Perhatian


Kebanyakan post di dalam blog ini disalin dari posting dari sahabat-sahabat blogger lain untuk rujukan saya pada masa akan datang. Jadi saya lampirkan sekali link ke post asal bagi menjaga hakcipta post serta memudahkan anda dan saya ke post asal. Harap Maklum

Tuesday, August 20, 2013

Baju Orang Melayu

Untuk Lelaki

Pertama disebut Teluk Belanga
Tebuk Leher bertulang belut
Cengkam dijalin menjari lipan
Buah baju tunggal-tunggalan
Kalau bulat menelur burung
Kalau bertangkai memudung petai
Atau bermata bagai cincin
Labuhnya sampai segenggam tangan
Lebar dapat kipas-berkipas
Lapang tidak menyangkut ranting

Sempit tidak membilang tulang
Labuh di luar dagang dalam
Labuh di dalam dagang luar
Kalau bersulam berbenang emas
Tekat berkumpul di atas dada
Turun ke bawah bak sarang lebah
Kalau tangan bersulam suji
Bagai simpai di ujung lengan
Pucuk rebung timbalannya
Bertabur bunga jarang-jarang
Tidak berbatas tempat memakai.

Kedua bernama Cekak Musang
Leher tegak empang leher
Renda-berenda benang emas
Jalin-menjalin benang kelingkan
Dua butang sebelah atas
Tiga buah di bawahnya
Butang bulat pudung petai
Butang bersegi mata cincin
tabur-berterabur bunga telepuk
Tekat penuh di atas dada
Jalar-menjalar ujung lengan
Sebuah kocek di atas
Dua buah kocek di bawah
Lebarnya dapat berkiah
Labuh sampai segenggam tangan
Patut dipakai dagang dalam
Patut dipakai dalam majlis
Pantas dibawa dalam jamuan.

Ketiga Baju Bersingkap Dada
Belah leher sampai ke bawah
Butang bersusun lima buah
Di bawah berjahit mati
Di atas berumah-rumah

Kalau berenda menyusur belah
Kocek di bawah kiri kanan
pakaian kain dagang luar
Patut dibawa berjalan jauh
Atau bertandang-tandang saja
Atau dipakai jadi pelasah
Atau dibawa dalam gelanggang.

Keempat Baju Atas Angin
yang dibawa alim ulama
Yang dipakai bermusim-musim
Labuhnya mencecah tanah
yang disebut baju jubah.

Kelima Baju Kutang
yang dipakai di dalam rumah
Atau Beramu ke dalam hutan
Atau ke sungai pergi berikan
Tak boleh bawa bertandang
Tak beradat ke rumah orang.

Untuk Perempuan

Yang betina lain bajunya
Pertama disebut Baju Kurung
Leher melingkar tulang belut
Cengkam-cengkaman menjari lipan
kalau ditenun tabur-bertabur
Sulam di tangan sulam di bawah
Sulam menjalin keliling dada
Labuhnya sampai ke bawah lutut
Kibar-berkibar ditiup angin
Tidak sempit menyampul nangka
Patut dipakai tua muda
Tidak berbatas pemakaiannya
Aib tertutup malu tersimpan
Sesuai adat dengan syarak
Sesuai ke tengah
Sepadan ke tepi.

Kedua disebut Kebaya Panjang
Gunting bernama gunting sembilan
Belah terbuka sampai ke bawah
Dalam acap-acap betis

Dalam tidak mengemakkan
Pendek tidak menyesakkan
Kalau berenda sebelah muka
Berenda pula kaki bajunya
renda keliling lingkar-berlingkar
tabur-bertabur seluruh badan
Jalin-jalin sulaman tangan
kalau belah mahu ditutup
Terpasang kosang sebelah atas
Kosang bersusun sampai pusat
Bertali-tali semat-menyemat
Patut dipakai tua muda
Tidak berbatas tempat bertandang
Elok ke tengah
Patut ke tepi.

Ketiga bernama Kebaya Pendek
Pendek menyapu-nyapu duduk
Pendak separas-paras tampah
Belah leher sampai ke bawah
Genting-genting pada pinggangnya
kembang mengepak sebelah bawah
Lengan panjang tidak berkibar
Tapi sempit tidak berketak
Dada bertutup lapis dada
Susun-bersusun konsang butangnya
Rangkai-berangkai sampai ke pusat
Patut dipakai dalam rumah
Pakaian betina sudah berlaki
Untuk berjalan bertandang-tandang
Atau ke helat-helat kecil
Atau ke ladang dan ke sungai.

Pakaian dalam bernama Kutang
Di muka ampuan susu
Di belakang lebar sejengkal
Berbutang tiga serangkai
Sulam-bersulam kelilingnya
Kalau betina belum berlaki
Sama lebar muka belakang
Lebar labuh sampai ke perut
Tidak terbuka kalau berkemban.

Sumber dari http://www.keriswarisan.com/live/blog/872/baju-orang-melayu/ 

www.keriswarisan.com

======================================================= =====================

Garis panduan dan sumber ini disediakan oleh 
Johan Iskandar
Pengasas@keriswarisan.com
www.keriswarisan.com

Friday, August 2, 2013

Berbanggalah menjadi bangsa Melayu

sumber: http://www.ismaweb.net/v4/2013/08/berbanggalah-menjadi-bangsa-melayu/


sejarah4
BANGI, 1 Ogos – Penulis dan Pengkaji Selidik Sejarah, Persatuan Arkeologi Malaysia, Puan Zaharah Sulaiman menyeru kepada generasi baru dan lama supaya berbangga menjadi bangsa Melayu kerana bangsa Melayu adalah bangsa yang bijak, rajin, dan paling hebat sejak berkurun lagi.
Hal ini kerana tegasnya, bangsa Melayu bukannya pemalas, lanun atau perompak seperti yang digambarkan oleh sesetengah pihak, tetapi bangsa Melayu adalah bangsa yang paling cerdik.
Sebenarnya bangsa Melayu adalah bangsa teragung dalam meneroka bidang maritim antaranya kerana pakar dalam pembuatan kapal-kapal besar.
Dalam suatu gambar yang diambil dari Muzium Portugis, sebuah kapal perang terbesar Portugis diilustrasikan sebelah-menyebelah dengan kapal Jong Melayu yang mana saiznya adalah berukuran 100 meter dan setinggi 25 tingkat rumah.
Dalam buku Tom Pires diceritakan bahawa kapal Jong Melayu dari Melaka dan Jawa apabila berlabuh di Canton China diarahkan untuk berlabuh jauh dari pantai kerana dikhuatiri besarnya Jong Melayu akan menewaskan 20 kapal Cina.
944590_10151767012978536_1712318026_n (1)Jong Melayu (dalam gambar)  dan disebelahya kapal kecil Flor de la Mar milik Portugis
Namun begitu ujarnya, hanya replika kapal Portugis, Flor de La Mar yang dijadikan muzium maritim.
Kapal milik pedagang dan sultan-sultan Melayu pada zaman dahulu seperti ‘Geliung Johor’ yang saiznya berpuluh kali ganda lebih besar tidak pula disejarahkan.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Wacana ‘Mengenali & Menjejaki Perjalanan Bangsa Melayu dan Asal Usulnya’ anjuran Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) di Danau Golf Club UKM, semalam.
Katanya, sekalipun sejak dahulu Melayu ditindas oleh British, harta orang Melayu sering dirampas namun yang amat dikesali Puan Zaharah apabila gambaran melalui gambar dan video tentang Melayu sebagai pelanun dan perompak masih ada di Muzium Singapura.
“Kalau kita pergi ke muzium Singapura, pertama kali kita melangkah, apa yang dipamerkan di depan ruang bangunan ‘Melayu lanun, Melayu perompak’.
“Gambar dan video ini diulang tayang dan dipamerkan berpuluh tahun sehingga sekarang, itulah imej yang digambarkan Singapura kepada setiap pengunjung muzium itu untuk meracuni pemikiran rakyat dan pelancong.
“Dan sebab itulah Melayu dibenci, jadi mahukah kita apabila bangsa lain sewenangnya memperkotak-katikkan bangsa kita?,” soalnya.
Dalam pada itu beliau berkata, kajian ilmiah yang dilaksanakannya bersama penyelidik lain sejak 2009 telah siap dan akan diterbitkankan selepas raya ini secara berjilid oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) secara berperingkat untuk tatapan pembaca.
“Buku ini akan mendedahkan segala-galanya dan diharap kepada  pihak yang sering mempertikaikan asal usul Melayu dapat membacanya dan menerima hakikat kerana kajian ini adalah bersandarkan kepada bukti-bukti genetik dan arkeologi.
“Selain dari itu, kajian ini juga diharapkan akan menjadi bukti kepada mereka supaya terus berbangga menjadi bangsa Melayu,” katanya ditemui wartawan selepas berucap.
Sehubungan itu ujarnya, apa yang perlu dilakukan sekarang adalah dengan menulis semula sejarah bagi memastikan generasi muda didedahkan dengan fakta yang sebenar.

Friday, July 26, 2013

Kedatangan Dato Bahaman ke Kelantan

Disalin dari :http://wanhanafi.blogspot.com/2009/01/kedatangan-dato-bahaman-ke-kelantan.html

Kedatangan Datuk Bahaman Ke Kelantan Versi Keturunan Long Gaffar
...Semasa di Hulu Sat @ Machang, Long Mansur (cucunda Baginda Long Gaffar ) banyak menghabiskan masa dengan kegemarannya iaitu menjinakkan gajah yang diambil di Hulu Lebir (Hulu Kelantan). Pada satu masa, ketika baginda berada di sana, datang rombongan Dato’ Bahaman bersama keluarga dan pengikutnya bagi meminta perlindungan di Kelantan setelah melarikan diri dari buruan Inggeris di Pahang. Pemberontakan Dato’ Bahaman di Pahang bermula pada 8 Oktober 1891 selepas beliau dilucutkan jawatan sebagai Orang Kaya Semantan oleh Sultan Ahmad kerana enggan menurut perintah Inggeris yang melarangnya mengutip cukai. Beliau dikatakan telah melarikan diri ke Kelantan pada akhir tahun 1894 selepas gagal dalam pemberontakan tersebut. (Sejarah Darul Iman, m.s 241).Semasa kejadian peristiwa ini, pemerintahan Kota Bharu bertukar kepada Sultan Mansor. Dato’ Bahaman dikatakan merupakan keluarga Sultan Mansor dan beliau membahasakan Sultan Mansor sebagai “Abang” di dalam percakapannya. Berita kedatangan Dato’ Bahaman ini diketahui oleh Sultan Mansor, lalu beliau datang berjumpa Baginda Long Mansor di Machang bagi memintanya supaya menjaga dan melindungi Dato’ Bahaman dan keluarganya. Baginda Long Mansor pada masa itu tidak terfikir akibat daripada tindakannya itu tadi kepada kesinambungan pemerintahan keturunan Long Ghafar di Kelantan. Tindakan Sultan Mansor tersebut adalah helah beliau bagi mengelakkan dirinya daripada tuduhan melindungi Dato’ Bahaman yang pada masa itu menjadi buruan Inggeris. Kata Sultan Mansor, “ Pak Do tolong ambil orang kita di Hulu Lebir dan bawa balik ke rumah serta peliharalah”. Long Mansor tidak membantah, lalu tinggallah Dato’ Bahaman bersama keluarga dan pengikutnya di Machang di bawah jagaan Long Mansor. Menurut satu riwayat, beliau tinggal di sana selama 2 _ tahun. Menurut catatan di dalam buku Sejarah Darul Iman (m.s 240) Dato’ Bahaman serta pengikutnya seramai 12 orang telah membuat kediaman di Sungai Ampul, iaitu cawangan daripada Sungai Lebir di Hulu Kelantan pada akhir tahun 1892. Berita Dato’ Bahaman mendapat perlindungan di Kelantan akhirnya telah diketahui oleh Inggeris, lalu wakil kerajaan Inggeris telah datang ke Kelantan dan berjumpa Sultan Mansor di Kota Bharu meminta supaya menyerahkan “penderhaka” tersebut. Kata Sulltan Mansor, “Kita tidak boleh buat apa-apa kerana kita di bawah takluk Bangkok. Kalau nak selesai dengan mudah minta sendiri pergi ke Bangkok minta kebenaran Raja Siam untuk tangkap keluarga Dato’ Bahaman”. Mereka kemudiannya pergi ke Bangkok bagi meminta keizinan. Raja Siam memerintahkan dengan perintahnya, “Kalau tak dapat Dato’ Bahaman, orang yang beri perlindungan kepada beliau, siapa saja akan menjadi ganti”. Maka terkenalah Baginda Long Mansor dengan tipu muslihat Sultan Mansor.Orang-orang Inggeris itu kemudiannya kembali semula ke Kelantan bersama-sama dengan askar-askar Siam. Berita kedatangan askar-askar Siam untuk mengambil Dato’ Bahaman itu diketahui oleh Baginda Long Mansor, lalu baginda pergi berjumpa dengan Tengku Chik Tua Machang meminta nasihat. Beliau menasihati Baginda Long Mansor dengan katanya, “ Kita tak boleh lawan Siam, sebab anak kita duduk di Kota Bharu (iaitu Tengku Salleh, anak Long Mansor yang berkahwin dengan anak sultan yang bernama Tengku Tengah atau Tengku Kembang, anak Long Sulong atau Sultan Ahmad)”. Tambahnya lagi, “Jangan lawan Siam sebab seluruh keluarga kita akan dibunuh oleh Siam”.Selepas itu Baginda Long Mansor balik dan memanggil Dato’ Bahaman mengadap, lalu menceritakan keadaan yang sebenarnya. Kata Dato’ Bahaman, “Kita hanya patuh kepada keturunan raja Melayu yang asal, kita tidak kira siapa yang memerintah, mati pun kita redha, berkhidmat kepada raja Melayu”. Baginda Long Mansor amat bersimpati akan nasib Dato’ Bahaman, lalu memintanya berundur daripada Machang. Terdapat dua cara berudur yang digunakan, iaitu;1. Keluarga Dato’ Bahaman berundur ke Kuala Berang, Terengganu.2. Dato’ Bahaman pula, seorang diri pergi ke Menara (Narathiwat).Pada masa Dato’ Bahaman mengadap Baginda Long Mansor itulah, askar-askar Siam telah mengepong keluarga serta pengikut Dato’ Bahaman di rumah Tengku Deraman di Kampung Kok Kiok di Bukit Bakau, Machang. Berita kepungan itu diketahui oleh Baginda Long Mansor, lalu katanya, “Dato’, keluarga Dato’ telah dikepong oleh askar-askar Siam pada masa maghrib”. Dato’ Bahaman kemudiannya terus pergi untuk menyelamatkan keluarganya yang sedang dikepong. Bersamanya dibawa lembing yang bernama “Beringin” (lembing berupa daun sireh), yang dikatakan mampu untuk memukau orang.Apabila tiba di sana, lembing tersebut terus dipacakkan ke tanah di hadapan tangga rumah yang dikepong. Akibatnya semua askar Siam yang sedang mengepong itu dipukau dan tidak menyedari apa yang berlaku. Lantas Dato’ Bahaman menyuruh seluruh keluarganya turun dan melarikan diri ke Hulu Terengganu (Kuala Berang). Kemudian, pada malam itu juga Dato’ Bahaman melarikan diri ke Menara. Menurut Buku Darul Iman (m.s. 242), pada November 1895, Dato’ Bahaman, Awang Nong, The Ibrahim, Haji Mat Wahid dan Mat Lela, telah menyerahkan diri kepada orang-orang besar Siam lalu dibawanya ke Siam. Sebenarnya Dato’ Bahaman tidak pernah menyerah diri kepada Siam. Apa yang dilakukan ialah beliau melarikan di ke Menara dan bersembunyi di sana.Pada pagi keesokannya, askar-askar Siam itu menangkap Baginda Long Mansor dan di bawa ke Kota Bharu. Di sana tiga orang lagi ditangkap iaitu;1. Pak Nik Ya (penghantar bunga emas).2. Dato’ Lela Perkasa Lundang.3. Tuan Tabal.Keempat-empat orang ini dibawa ke Bangkok sebagai tahanan selama tiga tahun. Apabila genab tiga tahun, tiga orang dihantar pulang ke Kota Bharu, tetapi Baginda Long Mansor dikatakan telah meninggal dunia semasa di dalam tahanan kerana penyakit “orang baik” (barah) dan dikebumikan di Bangkok (ditanam di dalam selut). Sebenarnya Baginda Long Mansor mati dibunuh dan hal ini diceritakan oleh Tok Kancil, iaitu pengawal peribadinya yang bersama-sama baginda semasa dalam tahanan di Bangkok. Menurut ceritanya, kepala baginda disimpan dalam muzium di Bangkok sehingga ke hari ini, bersama-sama dengan kepala Tuan Lebih iaitu Raja Reman.....berdasarkan catatan ini jelas bahawa Datuk Bahaman tidak mati dibunuh oleh Siam (atas arahan British)...beliau dikatakan muncul semula "lewat" kemunculan Mat Kilau....walaubagaimanapun kumunculan Datuk Bahaman (Tok Guru Peramu) tidak diiktiraf kerajaan khususnya kerajaan Pahang dipercayai atas sebab-sebab berkaitan dengan "tahta" Kesultanan Pahang....lagipun "Tok Guru Peramu" juga enggan mengaku bahawa beliaulah Datuk Bahaman...jadi kisahnya kemudiannya lenyap begitu sahaja....
Dikirim oleh asrol pada Friday, 12 December 2008 (44 )

Wednesday, July 24, 2013

Ziarah 11 dan 12 Ramadhan

Dihadapan makam Almarhum Long Yunus

Busut di atas belindan Almarhum Long Yunus

Makam Sultan Muhammad I

Sultan Muhammad II

Sultan Muhammad III dan Sultan Mansur

 Almahrum Tengku Abdul Kadir Kamarudin (Raja Patani terakhir)
Ayahanda kepada Tengku Mahmood Mahyideen

Temgku Mahmood Mahyiddin

Batu Nisan dengan keterangan

Long Deraman

Long Sulaiman
Makam Tok Janggut


Melawat Roswadi Rajab yang mengalami kemalangan di wad 2 Intan HUSM

Almarhum Long Gaffar ibni Datu Reman

Thursday, July 18, 2013

Ziarah 9 Ramadhan 1434 bahagian 2 - Makam Sultan Omar dan Raja Bahar

Sambungan dari bahagian 1

Sedang rancak kami berbual dengan Hj Halim, saya mendapat panggilan untuk kembali ke Kubang Kerian. Perbualan dengan Hj Halim semakin menarik, sayang pula hendak berhenti.

Saya mengambil keputusan pulang ke Kubang Kerian terlebih dahulu menyelesaikan beberapa hal.
Usai solat zuhur kami menyambung semula misi ke Kota Jembal pada hari ini. Sebelum tiba di Kota Jembal, kami masuk ke Jalan Kota Senang Menuju ke Taman Senang. Dari tepi jalan itu sudah kelihatan papan-papan tanda yang memandu arah ke Makam Sultan Omar.




Selesai menziarahi makam Sultan Omar, perjalan diteruskan ke Kota Jembal kami masuk ke satu lorong di sebelah SK Kota Jembal. Sebelum ini saya pernah diberitahu terdapatnya sebuah makam di kawasan memandangkan kawasan ini merupakan laluan saya berulang alik ke tempat kerja di Kg Kemayang di Tawang.

Rupa-rupanya kawasan makam ini tersorok ditumbuhi pokok ubi kayu dan tumbuhan liar lainnya. Terpaksalah kami mengharungi belukar untuk menghampiri makam ini. Dari jauh kelihatan tiang pagar makan yang berwarna kuning.

Hanya tiang pagar ini sahaja yang kelihatan, yang lain tenggelam dalam kehijauan belukar

Makam Raja Bahar yang kelihatan selepas semak samun diselak

Ziarah 9 Ramadhan 1434 bahagian 1 - Makam tok kenali, dan guru-guru tua

Kebetulan pagi ini (khamis), saya mempunyai sedikit kelapangan. Jadi saya mengajak Long Muhammad bagi melawat beberapa makam dan guru-guru tua. Perancangan asalnya hanya ingin melihat makam sultan Omar dan Raja Bahar, memandangkan dalam perjalanan ke Kota Jembal, kami juga akan melalui Kenali dan rumah beberapa guru tua yang sedang uzur, maka kami singgah di beberapa perhentian.

Perhentian pertama adalah makam Tok Kenali. Rupanya makam Tok kenali ini begitu dekat dengan saya. Saya selalu melalui kawasan ini dan pernah melihat beberapa papan tanda, tapi masih belum digerakkan untuk menghampirinya. Baru kali ini saya diizin menghampiri makam Tok Kenali.

Makam Tok Kenali di bawah binaan wakaf


Setelah menziarahi makam Tok Kenali, kami menuju ke rumah Cikgu Nik Ahmad, selaku setiausaha Persatuan Kerabat Raja Jembal, serta aktif mengajar tasauf di masjid-masjid sekitar Kota Bharu.

Beliau sangat aktif dalam masyarakat dan sangat gigih ke sana ke mari menimba ilmu dan menyampaikannya kepada masyarakat.

Bersama Cikgu Nik Ahmad yang uzur lebih dua bulan

Selesai di rumah Cikgu Nik Ahmad, kami memecut lagi. Kali ini menuju ke Kota Jembal. Dalam perjalanan, kami singgah ke rumah Hj Abdul Halim Bashah (IBHAR) yang banyak menulis mengenai Melayu, wali songo, dajal, imam mahadi serta peristiwa akhir zaman. 

Beliau juga agak kurang sihat dan pernah dihantar ke hospital beberapa kali sebelum memasuki bulan Ramadhan ini. Saya beberapa kali tertangguh hasrat berjumpa dengan beliau, hikmahnya, dapatlah saya mengenali rumah beliau.

Berkongsi sejarah Kelantan bersama Long Muhammad

Sempat bergambar bersama Hj Halim, beliau merupakan anak kelahiran Kedah, namun menjadi rujukan sejarah Kelantan
bersambung ke bahagian 2