sumber:
http://aberdeen-isa.blogspot.com/2009/12/bubur-asyura.html
Ketupat Cinta - Siri 4: Bubur Ratapan ‘Asyura
Oleh Faisal Tehrani
Tuan Guru Nuh Ha Mim membelai jambang putihnya.”Kita memikir bagaimana kiranya untuk membuat orang Melayu Islam itu mengingat akan Ahlul Bait atau keluarga Nabi Muhammad saw.Mengingat ia akan ‘Asyura.”
Sultan Alauddin bersuara jelas.”Apa yang ingin diingat pada ‘Asyura itu Tuan Guru?”Tuan Guru memandang kepada kita.”Tun Lepat,ciptakan satu makanan,nasi menangis katakana.Hendaklah pada makanan itu ada tujuh peringatan tentang asyura.”
Kita pun pulang ke istana bersama baginda sultan.Serasa-rasa inilah kerja dan ciptaan makanan paling mencabar sepanjang sejarah kita menjadi gerau.Setelah memikir-mikir lama,maka kita menetapkan harus ada pada bubur itu bawang putih kerana dengan putih itu akan kita semua ingat hitamnya Yazid penguasa yang merancang pembunuhan Imam Husin,cucunda Rasulullah yang disembelih pada sepuluh Muharam.
Hitamnya Yazid itu juga kerana Yazid dan pewarisnya setiap kali khutbah Jumaat maka diperintahkan khatib untuk mencerca dan memaki hamun Ahlul Bait.Kita tahu benar sejarah mencatatkan kerja menghamun keluarga Nabi Muhammad ini hanya berhenti untuk tempoh tidak sampai dua tahun ketika pemerintahan Khalifah Umar Abdul Aziz yang wara’ itu.
Dalam bubur yang kita cipta itu harus ada bawang merah kerana dosa Yazid yang banyak menumpah darah.Di sebalik beras kita masukkan dua cangkir biji gandum.Itu kerana kita hendak menunjukkan betapa banyaknya penyimpangan sunnah dan pembuatan bid’ah yang dilakukan Yazid bin Muawiyah.
Gandum dalam beras;tidakkah namanya bid’ah besar dan pelanggaran sunnah bila dia itu mengambil takhta pemerintahan daripada Muawiyah bapanya.Dialah penerus pemerintahan beraja yang tidak pernah dikenal Islam.Dialah penerus tatacara hidup Rom dan Parsi dalam bidang siasah.
Kita masukkan pula halia dan lada hitam supaya orang yang mengecap bubur ratapan ‘Asyura itu mengenang betapa Yazid tidak bertaubat.Kerana Yazid itulah punca tujuh putera Saidina Ali dibunuh dalam satu hari iaitu antara lain Saidina Husin,Saidina Abbas dan Saidina Jaafar.Semuanya disembelih.Di Karbala itu jugalah dua cicit Rasulullah yakni anak Saidina Husin yang masih anak-anak dicincang.
Juga terkorban anakanda Saidina Hasan iaitu Abdullah,Abu Bakar dan Qasim.Moga-moga bubur ‘Asyura itu membawa orang mengenang riwayat Abu Burdah seperti dinukil Ibnu Katsir dalam al-Bidayah wan Nihayah.Harus pemakan bubur itu mengingat betapa Yazid bin Muawiyah itu menjolok-jolok dengan tongkatnya ke mulut dan gigi Imam Husin yang kepalanya sudah terpenggal.
Kita masukkan juga kacang yang tuan-tuan namakan kacang kidney untuk penjamah bubur mengingat betapa Yazid itu dosanya bukan di Karbala sahaja tetapi dosanya juga kala mengutus Muslim bin Uqbah serta Husain Numair al Sakuniy untuk membantai Abdullah bin Zubair dan pengikutnya yang berkubu di Mekah.
Abdullah bin Zubair itu seingat kita anak Asma’ binti Abu Bakar dan Zubair bin Awwam.Ketika ingin menawan Abdullah bin Zubair itu kota Mekah telah dikepung,Kaabah yang mulia ditembak dengan manjanik hingga rosak dan terbakar kelambunya.Kacang Kidney itu peringatan akan kezaliman Yazid.Kemudian kita berikan jua ramuan kacang tanah lantaran dosa Yazid menyerang kota Madinah pada tahun enam puluh tiga hijrah,
‘Tanah’ itu melambangkan Madinah sebagai tanah haram yang dicabul tentera Yazid.Adapun kota itu disserang di bawah arahan Muslim bin Uqbah.Kejadian serangan ini dinamai dalam sejarah sebagai Waqi’ah al Harrah.Tentera Yazid di bawah pimpinan Muslim bin Uqbah telah bermaharajalela dan bukan sahaja membunuh delapanpuluh sahabat pengikut perang Badar dan tabien di situ,malah telah membiarkan askarnya merogol gadis dan wanita di Madinah sehingga diriwayatkan oleh Abu al-Hasan al-Madaini yang dipetik dalam tazkirah,lebih seribu orang wanita hamil…
Tujuh ribu tokoh muslimin dibunuh,sepuluh ribu rakyat Madinah termasuk seribu orang Ansar dan lapan ratus kaum Quraisy dibantai.
Moga-moga Melayu-Islam yang makan bubur ‘Asyura itu teringat betapa Rasul pernah bersabda seperti diriwayatkan oleh Bukhari,Muslim,Ibn al Jauzi dan Imam Hanbali yang: “Barang siapa menakut-nakuti penduduk Madinah dengan kezalimannya,Allah akan membuatnya takut dan baginya laknat Allah,para malaikat dan manusia semuanya.Di hari akhirat kelak,Allah tidak akan menerima amal perbuatannya.”
Tidaklah kita tahu kalau membunuh dan merogol orang di Madinah itu terlepaskah daripada hadis ini melainkan mendapat laknat Tuhan jua.Pada bubur ratapan itu juga kita masukkan kacang kuda,kerana terkenanglah kita yang al-Damiri dalam Hayatul al Hayawan,dan al Mas’udi dalam Muruj al Dzahab,mengatakan Yazid itu amat haiwan khususnya menyayangi monyet peliharaannya,ter masuk anjing-anjing yang diberi minum dengan tangan sendiri sedang keluarga Nabi Muhammad ketika dibantai tanpa belas kasihan di Karbala terbiar kehausan sampai syahid.
Harapan kita setelah orang makan bubur ratapan ‘Asyura itu orang Melayu akan tegas menolak Yazid kerana Yazid adalah pemerintah zalim,dan raja zalim harus disanggah.Kata-kata itu Tuan Guru Nuh Ha Nim yang empunya.Islam tidak membenarkan kezaliman malah Rsulullah dating membawa keadilan.Imam Husin telah mengorbankan dan keluarganya untuk membolehkan kita melihat kezaliman Yazid ini.Harapan kita oleh makan bubur ‘Asyura itu akan ingatlah orang setiap hari adalah ‘Asyura,setiap tempat adalah Karbala,dan setiap Muslim harus ingin menjadi Husin,kalau tidak syahid harus ia menjadi Zainab,adiknya yang meneruskan perlawanan.
P/S: Disiarkan setiap hari Selasa di Harian Metro dalam sisipan Varisi, ruangan Hati… disiarkan sejak 15 Januari 2008.
No comments:
Post a Comment