Perhatian


Kebanyakan post di dalam blog ini disalin dari posting dari sahabat-sahabat blogger lain untuk rujukan saya pada masa akan datang. Jadi saya lampirkan sekali link ke post asal bagi menjaga hakcipta post serta memudahkan anda dan saya ke post asal. Harap Maklum

Tuesday, February 14, 2012

Silat Kedah

 
Sesuai dengan peranannya sebagai sebuah Empayar Islam terbesar di Nosantara, Kedah bukan sahaja mempunyai undang-undangnya sendiri, bahkan juga silat iaitu SILAT KEDAH. Tujuan artikel dikarang adalah kerana ia ada kena mengena dengan kajian sejarah realiti yang telah dijalankan, disamping untuk menjawab persoalan dengan sejarah silat yang berkaitan dengan SNK yang telah ditanya oleh para pembaca.

Seperti yang diketahui, kajian TMP tidak menjurus kepada silat, kerana skopnya kecil. Yang hendak diketengahkan adalah sejarah Empayar Islam dari sudut global bukan jumud. Jika ada kaitan yang jelas barulah disentuh.

Alhamdulillah kerana ada pembaca menghantar artikel berkenaan silat seperti di atas maka asasnya kukuh untuk diteruskan penulisan berkenaan dengannya. Terima kasih juga kepada pembaca yang bersabar menantikan jawapan.

Secara ringkasnya, menurut pembacaan saya secara sambil lalu, Silat Kedah atau nama lain-nya Silat Cekak mengikut sejarahnya berasal dari Kedah. Diamalkan oleh panglima kanan kerajaan Negeri Kedah dizaman pemerintahan Sultan Ahmad Tajuddin II (SAT II)

Diperturunkan kepada Panglima Tok Rashid kepada Yahaya Said sebagai Pemegang Amanah sebelum dilahirkan kembali ke alam nyata oleh seorang anak Kedah iaitu Ustaz Hanafi Haji Ahmad. Kemudian Ustaz Hanafi berusaha mengembangkan silat ini dengan cara profesional lalu bergerak atas persatuan yang berdaftar dengan kerajaan Malaysia.

Baik, bukan kisah persatuan yang ingin dibincang-kan disini, tetapi mengenai asal-usul silat ini sendiri. Dari mana asalnya, dimana duduknya. Pada zaman itu setiap panglima ada 'pakaian' masing-masing. Tiada pulak persatuan seperti hari ini, tetapi boleh bersatu!

Menunjukkan bahawa apabila negara dilanda musoh, persatuan tidak lagi diguna pakai yang dipakai hanyalah ilmu yang berkat dan sebati dengan jiwa. Yang ruginya kalau tidak ada 'pakaian' lah. Telanjang bulat kena lastik lah jawabnya. Jadi umat Melayu sekalian pergilah persiapkan diri seperti mana ulama-ulama zaman dahulu menunjukkan contoh teladan kepada kita. Siapkan payung sebelum hujan.

Jika kita melihat pada sejarah yang disangkut pada pangkal silat ini, penghujungnya kita akan bertemu Sultan Ahmad Tajuddin II, Laksamana Kedah yang menjadi pengkhianat kepada bangsa dan agamanya sendiri. Jika disandar kepada sejarah yang ada sekarang maka Silat Kedah ini adalah diguna untuk berjuang disamping pengkhianat agama. Maka akan timbul-lah konflik dalam jiwa pengamal silat ini. Mana boleh silat kami silat pengkhianat!

Oleh kerana itu, tuan-tuan sekalian. Saya akan cuba membuka sedikit pemikiran tuan-tuan, melihat sejarah silat ini dari sudut pandang yang lebih luas - berpijak pada bumi nyata dan mengikut sejarah realiti Negara Kedah. Saya juga tidak akan menggunakan rujukan atau petikan yang banyak dalam ruangan kali ini kerana ingin mendapatkan 'flow' cerita sekali lalu.

Jikalau tuan-tuan minta baru saya akan berikan sumbernya.

Perang dengan puak Sukhotai 1821-1876
Dalam sejarah silat cekak, hanya nama Tuah dan kehebatan Panglima Ismail sahaja yang disebut-sebut. Tidak mengapa, biarkan sahaja cerita itu disitu.

Mari kita lihat kisah dan peristiwa besar yang berlaku pada zaman Sultan Ahmad Tajuddin II yang dikatakan sebagai salah seorang Sultan Kedah dalam buku At Tarikh Salasilah Negeri Kedah yang mula dibukukan pada tahun 1923 atas arahan Paduka Seri Sultan Abdul Hamid. Buku ini dikarang oleh seorang kerani atas ugutan bunuh yang dikenakan ke atasnya. Dikarang tanpa rujukan!

Sultan Ahmad Tajuddin atau Paduka Seri Sultan Ahmad Tajuddin II ini sebenarnya berpangkat sebagai seorang laksamana angkatan laut Kedah sahaja di zaman Khalifah Syarif Abu Bakar memerintah Empayar Islam Benua Siam Kedah.

Khalifah Syarif Abu Bakar ini adalah Maharaja Siam Islam Ayuthia yang terakhir yang memerintah dari Siam. Baginda berundur ke Kedah apabila Ayuthia di tawan oleh puak Sukhotai pada tahun 1767. Berkenaan nama Khalifah Syarif Abu Bakar Syah ini tidak perlulah dipertikai kerana nyata namanya tersebut dalam Undang-undang Kedah dan akhirnya diakui oleh Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Negeri Kedah.

Khalifah Syarif atau gelaran lainnya Panglima Besar Siam @ Maharaja Benua Siam ini berada dalam satu zaman dengan Sultan Muhammad Jiwa Nai nal Abidin - iaitu Perdana Menteri Kedah yang tinggal di Istana Anak Bukit, Kedah (UUK, ms 27) dikatakan menghantar ufti - bunga emas kepada Maharaja Besar Benua Siam setiap tahun. Begitu juga dengan Paduka Seri Sultan Ahmad Tajudin Halim Syah yang juga menghantar ufti kepada Khalifah Syarif Abu Bakar Syah. (UUK, ms 27-28)

Dipendek-kan cerita, dalam waktu dia berada dibawah kerajaan Siam Islam ini rupanya SAT II telah berniat jahat dan berpakat dengan kerajaan Thai Ayuthia untuk merampas kuasa. Dan akhirnya pada tahun 1821, iaitu Tahun Musuk Bisik, sewaktu kerabat-kerabat diRaja Siam sedang meraikan upacara perkahwinan diraja di Kuala Kedah, maka SATII ini telah membuka jalan kepada angkatan Laut Thai masuk ke pelabuhan dan menyerang orang-orang Islam disitu.

Habis terbunuhlah hampir keseluruhan kerabat diraja Siam Islam yang menghadiri majlis itu. Tidak sampai disitu sahaja tempat bersemayam Maharaja Siam Khalifah Syarif Abu Bakar Syah juga dibocorkan, maka syahid jugalah baginda.

SAT II lari ke Melaka, Panglima Ismail ke mana?
Tuan-tuan mungkin ada yang tidak perasan bahawa gelaran lain bagi SATII ini adalah Marhum Melaka. Kenapa begitu? Ini adalah kerana apabila tembelangnya pecah, dia menumpang kapal British lalu lari ke Melaka, di hambat oleh tentera Panglima Bukit Gantang Syed Alang Alaudin.

Dalam pada beliau bersembunyi di Melaka itulah, zaman persuratan Melayu Moden dikembangkan. Nama yang dibesarkan ialah Munsyi Abdullah yang dijadikan Bapa Persuratan Melayu Moden padahal dia bukan seorang Melayu. Ini semua adalah angkara British hendak mengubah sejarah dan mengutuk Melayu dengan tuduhan yang bukan-bukan. Raffles pun mula menjalankan propaganda Bangsa Melayu pada sekitar tahun itulah juga.

Baik, dalam pada tahun yang samalah berkecamuk perang Musuh Bisik 1821 - 1839 dimana SAT II tiada di Kedah tetapi dia berada di Melaka. Di sinilah timbuk konflik duduknya Panglima Ismail yang dikatakan menjadi Panglima Kanan kerajaan Kedah di zaman SAT II.

Adakah Panglima Ismail juga bersama-sama dengan SAT II lari ke Melaka atau Panglima Ismail sebenarnya adalah antara panglima kanan yang berjuang disamping Panglima Bukit Gantang Syed Alang Alaudin - sebenar Yang Dipertuan Kedah pada ketika itu?

Mengikut pada Seminar Ulama Berjiwa Panglima yang diadakan di Universiti Islam Malaysia suatu ketika dahulu, Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah mengandaikan bahawa harus Panglima Ismail Silat Cekak ini berjuang bersama-sama Panglima Tok Moris dan lain-lain lagi menentang SIAM (Thai).

Oleh itu saya berpendapat bahawa Panglima Ismail ini juga turut berjuang sabil menghalang kemaraan tentera Thai sewaktu SAT II bersenang-lenang di Melaka.

Maka saya atas pendapat saya sendiri membatalkan penglibatan Panglima Ismail (jikapun beliau yang dimaksudkan dengan nama 'Ismail' pada ketika itu)  berkesekongkol bersama SATII yang berkhianat atas perjuangan fisabillillah.


Siapa Panglima Ismail, asal dari mana?
Ada banyak kemungkinan disini. Saya cuma ingin menyentuh kisah Panglima Ismail dari sudut peranannya dalam era Kerajaan Kedah ketika itu.

Tidak mustahil peranan yang diambil oleh Panglima Ismail ini sama dengan peranan yang diambil oleh Pak Haji Zain Abdul Rahman. Dia seorang yang tersembunyi. Hanya dikenali oleh beberapa orang sahaja yang rapat dengannya. Siapa yang kenal Pak Haji Zain? Tidak ramai yang kenal tetapi padanya ada ilmu yang sangat mahal harganya. Begitulah juga Panglima Ismail ini.

Teori yang dipakai mengatakan dia seorang Panglima Kanan kerajaan Kedah, disampaikan kepada Pak Yahaya Said oleh Panglima Tok Rashid yang kenal rapat dengan Panglima Ismail. Seperti mana murid-murid hikam yang mengatakan Pak Haji Zain seorang yang hebat, boleh mengadap wakil raja Saud menyelamatkan umat Melayu dalam kecamuk perang begitu jugalah Panglima Ismail.

'Kanan' itu dari sudut mana? Hanya siapa yang kenal sahaja akan meng-aku-i ke-kanan-nya itu. Boleh jadi 'kanan' itu bermaksud panglima yang bersama Panglima Bukit Gantang dan bukan pengkhianat - puak2 kiri.

Baik seterusnya, dalam peperangan yang berlaku pada tahun Musuh Bisik itu, seluruh tentera Islam dari Nosantara turun membantu Panglima Bukit Gantang. Nosantara ini adalah ALAM MELAYU. Dari Acheh, Majapahit, Borneo, Bugis turun mempertahankan garisan Tanah Melayu dan memukul balik tentera Thai sehingga ke Ser Gen Ting Kra.

Lalu diperbuat lah sempadan dari Ser Gen Ting Kra turun bawah ke Semenanjung ini kawasan Islam! Tanah Melayu! Tanah Melayu! Tanah Melayu! (walaupun nama asalnya Semenanjung Siam Melaka) dalam konteks ini Tanah Melayu saya ingin pertegaskan kerana bumi bertuah ini hari ini dikenali sebagai bumi Melayu!

Diantara syuhada yang terbunuh dalam peperangan itu termasuklah Syeikh Masud Al-Banjari yang ada tersebut kisahnya dalam riwayat Pak Haji Zain. Iaitu membawa kepada Tuan Hussain Kedah dan Tuan Haji Ahmad guru kepada Tuan Haji Ishak Itam - Guru Utama Silat Cekak hari ini.

Maksud yang hendak disampaikan disini adalah mereka ini termasukkah Panglima Ismail, adalah umat Melayu sejati seperti yang kita kenali hari ini, walaupun nenek moyang mereka kemungkinan berasal dari Arab atau Siam atau Acheh atau Banjar dan sebagainya tetapi kebanyakkannya ulama-ulama dari zaman itu ada pertalian dan berasal tanah Arab khasnya dari Yaman Hadaralmaut.

Mereka sebenarnya adalah serumpun yang mengalir darah panglima dan pendakwah yang tidak gentar untuk berkorban mempertahankan agama dan warisan bangsa tercinta. Benih itu ada pada mereka dan anak cucu mereka yang terpilih. Mereka itu adalah orang Melayu!


Cukup setakat ini
Saya tidak berniat untuk menyimpulkan perkara ini lagi. Cukuplah sekadar mengatakan bahawa peranan Panglima Ismail dan Silat Kedah dari sudut sejarah realiti memang ada. Dan pengamalnya adalah dari golongan istana. Cuma tidak dapatlah kita hendak memutuskan secara tepat siapa Panglima Ismail ini. Yang pasti, atas pergerakan Silat Kedah yang berasaskan perbuatan 'solat' itu, tidak mungkin beliau akan menderhaka menjadi pengkhianat agama dan bangsa bersekongkol dengan Thai Kafir Laknatullah.

Seperkara lagi yang perlu kita ingat adalah peranan penting silat-silat lain yang menjadi pakaian panglima-panglima yang sezaman dengan Panglima Ismail dalam mempertahankan Umat Melayu dan Islam dari anasir luaran suatu ketika dahulu. Mereka semua ada peranan tersendiri. Cuma yang beruntungnya barangkali Silat Kedah ini menurut sejarahnya merujuk kepada istana Kedah, maka dapatlah dibuat pertalian disitu. Itu sahaja tidak lebih dari itu.

Andaikata silat ini tidak dizahirkan kembali, kita pun tidak tahu bahawa memang pernah wujud Silat Kedah atau Silat Cekak. Walaupun pembawanya tersembunyi, harus juga dia adalah seorang yang KANAN dari sudut hakiki.

Kedat @ Kedah dalam bahasa Siam bermaksud surat watiqah yang dibawa oleh Merong Mahawangsa @ Sultan Muzaffar Syah 1 seorang Raja Siam Islam dalam usaha dakwahnya ke No-San-Ta-Ra. Ada rahsia disana.

Sebelum mengakhiri artikel ini saya terpanggil untuk menyiarkan kata-kata dari Panglima Tok Rashid yang bagi saya sangat dalam maksudnya:

"Jika ada anak cucuku dari KEDAH hendak belajar, hendaklah kau pulangkan kembali"

Begitulah rahsia kebesaran Empayar Islam Benua Siam Kedah, yang ada undang-undang dan silat-nya yang tersendiri. Semestinya tidak bercampur hak luar negeri.


Al fatihah buat semua para syuhada yang gugur mempertahankan agama dan bangsa di tanah air tercinta ini.

Sekian.

Wednesday, February 8, 2012

Taming Sari diuji lelaki Jawa

MOHD. AZLI ADLAN

Taming Sari bukan replika

Oleh Nurhayati Abllah

Berita harian
2011/05/30



KERIS Taming Sari dipamerkan di Galeri Sultan Azlan Shah di Kuala Kangsar selama enam hari bermula semalam sempena Hari Keputeraan Sultan Perak yang ke-83.
Keris kebesaran Diraja Perak diwarisi dari Sultan Melaka sejak 1528
KUALA KANGSAR: Muzium Perak menolak dakwaan mengatakan Keris Taming Sari iaitu satu daripada alat kebesaran Diraja Perak yang dipamerkan di Galeri Sultan Azlan Shah di Bukit Chandan, di sini, adalah palsu atau replika.

Pengarah Muzium Perak yang juga pengurus galeri berkenaan, Nor Janati Ibrahim, berkata pihaknya sering menerima dakwaan sedemikian berikutan ada di kalangan pengunjung meragui keaslian keris itu.

“Keris Taming Sari dipamerkan di galeri ini adalah simpanan dan warisan SultanPerak. Jadi ia menjadi satu daripada alat kebesaran Diraja negeri ini. Malah, senjata itu hanya boleh dipamerkan kepada umum selepas mendapat perkenan daripada Baginda Sultan Perak sempena Hari Keputeraan baginda.
“Lagipun keris berkenaan sudah menjadi hak Kesultanan Perak yang sah sejak 1528 selepas diwariskan Sultan Melaka, Sultan Mahmud Syah I kepada Sultan Perak pertama iaitu Sultan Mudzaffar Shah,” katanya ketika ditemui Berita Harian, di sini, semalam.

Nor Janati berkata, mengenai ketulenan atau keaslian keris berkenaan masih dalam kajian berterusan dilakukan pihak berkaitan, tetapi yang penting Muzium Perak tetap mengatakan Keris Taming Sari ialah satu daripada alat kebesaran Diraja Perak.

“Kebanyakan tohmahan timbul disebabkan generasi hari ini terlalu terdedah dengan maklumat atau fakta diperoleh daripada pelbagai sumber kurang tepat. Mereka hanya mendengar maklumat daripada sebelah pihak tanpa mengkaji sendiri sejarah sebenar Keris Taming Sari serta warisan alat kebesaran diraja itu.

“Justeru, Muzium Perak dengan perkenan Tuanku (Sultan Perak) mengadakan pameran Keris Taming Sari di Galeri Sultan Azlan Shah selama enam hari bermula hari ini (semalam) sempena Hari Keputeraan Baginda yang ke-83.

“Ia bertujuan memberi pendedahan serta gambaran sebenar mengenai keistimewaan keris yang pernah menjadi milik Laksamana Hang Tuah itu,” katanya.
Keris berkenaan yang diseliputi dedaun emas, manakala sarung atau hulunya diperbuat daripada emas serta dipercayai adunan daripada 20 jenis besi yang sebahagiannya daripada serpihan besi ganggang pintu Kaabah.

Senjata itu dikatakan mempunyai kuasa sakti iaitu pemiliknya tidak lut dimakan senjata lawan dan berupaya berlegar di udara ketika mengejar musuh. Selain itu, ia juga dipercayai mempunyai kuasa untuk memberi petunjuk jika Perak bakal dilanda sebarang musibah atau bencana.

Nurhayati Abilah.


saya masukkan juga satu komen dari saudara hafian dari:


Saya menyanjungi kedaulatan Seri Paduka Sultan Perak;Sultan Azlan Muhibbudin Shah ibni Almarhum Sultan Yusuff Izzudin Shah Ghafarullahu-lahu.Hasil kajian saya mendapati keris yang dimaksudkan hampir menyerupai ciri2 keris taming sari.sumber dari majalah malaysia book of record.edisi berapa tak ingat.saya baca masa kecik dulu.dan juga dari majalah seni beladiri yang saya kumpul lebih 100 edisi.dan juga internet,blog.keris bugis bukanlah begitu.keris semenanjung dan jawa(indonesia) berbeza.hulu jawa,majapahit,biasanya tak tunduk umpama padi.kalau dikatakan ditempa daripada serpihan besi ganggang pintu Kaabah mungkin benar.dilihat dari hulunya yang menyerupai hulu pedang nabi.batu batu gitu,bling2.dari unsur aerodinamiknya mungkin betul boleh terbang.pisau umah aku pun boleh terbang kalau dibaling.kui kui kui…

Pedang yang dikatakan milik Rasulullah SAW

---------------------

tambahan satu lagi artikel dari Azli Adilan
6 Jun 2011

Campuran besi pintu Kaabah

BERBEZA dengan kebanyakan keris lain yang mempunyai tujuh atau sembilan luk Taming Sari unik kerana hanya mempunyai tiga luk.

Menurut ceritanya, keris terbabit diperbuat daripada 20 jenis besi termasuk serpihan besi ganggang pintu Kaabah. Sarung pula diperbuat daripada kayu berukir halus se mentara hulunya bertatahkan batu delima serta bersalut emas.

Namun oleh kerana peredaran masa, Panglima Perang Kiri Istana Perak, Muhammad Dzulkanain Osman berkata, sarung kayunya uzur dimamah usia.

“Saya difahamkan, hampir 30 tahun lalu, Sultan Perak telah menitahkan agar sarung kayu baru dibuat oleh pakar-pakar pembuatan keris setempat bagi menggantikan sarung lama terbabit.

“Bagaimanapun, setelah siap, tiada satu pun yang muat dengan bilah keris Taming Sari terbabit biarpun banyak sarung kayu baharu telah dibuat.

"Akhirnya sarung kayu asal disadur dengan dedaun emas tulen untuk memastikan ke tahanannya seperti dilihat hari ini atas perkenan Tuanku,” ujarnya kepada Jurnal.

Menurut Muhammad Dzulkain selain keris kuasa, Taming Sari dipercayai akan bergerak-gerak sendiri sebagai memberi petunjuk sekiranya Perak bakal dilanda sebarang musibah atau bencana.

Bagaimanapun sepanjang berbelas tahun beliau berkhid mat di Istana Iskandariah, fenomena mistik itu belum pernah lagi terjadi.

Keris Taming Sari antara merupakan alat kebesaran asal Ke sultanan Melayu Perak yang dikurniakan kepada Sultan Muzaffar Shah I oleh ayahandanya, Sultan Mahmud Shah ketika baginda ditabalkan sultan pertama negeri itu.

Alat kebesaran lain yang turut dibawa mengiringi baginda dalam upacara pertabalan berkenaan ialah dua tepak sirih emas yang bergelar Puan Naga Taru dan Puan Bujur serta Keris Warisan yang bermata emas.

Monday, February 6, 2012

Taming Sari Antara Mitos dan Realiti

Keris tersohor di alam Melayu lambang kebesaran Diraja Kesultanan Perak

Oleh Rohaniza Idris
bminggu@bharian.com.my
2012/02/05




Foto
Hulu Taming Sari.

KERIS iaitu sejenis senjata pendek yang digunakan untuk mempertahankan diri sejak lebih 600 tahun dulu tidak dapat dipisahkan daripada warisan galur bangsa.
Senjata unik di dunia Melayu ini boleh didapati di kawasan berpenduduk Melayu seperti Malaysia, Indonesia, Singapura, selatan Thailand; Mindanao, Filipina serta Brunei dengan nama yang digunakan untuk senjata ini berbeza mengikut daerah.
Misalnya, di Mindanao ia dikenali sebagai sundang manakala di Bali dipanggil kedutan, Jawa Barat menggelarkannya kujang serta penduduk Sumatera merujuk keris sebagai kareh.

Dipercayai perkataan keris berasal daripada bahasa Jawa Kuno iaitu malang kerik yang bermaksud bercekak pinggang. Ini merujuk kepada figura orang bercekak pinggang pada hulu keris pada peringkat awal.

Selain digunakan untuk mempertahankan diri ketika bersilat, keris juga menjadi alat kebesaran diraja atau lambang kedaulatan Melayu. Dalam ratusan jenis senjata ini, keris tersohor yang paling dikenali ramai pastinya Taming Sari.

Sebut saja Taming Sari, rata-rata semua orang teringat kepada pahlawan Melayu Melaka, Hang Tuah, begitulah sebaliknya. Gabungan Taming Sari dengan Hang Tuah sangat sinonim dengan sejarah dan kebudayaan Melayu. 
Apabila timbul isu bahawa pahlawan Melayu, Hang Tuah sebenarnya tidak wujud seperti yang dipertikaikan sesetengah pihak, maka timbul persoalan sama mengenai kewujudan keris Taming Sari.

Benarkah keris Taming Sari itu wujud atau sekadar mitos untuk mengukuhkan lagi kewujudan Hang Tuah? Rona minggu ini mendapatkan pandangan sejarahwan yang juga pakar keris dan Muzium Perak bagi merungkai persoalan itu.

Pensyarah Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya (UM), Mohd Ramli Raman berkata, keris Taming Sari banyak diceritakan dalam Hikayat Hang Tuah dan Sejarah Melayu serta beberapa manuskrip alam Melayu yang lain.

Mohd Ramli berkata, apa yang jelas, keris Taming Sari memang wujud dan menjadi alat kebesaran Kesultanan Perak. Malah, berdasarkan rupa dan ciri yang ada pada keris Di Raja itu, senjata ini memang asli dan berasal dari abad ke-14 kerajaan Majapahit.

Malah, beliau berkata, beberapa manuskrip lama yang ditemui juga menceritakan mengenai keris berkenaan dan terbukti senjata itu memang wujud serta masih terus terpelihara sebagai peralatan Diraja Perak.

“Keris Taming Sari mendapat nama daripada hulu balang Jawa pada pemerintahan kerajaan Majapahit seperti yang ditulis dalam Sejarah Melayu mahupun Hikayat Hang Tuah serta manuskrip lain. Tidak kiralah sama ada benar wujudnya pendekar Taming Sari itu atau tidak, namun keris itu memang ada.

“Mengenai keaslian pula, mengapa perlu dipertikaikan kerana senjata berkenaan adalah alat kebesaran Diraja Perak. Ia benar wujud dan asli kerana ciri yang ada termasuk jenis logam yang digunakan memang terbukti sejak lebih 600 tahun dulu,” katanya.

Mohd Ramli berkata, banyak mitos dikaitkan dengan keris berkenaan, namun mitos itu adalah kepercayaan. Jadi, soalnya, mengapa perlu diketepikan kepercayaan itu.

Menceritakan sejarah keris tersohor itu, beliau berkata, mengikut Hikayat Hang Tuah, keris berkenaan mendapat nama daripada nama pemilik keris itu, hulubalang Majapahit, Taming Sari.

“Selepas pertarungan antara Majapahit dengan Hang Tuah, yang mana kemenangan berpihak kepada Hang Tuah, keris itu dihadiahkan Ratu Majapahit dengan Sultan Melaka dan kemudian diserahkan kepada Hang Tuah.

“Selepas kegagalan Hang Tuah meminang Puteri Gunung Ledang, beliau menyerahkan keris itu kepada Tun Mamat untuk diserahkan kembali kepada Paduka Raja.

“Namun, yang pastinya saya melihat keris Taming Sari adalah lambang kewibawaan, kekuasaan, darjat, rezeki dan mempunyai pengisian serta spiritual di dalamnya,” katanya.

Mohd Ramli berkata, selepas keris Taming Sari diserahkan kepada Hang Tuah, kerajaan Majapahit tumbang manakala Melaka menjadi lebih maju dan terkenal di mata dunia.

“Selepas keris diserahkan kepada Sultan Melaka tetapi dibawa Tun Mamat ke Riau, maka berlaku kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka dan apabila ia dibawa ke Perak, ‘roh’ atau spiritual Taming Sari melonjakkan Kesultanan Perak sehingga hari ini,” katanya. 

Foto
Nor Jannati melihat bentuk Keris Taming Sari yang diseliputi
dedaun emas ketika dipamerkan di Galeri Sultan Azlan Shah.
Pantang larang Taming Sari

RIWAYAT dan kisah pertarungan hebat antara lagenda pendekar Melayu terulung, Hang Tuah dengan pahlawan Jawa dalam kerajaan Majapahit, Taming Sari akhirnya menzahirkan kewujudan keris teragung dalam sejarah ketamadunan Melayu iaitu Keris Taming Sari.

Mengambil nama sempena pahlawan hebat kerajaan Majapahit itu, Taming Sari dianggap keris sakti hingga menjadikan pemiliknya tidak lut ditujah senjata tajam. Malah, cerita silam mengisahkan pemilik asal keris itu, Taming Sari akhirnya mati di tangan Hang Tuah selepas ditikam keris berkenaan.

Kehebatan senjata itu tidak pernah terhenti diperkatakan sehingga kini, apatah lagi ia sering dikaitkan dengan Hang Tuah iaitu laksamana Melayu yang terkenal dengan ketaatan serta kesetiaannya kepada raja.

Namun, kebelakangan ini ada pula yang seakan menolak kewujudan Hang Tuah dan pada saat itu, Taming Sari yang tersimpan di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, Perak, menjadi bukti kewujudan pahlawan Melayu tersohor itu. Masakan tidak, Hang Tuah dan Taming Sari begitu sebati dalam sejarah Melayu.

Sumber dari laman rasmi Pejabat Sultan Perak menyatakan keris berkenaan diselaputi dedaun emas manakala sarung atau hulunya juga diperbuat daripada emas serta dipercayai adunan daripada 20 jenis besi yang sebahagiannya adalah serpihan besi ganggang pintu Kaabah.

Pemiliknya bukan saja tidak lut senjata lawan, senjata dipercayai berusia lebih 500 tahun itu dikatakan berupaya berlegar di udara ketika mengejar musuh. Taming Sari juga dipercayai mempunyai kuasa untuk memberi petunjuk jika Perak bakal dilanda sebarang musibah atau bencana.

Kelebihan dan keistimewaan keris itu turut dibuktikan dengan kajian Muzium Perak yang mendapati keris Taming Sari memang wujud kerana senjata itu menepati ciri-ciri yang diperlukan, termasuk gambar rajah pada Manuskrip Taming Sari bertulisan jawi kuno mengandungi zikir dan amalan perang amalan Tariqat al-Shazilliah yang dipercayai ditulis pada abad ke-15.

Walaupun wujud pertikaian mengenai keaslian Keris Taming Sari yang kini tersimpan rapi di Istana Iskandariah, Pengarah Muzium Perak, Nor Jannati Ibrahim memberitahu Rona bahawa keris itu asli dan bukan replika seperti yang didakwa sesetengah pihak.

"Keris Taming Sari yang sebelum ini pernah dipamerkan di Galeri Sultan Azlan Shah di Bukit Chandan, Kuala Kangsar adalah simpanan dan warisan Sultan Perak. Jadi ia menjadi satu daripada alat kebesaran Diraja negeri ini. Malah, senjata itu hanya boleh dipamerkan kepada umum selepas mendapat perkenan daripada Baginda Sultan Perak sempena Hari Keputeraan baginda.

"Lagipun keris berkenaan sudah menjadi hak Kesultanan Perak yang sah sejak 1528 selepas diwariskan Sultan Melaka, Sultan Mahmud Syah I kepada Sultan Perak pertama iaitu Sultan Mudzaffar Shah,” katanya.

Walaupun ketulenan atau keaslian keris berkenaan masih dalam kajian berterusan dilakukan pihak, tetapi Muzium Perak mempertahankan Keris Taming Sari itu adalah asli dan menjadi satu daripada alat kebesaran Diraja Perak.

"Kebanyakan tohmahan timbul disebabkan generasi hari ini terlalu terdedah dengan maklumat atau fakta diperoleh daripada pelbagai sumber kurang tepat. Mereka hanya mendengar maklumat daripada sebelah pihak tanpa mengkaji sendiri sejarah sebenar Keris Taming Sari serta warisan alat kebesaran diraja itu.

"Disebabkan itu, muzium negeri secara berterusan akan mengadakan pameran berkaitan peralatan bersejarah seumpama itu untuk memberi penjelasan kepada rakyat," katanya.

Biarpun pelbagai dakwaan dan pandangan dikemukakan mengenai kewujudan keris sakti ini, Taming Sari yang juga keris kuasa atau bawar menjadi lambang kedaulatan Kesultanan Melayu Perak kini disimpan rapi bersama 26 alat kebesaran Perak lain dalam sebuah peti besi khas di istana berkenaan.

Berikutan senjata itu mempunyai 'kuasanya' tersendiri, beberapa 'penjaga' alat kebesaran Perak mendakwa ada pantang larang yang perlu dipatuhi sepanjang mengendalikan atau membawa Taming Sari.

Antaranya, keris keramat itu tidak dipamerkan di dalam kotak kaca di ruang legar galeri secara bersendirian sebaliknya disertakan dengan keris Seri Gading sebagai ‘peneman’.

Dikatakan, keris Seri Gading yang juga salah satu alat kebesaran Kesultanan Melayu Perak itu diletakkan di hadapan Taming Sari sebagai ‘penawar’ dan ‘pendinding’ kepada keris terbabit daripada anasir yang berniat buruk terhadapnya.

Kesimpulan, walaupun ada pelbagai versi mengenai Taming Sari, rakyat Malaysia harus berbangga dengan memiliki seni warisan yang penuh dengan sejarah bahkan apa yang diwarisi adalah setanding dan diiktiraf negara luar. 
Foto
Taming Sari bersama keris Seri Gading sebagai 'peneman'.

Saturday, February 4, 2012

Rumah Tradisional Melayu

sumber:
http://rusdi-hitamputih.blogspot.com/2010/03/rumah-melayu-tradisional.html

Rumah Tradisional Perlis

Rumah Tradisional Kedah

Rumah Tradisional Pulau Pinang

Rumah Tradisional Perak

Rumah Tradisional Selangor

Rumah Tradisional Negeri Sembilan

Rumah Tradisional Melaka

Rumah Tradisional Johor

Rumah Tradisional Pahang

Rumah Tradisional Terengganu

Rumah Tradisional Kelantan

Rumah Panjang Tradisional Iban Sarawak

Rumah Tradisional Khadazan Sabah