Pages

Saturday, September 10, 2011

Analisa punca kejatuhan MELAYU


Diambil dari blog:
http://berandamadina.wordpress.com/2010/04/25/ilmu-tongkat-dan-pedang-orang-melayu-ws-ilmu-perang-siam-krabi-krabong/

Penglibatan saya dalam bidang ini bermula dari suasana yang saya lihat dalam proses membesar seawal 6 tahun lagi, saya dengan teman sepermainan amat tertarik dengan latihan abang dan rakan-rakannya, dari situlah timbulnya minat terhadap satu dari ilmu melayu ini yaitu seni tongkat dan pedang.

Dalam dunia seni beladiri dan persilatan kita melihat setiap bangsa berbangga dengan ilmu tongkat dan pedang masing -masing disamping ilmu senjata yang lain, bangsa siam (musuh tradisi orang melayu di utara Semenanjung Tanah Melayu khususnya Melayu Patani-Kelantan) berbangga dengan ilmu krabi krabong mereka, disamping di haruskan menguasai tinju siam, para pemuda mereka dilatih dari kecil dengan ilmu krabi krabong (tongkat dan pedang), untuk persediaan peperangan, sehingga sejarah bangsa mereka amat membanggakan, bermula dari satu suku asli di pergunungan selatan China mereka berubah menjadi suatu kaum yang amat digeruni kawan maupun lawan, dalam proses perluasan tanah jajahan ,mereka telah menakluki dan merampas tanah milik suku Khmer dan Cham di Timur mereka, tanah milik suku Burma dan Shan di barat, kemudian mereka beralih ke sebelah selatan menakluki tanah milik suku bangsa Melayu.

Bermulalah sejarah hitam suku bangsa Melayu yang hilang satu demi satu tanah air mereka di sebelah utara Semenanjung Melayu, maka lahirlah negeri baru yang bernama Chaiya, Nakhon, Puket, Kra, Satun, Pattani di atas kejatuhan negeri Melayu Cahaya, Legor, Bukit, Segenting Kera, Sentul, Patani dan lain-lain, persoalannya adakah ilmu perang orang Melayu amat lemah berbanding ilmu perang bangsa Siam?, jawapannya tentulah tidak, ini kerana sehebat manapun sesuatu seni perang sesuatu bangsa ia tidak akan menjamin kemenangan dalam peperangan jika:

1-Berpecah-belah
2-Strategi yang tak berkesan
3-Wujudnya pengkhianat bangsa
4-Hubungan diplomatik yang lemah berbanding lawan
5-Sikap semulajadi
6-Hilang semangat cintakan tanah air
7-Luputnya semangat jihad dalam diri Muslim

Kenapa bangsa Melayu dijajah?, faktor pertamanya ialah sosial politik mereka dalam keadaan berpecah-belah, kita melihat berbanding bangsa Siam di utara yang bersatu,suku Melayu di selatan seolah-olah lebih suka mendirikan kerajaan masing-masing yang yang mempunyai Raja masing-masing, daerah pemerintahan masing-masing, mata wang masing-masing, dan tentera masing-masing yang kadang kala saling memerangi antara satu sama lain, ketika adanya kerajaan Legor, ada pula kerajaan Senggora, Cahaya, Patani, Sentul, Bukit, Patani, Kelantan, Kedah dan sebagainya dan ini berbeza ketika seluruh kerajaan melayu di Nusantara bergabung dalam persekutuan Srivijaya.

Dalam menghadapi musuh, strategi yang berkesan juga punya peranan yang amat penting, ini kerana sehebat manapun ilmu perang sesuatu bangsa kalau tidak dengan strategi yang berkesan maka kekalahan mungkin menimpa mereka, dan strategi ini mempunyai hubungan rapat dengan kebijaksanaan para hulubalang dan pembesar istana, dan kebijaksanaan para pembesar dan hulubalang istana berkait rapat dengan kebijaksanaan Raja selaku pemerintah memilih pembesar Istana.

Faktor pengkhianatan dari para pembesar Istana dilihat antara faktor yang meruntuhkan kerajaan melayu Melaka dan Patani yang dahulunya merupakan antara kerajaan melayu yang hebat terbilang dan gemilang tetapi jatuh disebabkan pengkhianatan dari para pembesarnya yang menjadi musuh dalam selimut, dan ini berpunca dari beberapa punca antaranya korupsi dalam pemerintahan, dan Raja selaku pemerintah gagal mengawal tindak-tanduk para pembesarnya dalam menjalankan urusan pemerintahan sehingga urusan memungut cukai kadang-kala berada dalam tangan pegawai yang berkenaan tanpa kawalan, amalan rasuah dikalangan pegawai kerajaan dan ini tentunya disebabkan lemahnya Raja selaku pemerintah mengawal para pembesar dan suka berfoya-foya, dan akhirnya menyebabkan dua kuasa besar Melayu ini tertimpa malang dalam catatan sejarah.

Di awal kejatuhan dua kuasa besar Melayu ini, antara lain penyebabnya ialah lemahnya hubungan diplomatik kerajaan Melayu dengan kuasa besar dunia pada masa itu berbanding kuasa lawan yang amat licik dan bijak berdiplomasi, cuma renungkan sejarah bangsa Siam misalnya, mereka merupakan bangsa penjajah yang satu satunya tidak pernah dijajah bangsa lain di asia tenggara dan ini tentunya berasal dari kebijakan mereka dalam berdiplomasi yang tidak ada pada bangsa Melayu.

Sikap semulajadi orang Melayu antara faktor penyebab terjajahnya bangsa ini oleh beberapa kuasa besar, cuba kita lihat pada beberapa sikap yang ada pada bangsa kita yang menyebabkan kita lemah,antaranya ialah , tamak haloba sehingga menyebabkan sanggup menjual negeri, lupakah kita dengan kisah raja Melayu dahulu kala mempertaruhkan sebahagian Negerinya dalam laga lembu dan sabung ayam?, ini tentunya berawal dari sifat tamak haloba, dengi mendengki- disebabkan sifat inilah terjadinya pembunuhan budak pintar di Singapura dalam kisah Singapura dilanggar todak, cemburu- disebabkan sifat ini terjadinya pembunuhan terhadap alim ulama pendakwah oleh Raja Singapura sehingga tanah Singapura dilanda bala demi bala, malas-berbanding bangsa lain bangsa Melayu adalah antara yang malas bekerja, dan ini antara penyumbang kepada penguasaan bangsa Penjajah ke atas bangsa Melayu, menjatuhkan satu sama lain-inilah antara sifat yang keji bangsa ini, sikap tidak suka sebangsa dengannya maju kedepan dan ini antara kelemahan yang menyebabkan campurtangan bangsa asing terhadap bangsa Melayu zaman berzaman, sikap membiarkan bangsa lain mengambil betis kemudian paha, ini antara penyebab besar hilang penguasaan terhadap tanah air bangsa Melayu sedikit demi sedikit.

Hilangnya semangat cintakan tanah air, ini berawalan dari malas berusaha, cintakan harta dan takutkan mati sehingga menyebabkan maruah diri bangsa dan negara tergadai.
Hilangnya semangat Jihad dan diri Melayu Muslim antara penyebab terjajah bangsa Melayu dari dahulu lagi dan ini tentunya berawalan dari salahnya didikan yang diberikan ibu-bapa yang tidak menitik beratkan pendidikan agama, kalaupun anak-anak diberikan pendidikan itu hanya bekerja dengan Raja menjadi matlamat ibu-bapa.

Saya melihat faktor-faktor inilah yang menjadi penyebab jatuhnya beberapa kerajaan Melayu yang pernah gemilang dan terbilang pada mata sejarah dunia, bukan kerana ilmu perang dan beladiri bangsa ini tidak hebat, tapi kerana beberapa faktor yang telah saya sebutkan tadi, suka saya katakan, saya pernah melihat dan merasai ilmu “memetik bintang” dalam seni tempur bangsa Melayu, amat halusnya ilmu bangsa Melayu si lawan hampir tidak menyedari senjatanya telah beralih tangan, saya pernah mendengar dari orang tua saya ilmu orang melayu seperti ibu gayong dan gayuman yang melantunkan tubuh sehingga pucuk kelapa, ilmu baca gerak walaupun mata di ikat atau dalam gelap tapi masih dapat mempertahankan diri ketika diserang, hikmat kota tauhid yang menjauhkan lawan sehingga sepermandangan mata walaupun musuh mengejar dan pengamalnya hanya berjalan kaki, ilmu “yasin tunggal” yang meramaikan bilangan pada pandangan musuh, ilmu selempang merah yang amat masyhur dalam sejarah negeri Johor, saya bukan maukan anda mencari kehebatan dunia, bergantung pada penilaian anda sendiri, tapi saya ingatkan jika anda tidak ikut serta dalam mempertahankan ilmu orang tua anda jangan pula anda yang menjadi barah dalam daging bangsa anda sediri, perlu anda ketahui sebagai ringkasannya jatuh bangun bangsa ini adalah pada diri anda yang bernama “MELAYU”, dan bukannya terletak pada musuh anda yang sentiasa mengintai celah, akhirnya tepuk dada tanya keyakinan anda.

No comments:

Post a Comment