Pages

Tuesday, October 18, 2011

Ulama Perang dalam tahun Musuh-Bisik 1821 (Melayu Siam lawan Kafir Thai)

Sumber: 
http://themalaypress.blogspot.com/2008/05/ulama-perang-dalam-tahun-musuh-bisik.html

Artikel dibawah diambil dari ulama.blogspot.com karangan Allahyarham Sheikh Wan Mohd Saghir Abdullah. Dengan sedikit suntingan.

Perang.
Dalam Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah tercatat sekelumit kisah tentang penglibatan Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani dalam satu perang besar ketika pencerobohan Siam [dibaca THAI] ke atas Patani dan Kedah. Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani, ulama ahli sufi penyusun kitab Siyar as-Salikin itu dinyatakan ghaib (hilang) atau pun syahid dalam perang itu (1244 H/1828 M). Daripada pelbagai sumber yang saya kumpulkan bahawa panglima perang Patani dalam perang itu ialah Hulubalang Wan Pa (Tok Bendang Daya). Sebuah manuskrip yang saya peroleh di Pontianak disebut pula yang ikut dalam perang itu ialah Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani, Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari dan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani.

Oleh sebab laporan di antara orang yang ikut dalam perang itu ada yang hijrah ke Pontianak, maka dalam manuskrip itu tercatatlah bahawa ketiga-tiga ulama besar dunia Melayu itu syahid di bumi Patani.

Mengenai kisah yang panjang belum perlu saya bahas, yang perlu saya sentuh ialah Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani yang disangka syahid adalah hijrah ke Pulau Duyung Kecil, Terengganu. Hijrah bukan bererti lari daripada jihad. Tetapi menyusun strategi untuk kemenangan rangka panjang. Kerana kemenangan rangka pendek belum dapat dipastikan.

Tok Bendang Daya pula mengambil sikap tidak meninggalkan bumi Patani. Hidup atau mati yang bercorak bagaimana pun mestilah di bumi Patani juga. Walau bagaimanapun taktik dan strategi perjuangan perlu disusun secara kemas dan rapi. Sekiranya belum dapat kemenangan, selagi nafas dikandung badan, selagi bulan dan matahari terbit dan terbenam, selagi dunia belum kiamat, janji untuk diri sendiri dan titipan wasiat kepada umat Melayu Patani, perjuangan mempertahankan Islam dan negara adalah wajib diteruskan.

Perjuangan kedua-dua ulama Patani itu akan diketahui sepanjang zaman, tidak akan hilang dari sejarah perkembangan tamadun bangsa Melayu dan Islam buat selama-lama. Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani berjuang dari segi penulisan pelbagai ilmu dalam Islam. 

Termasuk juga Tarikh Patani karya Syeikh Faqih Ali al-Fathani yang diselamatkannya melalui penyalinan. Tok Bendang Daya pula, supaya beliau tidak dapat dikesan oleh musuh-musuh, telah menyamar sebagai orang bodoh, tidak tahu sesuatu apa pun.

Tok Bendang Daya faham di tempat mana beliau berada, oleh itu pada ketika yang lain beliau menjadi seorang sufi, seolah-olah seorang yang tidak perlu kepada kepentingan duniawi. Tetapi secara sangat rahsia Tok Bendang Daya memantap dan menghimpunkan kembali saki baki pejuang-pejuang Islam bangsa Melayu terutama orang-orang Kedah dan Patani yang setia kepadanya.

Riwayat ini masih belum lengkap jika tidak memberi sedikit gambaran tentang kehebatan Tok Bendang Daya semasa perang. Oleh itu amanah dari periwayat perlu juga dipindahkan ke dalam bentuk tulisan tersebar ini. Diriwayatkan bahawa Tok Bendang Daya menyertai perang pencerobohan THAI terhadap Patani yang terjadi tahun 1235 H/1820 M hinggalah perang tahun 1244 H/1828 M.

Sungguhpun umur beliau ketika itu sangat tua, namun tetap masih gagah, tangkas dan berwibawa. Selain mampu menyusun taktik pertahanan dan taktik penyerangan, Tok Bendang Daya juga ada ketahanan menghadang pelbagai jenis senjata termasuk peluru meriam yang ada pada zaman itu.

Berkali-kali beliau kena tembak dengan meriam, tetapi ada satu keanehan bahawa apa jua jenis peluru menjadi jinak dan lunak kepadanya. Peluru yang sampai kepadanya hanya melekat pada bahagian pakaiannya tidak gugur ke tanah, tidak pula menembusi hingga kepada kulit, apatah lagi masuk hingga ke daging.

Selepas pulang dari sesuatu peperangan, peluru-peluru yang melekat pada pakaian barulah dibuang dengan jalan mengibas-ngibaskan pakaian itu. (Sumber cerita dari Tuan Guru Haji Muhammad bin Yusuf, salah seorang buyut Tok Bendang Daya, juga didengar dari Tuan Guru Haji Haji Abdul Qadir bin Ismail as-Sanawi al-Fathani, cicit Tok Bendang Daya. Ibu beliau, cucu Tok Bendang Daya sempat saya jumpa di Mekah, 1979, ketika itu berumur lebih 100 tahun namun beberapa maklumat dapat saya sahihkan kepada beliau).

Ada orang bertanya, ilmu dan amalan apa yang diamalkan oleh Tok Bendang Daya sehingga berkemampuan demikian?

Agama Islam adalah sangat luas dalam pelbagai hal. Apabila kita akan menceburi diri di dalam sesuatu perkara perlulah belajar ilmu apa saja yang ada hubungan dengan perkara itu. Jika menghadapi peperangan seperti Tok Bendang Daya perlulah belajar pelbagai sektor ilmu tentang peperangan. Nabi Muhammad s.a.w ketika berperang juga menggunakan pelbagai cara termasuk dengan doa-doa tertentu.

Saya tidak pasti doa khusus yang diamalkan oleh Tok Bendang Daya untuk ketahanan diri ketika dalam perang, namun walau bagaimana pun berdasarkan catatan anak beliau, Syeikh Abdul Qadir al-Fathani, bahawa Tok Bendang Daya mengamalkan surah al-Ikhlas, yang dibaca beribu-ribu kali serta dengan doanya. [lagi artikel penuh]

[Nota Penulis: Jikalau di buat cross-checking diantara maklumat dari sejarahnagarakedah.blogspot.com dan ulama.blogspot.com, dapat kita perhatikan tarikh syahid atau kehilangan Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani yang disebut dalam artikel diatas adalah pada tahun 1244 H/1828 M. 

Peperangan yang berlaku disebut pada 1235 H/1820M hinggalah 1244 H/1828 M. Ini adalah tahun Perang Musuh-Bisik 1821. Dimana Syarif Yang DiPertuan Raja Siam Islam Syarif Abu Bakar Syah, anak2 dan kaum kerabatnya diserang hendap dan terbunuh di Istana Kota Meng Kuang oleh puak Thai hasil maklumat Ahmad Tajuddin.

Dan pada ketika itu bala tentera perang Siam Islam diketuai oleh Syah Alam Yang Maha Mulia Datuk Panglima Bukit Gantang Syed Alang Alauddin (meninggal 1862 dan diganti Long Jaafar sehingga 1876) menentang raja puak kafir buddha Raja Buddha Rama II Chakri Sokho Thai . Maharaja Benua Siam Islam pada waktu itu ialah Sultan Mudzaffar Syah III bersemayam di Istana Kota Serjana , Alur Ganu.


Oleh itu, kesimpulannya Tok Bendang Daya ulama2 sezaman dengannya berperang disamping Raja Siam Islam bersama2 dengan orang Pasai, Acheh, Majapahit, Kedah, Terengganu menentang kemaraan Raja Buddha Rama II Chakri Sukho Thai - bukan Siam seperti yang kita sangkakan hari ini.

Persoalan. 
Jikalau Siam itu jahat kenapa wilayah Fatani, Yala, Naratiwat dan sebagainya yang dalam wilayah Selatan Siam itu ditibai sedemikian rupa sekarang? Adakah Siam bantai Siam? Tak mungkin!

Jadi apa yang berlaku di Selatan Thai sekarang adalah kelangsungan daripada apa yang berlaku pada tahun 1821, 1876-1881. Iaitu penghapusan etnik SIAM ISLAM oleh THAI KAFIR laknatullah. 

Jika TAR menerima kemasukan wilayah-wilayah Islam itu ke dalam Malaya semasa hendak merdeka dulu sudah tentu saudara-saudara kita disana tidak akan teraniaya dan tertindas sebegitu rupa!]

End.

SIRI PERANG MUSUH BISIK - TUNKU MUHAMAD SAAD


Baru-baru ini saya berpeluang menjejaki pusara salah seorang pejuang Kedah yang terlibat dalam peperangan musuh bisik (1821-1842) iaitu Tunku Muhamad Saad Tunku Daud di kawasan perkuburan Masjid Kampung Sungai Pasir, Sungai Petani.

Terima kasih kepada waris Tunku Muhamad Saad dan penduduk tempatan yang sudi memberi tunjuk arah sehingga membolehkan saya berjaya menemui pusara beliau.

Bagi mereka yang berminat dengan siri Perang Musuh Bisik, berikut saya perturunkan petikan artikel yang ditulis oleh Prof. Dr Abdullah Zakaria dari Universiti Malaya mengenai Tunku Muhamad Saad dan perjuangannya dalam membebaskan Kedah dari penjajahan Siam melalui wakilnya Raja Ligor......

"Pada 24 Mac 1838, Tunku Muhammad Saad bin Tunku Daud dan Dato' Wan Muhammad Ali menyebarkan surat jemputan ke Seberang Perai, menjemput datang berkumpul di Sungai Muda dan Sungai Merbok untuk sama-sama menentang Siam di Kedah. Tunku Muhammad Saad dibantu oleh Dato' Muhammad Ali dari Langkawi; Tunku Muhammad Taib dan Tunku Muhammad Akib dari Setul; Syed Husin dan Wan Muhammad Arshad dari kayang (Perlis); Tunku Abdullah, Tunku Sulaiman; Syeikh Abdul Samad al-Palembangi, seorang ulama terkenal di Kedah pada ketika ini; juga panglima perang, seperti Tok Mo Ris(Bomoh Idris) dari Perupok, Kubur Panjang; Dato' Syahbandar Wan Daud dari Pulai, Baling dan Dato' Madi dari Bandar Baru. Dato' Panglima Bukit Gantang juga menghantar 100 orang dan lima buah perahu ke Kedah membantu gerakan menentang Siam. 

Dalam usaha mengembeling tenaga sokongan penduduk Kedah, Tunku Muhammad Saad menyeru semua yang ingin menyertai gerakannya dan mendapat rahmat Allah berkumpul di Sungai Merbok. Penduduk Kedah menyahut seruan ini berkumpul di Sungai Merbok. Penduduk Kedah juga memberi sokongan kepada Tunku Muhammad Taib. Tunku Muhammad Saad melancarkan gerakannya pada bulan Mei 1838. Tunku Muhammad Taib berkumpul di Seberang Perai bersama-sama kira-kira 700 atau 800 orang dan kemudiannya memasuki Kedah. Angkatan Tunku Muhammad Saad yang berada di Sungai Muda mara ke Kedah setelah berjaya mengalahkan tentera Siam yang bertahan di sempadan Seberang Perai.
Pada 13 Jun 1838, angkatan di bawah pimpinan Tunku Muhammad Saad bergabung dengan angkatan Tunku Muhammad Taib berjaya mengundurkan pasukan tentera Siam yang berada di Kuala Sungai Merbok. Dengan itu angkatan ini mara ke Kedah dan Perlis.Pada 3 Ogos 1838, Tunku Muhammad Saad dan angkatannya melancarkan serangan ke atas Kota Kuala. Serangan Tunku Muhammad Saad ini dapat diatasi oleh pasukan Siam yang terdiri daripada 70 orang yang mendapat bantuan 300 orang Melayu melalui kerahan. Angkatan Kedah melancarkan serangan sekali lagi pada 4 Ogos 1838. Kali ini angkatan di bawah Tunku Muhammad Taib datang dari darat, membawa keluarga orang Melayu yang berperang bagi pihak Siam di dalam Kota Kuala. Keluarga orang Melayu tersebut dijadikan benteng pertempuran. Apabila tiga orang tua dan dua orang wanita terkorban serta ramai yang cedera, menyebabkan orang Melayu yang berada di dalam kubu menyokogan tentera Siam keluar menyokong Tunku Muhammad Taib.
Angkatan Siam yang tidak dapat bertahan mengundurkan diri ke arah Perlis. Setelah pasukan kerahan Melayu tidak ada lagi membantu pertahanan di Kota Kuala, pasukan tentera Siam menjadi lemah. Kota Kuala dapat diambil semula oleh Tunku Muhammad Saad. Tentera Siam yang gagal melarikan diri telah ditangkap dan diseksa hingga mati. Tindakan ini dilakukan kerana tentera Siam pernah melakukan perkara yang sama ke atas orang Melayu sebelum ini. Angkatan Tunku Muhammad Saad melancarkan serangan ke atas pasukan Siam yang cuba bertahan di Alur Ganu di bawah Phya Buri Sukhuton dan berjaya mengalahkan mereka. Dato' Muhammad Ali pula bergerak ke utara dan berjaya menduduki semula Setul. Kemudiannya tentera Siam dihalaukan keluar dari negeri Kedah; angkatan Kedah di bawah pimpinan Tunku Muhammad Saad berjaya menegakkan kembali kedaulatan Melayu dan Kedah.
Kerajaan Bangkok menuduh British lebih berpihak kepada Kedah. Angkatan Tunku Muhammad Saad di bawah Wan Ua(?) dan Wan Mat Pulau mara ke Chenak. Penduduk Cina dan Siam melarikan diri ke Senggora. Dalam ekspedisi ini angkatan Kedah telah memusnahkan kampung-kampung dan kuil Buddha. Angkatan ini mara ke Kota Baru, Reman dan seterusnya ke Kuala Bekah, Patani. Di samping itu angkatan di bawah pimpinan Tunku Muhammad Taib dan Tunku Muhammad Jiwa bersama kira-kira 2,500 orang bergerak ke Senggora dan berjaya mendudukinya. Mereka mendirikan 11 kubu kecil di sini. Angkatan Tunku Muhammad Saad bersama dengan Syeikh Abdul Samad al-Palembangi bersama 4,200 orang juga menuju ke utara dan menduduki Hadyai.
Kejayaan angkatan Tunku Muhammad Saad menghalau tentera Siam dari Kedah dan mendaulatkan kembali kuasa dan politik Melayu telah mengejutkan kerajaan Siam. Dengan itu Chao Phya Ligor dan Chao Phya Senggora yang ada di Bangkok diperintahkan pulang oleh Raja Siam mengumpul kekuatan mengatasi pasukan Kedah di bawah pimpinan Tunku Muhammad Saad. Serangan balas daripada angkatan Siam yang terdiri daripada 500 orang Cina, 2,000 orang Siam dan Melayu tidak dapat dihadang oleh angkatan Tunku Muhammad Taib yang berkubu di Senggora. Dalam pertempuran ini angkatan Kedah kehilangan jiwa 150 orang. Angkatan Tunku Muhammad Saad dan Syeikh Abdul Samad al-Palembangi yang berada di Hadyai juga gagal mengatasi serangan balas angkatan Siam di bawah Chao Phya Ligor yang berlarutan kira-kira 20 hari. Walaupun Tunku Muhammad Saad dapat mengundurkan diri tetapi Syeikh Abdul Samad al-Palembangi terkorban dalam pertempuran tersebut. Selain itu Setul juga telah diduduki kembali oleh angkatan Siam.
Kemudiannya angkatan Siam melancarkan serangan ke atas kubu pertahanan orang Melayu di Alur Ganu. Pertahanan Kedah di Alur Ganu di bawah Tunku Muhammad Saad dan Dato' Wan Ali telah pecah; angkatan Siam berjaya mendudukinya. Angkatan tentera Siam datang dalam tiga pasukan bersama gajah, kerbau dan bersama mereka terdapat kanak-kanak serta wanita, berpakai biasa tetapi rambut mereka dipotong yang ditawan dari kampung Alur Lakkah(?), yang mana suami mereka berada dalam kubu di Alur Ganu. Haji Muhammad Taib yang mengalami kecederaan berundur; menaikki perahu ke Pulau Pinang. Tunku Muhammad Taib pula setelah gagal bertahan kubu Alur Ganu daripada serangan Siam, berundur di waktu malam ke Kuala. Pihak British menghantar kapal Hyacinth untuk mengepung pantai Kedah. Kapal ini bertugas dari 6 Disember 1838 hingga 11 April 1839. Ketika mengepung persisiran pantai Kedah, angkatan British memusnah perahu dan harta orang-orang Kedah.
Dalam bulan Februari 1839, angkatan Siam kira-kira 4,000 orang telah melanggar Kota Kuala yang dikawal oleh Tunku Abdullah. Tunku Muhammad Saad bergabung di Kota Kuala selepas angkatannya gagal mengatasi serangan tentera Siam di kubu Alur Ganu. Di antara mereka yang terlibat dalam pertahanan di kota kuala ialah Tunku Abdullah, Tunku Muhammad Saad, Tunku Muhammad Seawee [Zawawi?] dan Tunku Muhammad Taib. Jumlah tentera yang bertahan pula kira-kira 500 orang. Akhirnya Kota Kuala diduduki semula oleh angkatan Siam pada 20 Mac 1839.
Setelah kekalahan di Kota Kuala, pasukan tentera Kedah berkumpul lagi dan melancarkan serangan kira-kira tiga hari ke atas pertahanan tentera Siam di kubu Alur Ganu. Dalam pertempuran yang berlarutan selama tiga hari, pasukan Kedah gagal mengalahkan tentera Siam. Dengan itu Tunku Muhammad Saad berundur. Wan Muhammad Ali, Haji Mustaffa dan Wan Ismail berjaya mengundurkan diri ke Langkawi pada malam hari, 3 April 1839. Wan Muhammad dikatakan bersiap sedia untuk mengundurkan diri seterusnya ke Batu Bara, Sumatera. Kapal Hyacinth datang ke Langkawi dan mendapati beberapa buah perahu dimusnahkan. Tunku Muhammad Saad dilaporkan berundur ke arah Seberang Perai dan kemudiannya beliau ditangkap oleh British dengan tuduhan sebagai "lanun".
Tunku Abdullah berundur ke Perlis dan kemudiannya menyerah diri kepada Gabenor S.G. Bonham di Pulau Pinang. Ketika serangan Siam ke atas Kedah, kira-kira 1,000 orang wanita dan kanak-kanak Kedah berlindung dalam jajahan British. Siam pula mengibarkan bendera setelah berjaya menawan kubu-kubu pertahanan Kedah. Sementara itu Tunku Jaafar, saudara Sultan Ahmad Tajuddin Halim Syah dan Tunku Dai atau Tunku Zainal Rashid, cuba berunding dengan pihak Siam. Tunku Muhammad Saad yang ditahan oleh British dihadapkan ke mahkamah. Walaupun bebas daripada tuduhan sebagai "lanun", Tunku Muhammad Saad dibuang ke Culcutta. Beliau kemudiannya dibenarkan pulang dan meninggal dunia di Pulau Pinang"

PERANG MUSUH BISIK - SIRI 7

RAMAI YANG MATI SYAHID
PERTENGAHAN bulan Mac tahun 1839, tentera Siam seramai lima belas ribu orang telah sampai di Kuala Jerlun memikul istinggar-istinggar yang bercap “East india Company”. Orang-orang Siam menggunakan beratus-ratus ekor gajah memikul bekalan makanan, meriam kecil dan ubat bedil.
Sebelum orang-orang Kedah sempat mengkaji dimana letaknya kelemahan mereka, Kota Alor Ganu dan Kota Padang Saujana telah jatuh ketangan orang-orang Siam. Kejayaan ini dapat mengasingkan orang-orang Melayu di Langgar dengan orang-orang disebelah Kuala Kedah. Siam telah menggempur Alor Ganu disebelah malam dan ramailah orang-orang Melayu yang gugur. Seorang daripadanya ialah Panglima Hitam yang dianggap keramat di Padang Saujana. Kuburnya masih menghiasi kampong itu hingga kehari ini. Syed Husin yang menjadi pengharapan Tunku Muhamad Saad di Kota ini telah terkurban bersama-saman enam ratus orang perwira.
Alor Ganu mempunyai beberapa pucuk meriam yang berjasa dan sekarang telah dapat dipergunakan oleh Siam. Dari Alor Ganu Siam menghantar rombongan-rombongan penyerang malam ke Kota Rentang dan Pulau Kerengga, tempat-tempat ini dengan senangnya diduduki Siam dan matlamat mereka hendak merebut Kota Kuala Kedah bertambah mudah apabila Gunung Keriang dapat dijadikan markas yang kedua selepas Alor Ganu. Dari Gunung Keriang mereka melancarkan serangan keatas Kota Kuala Kedah tiap-tiap malam dan berundur semula ke Gunung Keriang di waktu siang.
Sebuah lembaga Buddha tersenyum dipinggir Gunung Keriang dibina oleh tentera-tentera Siam ketika merayakan kejayaan mereka merampas negeri Kedah dari Tunku Kudin dahulu sibuk dipuja semula.
Satu ketumbukan orang Siam dihantar menyerang Langgar dan Limbong melalui Bohor, Lepai dan Sungai Mati. Datuk Lela berjuang mati-matian. Disepanjang-panjang kota dari Limbong hingga ka Kota Rentang dan terus ke Kuala Jerlun bersusun-susun mayat perajurit yang terkurban. Diatas tembok kota itulah dikebumikan dan ditalkinkan.
Sekarang ini, selain dari senjata yang berkarat, peluru-peluru meriam dan tunggul-tunggul buluh yang tuaterdapat di tembuk-tembuk kota lima belas batu ini terdapat pula batu-batu kerikil menandakan kepala dan kaki pahlawan-pahlawan yang gugur. Terdapat juga nisan yang cantik berselirak di Langgar dan di Limbong, beratus-ratus banyaknya menandakan beratus-ratus pula yang sempat dikuburkan dengan sempurna. Di Negeri Kedah ini, dimana terdapat nisan yang usang, letaknya tidak jauh dari kota tanah, tempat mereka berjuang.
Terdapat kubur seorang ulama di Serokan hampir perbatasan Kedah dan Seberang Perai, seorang pejuang yang gugur mungkin dalam pertarungan kali ini juga dan dinisannya berpahat dengan “Inna fatahna laka fathan mubina” membayangkan harapan kuat untuk orang Melayu menempa kejayaan dan senandongnya irap-irap syair orang Langkawi. Beberapa banyak nisan yang tidak bernama beratus-ratus banyaknya di Langgar dan di Limbong. Berapa banyak Panglima Hitam, Tok Serban Hijau, Tok Tungkat, Tok Janggut, Keramat Anak Dara, Tok Amar, Tok Raja dan lain-lain yang ada disana dan di Alor Ganu, di Naga, di Kuala Kedah dan di Anak Bukit, di Kalai, di Bukit Wang dan di Pulau Pisang dan di Perlis serta di Setol. Berpuluh-puluh yang berdarah raja sempat dikumpulkan didalam Kota Makam di Langgar, ramai pula yang tercicir bersama rakyat sebanyak. Banyak lagi Tok Jambi, Tok Pasai, Tok Siak dan Tok Kemboja, di merata-rata tempat yang syahid bersama orang-orang Kedah. Di Mempelam dekat Kuala Kedah tersadai mayat seorang ulama Banjar, Shaikh Mas’ud dari titisan Raja Kartasyuta Banjarmasin, tidak sempat dikuburkan hilang dibawa arus.
Alor Setar menjadi tempat pertarungan haibat yang sukar diatasi oleh angkatan Legor. Istana Sultan dan Balai Besar ialah diantara bangunan-bangunan yang kuat sekali dipertahankan. Meriam-meriam yang digunakan dalam pertahanan bandar ini masih menghiasi perkarangan Masjid Zahir. Bukanlah secara kebetulan meriam-meriam itu diletakkan diperkarangan Masjid Zahir tetapi dirancangkan kerana di tapak masjid itulah letaknya sebuah perkuburan luas para pejuang yang terkorban. Apabila Masjid Zahir didirikan disitu dalam tahun 1913, kubur-kubur para pejuang dipindahkan ke Alor Merah dan ke Akar Peluru. Tetapi masih banyak yang tidak dipindahkan bernirai-nirai di perkarangan Masjid hingga ke tebing sungai tanpa nisannya. Meriam-meriam di perkarangan masjid itu Cuma menjadi kesan peninggalan kepada tapak atau medan pertarungan antara Islam dengan bukan Islam lebih seratus tahun dahulu.
Kuburan para pejuang terdapat juga di tebing Sungai Kedah dikawasan Mahkamah Rendah sekarang. Sebuah kawasan perkuburan yang lebuh luas ialah di Tanjung Bendahara. Tok Lidah Hitam berhampiran pintu masuk ke kawasan Kolej Sultan Abdul Hamid ialah lanjutan dari perkuburan Tanjung Bendahara itu. Sepucuk meriam di hadapan bangunan asrama Kolej ditemui di kampong Tanjung Bendahara di belakang asrama tersebut. Sepucuk lagi meriam besar tetapi telah patah ada di tebing selatan Sungai Kedah bertentangan dengan Kampong Tanjung Bendahara ini.
Orang-orang Suka Menanti dan Alor Merah memberi pertentangan sengit yang menjadi buah mulut sehingga hari ini. Kota tanah di Pantai Johor ialah sebahagian dari kota pekeliling yang melengkongi Istana Anak Bukit. Meriam yang menjadi perhiasan di Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim, di Jenan, ditemui di kuala Sungai Alor Merah.
Masa kelang padi Kerajaan di Anak Bukit hendak didirikan dalam tahun 1920 (?) dahulu, orang-orang kampong telah diupah menggali sebuah perkuburan di tapak kelang itu dan mengubah tulang-tulangnya ke tempat lain. Beratus-ratus kubur kepunyaan para pejuang yang mempertahankan Anak Bukit juga didapati jasad-jasad yang tidak reput, masih merah dan bersih, tanda-tanda orang mati syahid.
Sedang tentera-tentera Siam beransur tiba dan mencetuskan pertarungan di sana sini beratus-ratus buah perahu kecil dan besar serta rakit dan apongan dari ulu telah menghilir ke Kuala meminta perlindungan kapal perang “Hai Seng”. Kapten Warren yang diperintahkan supaya membantu Siam di dalam peperangan ini diarah dengan tegasnya pula supaya menolong orang-orang yang meminta perlindungan Inggeris. Kebengisan Siam yang di luar peri kemanusiaan termasyhur ke mana-mana.
Kapten Warren telah pun menyediakan sebuah tongkang besar, sebuah top, lima buah perahu besar dan seratus lima belas perahu-perahu kecil di keliling kapalnya untuk membawa orang-orang pelarian ke Pulau Pinang.
Sebuah kapal perang, “Emerald” yang mempunyai dua puluh lima orang kelasi Melayu telah mengiringi tiga ribu orang pelarian dari Kuala Kedah ke Pulau Pinang. Dalam perjalanan mereka disertai pula oleh pelarian-pelarian dari lain-lain kuala dan kejadian seperti tahun 1821 berulang semula. Dua pertiga dari pelarian-pelarian yang berhijrah ialah wanita dan kanak-kanak serta orang-orang tua dan orang-orang yang tidak berdaya. Penghijrahan ini berlangsong selama beberapa malam berturut-turut dan Bandar Pulau Pinang gempar semula dengan kisah-kisah keganasan Siam.
(Sumber : https://perkasaparlimenbagan.wordpress.com/sejarah-bagan/kisah-perang-musuh-bisik/siri-7/)

PERANG MUSUH BISIK - SIRI 6

PEMBINAAN KOTA-KOTA TANAH

ORANG-ORANG Melayu yang tinggal menetap di dalam negeri sepanjang zaman pemerintahan Siam bersyukur kepada Tuhan kerana Kedah telah bebas semula dari cengkaman Siam. Mereka inilah yang menjadi teras kepada gerakan pembangunan yang disusun semula oleh Tunku Abdullah dan Tunku Muhamad Saad serta panglima-panglimanya.

Gendang raya dipukul menandakan masuk waktu bersembahyang dan suara bang dilaungkan garuk dan parau melayup hingga ke bintang timur tinggi. Sudah berani orang berkumpul dimasjid-masjid dan di bandarasah melakukan sembahyang berjemaah dan membaca Yassin beramai-ramai. Di masa yang bergelora di bawah pentadbiran Siam, amat ramai orang yang beramal ibadat kepada Tuhan menumpu sepenuh minat hanya kepada kerja-kerja yang direzainya supaya masin doa’ dan permintaan terutamanya buat menjauhkan bala dan bahaya dari kampong halaman dan kaum keluarga. Sekali sekala terdengar orang meminta tolong kerana dirompak dan dianiayai oleh orang-orang Siam dan pengikut-pengikutnya ; sekarang tidak akan kedengaran lagi! Sekali sekala orang-orang Melayu akan mengumpulkan anak isteri ditempat yang selamat meninggalkan mereka kepada jagaan Tuhan kerana mereka terpaksa mendaki bukit menyerang segerombolan tentera Siam yang baru tiba menindas orang-orang kampong. Sekarang tindakan begitu tidak perlu lagi! Syukur alhamdu Lillah!

Tunku Muhamad Saad merancangkan supaya penduduk-penduduk di Negeri Kedah bertambah ramai. Beliau menghantar utusan ke Pulau Pinang, Seberang Perai dan ke Perak menjemput semula penduduk-penduduk asal negeri ini pulang ke kampong halaman dan membersihkan sawah serta dusun masing-masing.

Disamping itu beliau menggalakkan perniagaan beras, kerbau lembu dan ayam itik dengan Seberang Perai. Perniagaan yang semakin hari semakin rancak ini disebut-sebut oleh Siam kepada Gabenor Bonham tetapi Inggeris tidak dapat mengawal sempadan untuk menyekat perniagaan yang menguntungkan kedua-dua pehak. Pusat-pusat perdagangan terdapat di Kota Kuala Muda, di Pekula, di Rantau Panjang, di Pinang Tunggal, di Serukum, di Sidam hingga ke Lubuk Kiap. Orang-orang disini sibok menjual beli hingga jauh kedalam kawasan Inggerisdi Seberang Perai. Dalam zaman Siam perniagaan ini dilakukan secara berselindong sekarang sudah terbuka lantang kerana Siam tidak ada lagi dan barangan makanan tidak mencukupi di kawasan Inggeris.

Pentadbiran baru dibawah Tunku Abdullah masih bimbang dengan ancaman dari Siam yang pergi dengan tidak berhantar kalau-kalau datang pula dengan tidak bersambut. Rancangan pertahanan negeri mengambil tempat yang utama dalam bidang pembangunan semula di bawah kelolaan Tunku Muhamad Saad. Sekarang masih boleh dilihat tembok-tembok, kotatanah sebagai benteng pertahanan didirikan oleh orang-orang kampung ditempat-tempat yang ditentukan oleh panglima-panglima perang. Kota-kota tanah yang memang telah lama didirikan diperbaiki semula dan diperkuatkan. Di antara kota-kota tanah yang terpenting ialah di Pinang Tunggal tempat menyambut bekalan senjata dan bantuan tentera dari Seberang Perai dan Perak. Kotanya tinggi dua puluh kaki dan tebalnya di tempat yang paling nipis ialah dua depa. Jaraknya dari tebing Sungai Muda hingga kekaki sebuah bukit kecil lebih kurang tiga ratus ela. Kota ini masih dapat dilihat lagi hari ini. Kota-kota lama di Siputeh, di Kota Kuala Muda, di Merbuk, di Tebengau, diperkuatkan.

Angkatan perang Melayu membantu orang-orang kampung membina kota yang paling panjang sekali di utara iaitu di tebing Sungai Kedah di Limbung hingga ke Jerlun sejauh lima belas batu. Kota ini melalui kawasan-kawasan yang penting seperti Pekan Limbong yang menjadi sebuah pusat perniagaan yang sibuk pada masa ini, Langgar, tempat letaknya permakaman raja-raja Kedah, Lepai dan Bukit Pinang tempat letaknya beberapa buah istana, Alor Ganu dan Padang Saujana tempat letaknya beberapa buah kubu pertahanan yang kuat di tebing Sungai Kedah, Kota Rentang dan Jerlun ialah lagi kubu-kubu yang stratejis diharap dapat menyekat kemaraan musuh dari utara dan dari laut. Kota panjang ini ialah benteng utama mempertahankan Kota Setar dan Kota Kuala Kedah dari pukulan mengejut. Kota panjang ini sekarang dikenali sebagai Kota Limbong, Kota Kudung Kota Langgar, Kota Lepai, Kota Bohor, Kota Alor Ganu, Kota Padang Saujana, Kota Rentang, dan dari situ hingga ketepi laut sudah tidak ada kota lagi. Panglima yang berjasa mengepalai kerja-kerja membina kota di Langgar dan di Limbong ialah Datuk Lela yang berasal dari Petani.

Di tempat-tempat di selekoh kota diletakkan meriam dan peluru-peluru besi serta ubat-ubat bedil. Tempat-tempat ini dipanggil “Melor Hati”. Di sinilah banyak terdapat peluru-peluru yang berkarat belum digunakan lagi dengan tulang-tulang manusia bersusun tideh. Datuk Lela akhirnya menjadi seorang pembesar Sultan Kedah dan anak cucunya masih ramai berbakti di Kedah.

Selingkar kota tanah dua depa lebar dan sepuluh kaki tinggi dibina mengelilingi Anak Bukit ialah sebuah lagi pusat perniagaan yang tidak mati walaupun di bawah pentadbiran Siam.

Di Kota Setar dibina sebatang kota tanah dari Tanjong Pembunuh hingga ke Kampung teluk di selatan Sungai Kedah. Sekarang Jalan Kota Tanah berlari betul-betul di atas kota itu.

Di Kuala Kedah terdapat juga sebatang kota tanah dibina sebelah matahari naik Kota Kuala sebagai benteng kepada pelabuhan Kuala Kedah dari serangan darat. Datuk Menara, berasal dari Petani, dikatakan bertanggongjawab membina kota ini.

Selain dari kota-kota tanah yang disebut ini ada juga kota-kota yang dibinakan di merata-rata tempat yang dipikirkan perlu berbenteng seperti di Kota Mengkuang, Kota Giam, Naga, Kota Sena, Kota Kayang dan di Bukit Pinang.

Orang-orang di Setol turut membina beberapa buah kota tanah juga di Mambang Sengkara, di Kuala Langu, di Kampung Kota dan di Kuala Bara. Kampong Mambang Sengkara dikenali sekarang sebagai Kampong Pikman dan kotanya dibuat dari tanah bercampur batu. Hari ini orang-orang Melayu di sana menyebutnya Kota Raja Bersiong.

Lebar kota-kota tanah ini boleh dikatakan sama sahaja dimana-manapun iaitu dua tau tiga depa dengan tingginya lebih kurang lima belas kaki. Disebelah luar dikorek pula parit besar memanjang tembok kota dan dipinggirnya antara parit dan tembok dijajarkan batang-batang buluh hidup yang akhirnya tumbuh menghijau dan menambahkan lagi kekebalan kota-kota ini. Biasanya apabila pokok-pokok buluh ini membesar dan berumpun, batangnya tidak lut oleh bedilan-bedilan astanggar atau lela. Kadang-kadang peluru meriam pun akan melantun kesasaran lain jika bergesel dengan kulitnya yang licin dan keras itu.

Orang-orang inggeris cemas melihat kota-kota tanah yang menghijau dengan pokok-pokok buluh duri di Pinang Tunggal telah membedil kota-kota disana dengan alasan mengusir lanun-lanun yang lari kesitu. Inggeris tidak berjaya menembusi benteng-benteng ini. Batang-batang buluh hanya menggeliat dan mendengkur apabila ditiup angin yang panas.

Dimasa-masa yang tidak ada lanun, Inggeris membedil kota-kota tanah ini sesukanya dengan alasan menembak burung-burung pala dan burung seriap yang memangnya banyak bercengkerama diparit-parit kota. Di Kota Langgar terdapat sebuah kuburan Inggeris membujur sejak tarikh ini yang mungkin menerima ajalnya bukan kerana demam malaria, mungkin kerana terlalu lincah membedil burung seriap juga. Di Tanjung Inggeris banyak terdapat kuburan satria, ramai diantaranya ialah anak cucu Datuk Lela.

Orang tua-tua masih menceritakan bagaimana pokok-pokok buluh ini telah lenyap kerana ditebang oleh orang-orang Melayu sendiri. Inggeris mendapat akal bahawa orang-orang di Pinang Tunggal semuanya gemarkan wang ringgit, malahan mereka ialah ahli-ahli perniagaan yang handal diperbatasan pada masa itu. Jadi, orang-orang Inggeris menggunakan wang-wang emas dan perak sebagai peluru membedil pokok-pokok buluh dipinggir kota tanah disana. Orang-orang Melayu berebut-rebut mengambil wang-wang emas dan wang perak ini dari celah-celah pokok buluh. Bagaimanapun masih ada juga wang-wang yang terselit dicelah-celah perdu dan umbinya. Untuk memungut semua wang-wang yang tidak patut dibiarkan membazir disitu, mulalah pokok-pokok buluh itu ditebang serumpun demi serumpun.

Pada masa kekeringan belanja, diwaktu yang aman-aman, orang-orang kampong menebang buluh dikota mereka dan memungut sekeping dua wang emas atau wang perak. Kerana datangnya dri mulut meriam, wang-wang emas dan perak ini sebam-sebam hitam bekas terbakar dan kemik-kemik. Terdapat juga wang-wang emas begini yang sebam-sebam hitan dan kemik-kemik, di Limbong, di Langgar dan di Alor Ganu. Wang-wang itu dipungut orang kemudian dilebur, dijadikan barang-barang kemas murah.

Alangkah baik kalau wang-wang emas dan wang-wang perak itu disimpan untuk ditunjuk kepada anak cucu masa-masa mereka kehampaan semangat, mudah-mudahan timbul geramnya membuktikan bahawa dia tidak mudah dibeli dengan wang-wang yang sebam hitam dan kemik-kemik, walaupun emas walaupun perak.

RAMAI YANG MATI SYAHID

PERTENGAHAN bulan Mac tahun 1839, tentera Siam seramai lima belas ribu orang telah sampai di Kuala Jerlun memikul istinggar-istinggar yang bercap “East india Company”. Orang-orang Siam menggunakan beratus-ratus ekor gajah memikul bekalan makanan, meriam kecil dan ubat bedil.

Sebelum orang-orang Kedah sempat mengkaji dimana letaknya kelemahan mereka, Kota Alor Ganu dan Kota Padang Saujana telah jatuh ketangan orang-orang Siam. Kejayaan ini dapat mengasingkan orang-orang Melayu di Langgar dengan orang-orang disebelah Kuala Kedah. Siam telah menggempur Alor Ganu disebelah malam dan ramailah orang-orang Melayu yang gugur. Seorang daripadanya ialah Panglima Hitam yang dianggap keramat di Padang Saujana. Kuburnya masih menghiasi kampong itu hingga kehari ini. Syed Husin yang menjadi pengharapan Tunku Muhamad Saad di Kota ini telah terkurban bersama-saman enam ratus orang perwira.

Alor Ganu mempunyai beberapa pucuk meriam yang berjasa dan sekarang telah dapat dipergunakan oleh Siam. Dari Alor Ganu Siam menghantar rombongan-rombongan penyerang malam ke Kota Rentang dan Pulau Kerengga, tempat-tempat ini dengan senangnya diduduki Siam dan matlamat mereka hendak merebut Kota Kuala Kedah bertambah mudah apabila Gunung Keriang dapat dijadikan markas yang kedua selepas Alor Ganu. Dari Gunung Keriang mereka melancarkan serangan keatas Kota Kuala Kedah tiap-tiap malam dan berundur semula ke Gunung Keriang di waktu siang.

Sebuah lembaga Buddha tersenyum dipinggir Gunung Keriang dibina oleh tentera-tentera Siam ketika merayakan kejayaan mereka merampas negeri Kedah dari Tunku Kudin dahulu sibuk dipuja semula.

Satu ketumbukan orang Siam dihantar menyerang Langgar dan Limbong melalui Bohor, Lepai dan Sungai Mati. Datuk Lela berjuang mati-matian. Disepanjang-panjang kota dari Limbong hingga ka Kota Rentang dan terus ke Kuala Jerlun bersusun-susun mayat perajurit yang terkurban. Diatas tembok kota itulah dikebumikan dan ditalkinkan.

Sekarang ini, selain dari senjata yang berkarat, peluru-peluru meriam dan tunggul-tunggul buluh yang tuaterdapat di tembuk-tembuk kota lima belas batu ini terdapat pula batu-batu kerikil menandakan kepala dan kaki pahlawan-pahlawan yang gugur. Terdapat juga nisan yang cantik berselirak di Langgar dan di Limbong, beratus-ratus banyaknya menandakan beratus-ratus pula yang sempat dikuburkan dengan sempurna. Di Negeri Kedah ini, dimana terdapat nisan yang usang, letaknya tidak jauh dari kota tanah, tempat mereka berjuang.

Terdapat kubur seorang ulama di Serokan hampir perbatasan Kedah dan Seberang Perai, seorang pejuang yang gugur mungkin dalam pertarungan kali ini juga dan dinisannya berpahat dengan “Inna fatahna laka fathan mubina” membayangkan harapan kuat untuk orang Melayu menempa kejayaan dan senandongnya irap-irap syair orang Langkawi. Beberapa banyak nisan yang tidak bernama beratus-ratus banyaknya di Langgar dan di Limbong. Berapa banyak Panglima Hitam, Tok Serban Hijau, Tok Tungkat, Tok Janggut, Keramat Anak Dara, Tok Amar, Tok Raja dan lain-lain yang ada disana dan di Alor Ganu, di Naga, di Kuala Kedah dan di Anak Bukit, di Kalai, di Bukit Wang dan di Pulau Pisang dan di Perlis serta di Setol. Berpuluh-puluh yang berdarah raja sempat dikumpulkan didalam Kota Makam di Langgar, ramai pula yang tercicir bersama rakyat sebanyak. Banyak lagi Tok Jambi, Tok Pasai, Tok Siak dan Tok Kemboja, di merata-rata tempat yang syahid bersama orang-orang Kedah. Di Mempelam dekat Kuala Kedah tersadai mayat seorang ulama Banjar, Shaikh Mas’ud dari titisan Raja Kartasyuta Banjarmasin, tidak sempat dikuburkan hilang dibawa arus.

Alor Setar menjadi tempat pertarungan haibat yang sukar diatasi oleh angkatan Legor. Istana Sultan dan Balai Besar ialah diantara bangunan-bangunan yang kuat sekali dipertahankan. Meriam-meriam yang digunakan dalam pertahanan bandar ini masih menghiasi perkarangan Masjid Zahir. Bukanlah secara kebetulan meriam-meriam itu diletakkan diperkarangan Masjid Zahir tetapi dirancangkan kerana di tapak masjid itulah letaknya sebuah perkuburan luas para pejuang yang terkorban. Apabila Masjid Zahir didirikan disitu dalam tahun 1913, kubur-kubur para pejuang dipindahkan ke Alor Merah dan ke Akar Peluru. Tetapi masih banyak yang tidak dipindahkan bernirai-nirai di perkarangan Masjid hingga ke tebing sungai tanpa nisannya. Meriam-meriam di perkarangan masjid itu Cuma menjadi kesan peninggalan kepada tapak atau medan pertarungan antara Islam dengan bukan Islam lebih seratus tahun dahulu.

Kuburan para pejuang terdapat juga di tebing Sungai Kedah dikawasan Mahkamah Rendah sekarang. Sebuah kawasan perkuburan yang lebuh luas ialah di Tanjung Bendahara. Tok Lidah Hitam berhampiran pintu masuk ke kawasan Kolej Sultan Abdul Hamid ialah lanjutan dari perkuburan Tanjung Bendahara itu. Sepucuk meriam di hadapan bangunan asrama Kolej ditemui di kampong Tanjung Bendahara di belakang asrama tersebut. Sepucuk lagi meriam besar tetapi telah patah ada di tebing selatan Sungai Kedah bertentangan dengan Kampong Tanjung Bendahara ini.

Orang-orang Suka Menanti dan Alor Merah memberi pertentangan sengit yang menjadi buah mulut sehingga hari ini. Kota tanah di Pantai Johor ialah sebahagian dari kota pekeliling yang melengkongi Istana Anak Bukit. Meriam yang menjadi perhiasan di Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim, di Jenan, ditemui di kuala Sungai Alor Merah.

Masa kelang padi Kerajaan di Anak Bukit hendak didirikan dalam tahun 1920 (?) dahulu, orang-orang kampong telah diupah menggali sebuah perkuburan di tapak kelang itu dan mengubah tulang-tulangnya ke tempat lain. Beratus-ratus kubur kepunyaan para pejuang yang mempertahankan Anak Bukit juga didapati jasad-jasad yang tidak reput, masih merah dan bersih, tanda-tanda orang mati syahid.

Sedang tentera-tentera Siam beransur tiba dan mencetuskan pertarungan di sana sini beratus-ratus buah perahu kecil dan besar serta rakit dan apongan dari ulu telah menghilir ke Kuala meminta perlindungan kapal perang “Hai Seng”. Kapten Warren yang diperintahkan supaya membantu Siam di dalam peperangan ini diarah dengan tegasnya pula supaya menolong orang-orang yang meminta perlindungan Inggeris. Kebengisan Siam yang di luar peri kemanusiaan termasyhur ke mana-mana.

Kapten Warren telah pun menyediakan sebuah tongkang besar, sebuah top, lima buah perahu besar dan seratus lima belas perahu-perahu kecil di keliling kapalnya untuk membawa orang-orang pelarian ke Pulau Pinang.

Sebuah kapal perang, “Emerald” yang mempunyai dua puluh lima orang kelasi Melayu telah mengiringi tiga ribu orang pelarian dari Kuala Kedah ke Pulau Pinang. Dalam perjalanan mereka disertai pula oleh pelarian-pelarian dari lain-lain kuala dan kejadian seperti tahun 1821 berulang semula. Dua pertiga dari pelarian-pelarian yang berhijrah ialah wanita dan kanak-kanak serta orang-orang tua dan orang-orang yang tidak berdaya. Penghijrahan ini berlangsong selama beberapa malam berturut-turut dan Bandar Pulau Pinang gempar semula dengan kisah-kisah keganasan Siam.

SIAM MENEWASKAN TUNKU MD. SAAD

MASA Tunku Muhamad Saad menyerang Siam di Kedah dan membebaskan negeri itu dari cengkaman mereka, Gabenor Legor dan Gabenor Senggora berada di Bangkok menghadiri upacara penghangusan jasad Bonda Rani ibu kepada Maharaja Rama III. Bila mereka diberitahu orang-orang Melayu telah menduduki semula negeri Kedah dan negeri-negeri Melayu di Selatan telah turut dibebaskan, mereka memohon bantuan dari Bangkok dan dari wilayah mereka sendiri seperti Legor, Senggora, Petalong dan juga dari Kelantan dan Petani.

Gabenor Legor menghantar utusannya menemui Inggeris di Singapura dan dua-dua pihak telah bersetuju akan saling bantu-membantu. Inggeris bersetuju mengepung Kedah dari laut dalam bulan Disember ketika angin ribut Timur Laut bertiup. Dalam bulan itu, Siam akan menyerang dari darat dengan lapan puluh ribu orang tenteranya.

Seperti yang dijanjikan, kapal Inggeris bernama “Hyacinth” tiba dan berlabuh pada 7 haribulan Disember 1838 dua ratus ela dari Kuala Sungai Kedah. Orang-orang kapal menanam batang-batang nibung dan batang-batang pinang menyekat mulut kuali kecuali bahagian kecilnya yang dibuka untuk perahu-perahu kecil berulang keluar masuk. Bahagian kecil itu dikawal rapi.

Angin Timur mula menghembus, tanah sawah mula merekah dan di Laut pula didatangi ribut. Tiap-tiap perahu yang keluar dan masuk dipereksa oleh anak-anak kapal “Hyacinth” dan senjata orang-orang Melayu di rampas. Orang-orang yang bersiap seperti hendak berperang akan dipaksa pulang kedaratan. Orang-orang dari luar tidak lagi di benar masuk ke Kedah. Orang-orang dari Langkawi, Pulau Pinang atau Setol yang datang ke Kedah akan diburu balik ke tempat asalnya.

Dalam bulan Disember anak Gabenor Legor yang menjadi Gabenor di Kedah Phya Thibet dikenali sebagai Phya Buri Saknuton dalam Sejarah Kedah mengepalai angkatan Siam dari Legor seramai sepuluh ribu orang bertindak membunuh laki-laki perempuan dan kanak-kanak serta membakar licin kampong rumah, pokok-pokok kayu dan tanaman orang dalam satu gerakan bumi hangus yang tidak ada taranya di tanah air kita. Rancangan Legor ialah hendak menghanguskan seluruh negeri dari Setol hingga ke Sungai Kedah.

Dato’ Muhamad Ali di Setol kaku tidak dapat bertindak dengan pantas kerana Siam masuk dengan mengejut dari daratan. Halangan yang diberi oleh Dato’ Muhamad Ali tidak berkesan langsung. Tentera-tentera Siam mempunyai senjata-senjata yang lebih moden dapat meredas dari sempadan menuju kekawasan Kedah dengan mudah dan cepat.

Orang-orang di Setol dan di Terang tidak dapat menentang angkatan Legor yang jauh lebih ramai berhijrah meninggalkan kampong halaman berperahu di pulau-pulau di perairan Burma terpisah dari saudara mara yang membuyung ke Semenanjung.

Angkatan Tunku Muhamad Saad yang sedang menduduki Senggora di serang dari belakang oleh satu ketumbukan tentera Legor yang lebih besar. Orang-orang Melayu yang di tawan kononnya diikat kemudian dilecek oleh gajah hingga menjadi “sambal”. Mengikut cerita dari orang-orang yang berjaya melepaskan diri ke Pulau Pinang, ramai orang-orang Melayu yang diikat kemudian disula dari bawah dengan pucuk nipah hidup yang menghulurkan taruk sejengkal demi sejengkal setiap hari menembusi isi perut orang yang malang itu. Sebelum mati, orang-orang ini menderita kepedihan yang amat perit. Masa inilah terdapat beribu-ribu manusia dari Petani, Setol dan Perlis berhijrah ke Selatan iaitu ke Perak dan ke Pulau Pinang, ke Kelantan dan Terengganu.

Sekurang-kurangnya kita mengetahui Panglima Busu dan Raja Usoh dari Setol selamat sampai di Selatan Kedah dan membuka kampong halaman disana. Lebih kurang tiga bulan lamanya mereka menderita dan mengalami pelbagai kesedihan di dalam perjalanan: Tangisan kanak-kanak yang menyusu di dada ibunya yang terbaring tidak bernyawa ; ibu dan ayah meratapi anak yang terpaksa dikuburkan didalam hutan dan siisteri meratapkan suami yang telah terbujur menjadi mayat.

“Nun di tengah tanah persawahan yang sudah menjadi arang dibakar oleh orang-orang Siam adalah beberapa kanak-kanak dan orang tua juga sedang menyungkili buah-buah padi di celah rekahan tanah yang tersebut untuk ditanak dengan randawan dari bahan-bahan yang boleh dimakan sebagai umbut dan daun-daun kayu serta ubi-ubi yang didapati didalam hutan.”

Kumpulan Raja Usoh membuka “Kampong Raja” di tebing Sungai Kerian dan kumpulan Panglima Busu dan Tok Pawang Sulaiman membuka “Kampong Bukit Tok Gula” di daerah Bandar Baharu. Tok Gula ialah gelaran kepada Panglima Busu yang pandai membuat gula kelapa. Banyak lagi kampong-kampong yang dibuka pada zaman ini oleh orang-orang berhijrah dari Setol, Petani dan lain-lain wilayah Siam melarikan diri ketempat yang aman.

Pemimpin-pemimpin Melayu di Senggora berundur ke Kota Bharu dan akhir-akhirnya telah berjaya melepaskan diri ke Seberang Perai. Perjuangan dari tahap ini telah lumpuh dan mereka mengharapkan ketumbuk-ketumbuk lain dari Setol, Perlis dan Langkawi menyelamatkan Negeri Kedah.

Diantara tujuh wilayah di Petani, hanya empat sahaja iaitu Nangcik, Raman, Yala dan Legih yang menyokong Tunku Muhamad Saad, sedang tiga lagi iaitu wilayah Petani, Jering dan Sai tidak dapat bertindak sedikit pun.

Angkatan Legor telah mara ke selatan melalui Padang Besar dan Padang Kecil terus masuk ke kawasan Perlis, dan Kedah setekah menduduki Trang dan Setol. Di Padang Kecil, sekarang dikenali sebagai Haad Yai, satu pertempuran besar telah berlaku dan mengakibatkan ramai tentera Melayu dan tentera Siam menjadi korban. Diantara yang syahid disini ialah Shaikh Samad Palembang.

Orang-orang Melayu di Kedah mengharapkan hujan dan ribut melemahkan semangat orang-orang Siam yang melakukan serangan-serangan hendap di waktu malam tetapi sebenarnya Siam hanya mengukur kekuatan orang-orang Melayu sebelum menyerang besar-besaran dalam bulan tiga nanti.

Siam menggantungkan buluh-buluh kentong dipinggang tiap-tiap orang tenteranya supaya boleh dibunyikan bagi mengenali rakan-rakan mereka dan juga sebagai mengelakkan diri dari mengantuk di tempat berkawal. Bunyinya di jauh-jauh malam amat lantang dan irama bambu sambut menyambut dari seorang tentera keseorang lain memecah monotoni malam hingga terbit fajar. Orang-orang Melayu di tembok=tembok kota tanah akan berteriak kepada rakan-rakannya,”Jaga,jaga!” Rakannya pula akan berteriak balas, “Jaga,jaga..!” Sehingga semua orang-orang Melayu berada didalam keadaan berjaga-jaga. Buat beberapa waktu bunyi kentong buluh, seruan “Jaga, jaga..!” dan tembakan meriam serta lela dan istinggar berkecamuk tidak tentu sasaran. Acapkali terdengar tentang tanduk kerbau dari kampong di pendalaman di tengah-tengah angin ribut yang menyapu pantai.


(disalin tanpa edit dari Mas Raden di group facebook JP PSSCM)

Sunday, October 16, 2011

PERANG MUSUH BISIK - SIRI 5

“SIAM TEWAS, KEDAH MARA KE SENGGORA”

Dari pengalaman di Pulau Songsong dan di Pulau Bunting, Tunku Muhamad Saad telah mengkaji semula kedudukan angkatan perangnya. Akhirnya Tunku Muhamad Saad mendapat persetujuan dari Dato’ Muhamad Ali Datok Setia Segera, Panglima Muhamad Taib Hitam dan lain-lain panglima kanan supaya angkatan perang kali ini dibahagi kepada empat pasukan.

Pasukan pertama ialah pasukan penyerang yang terdiri dari pejuang-pejuang handalan-pahlawan dan panglima-panglima yang tahan di pahat biji mata dan boleh menangkap peluru yang terbang dengan tapak tangan. Ketua pasukan ini ialah Tunku Muhamad Saad sendiri. Matlamat pasukan ini ialah menduduki Kota Senggora yang terletak di Laut China.

Pasukan kedua dikepalai oleh Dato’ Muhamad Ali. Matlamat pasukan ini ialah menyerang Negeri Terang, Negeri Krakbi dan Pulau Panjang yang letak bertentangan dengan Negeri Pangnga. Angkatan ini akan bergerak dari laut dan dari darat. Serentak menuju ke utara. Pasukan-pasukan kedua ini mengandungi sekumpulan pahlawan-pahlawan yang digelar “Puak Tulang Besi”.

Kumpulan ketiga terdiri dari orang-orang Kedah dan orang-orang Petani yang mempunyai sasaran membebaskan Negeri Petani dengan apa jalan dan cara sekalipun. Angkatan ini diketuai oleh seorang putera Petani yang tidak lagi diketahui namanya.

Kumpulan keempat diketuai oleh Tunku Muhamad Akib ditugaskan menjadi angkatan simpanan yang setia. Selepas menduduki Kota Kuala Kedah dan mengawal ketenteraman seluruh negeri, mereka akan diminta membantu mana-mana pasukan yang belum beres dengan matlamatnya.

Detik dan ketika melancarkan serangan ditetapkan oleh pahlawan yang tua-tua berkebetulan dengan Temasya Tambun di Bangkok semasa Maharaja Siam membakar jasad seorang Maharani nya. Pada masa ini semua gabenor-gabenor wilayah dan pegawai-pegawai tinggi Kerajaan berkumpul di Bangkok menghormati Maharani yang akan di hantar ke akhirat. Masa itulah Tunku Muhamad Saad sampai di Haad Yai dan Dato’ Muhamad Ali sampai di Puket.

Dalam bulan Muharram tahun itu turun dari Mekah seorang Ulama yang terkenal bernama Shaikh Abdul Samad iaitu anak kepada Shaikh Abdul Jalil al-Mahdani yang menjadi guru kepada Sultan. Shaikh Abdul Samad bernaung di Mekah sejak kecil lagi dengan sarudaranya yang menjadi mufti di Kedah iaitu Shaikh Abdul Kadir Dato’ Maharaja Kadi. Mereka berdua berlainan ibu. Shaikh Abdul Kadir ibunya orang Kedah sedang Shaikh Abdul Samad ibunya orang Palembang, maka dikenali beliau sebagai Shaikh Abdul Samad Palembang. Dua-dua orang Shaikh ini telah turut berjuang bahu membahu dengan Tunku Muhamad Saad dan memberi perangsang serta galakan yang besar kepada kejayaan perjuangan merebut negeri Kedah sekali ini. Dua-dua ulama ini diletak dikumpulan Dato’ Muhamad Ali Setia Segera bergaul mesra dengan orang-orang Langkawi.

Angkatan perang Kedah menuju ke Utara dari tiga hala serentak dan telah berjaya melumpuhkan pertahanan Siam di mana-mana mereka pergi. Negeri Petani telah terjatuh ketangan orang-orang Melayu semula. Terang dan Pulau Phuket telah diduduki oleh Dato’ Muhamad Alidan beliau mara ke Timur membantu Tunku Muhamad Saad yang telah menawan Haad Yai dan sedang bergerak ke Utara menduduki Senggora dan Boyang.

Kuala Kedah dengan senangnya diambil oleh kumpulan nombor empat dan perjuangan yang agak serius hanya berlaku di Alor Ganu selama beberapa ketika. Phya Buri Seknutun yang bertahan di Alor Ganu telah berundur ke Petalung dengan beberapa kerat tenteranya.

Negeri Kedah telah bebas semula dan Kota Kuala Kedah telah diduduki oleh orang-orang Melayu. Penghulu Kota dilantik dengan serta merta dan penghulu sekali ini ialah Syed Hussein.

Dalam perjalanan ke Utara, angkatan Perang Tunku Muhamad Saad bertemu dengan hutan belantara yang menyelubungi Negeri Kedah terutama yang ditempat-tempat yang asal nya kampung dan sawah. Sekarang ini perkampungan hanya terdapat di pinggir-pinggir bukit dan di tempat-tempat yang terpencil di lurah-lurah pergunungan. Di sanalah mereka menanam pokok-pokok durian dan lain-lain pokok buah-buahan sehingga sekarang kita masih mendapati dusun-dusun yang indah di tempat yang sukar di datangi manusia. Dusun-dusun di bukit dan di tengah-tengah hutan ini mempunyai riwayat asal-usulnya dari tarikh ini. Ramai pula hulubalang-hulubalang yang menitiskan air mata melihat manisan lebah menitik dari sarangnya membanjiri perdu tualang. Tiada ada orang yang ingin berusaha memungut madu lagi.

Angkatan perang yang berjalan kaki ini mendarat di Kuala Perlis dan Kuala Sanglang kemudian menuju ke Bukit Kayu Hitam dan terus ke Haad Yai. Dari sini mereka mara hingga ke Senggora dan Petani.

Angkatan laut Melayu yang dikumpul oleh Tunku Muhamad Saad belum ada bandingnya di dalam sejarah Nusantara dan Dato’ Muhamad Ali adalah seorang Laksamana yang teragung belum pernah di riwayatkan orang dengan sepenuhnya.

Dari kesah-kesah yang masih diperbualkan, kapal-kapal orang Melayu pada masa itu tidaklah besar seperti kapal-kapal sekarang. Kapal-kapal Melayu hanya memakai layar atau pun dayung. Jenis yang agak besarnya ialah jong, pilang, pusta atau galis. Diantara yang banyak-banyak itu terdapat sebuah yang amat besar, sagurnya berlapis-lapis dan boleh dibuat kota atau benteng untuk bertembak-tembak. Kapal inilah yang menjadi kenaikan Dato’ Muhamad Ali.

Diantara pejuang-pejuang yang melibatkan diri menyerang Terang dan Pulau Puket dari tangan Siam ialah orang-orang Lanun dari Mindanao di Philippina dan beberapa orang Balanini dari Pulau Sulu. Lanun-lanun dan Balanini ini cekal dan berani menghadapi musuh dan tidak mudah meninggalkan satu-satu perjuangan yang belum selesai. Mereka memilih mati dari menjadi tawanan perang atau hamba abdi orang.

Pada satu masa perahu-perahu mereka telah ditembak oleh sebuah kapal perang Inggeris hingga berkecai didalam laut. Mereka tidak rela dipungut-pungut oleh kapal tersebut supaya diselamatkan. Mereka lebih senang mati dari hidup tidak bermaruah.

Orang-orang lanun dan Balanini ini gempal tetapi pendek tubuhnya, berambut panjang menjijak bahu, berlilit kepala, berseluar ketat tetapi pantang berbaju. Tulang pipinya tinggi, hidung penyet, mata merah dan mulut pun merah juga sebab kuat makan sirih.

Perahu mereka ialah bangsa perahu panjang- ada yang sehingga sembilan puluh lima kaki dari haluan keburitan, didayung oleh sembilan puluh (90) orang pendayung, empat puluh lima (45) orang sebelah. Jika keadaan memaksa, mereka mendayung siang danmalam tidak berhenti-henti dan akan menggosok mata yang mengantuk dengan daun lada pedas supaya tidak terlena. Perahu mereka berlayar dimana-mana sahaja dari Terang hingga ka Australia, dan dari Acheh hingga ke Philippina. Lela dan meriam kecil menghiasi pisang-pisang perahu mereka kiri dan kanan. Orang-orang laut ini sangat pandai menggunakan lela, istanggar dan meriam perang dengan tepat keatas perahu-perahu musuh.

Perahu-perahu Melayu didalam angkatan ini terdiri dari perahu-perahu nelayan yang biasa, bermacam-macam jenis dan saiz. Tetapi tidaklah kurang handalnya merempuh laut yang luas dan dapat pula memudiki anak-anak sungai yang sempit serta bergerak dengan senyap-senyap dicelah pokok-pokok nipah dan hutan api-api. Perahu-perahu Melayu amat senang menyelit-nyelit dicelah-celah batu dan diantara pulau-pulau yang bergugus di Nusantara ini.

Selain dari perahu Orang Melayu juga mempunyai galis atau pusta, berat diantara 40 hingga 60 ratus tan. Kapal-kapal perang Inggeris pada masa ini tidak lebih dari 150 tan pada sebijinya. Galis-galis Melayu yang besar boleh membawa 150 orang penumpang. Galis yang besar mempunyai sepuluh atau dua belas pucuk lela dan beberapa batang meriam besar yang dibeli dari orang Portugis atau orang Belanda. Galis orang Balanini lebih panjang dari galis Melayu sungguh pun pisang-pisangnya lebih rendah dan galis Balanini boleh membawa 350 orang dengan mudah.

Angkatan laut beginilah yang telah berjaya mengusir orang-orang Siam dari Negeri Kedah.

Bagi menandakan kejayaan Tunku Muhamad Saad dalam perjuangan ini, Shaikh Abdul Samad telah mengarang serangkap syair dalam Bahasa Arab yang diabadikan diatas sekeping kain sutera merah, dan disimpan oleh anak cucu Dato’ Muhamad Ali Setia Segera turun temurun di Pulau Langkawi. Syair ini memuji-muji Tuhan Semesta Alam yang menganugerahkan kejayaan cemerlang kepada seseorang:-

Putera bukan sebarang putera
Putera Raja Sultan Pilihan
Negeri Kedah telah berjaya
Mengecap nikmat anugerah Tuhan
Ugama Islam bergerak semula
Begitu lama dalam tekanan

terjemahan secara bebas ini memuji-muji Sultan Ahmad Tajuddin yang menjadi pendorong besar dalam pergerakan membebaskan kedah dari belenggu Siam. Syair ditulis dengan Bahasa Arab yang indah dan mungkin dilagu-lagukan oleh perajurit-perajurit Kedah dengan suara yang nyaring, supaya sampai juga ke telingan anak cucu mereka.

INGGERIS MEMBURU PEJUANG KEDAH DI LAUT

GABENOR Pulau Pinang mengeluarkan peristiharan kepada orang-orang Melayu yang menjadi rakyat British supaya jangan menceburkan diri dengan kegiatan-kegiatan menentang pemerintahan Siam. Orang-orang yang menarik diri akan diberi pengampunan oleh Kerajaan Pulau Pinang.

Kapten Stanley yang menjadi kapitan Kapal “Wolfe” diarah membedil orang-orang Melayu yang memburu orang-orang Siam, dan Inggeris hendaklah membantu orang-orang Siam jika ada orang-orang Melayu yang cuba merebutkan Kota Kuala Kedah.

Stanley telah terlambat kerana ketika beliau sampai di Kuala Kedah, Kota Kuala telah diduduki oleh orang-orang Melayu sejak 2 haribulan Ogos 1838 lagi dan sedang dikawal kuat oleh Tuan Syed Hussain Penghulu Kota.

Gabenor Pulau Pinang, Samuel Bonham, menyangka orang-orang Melayu akan balik ke kampong masing-masing di Seberang Perai atau di Perak selepas merompak orang-orang Siam di Kuala Kedah. Sangkaannya tersilap kerana orang-orang Melayu tidak berganjak dari Kedah malahan telah menabalkan Tunku Abdullah putera Sultan Ahmad Tajuddin menjadi raja di Kedah sepuluh hari selepas Kota Kuala Kedah jatuh ketangan mereka.

Wang pajakan Pulau Pinang dan Seberang Perai yang sepatutnya dibayar sepuluh ribu ringgit kepada Sultan Ahmad Tajuddin tidak ditepati lagi. Bonham membayar hanya enam ribu ringgit sahaja kepada baginda. Bonham marahkan Baginda Sultan yang membakar dada orang-orang Melayu supaya bangun memberontak menentang Siam. Tindakan Sultan Ahmad Tajuddin dan pengikut-pengikutnya bercanggah dengan kepentingan Inggeris. Sultan telah menulis kepada Bonham :

“Apa boleh Beta katakan kerana Kompeni Inggeris ada besar kuasanya,barang yang hendak di perintahkannya turut sukanya. Akan pasal Negeri Kedah itu negeri Beta keturunan mari dari datuk nenek Beta. Maka orang Siam tipu ambil tiadalah boleh Beta hendak lupakan pada hati, melainkan barangkali Beta dapat kuasa Beta hendak ambil balik juga negeri Beta itu. Kerana pikiran Beta, jika pada Tuan Raja Eropa Inggeris dan kepada Laut Benggala sekalipun tiada jadi kesalahan Beta hendak ambil balik negeri Beta itu kerana pada hati orang segala bangsa pun tatkala seseorang berbuat malu mengambil balik hartanya itu, jangan pun suatu negeri, jika suatu kebun sekalipun..”

Surat ini telah menambahkan rasa kagum dan hormat dari pegawai-pegawai pentadbir Inggeris di Negeri-Negeri Selat kepada Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah. Bukan sahaja kerana selama ini gerak geri dan tindakan Baginda sentiasa mencemaskan Inggeris tetapi lebih-lebih kerana semangat Baginda yang tidak pernah luntur merebut kembali tahtanya yang hak dan sebenar walaupun selepas lebih dari lima belas tahun Baginda berada didalam pembuangan; dan telah berkali-kali perjuangan Baginda menemui kegagalan. Setakat ini Bonham dan pehak Inggeris yang bertanggongjawab belum lagi insaf. Elaun Baginda dibayar hanya $6,000.00 lima enam tahun berturut-turut.

Gabenor Bonham mengarahkan “Wolfe” supaya menyerang Merbok dan merosakkan persiapan-persiapan orang Melayu yang hendak berhijrah ke Kedah kerana orang-orang ini pasti mencetuskan pemberontakan menentang Siam. Mereka bukan sahaja membawa tajak dan cangkul tetapi juga mengepilkan keris dan lembing. Tetapi kapal “Wolfe” terpaksa pulang ke India sebelum dapat menyempurnakan tugasnya dan kapal “Victor” yang mengambil aleh meronda Laut Kedah tidak pula sampai hatinya bertindak lebih dari menahan orang-orang Melayu yang keluar ke laut dengan bersenjata. Orang-orang yang membawa senjata disuruh pulang atau dibicarakan sebagai perompak.

Bonham mempunyai ingatan hendak menyerang Kota Kuala Kedah dan menyerahkannya kepada Siam. Tindakan ini dilarang keras oleh Kerajaan Indok di Madras. Madras menghantar beberapa buah kapal kepada Bonham membantunya mengepung Laut Kedah supaya orang-orang Melayu tidak mendapat bantuan senjata dan tentera dari luar. Dengan ini mudahlah Siam mengambil semula Kota Kuala Kedah itu. Kapal “Hyacinth” yang dipanggil “Hai Seng” oleh orang-orang Kedah dibantu oleh “Victor”, “Diana”, “Diamond”, “Pearl” dan “Emerald” meronda dari Pulau Pinang ke Setol setiap hari.

Tugas Kapten Warren, Kapitan Kapal “Hyacinth” yang menjadi Laksamana angkatan kapal-kapal perang Inggeris ini ialah menemui ketua-ketua Melayu di Kota Kuala Kedah dan memujuk mereka supaya menyerah kembali Negeri Kedah kepada Siam. Mereka semuanya akan Diampunkan oleh Inggeris. Tunku Abdullah, Tunku Muhamad Saad, Tunku Muhamad Akib, Panglima Muhamad Taib Hitam dan lain-lain datuk menerima Warren dengan baik tetapi tidak dapat menerima tawaran Inggeris yang terang-terang menyebelahi Siam.

Setelah diplomasinya gagal, Warren nerayau-rayau mencari tapak pelancaran serangan orang Melayu untuk dimusnahkan. Akhirnya dia bertemu dengan sebuah teluk yang cantik di Terang. Tempat ini dikelilingi oleh bukit-bukit yang mencuram ke laut. Di dalam teluk itu terkumpul sekurang-kurangya lima puluh buah perahu perang Melayu. Tiap-tiap sebuahnya boleh muat dua puluh hingga lima puluh orang lasykar. Perahu-perahu itu lengkap dengan lela iaitu meriam-meriam kecil yang boleh dipusing-pusing dan meriam-meriam katak. Perahu-perahu perang itu disusun rapi dalam satu kawasan yang brpagar batang-batang nibong berikat kemas dengan rotan. Warren berlabuh di luar teluk dan berdayong ke pengkalan telah terkejut kerana disambut oleh satu barisan kehormatan terdiri dari seratus orang lasykar laut berkeris dan berlembing. Dari atas bukit yang mengelilingi teluk itu, kapal Warren dapat dilihat dari jauh lagi dan Dato’ Muhamad Ali Setia Segera menanti di Balai dengan senyum yang bermakna.

Perbualan yang pendek antara dua Laksamana laut berakhir dengan cabar mencabar. Warren menuduh Muhamad Ali menjadi Lanun dan Muhamad Ali menuduh Warren sebagai sahabat yang tidak mengenang budi. Bagaimana pun Warren telah dibenar melekatkan kertas-kertas kenyataan di pokok-pokok kelapa memberitahu orang-orang Melayu supaya jangan menentang Siam. Jika tidak mereka akan dihukum sebagai lanun. Muhamad Ali menegaskan bahawa beliau berani mengasapi kemenyan seluruh badan Warren dan badan Kapal “Hai Seng” kiranya ada sekerat Melayu yang ingin balik ke Pulau Pinang dan enggan menebus kembali kampong halaman mereka. Warren mendesak Dato’ Muhamad Ali mengeluarkan perahu-perahu dari dalam kelong ke laut terbuka dan berlawan dengannya di xana. Dato’ Muhamad Ali mencabar Warren supaya mudik ke dalam teluk untuk melihat langit yang biru itu tinggi atau rendah. Dato’ Muhamad Ali memberitahu Warren bahawa orang Melayu telah berjaya mengusir Siam di mana-mana sahaja dan jikalau tidak dengan gangguan Inggeris, Siam dapat diusir dari bumi Melayu lama lebih dulu lagi.

Dato’ Muhamad Ali menyeru Warren supaya mempengaruhi Inggeris mengubah sikap mereka dan menyebelahi orang-orang Melayu yang berjuang menegakkan hak dan kebenaran. Warren bangun dan berkali-kali berkata, “Impossible,impossible!” terus balik ke kapalnya. Kepada jurubahasanya, Warren berkata, “Satu hari kita ajar dia!”

Warren berkeyakinan penuh dia dapat mengajar Dato’ Muhamad Ali Setia Segera kerana pengiring-pengiring kapal “Hyacinth” semuanya handal dan yang paling terkenal ialah “Diana”.

Kapitan Kapal “Diana” bernama Kapten Congalton. “Diana” ialah kapal wap yang awal-awal sekali ditimbau di India, mempunyai empat puluh kuasa kuda dan beratnya 160 tan. Kakitangan “Diana” terdiri dari seorang kapitan, dua orang pegawai Inggeris dan 30 orang kelasi Melayu. Kapal “Emerald” yang ditimbau lebih kemudian mempunyai 25 orang kelasi Melayu. Tiap kapal disediakan dengan beberapa pucuk meriam tembaga diatur memanjang kiri kanan rusuknya.

Kapten Congalton pernah bercerita pengalamannya memburu lanun di Laut Trengganu masa “Diana” mula-mula sampai dari India. Satu pagi “Diana” bertembong dengan enam buah perahu gali yang sedang merompak sebuah tongkang China. Lanun-lanun yang belum pernah melihat kapal wap atau kapal api menyangkakan “Diana” yang kecil molek itu sedang terbakar. Mereka meninggalkan mangsa yang sedang mereka hadapi dan menyerbu kepada “Diana”. “Diana” sempat berkisar dan bergerak menentang angin menuju ke perahu lanun. Masa itulah lanun-lanun itu berteriak “Dia bergerak, dia bergerak!” terbelalak seolah memandang binatang yang hidup.

Congalton membedil enam-enam buah gali lanun itu. Sebuahnya tenggelam ke dasar laut, sembilan puluh orang lanun terbunuh, seratus lima puluh orang luka parah dan tiga puluh ditawan. Lima buah gali sempat membongkar sauh lari kepantai. Tiga daripadanya terdampar sebelum berlabuh. Tawanan-tawanan yang di selamatkan dipersembahkan kepada Sultan Berunai, ber khidmat sebagai hamba di istana baginda sebelum di jualkan.

Muhamad Ali Dato’ Setia Segera tidak mahu mengukur kekuatan Inggeris sebab dia tidak ingin berseteruan dengan “Kompeni yang ada besar kuasanya”. Tetapi perahu-perahu Melayu di Terang yang di lihat oleh Warren bukanlah seluruh kekuatan angkatan perang Melayu di bawah kelolaannya. Ada banyak lagi teluk dan ada banyak lagi perahu yang tidak perlu didedah-dedahkan.

KAPITAN CHINA : BABA SENG

Seorang Kapitan China yang terkenal di Kedah ialah Baba Seng. Kapitan Baba Seng tinggal di Kota Kuala Muda dan dilantik oleh Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah menjadi Kapitan China di situ. Dalam tahun 1820 Baba Seng telah dicap oleh Pulau Pinang sebagai seorang “Penyangak”. Kapitan Baba Seng kononnya ialah seorang pengumpul barang-barang curi dan bekerjasama dengan China-China yang menceroboh kedai-kedai kaya di Bandar Pulau Pinang. Pemerintah Inggeris di Pulau Pinang mengecapnya sebagai musuh ketat kepada Yang Berhormat Kompeni Inggeris.

Sultan Ahmad Tajuddin membuat istananya di Kota Kuala Muda dalam tahun 1804. dan Kota telah bergerak maju menjadi sebuah pelabuhan sibok dan mewah. Di Kota terdapat beberapa banyak rumah-rumah besar kepunyaan saudagar-saudagar kaya dari pelbagai kaum dan sebuah masjid yang besar. Di Kota terdapat sebuah rumah perjudian yang popular dihurungi oleh berbagai golongan masyarakat Kota, China kaya-kaya dari Pulau Pinang dan juga bangsawan Melayu dari Alor Setar. Pada sebelah malam, Kota Kuala Muda menjadi Kota Indera Loka yang bergemerlapan sampai fajar menyingsing.

Masa Kota Kuala Muda sibok siang dan malam inilah Baba Seng telah dilantik menjadi Kapitan China di Kota Kuala Muda. Kerja asalnya hanya menjadi seorang tukang cukur, tetapi telah meningkat menjadi seorang hartawan yang terkemuka di Bandar Indera Loka ini dalam masa yang amat singkat sekali. Di samping itu beliau menjadi orang kepercayaan Sultan dan ketua kaumnya yang dihormati.

Orang-orang China yang tinggal di Kota kebanyakkannya dari suku Hokkien datang sehelai sepinggang dari Negeri China dua ratus tahun dahulu. Mereka menjadi kuli kepada orang-orang China yang datang lebiah awal buat beberapa waktu sebelum dibebaskan untuk mencari nafkah sendiri. Apabila telah bebas mereka pula menjadi tokeh kepada orang-orang China lain yang mendatang dari Negeri China dan mereka inilah yang membuka kedai-kedai runcit, rumah judi dan bilik-bilik candu. Ramai orang-orang China yang menjadi orang-orang tengah dalam perniagaan bijih timah yang banyak terdapat di Baling dan di Keroh pada masa itu. Orang-orang China yang tua-tua masih ingat bagaimana datuk mereka membawa kain dan candu mentah kependalaman di hulu-hulu Sungai Muda dan membawa keluar hasil-hasil seperti rotan, damar, bijih timah, lada hitam, kelapa kering dan sekali sekala membawa gajah seekor dua untuk dijual kepada saudagar-saudagar Pulau Pinang kerana mencari untung “seringgit dua”.

China-china Hokkien di Kota setengahnya telah berkahwin dengan gadis-gadis Melayu dan memlok ugama Islam. Hingga hari ini masih terdapat China-china Islam tiga empat keturunan yang tinggal di Kota.

Perkembangan perusahaan bijih timah dunia dan kesibukan Pulau Pinang sebagai pusat perniagaan bijih memberi kesan pula kepada pelabuhan kecil di Kota Kuala Muda ini. Kota maju sebagai sebuah pekan yang mengumpul bijih-bijih timah dari Baling dan Keroh. Cukai-cukai yang dikenakan keatas bijih yang dibawa keluar dari mulut Sungai Muda dan cukai kepada barangan-barangan yang dibawa masuk kependalaman Sungai tersebut menjadikan Kota sebuah pekan yang kaya raya. Ketika kesibukan lalu lalang di Sungai Muda bertambah meningkat, pungutan cukai dan hasil menjadi kelamkabut. Pegawai-pegawai yang dilantik oleh Sultan untuk menjalankan tugas memungut hasil dan cukai di pintu Kuala mabuk dengan peluang-peluang yang terdedah dan mula mengumpul kekayaan untuk diri sendiri; sedangkan pendapatan untuk Sultan dan Perbendaharaan Negeri tidak bertambah langsung.

Mengatasi masalah ini Sultan bertindak memajakkan tugas memungut hasil dan cukai di pintu Kuala kepada dua orang China dari Pulau Pinang yang sanggup membayar kepada Baginda dua puluh peratus dari semua pungutan yang mereka lakukan. Dua orang China itu ialah Che’ Seong dan Che’ Toah. Sultan berpuas hati dengan pendapatan yang agak kecil tetapi tetap sekurang-kurangnya untuk lima tahun iaitu masa sekali-sekali pajakan ini berlangsung. Selepas lima tahun Sultan boleh menyambungkan lagi pajakan ini kepada mereka atau kepada orang lain mengikut persetujuan Baginda.

Kerana Che’ Seong dan Che’ Toah tinggal di Pulau Pinang dan mempunyai perusahaan-perusahaan lain lagi mereka telah menyerahkan kuasa memungut hasil dan cukai di Kota Kuala Muda kepada Baba Seng yang dilantik oleh Sultan menjadi Kapitan China di situ.

Dalam bulan Oktober 1818, Gabenor Bannerman di Pulau Pinang telah menghantar sebuah perahu ke Petani. Di dalam perahu itu dimuatnya beberapa barangan istimewa, wang dan candu yang hendak dihadiahkannya kepada seorang Raja di sana. Perahu besar ini memasuki Kuala Sungai Muda dengan dikawal oleh beberapa orang sepahi yang bersenjata dan telah enggan membayar cukai di pintu Kuala. Perahu ini ditahan oleh Baba Seng di Kota Kuala Muda dan Baba Seng telah merampas beberapa tiub candu dan mengambil sedikit wang dari sepahi-sepahi itu. Peristiwa ini telah dilapurkan segera kepada Bannerman. Beliau terus membuat bantahan kepada Sultan Ahmad Tajuddin dan mendesak Baginda supaya menghukum berat keatas beberapa orang China yang berani merampas dan menahan harta dan kakitangan Syarikat Hindia Timor.

Sultan menjawab surat Gabenor Inggeris dengan lemah lembut memuji kebijakan Gabenor itu memerintah Pulau Pinang dan Baginda merasa megah sebab dapat berbaik-baik dengan “Sahabat Beta” yang menjadi wazir Raja Yang Maha Besar lagi Maha Perkasa. “Kedah dan Pulau Pinang dua buah negeri ini bersahabat atawa di laut atawa di darat selama dan selagi bergerak dan bercahaya matahari dan bulan”.

Kemudian Baginda menyebut bahawa Baginda akan mengeluarkan hukuman supaya Che’ Seong dan Che’ Toah mengembalikan semula benda-benda yang dirampasnya dahulu setelah “Sahabat Beta menjelaskan cukai-cukai yang patut dijelaskan kepada mereka”.

Gabenor Pulau Pinang marah berbelit-belit membaca ayat yang terakhir itu lalu megutuskan sepucuk surat mengugut Sultan supaya memansuhkan perjanjian-perjanjian dengan Baba-baba China yang samseng ini dan mendesak supaya Baba Seng digantikan oleh orang lain menjadi Kapitan China di Kota Kuala Muda. Sebagai wazir agung kepada Raja Maha Besar Negara Inggeris, beliau tidak layak dan dibawah tarafnya berunding semeja dengan Baba Seong dan Baba Toah, mereka adalah hamba rakyatnya sendiri.

Gabenor Bannerman mengingatkan Sultan Ahmad Tajuddin bahawa Baba Seng di Kota Kuala Muda telah menyinggong pemerintah Inggeris di Pulau Pinang dengan kekasarannya terhadap kakitangan Yang Berhormat Kompeni.

Sultan memberitahu Bannerman bahawa Baginda telah mengarahkan Che’ Seong dan Che’ Toah memulangkan barangan-barangan yang dirampas dari perahu “Sahabat Beta” dahulu dengan segeranya seelok-elok sahaja Gabenor menunaikan pembayaran cukai-cukai seperti yang telah dipertetapkan oleh adat resam negeri kita. Sultan berdukacita dan amat kesal sekali kerana tidak berupaya hendak memansuhkan pajakan memungut cukai dan hasil ini sebab belum sampai lagi masa lima tahunnya. Jika berbudi dan menjadi buah mulut orang sampai akhir zaman. Gabenor Bannerman sahabat beta yang menjadi wazir kepada Maharaja Yang Maha Besar tentulah lebih faham keadaan ini dan dapat bertimbang rasa dengan Beta.

Gabenor Bannerman senyap tidak dapat berkata apa-apa selepas membaca perutusan dari Sultan Ahmad Tajuddin. Gabenor seterusnya menahan sepucuk grant tanah nombor 619 yang disandarkan oleh Che’ Seong dan Che’ Toah kepada Kerajaan Pulau Pinang. Permohonan Che’ Seong dan Che’ Toah kepada Pemungut Hasil Tanah Pulau Pinang untuk menebus kembali Grant Nombor 619 itu telah di “peram” di Pejabat Tanah dan akhirnya permohonan itu ditolak begitu sahaja.

Terang dan jelas tindakan ini dibuat adalah sebagai memuaskan hati Bannerman yang marah meluap-luap terhadap tindakan Kapitan China Baba Seng wakil mutlak orang berdua ini. Baba Seng dicap oleh Pulau Pinang sebagai “penyangak” pengumpul barang-barang curi dan bekerjasama dengan penjahat-penjahat yang menceroboh kedai-kedai di Pulau Pinang.

Tahun 1821 Kedah diserang oleh Siam dan Sultan Ahmad Tajuddin berundur ke Pulau Pinang. Pada masa ini Gabenornya telah bertukar dengan orang lain, Encik Phillips pula. Bannerman telah meninggal dunia dalam tahun 1819.

Apabila Siam memerintah Kedah, Kota Kuala Kedah diduduki oleh Siam dan Baba Seng tinggal di Kota sebagai ketua kaum China.

Dalam tahun 1825 Baba Seng dan dua orang lagi orang China telah diperintah oleh Anak Raja Legor yang memerintah Kedah pada masa itu supaya pergi ke Pulau Pinang dan belikan “ Sepuluh koyan garam dan beberapa puluh pucuk senapang yang lengkap dengan sangkor atau benetnya”.

Baba Seng dan kawan-kawannya tidak pergi ke Pulau Pinang tetapi telah masuk kedalam persembunyian. Macam-macam boleh dikatakan kepada Baba Seng ini tetapi yang perlu diberi perhatian ialah kepada jiwanya yang setia kepada Sultan Kedah tidak silu-silu menentang Inggeris yang cuba memperbodohkan Sultan dan dia tidak sekali-kali akan membekalkan senapang dan benet kepada Siam yang diketahuinya akan digunakan untuk menindas orang-orang Melayu.


(disalin tanpa edit dari Mas Raden di group facebook JP PSSCM)