BANGI, 1 Ogos – Penulis dan Pengkaji Selidik Sejarah, Persatuan Arkeologi Malaysia, Puan Zaharah Sulaiman menyeru kepada generasi baru dan lama supaya berbangga menjadi bangsa Melayu kerana bangsa Melayu adalah bangsa yang bijak, rajin, dan paling hebat sejak berkurun lagi.
Hal ini kerana tegasnya, bangsa Melayu bukannya pemalas, lanun atau perompak seperti yang digambarkan oleh sesetengah pihak, tetapi bangsa Melayu adalah bangsa yang paling cerdik.
Sebenarnya bangsa Melayu adalah bangsa teragung dalam meneroka bidang maritim antaranya kerana pakar dalam pembuatan kapal-kapal besar.
Dalam suatu gambar yang diambil dari Muzium Portugis, sebuah kapal perang terbesar Portugis diilustrasikan sebelah-menyebelah dengan kapal Jong Melayu yang mana saiznya adalah berukuran 100 meter dan setinggi 25 tingkat rumah.
Dalam buku Tom Pires diceritakan bahawa kapal Jong Melayu dari Melaka dan Jawa apabila berlabuh di Canton China diarahkan untuk berlabuh jauh dari pantai kerana dikhuatiri besarnya Jong Melayu akan menewaskan 20 kapal Cina.
Namun begitu ujarnya, hanya replika kapal Portugis, Flor de La Mar yang dijadikan muzium maritim.
Kapal milik pedagang dan sultan-sultan Melayu pada zaman dahulu seperti ‘Geliung Johor’ yang saiznya berpuluh kali ganda lebih besar tidak pula disejarahkan.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Wacana ‘Mengenali & Menjejaki Perjalanan Bangsa Melayu dan Asal Usulnya’ anjuran Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) di Danau Golf Club UKM, semalam.
Katanya, sekalipun sejak dahulu Melayu ditindas oleh British, harta orang Melayu sering dirampas namun yang amat dikesali Puan Zaharah apabila gambaran melalui gambar dan video tentang Melayu sebagai pelanun dan perompak masih ada di Muzium Singapura.
“Kalau kita pergi ke muzium Singapura, pertama kali kita melangkah, apa yang dipamerkan di depan ruang bangunan ‘Melayu lanun, Melayu perompak’.
“Gambar dan video ini diulang tayang dan dipamerkan berpuluh tahun sehingga sekarang, itulah imej yang digambarkan Singapura kepada setiap pengunjung muzium itu untuk meracuni pemikiran rakyat dan pelancong.
“Dan sebab itulah Melayu dibenci, jadi mahukah kita apabila bangsa lain sewenangnya memperkotak-katikkan bangsa kita?,” soalnya.
Dalam pada itu beliau berkata, kajian ilmiah yang dilaksanakannya bersama penyelidik lain sejak 2009 telah siap dan akan diterbitkankan selepas raya ini secara berjilid oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) secara berperingkat untuk tatapan pembaca.
“Buku ini akan mendedahkan segala-galanya dan diharap kepada pihak yang sering mempertikaikan asal usul Melayu dapat membacanya dan menerima hakikat kerana kajian ini adalah bersandarkan kepada bukti-bukti genetik dan arkeologi.
“Selain dari itu, kajian ini juga diharapkan akan menjadi bukti kepada mereka supaya terus berbangga menjadi bangsa Melayu,” katanya ditemui wartawan selepas berucap.
Sehubungan itu ujarnya, apa yang perlu dilakukan sekarang adalah dengan menulis semula sejarah bagi memastikan generasi muda didedahkan dengan fakta yang sebenar.
No comments:
Post a Comment