"Siapkanlah untuk memerangi mereka dengan apa saja kekuatan yang kalian mampu dan dari kuda-kuda yang ditambatkan untuk berperang (iaitu persiapan persenjataan yang hebat)(yang dengan persiapan itu) kalian menggentarkan musuh Allah dan musuh kalian serta orang-orang selain mereka yang tidak kalian ketahui sedangkan Allah mengetahuinya" (Al-Anfal:60).
Pages
▼
Friday, March 30, 2012
Kreativiti Melayu dalam senibina rumah
Pengenalan
Rumah merupakan salah satu peralatan budaya yang penting dalam kehidupan sesuatu masyarakat. Rumah Melayu dan pembinaannya menggambarkan satu bentuk budaya bagi orang Melayu yang mendiaminya.
Rumah Melayu tradisional adalah sebahagian warisan seni bina orang Melayu yang sangat bernilai dan telah direka bentuk serta dibina sehingga menampakkan betapa mahir dan kreatifnya bangsa Melayu dalam bidang seni bina.
Reka bentuk tersebut memaparkan kebijaksanaan dalam penggunaan dan keluasan ruang mengikut keperluan semasa, mengadaptasi cuaca dan penggunaan bahan binaan. Rumah tradisional Melayu melambangkan cara hidup dan sikap terbuka orang Melayu itu sendiri.
Secara amnya, rumah ini diperbuat daripada kayu dan bertiang. Dinding diperbuat daripada kayu atauanyaman buluh dan beratapkan rumbia/ nipah atau kayu. Tingkap-tingkap mendominasi tampak dari segenap sudut pandangan rumah dan memberikan pengaliran udara yang secukupnya kepada rumah.
Ruang dalaman mempunyai ruang terbuka yang luas dan mempunyai dinding pemisah yang tersangat minima. Seni bina Melayu adalah kesan daripada pertembungan budaya kaum yang pernah mendominasi rantau ini seperti Bugis, Riau, Jawa, Acheh, Minangkabau, Siam, Cina dan Barat.
Pada peringkat awal, rumah Melayu tradisional berbentuk rumah asas yang dikenali rumah pisang sesikat. Bentuk ini kemudiannya berubah mengikut arus perubahan zaman.
1. Bumbung
Rumah tradisional Melayu terdiri dari bumbung tetap, tetapi berubah kepada bentuk limas atau dipanggil’ Bumbung Belanda’ selepas kedatangan penjajah. Bumbung sentiasa condong untuk kesesuaian cuaca panas tropika. Di sepanjang tepian hujung bumbung, dipasang cucur atap atau papan cantik berukir melambangkan kehalusan seni masyarakat Melayu.
2. Anjung
Anjung merupakan tempat berehat dan berbincang bagi kaum lelaki. Wanita kebiasaannya di dalam dan lelaki di luar sesuai dengan sifat lelaki sebagai pelindung rumah.
Ini menunjukkan masyarakat Melayu amat mementingkan adat dan tatatertib masyarakat, sehinggakan mereka dipandang tinggi kerana kaya dengan kehalusan budi pekerti. Tambahan, ini bertujuan mengelakkan fitnah, di mana tetamu lelaki hanya dipelawa naik hingga ke anjung sahaja.
3. Ruang Utama/Rumah Ibu
Ruang utama ini dipanggil rumah ibu sempena menghormati peranan ibu sebagai pengelola rumah dan penyeri keluarga. Sesuai dengan nama ini, fungsinya adalah sebagai tempat berkumpul ahli keluarga untuk beristirehat dan bersantai bersama-sama.
4. Bilik
Bilik merupakan ruang rahsia tuan rumah dan ahli keluarga. Kebiasaannya anak lelaki dan perempuan akan diasingkan. Ini melambangkan masyarakat Melayu mengamalkan ajaran Islam dalam kehidupan mereka.
5. Dapur
Dibatasi dinding antara ruang utama dengan dapur. Dapur sebagai tempat memasak dan tempat khas untuk tetamu perempuan, menandakan peranan perempuan di belakang lelaki.
6. Ukiran
Seni ukir banyak didapati di tangga, dinding beranda dan papan cucur atap. Ini membuktikan masyarakat Melayu kaya dengan seni tersendiri. Ukiran yang dibuat bukan sahaja sebagai seni perhiasaan, malah menggalakkan pengaliran udara dan cahaya masuk untuk menceriakan rumah.
Pembinaan rumah Melayu dipengaruhi oleh faktor-faktor di bawah;
1. Cuaca
Faktor cuaca memainkan peranan dalam reka bentuk asas bangunan. Kekerapan hujan mengakibatkan reka bentuk atap yang lebih cerun dan bertiang untuk mengelakkan banjir.
Kepanasan cuaca juga menyumbang kepada reka bentuk yang lebih terbuka seperti kehadiran tingkap yang banyak, berandah dan tiang itu sendiri memberi laluan angin di bahagian bawah rumah.
Tidak cukup dengan itu, lubang angin di bahagian atas tingkap dan bumbung juga telah direka untuk keselesaan secara maksima.
2. Sumber Alam
Bahan binaan ialah kayu, rotan, akar, buluh, dan dedaun dari sumber hutan terdekat. Kayu menjadi tunjang kepada struktur bangunan, manakala rotan dan akar menjadi pengikat, kayu atau batang pinang menjadi lantai, buluh dan daun rumbia atau nipah menjadi dinding dan atap.
3. Budaya dan adat resam
Budaya dan adat resam juga memainkan peranan yang besar dalam membentuk seni bina rumah Melayu. Misalnya kehadiran Islam telah mempengaruhi orientasi bangunan mengarah ke kiblat. Definisi ruang juga diatur dan diubah aras mengikut kegunaan adat resam bertandang, kenduri dan aktiviti keluarga.
4. Pengaruh asing
Kehadiran penjajah Barat telah memberi alternatif baru kepada teknik seni bina Melayu. Sebagai contoh, zink dan atap genting telah mengambil alih atap rumbia dan kayu, bata dan simen telah mengambil tempat kayu sebagai tiang, tangga dan dinding, paku menggantikan pasak kayu dan akar sebagai penghubung atau pengikat.
Pengaruh ini boleh dilihat secara positif dan negatif oleh umum, iaitu pertembungan dua unsur iaitu praktikal dan seni.
Kesimpulan
Kreativiti minda bangsa Melayu yang diwarisi oleh tukang-tukang yang mahir telah menghasilkan reka bentuk seni bina yang bukan sahaja indah malahan halus dan kaya dengan falsafah yang tersirat tetapi mudah difahami. Tetapi sayang, tradisi ini tidak lagi dapat bertahan dalam arus pemodenan bangsa Melayu kerana amat sukar mendapati tukang yang mahir dewasa ini.
Sumber: malaysiana, scribd.com dan arkib negara Malaysia.
No comments:
Post a Comment