cintakan tanah air dan berjuang hingga ke titisan darah yang terakhir. Kehebatan mereka mempunyai sejarah dan hubungan rapat dengan ilmu persilatan di samping ilmu-ilmu lain yang membolehkan mereka menjadi pemimpin yang berkesan. Mereka merupakan pahlawan secara langsung memperlihatkan silat terus wujud hingga kurun ke-20 (Anuar 2008: 22).
Sepanjang pemerintahan Inggeris di Tanah Melayu, silat terus dipinggirkan dengan tidak memasukkan ilmu silat dalam pendidikan di sekolah Melayu. Penyebaran silat dalam alam pendidikan di Tanah Melayu menjadi semakin malap apabila tidak mendapat tempat dalam kurikulum pendidikan di perguruan Melayu di Maktab Perguruan Sultan Idris Tanjung Malim (Anuar 2008: 23).
Rasa kebimbangan Inggeris terhadap semangat juang Melayu akan berputik dari pelajaran silat. Justeru, ilmu persilatan Melayu terus menerus terpinggir dari institusi pendidikan formal di sekolah-sekolah sekitar Tanah Melayu. Silat hanya memasuki alam pendidikan sekolah di Malaysia secara tidak formal atau bertaraf ko-kurikulum selepas pembentukkan Malaysia pada tahun 1963M, itupun melalui usaha persatuan-persatuan silat di sekolah. Silat semakin diberi perhatian selepas tahun 1969M iaitu setelah berlakunya peristiwa 13 Mei 1969 (Anuar 2008:23).
4.0 KEROHANIAN ISLAM DALAM SENI SILAT
Setelah bertapaknya agama Islam di Kepulauan Melayu dalam abad ke-15, seni silat bukan sahaja mengutamakan pencapaian kesempurnaan jasmani malah kesempurnaan rohani. Bahkan kesempurnaan rohani itulah yang lebih mutlak dan hakiki dalam matlamat ilmu persilatan Melayu (Tuan Ismail 1991: 31).
Ilmu kerohanian ialah ilmu mengenai roh atau hubungan manusia dengan alam ghaib mengikut kepercayaan. Kepelbagaian kepercayaan dan budaya yang diterima telah mewarnai budaya Melayu. Iaitu selagi budaya atau amalan tersebut tidak bercanggah dengan akidah Islam, ia masih diamalkan. Oleh itu, Islam telah menyumbang amalan kerohanian Islam ke dalam dunia ilmu persilatan Melayu bagi menggantikan amalan-amalan kerohanian yang dikosongkan oleh kepercayaan-kepercayaan sebelumnya. Bertitik tolak dari pengisian kerohanian Islam dalam silat Melayu, maka kerohanian silat Malaysia terus bersih dan suci daripada pengaruh dan amalan kerohanian kepercayaan tradisi sebelumnya (Anuar 2008: 31).
Sebab itulah kalau ditelitikan kebanyakkan seni silat Melayu tidak langsung mengenakan syarat keagamaan sebagai salah satu daripada beberapa syarat bagi sesiapa yang ingin mempelajari seni silat Melayu. Syarat keagamaan ini sengaja diselitkan untuk melentur secara halus dan tidak langsung pesilat itu ke jalan yang diredhai Allah S.W.T serta berhemah tinggi dengan harapan ilmu persilatan yang dipelajari itu tidak disalahgunakan dengan sewenang-wenangnya. Maksudnya, ilmu persilatan hanya digunakan apabila orang benar-benar terancam oleh musuh, bukannya dia memulakan sebarang provokasi (Tuan Ismail 1991: 32).
Silat untuk pembangunan insan dari aspek ilmu kepahlawanan. Peringkat ilmu bela diri silat yang sebenar biasanya tidak dipertontonkan kecuali kepada ahli atau ketika terdesak. Pengajaran peringkat ini membentuk pengamal silat sentiasa menjaga disiplin diri, sabar, hormat, waspada, bijaksana dan sebagainya. Menggunakan ilmu di tempat yang betul dan merahsiakannya daripada mereka yang tidak bertanggungjawab. Pembentukan insan sebagai insan seimbang pada zahir dan batin atau aspek amalan dunia dan akhirat, sebagai khalifah Allah S.W.T (Anuar 2008: 32).
Para guru memilih kaedah memperturunkan ilmu silat melalui pendidikan silat tradisi gelanggang bangsal, di mana pengajian agama ketika itu disampaikan melalui sistem pendidikan pondok. Kedua-dua institusi tersebut amat besar sumbangannya dari aspek pembinaan sosio budaya Melayu pada ilmu kehidupan dunia dan akhirat. Gabungan institusi gelanggang bangsal dan pondok telah membentuk jati diri masyarakat Melayu tradisi yang serba kekurangan dapat mempertahankan nilai diri, budaya dan agamanya dari pengaruh penjajah yang silih berganti (Anuar 2008: 33).
Perkembangan silat Melayu di dalam masyarakat didukung oleh institusi agama dan institusi masyarakat yang melihat silat sebagai wadah jati diri Melayu. Gelanggang-gelanggang silat diwujudkan hampir semua negeri, daerah, mukim dan kampong dengan guru-guru silat mengendalikan institusi itu. Boleh dikatakan pada tahap ini, guru agama atau ulama’ memainkan peranan menghidupkan silat dan mendidik pesilat-pesilat dengan amalan kerohanian yang berteraskan agama Islam. Pengamal silat dibentuk melalui riadah kerohanian mengikut aliran tasawuf dari beberapa aliran tarekat seperti Qadariyah diasaskan oleh Syeikh Abd. Kadir Jailani, Naqsabandiah Khalidiah aliran Syeikh Bahauddin Naqsabandi, Ahmadiah bin Muhammad Dandarawi dan lain-lain aliran tarekat atau tasawuf yang berdasarkan pada sunah wa al-jamaah dari mazhab Imam Shafie (Anuar 2008: 36).
5.0 KESENIAN DALAM ILMU SILAT/ ILMU MEMPERTAHANKAN DIRI
Seni yang dimaksudkan di sini bukan sahaja dari sudut estetik malah dari sudut saintifik. Dari sudut estetik, tidak disangkal lagi bahawa seni silat Melayu memang bercirikan keindahan, kelemah lembutan dan kesopanan dalam segala gerak lakunya. Dari sudut saintifik pula, seni silat Melayu tanpa menonjol telah menyerap serta mengaplikasikan teori mengenai dinamik, momentum, velositi, graviti, psikologi dan ekonomi (Tuan Ismail 1991: 5).
Dengan menggunakan unsur saintifiklah, orang yang sudah lanjut umurnya dapat mengalahkan orang yang lebih muda, orang yang tidak bersenjata dapat mematahkan serangan musuhnya yang bersenjata. Selanjutnya, dia seorang dapat menewaskan musuhnya yang lebih ramai. Ada bezanya diantara orang yang membela dirinya secara seni dengan orang yang membela dirinya tanpa seni. Golongan pertama menggunakan kekuatan akalnya menjadikan mereka lebih bersifat strategis sedangkan golongan kedua yang hanya menggunakan kekuatan jasmaninya lebih bersifat instinctive (Tuan Ismail 1991: 6).
5.1 Kesenian Dari Segi Kelengkapan Pakaian Silat
Salah satu unsur seni yang terdapat dalam seni silat Melayu ialah kelengkapan pakaian pesilat iaitu tengkolok, baju Melayu, bengkung dan kain samping. Pakaian ini adalah pakaian harian bagi orang Melayu dalam zaman feudal ataupun Kesultanan Melayu. Tetapi pakaian ini juga dipakai tanpa diubahsuai ketika seseorang itu bertarung dengan musuh.
a) Tengkolok
Tengkolok atau tanjak ialah pakaian di kepala untuk lelaki. Tengkolok diperbuat daripada kain (samaada daripada tenunan songket atau tenunan biasa) dan diikat seni di kepala dengan gubahan yang indah tanpa sebarang jahitan. Gubahan tengkolok ini melalui seni lipat melipat mempunyai pelbagai bentuk dan nama seperti gagak lapar, helang melayang, siwah terjun, helang patah sayap, dendam tak sudah, helang berlegar, ayam patah kepak, lang menyongsong angin, balung ayam dan pari mudik (Tuan Ismail 1991: 7).
Salah satu fungsi tengkolok dalam seni silat Melayu ialah mengikat dan memastikan rambut orang yang sedang bertarung terikat rapi. Dengan ini, orang yang sedang bertarung tidak terganggu penglihatannya. Fungsi ini dikira sangat penting terutama sekali dalam zaman Kesultanan Melayu kerana kebanyakkan penjurit dan pahlawan Melayu pada zaman itu berambut panjang. Selain itu, kain tengkolok yang tersusun indah itu dapat dirombak dengan cara membuka segala lipatan dan simpulannya untuk dijadikan pembalut triangular bandage atau cravat apabila keadaan memerlukan (Tuan Ismail 1991: 8).
b) Baju Melayu
Baju dan seluar Melayu (silat) juga mempunyai beberapa fesyen yang dikenali dengan pelbagai panggilan seperti baju cekak musang, teluk belanga, bujur sirih, seluar jerut dan seluar tongkah. Walaubagaimanapun fesyennya, terdapat dua ciri utama yang perlu ada pada baju dan seluar Melayu (silat). Ciri pertama ialah saiznya yang sangat longgar (tidak sepadan dengan pemakainya). Ciri kedua ialah terdapatnya pesak. Pada baju, pesak itu terdapat di bahagian bawah ketiak dan dikenali sebagai kikik manakala pada seluar pula pesak terdapat di bahagian bawah cawat dan dikenali sebagai tongkah. Oleh kerana ada pesak itulah, maka baju dan seluar Melayu menjadi longgar apabila dipakai (Tuan Ismail 1991: 9).
c) Bengkung
Bengkung ialah kain untuk dililitkan di sekeliling pinggang pemakainya. Lebarnya seluas tapak tangan dan panjangnya lebih kurang dua depa. Sehingga ini, penulis dapat mengenal pasti hanya dua fesyen ikatan bengkung sahaja iaitu ikatan cindai jantan dan ikatan cindai betina. Ikatan cindai jantan tidak begitu lebar berbanding ikatan cindai betina (Tuan Ismail 1991: 10).
Belitan bengkung di sekeliling pinggang berfungsi menyelamatkan perut seseorang daripada ditembusi oleh senjata tajam dengan mudah. Fungsi kedua, belitan bengkung dapat menambahkan keselesaan dan kekemasan ketika sesuatu kedudukan silat dimantapkan. Fungsi ketiga, kain bengkung dapat dijadikan sebagai tali pengikat untuk mengikat tangan musuh yang tertangkap. Fungsi keempat, sebagai pembalut bidai kepada bahagian sendi seperti bahagian pergelangan tangan, siku, lutut dan buku lali yang terseliuh serta bahagian anggota badan seperti lengan dan kaki yang patah. Fungsi kelima, dapat dijadikan sebagai kain pembalut untuk menahan pengaliran darah secara pembalut tekan akibat luka atau secara pembalut kebat akibat terkudung (Tuan Ismail 1991: 11).
d) Kain Samping
Kain samping adalah kain sarung yang dipakai di luar seluar, tetapi ini lebih pendek daripada kaki seluar. Kain samping ini boleh dipakai seperti kain sarung biasa iaitu dengan melipat-lipat atau menggulung-gulung bahagian sebelah atasnya ke pinggang pemakai. Ada juga yang memakainya dengan cara mengikat kain samping itu ke pinggang dengan satu simpulan yang seni. Bahagian bawah kain samping itu juga boleh dipakai secara sama rata atau menyerong kedudukannya (Tuan Ismail 1991: 12).
Fungsinya, dapat dijadikan sebagai kain pembalut tiga segi untuk menggendong lengan yang terseliuh atau patah. Selain itu, kain samping juga dapat dijadikan sebagai alat untuk menangkis sebarang senjata yang dilemparkan oleh musuh kepada pesilat atau untuk menangkap sebarang tikaman yang dilancarkan (Tuan Ismail 1991: 12).
5.2 Kesenian Dari Segi Alat Persenjataan Silat
Unsur seni juga terdapat pada alat persenjataan dalam seni silat Melayu. Diantaranya ialah keris, badik, lading, pedang, kapak, lawi ayam, cemeti, golok dan lain-lain. Senjata ini ada yang panjang dan ada yang pendek. Senjata yang pendeklah yang lebih banyak digunakan dan diutamakan dalam seni silat Melayu. Diantara senjata pendek itu, keris merupakan senjata yang paling istimewa. Keistimewaannya bukan sahaja terletak pada bentuk dan rupa, malah pada fungsinya dalam seni membela diri dan pada kuasa luar biasa atau kesaktiannya (Tuan Ismail 1991: 22).
a) Bentuk Mata Keris
Kedua-dua belah mata keris tajam dan bergelombang bentuknya. Gelombang yang terdapat pada mata keris ini dipanggil lok dan jumlah lok ini adalah dalam angka ganjil. Oleh kerana angka ini, maka keris dipanggil keris berlok 3, berlok 13 dan berlok 29. Selain lok, pamur juga menambahkan lagi nilai estetik yang sedia ada pada sebilah mata keris (Tuan Ismail 1991: 23).
Terdapat bermacam-macam corak pamur, tetapi dipercayai corak itu merupakan pecahan daripada lima corak utama iaitu biji beras tertumpah (wos wutah) yang melambangkan kemewahan, bunga buah pala (sekar pala) yang melambangkan kemanusiaan, bunga berdiri (sekar ngadeg) yang melambangkan keadilan, daun kelapa kering tersusun (blaraq ngirid) yang melambangkan kepimpinan dan bunga temu (sekar temu) yang melambangkan kasih berbalas (Tuan Ismail 1991: 24).
b) Hulu Keris
Nilai estetika hulu keris lebih halus dan lebih seni kalau dibandingkan dengan nilai estetika pada mata keris kerana hulu keris yang lazimnya diperbuat daripada kayu, gading dan tanduk yang lebih mudah dibentuk dan diukir. Kebanyakkan ukiran berbentuk lembaga atau patung manusia (Tuan Ismail 1991: 24).
Mengikut kepercayaan, ukiran seperti ini dapat menggembirakan semangat dan kuasa ghaib yang terdapat pada mata keris. Kepercayaan ini membayangkan kewujudan pengaruh Hindu dalam penggunaan mata keris. Tetapi ukiran dalam bentuk lembaga dan patung ini kemudiannya tidak lagi digalakkan dan dipaksa ubah suai setelah bertapaknya pengaruh Islam di Kepulauan Melayu kerana dikatakan bertentangan dengan ajaran Islam (Tuan Ismail 1991: 25).
c) Sarung Keris
Sarung keris yang terdiri daripada tiga bahagian iaitu sampir, batang dan buntut juga mempunyai nilai estetika. Sampir selalunya diukir dalam bentuk sebuah kapal atau perahu besar. Sampir melambangkan kapal atau perahu besar yang lazimnya digunakan oleh pahlawan Panji ketika pulang daripada pelayaran jauh (mengikut mitologi Jawa). Sarung ini juga melambangkan kapal atau perahu besar sebagai tempat kediaman biasa bagi pahlawan sesuatu puak. Ini dikiaskan dengan sampir yang berbentuk seperti kapal atau perahu besar itu sebagai tempat kediaman bagi sebilah mata keris (Tuan Ismail 1991: 26).
Seperti juga mata keris, sarung keris terdiri daripada berbagai-bagai jenis. Jenis yang utama ialah sarung keris jenis utara, Bali, Madura, Bahari, Bugis, Jawa dan Kelantan.

6.0 PENUTUP
Orang Melayu telah mencipta dan mengamalkan silat sejak sebelum kehadiran pengaruh luar di alam Melayu. Mereka berupaya membentuk tamadun dan mewujudkan hierarki dalam sosio budayanya iaitu golongan pahlawan berada di bawah golongan bangsawan. Golongan pahlawan adalah bersifat terbuka kerana sesiapa sahaja memiliki kemahiran silat atau ilmu seni perang boleh menyertai angkatan perang raja. Dari kedudukan tersebut mereka berpeluang mengubah taraf hidup dengan berkhidmat dan dikurniakan gelaran serta kuasa oleh raja.
Silat berjaya menjadikan ilmu pergaduhan atau perkelahian sebagai ilmu bela diri dan sukan tradisi rakyat yang dapat membentuk masyarakat sihat. Sukan silat mewujudkan integrasi antara kumpulan, jantina dan umur di samping memupuk semangat kesukanan dan semangat kewarganegaraan yang baik dalam sosio budaya kebangsaan.
Silat berjaya merentasi persempadanan budaya, kepercayaan, bahasa dan masyarakat di beberapa buah negara dunia. Mereka amat berminat mempelajari, mengamalkan dan mengembangkan silat kerana silat diyakini dapat menyumbang kepada pembentukan nilai kemanusiaan yang tinggi kepada tamadun barat dan timur. Kepercayaan mereka terhadap silat perlu dihormati dengan mewujudkan silat sebagai satu ilmu yang sempurna.

No comments: