Pages

Sunday, April 29, 2012

Gurindam Himat Melayu

Bangsa Melayu pernah kuat,
Buka tanah guna tulang empat kerat,
Masih sempat berbini empat,
Tongkat Ali jamu khasiat.

Bangsa Melayu pernah digentar,
Ular, harimau ditepuk tampar,
Kerisnya bisa, silatnya gempar,
Amuk Melayu, bumi bergegar.

Orang Melayu pernah gagah,
Berkaki ayam, hutan diredah,
Pernah cuba diganyang penjajah,
Melayu mengamuk, jihad sabilillah!!

Bangsa Melayu pernah berdaulat,
Terbilang merata, kesultanannya hebat,
Tujuh bangsa penjajah cuba menempat,
Dengan kudrat semua dihambat!!

Bangsa Melayu bangsa keramat,
Nabi (saw) pernah beri amanat,
Buat dakwah, nun di bumi berekat,
Di akhir masa, ramai wali hebat.

Bangsa Melayu bangsa hikmat,
Sejarah Melayu tertera riwayat,
Nabi (saw) pernah beri alamat,
Raja Melaka mendapat hidayat.

Bangsa Melayu tak makan saman,
Agama dijunjung zaman-berzaman,
Wali Melayu penuh kehebatan,
Karamah, barakah, jadi pakaian.

Bangsa Melayu penuh daulah,
Halusi sahaja kisah sejarah,
‘Wa’ad’ Melayu jangan disanggah,
Sanggah wa’ad, mendapat ‘tulah’.

Tanah Melayu pernah berekat,
Raja dan rakyat sentiasa muafakat,
Alim-ulamak mendapat tempat,
Bumi bertuah, terbilang sejagat.

Bumi Melayu pernah berekat,
Tempat tumpuan ulamak sejagat,
Madrasah & pondok merata tempat,
Menjana insan unggul dan hikmat.

Tanah Melayu intinya hebat,
Bumi zuriat Nabi, itulah kudrat,
Kesultanan Melayu hampir padat,
Pancaran Nabi (saw), penuh keramat.

Bumi Melayu pernah terbilang,
Sejarah rajanya penuh gemilang,
Turunan penjajah, entah mana menghilang,
Turunan Raja Melaka, tetap ditatang.

Melayu pernah berilmu dan berbudaya,
Beribu manuskripnya tersimpan merata,
Dikaji selidik sarjana sedunia,
Kalau sangsi, tanyalah Arkib Negara.

Bangsa Melayu halus seninya,
Hayati warisan persuratannya,
Syair seloka sungguh indahnya,
Pertukangan, sulaman, tiada taranya.

Berkurun Melayu junjung agama,
Adat dijaga bersama-sama,
Bangsa Melayu harum namanya,
Rahmat Allah dimana jua.

Bangsa Melayu usah alpa,
Warisan bangsa bukan sehari dua,
Pusaka Melayu enam kurun lamanya,
Menyimpan sejarah nenek moyang kita.

Orang Melayu usah goyah,
Propaganda bohong supaya kita melatah,
Ungkapan ‘Melayu lemah’ semata tohmah,
Strategi musuh menebar fitnah.

Sejarah Melayu sebenarnya hebat,
Namun dicemar Inggeris keparat,
Propaganda bohong itulah hakikat,
Namun Melayu termasuk jerat.

Jatidiri Melayu sebenarnya kuat,
Bangsa Melayu sebenarnya berdaulat,
Silap Melayu membuang adat,
Silap rajanya membuang muafakat.

Bukan baru musibah Melayu,
Telah bermula sekurun nan lalu,
Serangan musuhnya bertalu-talu,
Sehingga bangsa menjadi terkedu.

Melayu mula ditimpa musibah,
Pabila Inggeris datang menjajah,
Adat dibuang, agama disanggah,
Akhirnya Melayu, mendapat ‘tulah’.

Sekian lama Melayu jadi sasaran,
Sejarah, jatidirinya jadi serangan,
Musuh luar dan musuh dalaman,
Mungkinkah tersirat suatu ramalan?

Melayu kini resah gelisah,
Namun jelas hakikat sejarah,
Mungkinkah tersirat, sebalik musibah,
Melayu pencetus kebangkitan ummah?

Ingatlah pesanan junjungan Rasulullah (saw),
Panji hitam dari timur, bumi karamah,
Bangsa Melayu usah menyerah,
Cari kekuatan dari sejarah.

Sejarah Melayu sebenarnya hebat,
Jatidiri Melayu sebenarnya kuat,
Bumi ahlul-bait itulah kudrat,
Umarak ulamak kuncinya terletak!

Laksamana Hang Tuah gagah orangnya,
Berguru, bertarikat, berisi dirinya,
Jangan perlekeh riwayat firasatnya
‘Takkan Melayu hilang didunia’!!

No comments:

Post a Comment