ADAT & ADAB
Oleh AZLAN GHANIE
Dalam silat ada adat dan adabnya, dan ia melambangkan budaya adab tradisi sesebuah bangsa yang bertamadun.
Adat membawa erti ‘cara’ atau ‘kebiasaannya’ manakala adab pula melambangkan ‘perbuatan’ atau ‘disiplin’. Sebagai contoh, adat bangsa Melayu makan nasi atau mengambil makanan dengan adab tangan kanan. Begitu juga dengan adat keluar rumah, turut dengan adab melangkah kaki kanan.
Begitulah cara bersilat untuk mengenali asal sebenarnya. Adat hendak bersilat, dengan mulanya, bertangan kanan mendahului dan langkah kaki kanan menyusul. Ia secara tidak langsung, tanpa bicara lagi, gerak langkah identiti Silat Melayu.
Begitu juga dengan identitinya silat-silat Melayu lama yang antaranya tidak menendang melepasi pusat, tidak berkasar, tidak melangkah kawan dan tetap menghormati musuh.
Dalam berpakaian, sebagai contoh, persilatan dari asal perguruan Malaysia memakai seragam hitam. Ia telah menjadi adat dan sebagai lambang warna diri yang taat kepada Raja-raja Melayu.
Ada enam warna lambang Melayu iaitu kuning, putih, merah, biru dan hijau selain hitam. Kuning simbol Raja, putih kepada kelahiran/kematian, merah lambang keberanian, biru perpaduan dan hijau pula kedamaian.
Jika bersenjata seperti keris, sebaiknya bersamping dan bersetanjak sebagai pelengkap diri dalam berpakaian pahlawan. Begitu juga dalam berpakaian baju Melayu, perlu bersamping dan bersongkok.
Pesilat Johor mungkin dikenali berpakaian baju teluk belanga. Jika berpakaian baju Melayu, mereka turut memakai baju teluk belanga dan seluar berwarna lain. Manakala samping berada dalam baju Melayu. Itu perbezaan mereka dengan negeri-negeri lain.
Adat berpakaian samping pula, ada negeri, samping untuk yang bergelar Datuk ada corak bunga tersendiri. Orang dahulu memberitahu secara ‘gambaran’, jika bawah samping atas lutut bermakna dia belum berkahwin. Jika bawah samping melepasi lutut, dia sudah berkahwin. Makin ke bawah samping itu ‘diberitahu’ uisa dan ilmu mereka.
Jika belakang samping ke sebelah kanan atau kiri ikatannya, lelaki itu memberitahu dia duda dan jika bawah samping atas lutut erti “duda minta di pinang segera”. Begitu juga dengan wanita yang berpakaian Melayu.
Jika memakai destar atau tanjak, pastikan tiada ‘ekor’ berdiri belakang destar itu. Hanya Sultan sahaja berimej demikian. Begitu juga jika membuat atau memakai destar Dendam Tak Sudah, hanya Sultan menghalakan hujungnya ke kanan.
Dalam memakai selempang, sebaik-baiknya sebelah kanan bahu kerana hanya Raja-raja Melayu sebelah kiri.
Jika mengadakan persembahan bersenjata, pastikan jarak dengan penonton terutama Raja atau pembesar ada jarak dan kedudukannya. Mata keris sama sekali ditegah menghala Raja dan pembesar.
Memberi sembah atau hormat amat penting. Pastikan pergerakan atau perbuatan pesilat tidak mengikuti budaya bukan Melayu.
Masuk gelanggang
Jika ada perguruan mengadakan Hari Pengambilan atau Hari Pendaftaran untuk ahli baru, atau menganjurkan seminar perguruan itu, sebaik-baiknya sertailah dan dapat gambaran jelas dari penerangan perguruan itu sebelum membuat keputusan.
Ada panduan diberikan oleh guru tua kepada bakal pesilat sebelum menuntut ilmu pendekar untuk renungan dan penghayatan iaitu antaranya mengetahui keturunan diri dari tok empat, lapan moyang. Atau dapatkan nasihat dan restu ibubapa.
Dalam gelanggang
Pakaian perlu bersih dan sesuai untuk menjalani latihan. Begitu juga dengan diri perlu dalam berkeadaan siap sedia untuk berlatih.
Sebaik-baiknya, apa yang dilatih mengenai sikap dalam gelanggang wajar sekali
diamalkan di luar gelanggang sebagai adab atau disiplin amalan hidup.
PAKAIAN & ADAT DALAM MAJLIS
- Pakailah pakaian yang bersih dan betul mengikut yang diterangkan dalam jemputan. Yang tidak mematuhi peraturan pakaian mungkin tidak akan dibenarkan masuk ke dalam majlis.
- Jika pakaian majlis adalah pakaian kebangsaan bersongkok, maka songkok yang sesuai adalah dari baldu hitam atau biru gelap tanpa corak. Songkok hendaklah dipakai tegak, tidak senget ke kiri, ke kanan, ke hadapan atau ke belakang hingga nampak gigi rambut atau bertenggek kerana terlalu kecil atau bolos kerana terlalu besar.
- Sampin hendaklah sederhana labuh kira-kira di paras lutut. Lengan baju dilabuhkan dan tidak tersinsing. Demikian juga seluar yang mengheret ke tanah mahupun tersinsing. Baju dan seluar hendaklah sepasang sama jenis kainnya dan berkasut.
- Wanita Melayu, pakaian rasmi Melayu adalah baju kurung atau kebaya labuh, atau baju kurung fesyen yang memenuhi peraturan jemputan, dan tidak terdedah kerana terbuka (termasuk di bahu, belakang atau perut) atau kerana jenis kain yang jarang. Butang leher hendaklah dilekatkan. Seluar tidak dibenarkan. Hendaklah berkasut (bukan sandal atau selipar yang terbuka di belakang), berselendang sama ada diletak di bahu atau bertudung (mini telekong).
- Jangan meninggalkan tempat duduk, bercakap-cakap, bersila panggung, kaki diatas kaki, batuk-batuk, ketawa atau berdehem dengan sengaja. Semasa duduk dan berdiri perlu rapatkan kaki. Jangan menggoyang-goyangkan kaki. Semasa berdiri tempatkan tangan ditepi dan jangan digoyang-goyangkan.
- Jangan memakai cermin mata hitam dan melengak ke atas kerana ia di anggap kurang manis. Jangan memakai emas perhiasan berlebihan bagi laki-laki dan juga perempuan.
- Jangan merokok. Elak ketawa dengan kuat atau bising atau tidur.
- Gunakan perkataan yang baik bila perlu bercakap dan tidak terlalu kuat, (Contoh: Sebutan “awak”, “aku”, “kawan” sebagai gantinama tidak sesuai diucapkan, juga dianggap bukan bahasa majlis di Negeri Pahang.)
- Menjaga kebersihan diri, rambut, muka (termasuk misai, janggut dan jambang diharapkan dicukur licin atau dikawal kerapian), pakaian, bau badan dan mulut tanpa wangian yang berlebihan. Makanlah sedikit sebelum menghadiri majlis supaya tidak ketara bau mulut, Sebaik-baiknya, pakai bau-bauan atau pewangi atau penahan peluh di celah lengan supaya bau badan terkawal semasa berpeluh.
- Berjalan dengan tegak dan tenang, tidak terburu-buru dan memandang ke kiri dan kanan.
- Adab dalam jamuan. Di samping menyebut Bismillah (bagi beragama Islam), jagalah adab makan yang baik, termasuk menggunakan pisau di tangan kanan dan garpu di tangan kiri atau sudu di kanan dan garpu di kiri (jika berkaitan). Jika pisau dan garpu turut dibekalkan, hanya sudu yang masuk ke mulut dan tidak garpu. Jangan mengambil lauk dengan sudu makan sendiri, gunakan sudu dalam pinggan atau mangkuk lauk.
- Jangan makan dengan bising, mengunyah dengan mulut terbuka atau bercakap dengan kuat atau ketawa terbahak atau terbelahak atau tersedak kuat. Berhati-hatilah.
- Letakkan napkin di atas riba dan letakkan semula di kiri pinggan dengan berlipat sesudah makan.
- Mulalah makan bersama-sama dan berhentilah makan apabila orang lain sudah selesai makan.
- Jangan mencungkil gigi di hadapan majlis. Kalau ada sesuatu dalam mulut yang perlu dikeluarkan, keluarkan dengan ditutup dengan napkin.
- Bagi majlis makan beradat ada peraturan-peraturan tertentu.
PANDUAN PENGGUNAAN BAHASA DI HADAPAN RAJA
Bahasa biasa / Bahasa kepada Raja
Rambut Surai
Telinga Cuping
Tangan Kadam
Kaki Duli
Perbuatan
Mandi Bersiram
Ke Tandas Ke bilik air
Makan Santap
Buang air(kecil/besar) Ke sungai (kecil/besar)
Berjalan/Pergi Berangkat
Minum/makan Santap
Bercakap Titah
Berucap Bertitah
Memberi ucapan Menyampaikan titah ucapan
Tidur Beradu
Memberi Mengurniakan
Bersetuju/mendapat Mendapat perkenan
Persetujuan Mendapat limpah berkenan
Marah Murka
Meninggal dunia Mangkat
Allahyarham (Raja) Almarhum
Allahyarham (prm) Almarhumah
Arwah (kerabat) Selilah
Bercukur/gunting rambut (istiadat) Berandam Surai
Bahasa mengenai kita dihadapan Raja
Tak tahu Kurang periksa (mohon periksa)
Anak Pacal
Saya Patik
Orang itu Pacal itu (nama)
Encik/Dato (gelaran) Pacal Tua (nama)
Rumah (saya) Pondok (patik)
Menyatakan(memaklumkan) Menyembahkan (sembah maklum)
Hadiah Persembahan
Terima Kasih Junjung kasih
Berucap Persembahan ucapan
Hadir Berangkat mencemar duli (kecuali majlis beribadat)
Menjemput Menyilakan
Jemputlah Sila
Berjumpa (tuanku) Mengadap Tuanku/
Tuanku Kebawah Duli Tuanku
Anakanda (Tengku Mahkota) Paduka Anakanda TM
Sultan (kepada Anak Raja) Seri Paduka Ayahanda
Tengku Ampuan/ Raja Perempuan Seri Paduka Bonda
Ucapan di majlis rasmi dimulakan dengan ungkapan ‘Mengadap KDYMM Sultan Pahang (nama dan diakhiri dengan D.K.P.) dan seterusnya KDYTM Tengku Mahkota, KDYTM Tengku Puan hingga YAM Tengku Muda Pahang dan YABhg. Cik Puan Muda Pahang, di ikuti dengan, ‘Ampun Tuanku Beribu Ampun, Sembah patik harap diampun’. Teruskan ucapan khusus untuk mengalu-alukan Raja dan pengiring Baginda i.e. KDYTM dan YAM. Kemudian ucapkan ‘Ampun Tuanku, patik mohon limpah perkenan KDYMM Tuanku bagi patik berucap sepatah dua kepada dif-dif dan para hadirin sekelian’ (atau seumpamanya.) Setelah itu baharulah disebut nama dif-dif yang lain mengikut susunan dam memberi ucapan umum. Di akhir ucapan mohon semula seperti‘Demikianlah persembahan ucapan patik… ampun Tuanku beribu ampun sembah patik mohon (harap) diampun.’ (Salam)
Gelaran khusus bagi Negeri Pahang. (Gelaran-gelaran ini tidak boleh diubahsuai) kecuali ada arahan KDYMM Sultan atau Kerajaan, dimana berkaitan)
Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) (untuk Sultan)
Duli Yang Maha Mulia (DYMM)
Sultanah Pahang Sultanah Hajjah Kalsum (untuk Sultanah)
Kebawah Duli yang Teramat Mulia (KDYTM) (bagi Tengku Mahkota, Pahang)
Kebawah Duli yang Teramat Mulia (KDYTM) (bagi Tengku Puan Pahang)
Yang Amat Mulia (YAM) (bagi Tengku Muda dan semua Kerabat Bergelar)
Yang Amat Berbahagia (YABhg) (bagi isteri Kerabat Bergelar)
Yang Amat Berhomat (YAB) (bagi Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri Besar)
Yang Di Hormat (bagi Orang Besar Berempat i.e. Orang Kaya)
Yang Mulia (bagi Kerabat i.e. Tengku, Engku)
Yang Berhormat (bagi Timbalan Menteri Besar, Ahli Dewan Negeri dan Parlimen)
Yang Hormat (bagi Orang Besar 8, 16 dan Dato’ – dato’)
Yang Berbahagia (bagi isteri-isteri kenamaan secara umum)
Sahibul Samahah (bagi Mufti)
Sahibul Fadilah (bagi Kadi Besar / Timbalan Mufti)
Al Fadzil (bagi Pegawai Agama Islam Daerah @ Pegawai Agama)
(Jadual 29 Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Pahang)
KDYTM Tengku Mahkota
YAM Tengku Muda
YAM Tengku Arif Bendahara
YAM Tengku Arif Temenggong
YAM Tengku Puteri Lela Wangsa
YAM Tengku Besar
YAM Tengku Seri Nila Utama
YAM Tengku Puteri Seri Teja
YAM Tengku Puteri Seri Kemala
YAM Tengku Puteri Seri Manja
YAM Tengku Puteri Seri Bongsu
YAM Tengku Panglima Perang
YAM Tengku Panglima Besar
Orang Besar Berempat
YDH Orang Kaya Indera Maharaja Perba Jelai
YDH Orang Kaya Indera Syahbandar
YDH Orang Kaya Indera Segara
YDH Orang Kaya Indera Pahlawan
Orang Besar Berlapan
YH Dato’ Setia Muda
YH Dato’ Setia Lela
YH Dato’ Setia Perkasa
YH Dato’ Setia Pahlawan
YH Dato’ Setia Raja
YH Dato’ Setia Wangsa
YH Dato’ Setia Amar Segara
YH Dato’ Setia Penggawa
Tok Muda
Orang Besar Raja/Orang Besar
Istana
YM Tengku (Dato’) Setia Jaya
YH Tok Pentara Raja
YH Tok Aria Rakna
YH Penghulu Balai
YH Panglima Dalam
YH Tok Bijaya DiRaja
YH Tok Luar
Bentara Kiri
Bentara Kanan
PANDUAN TATATERTIB DI MAJLIS RASMI
Ehsan dari YDH Dato’ Sri Wan Haji Abdul Wahid Wan Haji Hassan
Orang Kaya Indera Pahlawan
Timbalan Yang Dipetua Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang
No comments:
Post a Comment