Perhatian


Kebanyakan post di dalam blog ini disalin dari posting dari sahabat-sahabat blogger lain untuk rujukan saya pada masa akan datang. Jadi saya lampirkan sekali link ke post asal bagi menjaga hakcipta post serta memudahkan anda dan saya ke post asal. Harap Maklum

Friday, September 9, 2011

ILMU PERANG MELAYU - BAHAGIAN 6





FORMASI KETENTERAAN, LOGISTIK DAN TIPU MUSLIHAT.



Salam para pembaca sekalian, hari ini artikel saya menyambung lagi mengenai taktik dan strategi. Namun kali ini kita akan melihat kepada formasi ketenteraan, logistik dan tipu muslihat dalam ilmu perang Melayu. Ketiga-tiga unsur ini juga adalah penting dalam melengkapkan dan menyediakan tentera dalam menghadapi sebarang peperangan. Selain itu kita juga akan melihat tokoh-tokoh yang paling menonjol dalam Historiografi tradisional Melayu sebagai strategis ulung ilmu perang Melayu. Kita akan menelusuri pengalaman mereka dalam menghadapi serangan dari penjajah laknatullah yang cuba mencabul bumi terhormat ini. Selain itu kita juga akan melihat tipu muslihat dalam peperangan saudara diantara orang Melayu dengan orang Melayu juga seperti perang di Selangor.


Dalam membicarakan soal peperangan, maka tidak boleh tidak, kita perlu menyentuh mengenai strategi perang yang digunakan dalam sesuatu peperangan itu. Selain daripada penggunaan kubu, Kota dan parit, masyarakat Alam Melayu juga mempunyai siasat perang atau lebih mudah dikatakan strategi perang yang melibatkan formasi tertentu ketika membentuk ketumbukan tentera. Strategi jenis ini termasuk dalam strategi jenis ofensif yakni yang diperlukan apabila kedua-dua ketumbukan tentera yang berlawanan perlu berhadapan atau secara frontal dengan masing-masing berada di sebuah medan peperangan.



Strategi ini sebenarnya cuba untuk membentuk suatu posisi yang menguntungkan agar dapat mengumpan dan memaksa musuh berada dalam keadaan atau posisi yang merugikan dan terbatas pergerakannya. Strategi sebegini juga sangat banyak diamalkan oleh tentera Rom pada zaman keemasannya menakluk sebahagian besar Eropah. Formasi yang diamalkan oleh tentera Rom sejak zaman berzaman telah dikaji secara mendalam oleh peneliti ketenteraan dari seluruh dunia dan dipraktikkan dalam strategi ketenteraan moden terutamanya di negara-negara seperti Amerika Syarikat dan Britain. Sebenarnya strategi seperti ini juga banyak dipraktikkan di kalangan kerajaan-kerajaan di tanah Jawa sejak dari zaman kerajaan kuno seperti Kediri sehinggalah kerajaan Majapahit dan kerajaan Mataram Islam di zaman kolonial. Malahan catatan mengenainya juga adalah lebih terperinci berbanding dengan catatan mengenai strategi yang sama di kawasan kepulauan Melayu yang lain. Antara karya kesusasteraan Jawa kuno yang membicarakan mengenai strategi membentuk formasi tentera adalah Kakawin Baratha Yuddha.



Karya ini adalah tentang bermacam-macam jenis strategi perang berbentuk formasi ketenteraan yang dilgunakan oleh Pandawa dan Kaurawa dalam peperangan yang berbentuk berhadapan dengan musuh atau serangan frontal. Dalam karya ini, ketika berlakunya peperangan frontal di antara kedua buah keluarga ini, keluarga Kaurawa telah menggunakan formasi ketenteraan berbentukWukir Segara atau ombak laut dan bukit. Formasi ini terbentuk daripada tentera yang dibahagikan kepada dua ketumbukan. Tentera ketumbukan pertama ialah di bahagian belakang yang terdiri daripada tentera berkuda dan bergajah dan dinaiki oleh raja-raja, para pembesar dan perajurit atasan, tentera inilah yang dinamakan sebagai bukit. Manakala pasukan kedua pula ialah terdiri daripada barisan demi barisan tentera pejalan kaki yang membentuk seolah-olah lautan dan menyerang dari satu gelombang ke satu gelombang mengikut giliran. Susunan ketenteraan sebegini memerlukan jumlah tenaga manusia yang amat besar dan dinamik yang agak tinggi.



Penggunaan tentera yang banyak  ada disebut dalam karya ini iaitu menyatakan bahawa satu kereta perang diperkuatkan dengan sepuluh ekor gajah, setiap seekor gajah pula di perkuatkan atau disokong oleh sepuluh ekor kuda dan setiap seekor kuda pula disokong oleh sepuluh orang perajurit. Keluarga Pandawa pula menggunakan formasi ketenteraan yang berbentuk Wajratikshna yang bermaksud petir yang tajam. Susunan tentera yang berbentuk petir ini mempunyai beberapa bahagian. Bahagian ini terbahagi kepada bahagian depan yang mempunyai tiga cabang iaitu tengah, sayap kiri dan sayap kanan, bahagian tengah formasi pula dibahagikan kepada dua ketumbukan dan bahagian paling belakang dibahagikan kepada tengah, sayap kiri dan juga sayap kanan. Bahagian yang paling kuat ialah di bahagian paling hadapan yang tengah kerana susunan tentera di sini lebih mantap dan padat. Daripada bentuk formasi ketenteraan kedua-dua keluarga ini dapat dikatakan bahawa kedua-duanya mempunyai kekuatan ofensif yang agak tinggi. Oleh kerana faktor inilah dikatakan bahawa keluarga Pandawa telah kalah dalam peperangan tersebut. Ini kerana kekuatan hanya didasarkan pada bahagian tengah sahaja dan menyebabkan panglima mereka mati dan menghuru-harakan barisan ketenteraan.



Satu lagi jenis susunan tentera yang digunakan dalam peperangan ini yang turut disebut dalam karya ini ialah susunan yang berbentuk Chakra atau roda. Susunan seperti ini mempunyai daya defensif yang sangat kukuh dan kuat serta sukar untuk di tembusi. Hal ini kerana barisan pertahanannya berbentuk lingkaran atau bulat dan sukar untuk mencari titik lemahnya. Segenap arah susunan ini di kawali dengan ketumbukan tentera sesuai dengan namanya seperti roda atau lingkaran. Bahagian tengah atau pusat roda adalah tempat di mana diletaknya pasukan raja atau pembesar yang penting, oleh itu mereka terlindung daripada serangan dari segenap arah.


Salah satu formasi perang yang ada dalam Kitab Braratha Yuddha yakni formasi Garuda Nyalang


Selain daripada masyarakat di Tanah Jawa, masyarakat Melayu di Semenanjung juga  turut mempunyai kesedaran atau ilmu mengenai pelbagai taktik perang berbentuk tipu muslihat. Salah satu daripada strategi ini ialah dengan menggunakan mata-mata dan juga penyamaran. Peristiwa mengenai helah dan tipu muslihat sebegini turut dicatat oleh pegawai-pegawai Inggeris yang berada di Semenanjung Tanah Melayu suatu ketika dahulu. Sewaktu British membantu Siam mengepung perairan Kedah pada 1838, pihak British telah tertipu dengan strategi dan helah pahlawan Melayu Kedah iaitu tengku Muhammad AliBeliau dikatakan telah berjaya melarikan diri daripada Kedah dengan menaiki perahu yang dipenuhi dengan wanita dan berpakaian wanita. Walaupun tentera British telah mengepung Kuala Kedah namun perahu tersebut tetap terlepas kerana menganggap perahu tersebut hanya mempunyai wanita sahaja. Menurut Sherard Osborn, iaitu salah seseorang kelasi British yang menjadi saksi peperangan tersebut, orang-orang Melayu Kedah sebelum menghadapi penyerangan Siam secara besar-besaran telah cukup bersedia. Persediaan yang mereka lakukan adalah amat rapi dengan jangka masa yang tepat dan dalam keadaan rahsia. Kenyataan ini menunjukkan bahawa tentera Melayu Kedah amat mahir dalam membuat persiapan peperangan secara rahsia. Ini mungkin disebabkan kerajaan Kedah senantiasa mendapat ancaman daripada Siam dan oleh itu mereka sentiasa berwaspada dan meneliti strategi-strategi peperangan Siam.



Tengku Kudin salah seorang pejuang  Kedah juga pernah menjalankan taktik penyamaran. Sewaktu beliau mahu membuat percubaan kali ketiga untuk menawan semula Kota Kuala Kedah daripada pegangan Siam, beliau telah menyamar sebagai seorang sepoi Inggeris dan memakai seragam merah. Hasilnya tentera Kedah berjaya memasuki Kota musuh dan menawan Kota tersebut. Kesultanan Aceh pada zaman kegemilangannya juga pernah menggunakan strategi berbentuk tipu muslihat dan helah bagi mengaburi musuh mereka iaitu Portugis di Melaka. Dikatakan bahawa sultan Aceh ketika itu, Sultan Mansur Shah telah mengumpulkan angkatan yang besar terdiri daripada orang-orang Aceh dan Sumatera serta orang negeri perak untuk menyerak Melaka. Bagi mengaburi pihak Portugis, maka Sultan telah mengumumkan bahawa bala tenteranya kan pergi menyerang Tanah Jawa. Baginda juga telah menghantar hadiah kepada Gabenor Portugis di Melaka untuk mengelakkan syak wasangka mereka. Selain itu, Aceh turut menghantar mata-mata atau spy untuk mengalih mengintip pertahanan laluan selat Melaka ke Pelabuhan Melaka dan juga untuk mengalihkan perhatian pihak berkuasa Portugis. Walaupun usaha mata-mata ini tidak berjaya kerana dia ditangkap dan diseksa sehingga terpaksa membocorkan rahsia, namun strategi dan helah yang digunakan oleh baginda Sultan untuk menyerang Melaka dianggap sebagai suatu yang bijak dan boleh dibanggakan pada masa itu.



Dalam peristiwa perang saudara di Selangor pula dapat dipastikan bahawa pasukan ketenteraan bantuan daripada Pahang sememangnya telah mempunyai strategi formasi ketenteraan yang mantap sebelum berangkat ke Selangor. Mereka telah mengatur langkah dan perbarisan mereka sejak dari Pahang lagi dengan diketuai oleh Datuk Bahaman. Datuk Bahaman telah membagikan pasukan Pahang kepada beberapa ketumbukan. Pasukan yang akan menjaga sempadan negeri daripada dimasuki musuh yang melarikan diri dari Selangor akan diketuai oleh Datuk Orang Kaya Haji Lipis dengan dibantu oleh Mat Kilau bersama ayahnya Datuk Gajah. Manakala urusan pertahanan dari laut pula akan diketuai oleh datuk Shah Bandar Jidin.Manakala barisan utama yang akan bergerak menentang pemberontakan di Selangor adalah terdiri daripada 3 pasukan. Pasukan ini kemudiannya akan dipecahkan untuk membentuk beberapa ketumbukan kecil tentera. Ketua turus angkatan tentera ini adalah Datuk Bahaman sendiri. Apa yang uniknya ialah pasukan-pasukan ini diberikan nama kod tertentu untuk memudahkan pembahagian. Antaranya ialah pasukan semantan yang dikepalai oleh datuk Bahaman, pasukan pulau tawar atau imam perang rasul dan pasukan datuk Shah Bandar atau pasukan Benta.


Dato Bahaman, antara strategis Melayu terulung sehinggakan Huge Clifford pernah memuji kebijaksanaan beliau.


Dalam tentera pasukan Semantan datuk Bahaman telah membahagikan pula tugas-tugas kepada beberapa pegawai-pegawai perang yang terdiri daripada panglima-panglima atau Imam Perang. Antaranya ialah Imam perang Mat Akil untuk menjadi panglima dengan dibantu oleh Imam perang Gendut, Imam perang Che Indot, Datuk Johan Perkasa Cik Hassan, Imam perang Khatib Bahrain dan Imam perang Besar Masjid. Apa yang uniknya ialah ketua bagi sesebuah ketumbukan tentera di Pahang menggunakan gelaran Imam perang dan ketua kepada semua Imam perang adalah panglima.Setiap Imam perang akan mengetuai ketumbukan tentera yang mempunyai lebih kurang 300 hingga 600 orang askar. Pasukan-pasukan ini pula telah ditugaskan untuk menyerang kawasan-kawasan yang berbeza di negeri Selangor. Strategi membahagi-bahagikan beberapa bahagian tentera ini menunjukkan bahawa Datuk Bahaman adalah salah seorang ahli strategis yang handal dan dapat mengagak untung rugi yang bakal dihadapi mereka dalam perang ini. Oleh itu dengan membahagikan pasukan kepada 3 kumpulan akan mengurangkan risiko kehilangan askar yang ramai dan dapat menyerang musuh daripada segenap arah.



Peperangan di Selangor ini juga memperlihatkan kebijaksanaan Raja Mahadi sebagai pemimpin pasukan perang Selangor. Beliau telah menjalankan strategi tipu muslihat untuk jangka panjang iaitu dengan memerintahkan Panglima Mashor menawan Kuala Lumpur. Dengan tertawannya Kuala Lumpur beliau telah berjanji dengan Sultan Selangor akan memberikan hak pembahagian cukai di sana dan di Kelang kepada Sultan sendiri. Baginda diharapkan akan bertambah yakin dengan kekuatan beliau. Hal ini akan menguatkan kedudukannya dalam pertikaian politik di Selangor dan sekali gus mendapat sokongan Sultan. Seperti juga pasukan Pahang, pasukan panglima Mashor juga telah menyerang Kuala Lumpur dari tiga penjuru iaitu utara, timur dan selatan. Selain itu pasukan penentang dari Tengku Kudin pula telah menggunakan pengakap-pengakap hutan ataupun pengintip dalam taktik peperangan mereka. Pengakap ini digunakan untuk mengintip kekuatan dan kedudukan musuh.



Penyerangan terhadap Kuala Lumpur yang dibuat oleh Tengku Kudin adalah amat sukar kerana di pertahankan dengan sengitnya oleh Panglima Mashor. Ramai pasukan Pahang yang turut terkorban. Hal ini adalah kerana pasukan tentera Panglima Mashor menggunakan taktik serangan hendap terhadap pasukan-pasukan Pahang yang menyerang ke Kuala Lumpur. Mereka turut memasang perangkap di Ampang, Ulu Kelang dan Kepong. Bagi mengelakkan pasukannya banyak kehilangan nyawa, datuk Bahaman telah mengarahkan agar pasukannya berundur untuk seketika. Datuk Bahaman kemudiannya telah membentuk pasukan kecil yang khas terdiri daripada pahlawan-pahlawan handal dalam jumlah yang kecil bagi melakukan serangan mengejut dan menghapuskan perangkap-perangkap yang dibuat oleh Panglima Mashor.



Kebijaksanaan Datuk Bahaman dalam mengatur strategi perang juga makin terserlah apabila beliau berjaya menyerang Kuala Lumpur daripada dalam, melalui penyamaran sebagai seorang sakai atau pelarian perang. Setelah berjaya menyusup masuk maka orang-orang Pahang telah menggempur kubu-kubu pertahanan Kuala Lumpur dari dalam. Akhirnya orang-orang Pahang telah berjaya menawan Kuala Lumpur daripada Sayid Mashor. Akibat daripada kejayaan ini Sultan Selangor telah menganugerahkan gelaran dan persalinan kepada semua pahlawan Pahang dan Datuk Bahaman digelari sebagai Orang Kaya Indera Pahlawan dan mendapat kedudukan sama seperti pembesar Selangor.



Adalah tidak lengkap sekiranya membicarakan mengenai strategi dan taktik peperangan tanpa membincangkan mengenai dua orang tokoh ilmu strategis yang dianggap paling agung dalam sejarah masyarakat Melayu. Tokoh ini ialah Tun Perak dan Hang Nadim pada zaman Kesultanan Melayu Melaka. Tun Perak seperti yang diketahui, adalah salah seorang daripada Bendahara Kesultanan Melayu Melaka yang hidup pada kurun ke 16 iaitu kira-kira pada tahun 1448 hingga 1498. Beliau telah berkhidmat dengan cemerlang dalam pemerintahan 4 orang Sultan Melaka iaitu Sultan Muzaffar Shah, sultan Mansur Shah, Sultan Alauddin Riayat Shah dan sehingga ke awal pemerintahan Sultan Melaka yang terakhir iaitu Sultan Mahmud Shah. Di bawah pimpinan Tun Perak, Kerajaan Melaka menjadi sebuah kerajaan Melayu yang maju dan kuat. Sejak sebelum beliau memegang Jawatan Bendahara lagi, Tun Perak telah menunjukkan bakat dalam ilmu strategi terutama strategi jangka panjang. Semasa beliau menjadi Penghulu di Kelang, Siam telah menghantar tenteranya untuk menyerang Melaka kerana Sultan Muzaffar Shah tidak mahu tunduk kepada Ayuthia.



Sultan telah mengumpulkan semua pembesar dan orang-orang mereka termasuklah Tun Perak di Melaka. Seperti mana kebiasaannya orang Melayu pergi berperang, mereka tidak akan membawa bersama keluarga mereka, namun di sinilah terletaknya kebijaksanaan Tun Perak dalam mengatur strategi. Beliau telah mengarahkan agar anak dan isteri semua pengikutnya dari Kelang dibawa bersama untuk pergi berperang. Apabila beliau ditanya oleh Sultan mengenai tindakan tersebut beliau menjawab, tujuan beliau berbuat demikian ialah untuk menaikkan semangat para pahlawan Kelang. Hal ini kerana mereka akan berjuang lebih bersungguh-sungguh jika mahu mempertahankan anak dan isteri mereka melainkan hanya berperang untuk Sultan sahaja. Nyata di sini bahawa Tun Perak pandai membaca psikologi tentera di bawah pimpinannya dan psikologi manusia secara umumnya.



Tindakan Tun Perak untuk mengikat tali kekeluargaan dengan musuh politiknya iaitu Bendahara Seri Nara Diraja melalui adiknya Tun Kudu, dianggap sebagai strategi yang bijak bagi menjaga kepentingannya dan mendapat sokongan daripada pengikut Seri Nara Diraja. Dalam serangan Siam yang ketiga, sekali lagi Tun Perak telah menunjukkan kepakaran beliau dalam strategi peperangan. Beliau telah mengarahkan Tun Umar agar menyerang perahu Siam yang cuba mendarat. Tindakan Tun Perak ini ada asasnya, beliau arif dengan perangai anak buahnya Tun Umar yang digambarkan dalam sejarah Melayu sebagai seorang yang amat berani dan gila-gila bahasa.Tindakan Tun Umar yang seolah-olah pejuang berani mati ini telah digunakan Tun Perak untuk mengucar-ngacirkan pasukan perahu perang Siam. Akibatnya beberapa buah perahu Siam telah berjaya dikaramkan oleh Tun Umar. Apabila pasukan Siam hendak menghampiri, Tun Perak kemudiannya telah mengarahkan orang-orangnya agar memasang puntung api atau obor dan ditambati pada pokok-pokok bakau dan lain-lain pokok yang ada di sepanjang pantai. Hal ini dilaksanakan bertujuan untuk mengelirukan pandangan Siam dan memberikan anggapan bahawa tentera Melaka adalah lebih banyak daripada jumlah yang sebenarnya.Tindakan ini berjaya mengaburi mata tentera Siam dan mereka telah berundur. Hasil daripada kebijaksanaan Tun Perak maka Melaka memperoleh kemenangan tanpa pertumpahan darah.



Laksamana Hang Nadim juga boleh dianggap sebagai salah seorang strategis ulung Melayu selain Tun Perak. Berbanding dengan Hang Tuah, kehebatan Hang Nadim bukanlah terletak pada kekuatan, atau kekebalan serta kerisnya, namun ianya terletak kepada kearifan beliau dalam ilmu strategis dan taktik ketenteraan serta mempunyai pemikiran yang tajam, berbanding dengan Hang Tuah yang boleh dikatakan agak bongkak, kurang bijak dan setia membabi buta. Perwatakan Hang Tuah sebenarnya boleh dikatakan sebagai perwatakan seperti samseng yang setia pada tuannya. Kehebatan Hang Nadim sebagai seorang strategis telah menyebabkan lawannya terutama orang-orang Portugis berasa gerun dan pada masa yang sama kagum dengannya.



Salah satu daripada peristiwa yang menunjukkan kebijaksanaan Hang Nadim dalam strategi ialah pada tahun 1526. Pada tahun tersebut diketahui bahawa pelabuhan Melaka di bawah pemerintahan Portugis telah mengalami kerugian teruk dan juga kebuluran sehingga hampir menyebabkan sebahagian besar penduduknya mati kelaparan. Hang Nadim telah meneliti kelemahan dan kekuatan tentera Portugis dari segenap sudutBeliau tahu bahawa Kota Portugis di Melaka adalah mustahil untuk ditawan kerana dindingnya amat kukuh malahan amat kukuh sehinggakan ia bertahan sehingga zaman pemerintahan British dan tentera British terpaksa menggunakan bahan peletup untuk meletupkan dinding Kota tersebut. Selain itu tentera Melayu juga tidak mampu untuk membedil dinding tersebut kerana meriam Melayu kebanyakannya tidak kuat dan kecil. Portugis juga mempunyai kekuatan armada laut iaitu gallieon yang besar dan sangat tebal. Oleh kerana itu amat sukar untuk tentera Melayu menyerang armada mereka tanpa kerugian yang besar.



Namun laksamana Hang Nadim mengetahui bahawa Portugis mempunyai satu kelemahan nyata iaitu mereka tidak mempunyai bekalan makanan sendiri malahan untuk bercucuk tanam pun agak sukar kerana kawasan subur di luar Kota Melaka sering menjadi mangsa serangan hendap tentera-tentera Melayu. Oleh itu Portugis telah mengimport bekalan beras dan makanan dari luar terutamanya Burma dan Siam. Hang Nadim telah menggunakan kelemahan ini untuk menyekat bekalan makanan daripada sampai ke pada pihak Portugis di Melaka. Semua kapal dan perahu yang membawa beras akan diserang dan dirampasHang Nadim juga telah bertindak meletakkan pengikutnya di Sungai Perlis bagi menghalang kemaraan bekalan beras dari Burma dan meletakkan juga para pengikutnya di Sungai Pahang bagi menyekat bekalan beras dari Siam dan Jawa. Ternyata strategi ini berjaya dan Portugis tidak dapat berbuat apa-apa. Bagi mengatasi kekuatan armada Portugis di laut dan kehebatan kapal mereka , Laksamana Hang Nadim telah mengatur strategi agar tidak berperang secara frontal dengan Portugis. Sebaliknya beliau mengumpan tentera Portugis untuk berlayar dan masuk ke kawasan sungai yang sempit dan cetek serta di bahagian selat-selat kecil supaya kapal mereka terkandas.



Hal ini berjaya kerana kapal Portugis yang besar dan tebal itu adalah berat dan sukar untuk di kemudi dan hanya boleh bergerak jika ada angin berbanding dengan lancara Melayu yang dapat didayung dan mempunyai lantai yang lebih tinggi yang membolehkan ianya berlayar walaupun di kawasan air yang cetek. Setelah kapal ini terkandas makpasukan Melayu akan menyerang kapal tersebut dari arah yang tidak mempunyai meriam untuk mengelak dari ditembak, contohnya di bahagian belakang kapal atau depannya. Bahagian sisi kiri dan kanan kapal biasanya dipasang dengan meriam. Banyak kapal Portugis yang berjaya di rampas dan ditenggelamkan. Portugis telah bertindak balas dengan menyerang pusat kekuasaan Melayu yang ketika itu berada di Pulau Bentan pada tahun 1523 hingga 1525 namun semuanya mengalami kegagalan. Kegagalan ini juga adalah disebabkan kecekapan Hang Nadim dalam melaksanakan taktik peperangan. Beliau telah menanam ranjau atau perangkap di dalam sungai bentan di tempat-tempat tertentu. Oleh yang demikian kapal-kapal Portugis yang besar dan berat telah tersangkut dan tidak dapat berpusingManakala pasukan tentera Melayu dapat menyusuri sungai tanpa halangan kerana mengetahui di mana letaknya ranjau yang dipasang. Salah satu daripada kelebihan atau trademark strategi peperangan Hang Nadim adalah beliau sering menjalankan serangan secara kecil-kecilan dan mengelakkan peperangan frontal yang besar. Hal ini kerana beliau tahu untung rugi peperangan secara frontal dengan Portugis. Laksamana Hang Nadim terus menjadi Laksamana sehingga terbentuknya Kerajaan Johor pada tahun 1530.


Makam Hang Nadim


 Selain itu, dikatakan juga bahawa tentera Melayu mempunyai ilmu logistik yang sangat baik.Tentera Kedah dikatakan telah berjaya menyeludup senjata api dan senjata-senjata lain dari Pulau Pinang dan mendapat bantuan daripada orang-orang Sumatera dalam peperangan menentang penjajahan Siam dan British di Kuala KedahDalam waktu yang singkat sebanyak dua ribu orang tentera dan empat puluh buah perahu perang telah berjaya dikumpulkan. Mereka juga berjata menyelusup masuk dan bergabung dengan pasukan-pasukan tentera Kedah yang lain walaupun perairan Kuala Kedah telah dikepung ketat oleh British dan Siam. Dalam melakukan penyerangan secara besar-besaran, strategi yang digunakan oleh pejuang-pejuang Melayu Kedah pada waktu itu ialah dengan membahagikan pasukannya kepada dua kumpulan.


Kota Kuala Kedah.


Satu kumpulan akan menjaga kubu-kubu pancang di sepanjang paya bakau sekitar pesisir pantai Kedah berserta kubu kuat mereka di Kota Kuala Kedah dan satu kumpulan besar lagi akan mengadakan serangan secara frontal terhadap pasukan-pasukan tentera Siam di, Setul, Perlis, dan Trang. Serangan secara mengejut ini adalah trade mark tentera Melayu Kedah yang berjaya memberi kesan dalam peperangan ini, dan hasilnya mereka menang dan dapat merampas semula semua wilayah Kedah yang dikuasai Siam. Hal ini berlaku kerana tentera Siam tidak bersedia dan tidak dapat menghidu pergerakan tentera Melayu. Menurut Osborn, tentera Melayu yang berada di wilayah Trang dikatakan mempunyai kekuatan perahu perang sejumlah 50 buah dan dilengkapi dengan senjata api jenis ringan seperti Lela Rentaka dan senjata-senjata api lain. Melalui huraian yang dibuat oleh Osborn ini, dapat kita ketahui bahawa keberkesanan strategi tentera Melayu dalam peperangan ini adalah bergantung kepada preparation atau persediaan dan rancangan awal yang jitu dan kemas. Jika tidak, serangan yang dibuat pasti tidak akan berjaya. Selain itu segala perancangan yang dibuat juga adalah secara senyap-senyap atau rahsia supaya musuh mereka iaitu Siam dan sekutunya British tidak dapat menghidu. Ini sesuai dengan pepatah Melayu yang berbunyi, berterang-terang dalam gelap dan bergelap-gelap dalam terang, dan juga menarik rambut dalam tepung, biar rambut tak putus tepung tak berterabur.



Tambahan lagi, selain di Kedah, taktik menyerang musuh dalam keadaan mereka tidak bersedia secara frontal sebegini juga telah digunakan oleh pejuang Batak dibawah pipimpinan Sisingasimangaraja iaitu raja kepada orang-orang Batak di Tapanuli, Sumatera utara. Sisingamangaraja dikatakan sebagai seorang strategis yang amat bijak. Beliau boleh disamakan dengan Tun Perak dan juga Datuk Bahaman kerana pandai menggunakan kelebihan geografi sebagai senjatanya menentang penjajah yang jahil tentang bentuk muka bumi tempatan. Dikatakan bahawa pada tahun 1877 serangan pertama terhadap banteng Belanda di wilayah Bahalbatu telah di jalankan oleh Sisingamangaraja. Menariknya bahawa, serangan ini sebenarnya telah diproklimasikan oleh beliau kepada Belanda sera terbuka, seperti lagaknya seorang pahlawan sejati dengan cara menghantar perutusan. Namun demikian Belanda masih tidak bersedia dan mengambil ringan proklamasi yang dibuatnya. Pada hari yang telah ditetapkan pada tahun tersebut, Sisingasimangaraja telah membahagikan pasukan perangnya kepada tiga kumpulan yang setiap satunya dipimpin oleh seorang panglima, setiap kumpulan ini akan mengambil jalan yang berbeza untuk menuju ke benteng Belanda dan pergerakan dijalankan secara amat rahsia. Mereka bergerak sebelum subuh dan berjaya mengepung kubu Belanda ketika tentera Belanda masih tidur.


lukisan wajah sisingamagaraja.



Tentera Batak telah membunyikan gendang perang yang bertalu-talu untuk memberi semangat kepada pasukannya dan menggemparkan musuh yang sedang tidur. Kemudian tembakan bertalu-talu dihujankan kepada tentera Belanda di dalam kubu. Akibatnya ramai tentera Belanda yang tidak bersedia telah terkorban. Tentera Belanda sebenarnya dikatakan tidak menyangka langsung bahawa pasukan Batak sebegitu kuat dan mempunyai strategi perang sebegitu mantap. Mereka menduga serangan akan dibuat di waktu siang dan bukan dalam waktu subuh yang antara gelap dengan terang. Lebih kurang tujuh minit pasukan Belanda berada dalam keadaan kelam kabut untuk bersedia.



Oleh kerana Sisingamangaraja telah membahagikan serangan kepada tiga bahagian, pasukan Belanda terpaksa menghadapi serangan dari tiga penjuru dan ini melemahkan pertahanan mereka.Salah satu daripada pasukan Sisingamagaraja berjaya merapatkan diri ke kubu musuh dan terjadilah tembak-menembak dalam jarak dekat. Hal ini memberikan kelebihan kepada pasukan Batak kerana mereka menggunakan senapang pemuras yang menggunakan peluru tabur. Senapang pemuras ini amat sesuai digunakan dalam jarak dekat dan dapat membunuh atau mencederakan banyak orang sekali gus. Selain menggunakan pemuras, tentera Batak juga amat mahir menggunakan hudjur atau lembing lontar.


Pahlawan Batak.


Dalam penyerangan ini sepasukan daripada kumpulan Batak telah diarahkan untuk mara ke depan dan melemparkan lembing ke arah tentera Belanda, hal ini menyebabkan tentera Belanda menjadi panik dan ada yang mengundurkan diri untuk mengelak terkena lembing. Satu lagi taktik yang digunakan dalam peperangan ini adalah dengan memancing tentera musuh untuk berlawan dalam tempat terbuka atau keluar dari kubu mereka. Tentera Sisingamangaraja yang menyerang di bahagian selatan telah menggunakan cara ini namun tidak berhasil untuk memancing tentera Belanda keluar daripada kawasan pertahanan mereka. Mereka sengaja membiarkan pasukan Belanda menembak tanpa henti dan tidak membalas tembakan mereka untuk tujuan mengumpan.


Dalam penyerangan di bahagian selatan kubu Belanda, suatu permainan strategi yang lebih menarik telah ditunjukkan oleh panglima Tampubolon iaitu salah seorang daripada panglima tentera SisingamangarajaPanglima Tampubolon dikatakan telah menggunakan taktik sayap untuk menjerat dan memancing musuh menembak dan maju ke hadapan supaya mudah untuk pasukan Batak mencari sasaran. Taktik sayap maju dan mundur ini dianggap berkesan dalam penyerangan tersebut. Pejuang dari sayap kiri tentera Batak telah diarahkan untuk menyerang tanpa henti terhadap pasukan sayap kanan Belanda. Manakala sayap kiri Batak telah diarahkan mundur dan meniarap di tanah untuk bersembunyi dan menembak sekali sekala sahaja.


Cap Mohor Sisingamagaraja yang ditulis dalam aksara batak dan jawi.


Pasukan Belanda telah membalas tembakan dari lubang-lubang kubu dengan hebatnya ke arah sayap kiri Batak. Manakala sayap tengah pula diisyaratkan untuk menghujani pasukan Belanda dengan bedil pemuras tanpa henti. Akibatnya beberapa orang tentera Belanda telah gugur dan ini telah menyebabkan tentera Belanda naik marah dan telah menembak terus-menerus secara membabi buta tanpa mengenai sasaran akibat daripada panik. Kemudian sayap kanan tentera memberi isyarat kepada sayap tengah untuk terus menyerang secara bertubi-tubi terhadap sayap kiri Belanda. Pasukan sayap tengah pula telah diarahkan mara ke hadapan sambil meniarap di tanah dan berselindung diparit-parit untuk menembak musuh yang dapat disasarkan sekali-sekali, serta menanti waktu yang sesuai untuk meneruskan serangan bertubi-tubi.



Akhirnya pasukan Batak berjaya memasuki banteng pertahanan Belanda dan menyerang tentera–tentera Belanda dengan pedang, tombak dan lembing, pasukan Belanda yang terkejut dengan serangan ini telah menembak membuta tul ke arah tentera Batak. Ramai pasukan Batak yang terkorban namun pasukan Belanda juga ramai yang mati. Akhirnya pasukan Batak berundur setelah berjaya membakar banteng tersebut dan merosakkan semua bangunan dan peralatan senjata yang ada di dalamnyaPasukan berkuda Batak telah diarahkan untuk melindungi pasukan infantri Batak yang sedang berundur. Serangan yang dilakukan ini berlangsung selama 7 jam sahaja yang bermula sebelum subuh kira-kira pukul 4 pagi. Dalam serangan ini seramai 200 orang tentera Belanda terkorban dan ramai lagi yang tercedera. Kerugian yang ditanggung Belanda adalah amat besar berbanding tentera Batak


Begitulah sedikit sebanyak tokoh-tokoh strategis perang Melayu nusantara yang telah saya utarakan dalam tulisan kali ini bersama dengan starategi dan siasat perang atau taktik yang dipraktiskan oleh mereka dalam peperangan. Diharapkan artikel ini memberi manfaat untuk anda semua, dan jangan lupa nantikan artikel seterusnya. Sekian, Wallah hu a'lam.



sumber:

ILMU PERANG MELAYU - BAHAGIAN 5




Taktik dan strategi

Salam blogging kepada semua pembaca, pada kali ini saya akan menyajikan anda semua dengan taktik dan strategi yang digunakan oleh orang Melayu pada masa dahulu dalam menghadapi peperangan. Setelah membuat kajian hampir setahun maka terhasil lah siri-siri Ilmu Perang Melayu yang memang menjuadi tajuk kegemaran dan kepakaran saya dalam bidang sejarah. Semua ilmu ini ingin saya kongsikan kepada anda diluar sana yang meminati sejarah dan cuba mencari indentiti yang hilang ditenggelami era penjajahan minda. Diharapkan artikel kali ini memberi inspirasi untuk anda dalam apa jua bidang yang anda ceburi dan ingatlah bahawa walaupun sejarah itu pahit untuk ditelan tetapi yang pahit itulah ubat, mari kita buang yang keruh dan ambil yang jernih. Mungkin ada yang mempersoalkan usaha saya, mengapa mahu dibentangkan sejarah panjang-panjang  tentrang kekalahan orang Melayu dengan tentera barat. Jawapan saya mudah sahaja, Inilah yang dinamakan muhasabah diri. Kita lihat balik apa yang menyebabkan kita kalah, adakah sebab teknologi nya atau sebab sikap kita. Oleh itu cermin-cerminlah diri dan imbaulah kembali kegemilangan sejarah bangsa supaya kita dapat memperbaiki diri kita. Sekurang-kurangnya sejarah kita masih ada tersimpan di merata dunia berbanding dengan sesetengah bangsa di dunia ini yang sejarahnya telah lenyap dan hanya cakap-cakap mulut dan wasiat yang dah ditokok tambah sahaja yang ditinggalkan untuk mereka, sehinggakan mereka tidak dapat membezakan yang mana realiti dan yang mana fantasi ( yang mana masjid dan yang mana Kuil Hindu-Buddha..:).


Pembinaan Kota, Kubu Dan Parit Sebagai Benteng Pertahanan Dalam Peperangan Masyarakat Melayu


Bangsa-bangsa utama yang lain di dunia seperti Jerman dan Jepun termasuk masyarakat rumpun Melayu mempunyai suatu sistem pertahanan yang sistematik dan unik. Sejak awal zaman ketamadunan Melayu di Asia tenggara lagi sebenarnya, masyarakat Melayu telah tahu dan mahir dengan penggunaan kubu dan Kota dalam sistem pertahanan mereka. Pembinaan kubu, Kota dan parit juga adalah termasuk dalam bentuk strategi peperangan yang bercorak defensif atau pertahanan dan bukan penyerangan. Apa yang dimaksudkan dengan kubu dalam masyarakat Melayu adalah sejenis pertahanan sementara dibangunkan apabila keadaan terlalu mendesak seperti diserang musuh atau untuk menyerang musuh yang lebih kuat sama ada dari segi bilangan tentera atau persenjataan.

Reka bentuk kubu dalam masyarakat Melayu kebiasaannya mempunyai satu bahagian yang terbuka dalam sistem pertahannya bagi menghadapi serangan pihak musuh. Sisi kubu yang terbuka ini biasanya berhadapan dengan bahagian hutan, paya atau bukit di mana sukar untuk musuh menerobosnya. Fungsi bahagian kubu yang terdedah ini sebenarnya digunakan untuk memudahkan askar-askar yang berada di dalam kubu lari keluar jika kubu tersebut hampir ditawan atau jika mereka mahu mengundurkan diri buat sementara waktu. Oleh hal yang demikian kubu-kubu ini kebiasaannya hanya diperbuat daripada tanah, kayu atau buluh. Ianya akan ditinggalkan sahaja apabila tidak diperlukan dan kubu baru akan dibina di kawasan lain pula. Dalam banyak hal kubu-kubu ini akan dapat dirampas oleh penyerang dan sama ada digunakan semula oleh mereka atau dimusnahkan. Kubu terbuka ini terdapat seperti di Johor Lama dan Melaka dan Jeram Ampai di Semantan.

Perkataan Kota dalam bahasa Melayu pula sebenarnya terkandung dalam beberapa pengertian yang merujuk di mana sesuatu kota itu digunakan dalam sesuatu pertempuran. Kota juga bermakna sebagai bandar atau sebuah Bandar yang besar. Perkataan ini juga dapat diguna untuk menggambarkan masyarakat yang tinggal di Bandar contohnya masyarakat Kota. Manakala ibu Kota dan tempat pusat pemerintahan sesebuah kerajaan Melayu itu juga sering digelar sebagai Kota. Dalam kamus dewan perkataan Kota bermaksud teguh janji atau tidak memungkiri janji. Selain itu Kota juga kadang-kadang disamakan dengan kubu atau pertahanan. Jika ditinjau dari segi fungsinya, Kota dan kubu ada peranan yang berbeza di antara keduanya.

Biasanya dalam catatan teks-teks historiografi Melayu lama Kota akan dikaitkan atau dimaksudkan dengan pusat kesultanan atau Istana raja. Lazimnya Kota Raja ini diperbuat daripada bahan-bahan seperti kayu-kayan yang keras seperti cengal ,meranti dan Jati, batu batan dan lain-lain tumbuhan seperti buluh. Raja-Raja Melayu menggunakan Kota sebagai pusat pertahanan, pemerintahan, penahanan orang dan pentadbirannya. Sebagai sebuah Kota raja, kebiasaannya ia akan dilengkapkan dengan pelbagai sistem pertahanan yang kukuh seperti menara kawalan, parit berair atau beranjau, para pengawal Kota dan juga meriam serta Lela bagi mempertahankannya daripada serangan musuh. Semua ini adalah bagi tujuan untuk pertahanan ketika berhadapan dengan serangan atau peperangan.

Apabila seseorang raja itu berpindah atau membuka negeri baru, maka perkara pertama yang akan dilakukannya ialah mengerahkan pengikut-pengikutnya supaya membina Kota atau membina Kota Raja. Hal ini kerana berdirinya Kota raja bermakna berdirinyalah sebuah kerajaan yang baru. Perkara ini berlaku sepanjang sejarah kerajaan Melayu lama. Antara peristiwa yang boleh dikaitkan dengan pembukaan Kota ialah ketika Parameswara melarikan diri dari Temasik. Mengikut Sejarah Melayu, setelah sampai di sebuah tempat berdekatan Muar, baginda telah membina sebuah Kota, namun terpaksa ditinggalkan kerana kawasan Kota tersebut berbau busuk akibat daripada bau bangkai biawak mati. Sejarah Melayu juga ada menyebut mengenai pembinaan Kota dan parit yang mengelilingi Istana ketika Seri Teri Buana menjumpai Temasik dan hendak membuka negeri baru iaitu Singapura:


Maka Aria Bupala pun naik menghadap Wan Seri Beni, persembahkan segala pesan Seri Teri Buana itu. Maka Wan Seri Beni pun menyuruh berlengkap pada segala Orang Besar-besar, mengerahkan rakyat sekalian bermuat gajah, kuda ke perahu. Setelah mustaid, maka Wan Seri Beni pun pergilah ke Singapura. Setelah sampai maka sekaliannya naiklah; maka negeri Singapura pun telah sudahlah diperbuat orang dengan Kota paritnya, dan dengan segala Istana dan balairung dalam dan balairung luar, serta sekalian rumah orang, kedai dan pasar; terlalu indah perbuatan negeri Singapura itu.

Terdapat juga golongan bukan raja yang mempunyai Kota sendiri, contohnya ialah golongan bangsawan atau orang baik-baik dan orang kaya. Antara tokoh-tokoh Melayu yang mempunyai Kota ialah seperti Ngah Ibrahim dan Long Jaafar. Mereka adalah pembesar Perak yang diberi kuasa untuk memerintah dalam daerah Larut. Kota yang dibina mereka adalah bertujuan untuk pertahanan dan sebagai tempat tinggal. Sehingga ke hari ini Kota tersebut atau lebih dikenali sebagai Kota Ngah Ibrahim masih lagi berdiri megah di tempat asalnya berserta dengan rumah dan pejabat tempat tinggal beliau sewaktu hayatnya. Apa yang menariknya ialah Kota ini juga dilengkapi dengan ciri-ciri menara kawalan yang mempunyai unsur Eropah. Hal ini mungkin kerana Ngah Ibrahim dan Long Jaafar mendapat ilham daripada para pedagang Eropah yang menjalankan perniagaan dengan beliau ataupun melalui pegawai British yang bertugas dengan beliau sebagai kerani iaitu Kapten Speedy.

Berbanding dengan binaan Kota, kubu pula sebenarnya adalah nama yang khusus untuk mengelaskan sejenis binaan yang digunakan untuk pertahanan ketika dalam peperangan. Kubu juga bukanlah sebuah tempat tinggal yang tetap mahupun digunakan untuk membina Istana. Kubu adalah pertahanan yang dilengkapi dengan dinding tanah mampat atau pancangan kayu yang dimampatkan rapat-rapat dan dijalin. Ia juga dipanggil sebagai pagar sasak. Dalam Bahasa Inggeris ia juga dikenali sebagai Palisade atau Stockade. Penggunaan stoackade ada dicatat oleh British pada pertengahan abad ke 19 di Sungai Ujong semasa berlakunya persengketaan di antara Datuk Kelana Sungai Ujong dengan Datuk Bandar. Stockade atau kubu ini telah dibina di tebing sungai untuk menghalang daripada kapal dan perahu masuk dan keluar membawa Timah.

Sesetengah sejarawan Eropah menyatakan bahawa masyarakat Melayu tidak pandai atau mahir membina kubu dan Kota. Hal ini kerana menurut mereka keadaan geografi kawasan Asia Tenggara dan kepulauan Melayu khususnya yang berhutan tebal dan beriklim tidak menentu serta keadaan yang bergunung ganang serta berbukit bukau menyebabkan pembinaan kubu adalah sesuatu yang tidak perlu kerana bentuk muka bumi boleh di pergunakan untuk pertahanan mereka. Kenyataan ini dinukilkan oleh Reid:

For small centres attaked by large marauding forces, the logical response was to flee into the surrounding forest, and wait for the invader to depart…since there was little in them to defend, town and village did not develop a defensive strategy base on stone walls and moat. Temporary flight made better sense than stubborn defence of town in the tropical condition of Southeast Asia.

Kenyataan Reid jelas menunjukkan bahawa beliau memberi pandangan yang masyarakat Melayu juga sebenarnya bukanlah masyarakat yang prihatin dalam pembinaan kubu dari batu-batuan yang mempunyai parit. Beliau berpendapat masyarakat Melayu lebih suka melarikan diri jika kampung atau kawasan mereka diserang oleh ketumbukan askar yang kuat dan besar jumlahnya berbanding jumlah mereka. Beliau juga berpendapat, harta benda seperti rumah dan barang-barang keperluan orang Asia Tenggara ini kebanyakannya diperbuat daripada kayu dan buluh yang mudah terbakar dan dimusnahkan, oleh itu mereka tidak terlalu kisah akan keselamatan rumah mereka kerana ianya boleh dibina semula dengan mudah.

Kenyataan Reid yang mengatakan bahawa orang Melayu juga tidak menggunakan parit dalam sistem pertahanan mereka juga adalah tidak mempunyai asas yang kukuh. Masyarakat Melayusememangnya telah tahu menggunakan parit sebagai salah satu strategi dalam menangkis serangan musuh. Sebagai contohnya sewaktu Siam menyerang Kota Kelampang di Pattani, tentera Siam terpaksa berhadapan dengan parit yang dalam dan besar mengelilingi Kota tersebut. Diceritakan lagi bahawa ketika tentera Siam berusaha untuk meredah menaiki parit tersebut mereka telah dihujani dengan panah dan tembakan senjata api yang menyebabkan ramai daripada tentera Siam terkorban.

Akibatnya mereka terpaksa berundur. Namun demikian, pendapat beliau ini dapat disangkal sekiranya kita melihat catatan mengenai kerajaan-kerajaan awal yang pernah wujud di Alam Melayu. Terdapatnya catatan-catatan daripada para pedagang dan para pengembara dari India, China dan Timur Tengah yang menyatakan bahawa kota-kota pelabuhan yang terdapat dalam kerajaan-kerajaan awal ini mempunyai kubu dan Kota yang diperbuat daripada batu mengelilinginya. Satu catatan yang menyatakan tentang hal ini adalah daripada seorang sarjana China yang bernama Zhao Ragua dalam bukunya Zhu Fan Zhi yang ditulis pada tahun 1225 Masihi berdasarkan kepada catatan pengembaraan para pedagang Cina dari abad ke 12 dan 13 Masihi.

Menurut beliau, Ibu Kota Sanfotsi atau Srivijaya adalah diperbuat daripada batu-bata dan ukurannya sangat panjang iaitu berpuluh-puluh Li ukur lilitnya . Tambahan lagi kerajaan Srivijaya pada masa itu juga telah mempunyai satu strategi pertahanan yang dianggap agak bijak dan terkedepan. Hal ini turut diperkatakan oleh Zhu dalam bukunya. Bagi menghalang daripada pencerobohan lanun dan musuh daripada memasuki Ibu Kota kerajaan yang terletak dekat dengan laluan kapal iaitu di tepi laut, maka kerajaan Srivijaya telah menggunakan rantai besi dan merintanginya di kawasan perairan berhampiran pintu masuk melalui ibu Kota. Rantai besi ini juga dikatakan boleh dituil sama ada untuk ditinggikan atau merendahkannya.

Zhu juga mengatakan bahawa sistem pertahanan pelabuhan kerajaan Srivijaya sangat utuh dan sistematik. Menurutnya lagi, jika ada kapal yang memasuki pelabuhan tanpa izin dan pengetahuan daripada pemerintah, maka askar berperahu akan dikerahkan untuk menyerang menggunakan taktik tertentu. Askar-askar ini sedia untuk mati dan oleh kerana itulah kerajaan ini menjadi sebuah kerajaan pelabuhan yang sangat penting dan kuat.Kenyataan-kenyataan ini adalah amat bertentangan dengan apa yang dikatakan oleh Reid. Catatan-catatan daripada pengembara luar ini menunjukkan bahawa sememangnya orang Melayu mampu dan mahir membina kubu-kubu dan Kota yang diperbuat daripada batu-bata bakar untuk mempertahankan Bandar dan Kota mereka.

Pada abad ke 17 misalannya, catatan daripada Belanda (VOC) mengenai Palembang menyatakan bahawa Kota pelabuhan tersebut dipagari dengan tembok batu malahan terdapat lakaran daripada pegawai VOC yang menunjukkan Kota tersebut lengkap dengan Istana dan seluruh bangunan-bangunan di dalam Kota. Dalam peperangan yang berlaku di antara VOC dengan kerajaan Palembang pada 1662 sebagai contohnya dikatakan bahawa akibat daripada serangan Belanda dan hujan yang amat lebat maka tentera-tentera Melayu terpaksa meninggalkan kubu pertahanan mereka. Namun demikian tindakan ini sebenarnya bukanlah tindakan pengecut tetapi lebih kepada taktik untuk berundur terlebih dahulu daripada kubu tersebut.

INI ADALAH LAKARAN BELANDA AKAN KOTA BESAK PALEMBANG SEMASA PERANG DIANTARA KOMPENI BELANDA DAN KESULTANAN PALEMBANG. KOTA INI AMAT BESAR.



Menurut Anthony Reid lagi, kebanyakan daripada kubu-kubu di Asia Tenggara dibina dengan kayu pancang atau buluh dan tidak banyak usaha untuk membina Kota dan kubu daripada batu yang kekal. Menurut beliau lagi orang Aceh dan Siam dikatakan tidak membina kubu kerana mereka tidak perlu. Hikayat Aceh ada menyebutkan bahawa pada zaman pemerintahan Iskandar Muda iaitu 1604-1637 Aceh mempunyai sebilangan besar gajah perang yang terbaik di rantau ini. Menurut hikayat ini lagi, Aceh tidak memerlukan tembok pertahanan bagi melindungi bandarnya kerana gajah-gajahnya sangat kuat dan berani dan terlalu banyak jumlahnya . Mereka juga lebih suka bergantung kepada kemahiran dan kehandalan pahlawan mereka untuk mempertahankan bandar.


Namun menurut Reid lagi, pengenalan kepada pembuatan kubu dan Kota hanya diamalkan dengan giat di Alam Melayu ini apabila terdapatnya hubungan dengan orang-orang Eropah. Ternyata kenyataan Reid ini sangat bertentangan dengan kenyataan-kenyataan sejarawan lain yang berjaya membuktikan bahawa sejak zaman kerajaan-kerajaan awal seperti Srivijaya lagi orang Melayu telah mempunyai kemahiran membina Kota dan kubu daripada batu bata bakar. Begitu juga dengan kerajaan-kerajaan di Tanah Jawa. Tanah Jawa amat kaya dengan tinggalan sejarah yang berbentuk fizikal seperti Kota-kota dan bangunan-bangunan ibadat. Masyarakat Jawa sememangnya mahir membina kubu dan Kota daripada batu-bata. Hal ini dapat dibuktikan dengan catatan yang terdapat di dalam Babad Ing Sangkala yang berkisar mengenai Kerajaan Kartasura. Babad ini ada menyatakan bahawa terdapatnya Kota-kota yang dibina dengan batu bakar yang disepuh dengan plaster putih. Hal ini juga disentuh oleh Ricklefs dalam bukunya yang mana beliau menyatakan bahawa kubu-kubu dan Kota pertahanan yang terdapat di Jawa adalah setaraf dengan kubu dan Kota dunia barat.

Dapat dikatakan bahawa sebenarnya kubu atau Kota yang dibina di Alam Melayu ini bukan sahaja digunakan untuk mempertahankan bandar atau Kota diraja dan rakyat, tetapi ia juga berfungsi sebagai seolah-olah sebuah penjara besar. Mengapa saya berkata demikian adalah kerana kubu dan Kota-kota ini juga dijadikan tempat untuk mengumpul segala rakyat jelata yang sempat melarikan diri jika diserang musuh. Hal ini kerana sudah menjadi semacam suatu tradisi amalan peperangan di alam Melayu bahawa jika sesebuah kerajaan atau Kota itu diserang kebiasaannya rakyat yang terdapat di dalam kerajaan tersebut yang dapat ditangkap akan dijadikan tawanan dan dibawa balik hampir kesemuanya. Apa yang berlaku adalah pemindahan populasi secara paksaan oleh pihak yang menang. Hal ini ada tercatat di dalam karya-karya Melayu lama.

Antaranya ialah serangan Aceh terhadap Pahang dan Johor. Dalam serangan ini Aceh bukan sahaja telah menawan Sultan dan kaum kerabatnya malahan sebahagian besar daripada populasi kedua kerajaan ini untuk dibawa ke Aceh . Hal ini dikatakan kerana ketika itu populasi Aceh telah berkurangan akibat ramai yang telah terkorban dalam penyerangan terhadap Portugis di Melaka sebelum itu. Hal ini juga mengesahkan bahawa kekuasaan seseorang pemerintah itu juga bergantung kepada berapa ramai rakyat dan pengikutnya. Oleh itu pengambilan tawanan sama ada sebagai rakyat merdeheka atau sebagai hamba akan mengukuhkan lagi status seseorang pemerintah itu.

Kurangnya pembinaan kubu daripada batu-batan keras seperti Granit atau batu gunung malahan juga batu-bata seperti yang dihujahkan oleh Reid dapat dijelaskan. Antara faktornya adalah kerana keadaan bentuk muka bumi alam Melayu ini sendiri. Alam Melayu kaya dengan kepelbagaian keadaan geografinya, adanya gunung, adanya bukit adanya paya bakau, paya gambut, hutan tebal, hutan buluh dan pelbagai jenis kayu-kayan keras. Walaupun terdapatnya banyak sumber batu-batan seperti Granit dan Marmar, namun orang-orang Melayu lebih gemar menggunakan kayu-kayan, buluh dan tanah sebagai bahan utama untuk membina kubu dan Kota mereka. Tetapi ini bukan bermakna mereka tidak mempunyai pengetahuan menggunakannya. Hal ini dikukuhkan dengan kenyataan yang diberikan oleh Eridea. Menurut Eridea, orang Melayu membina struktur yang diperbuat daripada tanah yang dimampatkan di antara dua dinding pancangan kayu. Banyak rumah-rumah turut dibina dalam keadaan sebegini. Namun demikian mereka turut menjumpai binaan yang diperbuat daripada batu bata namun tidak mempunyai mortar atau parit, menurutnya lagi stail binaan ini adalah sama degan binaan batu yang dibuat oleh orang-orang yang mendiami lembah Sungai Ganges di India. Dalam keadaan ini binaan seperti ini digunakan untuk membina Kota pertahanan dan Istana raja.

Menurut beliau lagi, penduduk Ujong Tanah juga sering menggunakan kubu yang diperbuat daripada pokok Nibung yang kukuh dan kuat. Dikatakan juga bahawa kulit Pokok Nibung ini adalah sekeras besi. Selain itu mereka turut menggali parit mengelilingi kubu kayu yang dibina, parit ini mengandungi jerangkap, dan kayu tajam yang disapu dengan racun. Selain itu mereka juga mengadakan lubang perangkap yang di tutup dengan dahan-dahan kering dan perangkap ketika mengadakan serangan hendap atau gerila. Namun demikian menurut Eridea lagi sejak kedatangan penjajah Eropah lebih kurang seabad yang lalu, orang-orang Melayu telah pandai membina kubu batu yang sama tarafnya dengan Kota dan kubu Eropah.

Perkara ini juga adalah kerana ianya lebih praktikal dalam keadaan iklim khatulistiwa yang panas lembap dan Monsun yang panjang di rantau ini. Hakisan mudah berlaku dan pembinaan kubu dan Kota batu memerlukan mortar dan mortar ini perlu dikeringkan untuk beberapa lama supaya binaan kukuh. Tambahan lagi, pembinaan kubu menggunakan batu-bata bakar memakan masa yang agak lama, ianya perlu dilakukan dengan teliti supaya batu bata yang dibuat tidak rapuh dan pecahmalahan untuk membakarnya juga memerlukan tenaga kerja yang ramai dan masa yang panjang. Begitu juga dengan batuan-batuan semula jadi yang lain.

Tempoh untuk memahat batu-batuan ini daripada kuari atau gunung juga amat menjerihkan. Jika keadaan negeri di waktu aman, maka ianya tidak mustahil. Namun jika negeri berada di dalam kancah peperangan atau anarki, maka langkah yang lebih praktikal adalah menggunakan kayu dan timbunan tanah mampat sebagai kubu. Ianya lebih menjimatkan masa dan tidak memerlukan tenaga buruh yang mahir serta ramai. Malahan terdapatnya kayu-kayu keras yang dapat menahan tembakan peluru menguatkan lagi alasan ini, contohnya seperti kayu belian, petir dan cengal. Pembinaan kubu atau stockade dalam bahasa Inggerisnya dengan menggunakan kayu-kayu keras dan buluh ini sebenarnya turut dicatat oleh para pegawai British sewaktu berlakunya kebangkitan-kebangkitan semangat nasionalisme dikalangkan orang Melayu dalam menentang penjajahan British. Hal ini dapat dilihat semasa Perang Semantan di antara pembesar Pahang iaitu Datuk Bahaman serta Mat Kilau dengan British di Batu Ampas . Malahan pihak British dikatakan telah menggunakan binaan kubu kayu pancang yang sama bagi menghadapi serangan orang-orang Pahang.

Sejarah Melayu (SM) ada menyatakan mengenai penggunaan kubu yang diperbuat daripada pokok Kempas bagi mempertahankan bandar Melaka daripada serangan Portugis. Walaupun Melaka dikatakan telah mempunyai kubu atau Kota yang diperbuat daripada batu atau mungkin karang-karangan namun berkemungkinan besar bukan semua bahagian Kota Melaka dilindungi dengan kubu batu tersebut. Oleh hal yang demikian, dalam SM ada mengatakan bahawa orang Melaka cuba menghalang kemaraan Portugis dengan berkubukan Kempas.

Selain itu Sejarah Melayu juga ada menceritakan mengenai penggunaan sejenis Kota pertahanan yang digunakan oleh orang-orang Pahang dan tenteranya bagi bersedia menunggu serangan daripada tentera Raja Ligor ( jelas disebut dalam Sejarah Melayu). Dalam teks ini, Sultan yang memerintah Pahang pada ketika itu yakni Sultan Munawar Shah telah dapat perkhabaran mengenai penyerangan yang akan dibuat oleh raja Ligor, maka baginda telah mengarahkan agar Kota diperbaiki dan menghimpunkan segala rakyat dan menyuruh sekalian orang masuk ke Kota tersebut dan memperbaiki senjata masing-masing. Ini menjelaskan bahawa pembinaan kubu adalah sememangnya satu bentuk strategi pertahanan orang-orang Melayu sejak era Kesultanan Melayu Melaka lagi.

Namun satu kenyataan dalam teks ini yang boleh memberitahu kita bahawa Kota tersebut berkemungkinan besar dibina dengan menggunakan pancangan kayu-kayan. Hal ini kerana Kota ini dibina dalam tempoh yang amat singkat iaitu tiga hari seperti mana yang dinyatakan dalam Sejarah Melayu. Petunjuk yang kedua ialah adanya ayat yang menyebut “akan kerja mata memandang baik dan jahat pekerjaan orang itu, kerja kaki berjalan ke sana ke mari, kerja tangan meraut rotan”. Ayat yang menyatakan tentang kerja meraut rotan memberikan kita gambaran awal bahawa Kota ini perlu dijalin atau diikat menggunakan rotan dan berkemungkinan besar adalah diperbuat daripada kayu. Setelah kejatuhan kesultanan Melayu Melaka, strategi penggunaan Kota dan kubu bagi menghadapi serangan masih lagi dipraktikkan. Buktinya dapat dilihat dengan kewujudan Kota-kota lama di seluruh Semenanjung Tanah Melayu seperti Kota kuala Kedah.



Dalam sejarah penentangan rakyat di Pahang, ada tercatat bahawa semasa berlakunya pemberontakan Pahang ke atas pentadbiran British oleh mat kilau dan pembesar-pembesar Pahang yang lain, beliau telah membina beberapa buah kubu dan salah satunya ialah di jeram ampai, Kuala Tembeling. Kubu Jeram Ampai misalannya, dibina dalam waktu yang singkat dan hanya digunakan untuk pertahanan bagi tempoh yang singkat juga. Selain daripada Karya agung sejarah Melayu, Syair Perang Siak turut mencatatkan mengenai penggunaan kubu dan Kota dalam peperangan di antara tentera Melayu Siak dengan pasukan kompeni Belanda. Antara rangkap-rangkap yang mengungkapkan mengenai pembinaan dan penggunaannya Kota dan kubu adalah dari rangkap 281 hingga 283:


Ada teringat kepada cita,

Segala pekerja duli mahkota,

Mengerahkan mereka sekalian rata

Membuat kubu seperti Kota.



Beberapa buah kubu seberang-menyeberang,

Kukuhnya bukan sebarang-barang,

Dengan balai mandat diperbuat orang,

Diaturnya meriam bagai dikarang-karang.



Selain daripada penggunaan taktik dan strategi pertahanan defensif di darat, orang Melayu juga terkenal mahir dengan taktik dan strategi pertahanan peperangan di atas air sama ada di sungai ataupun di lautan. Hal ini kerana kawasan perairan terutamanya sungai dan laut adalah lingkungan alam orang Melayu, mereka terdiri daripada orang-orang laut yang handal dan mahir mengenai ilmu maritim. Hal ini turut diakui oleh para orientalis barat. Masih lagi dalam syair perang Siak, iaitu dalam rangkap ke 256 iaitu dalam bab mengenai kelengkapan dan persediaan raja Ismail untuk turun berperang, ada di sebut mengenai sejenis strategi unik yang digunakan oleh orang-orang Melayu Siak dalam menghadapi serangan Belanda. Strategi tersebut ialah dengan menggunakan sejenis kenderaan air yang diberi nama Kota Berjalan. Berkemungkinan besar Kota Berjalan ini adalah sejenis kapal berperisai. Bait yang menyebut mengenai Kota Berjalan ialah:



Kapit timbalan buyung Sembilan,

Panglima Tih orang andalan,

Dengan panglima buyung bertimbalan

Ditentang selaku Kota berjalan.



Dikatakan bahawa setelah genap 15 hari pertempuran sengit berlaku di antara tentera Belanda dengan tentera Siak barulah sultan Siak memerintahkan agar Kota berjalan digunakan dalam peperangan tersebut. Menurut Donald .J Goudie, Kota berjalan adalah sejenis Kota terapung yang dibina di atas sebuah kapal dan dilengkapi dengan banyak senjata-senjata api seperti meriam lebih kurang 16 buah meriam besar dan beberapa banyak lagi meriam-meriam kecil dan sederhana. Menurut pendapat beliau Kota berjalan ini sukar untuk dikendalikan. Oleh kerana itulah dalam rangkap-rangkap syair yang menceritakan mengenai Kota berjalan ini kebanyakannya menunjukkan bahawa mereka tahu bahawa risiko yang harus ditanggung jika Kota berjalan tersebut digunakan, contohnya dapat dilihat dalam rangkap berikut:



Berdatang sembah ayahanda dan kekanda,

Serta dengan paduka adinda,

Jikalau Kota berjalan porak peranda

Samalah kita mana yang ada,



Lalu perintah duli yang maha mulia,

Pada pendapat bicara sahaya,

Kalau Kota berjalan satu bahaya,

Leburlah kita serta daya.



Berdatang sembah hulubalang menteri,

Mengangkat khidmat menyusun jari,

Jikalau Kota berjalan suatu peri,

Tidaklah patik pulang ke negeri.

Bait-bait dalam rangkap-rangkap di atas jelas menunjukkan kekhuatiran Sultan Siak serta para pembesarnya mengenai penggunaan Kota Berjalan untuk penyerangan berikutnya. Hal ini berkemungkinan Kota berjalan adalah alat senjata perang yang tidak dapat digunakan semula dan senjata yang pakai buang atau guna hangus. Jika telah digunakan, kadar kerugian juga adalah tinggi kerana persiapan untuk menyediakan Kota berjalan juga besar modalnya kerana menggunakan banyak bahan binaan dan senjata api berat. Selain itu ianya boleh dikatakan sebagai serangan berani mati kerana tentera yang mengemudi Kota berjalan tersebut pastinya akan mati dibedil kerana tujuan kapal ini digunakan ialah untuk menggempur musuh dalam sekali serangan sahaja. Ini ditambah lagi dengan kesukaran untuk mengemudi kapal tersebut, oleh itu ianya tidak dapat diundurkan kembali dari medan pertempuran.

Selain daripada itu, syair ini turut menyatakan mengenai sejenis lagi strategi peperangan yang digunakan di sungai iaitu merentangkan tali batangan bagi menghalang kemaraan kapal dan perahu musuh memasuki kawasan yang dipertahankan seperti kuala sungai atau selat. Syair ini juga menyebut bahawa tali halangan ini diperbuat dengan menjalinkan tali dengan kayu-kayu yang kemudiannya diikat dengan rantai besi serta direntangkan seberang-menyeberang sungai Siak. Strategi ini juga pernah digunakan oleh pahlawan Pahang iaitu Mat Kilau sewaktu menghadapi serangan tentera British di Jeram Ampai yang mengakibatkan ramai tentera British mati lemas kerana tali yang direntangkan ditarik ke atas untuk membalikkan perahu mereka. Namun demikian tali batangan yang dibuat tentera Siak ini hanyalah untuk menghalang kemaraan kapal dan kici Belanda daripada terus masuk ke kawasan lebih jauh berdekatan kubu pertahanan orang-orang Siak.

Melalui beberapa contoh dan penerangan yang diberikan berdasarkan karya-karya historiografi lama yang telah dikemukakan, maka dapat disimpulkan bahawa sememangnya orang-orang Melayu mempunyai kepakaran dan pengetahuan yang tinggi dalam pembinaan Kota dan kubu, tidak kira sama ada Kota atau kubu tersebut diperbuat daripada batu-bata, tanah mampat mahupun hanya pancangan dan jalinan kayu atau buluh. Jelas di sini bahawa pembinaan Kota dan kubu juga adalah salah satu strategi yang turut dipraktikkan oleh orang Melayu sejak era kesultanan Melayu Melaka sehinggalah era penjajahan barat. Maka dengan ini dapatlah kita letakkan ilmu peperangan Melayu yang berkaitan dengan strategi menggunakan kubu serta Kota pertahanan sama taraf dengan apa yang dibina oleh orang-orang barat. Sekian , wallah hu a'lam.


sumber: