Kebiasaan apabila tinggal di asrama, kehidupan adalah sangat strict dengan waktu. Pagi adalah waktu pembelajaran di sekolah seperti biasa, kemudian pulang ke hostel solat zuhur berjamaah, makan tengahari di dewan makan, dan rehat. Jam 3 petang bermulalah waktu prep. Biasanya ramai di kalangan kami suka "stido" daripada study pada waktu ini. Kemudian pulang ke asrama untuk solat asar. Aktiviti selepas asar adalah aktiviti bebas, namun, kami tidak digalakkan berada di asrama, dan digalakkan memenuhi padang-padang permainan.
Pada awalnya, saya bukanlah sportman sangat. Budak skema katakan. Tubuh juga lebih kecil berbanding pelajar lain yang matang di tingkatan 1 lagi. Kebanyakan pelajar lelaki akan memenuhi padang bolasepak. Barulah dikatakan anak jantan. Saya juga cuba menempatkan diri di padang bolasepak, namun dalam satu hari dapat menyentuh bola satu kali sudah dikatakan cukup bertuah. Saya lalu membawa diri ke gelanggang bola tampar pula. Seronok juga bermain bola tampar kerana tidak melibatkan direct contact dengan pasukan lawan. Lama-kelamaan saya mula rasa terpinggir apabila pasukan elit bola tampar sekolah ditubuhkan, kami tidak berpeluang bermain.
Mencuba nasib pula di gelanggang sepaktakraw. Iskh, keras betul kaki aku. Memang tiada bakat sukan gamaknya. Dihujung gelanggan takraw, terdapat padang hoki dan bola baling. Sekumpulan pelajar menjadikan kawasan itu sebagi padang 'kecil' bolasepak. Maka bermainlah kami golongan yang kaki bangku di padang kecil.
Lama kelamaan saya mula bosan dengan permainan bolasepak, mencuba pula ke kawasan gelanggang tenis dan bola keranjang. Permainan tenis memerlukan raket yang jarang dimiliki oleh kami. Saya menonton sahaja di tepi gelanggang. Gelanggan ini tersorok sedikit di sebalik bangunan sekolah dan berhadapan dengan bengkel kemahiran hidup dan jauh dari pandangan umum.
Terpandang pula ke gelanggang bola keranjang yang mana, gelanggang ada dua tetapi hanya satu gelanggang yang mempunyai penghuni. Saya cuba memerhatikan permainannya. Lalu meminta kebenaran untuk turut bermain. Mereka tiada halangan.
Maka berlarilah saya bersama-sama mereka yang lain. Meminta simpati bagi bola dihantar. Jarang bola dihantar kepada saya yang kemetot ini. Tapi tidak mengapa, kita usaha cara lain. Steal dan cut daripada hantaran lawan juga memungkinkan bola dapat kepada saya. Jika malas lagi tunggu sahaja bola rebound dari bawah keranjang.
Rupanya permainan ini lebih meletihkan berbanding bola sepak di padang. Saya amat teruja. Keadaan gelanggang yang tidak berapa luas menyebabkan kami sentiasa berlari-lari dan melompat tanpa banyak berehat. Seronok juga permainan ini. Ada target yang munasabah untuk dicapai. Dapat masukkan bola ke dalam keranjang sangat mengujakan buat saya berbanding bola sepak dimana dalam satu perlawanan, mungkin hanya satu atau dua gol yang dapat dijaringkan oleh semua pemain. Dalam perlawanan bertaraf professional pun lebih 100 mata dapat dikumpulan berbanding bola sepak yang hanya memungut mata dalam kiraan sa sahaja.
Saya mula seronok dan akhirnya semakin rapat pergaulan dengan kaki bola keranjang di sekolah ini. Boleh dikatakan, muka yang sama inilah yang akan menghidupkan gelanggang. Walaupun kami tiada jurulatih, dengan semangat yang ada, kami boleh mempertingkatkan skill dan sentiasa ada skill-skill baru yang dicipta. Antara rujukan kami pada waktu itu ialah komik Slam Dunk dan Dear Boys dari Jepun. Yang advance sedikit boleh menonton perlawanan NBA.
Kegilaan bola keranjang di sekolah menengah ini terbawa-bawa ke Matrikulasi dan ke Universiti.
|
Pasukan Bola Keranjang SMKARA yang tidak pernah menyertai mana-mana pertandingan. Namun semangat menyatukan kami. |