Perhatian


Kebanyakan post di dalam blog ini disalin dari posting dari sahabat-sahabat blogger lain untuk rujukan saya pada masa akan datang. Jadi saya lampirkan sekali link ke post asal bagi menjaga hakcipta post serta memudahkan anda dan saya ke post asal. Harap Maklum

Wednesday, February 2, 2011

Datuk Sagor




















Dato' Sagor ialah salah seorang daripada Orang Besar Delapan Perak.


Gelaran penuh ialah Orang Kaya-kaya Seri Agar DiRaja.

Nama sebenarnya ialah Ngah Kamdin bin Radin Lope, keturunan Bugis yang berdarjat Daeng.

Isterinya bernama Toh Lipat.

Ngah Kamdin adalah bapa saudara kepada Menteri Ngah Ibrahim.

Dilahirkan di Kampong Gajah dan berhijrah ke Larut untuk mengusahakan perlombongan bijih timah bersama Ngah Ibrahim.

Beliau dikurnia gelaran Dato' Sagor oleh Sultan Jaafar (Sultan Perak ke-23).

Mengikut Perlembagaan Perak, Dato' Sagor memerintah wilayah tebing Sungai Perak dari Kampong Gajah ke Pulau Tiga.

Kuasanya ialah mengawal hal ehwal istana, pembinaan istana dan kapal-kapal yang dinaiki oleh Sultan.

Dato' Sagor tergolong dalam kelima-lima hulubalang Negeri Perak termasuk Seri Adika Raja, Panglima Kinta, Panglima Bukit Gantang dan Dato' Maharaja Lela (R.J. Wilkinson, "Papers on Malay Subjects").

Menandatangani Perjanjian Pangkor bersama-sama dengan Sultan, Pembesar-Pembesar Perak dan British di atas kapal HMS Pluto pada tahun 10 Januari 1874.

Mesyuarat di Durian Sebatang pada 28 Oktober 1875 mencapai keputusan bahawa JWW Birch, Residen British Perak yang pertama akan dibunuh apabila tiba di Pasir Salak.

Dato' Sagor menolak arahan membersihkan jalan ke Bukit Tunggal, Kampong Gajah untuk mengibarkan bendera British di puncak bukit itu dan membina balai.

Dato' Sagor dan Dato' Maharaja Lela mengetuai misi membunuh JWW Birch yang mandi di Sungai Perak berdekatan Pasir Salak pada tahun 1875.

Dato' Sagor dihukum dan digantung sampai mati bersama Dato' Maharaja Lela dan Pandak Endut di Matang pada 20 Januari 1877.

petikan sepenuhnya dari : http://www.amir-hamidi.name.my

http://hulubalangbanijawi.blogspot.com/2009/03/datuk-sagor.html

Dato' Bahaman

Nama sebenar Dato' Bahaman adalah Abdul Rahman. Ayahnya bernama Tuanku Imam Nuh berasal dari Bangkinang. Ibunya adalah Rokiah Abdul Rahman, anak Tok Setia Perkasa Semantan yang berketururnan Bugis dari Sulawesi Selatan. Beliau juga lebih dikenali sebagai Seman adalah seorang yang pandai bersilat dan juga mempunyai ilmu kebal . Kelebihan yang dimilikinya ini menyebabkan beliau digelar sebagai 'Seman Tahan' oleh penduduk di sekitar kawasan itu. Nama 'Seman Tahan' semakin hari semakin masyur di kalangan penduduk di sepanjang sungai yang tidak bernama ketika itu sehinggakan sungai itu diberi nama Sungai Seman Tahan dan seterusnya menjadi tempat persinggahan British. Perang Semantan ini dipimpin oleh seseorang pembesar bernama Dato' Bahaman . Punca utama pemberontakan ini ialah rasa tidak puas hati orang-orang Besar Pahang , terutamanya sekali Dato' Bahaman (Orang Kaya Semantan) terhadap campur tangan British ke atas kawasannya.

Sebenarnya ketegangan di antara Dato' Bahaman dengan pihak British telah bermula sejak tahun 1890 lagi tetapi ketegangan itu memuncak pada tahun 1891. Ketegangan itu bermula pada bulan Disember 1890 bilamana Dato' Bahaman dikatakan telah marah dan mengata-ngata E.A Wise (Pegawai Jajahan Temerloh) kerana E.A Wise hendak mendirikan sebuah balai polis di Lubuk Terua iaitu satu tempat yang termasuk dalam kawasan Dato' Bahaman , tanpa terlebih dahulu berunding dengannya . Apabila Hugh Clifford ( Pemangku Residen British Pahang ketika itu ) mengetahui hal tersebut , beliau telah menasihatkan Sultan dan baginda kemudiannya memanggil Dato' Bahaman supaya pergi ke Pekan agar perkara itu dapat disiasat . Oleh kerana Dato' Bahaman enggan ke Pekan , Sultan telah mengeluarkan surat perintah yang melucutkan pangkat dan tarafnya sebagai Orang Kaya Semantan .

Tindakan melucutkan pangkat dan taraf itu menyakitkan hati Dato' Bahaman . Keadaan ini menyebabkan Dato' Bahaman dan pengikut-pengikutnya menyerang hendap C.E.M Deaborough dan pengikut-pengikutnya pada 15 Disember 1891 ketika mereka sedang mudik Sungai Semantan. Serangan itu dilakukan oleh Dato' Bahaman kerana ia menyangka Desborough datang untuk menangkapnya Dalam serangan yang mengejut itu , pihak Desborough telah kalah dan beliau melarikan diri ke Bandar Temerloh . Setelah mengetahui peristiwa di Semantan itu , pegawai-pegawai British di seluruuh Pahang mula sibuk mengatur tentera mereka untuk melawan orang-orang Melayu yang menentang British .Ekoran dari itu , pada 21 Disember 1891 , satu pasukan yang diketuai oleh Clifford dan Tengku Mahmud telah pergi ke Kampung Kelubi yang merupakan kubu kedua pertahanan Dato' Bahaman . Di sini berlaku sekali lagi pertempuran antara pihak British dengan Dato' Bahaman tetapi pihak British sekali lagi mengalami kekalahan .

Petikan sepenuhnya dari : http://sejarahmalaysia.pnm.my

http://hulubalangbanijawi.blogspot.com/2009/03/dato-bahaman.html

Tok Janggut

Nama sebenar Tuk Janggut ialah Haji Mat Hassan bin Panglima Munas. Beliau mendapat pendidikan di Mekah dan mahir bersilat. Selepas Perjanjian Bangkok 1909, British mengambil alih pemerintahan Kelantan daripada Siam dan mula membawa pelbagai perubahan khususnya dari segi pentadbiran. Perubahan yang diperkenalkan telah menyentuh kedudukan dan keistimewaan tradisional di negeri Kelantan. Antara yang paling sensitif ialah mengenai pengenaan cukai kepala sebanyak RM1.00 seorang setahun, pokok buah-buahan sebanyak 3 sen setahun, kelapa 3 sen setandan dan sireh 5 sen sejunjung.

Pada 29 April 1915, pentadbiran Jeram, Pasir Puteh, Kelantan telah diambil alih oleh Encik Latiff iaitu seorang pegawai takbir British yang berasal daripada luar Kelantan, menggantikan Engku Besar. Pertelingkahan mengenai cukai dan pengurusan pengutipan cukai yang terlalu lambat membuatkan Haji Mat Hassan (Tuk Janggut) enggan membayar cukai. Encik Latiff mengarahkan satu pasukan polis yang diketuai oleh Sarjan Sulaiman (Che Wan) bertolak ke Kampung Tok Akib menemui Tuk Janggut pada 29 April 1915. Dalam satu pergelutan yang berlaku, Sarjan Sulaiman telah terbunuh, Tuk Janggut telah menghimpunkan orang-orangnya menuju ke Pasir Puteh. Encik Latiff pula telah melarikan diri ke Kota Bharu. Bantuan daripada Singapura dan Negeri Melayu Bersekutu dikejarkan ke Pasir Puteh pada 6 Mei 1915. Satu pertempuran berlaku pada 25 Mei 1915 di Kampung Merbuk dan Kampung Pupuh.

Kebangkitan Tuk Janggut menyebabkan Sultan Kelantan yang memerintah pada masa itu berasa terancam dan mengganggap Tuk Janggut sebagai penderhaka dan dalam pertempuran di Kampung Pupuh, Tuk Janggut telah dibunuh. Mayat Tuk Janggut dibawa ke Kota Bharu dalam kereta lembu yang memakan masa dalam satu hari. Mayat beliau digantung beberapa hari di depan istana, di Padang Bank (Padang Merdeka) sebelum dikebumikan di Pasir Pekan.


Petikan dari http://sejarahmalaysia.pnm.my



Mat Hassan Panglima Munas (Tok Janggut)

Inggeris cuba menyembunyikan cerita sebenar mengenai Tok Janggut. Lelaki tersebut dan kumpulannya dituduh penderhaka kepada sultan, bangsa dan tanah airnya iaitu Kelantan.

PROFIL

HAJI MAT HASSAN PANGLIMA MUNAS
Gelaran lain: Tok Janggut
Tahun lahir: 1850
Tempat lahir: Kampung Saring daerah Jeram, Kelantan.
Tahun kematian: 1915 (berusia 65 tahun).
Sumbangan: pejuang kebebasan Kelantan.

Perjuangan tokoh yang nama sebenarnya, Mat Hassan Panglima Munas itu cuba dinafikan, malah perkataan ‘jihad’ yang dilancarkan Tok Janggut diganti dengan perkataan ‘pemberontakan’ dan ‘penderhakaan’.

Inggeris benar-benar mahu memburukkan nama baik pejuang kebebasan itu berikutan kesan dan pengaruh Tok Janggut yang bukan kecil. Pada mereka jika tindakan Tok Janggut tidak disekat, maruah sebagai kuasa dunia dan bangsa yang ‘pintar’ akan terjejas.

Mereka mengambil keputusan membunuh Tok Janggut. Apabila tokoh yang juga ulama itu meninggal, mereka sedar ‘aura perjuangan’ Mat Hassan juga perlu dihapuskan bagi mengelakkan peristiwa itu berulang.

Seterusnya mereka melancarkan perang saraf memburukkan Tok Janggut dan pengikutnya, dengan harapan generasi mendatang menganggap lelaki itu dan kumpulannya penderhaka dan pengkhianat bangsa dan negara.

Umpama menyelimuti gajah dengan sapu tangan, usaha itu tidak berhasil kerana masyarakat masih menyanjung sumbangan Tok Janggut berserta sahabat dan pengikutnya terhadap negara.

Walaupun usahanya menentang dan mengusir penjajah dari bumi Melayu tidak kesampaian, semangat cintakan agama, bangsa dan tanah air yang tertanam kukuh di jiwa tokoh itu masih kekal disanjung sehingga kini.

Kesedaran Mat Hassan terhadap agama, bangsa dan tanah air dipupuk sejak kecil. Beliau dilahirkan di Kampung Saring, daerah Jeram, Kelantan pada 1850. Berikutan ayahandanya berkhidmat sebagai panglima istana, dia turut dibesarkan dalam istana Tengku Seri Maharaja Jeram.

Beliau belajar ilmu agama di Makkah. Ketika berusia 52 tahun dan masih di Makkah, Patani dikuasai Siam. Gurunya, Syeikh Ahmad memberi amanat supaya muridnya berikhtiar membebaskan jajahan dikenali sebagai Serambi Makkah itu. Ketika itu, Inggeris mula melebarkan penjajahan ke negeri Melayu di Utara dan Timur Semenanjung selepas berjaya menguasai negeri di pantai Barat Semenanjung.

Perjanjian Bangkok yang dimeterai antara Inggeris dan Siam menyebabkan Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis diletakkan di bawah kuasa Inggeris manakala Patani, Menara, Jalor dan Setol di bawah Siam.

Kehadiran Inggeris di Kelantan tidak direstui orang Melayu dan perubahan pentadbiran yang diperkenalkan penjajah ternyata menindas penduduk watan.

Mat Hassan pulang ke Kelantan tatkala Sultan dan pembesar Melayu di Kota Bharu tidak terdaya melawan Inggeris. Beliau menawarkan diri kepada Ungku Besar Jeram untuk menubuhkan barisan menentang penjajah itu.

Mat Hassan juga berhubung rapat dengan pejuang Melayu Pahang seperti Tok Gajah, Mat Kilau dan Datuk Bahaman.

Sentimen anti-Inggeris semakin meningkat apabila tercetusnya Perang Dunia Pertama pada Ogos 1914. Kerajaan Kelantan yang berada dalam keadaan tersepit akibat perjanjian Inggeris-Kelantan 1910 dipaksa menyatakan bahawa mereka menyebelahi England dalam peperangan itu.

Keputusan Kelantan memihak kepada British dan bukan Turki Uthmaniah dalam Perang Dunia Pertama mengecewakan Tok Janggut kerana bertentangan dengan fatwa Syaikhul Islam, Khayri Effendi, yang mewajibkan umat Islam berjihad menentang British dan sekutunya.

Penindasan menerusi kutipan cukai yang tinggi menyemarakkan lagi kemarahan orang Melayu. Pada mulanya Tok Janggut dan pengikut turut membayar cukai walaupun tidak berpuas hati.

Kekacauan bermula apabila pejabat jajahan mengambil masa tiga hari untuk mengutip hasil kerana hanya ada seorang petugas hingga menyukarkan orang kampung. Berikutan itu, Mat Hassan memutuskan tidak membayar cukai dan memulakan kempen penentangan.

Disebabkan tidak sanggup menahan derita, ramai penduduk menyebelahi Tok Janggut dan kesedaran membela agama, bangsa dan tanah air itulah menjadi prolog kisah perjuangannya.

Pada 29 April 1915, Mat Hassan bermesyuarat dengan pengikutnya di rumah Tok Nik Bas di Kampung Tok Akib mengenai strategi menentang Inggeris dan memutuskan mengambil alih pemerintahan di Pasir Puteh dan mengisytiharkan jajahan itu merdeka.

Bagaimanapun mesyuarat sulit itu diketahui Pegawai Jajahan Pasir Puteh yang berasal dari Singapura iaitu Latiff, yang kemudian mengeluarkan waran kepada Ketua Balai Polis, Sarjan Che Wan Sulaiman, untuk menangkap Mat Hassan.

Sarjan Che Wan yang diiringi beberapa anggotanya bertolak ke Kampung Tok Akib pada pagi 29 April bagi memaksa Mat Hassan menyerah diri. Ketika tiba di kampung itu, Mat Hassan sedang berucap di hadapan kira-kira 1,000 penduduk yang kebanyakannya bersenjata.

Tok Janggut bersetuju mengikut polis ke pejabat jajahan untuk memberi penjelasan mengenai tindakannya. Layanan polis terhadapnya ketika itu menyebabkan timbul persengketaan. Beliau tidak setuju polis berjalan di belakangnya kerana kelihatan seolah-olah mereka mengawal tindakannya daripada melarikan diri dan mahu polis berjalan seiring atau di hadapannya.

Bagaimanapun polis tetap berkeras menyebabkan Mat Hassan menikam Sarjan Che Wan dengan kerisnya sehingga mati. Itulah permulaan peperangan antara Tok Janggut dengan Inggeris.

Tok janggut dan pengikutnya bergerak ke Pasir Puteh menyebabkan pegawai Inggeris di jajahan itu melarikan diri menggunakan bot ke Kota Bharu. Tok Janggut berjaya menawan Pasir Puteh dan menubuhkan pentadbiran sendiri dan beliau diisytihar Ketua Menteri dan Ungku Besar Jeram sebagai Raja.

Perkembangan di Pasir Puteh membimbangkan pihak istana di Kota Bharu kerana sebelum ini sultan sudah memberi jaminan bertulis kepada Inggeris akan memastikan kekacauan tidak berlaku di Kelantan.

Sejurus selepas berunding dengan Langham-Carter, Sultan Muhammad ke-IV mengarahkan Datuk Menteri Mohd Hassan Ismail dan Datuk Bentara Setia Nik Mahmud Ismail bertolak ke Pasir Puteh untuk berunding dan mereka meminta bantuan Datuk Imam Lebai Kadir.

Ungku Besar dan Tok Janggut menjelaskan kepada Datuk Imam Lebai Kadir bahawa beliau dan pengikutnya tidak berniat menderhaka tetapi bertujuan menghalau Latiff yang dianggap sebagai penindas.

Atas cadangan Penasihat British dan sokongan Datuk Bentara Setia dan Datuk Menteri, Sultan Muhammad ke-IV memutuskan menangkap Tok Janggut dan pengikutnya atas kesalahan menderhaka.

Malah, satu tawaran turut dihebahkan kepada masyarakat bahawa sesiapa yang berjaya menangkap Tok Janggut dan 21 pengikut kanannya akan menerima ganjaran.

Langham-Carter tidak yakin dengan kemampuan Sultan menghadapi kebangkitan Tok Janggut, selain mengesyaki baginda dan beberapa pembesar seperti Tengku Chik Penambang bersimpati dengan Tok Janggut.

Beliau meminta Gabenor menghantar bantuan tentera ke Kelantan dan seramai 239 askar Inggeris dihantar ke negeri itu pada 3 Mei 1915. Bagaimanapun pengikut Tok Janggut mengambil keputusan bijak dengan tidak berdepan pasukan Inggeris yang mempunyai kelengkapan senjata itu. Sebaliknya, mereka bersembunyi dan selepas seminggu, tentera Inggeris terpaksa kembali ke Singapura.

Selepas mendapat tahu kumpulan Tok Janggut akan kembali menguasai Pasir Puteh, Inggeris kembali membawa masuk tentera Sikh untuk membakar rumah penduduk kampung. Tindakan itu mencetuskan kemarahan Tok Janggut dan menyerang khemah tentera di Pasir Puteh pada jam 3 pagi, 24 Mei 1915.

Langham-Carter, Pepys, AG Maxwell dan beberapa pegawai Inggeris pula memimpin pasukan Malay State Guides memburu kumpulan Tok Janggut dan menggeledah rumah Khatib Abu Bakar di Kampung Merbol kerana mengesyakinya bersembunyi di situ.

Khatib Abu Bakar cuba menghalang askar Sikh daripada mencerobohi rumahnya dan akibatnya beliau ditikam mati.

Pasukan Tok Janggut dan tentera Inggeris bertembung di Kampung Dalam Pupoh tidak jauh dari Kampung Merbol dan dengan laungan “Allahu akbar!”, Tok Janggut dan pasukannya bertempur hebat. Bagaimanapun, Tok Janggut terbunuh bersama ramai pengikutnya.

Mayatnya kemudian diarak sekitar Pasir Puteh sebelum dibawa ke Kota Bharu dan digantung dengan kaki ke atas, kepala ke bawah di Padang Merdeka sebelum dikebumikan di Pasir Pekan, Tumpat, Kelantan

Sumber : Berita Harian

http://hulubalangbanijawi.blogspot.com/2009/03/tok-janggut.html

Panglima Ismail - Panglima Kedah

Panglima Ismail merupakan seorang panglima kanan Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah II (1804 - 1845), sultan Kedah Darul Aman yang ke 22. Semasa pemerintahan baginda terdapat beberapa peperangan antara negeri Kedah dan Thai sehingga baginda terpaksa melarikan diri ke Perak, Melaka dan sehingga ke Temasik kerana Inggeris tidak mahu memberi pelindungan.

Peperangan yang terhebat sekitar 1821 itu lebih dikenali sebagai 'Musuh Bisik' telah menyebut ramai panglima-panglima Melayu yang berjuang menentang bangsa Thai laknat, namun kehebatan penglima-panglima tetap tidak dapat mempertahankan bumi tanah tumpah yang tercinta, Kedah Darul Aman. Antara panglima-panglima yang tercatat di dalam lipatan sejarah bangsa ialah seperti Panglima Taib Itam, Tok Morris (Tok Bomoh Idris), Tengku Muhammad Saad, Tunku Kudin dan ramai lagi.

Salah seorang panglima yang turut dikaitkan di zaman pemerintahan Sultan Ahmad Tajuddin ini ialah Panglima Ismail, namun cerita secara jelas tidak dapat dikaitkan dengan panglima ini kecuali di petik dari sejarah asal usul seni silat Cekak, Kuntau Tekpi dan Kalimah.

"Panglima Ismail, salah seorang panglima kanan kerajaan Kedah yang pernah menewaskan seorang batak bernama Tuah (bukan Hang Tuah) telah menurunkan ilmu silat ini kepada Panglima Tok Rashid. Manakala Panglima Tok Rashid pula telah mengamanahkan Silat Cekak ini kepada Yahya Said yang berasal dari Batu Kurau, Taiping sebagai 'pemegang amanah'".

petikan dari : http://silatcekak.org/persilatan/asalusul.html


PENEMUAN 1:

"Sejarah Kedah tidak begitu mencatatkan nama-nama panglima kerana sejarah negeri selalunya di tulis atas perkenan atau perintah sultan semata-mata dan setiap sejarah tertulis itu hanya berkisar tentang raja-raja juga".

Mengikut keterangan daripada seorang tokoh sejarah negeri Kedah iaitu
Allahyarham Dato' Ismail Saleh pada temuramah sekitar 2003.

PENEMUAN 2:

"Memang benar Panglima Ismail telah menewaskan Tuah tetapi Tuah itu bukanlah musuh, dia sebenarnya anak angkatnya sendiri dan memang benar juga Tuah itu adalah berbangsa Batak. Panglima Ismail tidaklah bertempur dengan Tuah walaupun Tuah telah mengamuk di kampung sendiri dan tidak dapat ditewaskan oleh kebanyakkan pendekar, maka Panglima Ismail di panggil untuk melemahkan amuk si Tuah. Tuah ini memang hebat orangnya kerana diceritakan bahawa tuah ini jenis 'pahat mata berapi', orang megah dan bergelar 'Tuah Lanun' kerana dia saja yang kerap keluar ke laut menangkap lanun-lanun.

Kebijaksanaan dan tipu muslihat Panglima Ismail mengakhibatkan Tuah tertangkap akhirnya dan digodam dan dicampak ke laut dan sehingga sekarang ini tempat di mana Tuah dibunuh di panggil 'Tanjung Tuah'.

Temuramah dengan orang tua-tua di kawasan
Tanjung Tuah sekitar tahun 2004

PENEMUAN 3:

"Tuah telah diperintahkan sultan ke Kampung Binjai membawa peti yang mengandungi rahsia bangsa dan tanah air untuk diserahkan kepada penghulu kampung itu. Itulah sahaja iktiar terakhir sultan setelah mendengar nasihat guru baginda, namun Panglima Ismail tak sempat sampai ke kampung tersebut kerana telah dikepung oleh angkatan Thai dan Panglima tersebut terkorbang dalam pertempuran".

Temubual dengan Puan Aisyah seorang pengkaji mistri-mistri sejarah.

Akhirkata :

"Sejarah itu sentiasa hidup! Semalam lain, hari ini lain dan esok sudah tentu lainnya... kita tidak pasti apa yang sebenarnya berlaku dan siapakah mereka itu kerana tiada penulisan yang tepat mengenainya dan sudah pasti kita tidak pernah dapat menemubual mereka itu sendiri... jadi kita anggaplah sejarah itu akan pasti hidup dan berubah-ubah mengikut kisah dan cerita yang kita akan temui dari masa ke semasa..... itu sahaja yang ada".

http://hulubalangbanijawi.blogspot.com/2009/03/panglima-ismail.html

Tunku Kudin dalam perang musuh bisik

Tunku Kudin sebenarnya ialah Syed Zainal Abidin merupakan anak saudara Sultan Ahmad Tajuddin.
Tunku Kudin ialah anak kepada seorang Arab berbangsa saiyid dari Palembang yang bertalian darah dengan keluarga di Raja Kedah. Tunku Kudin, tinggal di Seberang Perai telah dipujuk supaya memimpin satu angkatan perang menentang angkatan Thai semasa perang Musuh Bisik yang telah meletus sejak 1821.
Orang-orang Thai yang menguasai di Kota Kuala Muda mengetahui sifat-sifat kepimpinan yang ada pada Tunku Kudin telah mengupah beberapa orang jahat untuk membunuh beliau. Penduduk-penduduk yang tinggal di keliling rumahnya telah berjaya mengusir orang-orang upahan Thai ini dan menyelamatkan Tunku Kudin.
Pada suatu malam, sebiji letupan telah berjaya dipasang oleh orang-orang upahan Thai dirumahnya dan telah meletup dengan kuat ketika manusia sedang tidur nyenyak jam tiga pagi. Tunku Kudin telah dijilat api dan melecur sebelah tubuhnya. Azam Tunku Kudin menentang kekejaman Thai bertambah kuat apabila beliau sedar bahawa isteri beliau dan tiga orang anak-anaknya meninggal dunia akibat letupan tersebut.
Tunku Kudin telah kehilangan semua yang disayanginya, isteri dan anak-anak, rumah dan harta benda. Yang bertambah kuat ialah sumpah dan azam menuntut bela.
Orang-orang Melayu di Seberang Perai berkumpul memberi sokongan kepada Tunku Kudin untuk melepaskan kampong halaman di Kedah dari cengkaman Thai. Jumlah orang-orang Melayu yang tegak di belakang Tunku Kudin tidak kurang dari 5000 orang. Pada waktu dan ketika yang baik lagi sempurna, perahu-perahu kecil dan besar, beratus-ratus buah banyaknya, lengkap dengan tetunggul dan panji-panji, telah bergerak ke Kuala Kedah. Di sepanjang jalan, angkatan tersebut diturut-sertai pula oleh perahu-perahu dari Kuala Muda, Kuala Merbok, Kuala Yan, Kuala Sala dan Kuala Tebengau. Selepas berihat di Pulau Bunting, angkatan Tunku Kudin terus belayar ke Kuala Kedah dan disana ditemui pula oleh perahu-perahu dari Pulau Langkawi yang turut menghantar bantuan.
Angkatan Thai yang bersedia di luar Kota telah membedil perahu-perahu Melayu yang mendarat dan dibedil balas oleh angkatan laut Melayu. Pengawal-pengawal Kota mencuba seberapa daya menghalang kemaraan orang-orang Melayu yang ramai mendaki tembok Kota, tetapi dengan kebijaksanaan dan kecekalan hati Tunku Kudin, pertahanan Thai di Kota Kuala Kedah telah patah. Setelah beratus jiwa terkorban dari kedua belah pihak, orang Melayu dapat memasuki Kota itu melalui Pintu Kacapuri, pintu kecil lima puluh ela arah ke Utara pintu sekarang. Tunku Kudin berjaya menduduki Kota Kuala Kedah pada 24 haribulan April 1831.
Orang-orang Thai telah berundur ke Alor Ganu 15 batu dari Kuala Kedah mengikut Sungai Besar. Di Alor Ganu terdapat sebuah kota tanah yang dibuat oleh orang-orang Melayu kini dijadikan markas tentera Thai. Di Alor Ganu orang-orang Thai bertahan, sementara satu angkatan darat telah dihantar ke Legor menyusul bantuan.
Kejayaan Tunku Kudin menawan kembali Kota Kuala Kedah rupanya menjadi satu kegemparan besar kepada Inggeris di Pulau Pinang. Kononnya, mengikut satu perjanjian antara Inggeris dengan Bangkok yang dibuat dalam tahun 1826 bersamaan dengan Tahun Anjing dalam perkiraan tahun bangsa Thai, Inggeris hendaklah melarang dan menegah Sultan Kedah atau rakyatnya dari menyerang mengganggu atau merusak secara mana sekalipun ke atas Negeri Kedah yang telah menjadi Wilayah Thai.
Sebagai membuktikan kepada kerajaan Thai bahawa Inggeris adalah satu bangsa yang tidak pernah memungkiri janji dan rampasan kuasa oleh Tunku Kudin itu di luar pengetahuan mereka, maka Kerajaan Pulau Pinang telah menghantarkan senjata-senjata dan ubat bedil ke Alor Ganu.
Angkatan Thai menerima bantuan Inggeris dengan dua belah tangan dan mendesak Inggeris supaya menepati kehendak-kehendak Perjanjian Tahun Anjing itu dengan betul. Sebagai memperaktikkan tafsiran yang difahamkan oleh Inggeris dari Perjanjian itu, Inggeris mulalah mengenakan kepongan-kepongan dan kawalan di kuala-kuala sungai dan di sepanjang pantai Kedah supaya orang-orang dari laut tidak dapat berhubung menyampaikan bantuan dan sebagainya yang bercanggah dengan kepentingan Thai. Bantuan yang mulanya mencurah-curah tiba kepada Tunku Kudin di Kuala Kedah telah terhenti dengan tiba-tiba.
Dalam satu pertarungan sengit antara angkatan laut Kedah dengan angkatan laut bangsa Thai di Pulau Payar bertentangan dengan Kuala Kedah, angkatan Thai telah tewas dengan teruk. Kapal “Wolfe” milik Inggeris telah tiba entah dari mana lantas merejamkan peluru-pelurunya ke atas perahu orang-orang Melayu dan memusnahkan sehingga licin seluruh angkatan Melayu yang ada. Tindakan yang dilakukan oleh “Wolfe”- “Anjing Hutan” ini, adalah satu-satunya peristiwa yang unik di mana orang-orang Melayu telah diajar begitu rupa oleh kapal laut Inggeris.
Sebelum ini, perahu-perahu Melayu telah dikejar dan ditahan supaya jangan mendarat walaupun kerana mengambil makanan dan air, kemudian diusir supaya pulang sahaja. Kali ini “Wolfe” bertindak kasar dan amat menyedihkan pula bila ditilik bahawa perahu-perahu bangsa Thai sentiasa dibenarkan masuk atau keluar dengan bebas di mana-mana sahaja mengangkut ubat-ubat bedil dan sebagainya untuk menyerang perahu-perahu Melayu. Hampir seribu orang-orang Melayu yang dibedil ke dasar laut oleh kapal “Wolfe” berkelampong ke hulu ke hilir berminggu-minggu di laut Kedah selepas peristiwa itu.
Kemusnahan angkatan laut Melayu di Pulau Payar ini melumpuhkan Tunku Kudin yang bertahan didalam Kota.
Angkatan Melayu yang di ketuai oleh Tunku Sulaiman di Kuala Perai bersiap dengan kira-kira tiga ribu orang untuk belayar ke Kuala Kedah membantu Tunku Kudin. Angkatan Tunku Sulaiman telah ditahan dan di arah dengan sombongnya supaya balik ke Kuala Perai oleh 4 buah kompeni dari Madras Native Infantry yang ke Empat Puluh Enam berpengkalan di Pulau Pinang.
Kota Kuala Kedah telah dikepong dari darat dan dari laut, makanan dan ubat bedil telah kehabusan, penyokong-penyokong juga ramai yang mendapat sakit dan ramai pula yang telah terkorban dalam perjuangan menegakkan bendera merah harimau melompat, iaitu bendera Kedah pada zaman itu. Bendera merah dengan gambar gajah puteh telah dibantu oleh bendera “Union Jack”.
Kota Kuala Kedah dibedil siang malam tidak berhenti-henti sehingga kemungkinan untuk bertahan lebih lama menjadi mustahil. Ramai orang-orang Melayu yang pulang ke Pulau Pinang, dan Seberang Perai, diiringi oleh kapal-kapal “Wolfe” dan “Crocodile” dari belakang.
Kumpulan yang paling akhir sekali bersama Tunku Kudin tinggal Cuma 30 orang lagi. Mereka ini telah berjuang beberapa hari menangkis serangan-serangan tentera Thai semata-mata hanya dengan keberanian dan kegigihan yang luar biasa timbul dari keinginan mensyahidkan diri demi keluhuran kota pesaka dan watan seluruhnya. Nasi gerit dan manisan tebu yang menjadi ayapan orang berperang, telah habis dan ubat bedil juga telah berkurangan. Meriam-meriam seperti “Katak Puru” dan “Badak Berendam” serta berpuluh-puluh pucuk lagi meriam lain di Kota itu kononnya telah ada yang berdentum dengan sendirinya sebab tidak cukup kakitangan yang boleh mengawasi.
Tetapi, seperti kata pantun yang diabadikan sehingga sekarang:-
Pulau Sembilan tinggal delapan,
Satu merajuk ke Kuala Kedah;
Sudah nasib perminta badan,
Kita di bawah kehendak Allah
Maka pada 4 haribulan Oktober, 1831; bantuan Thai dari Legor telah tiba di Kuala Kedah: 7000 tentera dan 300 ekor gajah, menyerang Kota usang itu dari empat-empat penahapnya. Tunku Kudin dengan tiga puluh pahlawannya berjuang habis-habisan sehingga Tunku kudin sendiri telah luka parah di dada dan di pahanya, ubat bedil sudah habis pula.
Tunku Kudin terjatuh, tangannya terkapai-kapai memanggil seorang panglima yang paling karib supaya menghampirinya. Nama panglima itu tidak diketahui lagi, mereka berpelok-pelok dan kedengaran mengucap dua kalimah syahadah. Kemudian Tunku Kudin menghunus keris pendeknya lantas menikam panglima itu dan panglima itu pula menikam beliau, masing-masing mengelupur sehingga sejuk dan kaku: Seorang di kiri dan seorang di kanan. Kononnya begitulah persetiaan mereka berdua. Biar mati sama sendiri jangan mati dibunuh bangsa Thai.
Angkatan Thai menembusi pintu Kota dan membunuh pahlawan-pahlawan Melayu yang masih hidup. Mengikut “Singapore Chronicle”, mayat-mayat yang bergelimpangan di sekitar Kota Kuala Kedah yang menjadi medan pertemporan yang dahsyat itu adalah di antara enam ribu hingga sepuluh ribu orang. Yang paling banyak terbujur ialah ialah orang-orang Thai kerana angkatan perang mereka jauh lebih besar dari angkatan perang Melayu. Walaupun lapuran “Singapore Chronicle” tidak berapa tepat tetapi boleh dibuat kesimpulan bahawa kumpulan 30 yang terakhir dari angkatan Tunku Kudin bukanlah gerombolan sembarangan, cuma kerana “sudah nasib perminta badan”. Mungkin, kalau tidak disokong Inggeris, Thai tidak dapat lagi bertapak di Kedah, dan Kota Kuala Kedah pulang ketangan yang empunya nya. Tunku kudin menduduki Kota Kuala Kedah selama lima bulan dan lima belas hari.
Cerita Tunku Kudin tidak tamat begitu sahaja selepas beliau mati. Kepalanya dipanggal dan dibawa ke Legor dengan gajah. Tiba di sana, kepala itu diletakkan di atas talam tembaga yang berkaki, beralas dan berenda, kemudian ditatang oleh panglima perang bangsa Thai yang paling tua, sambil mengisut menyembahkannya kepada Raja Legor, Cau Phaya Nakon Si Tammarat. Beliau sangat ingin hendak menatap wajah pahlawan Melayu begitu handal dan gagah, sangat dikagumi oleh orang-orang Thai.
Raja Legor memandang dengan tidak terkelip matanya, terpesona juga dengan janggut jambang dan rambut menjejak tengkok di kepala yang tak berbadan itu – masih haibat dan menggerunkan. Kadar sejenak, Raja Legor bertanya “Mana badannya?”. Panglima Perang Thai menggelengkan kepalanya dan menyembah, “Tidak berguna Cau Phaya, hatinya sudah dimakan orang”.
Entah benar entah tidak, tetapi inilah riwayat kepala di atas talam yang satu-satunya pernah didengar di dunia ini, selain dari kepala “John the Baptist” yang dipersembahkan kepada King Herod Antipas oleh tukang-tukang kelarahnya lebih 2,000 tahun dahulu.
Akhirkata :
Kisah ini berdasarkan karangan oleh sejarahwan Negeri Kedah, Almarhum Datuk Ismail Salleh. Beliau banyak membantu dalam kajian pihak kami mencari kisah peperangan Musuh Bisik. Almarhum sempat menyerahkan karya peneulisan beliau dalam kisah perang musuh bisik kepada pihak kami agar diteruskan pencarian kisah yang sebenar berlaku di bumi Kedah dan mencari wira-wira bangsa yang seharusnya ditokohkan.

bersumber dari:

http://hulubalangbanijawi.blogspot.com/2010/09/tunku-kudin.html

Tuesday, February 1, 2011

MENCARI KEHEBATAN MELAYU

ku temui dalam sepasang baju melayu

Memang kita Melayu!... Emak Melayu, Bapak Melayu malah nenek moyang kita Melayu. Majlis rasmi pakai baju Melayu dan terkadang penuh dengan istiadat orang-orang Melayu. Tapi sayang! Hanya sekadar itu sudah kita merasakan bahawa kita sudah benar2 Melayu. Rupa paras, nama dan keturunan Melayu mungkin, akan tetapi jiwa kita telah terasuk jiwa penjajah. Apa tidaknya! kita bangga dengan budaya asing sehingga menganggap budaya kita tidak masuk di akal lagi.

Kita hanya sekadar pakai baju Melayu pada majlis sekali sekala.... lantas kita kata kita sudah Melayu..... Tengok saja pada kesibukan sambutan raya yang lalu.... baju Melayu sekadar kita beli di pasar raya seperti di Tesco, Giant, Jusco dan kalau ingin lebih murah, kita lekas-lekas ke Kamdar atau ke Maidin.... Janji asal ada, janji asal pakai dan terkadang pakai pun tak cukup syarat.

Zaman moden ini, pakaian Budaya kita sudah boleh dibeli dengan mudah dan pastinya saya kira ciptaan baju Melayu itu bukan buatan bangsa kita lagi.... telah di mass produksikan atas nama keuntungan tanpa menghiraukan falsafah dan sejarah teras budaya pada sehelai baju Melayu.

Siapa kata baju budaya kita itu saja saja dijahitcipta tanpa ada maknanya? Kita beranggapan bergitu kerana kita tidak tahu, malah tidak ingin ambil tahu.... akhirnya kita percaya bahawa bangsa Melayu tidak hebat. Bangsa Melayu lemah dan kita relakan tanah air, budaya kita di jajah orang lain.

Pada pencarian sebegini, mencari kehebatan temadun bangsa sendiri... aku temui ini...

....................................

Kini pakaian tradisional kaum lelaki Melayu yakni baju Melayu sudah berusia lebih kurang 700 tahun. Ini dikira sejak Sultan Muhammad Syah (1424-1444) , memberi titah, ' di larang memakai cara Atas Angin (Arab termasuk China) , cara ******(ga/gi)....' (Sejarah Melayu Tun Sri Lanang).

Sebaliknya apabila baginda menunaikan fardu solat Hari Raya, baginda menyarung baju Melayu (dipakai cara sarung, lengkap destar. Tiba di masjid barulah baginda mengena jubah (pakaian Atas Angin). Dalam teks Hikayat Hang Tuah pula diperikan memakai Cara Melayu = termasuk segala peralatan pakaian kebesaran diraja ditambah dengan tingkah laku sopan yang selaras dengan pegangan Islam. Dalam sejarah melayu juga dikatakan bahawa baju melayu yang di pakai oleh rakyat melaka singkat dan sendat, tetapi seorang pembesar melayu telah memanjangkannya dan membesarkan pesaknya, maka terbentuklah baju melayu seperti sekarang.

Persoalannya kenapa baju kurung Cekak Musang berhias lima butir kancing atau butang? Dua butir bertindih di cekak leher, dan diikuti dengan tiga butir di bahgian bawah (belahan).

Menurut seorang bekas budayaawan dari UKM, dari segi entnografi sosiobudaya kancing itulah lambang keharmonian rumah tangga masyarakat melayu. Dua butir bertindih di bahagian atas ibarat kerukunan diantara pasangan suami isteri = ayah ibu. Tiga butir di bawahnya melambangkan tiga orang anak mereka = sulung, tengah dan bungsu. Ini sekadar pandangan umum. Kalau anak mereka hanya satu atau lebih lima orang maka tujuh butir lah butangnya, atau sebutir seperti baju Melayu Teluk Belanga?

Sebenarnya bukan begitu. Menurut Azah Aziz (Mak Engku),
Tujuh butir untuk kalangan bangsawan atau raja di istana!
Dalam hal ini kita juga harus merujuk kepada sistem nombor, yang juga wujud dalam rekabentuk keris = berlok 3 - 11. Lok 11 ialah milik Sultan = pemerintah termasuk Ratu, lok 9 (Cik Siti Wan Kembang), lok 5 untuk bendahara dan anak-anak raja. Begitu juga tangga rumah Melayu dikira berurutan 3-9 mata. Bumbung perabung Masjid Kampung Laut 3-5 tinggat. Kajian seni rupa Melayu harus lagi merujuk kepada filsafat Nakula. Nah, disini dapat kita lihat bahawa betapa berilmu dan berseninya bangsa melayu yang sering dikatakan pelupa ini. Siapa kata orang melayu bukan bangsa filosuf. Walaupun karya filosufi kita tidak dicatatkan dengan tinta atau di cetak ia tidak bermakna kita buta falsafah.

Dalam Islam semua nombor hanya di kira dari 1- 9. Dalam kiraan ilmu keislamanan kita boleh merujuk langsung kepada 5 = rukun Islam, atau 6 Rukun Iman. Jadi setujukah anda dengan jumlah butir baju Melayu Cekak Musang mengira jumlah 5 sesuai dengan pegangan kita, Rukun Islam. Insya Allah sesuai dengan fahaman kita terutama dalam konsep Dakwah yang paling sederhana, " Salah satu pokok da'wah itu ialah 'HUSNUL JIWARI - iaitu pergaulan yang baik dengan tetangga dekat . Inilah yang dihurai oleh Prof Dr HAMKA (lih.Prinsip Kebijaksanaan Da'wah Islam, Pustaka Melayu Baru, K.L.1981,hal.13).

Sekarang anda buatlah kesimpulan samaada anda masih lagi merasakan bangsa kita tidak setanding atau sehebat bangsa lain. Adakah benar seperti apa yang dikatakan oleh orientalis barat bahawa orang Melayu hanya memakai cawat dan ada yang bertelanjang.

dipetik dari : Sejarah baju Melayu

........................................

Maka seharusnya sudah lama kita wajar mencari kehebatan bangsa kita dengan melihat kebelakang agar kita kenal akan bangsa kita secara lebih halus. Itulah Melayu!

http://ponpakya.blogspot.com/2009/10/mencari-kehebatan-melayu.html

Saturday, January 8, 2011

PIDATO DR BURHANUDIN AL HELMI YG PATUT ANDA BACA


Keterangan: Ini adalah kutipan pidato Yang Dipertua Agung PAS, Allahyarham Dr. Burhanuddin Al-Helmy yang disampaikan dalam Persidangan Agung PAS di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur, pada bulan Disember 1956. Walaupun pidato ini dibuat sesuku abad lebih dahulu, akan tetapi ia merupakan sebuah dokumen sejarah yang sangat penting yang perlu dipelajari oleh segenap patriot tanah air kita dalam mengharungi pergolakan politik dewasa ini. Antara lain ucapan ini membongkarkan sikap kompromi dan menyerah pucuk pimpinan UMNO terhadap penjajah British dalam soal kemerdekaan, membentangkan cara memecahkan masalah perjuangan bersenjata yang dipimpin Parti Komunis Malaya serta mengumumkan idea pembimbing yang bernilai tentang perlunya tenaga-tenaga patriorik tanah air kita khasnya tenaga-tenaga nasionalis, agama dan sosialis menggabungkan diri demi membela tanah air dan rakyat. Idea pembimbing ini bukannya terbentuk secara kebetulan, tapi telah dirumuskan oleh beliau berdasarkan pengalaman perjuangannya dalam sejarah khasnya ketika memimpin barisan bersatu PUTERA – AMCJA dahulu. Ucapan asalnya sangat panjang. Yang diterbitkan di sini merupakan ringkasan dan sedutan dari pidato tersebut yang telah disiarkan oleh akhbar Utusan Melayu pada 3 haribulan Januari 1957. Tajuk-tajuk kecilnya diberikan sendiri oleh penerbit.


1. Sikap Menyerah Pucuk Pimpinan UMNO Kepada Penjajah


Apa yang harus dibuat oleh pemimpin-pemimpin UMNO itu ialah membetulkan diri sendiri, membetulkan cara-cara perjuangan mereka sendiri. Bukanlah dengan memfitnah orang lain, maka mereka akan dapat memuaskan hati pengikut-pengikut mereka sendiri. Dengan membetulkan diri sendiri, pemimpin-pemimpin itu akan memberikan sumbangan besar kepada perjuangan kemerdekaan tanah air, sebab dengan membetulkan dan memperbaiki diri sendiri, mereka akan dapat menemukan jalan-jalan yang benar dan sesuai untuk memperjuangkan kemerdekaan rakyat, dan ini akan menguntungkan perjuangan kemerdekaan rakyat seluruhnya.

Selalu saja terdengar dari mulut sesetengah golongan UMNO: “Tunggulah hingga tahun 1957. Kita akan bertindak mengadakan perubahan dalam pimpinan. Sabarlah sehingga 1957.” Mereka takut kalau mereka bertindak sekarang mengadakan langkah-langkah memperbetulkan pimpinan-pimpinan merka, maka Malaya tidak akan merdeka dalam tahun 1957.

Sikap ini samalah juga dengan sikap Tunku Abdul Rahman. “Kita harus bertindak sekarang secara yang boleh direstui oleh penjajah, secara yang tidak boleh dicurigai oleh penjajah. Kalau kita bertindak di luar dari garis itu, kalau kita menyakiti hati penjajah, maka penjajah tidak mahu memberikan kemerdekaan kepada kita nanti di tahun 1957”. Sikap inilah yang menyebabkan pengkhianatan moral terhadap perjuangan Mesir oleh pimpinan UMNO. Dengan lain perkataan, pimpinan-pimpinan UMNO mengakui bahawa taktik kompromis, taktik beralah dan menyerah dalam soal-soal yang pokok, mengenai kepentingan rakyat adalah jaminan kemerdekaan tanah air kita. Dengan lain perkataan pimpinan UMNO tidak percaya kepada kekuatan rakyat, tetapi kepada kebijaksanaan pimpinan itu, beralah dan menyerah kepada penjajah.

Dan kalangan-kalangan UMNO yang tidak puas hati kepada kebijaksanaan menyerah dan beralah kepada penjajah yang ada pada pihak pimpinan UMNO sekarang tetapi sebaliknya mau pula menunggu hingga tahun 1957 untuk mengadakan koreksi-koreksi, perbaikan-perbaikan dan perubahan-perubahan kepada pimpinan UMNO itu, adalah sebenarnya bersubahat dengan pimpinan itu dalam taktik menyerah dan beralah kepada penjajah, yang dilakukan oleh pimpinan mereka sendiri sekarang ini.

Rakyat yang jujur kepada perjuangan kemerdekaan bangsa dan tanah air, yang ingin mengabdikan diri kepda kepentingan rakyat seluruhnya, memikul tanggungjawab yang berat dalam parti masing-masing. Mereka hendaknya sentiasa waspada, sentiasa meneliti dan mengawasi perjuangan pemimpin-pemimpin mereka, hendaknya bertindak mengubah dan memperbaiki perjalanan pemimpin-pemimpin mereka bila kelihatan nyata perjalanan dan perjuangan pemimpin-pemimpin mereka tidak setia kepada cita-cita rakyat.

Inilah sikap kita terhadap UMNO. Kita tidak memusuhi UMNO, kerana UMNO adalah mewakili segolongan rakyat yang mahu merdeka. Kita tidak memusuhi UMNO sebagai satu lambang di mana segolongan rakyat kita sendiri berkumpul, bergerak dan berjuang untuk mencapai cita-cita tanah air.

Tetapi kita tidak dapat mendiamkan diri daripada mengkritik, daripada memberikan fikiran dan teguran kita, demi kepentingan rakyat, kerana tegur-menegur, nasihat-menasihati, adalah rukun hidup manusia yang sejati, kerana hanya dengan tegur -menegur, nasihat-menasihati, dapat kita sama-sama membetulkan dan memperbaiki diri kita, dapat kita didorong dengan kekuatan baru, tenaga-tenaga baru ke arah cita-cita bersama.

Rakyat yang berdiri di belakang PAS adalah mempunyai cita-cita yang sama dengan rakyat yang berdiri di belakang UMNO, bahawa tiap-tiap mereka, tiap-tiap rakyat yang berdiri di belakang PAS dan rakyat yang berdiri di belakang UMNO menghendaki satu negara yang bebas merdeka dan berdaulat.

Kalau kita melihat pemimpin-pemimpin UMNO tidak jujur, tidak betul, tidak tegas memimpin rakyatnya, maka adalah kewajipan kita sebagai nasionalis, sebagai patriot, sebagai kawan seperjuangan yang bergerak di bawah lambang perjuangan UMNO, untuk mengkritik, untuk menegur pimpinan UMNO itu.

Demikian juga sebaliknya. Kalau pimpinan kita tidak jujur, tidak ikhlas terhadap rakyat, adalah kewajipan rakyat yang berdiri di belakang UMNO, yang berkumpul di bawah lambang perjuangan UMNO untuk mengkritik kita, untuk menasihati kita.

Kerana banyaklah titik-titiik pertemuan di antara perjuangan kita dengan perjuangan rakyat yang berdiri di belakang UMNO. Dan titik-titik pertemuan itu boleh merupakan satu jaminan yang kukuh, satu pertalian persaudaraan yang kuat yang mengikat kita bersama sebagai satu rakyat tanah jajahan yang hauskan kemerdekaan dan kemuliaan bangsa dan tanah airnya, yang saling kuat-memperkuat, pupuk- memupuk dan dorong-mendorong perjuangan kita bersama.



2. Memecahkan Perang Di Malaya Dengan Cara Damai

Sebagaimana juga perjuangan kemerdekaan rakyat Malaya mendapat dorongan-dorongan daripada perjuangan kemerdekaan rakyat di negara-negara lain, sebagaimana juga perjuangan kemerdekaan rakyat Malaya tak dapat dipisah-pisahkan daripada perjuangan kemerdekaan rakyat anak-anak jajahan di negara-negara lain, demikian jugalah perjuangan kemerdekaan dari setiap negara yang progresif dan demokratis dalam masyarakat Malaya ini, tidak dapat dipisah-pisahkan antara satu sama lain, melainkan tali menali, pengaruh-mempengaruhi, saling dorong mendorong dan saling kuat memperkuat. Tenaga-tenaga yang progresif dalam tiap-tiap parti, dalam tiap-tiap golongan dalam masyarakat, pengaruh – mempengaruhi satu sama lain, dan kekuatan seluruh inilah yang menentukan arah dan tujuan perjuangan kemerdekaan dan kedaulatan rakyat Malaya.

Kalau kita berpegang kepada prinsip bahawa komunizem boleh dihancurkan dengan kekuatan tentera di tanah air kita sendiri, maka terpaksalah pula kita berpegang kepada prinsip itu bahawa kekuatan tentera juga harus dipergunakan untuk membasmi komunizem sedunia. Apakah kita mengingini perang di dunia, menceburkan diri ke dalam kancah peperangan dunia ketiga semata-mata untuk membasmi komunizem?

Komunizem adalah satu faham internasional. Peleburan pemberontakan itu di Malaya tidak akan bererti bahawa faham itu akan hancur. Kerana faham itu bercorak internasional. Apa lagi faham itu timbul dan lahir dari kemelaratan dalam sistem masyarakat. Kerana ia lahir dari masyarakat, dari kemelaratan masyarakat, maka ia harus dibasmi dengan pengetahuan kemasyarakatan pula, bukan dengan pengetahuan ketenteraan, bukan dengan kekerasan senjata.

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) adalah bertentangan dengan aliran dan faham komunis. Islamizem dan komunizem tidak, dan tidak dapat disesuaikan. Tetapi ini tidak pula bererti PAS tidak mempunyai sikapnya sendiri terhadap masalah pemberontakan Parti Komunis Malaya.

PAS mengaggap bahawa komunis adalah satu penyakit dalam masyarakat, satu penyakit yang lahir dari kemelaratan dan kesengsaraan dalam masyarakat kita sendiri. PAS mempunyai keyakinan terhadap kekuatan ideologinya sendiri, terhadap kesucian dan kemuliaan ke-Islamannya, untuk mengatasi sebarang ideologi yang lain. PAS mempunyai keyakinan kepada kekuatan keimanan rakyatnya untuk menghadapi persaingan dan perlumbaan ideologi yang lain. Kami berkeyakinan bahawa dalam persaingan dan perlumbaan yang aman damai antara ideologi-ideologi di dalam masyarakat kita, maka ideologi kitalah yang akan dapat menakluki ideologi-ideologi yang lain. Kerana itulah PAS menghendaki pemecahan dan penyelesaian yang aman damai kepada soal komunizem di tanah air kita, menghendaki agar ideologi komunis itu ditentang dengan aman dan damai, demi kepentingan keamanan dan kesejahteraan rakyat Malaya sendiri.

Kita memerlukan pemecahan dan penyelesaian yang damai kerana kita sendiri telah mengalami betapa Darurat atau tegasnya peperangan di Malaya selama 8 tahun ini telah memakan korban politik, ekonomi dan moral rakyat kita sendiri. Lanjutan dari peperangan ini hanya akan mengakibatkan keruntuhan ekonomi dan keruntuhan akhlak rakyat kita sendiri dan sebaliknya menguntungkan penjajah semata-mata.

Selama 8 tahun peperangan membasmi komunizem di Malaya telah dijalankan secara penjajah. Masanya telah tiba sekarang untuk memecahkan dan menyelesaikan soal itu dengan cara rakyat dengan corak rakyat.

Seluruh dunia bergerak berikhtiar menegakkan keamanan dan perdamaian. Konresensi Afro – Asia di Bandung menjadi titik sejarah dalam perjuangan manusia untuk menegakkan keamanan dan perdamaian. Tenaga-tenaga manusia yang mengingini, yang mencintai keamanan, yang mencintai demokrasi dan yang mencintai kesejahteraan umat manusia, makin kuat dan makin kukuh. Malaya dan rakyatnya harus memberikan sumbangan kepada usaha maha besar, kepada tugas maha suci untuk menegakkan keamanan dan perdamaian dunia. Dan bagaimanakah kita dapat memberikan sumbangan itu kalau kita sendiri tidak dapat memecahkan soal rumah tangga kita sendiri secara aman dan damai?

Cara memecahkan dan menyelesaikan satu-satu problem, satu-satu kerumitan yang dihadapi oleh umat manusia tidak lagi berdasarkan kekerasan, tidak lagi berdasarkan senjata atom, kereta kebal, senapang dan mesingan . Segala kesulita, kerumitan dan kekusutan dunia, kesulitan dan kerumitan umat manusia kini dipecahkan dan diselesaikan di meja perundingan, dengan bertolak ansur, dengan hormat-menghormati sikap dan pendirian satu sama lain.
Jalan kekerasan tidaklah lagi jalan yang sesuai untuk menyelesaikan segala soal hidup manusia. PAS menentang kekerasan kerana kekerasan adalah bertentangan dengan dasar dan ideologi PAS.


3. Memadukan Tenaga-tenaga Nasionalizem, Keagamaan dan Sosializem

Perjuangan kemerdekaan tanah air akan diteruskan oleh PAS dengan jalan aman dan damai, dengan jalan berperlembagaan.

Dan PAS juga tidak merasa dan tidak mensifatkan dirinya sajalah yang mempunyai kesanggupan, yang mempunyai kelayakan, yang mempunyai tenaga dan kebijaksanaan untuk berjuang mencapai kemerdekaan dan kedaulatan bangsa dan tanah airnya. PAS tidak merasa dan tidak mensifatkan dirinya sajalah yang berkewajipan memikul tugas suci kemerdekaan bangsa dan tanah airnya kerana itu adalah tugas rakyat bersama.

Saya katakan bahawa penjajahan adalah bercorak internasional, satu gergasi yang pengaruh dan kekuatannya dirasakan di seluruh dunia. Kerana itu, penjajahan tidak boleh ditentang hanya dengan tenaga satu golongan saja, satu parti saja, tetapi sebaliknya hanya dengan tenaga-tenaga anti-imperialis seluruh dunia, tenaga-tenaga anti-imperialisme seluruh masyarakat.

Kerana itu PAS sanggup bekerjasama dengan apa saja golongan, apa saja parti, apa saja aliaran dalam masyarakat atas dasar kepentingan kemerdekaan bangsa dan tanah air.

Perjuangan kemerdekaan bangsa dan tanah air akan bergolak terus walaupun Malaya merdeka pada 31 Ogos 1957 ini. Kemerdekaan itu harus diisi dengan kenyataan-kenyataan, dengan realiti-realiti kemakmuran ekonomi rakyat, dengan realiti, dengan kenyataan ketinggian akhlak rakyat.

Perjuangan itu sama besarnya dengan perjuangan yang telah kita pusakai dari datuk nenek kita menentang penjajahan semenjak kejatuhan Empayar Melaka dulu. Dan sudah barang tentu perjuangan yang sebesar itu menghendaki tenaga yang sebulat-bulatnya dari seluruh rakyat negeri ini, menghendaki pengorbanan yang rela dan jujur dari segenap golongan progresif dalam masyarakat.

Tenaga-tenaga nasionalizem, keugamaan dan sosializem yang sihat dalam masyarakat harus kita gemblengkan, kita padukan mulai sekarang untuk merupakan satu tenaga besar demi tugas perjuangan kemerdekaan dan kedaulatan tanah air ktia.

Dasar-dasar persamaan antara ketiga-tiga tenaga ini harus kita tegakkan dari sekarang, kita pupuk dan kita perkukuh dari sekarang. Dan satu dasar persamaan, satu titik pertemuan yang kukuh boleh kita tegakkan untuk mempertalikan ketiga-tiga tenaga itu. Untuk memadukan ketiga-tiga tenaga itu ialah dasar kita bersama menentang penjajah, cita-cita kita bersama mengingini satu negara kebangsaan yang demokratis dan berdaulat.

Tiap-tiap kita mengingini satu negara Malaya yang demokratis dan berdaulat dalam erti kata yang sebenarnya. Cita-cita ini belum tercapai sekarang dan tak akan tercapai pada 31 Ogos 1957 ini. Ke arah cita-cita itulah PAS akan berjuang bahu membahu dan saling berbimbingan tangan dengan segala golongan dalam masyarakat.

Sesetengah pihak mengatakan bahawa setelah tahun 1957 kelak, barulah boleh segala parti di Malaya memperjuangkan ideologi masing-masing dan buat sementara ini, segala parti di Malaya harus bersatu, dengan menyingkirkan ideologi masing-masing.

Tetapi saya berpendapat bahawa sekarang ideologi hanyalah alat saja untuk memperjuangkan cita-cita nasional, cita-cita kebangsaan iaitu cita-cita menegakkan satu negara Malaya yang merdeka, demokratis dan berdaulat.

Apa yang dicita-citakan oleh rakyat, apa yang menjadi cita-cita nasional, cita-cita kebangsaan segenap lapisan dan segenap golongan rakyat ialah kemerdekaan politik tanah airnya, kemerdekaan ekonomi tanah airnya untuk mencapai cita-cita nasional, cita-cita kebangsaan ini, masing-masing golongan mempergunakan ideologi masing-masing, yang akan diisi ke dalam gerakan nasional itu.

Tetapi untuk tiap-tiap seorang sosialis, maka ideologi sosialiszem adalah dipergunakan olehnya sebagai tempat pegangannya, memperhitungkan dan mempertimbangkan sesuatu masalah hidupnya, malah tanah airnya, bahkan masalah perjuangan kemerdekaan tanah air dan bangsanya.

Tegasnya lagi, adalah satu impian saja untuk seseorang sosialis mengharapkan bahawa sosialiszem yang menjadi ideologinya itu boleh ditubuhkan dan ditegakkan dalam satu negara yang belum merdeka dan berdaulat dalam politik dan ekonominya.

Pendeknya, sosializem tidak dapat ditubuhkan dalam taman yang masih semak samun dalam belukar-belukar penjajahan.

Jadi tugas kita yang pokok sekarang, tak kira apa ideologi kita ialah meperjuangkan dulu kemerdekaan politik dan ekonomi tanah air kita, memperjuangkan dulu kemerdekaan dan kedaulatan yang menjadi cita-cita kebangsaan setiap golongan dan lapisan rakyat negeri ini.

Ideologi nasionalizem atau kebangsaan ialah mencapai kemerdekaan politik, ekonomi dan social, dan terdirinya kebebasan dan kemakmuran rakyat bersih dari sebarang pengaruh penjajahan. Ideologi sosializem timbul sesudah terdiri ideologi nasionalizem dan bertumbuh di atas itu menurut sifat dan muslihat sesuatu bangsa hingga tercapai pula keadilan sosial atas bentuk asas sosializem primitif menurut perkembangan secara ilmiah (sainatifik). Semua izem ini timbul dari pengalaman-pengalaman manusia yang telah berlaku dalam proses perkembangan masyarakatnya dari zaman kuno hingga ke zaman moden ini.

Ideologi Islam atau Islamizem adalah berbeza dan berlainan daripada izem-izem yang lain. Keistimewaan Islamizem ialah datangnya sebagai hukum ketetapan yang diturunkan Tuhan yang menjadikan manusia seluruhnya dan menciptakan alam ini sekaliannya. Hukum ini tidak dapat diubah-ubah dan ditukar-tukar atau dipinda-pinda. Yang boleh berubah dan bertukar ialah hanya manusia itu saja. Islamizem tegasnya hukum Tuhan bagi seseorang dalam perjuangan dalam masyarakat dan dalam perhubungan dengan Tuhan.

Kerana itu dalam peringkat perjuangan sekarang marilah kita mencapai dan mengisi cita-cita nasional kita bersama-sama dengan parti dan puak-puak yang lainnya. Kita dari angkatan PAS melancarkan bahtera kita menuju pelabuhan cita-cita Islam yang sangat jauh pelayarannya, tetapi kita sama-sama bertolak beriringan dengan aliran nasionalizem yang tulin dan angkatan sosializem.

Marilah kita mulai sekarang mengatur barisan kita bersama ke arah cita-cita itu, cita-cita nasional dan cita-cita kebangsaan itu!

tamat