Pages

Monday, November 21, 2011

As-Syahid Sheikh Izzuddin Al-Qassam


Pada 20.11.2011, genap 76 tahun Syeikh Izzuddin Al-Qassam syahid dalam Pertempuran Ya'bad, Palestin di tangan Penjajah Inggeris dan Yahudi. Beliau adalah seorang pemimpin mujahidin terulung yang menentang penghijrahan terancang Yahudi ke Palestin yang dilakukan oleh Penjajah British di awal Abad 20 dalam strategi menubuhan negara haram “Israel” pada tahun 1947. 

Nama lengkap beliau adalah Muhamad Izzuddin Abdul Qadir al Qassam. Dilahir pada tahun 1882 M di Jabalah, Syria. Datang dari keluarga yang kuat berpegang kepada Islam. Bapanya seorang guru Quran yang mengajar anak-anak di kampung mereka membaca dan menghafal al-Quran. Dia pernah belajar di Universiti Al-Azhar di Mesir ketika berumur seawal 14 tahun dan di sana dia belajar daripada tokoh terkenal, Sheikh Muhammad Abduh. Semasa di zaman menuntut lagi beliau telahpun gigih melakukan usaha dakwah.

Sheikh Al Qassam adalah seorang imam, guru dan juga sheikh Tareekat Ash-Shazaliyah di Jilah Al-Adhamiyah, sebuah wilayah di bahagian utara Syria. Beliau menggunakan ilmu dan kedudukannya untuk menerangkan kepada umat bahawa tugasnya bukan sekadar asas-asas agama Islam semata-mata tetapi juga menerangkan setiap isu yang menyentuh kepentingan umat dan Negara dari sudut pandangan Islam. Kepimpinannya telah menyedarkan masyarakat untuk kembali kepada Islam. Pentarbiyahan beliau telah berjaya merubah pemikiran masyarakat.

Semasa perang dunia pertama, dia mengambil bahagian secara aktif di dalam Revolusi Syria memerangi penjajahan Perancis. Revolusi tersebut berakhir dengan berlakunya pertempuran Melson pada tahun 1920.

Perjuangan di Syria menjadi semakin rumit apabila penjajah Perancis menjatuhkan hukuman mati kepadanya. Beliau yanghanya mempunyai dua pilihan iaitu hukuman mati atau tunduk dengan kehinaan telah membuat keputusan untuk berhijrah ke Haifa di Palestin. Tujuan lain perpindahannya ke kota Haifa adalah kerana kewujudan pendatang haram Yahudi yang semakin bertambah besar di bumi Palestin.

Kedatangan pendatang haram Yahudi beramai-ramai dari Eropah.



Kenapa Izzuddin berhijrah ke Palestin?

Izzudin Al Qassam datang ke Palestin sebagai mujahid kerana dia benar-benar memahami rancangan jahat yahudi yang mengerikan yang telah dibuat oleh Organisasi Zionis Antarabangsa di Basel, Swizland pada 29-30hb Ogos 1896. Mereka telah membuat resolusi untuk mendirikan sebuah negara nasional untuk orang Yahudi di Palestin. Beliau juga melihat pakatan sulit antarabangsa yang mendapat sokongan kaum penjajah umumnya dan British khususnya. Sheikh Izzudin juga melihat penghijrahan orang Yahudi secara besar-besaran ke bumi Palestin dan para pemuda Yahudi bersenjata datang dari pelbagai penjuru dunia untuk merebut tanah dengan kekerasan mahupun dengan pujuk-rayu.

Di Haifa dia tinggal di rumah Haji Amin Nuruddin dan bergiat dengan aktiviti mengajar dan berceramah di Masjid An Nasr. Beliau kemudiannya bertugas di Masjid Al Istiqlal iaitu masjid terbesar di Haifa pada masa itu. Pada tahun 1927 dia mendirikan pejabat cawangan Jam’iyah Asy-Syubban Al-Muslimin (Persatuan pemuda Muslim) di Kota Haifa dan beliau sendiri bertindak sebagai pemimpinnya.

Beliau mengajak para warga Arab Palestin berbincang mengenai ancaman Yahudi ini walaupun ada sebahagian daripada mereka yang mempunyai pendapat yang aneh. Ada di antara mereka yang bepandangan bahawa cukup untuk menghadapi mereka dengan demonstrasi dan sebahagiannya mengatakan cukup dengan perundingan sahaja. Bahkan ada yang pergi ke Britain untuk mencari jalan penyelesaian permasalahan ini.

Selama tujuh tahun digunakan oleh beliau untuk mengadakan hubungan dengan orang ramai, mengenali identiti mereka, mengadakan pembinaan, latihan organisasi dan mempersiapkan mereka untuk berhadapan dengan saat yang bakal menentukan masa depan mereka. Dalam tempoh tersebut beliau menjalankan pelbagai tugasan; guru di sekolah, pembimbing rohani di masjid, pekerja di Pejabat Syariat dan ketua pergerakan. Hubungan dengan berbagai kalangan masyarakat juga mengizinkan beliau memiliki dana kewangan.

Apakah fokus perjuangan Izzuddin al Qassam?

Perjuangannya sangat menitikberatkan kepada tiga perkara utama.

Kewaspadaan terhadap ancaman Yahudi secara berterusan.
Ajakan untuk berjihad.
Memilih orang-orang yang berkualiti dan dibekalkan dengan pemikirian yang benar serta kemahiran ketenteraan.
Mempersiapkan generasi pendokong kebenaran menurut Izzudin memerlukan

Mengadakan hubungan baik dengan setiap orang, baik yang mempunyai komitmen pada agama mahupun tidak. Jika orang ini berubah, maka ia akan menjadi pejuang yang hebat dan dapat menjalankan tugas-tugasnya untuk memelihara hubungan yang luas.
Menanamkan rasa cinta di antara sesama manusia kerana penjajah dan yahudi telah banyak menyebarkan bibit-bibit perpecahan di kalangan masyarakat.
Mengajak orang yang dianggap baik dengan berkunjung ke rumahnya. Sheikh Izzudin saling membina suasana keakraban dan persaudaraan sehingga mencapai tahap berterus-terang untuk menyatakan tujuan perjuangan iaitu menyelamatkan Palestin.
Izzudin berkeyakinan bahawa Palestin tidak akan dapat diselamatkan kecuali jika rakyatnya dibangkitkan rasa tanggung-jawabnya samada lelaki, perempuan, orang awam ataupun ulama mesti meyakininya dan bangun berjuang.
Pada tahun 1931, pasukan yang beliau bentuk telah menyerang perkampungan Yahudi di Yagur. Dalam penyerangan tersebut tiga orang tentera Yahudi telah terbunuh. Pasukan Izzuddin Al-Qassam meneruskan penyerangannya dan menyebarkannya ke seluruh wilayah pergunungan.

Setelah pasukan Inggeris yang bekerjasama erat dengan Zionis bertindak mempersempitkan ruang geraknya di Haifa, maka Sheikh Al Qassam bersama enam sahabat rapatnya berpindah ke daerah pergunungan pada tahun 1935.

Pasukan ketenteraan yang beliau bentuk mencapai jumlah seramai 200 orang. Dari jumlah tersebut dia membahagikannya kepada beberapa kelompok. Setiap kelompok terdiri daripada lima orang dan salah seorang daripada mereka akan diangkat sebagai pemimpin dan pemberi arahan. Dalam tempoh yang agak singkat, pasukannya bertambah banyak dan mencapai keanggotaan seramai 800 pejuang. Setiap unit yang asalnya terdiri daripada lima orang membesar menjadi sembilan orang.

Rancangan berjalan sebagaimana yang diharapkan. Di tahun 1935, Izzudin Al Qassam dalam usianya yang telah mencapai enam puluh tahun keluar pada satu malam dengan mengenakan pakaian pejuang setelah meninggalkan pakaian tokoh agama. Dia mengumpulkan anggota keluarganya untuk memberitahukan niatnya dan menjanjikan keazaman untuk berjumpa dengan mereka di syurga kelak.

Pasukan Inggeris dengan senjata yang lengkap dan dibantu dengan pesawat tempur telah menyerang pasukan Izzuddin Al-Qassam di Ya'bad. Dalam pertempuran tersebut Izzuddin Al-Qassam gugur sebagai syahid bersama dua orang pejuang lainnya pada 20hb November 1935.

Orang-orang Palestin di seluruh negara melakukan solat jenazah ghaib untuk beliau. Jenazah as Syahid Izzudin al Qassam dengan bajunya yang berlumuran darah dibawa oleh ribuan orang ke makam di kampungnya. Kesyahidan tiga pejuang tersebut telah mencetuskan lebih banyak penentangan, pergolakan dan permogokan terhadap penjajahan Inggeris dan Zionis terhadap bumi palestin.

Jasa Sheikh Izzuddin Al Qassam sentiasa dikenangi oleh orang-orang Islam terutamanya di Palestin malahan sebuah sayap ketenteraan HAMAS (Harakah Muqawamah Islamiyah), mengabadikan namanya dalam unit dan bendera mereka.

Berbicara mengenai tradisi pergerakan Islam moden dan sejarahnya, nama Izzudin Al Qassam tidak dapat dipisahkan; beliau memiliki cara yang tersendiri dalam pembinaan generasi Islam dengan menggunakan pendekatan pendidikan, kesiap-sagaan, organisasi dan jihad. Jika diamati lagi, dalam aliran pergerakan Islam terdapat seorang tokoh besar yang mempunyai kaedah pergerakan yang pelbagai dan dia adalah salah seorang tokohnya.

Rujukan :

Mohsein M.Soleh. History of Palestine. A Methodical Study of the Palestinian Struggle. Al Falah Foundation. Cairo 2005.
Mohsein M.Soleh. Kertas Kerja Seminar Isu Palestin. TTS, Kuala Lumpur 2005
Muhammad Sa’id Mursi. Tokoh-tokoh besar Islam sepanjang sejarah. Versi Indonesia Pustaka Al kauthar, Jakarta 2007
Mustafa Muhamad Tahhan. Tokoh Pergerakan Islam masa kini. Al Hidayah Publishers, Kuala Lumpur 2002
Tareq M. Suwaidan. Palestine – Yesterday, today and tomorrow. Ebbad Co. Kuwait. 2006.

Sumber :
http://zainurrashid.com/?p=234
boleh baca di sini http://haluanpalestin.haluan.org.my/?p=1673 dan http://wardahzinnirah.blogspot.com/2009/01/siapa-izzuddin-al-qassam.html
 — withAzyan Syazwani and 42 others

Jangan sia-siakan janggut suami


Terus terang saya akui, selama ini saya tidak pernah menyimpan janggut. Bukan tidak suka, cuma tidak simpan. Dan saya tidak pernah pun mempertikaikan sesiapa yang menyimpan janggut kerana saya tahu itu sunnah.

Akan tetapi, misai saya meskipun kategorinya hanya jenis misai kucing, yang tumbuhnya jarang-jarang seperti anak pokok getah yang baru ditanam semula, saya simpan.

Dan kerana sayangnya saya pada misai yang jarang itu, saya boleh tidak tidur malam jika hitungan yang saya buat mendapati ia tidak cukup seurat.

Hilang seurat bukan senang mahu diganti. Jangan kata hari, minggu berganti minggu pun belum tentu tumbuh misai baru.

Mengenai janggut, saya tidak kisah sangat. Saya biasa mengandaikan kepada kawan-kawan, jika saya cukur janggut sebelum bertolak, sampai di pejabat, janggut saya sudah boleh dicekak.

Dan satu lagi andaian bida’ah, saya sering mengumpamakan wang (kononnya) dengan janggut saya. Cukur, tumbuh. Cukur lagi, tumbuh lagi. Kononnya. Akan tetapi, tidaklah pernah saya bawa janggut yang baru dicukur ke kedai untuk beli tepung atau gula. Mahu tak cukup tanah lari dikejar sambil dilaung, “orang gila! orang gila!” 

Namun sejak sebulan dua lepas, setelah berulang kali mainkan klip video kumpulan rock kegilaan saya sejak remaja, Metallica, saya tiba-tiba jadi tertarik dengan penampilan penyanyi merangkap pemain gitarnya, James Hetfield.

Hetfield kini tidak lagi berambut panjang dengan misai bertaring seperti dulu. Panjang rambutnya sederhana namun sebagai rocker, itu boleh dianggap pendek. Tidak lagi bermisai, namun yang menarik, dia kini berjanggut. Lantas saya pun tiba-tiba teringin mahu berjanggut. 

‘Misai kucing’ yang menjadi intan payung saya selama ini, saya cukur licin selicin-licinnya. Tanah sekangkang kera di bawah hidung itu saya sentiasa pastikan licin seperti telur, tiada lagi tunggul-tunggul gerigis. 

Jangan! Jangan kata saya agungkan Hetfield, beristighfarlah! Saya sendiri pun beristighfar apabila teringat akan hal itu.


Saya cuma meniru apabila melihat dia nampak lebih segak, kemas, bersih, macho, dewasa - imej yang sepatutnya bagi ahli Kelab 40 - berbanding dulu.

Namun dalam keadaan saya sedang mendekati sesuatu yang sebenarnya adalah sunnah Rasulullah SAW, tiba-tiba saya dipertemukan dengan satu ilmu yang sangat istimewa. Yang menyerlahkan satu lagi bukti saintifik tentang apa yang disunnahkan oleh Nabi kita sejak lebih seribu tahun dahulu.

Dr Jamnul Azhar Mulkan, seorang doktor perubatan, pemilik rangkaian klinik termasuk di kampung saya di Pendang, Kedah, juga seorang pendakwah, dalam satu ceramah, mendedahkan hasil kajian yang sangat luar biasa mengenai khasiat janggut. Ia bukan tunggul gerigis, bukan penyeri atau penyerabut wajah tetapi jauh lebih hebat daripada itu.

Menurutnya, kajian oleh saintis dari Massachusetts Institute of Technology, Amerika Syarikat yang berjudul The Amazing Fact of Human Body mendapati janggut lelaki mengandungi hormon testosteron yang amat diperlukan bagi kesuburan wanita. Ia mampu menstabilkan kitaran haid selain menggalakkan pertumbuhan telur wanita.

SUBHANALLAH!

Dalam kata yang lain, janggut lelaki juga boleh meningkatkan tahap kegalakan wanita pasangannya. Itu saya tambah! Saya terpaksa sebut wanita pasangannya kerana dunia sekarang semakin cacamarba. Bimbang pula nanti ada lelaki yang mahu menjadi wanita, ketagih meraba janggut orang itu, orang ini, dengan harapan mahu jadi subur juga. Jangan! Hanya untuk wanita yang tulen sahaja.


Caranya bagaimana? Hanya melalui sentuhan. Jadi kepada sesiapa yang belum punya anak kerana ada masalah kesuburan, ataupun jarang anak dan mahu dirapatkan lagi, mintalah suami simpan janggut, dan belailah selalu janggut suamimu itu.

Suami pula, apabila sudah diminta oleh isteri, simpanlah. Jangan sampai isteri terpaksa belai bulu jagung pula! Bulu jagung tiada manfaat apa-apa.

Kata Dr Jamnul Azhar lagi, kajian itu beberapa kali diulang tayang oleh National Geographic. 

Ini sekali gus jadi bukti apa yang disaran oleh Islam sejak zaman silam, boleh dibuktikan secara saintifik akan hikmah dan kelebihannya.

Saya beristighfar. Hati kini, sarat, penuh dan bulat mahu mengikut sunnah Nabi, tiada langsung bayangan James Hetfield.

Saya akan terus menyimpan janggut ini. Sama ada isteri saya masih berminat untuk menyambung produktiviti atau tidak selepas bergelar ’mak aji’, itu terserah pada dia sendiri.

Setakat ini, saya belum memikir soal. Pelan B.

Selamat mencuba ya, puan-puan! (baca dengan intonasi ala Chef Wan). 

sumber: sinar harian jumaat 18 November 2011

disalin dari: http://pusaka-lama.blogspot.com/2011/11/jangan-sia-siakan-janggut-suami.html