Artikel ini patut dibaca oleh semua pencinta warisan Melayu. Diberi izin untuk dikongsi oleh penulisnya, sdr Hafiz.
Keris...
Satu hari maka terbaca penulis akan satu cerita, mengenai bagaimana seorang hamba Allah, yang begitu sering kali berzikir, diberi satu hasutan daripada Syaitan, bahawa zikirnya itu tidak dijawab oleh Allah swt. Syaitan menghasut kepadanya dengan berkata sudah begitu lama dia berzikir dan tiada jawapan pun yang hasil daripada zikirnya itu. Maka bersedihlah hamba Allah itu. Pada malam harinya, beliau didatangi oleh Nabi Khidir dalam mimpinya dimana Nabi Khidir berkata,”Ah, kamu sudah mula tidak mahu memanggil kepada Tuhanmu dan aku menasihati kamu supaya bertaubat daripada membuat nyata niatmu itu.” Hamba Allah itu berkata, “Aku kecewa kerana tidak ku terima jawapan, ‘di sini Aku’, dari Tuhanku. Aku khawatir bahawasanya usahaku ini seperti dijawab dengan pintu yang tertutup.” Kata Nabi Khidir pula, “Allah swt, telah memberi ku arahan untuk bertemu kamu dan beritahu kepada mu, bahawa setiap ‘Ya Allah’ yang kau ucapkan itu adalah jawapan ‘Aku di sini’.”
Ceritanya ini amat panjang namun penulis rasa cukup sampai disini penulis sampaikan cerita ini kerana ini adalah jantung kepada kesemua cerita yang penulis baca saban hari.
Pernah satu hari, penulis diberi nasihat oleh seorang hamba Allah yang mengatakan bahawa didalam alam ini, setiap sesuatu berpegang kepada tiga perkara, iaitu, Adab, Falsafah dan Rahsia. Begitulah ciptaan Allah swt, penuh dengan adab, penuh dengan falsafah dan penuh dengan Rahsia. Sholat lima kali sehari pun penuh dengan Adab, Falsafah dan Rahsia. Bangsa Melayu, adalah antara bangsa yang penuh dengan Adab, Falsafah dan Rahsia. Dari pemakaiannya, cara memakan, cara berjalan, cara berlawan hinggakan ke senjatanya, penuh dengan Adab, Falsafah dan Rahsia.
Oleh kerana penulis begitu minat dengan senjata keris, maka pada tulisan ini, penulis hanya akan menumpukan perhatian kepada ciptaan yang begitu indah ini yang terhasil daripada datuk nenek moyang kita. Penulis rasa amat berat untuk menulis artikel ini kerana takut tersilap dalam penyampaian dan masih lagi mempelajari ilmu ciptaan indah senjata nenek moyang kita ini. Namun berbalik kepada Adab, Falsafah dan Rahsia, oleh kerana keris ini juga berpegang kepada tiga perkara ini, maka penulis rasa sudah masanya penulis bukakan cerita keris sebanyak yang mungkin menurut pengetahuan penulis sendiri.
Keris dicipta dengan niat membunuh. Mata keris apabila dikeluarkan dari pakaiannya, tidak lain adalah untuk menjaga maruah dan untuk membunuh. Bukan untuk mempertahankan diri, tapi lebih kepada membunuh. Maka ada pihak yang berkata, keris ini begitu pendek, begitu pelik untuk dijadikan senjata. Cara memegangnya juga amat pelik dan adalah susah untuk dipergunakan untuk membunuh. Pandangan seperti ini sering kali datang dari mereka yang melihat pedang ataupun senjata yang panjang dan tajam sebagai senjata yang efektif. Di sini, kita mengerti bahawa, pada pandangan orang seperti ini, senjata yang efektif mempunyai sifat-sifat seperti pedang ataupun senjata yang “sewaktu dengannya”. Keris tidak mempunyai sifat sebegitu. Pendek dan bagi orang Melayu, dipegang seperti pegang pistol. Sudah tentu seandainya berdepan dengan orang yang memegang pedang, habis riwayat orang Melayu yang berkeris ini.
Jadi apakah silap datuk nenek moyang kita dalam membuat keris sebagai senjata orang Melayu? Apakah silap nenek moyang kita dalam Adab, Falsafah dan Rahsia mereka? Kalau benar, maka itulah sebabnya kita dijajah kerana kita tersilap membuat senjata. Sementara mereka perpedang, kita berkeris. Sementara mereka mempunyai meriam, kita mempunyai lembing, sumpit dan sebagainya. Sejarah tidak boleh diubah.
Kita, orang Melayu pernah dijajah. Mungkin Allah swt inginkan ianya begitu kerana pada mata Allah swt, semuanya indah. Tapi, pada pandangan penulis pula, penulis bersyukur, kerana yang menjajah kita orang Inggeris dan bukan orang lain. Bagi mereka yang terperanjat dengan kenyataan penulis, penulis mensyorkan supaya baca buku lantai T. pinkie yang ditulis oleh Datuk Abdul Samad bin Muhammad Said (A Samad Said). Walau bagaimana pun, sebaiknya, jangan sesekali kita dijajah, namun, sejarah tetap sejarah, dan setiap sesuatu ada kebaikannya.
Di sini, penulis ingin memperbetulkan padangan mereka yang mempunyai pandangan senjata keris ini salah ciptaannya kerana nenek moyang kita silap tentang Adab, Falsafah dan Rahsia mereka. Ingin juga penulis mengatakan ada perbezaan antara keris Melayu dan keris Jawa. Di sini, penulis tumpu kepada keris Melayu.
Datuk nenek moyang kita mengerti bahawa untuk membunuh seseorang, kita tidak perlu senjata yang panjang dan begitu tajam. Malah, falsafah yang wujud amat unik. Mereka mengerti bahawa sebaik-baik penyampaian bila bersenjata, biarlah ianya tak nampak. Kalau nampak maka orang boleh mengerti penyampaian itu baik ataupun buruk. Kalau baik, maka diterimanya. Kalau buruk, dielaknya. Kalau tak nampak, bagaimana nak diterima ataupun dielak. Maka disitulah letaknya falsafah keris. Ianya dicipta sebegitu sebagai satu falsafah bahawa bila ianya disampaikan, sebaiknya cepat dan tak nampak. Ada sifat “mengejutkan” lawan. Nenek moyang kita juga tahu, untuk membunuh juga, tempat sampai mata keris itu penting dan atas dasar inilah , keris dicipta dengan bentuk yang pendek dan bermata tiga. Bila membunuh, sudah tidak ada sifat kesian lagi. Namun dikatakan, keris berluk itu membunuh dengan cepat dan kejam namun yang lurus itu membunuh dengan cepat dan ringkas (kurang kejam). Senjata yang benar-benar merbahaya adalah senjata yang tidak nampak oleh mata lawan. Adajuga dikalangan orang Melayu yang mengatakan, lagi kecil senjata itu, lagi susah nak nampak. Lagi susah nak nampak, lagi efektif senjata itu.
Keris bermata tiga kerana, datuk nenek moyang kita mengerti akan sifat orang yang diserang. Apabila seseorang diserang, maka, dua perkara boleh berlaku. Pertama, orang itu tak elak. Kedua orang itu akan elak. Apalah gunanya menyerang seandainya senjata yang digunakan tak kena. Di sini keris yang bermata tiga dicipta untuk fungsi menyerang dan bagaimana reaksi yang diserang itu, tetap dapat dilihat oleh mata keris. Elak ke kanan, dilihat mata keris di sebelah kanan. Elak ke kiri, dilihat mata keris di sebelah kiri. Tidak elak, maka dilihat mata keris juga. Akhirnya, datanglah falsafah, elak kena tak elak pun kena.
Ditanya pula bagaimana seandainya seseorang itu berdiri agak jauh dari yang berkeris dan orang ini pula berpedang. Di sini penulis ingin terangkan lagi, memang benar falsafah datuk nenek moyang kita, elak kena tak elak kena. Apabila seseorang itu berpegang dengan Adab menyerang, iaitu petua-petua yang diwarisi mereka yang bermain keris, maka jarak tidak menjadi masalah untuk keris sampai. Keris keluar dari pakaiannya sendiri dan kalau disampaikan dengan petua, di mana kita hajatkan, akan tetap sampai matanya. Pelik, tapi benar. Bukan pakai sihir ataupun mantera. Hanya dengan “Bismillah hirrahman nirahhim” dan tawakal, ikut petua, sampailah ia. Dari segi masa, keluarnya keris itu lebih cepat dari keluarnya pedang. Penulis rasa tidak perlulah penulis cerita akan mengapa ianya begitu. Satu sarungnya panjang manakala satu lagi sarungnya pendek. Mungkin atas sebab itulah, Hang Tuah dapat tewaskan samurai Jepun pada satu ketika dahulu.
Mata keris keluar sendiri dari pakaiannya. Maka mulalah orang Melayu berkata, "ish, berhantu keris ini!" Sekali lagi penulis katakan, tiada sifat menggunakan hantu ataupun jin di dalam proses keris keluar sendiri. Ciptaannya sebegitu dengan pakaiannya supaya mempermudahkan gunanya. Maka ia pun keluar dari pakaiannya sendiri, mempermudahkan tugas panglima untuk membunuh mereka yang berniat jahat. Namun, keris Melayu lama ada isinya. Mengenai isinya, insya Allah, akan dibicarakan nanti.
Selama ini penulis menulis tentang sifat membunuh yang ada pada keris. Penulis memohon maaf, keris ini sejenis senjata Melayu. Fahamilah, senjata memang sifatnya untuk membunuh. Maka ngerilah bagi mereka yang mengenang tentang sifat membunuh ini. Berani bernyawa, maka berani mati. Orang Melayu mempunyai sifat berani. Alang-alang menyelup perkasam, biar sampai ke pangkal lengan. Maka dibawanya keris kemana-mana bukan niat untuk membunuh, tapi mengerti, seandainya perlu, bila nyawa dipertaruhkan, maka tawakallah kita kepadaNya dan berkeris kita kerana setiap yang bernyawa akan menemukan mati. Mati itu adalah benar bagi yang bernyawa. Penulis tidak menulis hidup di sini kerana pada penulis, setiap sesuatu di dunia ini hidup bukan kerana degupan jantung, tetapi atas sebab lain, iaitu, “setiap sesuatu berzikir atas namaNya”.
Apakah sampai disini sahaja cerita matanya keris? Penulis hanya menulis fungsinya sahaja setakat ini. Ciptaannya pula lain ceritanya.
Cerita mengenai ciptaannya berpegang teguh kepada siapa empunya atau pandai besinya. Falsafah penciptaan keris itu berbeza antara empu Jawa dan pandai besinya orang Melayu. Kita berbicara tentang keris, maka berbicara kita juga tentang besi dan sedikit sebanyak berbicara juga kata orang, bapa besi itu, iaitu Nabi Daud. Bagi keris Melayu, ianya menampilkan perwatakkan keIslaman keris itu sendiri. Ianya dibawa hingga ke ciptaan bilah keris itu sendiri. Dikatakan keris Melayu ini dicipta oleh pandai besi yang alim. Dicipta dengan berzikir dan mengerti bahawa ciptaan keris ini ada kaitannya kepada tanah, air, api dan angin. Manusia bila dicipta, kita dicipta dari tanah dengan dilembutkan dengan air, lalu dibakar dengan api dan dihembuskan roh kedalam diri. Persamaannya amat ketara, maka Islamlah penciptaan keris Melayu bila dicipta dan dihembuskannya dengan zikir, “Setiap sesuatu berzikir atas namaNya”.
Indahnya keris dari segi ciptaannya dan juga fungsinya. Perlu pula dipakaikan dengan pakaiannya yang menunjukkan akan siapa empunya keris itu. Hulu dan sarungnya dilengkapkan dengan keris tersebut lantas dengan tidak secara langsung memberi identiti kepada etnik Melayu keris tersebut. Keseniaan Melayu begitu indah diutarakan dalam menyarung keris itu. Seumpama orang Melayu yang berpakaian indah dengan baju Melayu, samping dan destarnya. Keindahan pakaian keris itu juga memberi status kepada pemakainya. Bila diselit di bengkung dan dibawa keluar, maka orang yang lihat mengerti akan siapa pemakainya. Orang Melayu Bugis, Minangkabau, Patani dan sebagainya. Terlangsung juga bercerita tentang darjatnya. Bercerita tetapi tidak bersuara. Begitulah orang Melayu.
Bergeraklah panglima dengan keris mereka yang berzikir sentiasa. Bergeraklah Paduka Baginda bersama keris baginda yang berzikir bersama.
Dalam bersilat, dibuka langkah dan bagi panglima, bersilat didalam lam alif ataupun lam jalala. “Selamatlah mereka yang berlindung di dalam lam alif Ku.” Langkah lam alif dilakarkan dan keris digenggam bersama zikirnya dan berpegang kepada Adab yang begitu erat dengan petua, maka, indahlah segalanya. Bermula “Dengan Nama Allah”, “Bismillah”, berzikir semuanya, dan pada ketika itu juga, jawablah Allah swt “Aku di sini”.
bersumber dari
No comments:
Post a Comment