Pages

Friday, September 9, 2011

ILMU PERANG MELAYU - BAHAGIAN 4




Penggunaan Senjata Api Dalam Hisroriografi Melayu



Salam kepada semua. Jika artikel saya sebelum ini memberikan contoh senjata-senjata api yang digunakan oleh orang Melayu, dalam artikel kali ini kita akan melihat lebih dalam lagi tentang penggunaannya dalam peperangan yang pernah berlaku dalam Alam Melayu. Kita akan mengembara ke zaman kegemilangan Kerajaan Johor Riau dan Kerajaan Melayu Sumatera Timur iaitu Kerajaan Siak yang menjadi saingan baru bagi Belanda. Konflik diantara Siak dan Belanda ini ada tertulis di dalam manuskrip lama Syair Perang Siak. Syair ini penuh dengan maklumat yang dapat mengesahkan penggunaan senjata api dalam peperangan oleh masyarakat Melayu.


Banyak sumber-sumber bertulis lama sama ada dari sumber tempatan ataupun sumber luar negara yang menunjukkan bahawa terdapatnya penggunaan Meriam oleh orang-orang Melayu di kepulauan Melayu ini dalam sesebuah peperangan. Jika dilihat dalam hikayat-hikayat lama yang banyak dikaji sebagai sumber persejarahan masyarakat Melayu pada zaman dahulu seperti hikayat siak, syair perang siak dan Tuhfat Al Nahfis serta Sejarah Melayu, maka akan kita dapati bahawa terdapatnya beberapa peristiwa di dalamnya yang menceritakan mengenai penggunaan senjata api dalam peperangan. Sebagai contohnya dapat kita lihat dalam Syair Perang Siak:



Beratir berlabuh sekaliannya rata,


Apilan berdinding seperti kota,


Dengan wolanda berpandangan mata,


Mengisi Meriam sekalian rata.



Rangkap syair ini jelas menyatakan penggunaan senjata api dalam peperangan yang berlaku. Rangkap ini sebenarnya adalah daripada bahagian syair di mana berlakunya peperangan sengit di antara kerajaan siak yang dipimpin oleh Sultan Ismail dengan pasukan tentera Belanda dari tahun 1760-1761. Malahan sebahagian besar daripada beberapa bab dalam naskhah Syair perang siak ada menceritakan mengenai cara bagaimana orang-orang Melayu siak berperang pada zaman dahulu. Syair ini bukan sahaja menyentuh mengenai penggunaan senjata api tetapi juga mengenai susunan askar, taktik, strategi, kelengkapan perang, malahan pembahagian tugasan kepada para panglima atau kakap.



Masih dalam bab mengenai Raja Ismail, kita akan dapat mengetahui bagaimana masyarakat Melayu dahulu kala atau kerajaan Melayu Siak dalam hal ini bertindak balas apabila mendapat tahu bahawa Belanda akan menyerangnya. Dalam syair ini ada diceritakan mengenai segala persiapan-persiapan yang perlu dilakukan oleh mereka sebelum berangkat ke medan perang atau menunggu serangan. Penggunaan senjata api amat jelas diterangkan dengan banyak sekali dalam syair ini. Antara rangkap yang menyebut mengenai penggunaan senjata api dalam perang ini ada Siak dengan Belanda adalah rangkap 283 hingga rangkap 285:

Beberapa buah kubu seberang menyeberang,


Kukuhnya bukan sebarang-barang,


Dengan balai mandat diperbuat orang,


Diaturnya Meriam bagai dikarang.






Diaturnya Meriam sekalian dibidik,


Menghadap ke hilir menanti mudik.


Sekalian hamba yang dididik


Sungguhpun faham belum cerdik.






Diperbuatnya bangun-bangun terlalu tinggi,


Diaturnya Meriam segenap segi,


Lela rentaka ditambahi lagi,


Supaya jangan bercinta pergi.



Dalam rangkap-rangkap yang tertera di atas ini menjelaskan terdapat beberapa jenis senjata api iaitu Meriam, Lela, dan rentaka. Rangkap ini turut menggambarkan bahawa masyarakat Melayu Siak pada zaman itu yakni sekitar tahun 1764-1765, telah pun mempunyai ilmu peperangan menggunakan senjata api yang pelbagai dan mantap seperti mana kerajaan-kerajaan Melayu yang lain dalam sejarah sejak kesultanan Melayu Melaka lagi. Tidak mustahil kemahiran menggunakan senjata api dan pembuatannya diwarisi kerajaan siak daripada kesultanan Melayu Melaka sendiri kerana kesultanan siak, selain Johor adalah penyambung waris kepada kesultanan Melaka itu sendiri jika mengikut hikayat ini.



Gambaran yang diberikan syair ini turut membuktikan bahawa kerajaan Melayu dahulu sememangnya mempunyai simpanan senjata api berupa Meriam yang amat banyak sekali. Ini bertepatan dengan catatan Portugis yang mengatakan bahawa sewaktu menawan Melaka mereka berjaya merampas lebih daripada lapan ribu pucuk senjata api. Selain daripada senjata-senjata api yang mempunyai kaliber besar seperti Meriam, Lela dan rentaka, melalui naskhah syair perang siak ini juga kita akan mendapati bahawa masyarakat Melayu pada zaman itu turut menggunakan senjata api yang lain seperti istinggar dan Pemuras. Catatan mengenai penggunaan istinggar ada disebut dalam rangkap 401 syair ini:

Tujuh buah kapal melanggar,


Di haluan kapal seperti pagar,


Bahana sorak seperti tagar,


Menembakkan Meriam dengan istinggar.






Dalam rangkap yang ke 434 pula ada disebutkan mengenai penggunaan Pemuras sebagai senjata perang:


Hulubalang siak terlalu keras,


Menembakkan Meriam rentaka Pemuras,


Pasang pun tidak berapa deras, tampaklah jalan terang laras.




Istinggar sebenarnya adalah sejenis senjata api tangan yang jarang-jarang digunakan oleh orang Melayu. Namun orang Portugis semasa menawan Melaka turut menyatakan bahawa istinggar termasuk salah satu jenis senjata yang dirampas. Oleh itu senjata ini sebenarnya telah lama dikenali masyarakat Melayu dan berkemungkinan diperkenalkan oleh para saudagar dari timur tengah atau Turki. Istinggar dalam bahasa Inggeris boleh dikelaskan sebagai sejenis matchlock musket, manakala Pemuras pula adalah Blunderbusses. Berbanding dengan istinggar, penggunaan Blunderbusses atau Pemuras lebih meluas di kalangan orang Melayu. Hal ini kerana ianya lebih senang untuk dibuat dan juga senang untuk digunakan lagi. Peristiwa sejarah yang menandakan bahawa terdapatnya penggunaan senjata api ialah peristiwa peperangan di antara orang Minangkabau dengan orang Bugis di kedah. Peperangan ini berlaku akibat daripada perebutan takhta di antara putera sultan kedah pada awal abad ke 18. Menurut hikayat siak, orang Minangkabau telah berjaya mengalahkan orang Bugis dan Daeng Perani telah berjaya dibunuh dengan ditembak mati oleh raja kecil sendiri. Dalam tuhfat Al Nahfis oleh raja Ali haji pula ada dinyatakan bahawa daeng perani hanya tertembak sahaja dengan peluru Meriam di dadanya.



Manakala dalam kitab salasilah Melayu dan Bugis pula dinyatakan bahawa sebenarnya daeng perani telah ditembak secara pukul curi iaitu dengan menembak perahu kenaikan daeng perani dari beranda kapal raja kecil. Walaupun kedua-dua teks ini nampaknya bias dengan kaum masing-masing iaitu satunya Bugis-Centric dan satu lagi ialah Minang-Centric tetapi apa yang penting dalam dua penulisan ini ialah adanya kenyataan yang menyebut tentang penggunaan senjata api berupa Meriam. Pengisahan melalui karya ini menyebut bahawa Meriam ini ditembak dari serambi kapal juga dapat membuktikan bahawa Meriam yang digunakan sudah pasti sebuah Meriam yang ringan dan mudah untuk diangkat.



Hal ini kerana jika menggunakan Meriam barat yang terkenal besar dan berat itu sudah pasti akan menyebabkan kerosakan pada belebas kapal tersebut akibat daripada dentumannya atau disebabkan keberatannya. Dapat dikatakan bahawa Meriam tersebut berkemungkinan besar adalah dari jenis buatan Melayu seperti Lela atau rentaka yang ringan dan diketahui sememangnya boleh diangkut dengan mudah dan dapat dipacakkan di belebas kapal mahupun di belebas anjungan rumah kerana sememangnya pembuatan Meriam Lela atau rentaka adalah bertujuan untuk digunakan di tempat-tempat sebegini. Penggunaan Lela dalam peperangan ini sebenarnya menjadi bukti yang jelas bahawa ilmu peperangan orang Melayu pada beberapa abad yang lepas sebenarnya hampir menyamai tahap ketinggian teknologi dan sofistikasi ilmu ketenteraan bangsa-bangsa lain terutamanya barat.



Tambahan lagi, catatan daripada penjajah Belanda ada menyatakan tentang keberadaan Meriam-meriam Melayu di sekitar dua buah kota di kuala Selangor iaitu di kota Alstenburgh dan kota Utretch. Dikatakan bahawa terdapat beberapa buah Meriam-meriam yang besar di Kota Alstenburgh. Meriam-meriam yang terdapat di kota tersebut telah diposisikan dengan baik untuk mempertahankan kota tersebut daripada arah sungai atau daripada arah jalan masuk kota. Ketika tentera Belanda sampai di kota tersebut, mereka telah menemui sembilan pucuk Meriam yang boleh membidikkan peluru-peluru seberat enam hingga lapan paun.



Di bahagian utara Sungai Selangor pula, berdekatan dengan kota-kota tersebut terdapat juga beberapa pucuk Meriam. Dalam waktu peperangan berlangsung, orang-orang Melayu telah mempertahankan kubu tersebut lebih lama dan lebih bersungguh-sungguh daripada kota dan kubu lain. Mereka dikatakan bertahan dengan pimpinan seorang Arab bernama Syed Japhar. Meriam-meriam yang terdapat di kubu ini telah diambil oleh Belanda dan diperbaiki mereka. Menurut keterangan seorang pegawai tentera Belanda Dirk Van Hogendorp, pihak Belanda telah berjaya merampas 68 pucuk Meriam di Kota dan kubu yang terdapat di sekitar Kuala Selangor.



Serangan Armada Portugis ke atas Melaka pada tahun 1511 sebenarnya telah menambahkan lagi kepentingan senjata Meriam dalam strategi pertahanan negeri-negeri di alam Melayu ini. Apabila Alfonso de Albuquerque berjaya menawan Melaka, beliau telah merampas sejumlah besar senjata termasuk Meriam. Beliau berasa amat kagum dengan bilangan dan jenis Meriam yang terdapat di sana. Ini termasuklah sebuah Meriam tembaga besar kepunyaan Sultan Mahmud Shah yang kemudiannya di bawa ke India untuk dipersembahkan sebagai hadiah kepada Sultan Zamorin (Samuri), Kalikat, India. Berdasarkan sumber-sumber Portugis, catatan Canstanheda, Joao de Barros pada tahun 1562 dan Alfonso de Albuquerque pada tahun 1576 bahawa penduduk Melaka mempertahankannya kota mereka dengan menggunakan Meriam dan senjata api yang lain. Pihak Portugis menganggarkan kesemua senjata pertahanan Melaka berjumlah antara 2000-3000 pucuk dan semuanya telah berjaya dirampas.




Dalam serangan pertama, menurut R. O. Winstedt sebanyak 50 pucuk Meriam telah dirampas tetapi Castenheda mencatatkan bahawa sebanyak 78 pucuk Meriam berjaya dirampas semasa meletusnya pertempuran di jambatan bandar Melaka. Jelas sarjana Barat ini, kebanyakan senjata Melayu yang dirampas terbahagi kepada dua jenis iaitu besar kemungkinannya dari jenis Lela dan rentaka. Ini termasuklah rampasan sebuah Meriam tembaga besar milik Sultan Mahmud Shah yang kemudiannya dijadikan hadiah kepada, Kalikat. Malah kekuatan Meriam-meriam pertahanan Melaka diakui sendiri oleh Alfonso de Albuquerque sebagai setanding dengan senjata Meriam buatan Jerman. Kekalahan Melaka ini menyebabkan orang-orang Melayu di bawah pimpinan Sultan Mahmud Shah berundur di samping cuba memberikan tentangan hebat beberapa kali dan berkubu di beberapa buah tempat.



Akhirnya baginda berundur ke Pulau Bentan dengan saki baki senjata yang ada lalu mendirikan Kota Kara yang dilengkapi beberapa pucuk Meriam. Walau bagaimanapun, pada 23 Oktober 1526 Masihi, angkatan perang Portugis menyerang dan membinasakan Kota Kara. Sultan Melaka terakhir ini terpaksa berundur ke Kampar, Sumatera dan pada tahun 1528 Masihi, baginda mangkat setelah berjuang untuk merampas kembali kedaulatan Kerajaan Melayu Melaka. Serangan bedilan-bedilan Meriam Armada Portugis itulah telah memulakan pertapakan pertama penjajahan kuasa Barat di Semenanjung khususnya di Nusantara ini amnya. Daripada catatan Castenheda dan Winstedt, sebelum kemunculan Portugis terbukti orang-orang Melayu Melaka sudah pun tahu menggunakan Meriam. Hikayat Hang Tuah telah menguatkan lagi bukti ini. Sumber tersebut menceritakan tentang persenjataan Melayu sebelum kejatuhan Melaka. Semasa pemerintahan Sultan Mansur Shah (1456-1477), Laksamana Hang Tuah telah dititahkan oleh baginda sultan pergi ke negeri Turki yang disebut Rom untuk membeli bedil-bedil besar sebagai senjata pertahanan negeri Melaka. Semasa menghadap Khalifah Islam Kerajaan Turki Uthmaniyyah, sembah laksamana



“Daulat Tuanku Shah Alam, suatu pun tiada yang lain maksud patik itu, hanyalah hendak menghambakan diri patik itu, serta memohon derma kurnia ke bawah duli Shah Alam, bedil yang besar yang dapat dibawa oleh patik sekalian, kerana senjata besar di negeri Melaka itu adalah kekurangan”. 



Hikayat ini menyatakan bahawa Hang Tuah telah dibawa pada keesokan harinya untuk pergi ke gedung tempat menyimpan senjata api. Menurutnya, bedil yang terdapat di situ adalah bertimbun-timbun dan berbagai-bagai buatannya dan jenisnya dari kecil hinggalah besar, dan ada yang besi ada yang tembaga. Hang Tuah dikatakan telah membeli sebanyak 800 pucuk bedil di Turki dan beliau juga telah singgah di Mesir dan membeli 120 buah lagi Meriam atau bedil. Dengan jumlah 920 buah Meriam atau bedil maka Hang Tuah dikatakan telah memperlengkapkan lagi persenjataan negeri Melaka. 



Kenyataan dalam Hikayat Hang Tuah ini dapat mengesahkan lagi mengenai catatan Portugis semasa penyerangan tentera itu terhadap kota Melaka. Laporan Alfonso de Alburquerqeu yang menyatakan bahawa Melaka mempunyai lebih daripada 3000 pucuk Meriam besar menjadi lebih berasas dan nyata. Berkemungkinan besar sebahagian daripada senjata yang dibawa balik oleh Hang Tuah daripada Turki dan Mesir termasuk dalam senjata-senjata api yang berjaya dirampas oleh pihak Portugis setelah kota Melaka jatuh ke tangan mereka. Apabila Belanda berjaya menguasai Melaka pada tahun 1640, mereka turut menemukan sebuah Meriam gergasi yang berkemungkinan besar adalah salah satu daripada 16 buah Meriam yang dirampas dari kerajaan johor dalam peperangan yang berlaku di antara johor dan Portugis pada tahun 1608. Meriam ini dikatakan dapat menembak peluru seberat 9 kilogram. Namun demikian sebenarnya kebanyakan Meriam-meriam raksasa atau gergasi yang terdapat di seluruh Asia Tenggara dan alam Melayu sebenarnya lebih dijadikan sebagai simbol status atau kekuasaan sesebuah kerajaan ataupun memberikan impak psikologi kepada para tentera kerajaan tersebut dengan menimbulkan rasa selamat dan bangga kerana mempunyai Meriam hebat yang dapat mempertahankan mereka.



Selain itu Meriam ini juga digunakan bagi menimbulkan rasa gerun atau takut kepada musuh yang melihat atau mendengar dentumannya. Ini adalah salah satu daripada taktik peperangan yang dimainkan oleh orang Melayu ketika itu. Namun ini tidak bermakna Meriam ini tidak berfungsi untuk menembak dan memusnahkan, cuma dari segi praktikal Meriam yang maha besar sebegini kebiasaannya adalah amat sukar untuk dibawa ke mana-mana malahan adalah agak mustahil untuk digunakan bagi membedil kubu atau kota musuh yang terletak berbatu-batu jauhnya ditambah lagi dengan keadaan bentuk muka bumi kerajaan-kerajaan di Nusantara ini yang berbukit bukau dan hutan tebal. Oleh itu Meriam ini kebiasaannya akan digunakan untuk mempertahankan ibu kota tempat raja bersemayam, dan apabila sesebuah kota itu jatuh ke tangan musuh kesemua Meriam yang besar dan berat ini akan ditinggalkan begitu sahaja.



Meriam yang besar ini juga amat sukar untuk diangkut ke dalam kapal, sebagai contohnya di dalam hikayat Pattani ada mengatakan bahawa setelah Pattani berjaya ditawan oleh Siam ketiga-tiga buah Meriam besar lambang kehebatan kerajaan Pattani telah dirampas Siam dan hendak dibawa ke Bangkok. Namun demikian hanya dua pucuk yang dapat dibawa kerana sebuah lagi Meriam gergasi telah terjatuh ke dalam laut ketika proses mengangkatnya. Hal ini menunjukkan bahawa Meriam tersebut amat besar dan berat sehingga tidak dapat ditanggung oleh kapal yang hendak membawanya.



Semasa Kerajaan Aceh di bawah pemerintahan Sultan Alauddin Riayat Shah III (1597-1616) pula, tentera Aceh telah mendapat latihan kepakaran membuat dan menggunakan Meriam dengan bantuan daripada Kerajaan Islam Turki Uthmaniyyah. Semasa John Davis melawat Aceh menjelang akhir abad ke-16 Masihi, beliau menceritakan bahawa Sultan Aceh ketika itu menyimpan banyak Meriam-meriam tembaga yang ditempatkan di atas tanah. Kenyataan yang sama telah disahkan oleh James Lancester yang berada di Aceh pada tahun 1602 Masihi. Menurutnya, Kerajaan Aceh menyimpan banyak Meriam-Meriam tembaga dan ia tersangat penting sebagai senjata pertahanan.



Raja-raja Makasar pula turut berusaha mendapatkan bekalan bedil-bedil buatan Eropah untuk dijadikan senjata bagi menjaga keselamatan orang-orang Bugis. Misalnya pada tahun 1638 Masihi, pihak berkuasa Portugis di Goa, India telah meminta keizinan Raja Portugal mengenai permintaan Raja Makasar untuk membeli Meriam. Baginda meminta kebenaran menempah beberapa pucuk Meriam tembaga yang dibuat di Macao serta menyatakan kesanggupan untuk membayarnya. Menurutnya lagi, pembelian ini adalah semata-mata bertujuan mempertahankan kedaulatan negaranya daripada ancaman musuh. Jelas baginda, pihak Belanda telah pun menyatakan kesediaan mereka menyumbang perkhidmatan dan mengajar cara-cara menggunakan senjata berkenaan.



Yang pasti pada tahun 1667 Masihi, apabila meletusnya peperangan antara orang-orang Bugis dengan Belanda yang dipimpin oleh Cornelis Speelmen, senjata Meriam turut digunakan seperti yang diabadikan dalam Syair Perang Makasar. Tambahan lagi keadaan politik dan kegiatan perdagangan rempah di Kepulauan Melayu pada ketika itu memerlukan penggunaan senjata Meriam untuk dijadikan sebagai cagaran atau bahan pertukaran dalam urusan-urusan ini, terutamanya di kalangan pemerintah. Para pedagang Eropah pula memerlukan bahan-bahan mentah sementara raja-raja Melayu tempatan memerlukan Meriam dan senjata api yang lain yang dianggap canggih pada zaman itu. Kebanyakan Meriam-Meriam buatan Barat yang jatuh ke tangan raja-raja Melayu tempatan pada zaman dahulu adalah sama ada ianya sebagai pemberian hadiah oleh pihak tertentu, rampasan perang ataupun daripada kapal-kapal yang karam di kawasan perairan mereka.


Dalam penggunaan senjata api lain selain Meriam, seperti istinggar dan Pemuras pula, catatan mengenainya pada kurun ke 15 hingga kurun ke 17 adalah amat kurang. Hal ini kerana menurut kebanyakan pengkaji, senjata ini yang dapat disamakan dengan flintlock dan musket hanya dicipta oleh orang-orang barat pada abad ke 17 yang kemudiannya diperkenalkan ke Alam Melayu oleh para penjajah Portugis dan Sepanyol. Namun demikian orang Melayu dari abad-abad yang lebih lewat seperti abad ke 17 dan 18 sememangnya terbukti mengetahui pembuatan dan penggunaan senjata seperti Istinggar dan Pemuras. Hal ini telah disebut dengan jelas dalam Syair Perang Siak seperti yang telah saya terangkan di peringkat awal tadi.


Dalam Sejarah Melayu ada suatu peristiwa pertempuran yang menggambarkan penggunaan senjata istinggar oleh orang-orang Melayu. Peristiwa ini adalah ketika Temenggung Seri Udani mempertahankan Kota Kara, kopak, Pulau Bintan dari serangan pihak Portugis seperti berikut:



“Hatta maka peringgi pun masuklah. Setelah berpandangan, maka berperanglah temenggung seri udani dengan peringgi, terlalu azamat bertembak-tembakan, bunyi Meriam seperti halilintar membelah, bunyi pelurunya seperti kumbang dijolok, maka yang mati pun terlalu banyak sebelah menyebelah. Sehari semalam lamanya perang itu, maka ubat bedil pun habis, maka seri udani menyuruh memohonkannya ubat bedil serta bantu. Maka disuruh beri ubat bedil sehabis-habisnya, hanya empat tempayan, dan Tun Sura diraja dan Tun indera segara, dititahkan sultan Mahmud Shah membantu temenggung seri udani. Maka temenggung seri udani pun perang lah semalam-malaman itu, setelah dinihari air pun penuh pasang dalam, maka peringgi pun mudiklah menyongsong, dikepilkannya segala perahunya di kota kara, maka dibedilnya dengan istinggar, bunyi pelurunya seperti kacang jatuh ke bidai. Maka tiadalah terderita oleh sekalian orang yang di kota kara itu, habis berhamburan ke air, mana yang sempat lari, mudik berperahu, melainkan yang tinggal temenggung seri udani, dan sang jaya dan sang lela segara, dan sang lela, mereka itulah yang bersama-sama temenggung beramuk dengan peringgi, banyak ia membunuh peringgi. Maka temenggung seri udani pun matilah kena bedil pengatu, dan pegawai empat orang itu pun mati, maka kota kara pun alahlah maka peringgi pun mudiklah membedil negeri kopak. 




Namun senjata api yang dikatakan sebagai Muskets atau istinggar yang digunakan di Zaman Melaka ini berkemungkinan besar bukanlah serupa seperti Muskets yang digunakan oleh orang Sepanyol dan Belanda dalam kurun-kurun yang lebih lewat. Senjata ini mungkin boleh disamakan dengan sejenis senjata awal Eropah yang dinamakan sebagai serpentin atau boleh diertikan sebagai sebuah tiub dari logam yang panjang atau pendek dan dipasangkan pada kayu atau buluh sebagai pemegangnya. Setelah kedatangan Portugis ke Asia Tenggara barulah Matchlock Gun atau Istinggar dalam erti kata yang sebenar mula digunakan dan ianya tetap digunakan oleh tentera kerajaan-kerajaan Melayu sehinggalah penghujung abad ke 17 di mana apabila sejenis senjata api yang lebih baik pembuatannya dari belanda iaitu Flintlock Muskets atau schnapp-hahn (senapang) mula diperkenalkan.





Penggunaan Senapang juga turut disebut dalam Syair Perang Siak, seiring dengan penggunaan Istinggar dan Pemuras. Senjata Pemuras pula sebenarnya adalah sedikit berbeza daripada istinggar. Kebiasaannya ia tidaklah sepanjang istinggar dan tidak mencapai dua meter. Apa yang membezakan istinggar dengan Pemuras adalah muncung laras Pemuras adalah lebih besar dan berbentuk seperti bunga kecubung atau trompet. Dalam bahasa Inggeris senjata ini lebih dikenali dengan nama Blunderbuss yang bermakna bunyi guruh. Senjata ini digunakan dalam pertempuran jarak dekat dan menggunakan peluru tabur atau Grape Shot yang mana akan memberikan kesan terhadap ramai musuh dalam sekali tembakan. Ianya amat popular di kalangan lanun terutamanya orang Bugis. Selain Pemuras , satu lagi senjata api barat yang digunakan oleh orang Melayu adalah Tarkul atau Terakol. Terkul sebenarnya adalah prototaip awal kepada pistol yang wujud pada beberapa kemudiannya dalam kuruh ke 19. Penggunaan Pemuras dan tarkul dalam masyarakat Melayu ada di kisahkan oleh raja Ali Haji dalam Tuhfat Al Nafis.



Selain daripada alatan persenjataan seperti senjata pendek dan juga senjata api, pasukan tentera Melayu yang pergi ke medan perang juga kebiasaannya di lengkapi dengan perisai tangan dan baju perisai atau baju zirah. Namun demikian, hanya golongan tertentu seperti bangsawan dan panglima-panglima utama sahaja yang mempunyai kelebihan untuk memakai baju perisai tersebut. Manakala rakyat biasa pula akan menggunakan perisai yang diperbuat daripada anyaman rotan berlapis-lapis yang dilapikkan sebahagian daripada permukaannya dengan besi atau tembaga nipis. Ianya berbentuk bulat dan tidak terlalu besar namun ada juga yang lebih kecil buatannya untuk memudahkan penggunaannya. Perisai ini digunakan untuk menahan serangan daripada tetakan parang atau perang dalam jarak yang dekat.





Baju zirah pula sebenarnya lebih banyak digunakan oleh pahlawan Bugis dan Sulu. Baju zirah ini diperbuat daripada tanduk kerbau yang diasah dan digilap kemudian dijalin sama ada dengan rotan, tali atau besi untuk membentuk baju perisai. Kekuatan tandu kerbau memang terbukti berkesan untuk menahan serangan panah dan tetakan parang yang tidak begitu kuat. Selain daripada tanduk kerbau ada juga baju zirah yang diperbuat daripada kepingan besi keseluruhannya terutama bagi yang dipakai oleh orang-orang Sulu dan Mendanau.





Dalam karya-karya prosa klasik dan historiografi Melayu lama contohnya Tuhfat Al Nafis, ada menyatakan tentang penggunaan baju perisai yang dinamakan sebagai Baju Rantai. Baju rantai ini pula sebenarnya telah mendapat pengaruh daripada baju rantai India dan juga Timur Tengah. Dalam karya tersebut dikatakan bahawa Baju Rantai ini telah digunakan oleh panglima-panglima raja yang ditugaskan untuk beramuk dan membunuh Sultan Pahang atas arahan Sultan Siak. Dalam bahasa Inggeris Baju Rantai ini dipanggil sebagai Chainmail.

Baju Zirah Moro


Nyatalah bahawa walaupun pengkajian ini hanyalah sebuah tinjauan asas, namun ia sudah memberikan satu gambaran positif mengenai keintelektualan bangsa Melayu itu sendiri. Kecenderungan orientalis-orientalis barat untuk merendah-rendahkan keintelektualan bangsa ini nampaknya berjaya apabila ramai dari kalangan anak muda bangsa Melayu sekarang yang mengalami inferiority complex atau gejala kurang kepercayaan terhadap kebolehan bangsa mereka sendiri. Hasilnya ialah, apabila diajukan persoalan mengenai kehebatan bangsa Melayu khususnya dalam ilmu militer, mereka membuat andaian bahawa bangsa Melayu hanya berperang menggunakan Keris, parang dan tombak semata-mata. Fenomena inilah yang ingin cuba diubah saya melalui penulisan ini. Ianya menjadi sesuatu yang lebih penting apabila fenomena yang sama menyelubungi diri saya sendiri beberapa waktu dahulu. Sekian wallah hu a'lam




sumber:

No comments:

Post a Comment