Pages

Tuesday, August 20, 2013

Baju Orang Melayu

Untuk Lelaki

Pertama disebut Teluk Belanga
Tebuk Leher bertulang belut
Cengkam dijalin menjari lipan
Buah baju tunggal-tunggalan
Kalau bulat menelur burung
Kalau bertangkai memudung petai
Atau bermata bagai cincin
Labuhnya sampai segenggam tangan
Lebar dapat kipas-berkipas
Lapang tidak menyangkut ranting

Sempit tidak membilang tulang
Labuh di luar dagang dalam
Labuh di dalam dagang luar
Kalau bersulam berbenang emas
Tekat berkumpul di atas dada
Turun ke bawah bak sarang lebah
Kalau tangan bersulam suji
Bagai simpai di ujung lengan
Pucuk rebung timbalannya
Bertabur bunga jarang-jarang
Tidak berbatas tempat memakai.

Kedua bernama Cekak Musang
Leher tegak empang leher
Renda-berenda benang emas
Jalin-menjalin benang kelingkan
Dua butang sebelah atas
Tiga buah di bawahnya
Butang bulat pudung petai
Butang bersegi mata cincin
tabur-berterabur bunga telepuk
Tekat penuh di atas dada
Jalar-menjalar ujung lengan
Sebuah kocek di atas
Dua buah kocek di bawah
Lebarnya dapat berkiah
Labuh sampai segenggam tangan
Patut dipakai dagang dalam
Patut dipakai dalam majlis
Pantas dibawa dalam jamuan.

Ketiga Baju Bersingkap Dada
Belah leher sampai ke bawah
Butang bersusun lima buah
Di bawah berjahit mati
Di atas berumah-rumah

Kalau berenda menyusur belah
Kocek di bawah kiri kanan
pakaian kain dagang luar
Patut dibawa berjalan jauh
Atau bertandang-tandang saja
Atau dipakai jadi pelasah
Atau dibawa dalam gelanggang.

Keempat Baju Atas Angin
yang dibawa alim ulama
Yang dipakai bermusim-musim
Labuhnya mencecah tanah
yang disebut baju jubah.

Kelima Baju Kutang
yang dipakai di dalam rumah
Atau Beramu ke dalam hutan
Atau ke sungai pergi berikan
Tak boleh bawa bertandang
Tak beradat ke rumah orang.

Untuk Perempuan

Yang betina lain bajunya
Pertama disebut Baju Kurung
Leher melingkar tulang belut
Cengkam-cengkaman menjari lipan
kalau ditenun tabur-bertabur
Sulam di tangan sulam di bawah
Sulam menjalin keliling dada
Labuhnya sampai ke bawah lutut
Kibar-berkibar ditiup angin
Tidak sempit menyampul nangka
Patut dipakai tua muda
Tidak berbatas pemakaiannya
Aib tertutup malu tersimpan
Sesuai adat dengan syarak
Sesuai ke tengah
Sepadan ke tepi.

Kedua disebut Kebaya Panjang
Gunting bernama gunting sembilan
Belah terbuka sampai ke bawah
Dalam acap-acap betis

Dalam tidak mengemakkan
Pendek tidak menyesakkan
Kalau berenda sebelah muka
Berenda pula kaki bajunya
renda keliling lingkar-berlingkar
tabur-bertabur seluruh badan
Jalin-jalin sulaman tangan
kalau belah mahu ditutup
Terpasang kosang sebelah atas
Kosang bersusun sampai pusat
Bertali-tali semat-menyemat
Patut dipakai tua muda
Tidak berbatas tempat bertandang
Elok ke tengah
Patut ke tepi.

Ketiga bernama Kebaya Pendek
Pendek menyapu-nyapu duduk
Pendak separas-paras tampah
Belah leher sampai ke bawah
Genting-genting pada pinggangnya
kembang mengepak sebelah bawah
Lengan panjang tidak berkibar
Tapi sempit tidak berketak
Dada bertutup lapis dada
Susun-bersusun konsang butangnya
Rangkai-berangkai sampai ke pusat
Patut dipakai dalam rumah
Pakaian betina sudah berlaki
Untuk berjalan bertandang-tandang
Atau ke helat-helat kecil
Atau ke ladang dan ke sungai.

Pakaian dalam bernama Kutang
Di muka ampuan susu
Di belakang lebar sejengkal
Berbutang tiga serangkai
Sulam-bersulam kelilingnya
Kalau betina belum berlaki
Sama lebar muka belakang
Lebar labuh sampai ke perut
Tidak terbuka kalau berkemban.

Sumber dari http://www.keriswarisan.com/live/blog/872/baju-orang-melayu/ 

www.keriswarisan.com

======================================================= =====================

Garis panduan dan sumber ini disediakan oleh 
Johan Iskandar
Pengasas@keriswarisan.com
www.keriswarisan.com

Friday, August 2, 2013

Berbanggalah menjadi bangsa Melayu

sumber: http://www.ismaweb.net/v4/2013/08/berbanggalah-menjadi-bangsa-melayu/


sejarah4
BANGI, 1 Ogos – Penulis dan Pengkaji Selidik Sejarah, Persatuan Arkeologi Malaysia, Puan Zaharah Sulaiman menyeru kepada generasi baru dan lama supaya berbangga menjadi bangsa Melayu kerana bangsa Melayu adalah bangsa yang bijak, rajin, dan paling hebat sejak berkurun lagi.
Hal ini kerana tegasnya, bangsa Melayu bukannya pemalas, lanun atau perompak seperti yang digambarkan oleh sesetengah pihak, tetapi bangsa Melayu adalah bangsa yang paling cerdik.
Sebenarnya bangsa Melayu adalah bangsa teragung dalam meneroka bidang maritim antaranya kerana pakar dalam pembuatan kapal-kapal besar.
Dalam suatu gambar yang diambil dari Muzium Portugis, sebuah kapal perang terbesar Portugis diilustrasikan sebelah-menyebelah dengan kapal Jong Melayu yang mana saiznya adalah berukuran 100 meter dan setinggi 25 tingkat rumah.
Dalam buku Tom Pires diceritakan bahawa kapal Jong Melayu dari Melaka dan Jawa apabila berlabuh di Canton China diarahkan untuk berlabuh jauh dari pantai kerana dikhuatiri besarnya Jong Melayu akan menewaskan 20 kapal Cina.
944590_10151767012978536_1712318026_n (1)Jong Melayu (dalam gambar)  dan disebelahya kapal kecil Flor de la Mar milik Portugis
Namun begitu ujarnya, hanya replika kapal Portugis, Flor de La Mar yang dijadikan muzium maritim.
Kapal milik pedagang dan sultan-sultan Melayu pada zaman dahulu seperti ‘Geliung Johor’ yang saiznya berpuluh kali ganda lebih besar tidak pula disejarahkan.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Wacana ‘Mengenali & Menjejaki Perjalanan Bangsa Melayu dan Asal Usulnya’ anjuran Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) di Danau Golf Club UKM, semalam.
Katanya, sekalipun sejak dahulu Melayu ditindas oleh British, harta orang Melayu sering dirampas namun yang amat dikesali Puan Zaharah apabila gambaran melalui gambar dan video tentang Melayu sebagai pelanun dan perompak masih ada di Muzium Singapura.
“Kalau kita pergi ke muzium Singapura, pertama kali kita melangkah, apa yang dipamerkan di depan ruang bangunan ‘Melayu lanun, Melayu perompak’.
“Gambar dan video ini diulang tayang dan dipamerkan berpuluh tahun sehingga sekarang, itulah imej yang digambarkan Singapura kepada setiap pengunjung muzium itu untuk meracuni pemikiran rakyat dan pelancong.
“Dan sebab itulah Melayu dibenci, jadi mahukah kita apabila bangsa lain sewenangnya memperkotak-katikkan bangsa kita?,” soalnya.
Dalam pada itu beliau berkata, kajian ilmiah yang dilaksanakannya bersama penyelidik lain sejak 2009 telah siap dan akan diterbitkankan selepas raya ini secara berjilid oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) secara berperingkat untuk tatapan pembaca.
“Buku ini akan mendedahkan segala-galanya dan diharap kepada  pihak yang sering mempertikaikan asal usul Melayu dapat membacanya dan menerima hakikat kerana kajian ini adalah bersandarkan kepada bukti-bukti genetik dan arkeologi.
“Selain dari itu, kajian ini juga diharapkan akan menjadi bukti kepada mereka supaya terus berbangga menjadi bangsa Melayu,” katanya ditemui wartawan selepas berucap.
Sehubungan itu ujarnya, apa yang perlu dilakukan sekarang adalah dengan menulis semula sejarah bagi memastikan generasi muda didedahkan dengan fakta yang sebenar.